Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Showing posts with label Bersama Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Bersama Tokoh. Show all posts

Wednesday, April 23, 2008

Belasungkawa-Al Fatihah

23 April-Al-fatihah buat Rustam A.Sani,penulis prolifik,penganalisis politik,ahli akademik,blogger (anak tokoh pejuang rakyat terkenal,Ahmad Boestaman) yang telah kembali ke rahmatullah pagi ini.

Pada hari sabtu ini sebenarnya Dato Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan 2 buah buku terbaru karangan beliau Social Roots of the Malay Left dan Failed Nation?.

Saya sering juga membaca tulisan beliau dalam akhbar seperti Harakah dan Siasah dan juga di blognya suara-rustam.blogspot.com(satu lagi blog beliau karya-merdeka.blogspot.com)

Malaysia kehilangan seorang lagi tokoh yang cukup berjasa.Semoga Allah mencucuri rahmat beliau.

Tuesday, March 25, 2008

Kenangan bersama Ustaz Dahlan Arshad

Gambar dari kiri :(Ustaz Dahlan Arshad,Khairul Anwar Shazali,Saifullah Zulkifli)

Senyumannya manis. Raut mukanya ceria.Ada ‘Nur’ disebalik wajahnya.Janggut,misai dan rambutnya sudah putih beruban.Memang dia sudah agak berusia;tua hampir mencecah usia 80 tahun(76 tahun ketika itu).Namun langkahnya masih cergas bak seorang pemuda.Sepatah kata-katanya sarat dengan ilmu dan penuh makna.Intonasi suaranya tatkala berbicara masih bertenaga bagai seorang pemidato hebat memukau para pendengar.Dia dengan penuh tawaduk seakan-akan mahu berkongsi segala idea,pemikiran dan pengalamannya dengan pemuda seperti saya.Inilah dia Ustaz Dahlan Arshad.

Di lobi hotel grand madya ,Istanbul Turki itu menyaksikan pertemuan saya dengan beliau yang turut serta bersama rombongan Malaysia (PKPIM-ABIM-WADAH-Yayasan Takmir pendidikan-Global peace Mission)ke International Seminar On Islamophobia anjuran The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW)pada 7-9 Disember 2007.

Sepanjang perjalanan saya hampir seminggu di kota Istanbul,Turki,saya banyak menghabiskan masa bersama dengan ustaz Dahlan Arshad ini.Banyak ilmu dan pengalaman yang dapat saya kutip hasil perbincangan dan sembang-sembang dengan beliau.

Teringat saya ketika menanti masuknya waktu solat subuh di sebuah masjid berdekatan hotel penginapan kami,Ustaz Dahlan menunjukkan saya beberapa hiasan ‘frame’ayat Al-Quran yang diletakkan di dinding masjid sambil menceritakan bagaimana usaha secara halus menghilangkan minat umat Islam untuk mendalami dan memahami Al-Quran iaitu dengan menulis ayat-ayat Al-Quran dengan tulisan ejaan Turki bukannya dengan bahasa Arab Al-Quran.Beliau juga sempat berbicara tentang kepentingan memperjuangkan tulisan jawi di Malaysia dalam usaha mendekatkan umat kepada Al-Quran.

Tatkala berhenti rehat ketika International Seminar On Islamophobia pula ,saya bersembang panjang dengan Ustaz Dahlan di luar dewan seminar tentang pelbagai topik dan saya masih ingat antaranya tentang tulisan khat yang mana di tingkat bawah dewan seminar tersebut terdapat pameran tulisan khat karya penulis khat Turki yang cukup kreatif dan penuh seni .

Kami masih bersembang di luar dewan tatkala seminar bersambung semula sambil mendengar dan menonton seminar tersebut melalui skrin tv di luar dewan dan kebetulan perwakilan yang berucap ketika itu merupakan seorang wanita.Ustaz Dahlan menimbulkan persoalan mengapakah tiada wakil wanita dari Malaysia yang berucap dalam seminar bertaraf antarabangsa tersebut.Beliau mengimbas kembali bagaimana suatu ketika dahulu Malaysia mempunyai tokoh pemidato wanita yang cukup hebat dan lantang bersuara seperti Khalijah Salleh(Saya masih mencari maklumat berkenaan beliau).Bagi beliau gerakan dakwah di Malaysia perlu mengenengahkan lebih ramai tokoh-tokoh dari kalangan wanita di seminar dan program antarabangsa seterusnya menjalinkan hubungan dan membina jaringan dengan organisasi wanita Islam seluruh dunia.

Saya juga mengambil kesempatan bertanya kepada beliau tentang gerak kerja dakwah pada zaman beliau dahulu dan beliau juga banyak menekankan keperluan generasi kini untuk terus membaca karya-karya tokoh-tokoh terdahulu terutamanya kitab-kitab tafsir dan saya sengaja meminta pandangan beliau tentang kitab tafsir yang paling bagus untuk dihadam oleh generasi muda kini dan jawapan yang keluar dari mulut beliau ialah kitab karangan Syed Qutb,Tafsir Fi Zilalil Quran.Saya memberitahu beliau yang saya juga pernah membaca karya tersebut dalam bahasa Melayu dan beliau menasihatkan saya supaya cuba sedaya upaya membaca karya tersebut dalam versi bahasa asalnya iaitu dalam bahasa Arab memandangkan karya tersebut memuatkan ilmu yang cukup bermanfaat dengan unsur sastera yang tiada tolok bandingnya itu.

Mendengar tutur kata Ustaz Dahlan Arshad cukup mengasyikkan.Bahasa Melayu beliau cukup teratur,penuh sastera dan beliau juga sangat fasih dengan bahasa Arab dan juga bahasa Inggeris.Sesekali terkeluar dari mulut beliau ayat suci Al-Quran dengan tafsirannya sekali untuk menguatkan hujah dan juga pepatah-pepatah Arab dan Inggeris memaniskan lagi bicaranya.

Antara yang turut membentangkan kertas kerja pada International Seminar On Islamophobia ini ialah cucu kepada Almarhum Hassan Al-Banna iaitu Tariq Ramadhan.Ustaz Dahlan Arshad pernah bekerja dan rapat dengan ayah Tariq Ramadhan dan beliau memberitahu saya beliau rasa berat hati untuk berjumpa dengan Tariq Ramadhan memandangkan beliau akan terimbas kenangan silam beliau bersama ayah Tariq Ramadhan apabila melihat wajah Tariq Ramadhan yang bagi nya ayah Tariq ramadhan cukup mulia akhlaknya dan pemergiannya ke rahmatullah cukup menyedihkan hati beliau.

Dato Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir ke seminar tersebut juga cukup rapat dengan ustaz Dahlan Arshad .Dan saya melihat ustaz Dahlan sanggup berdiri menunggu agak lama untuk bertemu dengan beliau di luar bilik khas media tatkala Dato Seri Anwar Ibrahim diwawancara oleh para wartawan seluruh dunia.

‘Kalau ada ilmu tetapi tak sihat,susah juga…’Begitulah lebih kurang kata-kata ustaz Dahlan Arshad tatkala kami berada dalam van sebaik sahaja selesai melawat Hayret Vekfi,sebuah NGO Islam yang mengikuti aliran pemikiran Badiuzaman Said Nursi.
Beliau nampaknya begitu menekankan aspek kesihatan yang sering diabaikan oleh pendokong gerakan Islam.Mungkin sebab menjaga kesihatanlah beliau walaupun sudah tua tetapi tetap cergas dan sihat walafiat.

Saya juga masih teringatkan nasihat beliau berkenaan pentingnya kita mempunyai 'critical mind'.(untuk maklumat lanjut berkenaan 'critical mind',boleh klik(http://www.criticalthinking.org/resources/articles/critical-mind.shtml)
Menurut Ustaz Dahlan,beliau semenjak dahulu mempunyai 'critical mind' dan bagi beliau pemikiran sebegini amat penting bagi seseorang terutamanya pendokong gerakan dakwah.


Begitulah sedikit kenangan saya dengan ustaz Dahlan Arshad.Bila agaknya saya berpeluang bertemu dengannya sekali lagi ya?....Saya rindu sekali untuk menadah sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman daripadanya.Orang tua ini bukan sebarangan orang.Tua mungkin fizikalnya.Tetapi ‘muda’ pemikirannya....

-------------------------------------------------------------------------------------------


-Petikan tulisan Mohd Rumaizuddin Ghazali (mantan Timbalan Presiden ABIM) dalam Pemikiran Al-Qaradawi : (Siri 2) - Sejarah Hidup dan Pemikiran (http://www.abim.org.my/minda_madani/modules/news/article.php?storyid=112)

Rakan-rakannya(Yusuf Qardhawi)

Antara rakan-rakan karibnya ialah Abdullah Uqail, Ahmad Asal, Abdul Wahab al-Batattuni, Muhammad Saftawi, Abdul Wadud al-Syalabi . Manakala rakannya dari Malaysia.ialah Ustaz Dahlan Arshad yang merupakan kenalan mereka sejak tahun 1970an ketika al-Qaradhawi datang ke Malaysia dan beliau merupakan orang yang dipercayai oleh al-Qaradhawi untuk menterjemahkan ceramahnya apabila al-Qaradhawi berada di Malaysia.

23 Mac 2008
1.05 am
Kolej Kediaman Ungku Aziz

Sunday, March 16, 2008

MB baru Kedah Darul Aman


Baru 3@4 bulan yang lalu saya terserempak dengan beliau di sebuah restoran mamak berdekatan Hospital Tawakkal di Kuala Lumpur.Memakai jubah putih ,duduk bersama sahabat-sahabatnya bersembang sambil mengenakan teh tarik di restoran mamak.Kini beliau telah diamanahkan sebagai Menteri Besar Kedah Darul Aman.Selamat menunaikan amanah Ustaz Azizan Abdur Razak!!!

klik disini untuk biodata ringkas beliau:-

http://ms.wikipedia.org/wiki/Azizan_Abdul_Razak

Thursday, February 21, 2008

Kenangan bersama Syeikh Wahbah Zuhayli


Antara Ulama terkenal yang hadir di Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar di KLCC baru-baru ini ialah Syeikh Wahbah Zuhayli.Namanya sering disebut-sebut oleh para ustaz saya di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong.Di rumah saya juga terdapat kitab tafsir Al-Quran ,Tafsir Al-Munir karangan beliau yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan kerjasama Intel MULTIMEDIA AND PUBLICATION (iMAP).Tafsir ini telah menjadi rujukan utama dalam pengajian tafsir kontemporari.

Tatkala multaqa berhenti rehat untuk makan tengahhari,tanpa diduga saya bertembung dengan ayah saya yang sedang mengiringi Syeikh Wahbah Zuhayli.Lantas saya bersalaman dengan Syeikh Wahbah Zuhayli setelah diperkenalkan oleh ayah saya.Rasa terkejut juga bertemu dengan ulama besar ini buat pertama kali namun ada sesuatu yang lebih mengejutkan lagi.

Malam itu saya turun berseorangan untuk makan malam di tempat yang disediakan khas untuk peserta multaqa di Hotel Traders,KlCC.Ketika sedang khusyuk menjamu makan malam yang cukup enak,mata saya terpandang kepada wajah bercahaya seorang tua yang juga sedang duduk berseorangan menjamu hidangan makan malam.Syeikh Wahbah Zuhayli rupa-rupanya !!.

Saya pada mulanya teragak-agak untuk meluru ke arah beliau memandangkan beliau sedang menjamu selera.Namun bagi saya inilah peluang keemasan untuk bersua muka dengan beliau lantas saya meninggalkan hidangan makan malam saya dan tanpa rasa malu terus duduk di kerusi bersebelahan beliau.

Saya memperkenalkan diri dan terus bersembang-sembang lingkungan 5-10 minit dengan beliau sambil beliau menjamu buah-buahan.Saya sempat
bertanya tentang keadaan tanah air beliau di Damsyik,Syria ,memaklumkan kepada beliau cita-cita saya untuk melanjutkan pelajaran dalam pengkhususan tafsir al-quran,dan tentang tafsir beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu .

Beliau juga seperti berminat untuk bersembang walaupun kelihatan keletihan dengan bertanyakan saya beberapa soalan berkenaan Malaysia antaranya soal cuaca,tentang geografi(sedikit sukar saya terangkan dalam bahasa Arab),mata wang,dan beberapa soalan lain yang menunjukkan minat beliau terhadap negara Malaysia.Maka tidak peliklah belaiu menaruh harapan cukup tinggi agar malaysia menjadi negara Islam moden suatu masa nanti.

Kesempatan bertemu Syeikh Wahbah Zuhayli walaupun sebentar memberikan kenangan yang cukup indah juga satu suntikan motivasi kepada saya agar terus istiqamah berjuang menuntut ilmu seterusnya mengamalkannya lantas memberi manfaat kepada umat keseluruhannya.Hidup sebagai ulama'.Mati sebagai Syuhada'.Insya Allah.

Terserempak dengan Habib Umar dalam lif....


Habib umar bin mohd bin salim bin hafiz.Nama pendakwah terkenal dari Yaman ini sering saya dengar.Dikatakan beliau keturunan dari Rasulullah.Wallahualam.

Baru-baru ini beliau telah berkunjung ke Malaysia dengan jadualnya yang cukup padat.Sebenarnya saya bercadang menghadiri majlis ilmu beliau di Masjid Wilayah tetapi memandangkan bertembung dengan Multaqa Sedunia Alumni AL-Azhar,saya terpaksa membatalkannya.Namun begitu ada peristiwa menarik yang berlaku pada saya tatkala menghadiri multaqa tersebut.

Pada malam hari kedua multaqa,para peserta diraikan dengan makan malam bersama dengan tetamu khas,Syeikh Al-Azhar,Sayyid Tantawi.Sebaik sahaja selesai makan malam,saya pun bergegas menuju ke bilik penginapan di Hotel Trader bersebelahan KLCC.Saya terserempak dengan 3 orang berjubah putih dan berserban (seorang tua dan 2 orang pemuda)sedang menunggu lif dan saya bersama-sama dengan 3 orang tersebut pun menaiki lif yang sama.

Tatkala di dalam lif barulah saya perasan bahawa lelaki tua yang tidak lekang dengan senyuman itu ialah pendakwah terkenal dari Yaman,Habib Umar yang sering saya dengar namanya itu.Lantas saya bertanya untuk lebih memastikan apakah beliau Habib Umar dan beliau mengiyakannya.Saya hanya sempat taaruf ringkas memperkenalkan diri dan memberitahu beliau bahawa saya menuntut di Universiti Malaya jurusan Usuluddin jabatan Al-Quran dan Hadith dan Habib Umar pula membalas dengan beberapa doa.

Saya keluar dari lif itu dengan penuh rasa terkejut juga bertuah kerana sempat berjumpa dan bersembang sepatah dua dengan Habib Umar pendakwah terkenal ini walaupun tidak berkesempatan menghadiri majlis ilmunya di Masjid Wilayah.

Biodata ringkas beliau boleh dibaca di :-

http://www.themodernreligion.com/profile/sh-Al-Habib-Umar.html



Sunday, February 17, 2008

Syeikh Al-Azhar,Sayyid Tantawi

Syeikh Al-Azhar,Sayyid Tantawi antara tokoh ulama yang saya kagumi.Sedikit biodata ringkas beliau saya petik dari laman web YADIM(http://www.yadim.com.my/):-

"Dr. Muhammed Sayyid Tantawi dilahirkan pada 28 Oktober 1928 di kampung Saleem Syarqiyyah, di daerah Tama Governorate Soohaj. Beliau memulakan pendidikan di Institut Agama Iskandariah selepas mendapat pendidikan asas dan menghafaz al Quran di kampungnya.Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya di Fakulti Usulluddin di Universiti Al Azhar pada tahun 1958.

Kebijaksanaannya terserlah apabila beliau berjaya memperolehi dua ijazah sarjana muda setahun kemudian iaitu Ijazah Sarjana Muda (al Aliyah) Usuluddin dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.Tujuh tahun kemudian beliau memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Ilmu Tafsir dan Hadith dengan pangkat Mumtaz (cemerlang) serta menghasilkan tesis berjudul Bani Israel dalam Al Quran dan Sunnah.

Dr. Muhammed Sayyid Tantawi memulakan kerjayanya dengan berkhidmat di Kementerian Waqaf Mesir pada tahun 1964. Selepas berkhidmat sebagai pensyarah di Al Azhar empat tahun kemudian, beliau dipinjamkan ke Universiti Libya dari tahun 1972 hingga 1976.Seterusnya, beliau kembali ke Al Azhar lalu dilantik sebagai Dekan di Fakulti Usulluddin cawangan Asyut. Dr. Muhammed Sayyid Tantawi juga pernah berkhidmat di Arab saudi apabila memegang jawatan Ketua Jabatan Tafsir dan Ilmu-Ilmu al Quran di Universiti Islam Madinah.

