Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Sunday, February 17, 2008

Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008


15 Februari 2008-Hari ini saya hadir ke Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 anjuran YADIM dan JAKIM dengan kerjasama Universiti Al-Azhar Mesir yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur(KLCC).Sebaik sahaja mendapat maklumat tentang Multaqa ini melalui akhbar,saya terus menghubungi urusetia untuk mendapatkan maklumat lanjut.Saya mendaftar melalui email dan berusaha mengajak seramai mungkin sahabat-sahabat yang lain agar mereka turut hadir ke majlis ilmu penuh bersejarah ini.

Kehadiran Sheikhul Al-Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi menjadi tarikan utama saya untuk hadir ke Multaqa ini.Pada tahun lepas,saya sempat mengikuti rombongan (konvoi) Syeikh Tantawi ke beberapa program sekitar Kuala Lumpur dan menghantar pulang beliau di KLIA.

Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar ini merupakan kali ketiga diadakan, dan yang pertama di luar Mesir. Multaqa bertemakan 'Pendekatan Islam Hadhari, Di antara Warisan dan Cabaran Semasa' itu disertai 1,028 peserta daripada 70 negara yang menghimpunkan ulama lulusan Al-Azhar yang terkemuka di seluruh dunia termasuk Eropah, Amerika, Asia Barat, Afrika dan Asia Tengah.

Antara nama besar yang hadir pada program ini selain Syeikh Sayyid Tantawi ialah Menteri Agama Mesir,Dr.Hamdi Zagzug,Dr.Wahbah Zuhayli dan ramai lagi.Program ini membuka ruang untuk menemukan kembali bekas-bekas pelajar Universiti Al-Azhar dan walaupun saya bukannya alumni Al-Azhar saya tetap merasakan betapa pentingnya hadir ke majlis ilmu ini.Saya mendapat pelbagai mesej jemputan ke majlis ilmu dan ini memaksa saya membuat pilihan mengikut keutamaan dan Multaqa Alumni Al-Azhar ini pilihan utama saya.

Sesi pendaftaran cukup sistematik.Para peserta beratur panjang untuk mendapatkan giliran 'bergambar' untuk mendapatkan kad nama(pass masuk) yang siap secara pantas.Alat penterjemahan(Arab,Inggeris,Melayu) ,beg dan kertas kerja turut disediakan percuma.Dewan persidangan yang agak besar dan cantik dengan segala kelengkapannya yang canggih memudahkan perjalanan Multaqa ini seterusnya memberi keselesaan kepada semua peserta.

Pelbagai kertas kerja dibentangkan oleh perwakilan dari beberapa buah negara dikuti dengan perdebatan,ulasan,cadangan dan kritikan yang merancakkan lagi Multaqa ini.Mujur ada alat penterjemahan yang banyak membantu peserta Multaqa untuk memahami apa yang diperkatakan oleh para ilmuan.


Bersempena dengan Multaqa Alumni Al-Azhar ini juga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Islam kepada Sheikhul Al-Azhar, Dr. Muhammed Sayyid Tantawi .Anugerah berkenaan disampaikan oleh Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin dalam satu Majlis Konvokesyen Khas USIM pada hari kedua multaqa.

Saya rasa cukup bertuah kerana dapat hadir ke program ilmu ini.Pengalaman bertemu dengan tokoh ilmuan -ulama cukup bermakna dan menyuntik motivasi untuk terus berjuang memperkasa diri dengan ilmu.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics