Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Sunday, February 17, 2008

Syeikh Al-Azhar,Sayyid Tantawi

Syeikh Al-Azhar,Sayyid Tantawi antara tokoh ulama yang saya kagumi.Sedikit biodata ringkas beliau saya petik dari laman web YADIM(http://www.yadim.com.my/):-

"Dr. Muhammed Sayyid Tantawi dilahirkan pada 28 Oktober 1928 di kampung Saleem Syarqiyyah, di daerah Tama Governorate Soohaj. Beliau memulakan pendidikan di Institut Agama Iskandariah selepas mendapat pendidikan asas dan menghafaz al Quran di kampungnya.Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya di Fakulti Usulluddin di Universiti Al Azhar pada tahun 1958.

Kebijaksanaannya terserlah apabila beliau berjaya memperolehi dua ijazah sarjana muda setahun kemudian iaitu Ijazah Sarjana Muda (al Aliyah) Usuluddin dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.Tujuh tahun kemudian beliau memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Ilmu Tafsir dan Hadith dengan pangkat Mumtaz (cemerlang) serta menghasilkan tesis berjudul Bani Israel dalam Al Quran dan Sunnah.

Dr. Muhammed Sayyid Tantawi memulakan kerjayanya dengan berkhidmat di Kementerian Waqaf Mesir pada tahun 1964. Selepas berkhidmat sebagai pensyarah di Al Azhar empat tahun kemudian, beliau dipinjamkan ke Universiti Libya dari tahun 1972 hingga 1976.Seterusnya, beliau kembali ke Al Azhar lalu dilantik sebagai Dekan di Fakulti Usulluddin cawangan Asyut. Dr. Muhammed Sayyid Tantawi juga pernah berkhidmat di Arab saudi apabila memegang jawatan Ketua Jabatan Tafsir dan Ilmu-Ilmu al Quran di Universiti Islam Madinah.

Pengalaman beliau berkhidmat di universiti-universiti Islam sedunia sememangnya luas apabila turut pernah menjawat jawatan pensyarah pelawat di Universiti Basrah, Iraq.Pada tahun 1986 beliau dilantik sebagai Mufti Mesir sebelum diberi penghormatan dengan anugerah Imam Besar Masjid Al Azhar dan Sheikh Besar universiti berkenaan oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak, pada 27 Mac 1996. "

Kehadiran saya ke Multaqa Alumni Al-Azhar di KLCC baru-baru ini banyak didorong oleh kehadiran Syeikh Al-Azhar ini.Saya sudah lupa bila kali pertama saya mendengar namanya dan kalau tidak silap mungkin di MTAQ Pulai Chondong dahulu hasil cerita-cerita dari para ustaz(Ustaz di MTAQ ramai yang suka bercerita dalam kelas 'topik luar 'pelajaran seperti pengalaman hidup,politik kenegaraan dan lain-lain .Inilah corak pendidikan yang saya gemari berbeza dengan mereka yang mengajar hanya berpandukan buku teks semata-mata yang akhirnya hanya akan melahirkan para pelajar yang mempunyai 'pemikiran buku teks' dan 'robot-robot' sahaja!!!)
Tatkala 3 bulan berada di Kaherah,Mesir dahulu,saya banyak mempelajari bahasa Arab melalui siri kuliah tafsir Syeik Tantawi di tv Mesir.Kuliah tafsir beliau menjadi 'santapan rohani' saya setiap malam apatah lagi dengan penyampain Syeikh Tantawi yang cukup indah dengan pengolahan dan penafsiran ayat-ayat Quran menggunakan bahasa yang mudah,contoh-contoh yang dekat dengan masyarakat dan dengan nada Syeikh yang lemah-lembut.
Sebaik sahaja Syeikh Tantawi melangkah masuk kali pertama ke dewan persidangan KLCC untuk sesi perasmian Multaqa Alumni Al-Azhar oleh YAB Perdana Menteri,semua mata terpaku kepada beliau.Saya sengaja memilih tempat duduk yang betul-betul berhadapan dengan beliau dari jauh.Mukanya bercahaya dan berseri kelihatan seperti seorang bayi(bayi yang berumur 80 tahun?).Inilah wajah seorang alim pendakwah yang gigih yang tidak mengenal erti penat lelah merantau ke seluruh dunia hanya untuk menyampaikan mesej dakwah berbekalkan keikhlasan kepada Allah.
Pada malam kepulangan Syeikh Tantawi,saya berkesempatan hadir ke KLIA menghantarnya pulang sehingga ke balai menunggu VIP dan Alhamdulillah sempat bersalaman dengan beliau.Sedih juga saya melihat beliau yang sebenarnya demam,selsema dan batuk pada malam tersebut.Semoga tuhan mengurniakan kesihatan kepada beliau agar dapat terus berjuang menyampaikan mesej dakwah Islam meratai ke seluruh alam.Insyaallah.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics