Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Tuesday, March 25, 2008

Kenangan bersama Ustaz Dahlan Arshad

Gambar dari kiri :(Ustaz Dahlan Arshad,Khairul Anwar Shazali,Saifullah Zulkifli)

Senyumannya manis. Raut mukanya ceria.Ada ‘Nur’ disebalik wajahnya.Janggut,misai dan rambutnya sudah putih beruban.Memang dia sudah agak berusia;tua hampir mencecah usia 80 tahun(76 tahun ketika itu).Namun langkahnya masih cergas bak seorang pemuda.Sepatah kata-katanya sarat dengan ilmu dan penuh makna.Intonasi suaranya tatkala berbicara masih bertenaga bagai seorang pemidato hebat memukau para pendengar.Dia dengan penuh tawaduk seakan-akan mahu berkongsi segala idea,pemikiran dan pengalamannya dengan pemuda seperti saya.Inilah dia Ustaz Dahlan Arshad.

Di lobi hotel grand madya ,Istanbul Turki itu menyaksikan pertemuan saya dengan beliau yang turut serta bersama rombongan Malaysia (PKPIM-ABIM-WADAH-Yayasan Takmir pendidikan-Global peace Mission)ke International Seminar On Islamophobia anjuran The Union of NGOs of The Islamic World(UNIW)pada 7-9 Disember 2007.

Sepanjang perjalanan saya hampir seminggu di kota Istanbul,Turki,saya banyak menghabiskan masa bersama dengan ustaz Dahlan Arshad ini.Banyak ilmu dan pengalaman yang dapat saya kutip hasil perbincangan dan sembang-sembang dengan beliau.

Teringat saya ketika menanti masuknya waktu solat subuh di sebuah masjid berdekatan hotel penginapan kami,Ustaz Dahlan menunjukkan saya beberapa hiasan ‘frame’ayat Al-Quran yang diletakkan di dinding masjid sambil menceritakan bagaimana usaha secara halus menghilangkan minat umat Islam untuk mendalami dan memahami Al-Quran iaitu dengan menulis ayat-ayat Al-Quran dengan tulisan ejaan Turki bukannya dengan bahasa Arab Al-Quran.Beliau juga sempat berbicara tentang kepentingan memperjuangkan tulisan jawi di Malaysia dalam usaha mendekatkan umat kepada Al-Quran.

Tatkala berhenti rehat ketika International Seminar On Islamophobia pula ,saya bersembang panjang dengan Ustaz Dahlan di luar dewan seminar tentang pelbagai topik dan saya masih ingat antaranya tentang tulisan khat yang mana di tingkat bawah dewan seminar tersebut terdapat pameran tulisan khat karya penulis khat Turki yang cukup kreatif dan penuh seni .

Kami masih bersembang di luar dewan tatkala seminar bersambung semula sambil mendengar dan menonton seminar tersebut melalui skrin tv di luar dewan dan kebetulan perwakilan yang berucap ketika itu merupakan seorang wanita.Ustaz Dahlan menimbulkan persoalan mengapakah tiada wakil wanita dari Malaysia yang berucap dalam seminar bertaraf antarabangsa tersebut.Beliau mengimbas kembali bagaimana suatu ketika dahulu Malaysia mempunyai tokoh pemidato wanita yang cukup hebat dan lantang bersuara seperti Khalijah Salleh(Saya masih mencari maklumat berkenaan beliau).Bagi beliau gerakan dakwah di Malaysia perlu mengenengahkan lebih ramai tokoh-tokoh dari kalangan wanita di seminar dan program antarabangsa seterusnya menjalinkan hubungan dan membina jaringan dengan organisasi wanita Islam seluruh dunia.

Saya juga mengambil kesempatan bertanya kepada beliau tentang gerak kerja dakwah pada zaman beliau dahulu dan beliau juga banyak menekankan keperluan generasi kini untuk terus membaca karya-karya tokoh-tokoh terdahulu terutamanya kitab-kitab tafsir dan saya sengaja meminta pandangan beliau tentang kitab tafsir yang paling bagus untuk dihadam oleh generasi muda kini dan jawapan yang keluar dari mulut beliau ialah kitab karangan Syed Qutb,Tafsir Fi Zilalil Quran.Saya memberitahu beliau yang saya juga pernah membaca karya tersebut dalam bahasa Melayu dan beliau menasihatkan saya supaya cuba sedaya upaya membaca karya tersebut dalam versi bahasa asalnya iaitu dalam bahasa Arab memandangkan karya tersebut memuatkan ilmu yang cukup bermanfaat dengan unsur sastera yang tiada tolok bandingnya itu.

Mendengar tutur kata Ustaz Dahlan Arshad cukup mengasyikkan.Bahasa Melayu beliau cukup teratur,penuh sastera dan beliau juga sangat fasih dengan bahasa Arab dan juga bahasa Inggeris.Sesekali terkeluar dari mulut beliau ayat suci Al-Quran dengan tafsirannya sekali untuk menguatkan hujah dan juga pepatah-pepatah Arab dan Inggeris memaniskan lagi bicaranya.

