Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Showing posts with label Kembara di Turki. Show all posts
Showing posts with label Kembara di Turki. Show all posts

Saturday, August 20, 2011

27 Jun 2011


Selepas sarapan pagi,kami bersiap sedia bagi meneruskan lawatan dan kali ini ke stesyen tv Samanyolu dan stesyen radio milik geng Hızmet.Hebat tak hebat geng Hizmet ini walaupun hanya sebagai NGO tetapi mereka telah memiliki stesyen tv dan radio sendiri.Stesyen tv ini pula memaparkan pelbagai bentuk rancangan siaran tv di seluruh dunia.Kami dibawa melihat gerak kerja stesyen tv dan radio ini dan berpeluang bergambar berlakon sebagai pembaca berita di unit berita dan dj di konti radio.



Dari stesyen tv Samanyolu dan stesyen radio,kami menziarahi pula ke Kimse Yok Mu,satu NGO misi kemanusiaan milik Hizmet.Sebelum ke Turki ini,saya menyangka geng Hizmet hanya memberi fokus kepada pendidikan sekolah-universiti sahaja dan tidak tahu yang geng Hizmet juga memiliki NGO yang aktif dengan misi kemanusiaan diseluruh dunia.Di Kimse Yok Mu ini kami diberi taklimat berkenaan aktiviti yang dijalankan oleh Kimse Yok Mu seperti bantuan kemanusiaan dalam misi gempa bumi,menolong orang miskin terutamanya dalam aspek makanan-kesihatan-pendidikan.Mereka menyalurkan bantuan makanan ,membuka hospital dan sekolah sementara di tempat-tempat yang berlaku bencana alam seperi di Haiti,Darfur,Gaza dan Pakistan.Antara kekuatan utama mereka ialah mereka memiliki ribuan sukarelawan yang membantu gerak kerja kemanusiaan.


Kami meneruskan lawatan lagi ke sebuah komplek tahfız waqaf milik anak murid kepada Fethullah Gulen.Kompleks tahfiz besar yang lengkap dengan kemudahan asrama,masjid,padang futsal,perpustakaan dan sebagainya ini menempatkan para pelajar yang rata-ratanya masih kecil ,remaja dan belia yang menghafaz Al- Quran.Para pelajar tahfiz disini juga datang dari negara yang berbeza dan dari serata dunia.Di masjid komplek tahfiz ini kami sempat berjumpa dengan pelajar-pelajar dari Indonesia yang menuntut disini.


Di sini juga para pelajar didedahkan dengan bacaan kitab klasik dan kontemporari dengan penekanan kepada menganalisis teks perenggan demi perenggan bagi menyelami makna teks.Kami sempat melawat satu bilik khas untuk pelajar senior yang fokus kepada penterjemahan kitab-kitab dan di perpustakaan kompleks tahfiz ini ,kami sangat teruja melihat pelbagai kitab dalam cabang ilmu yang berbeza yang terdapat disini.
Dalam sesi taklimat juga kami diberitahu tentang sistem yang digunapakai di sekolah dan usaha penerbitan majalah dan buku-buku.Kami sempat juga berjumpa dengan rombongan seorang anak murid kepada Fethullah Gulen,Eragu Carpan.

Di tingkat atas kompleks tahfiz ini terdapat satu dewan yang memiliki satu teknologi 'speaker ajaib' .Kita boleh mendengar suara sahabat kita dari jarak jauh apabila berdiri di bawah kubah dewan ini .Suara sahabat kita seakan keluar bergema dari corong kubah dewan ini.

Kami berjalan keluar dari dalam komplek tahfiz ini dan melintasi satu gelanggang futsal yang sedang digunakan oleh pelajar-pelajar tahfiz ini untuk bermain futsal.Kami tanpa rasa malu meminta izin untuk bermain futsal bersama-sama mereka yang kebanyakannya masih kecil dan jauh lebih muda daripada kami.Seorang pelajar tahfiz itu berkata sesuatu kepada saya dalam Bahasa Turki dan saya hanya dapat menangkap perkataan Cola sahaja.:).

Rupa-rupanya mereka mahu saya belanja air Cola jika mereka dapat menjaringkan gol atau menang. Maka berlangsunglah satu perlawanan futsal persahabatan antara delegasi Malaysıa menentang pelajar-pelajar tahfız Turki.Pelajar-pelajar tahfiz yang bermain futsal bersama kami ini kesemuanya berbicara dalam Bahasa Turki dan kurang memahami Bahasa Inggeris.Mereka bermain dengan cukup baik dan penuh kemahiran dan berjaya mendapatkan beberapa gol menerjah jaring gol kami.Hebat!Air Cola tetap disediakan buat mereka atas persembahan menarik mereka dan sebelum berangkat pulang,kami bergambar beramai-ramai sebagai satu kenangan.


Selepas singgah solat dan ke Capitol,sebuah pusat membeli belah,kami menuju ke sebuah restoran untuk makan malam. Makan malam malam ini ditaja oleh geng Hizmet dimana kami dibawa ke sebuah restoran mewah atas bukit yang mana kami dapat melihat pemandangan indah Istanbul Asia-Eropah.


Menurut Fatih Abi,geng Hizmet apabila mengetahui kehadiran rombongan kami dari Malaysia,berlumba-lumba untuk menaja makan malam kami walaupun langsung tidak kenal antara satu sama lain.Oleh sebab itulah kesemua makan malam kami disini ditaja sepenuhnya oleh geng Hizmet yang berlainan secara bergilir-gilir.Layanan hebat kepada tetamu luar ini merupakan amalan biasa para pendakwah dari Turki ini.


Selepas kekenyangan makan malam,kami berangkat pulang ke asrama Hizmet di Sariyer dan selepas berehat sebentar sebelum tidur,kami sempat bermain futsal hampir 2 jam di gelanggang futsal asrama ini.Kami tidur nyenyak malam ini akibat keletihan perjalanan di siang hari,kekenyangan makan malam dan kepenatan bermain futsal hingga larut malam.

Thursday, August 11, 2011

26 Jun 2011

Pagi ini kami meneruskan kembara lagi di sekitar Bursa.Kami perlu memanfaatkan perjalanan di Bursa dengan sebaik mungkin memandangkan kami tidak akan lama tinggal di Bursa dan akan pulang ke Istanbul pada hari ini juga.

Fatih membawa kami ke satu kawasan atas bukit dan disini van yang kami naiki berhenti di sebuah stesyen kereta kabel.Kami menaiki kereta kabel beramai-ramai bersama para pelancong yang lain ;kebanyakannya dari negara Timur Tengah.Sepanjang perjalanan dengan kereta kabel itu,kami dapat melihat pemandangan hijau indah bukit bakau dengan udara paginya yang cukup menyegarkan.Kereta kabel berhenti di atas bukit dan disana rupanya wujud seakan satu perkampungan hutan yang cantik dan saya memberitahu seorang sahabat,”Ini macam perkampungan hutan 'Harry Potter'.

Cuaca di atas bukit dan perkampungan hutan ‘Harry Potter’ ini sangat sejuk dan kami hanya berjalan kaki beramai-ramai melalui kawasan yang dikelilingi oleh pokok-pokok hijau tinggi yang cukup menenangkan mata setiap orang yang memandangnya.

Kereta kabel membawa kami turun semula dari kawasan atas bukit tinggi dan kami menaiki semula van untuk meneruskan perjalanan lagi di Bursa.Kami singgah sebentar di kawasan sebuah Muzium Seni Islam,melalui bazar antik yang menjual barangan antik dan mengambil peluang membeli belah di sebuah bazaar yang menjual tekstil seperti tudung Turki dan sebagainya.



Selepas makan tengahari di Yesir Konak,kami bertolak pulang meninggalkan Bursa dan kali ini juga menaiki van dan feri merentasi laut yang sangat indah.



Tiba di Istanbul,kami tidak terus pulang ke asrama Hizmet di Sariyer sebaliknya menuju ke Menara Sapphıre dan disini kami terpaksa beratur panjang bersama pelancong-pelancong lain hanya untuk masuk ke sebuah pawagam di atas menara ini. Dengan membayar tiket 20 lira(dalam RM40),kami masuk ke pawagam ini dan menaiki 'kapal terbang' untuk terbang melawat ke semua tempat menarik di Istanbul.Kami duduk di atas kerusi pawagam sambil memakai cermin mata khas dan melihat skrin besar yang memaparkan tempat-tempat pelancongan di Istanbul seperti Masjid Biru,Haghia Sophia,dan sebagainya.Kami berasa seperti benar-benar terbang dengan pesawat untuk masuk ke setiap tempat-tempat pelancongan tersebut apatahlagi dengan bantuan visual,sistem suara dan yang lebih uniknya ialah percikan air sebenar mengenai kaki yang keluar dari bawah tempat duduk tatkala kami ‘merentasi Selat Bosphorus’ dalam paparan skrin .

Di sini juga kami dapat melihat pemandangan keseluruhan Istanbul dari menara tinggi.Betapa cantiknya melihat Istanbul dari Menara Sapphire ini sukar digambarkan dengan kata-kata.:)


Selepas singgah solat di sebuah masjid berdekatan Menara Sapphire,kami terus ke majlis kenduri khatan anak saudara kepada Abi Mehmet,yang banyak membantu membawa kami dengan vannya sepanjang perjalanan di Istanbul.Majlis kenduri khatan ini dihadiri ramai orang,diisi dengan bacaan Al-Quran,doa dan nyanyian lagu dan disini juga kami dapat melihat bagaimana budak kecil yang baru berkhatan dilayan sepertı raja sehari siap dengan ‘pakaian diraja’nya,memakai ‘mahkota’ dan memegang tongkat 'Harry Potter'.

Kami pulang ke asrama Hizmet di Sariyer dengan sedikit keletihan dengan perjalanan dari Bursa ke Istanbul tetapi saya berasa gembira kerana akhirnya dapat juga melawat negeri selain Istanbul.

Monday, August 08, 2011

25 Jun 2011


Hari ini kami bakal meneruskan perjalanan ke Bursa ,satu negeri di Turki yang tempoh perjalanannya dari Istanbul memakan masa hampır 4-5 jam .Kami bergerak meninggalkan asrama di Sariyer semenjak awal pagi sebaik sahaja selesai solat subuh dan menaiki van serta juga sempat menaiki feri yang membawa bersama van kami.Dari dalam feri,kami dapat melihat keindahan laut ,melalui jambatan Fatih Sultan Ahmet dan melihat bagaimana beberapa ekor burung terbang bersama-sama mengekori feri sepanjang perjalanan kami.

Setibanya kami di Bursa,kami terus ke sebuah asrama Hizmet yang cukup besar dan seperti di asrama di Sariyer,cukup lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Selepas meletakkan barang-barang kami di bilik asrama yang bakal kami menginap sepanjang kami berada di Bursa ini,kami meneruskan perjalanan melawat ke sebuah sekolah Hizmet,Nilofer. Di sekolah Hizmet ini kami memasuki kelas-kelas mereka,dan yang menariknya disini,senarai nama dan muka pelajar yang mendapat pencapaian yang terbaik dalam setiap subjek akan terpapar di papan iklan sekolah tersebut. Ini dilakukan demi menyuntik motivasi kepada para pelajar di samping mewujudkan semangat persaingan sihat di kalangan pelajar agar berlumba-lumba untuk meningkatkan prestasi akademik masing-masing.Di seluruh Bursa ini terdapat dalam 5-6 buah sekolah Hizmet.

Dari sekolah Hizmet kami menziarahi pula muzium-maqam kubur Orhan Gazi dan Osman Gazi.Kami juga singgah solat di Masjid Ulu Camii dan di Masjid Ulu Camii inilah,tanpa disangka-sangka saya bertemu dengan Mustaffa Tekke,sahabat dari Turki yang sudah lama saya tidak berjumpa .Beliau pernah belajar di Universiti Malaya dan sering memperkenalkan saya dengan pemikiran Badiuzaman Said Nursi.Setiap kali saya berjumpa dengan beliau pasti beliau akan membacakan beberapa buah buku Badiuzaman Said Nursi dan selalu juga menghadiahkan saya buku Badiuzaman Said Nursi secara percuma.

Antara kenangan saya dengan Mustafa yang saya masih ingat ialah sewaktu bulan Ramadhan di hadapan Perpustakaan Utama Universiti Malaya,kami bersama-sama berjalan kaki menuju ke stesyen LRT Universiti dan sepanjang kami berjalan kaki dari Perpustakaan Utama ke stesyen LRT Universiti itu,Mustafa membacakan buku tentang Ramadhan yang ditulis oleh Badiuzaman Said Nursi.Sambil berjalan kaki,dia membaca buku tersebut,saya mendengar dan kami sama-sama berdiskusi sehinggalah tiba di stesyen LRT Universiti.

Kami juga sempat membeli belah di bazar Bursa yang dikenali dengan tekstilnya terutamanya tudung Turki,melawat maqam Emir Sultan-Yesıl Tomb-Mehmet Celebi(datuk kepada Sultan Muhammad Al-Fatih),Yesil Camii,Yesil Konak,Masjid Yeldirim dan pelbagai masjid bersejarah di Bursa.

24 Jun 2011


Pagi ini kami dikejutkan awal oleh Fatih Abi memandangkan kami akan menunaikan solat subuh di Eyup Camii@Masjid Abu Ayyub Al-Ansari,seorang sahabat nabi.Kami menaiki van milik Hizmet dari Sariyer ke Eyup Camii yang melalui tepi selat Boshporus.Cukup segar udara pagi dan cantik pemandangan Selat Bosphorus di waktu pagi sebelum subuh.Cukup tenang.Dalam perjalanan,saya melihat ada kelompok yang memancing ikan di tepi Selat Boshporus.Memancing ikan di waktu pagi sebelum subuh.Dahsyat! 

Setibanya kami di perkarangan Eyup Camii,azan Subuh sedang berkumandang dan kelihatan orang ramai berpusus-pusu berjalan kaki menuju ke Eyup Camii.Alangkah menariknya melihat jemaah subuh di pagi jumaat di Eyup Camii ini penuh melimpah sehingga ke luar dewan solat bagaikan solat Jumaat di Malaysia.Kami hanya sempat menunaikan solat Subuh di perkarangan luar dewan solat Eyup Camii memandangkan di dalam dewan sudah penuh dengan orang ramai.Bacaan imam pagi ini pula cukup merdu ditambah pula dengan laungan ‘Ameen’ oleh para jemaah yang ‘menggegarkan’ Eyup Camii di pagi Jumaat ini.Doa panjang imam dalam Bahasa Turki disahut oleh orang ramai yang kelihatan khusyuk mengaminkan doa.Kami juga mengaminkan doa dalam Bahasa Turki tersebut walaupun tidak faham.:)



Sebaik sahaja selesai solat Subuh,rombongan kami berkumpul semula dan cuba untuk memasuki ke dewan solat.Ketika itulah saya melihat orang ramai berkerumun dan beratur untuk bersalaman dengan imam solat subuh tadi dan yang paling mengejutkan kami ialah orang bersebelahan imam tersebut iaitu Recep Tayyip Erdogan,Perdana Menteri Turki yang turut solat subuh berjemaah bersama-sama pagi ini.



Fatih Abi meminta rombongan kami bersabar sebentar dan menunggu giliran untuk beratur bersalaman dengan imam dan Recep Tayyip Erdogan.Beliau juga memaklumkan mengambil gambar Erdogan didalam masjid dilarang oleh pihak keselamatan dan meminta kami semua menyimpan kesemua kamera yang dimiliki.

Siapa sangka baru hari kedua kami di Turki,kami sudah dapat bertemu dan bersuamuka dengan PM Turki yang cukup berwibawa dan berkarisma.Sebelum ini saya sering mengikuti berita tentang Turki dan Erdogan ini melalui suratkhabar online milik Hizmet,Todayszaman.Erdogan semakin popular semenjak keberaniaannya menyanggah hujah dan meninggalkan pentas dalam insiden ‘1 minute’ Erdogan vs PM Israel,Shimon Peres sewaktu sidang ekonomi dunia di Davos.Strategi hikmahnya memimpin Turki dan partinya AKP dengan urustadbir yang baik berjaya melonjakkan nama Turki di mata dunia terutamanya dengan kekuatan ekonomi dan hubungan luar antarabangsanya.Gandingan mantap Erdogan dengan Presiden Turki,Abdullah Gul dan menteri-menteri kabinetnya terutamanya Menteri Luar,Ahmet Davudoglu yang pernah mengajar di UIAM suatu ketika dahulu berjaya membawa Turki menjadi sebuah negara contoh dan disegani kawan dan lawan.

Kesemua kami setelah menunggu beberapa seketika untuk mengelakkan kesesakan orang ramai akhirnya beratur untuk menunggu giliran bersalaman dengan PM Turki,Recep Tayyıp Erdogan .Sewaktu giliran saya berada betul-betul berhadapan dan menatap wajah Erdogan,saya menghulurkan tangan bersalaman dengan beliau sambil mengucapkan ‘Memnun Oldem’(gembira berjumpa kamu) kepada Erdogan dan sempat memperkenalkan diri dan PKPIM secara ringkas dan memaklumkan kepada Erdogan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim pernah memimpin PKPIM.Sengaja saya menyebut nama Anwar Ibrahim memandangkan hubungan Erdogan dan Anwar Ibrahim cukup rapat.Erdogan kemudiannya menepuk bahu saya dan kemudiannya berkata sesuatu dalam Bahasa Turki kepada imam yang berdiri bersebelahannya.Apa yang diperkatakan oleh Erdogan kepada imam itu ya?Saya pun tidak tahu.Ia kini masih tinggal misteri...:)

Selepas bersalaman dengan Erdogan,kami keluar menuju ke makam Abu Ayyub Al-Ansari yang terletak di luar dewan solat.Erdogan juga kemudiaannya menuju ke makam Abu Ayyub Al-Ansari dan disini orang ramai berkerumun dan mengambil gambar beliau selepas dilarang mengambil gambar beliau di dalam masjid.Kami juga cuba mengambil gambar beliau walaupun bergambar dari jauh.

Sepanjang jalan dari makam Abu Ayyub Al-Ansari sehingga ke kereta yang dinaiki Erdogan,kelihatan orang ramai berpusu-pusu ,berkerumun dan beratur panjang untuk bersalaman dengan beliau. Pada waktu ini,kami dapat melihat betapa besarnya pengaruh dan karisma Erdogan.Erdogan dengan senyumannya tidak jemu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan orang ramai yang setia menanti kehadiran beliau.Beberapa orang dari rombongan kami sempat mengambil gambar suasana orang ramai berkerumun ke arah Erdogan semenjak beliau keluar dari Eyup Camii sehinggalah menaiki kereta pulang meninggalkan Eyup Camii.

Sempat juga saya bergurau dengan sahabat-sahabat ,kita menanti PM Malaysia pula selepas in untuk solat subuh berjemaah di masjid bersama-sama rakyat Malaysia....

Selepas Erdogan pulang meninggalkan Eyup Camii,kami berhimpun di luar Eyup Camii,bergambar dan kemudiannya sarapan pagi roti dan minum susu beramai-ramai di luar perkarangan Eyup Camii.Beberapa orang peniaga menjual makanan sarapan pagi di sekitar luar perkarangan Eyup Camii.




Dari Eyup Camii,kami pulang ke asrama Hizmet di Sariyer.Selepas berehat seketika,saya bersama sahabat yang lain bermain bola keranjang bersama sahabat-sahabat Turki.

Kami kemudiannya bersiap untuk meneruskan perjalanan ke Topkapi Palace.Topkapi Palace merupakan antara tempat tumpuan pelancong luar negara dan ia merupakan sebuah istana lama yang cukup indah dengan senibinanya yang unik dan pameran barangan mewah lama milik sultan-sultan suatu ketika dahulu.Saya pernah ke sini juga sewaktu ke Turki pada tahun 2007 bersama-sama rombongan PKPIM-ABIM-WADAH.

Selepas mengunjungi Topkapi Palace,kami bergegas menaiki van menuju ke Masjid Biru@ Blue Mosque untuk menunaikan solat Jumaat.Pada kunjungan pertama saya ke Turki dahulu,saya tidak berkesempatan melawat Masjid Biru ini akibat kesuntukan masa walaupun sempat ke Haghia Sophia yang terletak berhampiran Masjid Biru.Akhirnya kali ini saya sempat juga melawatnya bahkan menunaikan solat Jumaat bersama ribuan jemaah yang penuh melimpah di masjid ini.Sukar bagi saya bagaimana mahu menggambarkan kecantikan senibina Masjid Biru ini.Pintu gerbangnya,menaranya,mimbarnya,lampu-lampunya,seni khat yang menghiasi dindingnya semuanya sangat indah dan memukau pandangan mata.Tidak hairanlah kalau Masjid Biru ini menjadi tempat wajib dilawati di Turki oleh para pelancong di seluruh dunia.




Di Masjid Biru ini saya sempat berkenalan dengan seorang pelajar dari Indonesia yang menuntut di sebuah universiti di Istanbul.Beliau boleh berbahasa Arab kerana pernah belajar di satu pesantren di Indonesia dan kini mula boleh berbahasa Turki.Terus terang saya katakana saya sangat cemburu dengan beliau....:)

Selepas solat jumaat di Masjid Biru,Fatih ingin membawa kami semua ke Haghia Sophia yang suatu ketika dahulu pernah menjadi gereja,masjid dan kini sebagai muzium.Di Haghia Sophia ini kita boleh melihat kesan ‘pertemuan’ antara dua agama iaitu Islam dan Kristian.Beberapa orang dari kami tidak ikut serta melawat Haghia Sophia termasuk saya kerana saya sudah pernah ke Haghia Sophia ini sewaktu lawatan pada tahun 2007 dahulu.Jadi saya mengambil keputusan untuk tunggu di perkarangan luar Haghia Sophia dan berjalan-jalan bersama Saiful Ridzuan di tengah-tengah dataran yang memisahkan antara Masjid Biru dan Haghia Sophia.

Kami bergambar di sini memandangkan latar belakang antara kedua-dua tempat bersejarah ini sangat cantik. Sambil memakan jagung panas,kami duduk bersila atas rumput dengan teduhan satu pokok rendang dan sempat berkenalan dengan seorang rakyat Turki yang juga sedang duduk berehat bersama anak kecilnya yang sangat comel.Beliau berbicara sepenuhnya dalam Bahasa Turki manakala saya hanya mengeluarkan beberapa patah Bahasa Turki yang sempat saya hafaz di atas kapal terbang dalam perjalanan ke sini dari Kuala Lumpur sebelum ini.Yang lain bicara saya dalam Bahasa Inggeris walaupun beliau kelihatan tidak berapa memahami Bahasa Inggeris dan kadangkala kami menggunakan bahasa isyarat.:).Seperti biasa,saya meminta beliau menuliskan nama ,email dan Facebooknya dalam buku catatan saya untuk dihubungi suatu masa nanti...


Selepas selesai lawatan sekitar Masjid Biru dan Haghia Sophia,kami beramai-ramai berjalan kaki menuju ke The Basilica Cistern.The Basilica Cistern ini merupakan tempat saluran dan tadahan air di bawah tanah.

Selesai tamat siri lawatan ke pelbagai tempat bersejarah,kami bergerak pula menuju ke rumah Abi Solih Oz,seorang tokoh Hizmet yang merupakan kawan kepada Fethullah Gulen untuk makan malam.

Di rumah beliau,kami didengarkan kisah cabaran perjuangan Hizmet sebelum dan selepas kepimpinan Erdogan,bagaimana Hizmet membuka sekolah-sekolah di seluruh dunia,menawarkan pendidikan yang terbaik dan berkualiti,dan bagaimana gerak kerja gabungan ahli perniagaan yang menjalankan pelbagai perniagaan dan pembukaan sekolah-sekolah.Abi Solih Oz juga menceritakan perjuangan sahabatnya,Fethullah Gulen dalam menggerakkan misi kemanusiaan di seluruh dunia semenjak dahulu bermula dengan secara rahsia sehinggalah ke hari ini yang semakin menampakkan hasil kejayaan.

23 Jun 2011


Perjalanan dari Tashkent ke Istanbul memakan masa dalam empat jam.Sepanjang empat jam perjalanan tersebut,saya membuat persiapan terakhir sebelum tiba di Istanbul khususnya persiapan asas Bahasa Turki.Dalam fikiran saya,kembara ke Turki kali ini akan lebih bermakna jika saya dapat memahami asas Bahasa Turki sekurang-kurangnya asas perbualan harian.Atas kapal terbang,saya menghafaz beberapa patah perkataan Bahasa Turki dengan harapan dapat mempraktikkannya sewaktu tiba di Turki nanti.

Akhirnya,saat yang dinanti sudah tiba.Pesawat mendarat dengan selamat di bumi Istanbul.Seakan-akan tidak percaya saya akhirnya saya kembali ke Turki selepas kunjungan pertama pada tahun 2007.Cuma bezanya kalau tahun 2007 tersebut,musim sejuk di Turki,dan kali ini saya mengunjungi pada musim panas pula.



Sebaik sahaja kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Ataturk,Istanbul,tepukan gemuruh diberikan oleh para penumpang.Sewaktu kapal terbang mendarat di Tashkent dari Kuala Lumpur juga,tepukan gemuruh juga diberikan oleh para penumpang.Mungkin sudah menjadi satu budaya penumpang Uzbekistan Airways, tepuk tangan ramai-ramai apabila kapal terbang berjaya mendarat selamat.:

Saya memberitahu Saiful Ridzuan,cuba kita tampar pipi masing-masing.Macam tidak percaya sudah sampai akhirnya di Istanbul.Kalau pada tahun 2007 dahulu,saya tiba di Lapangan Terbang Ataturk ini disambut dengan hujan renyai-renyai dan cuaca sejuk,kali ini pula cuaca panas hangat mula terasa sejak di Lapangan Terbang Ataturk lagi.




Selepas mengambil beg masing,masing dan melepasi imigresin Turki,kami bergerak keluar menuju ke tempat ketibaan antarabangsa.Di sini Aziz ,sahabat dari Turkemenistan yang belajar di INCIEF,menyambut rombongan kami dan kami menaiki van milik geng Hizmet menuju ke pejabat PASIAD.


Sepanjang perjalanan kelihatan kota Istanbul cukup cantik,teratur dan sistematik.Sistem pengangkutannya diatur cukup baik misalnya Metrobus yang mempunyai laluan khas dan penyediaan jejantas pejalan kaki menuju ke stesyen di Metrobus.Saya perhatikan walaupun Turki baru sahaja selesai pilihanraya umumnya,poster-poster,pelekat gambar sewaktu kempen pilihanraya hampir tidak kelihatan .Barangkali pihak pembandaran Istanbul sudah membersihkan ‘kesan-kesan’ pilihanraya umum Turki dan mungkin juga dibantu dengan peraturan yang ketat tentang pemasangan poster-iklan demi menjaga kebersihan bandar Istanbul.Pokok-pokok tumbuhan yang kelihatan terjaga,bunga-bunga yang indah menghiasi tepi jalan raya dan landskap yang teratur boleh dilihat sepanjang jalan di Istanbul.

Di pejabat PASIAD,kami berehat dan buat pertama kali dalam kembara ini dijamu dengan hidangan makanan Turki.PASIAD ini membantu geng Hizmet Gulen ini dalam menggerakkan sekolah-sekolah Hizmet dan juga urusan kemasukan pelajar dari luar negara ke sekolah-sekolah Hizmet.Sewaktu saya mengikuti rombongan ke Acheh bersama MTDS dahulu,saya dapat melihat bagaimana sekolah-sekolah Hizmet dikendalikan dengan cukup baik oleh PASIAD dengan segala kemudahan infrastrukturnya yang setaraf kolej universiti di Malaysia.Di Acheh,geng Hizmet telah mendirikan sekolah-sekolah dan menawarkan anak-anak mangsa Tsunami Acheh pendidikan percuma di sekolah-sekolah Hizmet.

Selepas berehat dan makan,kami mendengar taklimat tentang PASIAD oleh wakil PASIAD Turki dan New Zealand yang kebetulan hadir menemui rombongan kami.Dalam sesi taklimat mereka di samping menceritakan tentang PASIAD,mereka juga menyampaikan beberapa nasihat yang cukup bermakna buat rombongan kami.


Mereka menekankan soal membuat Allah dan orang sekeliling-masyarakat lingkungan kita gembira,sentiasa memiliki wajah yang penuh dengan senyuman,ikhlas,ikut sunnah nabi-Rasulullah sebagai contoh tauladan dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.Niat-ruh-spiritual mesti suci ,beramanah,melawan sikap individualistik,dan tidak hanyut dengan kehidupan material semata-mata.Mereka juga berbicara soal pelaburan hari akhirat dimana setiap benda bagi mereka ialah pelaburan untuk kehidupan yang lain dan oleh kerana itu kita perlu saling berkerjasama dan bertanggungjawab terhadap komuniti masyarakat kita,menjadi contoh tauladan yang baik buat semua manusia, menangani masalah kemanusiaan-individu tanpa mengira batas geografi.Kita samada menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah atau sebahagian daripada masalah dan perlu sentiasa menolong orang lain,dan mesti sentiasa menyokong antara satu sama lain.

Selepas mengunjungi PASIAD ,kami meneruskan perjalanan dengan singgah solat di satu masjid di Edirnekapi.Masjid ini sepertimana di masjid-masjid Turki yang lain mempunyai senibina yang sangat indah dan tempat khutbah yang tinggi,tempat wudhu dan lampu cahaya yang unik.Di sini saya berjumpa seorang pelajar dari Syria yang boleh berbahasa Melayu.Rupa-rupanya beliau banyak bergaul dengan pelajar-pelajar Malaysia di Syria.


Kami meneruskan lawatan seterusnya ke Muzium Panorama 1453.Di Panorama 1453 ini,terdapat segala maklumat kronologi berkenaan sejarah pembukaan kota Istanbul oleh Sultan Muhammad Al-Fatih.Kita boleh membaca tentang sejarah perjuangan Sultan Muhammad Al-Fatih semenjak kecilnya,guru-gurunya dan menonton video tentang pembukaaan Istanbul di sini.Walaupun kebanyakan maklumat di muzium ini dalam Bahasa Turki,tetapi pengunjung boleh mendapatkan alat penterjemahan bahasa dari kaunter muzium.


Satu perkara lagi yang menarik di sini ialah di tingkat atas muzium ini dimana sebaik sahaja kita menaiki tangga ke tingkat atas ini,kita akan berada seakan-akan di alam lain iaitu seperti di zaman pembukaan Istanbul tersebut.Seluruh kawasan di tingkat atas ini termasuk di dinding atas sewaktu mendongak ke langit dinding telah dihiasi bermacam-macam lukisan gambaran perang pembukaan kota Istanbul dan juga monument-replika peralatan senjata yang digunakan sewaktu peperangan tersebut.
Dan yang menariknya juga di dinding langit tingkat atas ini terdapat lukisan gumpalan awan yang membentuk wajah mirip Sultan Muhammad Al-Fatih.Menurut Fatih Abi yang menjadi pengiring kami,lukisan itu terbentuk secara kebetulan tanpa dirancang dan hanya disedari mirip wajah Sultan Muhammad Al-Fatih sebaik sahaja selesai proses melukis lukisan tersebut.


Perjalanan kami diteruskan lagi dengan singgah solat dan kemudiannya dijamu minuman ‘cay’di satu asrama Hizmet.Asrama ini disediakan untuk pelajar yang tinggal berjauhan dengan rumah keluarga mereka.

Dari asrama Hizmet,kami menuju ke sebuah restoran mewah.Di dalam restoran ini kami solat berjemaah bersama-sama dengan tetamu-tetamu yang lain.Kebanyakan tetamu itu rupa-rupanya geng Hizmet yang hadir untuk meraikan kami dalam makan malam ini.Sebelum makan malam dengan pelbagai hidangan makanan Turki ,kami dipersembahkan dengan satu tayangan video berkenaan program geng Hizmet berkenaan Al-Quran dan Sains.Selepas tayangan video tersebut berlangsung sedikit perbincangan sebelum para tetamu dijemput menjamu segala hidangan makanan yang tersedia.

Selepas kekenyangan yang amat sangat,kami bergerak menuju ke sebuah asrama besar sekolah Hızmet di Sariyer yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti gelanggang bola keranjang,gelanggang futsal,meja ping pong,mesin basuh dan lain-lain.Malam ini kami menginap di asrama ini dengan tinggal satu bilik empat orang dalam bilik asrama yang cukup selesa.

Walaupun baru hari pertama tiba di Istanbul dengan jadual lawatan yang cukup padat dan sedikit kepenatan,saya cukup gembira kerana sejak hari pertama di Istanbul lagi telah diisi sepenuhnya dengan siri lawatan yang cukup bermakna.Apa yang penting bagi saya ialah biarlah setiap saat kembara di Turki ini diisi dengan pengisian yang berfaedah.Letih boleh berehat.Mengantuk boleh tidur....zzzz








22 Jun 2011



Hari ini saya dan 4 orang sahabat akan berangkat ke Turki .Sehari sebelumnya,satu rombongan lagi dibawah MTDS yang turut disertai sahabat-sahabat saya iaitu Muaz,Kharizul,Ammar dan Zahid telah pun berangkat ke Turki menaiki pesawat MAS terus ke Istanbul.Manakala kami menaiki pesawat Uzbekistan Airways dari KLIA dan akan transit terlebih dahulu di Tashken,Uzbekistan sebelum meneruskan perjalanan ke Istanbul.Harga tiket Kuala Lumpur ke Istanbul menaiki pesawat MAS lingkungan RM 3400 manakala menaiki pesawat Uzbekistan Airways pula ialah RM 2800.

Dari rumah di Kampung Sungai Ramal Dalam,saya dan Saiful Ridzuan yang datang ke rumah saya menaiki van bersama-sama keluarga saya yang menghantar kami ke KLIA.Saya pada mulanya tidak membawa kamera,(suatu benda yang cukup penting bila seseorang mahu kembara ke luar negara).Beberapa minit sebelum mahu bertolak dari mrumah ke KLIA ,ayah saya memberi saya pinjam Samsung Galaxy yang beliau dapat percuma hadiah pencen-persaraan dari perkhidmatan kerajaan dari sahabatnya.Samsung Galaxy ini membolehkan saya untuk mengambil gambar,video ,melayari internet dan sebagainya sepanjang kembara nanti.3 orang lagi sahabat yang akan bersama kami,menanti di KLIA dan kami akan menaiki pesawat yang sama ke Istanbul.



Urusan check in kami berjalan lancar dan di bilik menunggu pesawat,saya dan Saiful Ridzuan bertemu Dr Adi Setia,Wan Ahmad Faysal dan Oscar dari Kazakhtan yang akan turut bersama kami dalam rombongan MTDS ke Turki.

Perjalanan ke Tashken dari Kuala Lumpur mengambil masa sekitar 6 jam .Kelihatan majoriti penumpang yang bersama kami ialah warga Uzbekistan.Saya duduk bersebelahan dengan Saiful Ridzuan.Pesawat Uzbekistan Airways ini kelihatan sedikit lama dan tidak mempunyai skrin tv di hadapan setiap kerusi penumpang.Perjalanan 6 jam tanpa melakukan apa-apa aktiviti santai pastinya sangat bosan.Jika ada skrin tv pasti saya akan mengikuti beberapa rancangan seperti dokumentari,filem,mendengar muzik dan sebagainya selain daripada membaca buku atau menulis.Sepanjang perjalanan ke Tashken,saya cuba mengelakkan daripada hanya sekadar tidur nyenyak sepanjang perjalanan dan tahu-tahu tanpa disedari sudah tiba di destinasi yang dituju.Jadi sepanjang perjalanan ini saya bersembang santai dengan Saiful Ridzuan disamping cuba menghabiskan bacaan majalah tentang Uzbelistan yang disediakan oleh pihak pesawat Uzbekistan Airways.


Saya sempat membuat beberapa catatan berkenaan Uzbekistan hasil bacaan majalah tersebut.Uzbekistan terletak bersempadan dengan negara tan-tan(tapi tak termasuk Kelantan!) seperti Kyrgystan,Turkemenistan,Kazakhtan dan Afghanistan.Sebelum ini saya tidak ramai sahabat dari negara tan-tan ini(walaupun mempunyai ramai sahabat di Kelantan).tetapi selepas saya mengikuti siri program di MTDS,saya mula menambah kenalan dari negara tan-tan ini. Tak ramai yang tahu betapa besarnya pengaruh sufi-tasawuf,falsafah,sastera dan seni di Uzbekistan.Bahkan Imam Al Bukhari juga dilahirkan di sini iaitu di kota Bukhara(810-870) dan tokoh sufi yang berpengaruh,Syeikh Bahauddin Nakshbandi(1318-1389) juga lahir dan mengembangkan doktrinnya di sini.


Dua pepatah yang menarik perhatian saya sempat saya catatkan hasil bacaan majalah tersebut iaitu ‘’to glorify the truth is the best,to meet the dawn with a prayer is the best ,for the sake of a good name ,to give bread to hungry men is the best’’ dan ‘’a human’s happiness is possible only when he becomes a source of happiness for others’’.Malangnya saya lupa siapa yang telah mengungkapkan kedua pepatah tersebut.

Tetapi saya masih ingat satu puisi oleh seorang yang digelar ‘the great Uzbek poet’ iaitu Alisher Navoi yang dalam puisinya ‘’Lisonut-tayr@languange of birds’ beliau mengungkapkan ‘’He is creator of all living belings,of their flesh and bodies,He is both in mortals and immortals,infinitely everywhere’’.Nampak gayanya saya perlu mendapatkan kembali artikel tulisan Rustam Mirzaev berjudul ‘Sufism in Uzbekistan:On the track of spiritual elevation’.




Saya juga sempat belajar asas Bahasa Uzbekistan sebagai persiapan kononnya bercadang keluar ke bandar Tashken sewaktu transit di Tashken nanti.Saya mendapatkan perkataan baru dalam Bahasa Uzbekistan tersebut yang tercatat dalam majalah Uzbekistan Airways dan setiap kali pramugari menghantar hidangan makanan kepada saya,saya cuba mempraktikkan beberapa perkataan dalam Bahasa Uzbekistan tersebut.Kadangkala agak sukar menyebut perkataan Uzbekistan tersebut jadi saya mengambil jalan mudah dengan mengucapkan perkataan yang mudah seperti ‘rahmat!’ yang bermaksud terima kasih .


Kami transit selama lebih kurang 5 jam di lapangan terbang Tashkent.Saya dan Saiful Ridzuan cuba bertanya kepada pegawai di lapangan terbang tersebut tentang samada kami boleh keluar ke bandar Tashkent atau tidak .Malangnya kami tidak dibenarkan keluar kerana perlu mengambil visa terlebih dahulu di kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur.Kami pun sebenarnya mengikut perancangan awal tidaklah merancang untuk keluar ke bandar Tashkent memandangkan mahu berjimat duit demi kembara di Turki nanti yang mata wangnya Lira agak mahal.Cuma kami sekadar mencuba mana tahu dapat menambah koleksi negara yang pernah dikunjungi .

Lapangan terbang Tashkent ini agak kecil.Patutlah ketika saya maklumkan kepada seorang sahabat dari Uzbekistan yang belajar di Universiti Malaya(chat di Facebook),beliau minta jangan dibandingkan antara KLIA dan lapangan terbang Tashkent.Macam langit dan bumi.:)
Ketika kami tiba dan beratur menyerah passport untuk mengambil tiket Tashkent ke Istanbul,suasana agak sibuk,kelam kabut dan padat dengan orang ramai dengan kawasan yang sangat sempit.

Memandangkan kami ‘terperangkap’ di lapangan terbang Tashken ini dan penerbangan ke Istanbul hanya selepas 5 jam,jadi kami hanya berehat,membaca suratkhabar,buku,berjalan-jalan kawasan sekitar dan bersembang-sembang dengan penumpang-penumpang lain yang turut menanti penerbangan seterusnya.


Kami sempat bersembang-sembang dengan sepasang suami isteri rakyat Malaysıa yang dalam perjalanan menghadiri istiadat konvokesyen anak mereka di Ukraine.Sembang punya sembang rupa-rupanya si suami juga pernah aktif sebagai SU Kerja ABIM suatu ketika dahulu.Saya dan Saiful Ridzuan turut melayan rombongan dari Korea Selatan yang turut kembara ke Istanbul.Kami bergambar bersama-sama dan mengambil maklumat perhubungan dan seperti biasa bertanyakan Facebook masing-masing.Ternyata Facebook banyak membantu membina jaringan dengan rakyat di seluruh dunia.

Selepas 5 jam akhirnya pegawai lapangan terbang memanggil para penumpang yang akan meneruskan perjalanan ke Istanbul.Bumi Tashken kami tinggalkan dan menanti penuh pengharapan pula saat tibanya di Kota Istanbul.....

Travelog kembara di Turki 2011


Sebelum ke Turki....


Segalanya bermula mungkin dengan rasa kecintaan kepada majlis ilmu dan kesedaran tentang kepentingan membina jaringan.Saya dan sebahagian besar sahabat-sahabat yang mengikuti rombongan ke Turki kali ini sebenarnya sering bersama-sama mengikuti majlis-majlis ilmu sekitar Kuala Lumpur. Apa jua program ilmu yang kami ketahui sekitar Kuala Lumpur dan jika mempunyai kelapangan waktu,pasti kami akan bersama-sama mengikutinya.



Amanah sebagai Exco Biro Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM memberi peluang kepada saya untuk mengikuti pelbagai program ilmu sekitar Kuala Lumpur termasuk program yang bersifat antarabangsa secara percuma.Saya sebenarnya sudah pun menolak jawatan Exco Biro Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM bagi tempoh tahun yang kedua memandangkan mahu fokus kepada menyelesaikan tesis Master berkaitan PKPIM di Universiti Malaya.Selepas berfikir panjang dan ‘bersembang hati ke hati’ bersama-sama Presiden dan SU PKPIM ketika itu(Faisal dan Abu Qasim)pada malam sehari sebelum pengumuman di muktamar PKPIM keesokan paginya,saya mengubah fikiran dan menerimanya dengan permintaan akan lebih memfokuskan penulisan artikel dan kehadiran dalam majlis-majlis ilmu dan pendidikan.

Kebanyakan program ilmu saya ketahui melalui laman-laman web,facebook dan mesej setia makluman majlis ilmu terkini daripada sahabat baik yang saya anggap sebagai mentor pembinaan jaringan saya,Nuruddin Abd Manap,bekas pelajar perubatan di Universiti Malaya dan kini diamanahkan sebagai pegawai khas kepada Timbalan Ketua Pengarah International Institute of Advanced Islamic Studies(IAIS), Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar,seorang intelektual dan mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya,dan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM)

Untuk program biro pendidikan dan penyelidkan PKPIM,saya telah merancang mengadakan pertemuan tertutup pimpinan anak muda pelbagai gerakan dengan Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar .Saya meminta bantuan daripada Nuruddin untuk mengatur pertemuan tersebut dan akhirnya ia berjaya diadakan di IAIS sendiri dan dihadiri oleh beberapa orang pimpinan anak muda.Hasil pertemuan dengan Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar inilah yang mengilhamkan saya untuk membina satu kumpulan dalam Facebook yang diberi nama ‘Jaringan Anak Muda’@JAM.


Facebook kumpulan Jaringan Anak Muda ini saya boleh anggap sebagai satu komponen kecil agenda dalam Biro Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM dan boleh dijadikan platform untuk makluman majlis ilmu dan pembinaan jaringan sesama anak muda pelbagai gerakan.Dalam kumpulan JAM inilah saya mengumpulkan facebook majoriti sahabat yang hadir dalam pertemuan tempoh hari,berkongsi catatan isi penting pengisian Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar dan bermulalah siri-siri iklan majlis-majlis ilmu sekitar Kuala Lumpur dan siri catatan perkongsian isi penting majlis-majlis ilmu yang telah dihadiri oleh saya dan sahabat-sahabat.

Melalui makluman di Facebook jaringan anak muda ini jugalah kami merancang seterusnya mengadakan siri pertemuan sesama sendiri,sembang santai sambil makan-makan,berdiskusi-usrah mingguan,dan merancang kembara ke majlis ilmu seterusnya.
Selalunya kami akan konvoi menaiki motor untuk hadir ke pelbagai program ilmu yang sering diiklankan dalam facebook jaringan anak muda tersebut.



Suatu hari saya sengaja mencadangkan dalam facebook jaringan anak muda untuk mengajak geng jaringan anak muda melawat pejabat Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS) berdekatan Istana Budaya di Titiwangsa.MTDS ini merupakan antara proksi geng Fethullah Gulen di Malaysia dan banyak menjalinkan jaringan dengan institusi pendidikan dan ahli-ahli akademik di Malaysia.

Selepas mendapat respon yang baik daripada beberapa orang geng JAM yang berminat mengikuti lawatan tersebut,saya menghubungi Fatih Abi,sahabat di MTDS dari Turki dan memaklumkan jumlah peserta yang berminat untuk hadir ke MTDS.
Akhirnya lawatan yang dirancang melalui Facebook itu berjaya diadakan dan di MTDS inilah Fatih Abi memperkenalkan program-program MTDS kepada sahabat-sahabat Facebook jaringan anak muda.

Saya sebenarnya pernah mengikuti lawatan pendidikan MTDS ke Acheh dan bermula dari lawatan tersebutlah saya semakin berminat untuk mengikuti program-program MTDS.
Dalam sesi pengenalan MTDS dengan sahabat jaringan anak muda ini jugalah Fatih Abi memaklumkan rancangan lawatan MTDS ke Turki sekitar Jun-Julai 2011 walaupun ketika itu baru sahaja sekitar bulan Januari 2011.

Di samping kehadiran dalam majlis-majlis ilmu sekitar Kuala Lumpur,geng jaringan anak muda yang aktif sering berjumpa di pejabat MTDS.Di sini kami banyak didedahkan dengan pemikiran Badiuzaman Said Nursi dan gerakan Hizmet Fethullah Gulen dan MTDS juga sering mengadakan program yang bersifat santai seperti BBQ .

Pada suatu hari program BBQ MTDS,Fatih Abi telah bersembang-sembang dengan kami tentang kembara ke Turki dan memberi sehelai kertas kosong untuk ditulis nama bagi sesiapa yang berminat untuk mengikuti kembara ke Turki.Ketika inilah saya dan sahabat jaringan anak muda yang aktif mendaftar untuk mengikuti kembara ke Turki.Maka bermulalah topik perbincangan dan sembang-sembang kami selalunya berkaitan Turki.

Siri mesyuarat secara serius berkaitan perjalanan ke Turki seperti urusan tempahan tiket kapal terbang,jadual kembara dan yang paling penting,dana kewangan-bajet telah diadakan.Urusan tentang jadual kembara sepanjang berada di Turki semuanya diuruskan oleh Fatih Abi dan pihak MTDS manakala kami mewujudkan organisasi agar kembara lebih terancang dan sistematik dengan pembahagian tugas masing-masing.

Suatu hari dalam satu mesyuarat,Fatih Abi memaklumkan tentang urusan tempahan tiket kapal terbang awal agar mendapat harga tambang yang lebih murah.Dan ribuan ringgit diperlukan untuk menempah tiket tersebut dan Fatih Abi ingin kesemua peserta membeli serentak tiket dan menempah seberapa segera tiket sebelum keesokan harinya,jika tidak pihak agen akan membatalkan tempahan tiket murah tersebut.

Kelam kabut kami dibuatnya dan kami berusaha seberapa segera menyiapkan kertas kerja dasar untuk urusan pencari dana kewangan.Mujur saya ada kkd perancangan kembara saya dan beberapa orang sahabat ke Turki yang dirancang sebelum ini tetapi telah dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.KKD itu telah diubah suai untuk kembara MTDS ini dan di faks kepada beberapa pihak terutamanya pihak yang kami jumpa sepanjang siri majlis-majlis ilmu sekitar Kuala Lumpur yang kami ikuti sebelum ini.

Kami sedar masalah kewangan bakal membantutkan perancangan kembara kami ke Turki.Dalam siri mesyuarat seterusnya,masalah kewangan dan pencarian dana tajaan inilah yang menjadi topik utama.Kami semua berusaha mencari sesiapa jua dan mana-mana pihak yang boleh membantu menaja kembara kami ke Turki.Dengan masa yang semakin suntuk,agar sukar untuk mendapatkan ribuan ringgit untuk tempahan tiket kapal terbang tersebut.Yang sebenarnya kami hanya memerlukan tajaan tambang tiket kapal terbang pergi balik dari Kuala Lumpur ke Istanbul sahaja memandangkan sebaik sahaja kami tiba di Turki,semua perbelanjaan ditanggung percuma kecuali sedikit bayaran untuk pengangkutan dan urusan pembelian peribadi.

Saya sendiri telah mula memikirkan untuk membatalkan rancangan kembara ke Turki ini.Saya telah memaklumkan kepada Fatih Abi dan sahabat-sahabat yang lain bahawa saya tekad membatalkan hasrat kembara ke Turki kali ini dan kini mahu fokus menyiapkan tesis Master.Hari-hari seterusnya saya berulang-alik ke Universiti Malaya untuk urusan menulis tesis manakala sahabat-sahabat yang lain yang tekad meneruskan kembara ke Turki sering mengadakan siri mesyuarat perancangan kembara ke Turki tersebut.Sahabat-sahabat yang akan meneruskan kembara ke Turki,mendapat dana kewangan melalui duit poket sendiri dan meminjam wang saudara mara mereka.Beberapa orang sahabat yang pada mulanya bercadang mengikuti kembara ini telah pun membatalkan hasrat tersebut termasuk saya atas sebab masalah kewangan dan pelbagai masalah lain.

Tiba-tiba pada suatu hari,Ammar telah menelefon saya memaklumkan Fatih Abi tetap memujuk saya untuk bersama mengikuti kembara MTDS ke Turki nanti.Katanya,Fatih Abi sedia membantu menempah tiket kapal terbang ke Turki untuk saya menggunakan wangnya sendiri atau wang MTDS terlebih dahulu dan boleh membayar kemudian bila-bila selepas pulang dari Turki .Fatih Abi tidak sampai hati membiarkan saya tidak dapat mengikuti kembara MTDS ke Turki ini . Alangkah terkejutnya saya mendengar berita baik ini lantas kepala otak saya kini hanya memikirkan satu perkara iaitu misi kembara ke Turki. Yang sebenarnya saya sudah pun menjejakkan kaki ke Turki selama seminggu pada tahun 2007 dahulu sewaktu mengikuti rombongan PKPIM-ABIM-WADAH ke International Conference on Islamphobia anjuran UNIW di Istanbul.Cuma kembara MTDS kali ini agak berbeza dengan majoriti yang mengikutinya merupakan anak muda dan tempoh kembara di Turki kali ini pula jauh lebih lama daripada tahun 2007 dahulu.

Selepas Ammar memaklumkan tentang urusan tambang tiket tersebut,Saiful Ridzuan pula menelefon saya bertanyakan tentang maklumat passport untuk urusan tempahan tiket.Ammar dan Saiful Ridzuan yang banyak membantu saya dalam urusan tempahan tiket ke Turki. Saiful Ridzuan telah bertanya saya tentang tarikh pulang ke Malaysia selepas tamat kembara pendidikan MTDS nanti samada mahu pulang tarikh yang sama dengan sahabat-sahabat lain iaitu pada 4 Julai atau tidak.Saya menyedari tarikh tamat kembara MTDS dengan 2 lagi program yang saya tahu iaitu Devan Educational Forum anjuran Hayret Vekfi dan International Youth Gathering anjuran UNIW sangat dekat dan kebetulan kedua program ini juga bakal diadakan di Istanbul.

Jadi saya memberitahu Saiful Ridzuan saya hanya akan pulang pada 21 Julai selepas menghitung hari tamatnya IYG dan tambahan 3-4 hari lagi di Istanbul.Ini bermakna selepas 2 minggu bersama rombongan MTDS,saya akan meneruskan lagi kembara ilmu dengan mengikuti Devan Educational Forum selama 1 minggu dan IYG juga selama 1 Minggu dan mempunyai baki 3-4 hari untuk program bebas-sendiri di Istanbul nanti.Yang sebenarnya saya belum pun mendaftar untuk mengikuti kedua-dua program ini bahkan tarikh tutup pendaftaran kedua program ini sudah pun tamat tetapi saya merancang untuk memaklumkan terus kepada urusetia tertinggi kedua program tersebut yang saya telah kenali sebelum ini dengan harapan penuh dapat mengikuti kedua-dua program tersebut.

Selepas beberapa seketika,Saiful Ridzuan menelefon saya kembali memaklumkan urusan tempahan tiket sudah selesai dan ini membuatkan saya menjadi lebih yakin bahawa saya memang akan mengikuti kembara ilmu ke Turki ini.Selagi belum selesai urusan pembelian tiket selagi itu saya masih was-was samada saya boleh mengikuti kembara MTDS ke Turki atau tidak.

Selepas urusan tempahan tiket selesai dan saya sudah mendapat kepastian dapat mengikuti kembara ilmu ke Turki,saya kembali bersama sahabat-sahabat yang lain untuk merancang perjalanan dan persiapan ke Turki.Kami kadangkala bermalam di rumah sahabat Turki di Apartment Idaman di Gombak untuk siri mesyuarat di samping siri mesyuarat santai di restoran mamak.

Pihak MTDS juga telah mengadakan satu siri perjumpaan dan perkongsian bersama Prof Bukhari Lubis dan IR Kamaluddin dan program perkongsian ini telah dihadiri oleh semua yang bakal mengikuti lawatan pendidikan MTDS nanti.Perjumpaan ini menjadi perjumpaan terakhir rombongan kembara MTDS sebelum berangkat ke Turki nanti.

Say hanya memaklumkan kepada keluarga saya tentang kembara ke Turki ini selepas kesemua urusan terutamanya urusan tempahan tiket kapal terbang selesai.Ayah saya mencadangkan saya untuk terus ke Kaherah Mesir dari Istanbul selepas tamat 2 minggu kembara pendidikan MTDS untuk melawat saudara mara di sana tetapi pesawat yang kami naiki,Uzbekistan Airways tidak mempunyai perjalanan ke Kaherah ,dan saya memang berhasrat tinggal lebih lama di Turki terutamanya untuk mengikuti program IYG 6 di Istanbul selepas mengikuti IYG 5 di Maghribi dahulu(Februari 2011).

Saya juga memaklumkan kepada sahabat-sahabat PKPIM pada minit-minit akhir walaupun sedar PKPIM sibuk dengan persiapan Ijtima Haraki 2 PKPIM-ABIM-WADAH.Agak serba salah dan dilema juga saya memandangkan saya telah dilantik sebagai salah seorang ajk untuk muktamar PKPIM terakhir bagi saya nanti tetapi memandangkan ini merupakan peluang keemasan saya untuk ke Turki mengikuti 3 program bermakna sekaligus dengan tajaan sepenuhnya sepanjang berada di Turki,saya terpaksa membuat pilihan dan pilihan saya ialah kembara ilmu ke Turki.

Saya juga telah menelefon penyelia master saya sehari sebelum berangkat ke Turki untuk memaklumkan kepada beliau tentang kembara sebulan saya di Turki.Tesis master saya sebenarnya tinggal di peringkat akhir untuk disiapkan sepenuhnya dan saya akan menyiapkan sepenuhnya sebaik sahaja pulang dari Turki nanti.

Dengan baki hari kembara ke Turki semakin hampir,saya ‘beruzlah’ di rumah saya membuat persiapan ke Turki seperti membaca blog-buku-majalah-artikel dalam internet tentang apa jua yang berkaitan Turki dan cuba mempelajari bahasa Turki melalui Youtube.Saya dan sahabat yang lain sempat ke kedutaan Turki di Kuala Lumpur bag mendapatkan maklumat berkenaan Turki dan kami juga sering tidur bermalam di rumah sahabat-sahabat Turki sekitar Gombak dan Bangi.

Saya telah menghubungi kesemua sahabat Turki yang saya kenali sebelum ini melalui email dan paling bermakna melalui Facebook untuk memaklumkan tarikh kehadiran saya ke Turki nanti.Mereka cukup seronok mendengar berita saya mahu ke Turki lantas kami merancang untuk bertemu dimana-mana sekitar Istanbul sebaik sahaja saya tiba di Istanbul nanti.

Dan dengan segala persiapan yang telah dibuat ,saya hanya menanti saatnya saya menjejakkan kaki ke Turki....

Monday, December 24, 2007

Laporan delegasi PKPIM ke International Conference On Islamophobia,Istanbul,Turki


Laporan delegasi PKPIM ke International Conference On Islamophobia,Istanbul,Turki

Oleh

Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad


Pada 8-9 Disember 2007 yang lalu telah diadakan Internasional Conference On Islamophobia anjuran The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW) bertempat di The Grand Cevahir Hotel ,Istanbul,Turki.

Sejumlah 15 orang wakil dari PKPIM,ABIM,WADAH,Yayasan Takmir Pendidikan,dan Global Peace Mission telah mewakili Malaysia pada Internasional Conference On Islamophobia ini. PKPIM telah diwakili oleh saudara Khairul Anwar Shazali,Saifullah Zulkifli,dan Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad.

Internasional Conference On Islamophobia ini berjaya menghimpunkan pelbagai Ngo-Ngo Islam dari seluruh dunia dan ia diadakan bertujuan menangkis ancaman Islamophobia terhadap umat Islam seluruh dunia.Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung OIC,Prof.Dr.Ekmeleddin Ihsanoglu.Ucapan pembukaan Internasional Conference On Islamophobia ini telah disampaikan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ,Serdar Muhammed Abdul Kayyum Khan,mantan Presiden Kashmir dan penulis terkemuka,Karen Amstrong.

Antara tokoh yang membentangkan kertas kerja pada Internasional Conference On Islamophobia ini ialah Prof Dr.Anis Ahmad dari Pakistan,Prof Dr.Tariq Said Ramadhan dari Switzerland ,William Baker dari Amerika dan wakil-wakil dari Turki,Mesir,ArabSaudi,Perancis,Uruguay,Belanda,Albania,Iran,Jerman,Kuwait,
Jordan,dan lain-lain.Turut me
mbentangkan kertas kerja ialah Ahmad Azzam Abdur Rahman,mantan Presiden ABIM.

Rombongan Malaysia yang turut disertai seorang wakil dari Kemboja bertolak dari KLIA pada pukul 1140 pagi 4 Disember 2007 dengan pesawat Gulf Air ( transit di Bahrain).Perjalanan dari KLIA ke Bahrain memakan masa 8 jam dan kami menginap semalaman di sebuah hotel di sana.Hotel tempat penginapan kami agak mewah walaupun kelihatan didirikan di atas tapak padang pasir dengan dikelilingi oleh pohon-pohon kurma.

Di Bahrain kami sempat melihat usaha penjajahan halus bentuk baru yang mungkin tidak disedari oleh rakyat Bahrain yang kaya –raya dengan hasil minyak .Walaupun majoriti penduduknya beragama Islam tetapi ternyata ekonomi di sana dimonopoli oleh pihak asing seperti Amerika.1 dinar Bahrain bersamaan hampir RM 10 dan disebabkan itu yang kami mampu hanyalah window shopping sahaja.

Dari Bahrain kami menaiki pesawat ke Istanbul dan perjalanan ini memakan masa 4 jam.Tepat pukul 7 malam waktu Malaysia (5 Disember 2007)kami selamat tiba di Istanbul yang agak sejuk dengan turunnya hujan rintik-rintik dan disambut oleh wakil Hayrat Vakfi,Ali Kurt dan lain-lain.

Kami tiba agak awal sebelum program sebenar berlangsung .Mesyuarat Agung UNIW diadakan pada 7 Disember manakala Internasional Conference On Islamophobia berlangsung pada 8 dan 9 Disember 2007.Jadi,kami mengambil kesempatan menziarahi beberapa tempat bersejarah sekitar Bandar Istanbul dan antara tempat yang kami sempat ziarah sepanjang berada di Istanbul ialah Masjid Sultan Sulaiman Agung,Haghia Sophia, Spice Bazaar, Dolmabahce, ,Grand Bazaar, pejabat Al-Ansar dan Hayrat Vakfi

Ziarah kami di Istanbul menjadi lebih bermakna dengan bantuan Murat ,pemandu pelancong dari Turki yang berkebolehan bertutur beberapa bahasa selain bahasa Turki seperti bahasa Melayu ,Indonesia,Urdu,Arab,dan English.Beliau pernah menuntut di Islamabad ,Pakistan, dan pernah tinggal di Acheh bahkan sempat melihat mayat-mayat mangsa Tsunami.

Kami agak kagum dengan senibina masjid terbesar di Turki,Masjid Sultan Sulaiman Agung atau Sulaymaniye Mosque(1550-1557)yang dibina oleh arkitek Sinan tatkala zaman Uthmaniyah.Terdapat 4 menara yang menjadi simbol masjid ini dan apa yang menariknya ialah masjid inidibina penuh teliti dan tahan gempa bumi.Reka bentuk masjid ini dengan menara dan tiangnya,tulisan-tulisan khat yang menghiasi dinding,lampu dan kubahnya cukup mengagumkan mata memandang.Jika ramai yang mengunjungi masjid ini sekalipun ,suara seseorang dalam masjid ini tetap mampu bergema . Murat turut menceritakan antara rahsia rekabentuk masjid ini iaitu bagaimana batu dinding masjid ini yang diambil dari gunung dan yang lebih mengagumkan bagaimana telur burung unta yang dicampur tanah digunakan dalam membina masjid ini .Ini membuatkan ia tahan lama dan turut mampu menghalang labah-labah daripada membuat sarangnya.

Menurut Murat lagi di Istanbul ini sahaja terdapat lebih 2000 masjid bersejarah yang kebanyakannya peninggalan Empayar Uthmaniyah dahulu.Masjid pada zaman Uthmaniyah dahulu memainkan peranan besar bukan sahaja tempat menunaikan ibadat seperti solat bahkan berperanan sebagai satu kompleks yang lengkap dengan hospital,universiti,pusat-pusat kemasyarakatan dan lain-lain.Melalui sistem wakaf dengan terdirinya 272 kampung wakaf,gaji imam, para ustaz dan doktor dibayar.

Haghia Sophia pula dikatakan dibina sebelum zaman Rasulullah dan ia merupakan bangunan bersejarah bekas gereja yang kemudiannya dijadikan masjid dan kini dijadikan sebagai muzium.Di sinilah kami dapat menyaksikan budaya Islam dan Kristian bersama di satu bangunan .Sultan Mohamad Al-Fateh dikatakan menunaikan solat Jumaat pertama nya di Haghia Sophia tatkala membuka Constantinaple seawall usia 21 tahun.Kami turut berasa kagum dengan bangunan penuh sejarah ini dengan kubah yang disalut emas dan permata, dinding tebal serta dihiasi batu marmar yang cukup cantik .Tatkala musim panas,seseorang yang berada dalam Haghia Sophia tetap akan berasa sejuk begitu juga sebaliknya dan seperti Masjid Sultan Sulaiman Agung,Masjid Biru dan lain-lain bangunan bersejarah di Turki,ia mempunyai rahsia senibina yang tersendiri.

Agak ramai pelancong luar negara yang melawat Haghia Sophia ini dan kami sempat melihat sekumpulan pelawat yang meletakkan ibu jari mereka di lubang sebuah dinding dan memusingkannya 360 darjah kerana mengikut pegangan Kristian,niat dan hajat seseorang itu akan terkabul dengan melakukan perbuatan tersebut.Turut kami saksikan di Haghia Sophia ialah beberapa lukisan bersalut emas yang dikatakan lukisan wajah nabi Isa dan Maryam mengikut kepercayaan Kristian.. Para pelawat tidak dibenarkan menggunakan ‘flash’ tatkala mengambil gambar lukisan tersebut.

Bertentangan dengan Haghia Sophia ialah masjid biru(Blue Mosque) yang cukup cantik dan tersohor itu dan kami tidak berpeluang mengunjunginya memandangkan kesuntukan masa.

Kami sempat mengambil peluang untuk membeli belah dan mendapatkan barang-barang kenangan di Spice Bazaar(Egyptian bazaar) dan juga di Grand Bazaar. Pelbagai barang hiasan,kraftangan Turki,teh,makanan dan kuih muih dijual disini dan para peniaga disini cukup ramah dan mesra dalam membuat tawar menawar. Ada juga peniaga yang sebaik sahaja mengetahui kami dari Malaysia cuba untuk bertutur sepatah dua dalam bahasa Melayu. Kami mendapati pasar lama ini menjadi tumpuan para pelancong untuk membeli belah.

Kami turut berkesempatan menziarahi Dolmabahce Palace iaitu istana mewah yang dibina antara tahun 1843 hingga 1856 ketika pemerintahan Sultan Abdul Majid.Mustafa Kamal Ataturk pernah menginap ,melakukan beberapa kerja penting bahkan mati di istana mewah ini pada tahun 1938.Kami diminta membalut kasut kami dengan plastik yang disediakan tatkala masuk ke istana ini.Istana ini kini diletakkan di bawah kawalan Parlimen Turki.Kami seakan-akan tidak percaya apabila dapat menjejakkan kaki ke istana yang cukup mewah dan cantik ini.Pelbagai hadiah milik raja-raja terdahulu seperti kulit beruang hadiah daripada kerajaan Rusia,hadiah daripada kerajaan China,India dan lain-lain dipamerkan di istana yang dikawal ketat ini.Dinding-dinding yang disalut emas,hiasan-hiasan seperti lampu,pasu,lukisan,jam,langsir,meja,kerusi, dan lain-lain yang cukup mewah dan mahal memenuhi setiap sudut istana ini.Turut terdapat dalam istana ini ialah perpustakaan khas tempat belajar yang sarat dengan kitab-kitab lama,tempat mandi khas diperbuat daripada batu marmar, ruang pesta raja dihiasi permaidani cantik yang cukup besar dan lain-lain lagi lambang kemegahan dan kemewahan mungkin juga lambang keangkuhan dan kesombongan raja-raja silam.