Pengalaman beliau berkhidmat di universiti-universiti Islam sedunia sememangnya luas apabila turut pernah menjawat jawatan pensyarah pelawat di Universiti Basrah, Iraq.Pada tahun 1986 beliau dilantik sebagai Mufti Mesir sebelum diberi penghormatan dengan anugerah Imam Besar Masjid Al Azhar dan Sheikh Besar universiti berkenaan oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak, pada 27 Mac 1996. "

Kehadiran saya ke Multaqa Alumni Al-Azhar di KLCC baru-baru ini banyak didorong oleh kehadiran Syeikh Al-Azhar ini.Saya sudah lupa bila kali pertama saya mendengar namanya dan kalau tidak silap mungkin di MTAQ Pulai Chondong dahulu hasil cerita-cerita dari para ustaz(Ustaz di MTAQ ramai yang suka bercerita dalam kelas 'topik luar 'pelajaran seperti pengalaman hidup,politik kenegaraan dan lain-lain .Inilah corak pendidikan yang saya gemari berbeza dengan mereka yang mengajar hanya berpandukan buku teks semata-mata yang akhirnya hanya akan melahirkan para pelajar yang mempunyai 'pemikiran buku teks' dan 'robot-robot' sahaja!!!)
Tatkala 3 bulan berada di Kaherah,Mesir dahulu,saya banyak mempelajari bahasa Arab melalui siri kuliah tafsir Syeik Tantawi di tv Mesir.Kuliah tafsir beliau menjadi 'santapan rohani' saya setiap malam apatah lagi dengan penyampain Syeikh Tantawi yang cukup indah dengan pengolahan dan penafsiran ayat-ayat Quran menggunakan bahasa yang mudah,contoh-contoh yang dekat dengan masyarakat dan dengan nada Syeikh yang lemah-lembut.
Sebaik sahaja Syeikh Tantawi melangkah masuk kali pertama ke dewan persidangan KLCC untuk sesi perasmian Multaqa Alumni Al-Azhar oleh YAB Perdana Menteri,semua mata terpaku kepada beliau.Saya sengaja memilih tempat duduk yang betul-betul berhadapan dengan beliau dari jauh.Mukanya bercahaya dan berseri kelihatan seperti seorang bayi(bayi yang berumur 80 tahun?).Inilah wajah seorang alim pendakwah yang gigih yang tidak mengenal erti penat lelah merantau ke seluruh dunia hanya untuk menyampaikan mesej dakwah berbekalkan keikhlasan kepada Allah.
Pada malam kepulangan Syeikh Tantawi,saya berkesempatan hadir ke KLIA menghantarnya pulang sehingga ke balai menunggu VIP dan Alhamdulillah sempat bersalaman dengan beliau.Sedih juga saya melihat beliau yang sebenarnya demam,selsema dan batuk pada malam tersebut.Semoga tuhan mengurniakan kesihatan kepada beliau agar dapat terus berjuang menyampaikan mesej dakwah Islam meratai ke seluruh alam.Insyaallah.

Thursday, September 13, 2007

Tazkirah politik terbuka..,


Malam ini saya berbuka puasa di Masjid Ar Rahman.Tak sangka agak ramai yang berbuka di sana terutamanya mahasiswa UM(mahasiswa yang nak menjimatkan wang la ni-mana pejuang Melayu yang sering menghunus keris kononnya mahu pertahankan maruah bangsa?Tolonglah anak bangsa mu ini yang berjihad menuntut ilmu di universiti tetapi menghadapi masalah kewangan.....)Takkan nak bantu program hiburan sahaja!!!

Alhamdulillah tak sangka malam ini ada tazkirah (teringat saya kat Kerajaan Selangor ...)dari seorang tokoh yang terkenal yang juga pakar motivasi,Dato Dr.Hasan Ali,Naib Presiden PAS...Ringkas tetapi padat dan penuh makna tazkirah beliau yang begitu menekankan soal pembangunan Ruhiyyah tatkala kita menjalani ibadat puasa di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini.

Sebaik sahaja selesai solat terawih terus sahaja saya meluru ke arah beliau untuk bersalaman dan memperkenalkan diri.Dah besar dah ya!!Itulah ungkapan yang keluar dari mulut beliau tatkala saya memperkenalkan diri.Memang beliau agak rapat dengan ayah saya dan mungkin kali terakhir beliau bertemu saya sewaktu saya masih kecil.

Mendengar tazkirah beliau membuatkan saya terfikir betapa ruginya mengamalkan politik sempit.Dato Dr.Hasan Ali selalu muncul di kaca tv suatu ketika dahulu samada dalam program motivasi ataupun forum perdana ehwal islam.Malangnya selepas terlibat aktif dalam PAS,beliau tidak lagi dijemput sehingga nak masuk universiti pun sukar.Sama nasib dengan pemimpin pembangkang yang lain seperti Dato Seri Anwar Ibrahim,Dato Dr Harun Din,dan lain-lain akibat permainan politik sempit pihak pentadbiran universiti.

Saya yakin kampus universiti lebih ceria dan mahasiswa lebih banyak mendapat manfaat dengan pengamalan politik terbuka tidak seperti sekarang yang agak tertutup,sempit dan jumud sehingga menafikan hak mahasiswa untuk menuntut ilmu dari tokoh-tokoh pilihan mereka!!!

Tuesday, September 04, 2007

Ustaz Nik Mat Derang dalam kenangan

Folder bertajuk PKPIM itu sudah lama tersimpan dalam pendrive saya.(pendrive hadiah soal-selidik buku motivasi Najmil Faiz).Saifullah(Naib Presiden Antarabangsa PKPIM)yang sudi memberi folder tersebut sebagai rujukan memandangkan banyak tulisan-tulisan beliau dan artikel-artikel menarik yang termuat dalam folder tersebut.Setelah sekian lama akhirnya saya menyedari terdapat satu video ceramah Ustaz Nik Mat Yusuf(Derang),satu nama yang sering saya dengar disebut-sebut oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dalam siri ceramahnya dan juga cerita-cerita dari rakan-rakan yang sempat menuntut ilmu darinya.

Dalam video tersebut,Ustaz Nik Mat mengimbas kembali nostalgia di mana ABIM telah mengirim beberapa tokoh-tokohnya seperti Ustaz Fadzil Nor(bekas Presiden PAS,allahyarham ),Ustaz Abdul Hadi Awang(Presiden PAS,kini Dato Seri),Ustaz Nakhaie Ahmad (Yang Dipertua YADIM,kini Dato’) ke dalam PAS untuk memberi nyawa kepada PAS yang hampir tak bernafas selepas di talak 3 oleh Barisan Nasional(PAS menyertai kabinet Barisan Nasional ketika itu). Bagi beliau kemasukan tokoh-tokoh tersebut ke dalam PAS merupakan satu tanggungjawab ABIM .

ABIM tidak sesekali lupa untuk mengirim dana kepada Fadzil Nor yang berada dalam PAS ketika itu. Anwar Ibrahim yang berada dalam UMNO ketika itu pula sentiasa memperingatkan ABIM samaada sudah mengirim dana kepada Fadzil Nor atau belum bahkan beliau turut menyumbang dana milik sendiri kepada Fadzil Nor. Ustaz Nik Mat turut menyentuh prinsip non partisan ABIM yang tidak terikat kepada mana-mana parti dan ternyata ini menguntungkan umat dan memberi faedah kepada perkembangan dakwah.

Menurut Ustaz Nik Mat,beliau seorang sahaja yang tidak bersetuju dengan keputusan ABIM untuk menghantar Fadzil Nor ke dalam PAS .Beliau telah mengangkat tangan untuk membantah keputusan tersebut tetapi Anwar Ibrahim telah mempekenakan beliau dengan mengatakan beliau mengangkat tangan tanda bersetuju.

Ustaz Nik Mat turut membincangkan perihal Anwar Ibrahim yang sebenarnya ditunggu-tungu ramai pihak untuk memimpin PAS.Dan bagi Anwar Ibrahim pula beliau mempunyai wawasan yang cukup besar untuk memimpin Negara bukan setakat memimpin ABIM.Presiden PAS ketika itu Dato Asri Muda pula bersedia pada mulanya untuk mengosongkan kerusi Presiden PAS untuk Anwar tetapi selepas bisikan dari pelbagai pihak beliau tidak bersedia pula.Akhirnya beliau telah meletakkan jawatan dan menurut Ustaz Nik Mat ,beliau sebenarnya mengajuk tetapi tidak ada pula orang yang memujuknya.Akhirnya Fadzil Nor dilantik sebagai Presiden PAS selepas Yusuf Rawa.

