4 Julai 2011
Pagi ini merupakan hari terakhir kami bersama-sama dalam rombongan lawatan pendidikan MTDS dan kami akan bergerak meninggalkan asrama Hizmet di Sariyer yang menjadi tempat penginapan kami sepanjang berada di Istanbul selama 2 minggu.Sebahagian kami akan pulang ke tanah air Malaysia hari ini dan sebahagian lagi akan pulang keesokan harinya.
Hanya saya ,Kharizul dan Fatih sahaja yang akan meneruskan perjalanan masing-masing di Turki.Fatih akan pulang bercuti di rumah keluarganya di sebuah negeri jauh dari Istanbul manakala Kharizul akan menyertai kursus Bahasa Turki dalam 2 bulan di sekolah Hizmet .Dan saya seorang diri pula akan terus menyertai 2 lagi program anjuran Hayret Vekfi dan UNIW dan akan genap berada satu bulan di Turki kali ini.
Selepas mengemas barang dan mengemas bilik di asrama Hizmet di Sariyer,kami bergerak menaiki van meninggalkan Sariyer dan di Yenibosna,Kharizul,Dr Adi Setia,Wan Ahmad Faysal,Saiful Ridzuan dan Oscar dari Kazakhtan turun bagi meneruskan perjalanan masing-masing.Mereka akan menetap di satu asrama Hizmet disini dan kecuali Kharizul,yang lain-lain akan pulang menaiki pesawat Uzbekistan Airways untuk pulang ke Malaysia keesokan harinya.Sebelum bergerak ke destinasi masing-masing kami bersalam-salaman dan berpelukan tanda persahabatan dan kenangan sewaktu kembara bersama-sama hampir 2 minggu pastinya akan terpahat di hati masing-masing.
Van yang membawa saya,Fatih,Muaz,Ammar dan Zahid meneruskan perjalanan ke lapangan terbang Ataturk.Kecuali saya dan Fatih,yang lain-lain akan pulang ke Malaysia pada hari ini juga.Sewaktu menemani mereka check in di lapangan terbang,saya berkenalan dengan sahabat Hizmet dari Kyrgyzstan ,seorang pelajar Malaysia yang belajar di Kanada yang kebetulan transit di lapangan terbang ini dan tanpa disangka-sangka juga kami berjumpa dengan Prof Adem Klichman,professor di UPM yang kami selalu ziarahi rumahnya di Bangi bahkan pernah beberapa kali menginap dan membaca-berdiskusi buku Badiuzaman Said Nursi dengan beliau di rumah ‘madrasah’ Turki di Bangi itu.Beliau juga dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas pulang bercuti di rumah keluarganya di Turki.Isteri beliau merupakan orang Kedah dan saya pernah bertanya kepada anak-anak kecilnya yang sangat comel,samada mereka orang Kedah atau orang Turki dan mereka menjawab orang Kedah walaupun muka mereka lebih mirip kepada orang Turki.
Sewaktu salam perpisahan dengan Muaz,Zahid,Ammar dan juga Fatih ,kami berjanji akan berjumpa semula di Malaysia nanti khususnya di pejabat MTDS.Kami kini seakan menjadi sebahagian daripada warga MTDS selepas kembara bersama di Turki hampir 2 minggu melihat segala gerak kerja geng Hizmet yang mengikuti pemikiran Badiuzaman Said Nursi dan dipimpin oleh Fethullah Gulen ini.Gerak kerja Hizmet yang sangat sistematik terutamanya dengan pemilikan sendiri stesyen tv-radio-suratkhabar,pelbagai sekolah yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asrama dan keikhlasan berkhidmat,istiqamah,mendahulukan orang lain,dan semangat persaudaraan geng Hizmet ini akan kami pelajari seterusnya kami akan kongsikan pengalaman bersama-sama geng Hizmet ini dengan sahabat-sahabat yang lain .
Tamat sudah kembara saya bersama rombongan MTDS ini dan kini saya lepak sebentar seorang diri di Lapangan Terbang Ataturk sebelum akan meneruskan kembara saya di Turki seterusnya.....
No comments:
Post a Comment