Pada 7 Disember 2007,kami telah menghadiri mesyuarat agung UNIW bertempat di pejabat Al-Ansar berdekatan Masjid Sultan Sulaiman Agung.Tanpa disangka kami terjumpa dengan Andika,pelajar dari Indonesia yang baru 8 bulan belajar di Turki ini sebaik sahaja selesai menunaikan solat jumaat di masjid Sultan Sulaiman Agung ini.

Al-Ansar menjadi tumpuan muda-mudi Turki untuk berkumpul dan mengadakan program-program pendidikan.Mesyuarat Agung UNIW ini berlarutan panjang dengan peserta-peserta dari pelbagai negara mengemukan pandangan,kritikan dan cadangan .Pada malam tersebut pula,.para peserta diraikan dalam makan malam mengalu-alukan kehadiran semua peserta .Makan malam tersebut turut diisi dengan ceramah oleh William Baker,Presiden Christians and Muslims for Peace(CAMP)yang mengupas tentang hubungan Islam dan Kristian dalam mewujudkan keamanan di dunia ini,isu Palestin dan lain-lain.

Pada 8 Disember 2007,bermulanya International Conference On Islamophobia yang diadakan di The Grand Cevahir Hotel,Istanbul tempat para peserta termasuk kami menginap.Para peserta dilengkapi dengan alat penterjemahan memandangkan para pembentang kertas kerja dalam International Conference On Islamophobia ini menggunakan 3 bahasa berbeza iaitu bahasa Turki,bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Kebanyakan pembentang kertas kerja membicarakan soal punca berlakunya Islamophobia,ancaman Islamophobia berdasarkan pengalaman di negara-negara tertentu,islamophobia dan kaitannya dengan hak asasi manusia,kesan politik dan sosial akibat ancaman islamophobia dan juga jalan penyelesaian dalam mengatasi ancaman Islamophobia terhadap umat Islam seluruh dunia.

.Pada sesi malam hari pertama pula para peserta dihiburkan dengan persembahan budaya Turki dengan alunan muzik menggunakan gambus,kompang dan lain-lain.

Kami berasa bertuah kerana diberi pendedahan berkenaan islamophobia dan juga berkesempatan bergaul dengan tokoh-tokoh dan juga peserta-peserta yang mewakili ngo-ngo Islam serata dunia.Kami sempat bertukar-tukar kad nama dan bergambar kenangan dengan para perwakilan International Conference On Islamophobia ini.

Kami juga telah diraikan dalam majlis makan malam penutup bersempena International Conference On Islamophobia di sebuah tempat atas bukit berhadapan laut Selat Bosporus, pemisah antara Istanbul bahagian Asia dan Istanbul bahagian Eropah yang mana kami dapat menyaksikan pemandangan waktu malam Istanbul yang cukup indah .Kami turut dihadiahkan sebuah buku yang cukup besar berkenaan Istanbul hadiah dari Chamery Commerce Istanbul.

Pada hari terakhir sebaik sahaja check out dari The Grand Cevahir Hotel,Istanbul,kami terus mengunjungi ibu pejabat Hayrat Vakfi,sebuah ngo Islam di Turki yang mengikut aliran pemikiran tokoh terkemuka,Badiuzaman Said Nursi.Para pengikut Badiuzaman Said Nursi yang popular dengan Risalah An-Nur ini digelar Nurju.Bangunan pejabat Hayrat Vakfi ini dari luar kelihatan kecil tetapi dalamnya sangat besar , luas dan sangat cantik senibinanya.

Kami cukup kagum dengan usaha ngo islam ini yang banyak menekankan soal dakwah dan pendidikan terutamanya dengan menggunakan wasilah media dengan penerbitan-penerbitan majalah,buku dan penterjemahan karya-karya seperti Risalah An-Nur tulisan Badiuzzaman Said Nursi.

Tepat pukul 8.20 malam waktu Malaysai(10 Disember 2007),kami meninggalkan bumi Istanbul,Turki menuju ke Bahrain(transit sebentar) sebelum menuju ke tanah air dan akhirnya tiba di KLIA pada pukul 9.05 pagi waktu Malaysia(11 Disember 2007).

Kunjungan singkat ke Istanbul,Turki ini cukup bermakna buat kami semua.Semoga segala ilmu dan pengalaman melihat kesan-kesan peninggalan tamadun silam dan gerak kerja gerakan Islam di Turki dapat menyuntik semangat kami untuk terus berjuang memartabatkan Islam di tanah air tercinta.Semoga kami mewarisi semangat anak muda Sultan Mohamad Al-Fatih,keberanian Sultan Abdul Hamid,dan kepintaran Badiuzaman Said Nursi.


(www.ilmuwan-w.blogspot.com)

Wednesday, December 19, 2007

Perjumpaan pertama delegasi Malaysia sebelum ke Istanbul,Turki







23 November 2007,Anjung Rahmat,Gombak

Hari ini saya hadir ke Anjung Rahmat,Gombak(Pejabat En..Azzam Abdur Rahman- Mantan Presiden ABIM) untuk sesi perjumpaan kali pertama delegasi Malaysia yang akan berangkat ke Istanbul,Turki untuk menghadiri International Seminar On Islamophobia anjuran The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW)pada 8-9 Disember 2007.

Delegasi Malaysia ke International Seminar On Islamophobia ini ialah seramai 16 orang dari keluarga besar PKPIM, ABIM ,WADAH ,Global Peace Mission dan Yayasan Takmir Pendidikan.Kami diberi taklimat berkenaan latar belakang program dan persiapan yang perlu dilakukan sebagai persediaan ke Turki nanti oleh En.Azzam .

Menurut En.Azzam ,mesyuarat agung The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW) yang turut diadakan sebelum International Seminar On Islamophobia nanti ialah mesyuarat antara NGO-NGO Islam seluruh dunia yang terbesar selepas kemenangan parti Islam (AKP) di Turki (Kejayaan AKP dalam pilihanraya ,perlantikan Recep Tayyep Erdogan sebagai Perdana Menteri dan Abdullah Gul sebagai Presiden)

Sebelum UNIW ,sudah wujud pertubuhan seperti IIFSO(anjuran Ikhwan)WAMY(Anjuran Kerajaan Saudi) dan UNIW ini pula merupakan NGO Islam anjuran kerajaan Turki.
Umat Islam seluruh dunia kini
meletakkan harapan kepada Turki untuk memimpin Islam.Ketika umat Islam seluruh dunia berada dalam kedudukan paling lemah ,agama Islam tetap berkembang pesat seluruh dunia dan ini adalah bukti kekuatan risalahnya.

.

International Seminar On Islamophobia ini diadakan bagi membincangkan isu Islamophobia yang menjadi ancaman kepada umat Islam seluruh dunia lebih-lebih lagi selepas peristiwa 11 September 2001.Menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk melawan Islamophobia dengan mempamerkan akhlak yang mulia sesuai dengan tuntutan Islam dan bukannya dengan cara keganasan.

Kami diberi peringatan untuk membuat persiapan menghadapi musim sejuk di Turki nanti dan diminta supaya membuat kad nama untuk diagihkan kepada peserta-peserta dari negara-negara lain,membuat catatan peribadi melalui tulisan,gambar-gambar kenangan dan lain-lain yang penting.Sebelum bertolak ke Turki,kami diminta supaya membuat homework berkenaan sejarah Turki terutamanya berkenaan Empayar Uthmaniah,politik semasa Turki terutamanya berkenaan AKP,Refah,Erdogan,Gul,Erbakan dan lain-lain maklumat penting berkenaan Turki.

En.Azzam dalam perjumpaan ini sempat mengupas beberapa hal berkenaan Turki dan saya agak tertarik dengan kupasannya terutamanya berkenaan pertentangan pendekatan politik antara Erdogan dengan Erbakan yang juga merupakan gurunya dari aspek politik.
Beliau turut mengupas berkenaan kumpulan-kumpulan yang mendakwa pengikut Badiuzzaman Said Nursi atau digelar Nurju yang berpecah kepada
7 kumpulan antaranya Hayrat Vakfi dan Fathullah Ghulan.

Ramai orang Turki menyokong Tun Dr Mahathir kerana kelantangannya melawan kuasa besar Barat .Manakala ramai juga yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usahanya cuba menyeimbangkan hubungan antara Islam dan Barat.
Turki pernah
melobi seluruh dunia untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu akrab dengan pimpinan kerajaan Turki sebagai Setiausaha Agung PBB namun ditolak sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bimbang kewibawaannya terjejas jika memimpin pertubuhan boneka seperti PBB.


Ternyata perjumpaan kali pertama delegasi Malaysia ke Turki ini banyak menambahkan ilmu dan maklumat
dan semakin tidak sabar rasanya saya untuk berkunjung ke Turki nanti bagi menambah ilmu dan pengalaman.Dan pastinya ini menuntut saya untuk membuat persiapan sehabis baik sebelum menjejakkan kaki ke bumi Turki nanti agar kunjungan ke sana lebih bermakna.

Jumlah pengunjung

web statistics