Ustaz Nik Mat turut menceritakan bagaimana Anwar Ibrahim yang memimpin ABIM ketika itu akhirnya membuat keputusan yang mengejutkan ramai pihak iaitu menyertai UMNO.Bagi Ustaz Nik Mat itu merupakan strategi Anwar Ibrahim dan di satu pihak pula merupakan strategi Dr Mahathir Mohamad ,Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Dr.Mahatir Mohamad menurut ustaz Nik Mat berasa payah sebenarnya untuk berhadapan dengan Anwar Ibrahim memandangkan Anwar Ibrahim berada di posisi bertentangan dan Dr.Mahathir mempunyai pengalaman tersendiri dengan Anwar Ibrahim.Ustaz Nik Mat menceritakan bagaimana Dr.Mahathir Mohamad yang hampir ditangkap oleh Tunku Abdur Rahman dan yang menyelamatkannya ialah Anwar Ibrahim yang masih bergelar penuntut dan mahasiswa di Universiti Malaya.Dr.Mahathir banyak terhutang budi dan selalu menerima nasihat daripada seorang anak muda iaitu Anwar Ibrahim.

Ustaz Nik Mat turut memperkatakan bagaimana pelabur asing Arab (orang kaya pendokong Ikhwanul Muslimin) merujuk dan bertanya kepada Anwar Ibrahim terlebih dahulu sebelum melabur di Malaysia.Menyedari pengaruh Anwar yang cukup besar maka Mahathir pun memujuk Anwar untuk menyertai UMNO.Tindakan Anwar menyertai UMNO ketika itu antaranya untuk menyelamatkan kerajaan dan Anwar menyedari bahawa kalau beliau duduk dalam pembangkang ketika itu beliau tidak mampu untuk membuat sebarang projek yang menguntungkan umat Islam.

Maka setelah dipelawa oleh Mahathir,beliau akhirnya menyertai UMNO dan ternyata beliau berkemampuan untuk membuat propram-program Islamik.Ustaz Nik Mat menyentuh juga tentang peranan Anwar dalam membuat reformasi pendidikan terutamanya peranan beliau ketika memimpin UNESCO ,satu pertubuhan pendidikan di bawah PBB yang banyak mengikut telunjuk Yahudi dan memperjuangkan sekular.

Ustaz Nik Mat dengan penuh terharu menceritakan detik-detik kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO .Menurut beliau,Anwar sebatang kara ketika membuat keputusan menyertai UMNO.Ustaz Nik Mat yang uzur ketika itu terus berjumpa dan bertengkar dengan Anwar soal kemasukannya ke dalam UMNO namun Anwar dengan kepetahannya menjawab kembali dengan hujah-hujah tersendiri.Menurut Ustaz Nik Mat ,beliau sedikit marah dan penuh emosi ketika mendengar keputusan mengejut Anwar ketika itu namun begitu ,Anwar telah memberi tempoh 6 bulan dan kalau dalam tempoh tersebut belaiu tidak mampu membuat apa-apa perubahan dalam kerajaan beliau akan kembali ke pangkuan ABIM walaupun pulang sebagai kucing kurap dan langsung tidak dipandang apa-apa.Itulah yang paling membuatkan Ustaz Nik Mat berasa terharu dengan prinsip perjuangan Anwar Ibrahim.

Abimlah rumahnya dan kalau terjadi apa-apa kepadanya ABIM lah tempat rujukannya.Dan akhirnya selepas 6 bulan berada dalam kerajaan,Anwar Ibrahim nampak peluang yang agak cerah untuk melaksanakan agenda perubahan beliau dan akhirnya satu persatu perubahan kearah kebaikan dan proses islamisasi dalam kerajaan dapat beliuu jalankan antaranya seperti Universiti Islam,Bank Islam dan paling ditekankan oleh Ustaz Nik Mat ialah tentang reformasi pendidikan Negara yang digagaskan oleh Anwar Ibrahim dan ini dapat dilihat dengan gagasan falsafah pendidikan Negara yang amat bertepatan dengan falsafah pendidikan Islam .

Mendengar buat pertama kali ceramah Ustaz Nik Mat(walaupun bukan secara langsung malah selepas lama beliau pergi ke rahmatullah )membuatkan saya berfikir tentang betapa pentingnya mengenang jasa pejuang-pejuang awal gerakan Islam di Malaysia seperti Ustaz Nik Mat Yusuf ini.Dan inilah yang patut menjadi pedoman kepada anak-anak muda pejuang gerakan Islam terutama di kampus-kampus!!!

2.18 pagi
5 September 2007
Kolej Kediaman Ungku Aziz
Universiti Malaya


Jumlah pengunjung

web statistics