Antara yang turut membentangkan kertas kerja pada International Seminar On Islamophobia ini ialah cucu kepada Almarhum Hassan Al-Banna iaitu Tariq Ramadhan.Ustaz Dahlan Arshad pernah bekerja dan rapat dengan ayah Tariq Ramadhan dan beliau memberitahu saya beliau rasa berat hati untuk berjumpa dengan Tariq Ramadhan memandangkan beliau akan terimbas kenangan silam beliau bersama ayah Tariq Ramadhan apabila melihat wajah Tariq Ramadhan yang bagi nya ayah Tariq ramadhan cukup mulia akhlaknya dan pemergiannya ke rahmatullah cukup menyedihkan hati beliau.

Dato Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir ke seminar tersebut juga cukup rapat dengan ustaz Dahlan Arshad .Dan saya melihat ustaz Dahlan sanggup berdiri menunggu agak lama untuk bertemu dengan beliau di luar bilik khas media tatkala Dato Seri Anwar Ibrahim diwawancara oleh para wartawan seluruh dunia.

‘Kalau ada ilmu tetapi tak sihat,susah juga…’Begitulah lebih kurang kata-kata ustaz Dahlan Arshad tatkala kami berada dalam van sebaik sahaja selesai melawat Hayret Vekfi,sebuah NGO Islam yang mengikuti aliran pemikiran Badiuzaman Said Nursi.
Beliau nampaknya begitu menekankan aspek kesihatan yang sering diabaikan oleh pendokong gerakan Islam.Mungkin sebab menjaga kesihatanlah beliau walaupun sudah tua tetapi tetap cergas dan sihat walafiat.

Saya juga masih teringatkan nasihat beliau berkenaan pentingnya kita mempunyai 'critical mind'.(untuk maklumat lanjut berkenaan 'critical mind',boleh klik(http://www.criticalthinking.org/resources/articles/critical-mind.shtml)
Menurut Ustaz Dahlan,beliau semenjak dahulu mempunyai 'critical mind' dan bagi beliau pemikiran sebegini amat penting bagi seseorang terutamanya pendokong gerakan dakwah.


Begitulah sedikit kenangan saya dengan ustaz Dahlan Arshad.Bila agaknya saya berpeluang bertemu dengannya sekali lagi ya?....Saya rindu sekali untuk menadah sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman daripadanya.Orang tua ini bukan sebarangan orang.Tua mungkin fizikalnya.Tetapi ‘muda’ pemikirannya....

-------------------------------------------------------------------------------------------


-Petikan tulisan Mohd Rumaizuddin Ghazali (mantan Timbalan Presiden ABIM) dalam Pemikiran Al-Qaradawi : (Siri 2) - Sejarah Hidup dan Pemikiran (http://www.abim.org.my/minda_madani/modules/news/article.php?storyid=112)

Rakan-rakannya(Yusuf Qardhawi)

Antara rakan-rakan karibnya ialah Abdullah Uqail, Ahmad Asal, Abdul Wahab al-Batattuni, Muhammad Saftawi, Abdul Wadud al-Syalabi . Manakala rakannya dari Malaysia.ialah Ustaz Dahlan Arshad yang merupakan kenalan mereka sejak tahun 1970an ketika al-Qaradhawi datang ke Malaysia dan beliau merupakan orang yang dipercayai oleh al-Qaradhawi untuk menterjemahkan ceramahnya apabila al-Qaradhawi berada di Malaysia.

23 Mac 2008
1.05 am
Kolej Kediaman Ungku Aziz

Saturday, March 22, 2008

Maulidur Rasul 1429 H


Jumaat-hari ini saya hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1429 H anjuran keluarga besar PKPIM-ABIM-WADAH yang diadakan di Anjung Rahmat,Gombak.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran ulama terkemuka(pakar hadith) dari Mesir,Syeikh Dr. Mahmud Said Mamduh Al-Husaini.

Majlis dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan kemudiannya disusuli oleh bacaan maulid dan juga qasidah yang dialunkan beramai-ramai dengan begitu merdu puji-pujian terhadap rasulullah.Syeikh Mahmud telah menyampaikan ceramah maulidur rasul beliau dalam bahasa Arab dan diterjemahkan oleh seorang ustaz(Solahuddin) dan diberi ulasan oleh anak muridnya,Syeikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki.

Dalam ceramah beliau memberitahu para hadirin bahawa majlis pada malam ini mengingatkan beliau suasana sambutan maulidur rasul tatkala beliau menuntut ilmu di Makkah.Beliau juga menceritakan bagaimana kesungguhan ulama-ulama dahulu dalam menuntut ilmu sehingga seluruh usia didambakan kepada majlis-majlis ilmu.

Bagi beliau,Rasulullah perlu dijadikan contoh tauladan kepada umat Islam bukan sahaja bersempena sambutan maulidur rasul sahaja bahkan pada setiap waktu dan saya sangat tertarik dengan kupasan beliau terhadap awal surah Al-Fath yang mana beliau menekankan terhadap ayat yang membicaraka tentang akhlak Rasulullah.

Dalam keghairahan menyambut maulidur rasul sewajarnya kita tidak mengabaikan tentang sejarah perjuangan rasulullah,mencontohi sedaya upaya akhlak Rasulullah dan pastinya ini memerlukan kita menghayati makna Al-Quran memandangkan akhlak Rasulullah itu ialah Al-Quran!!!

Sunday, March 16, 2008

MB baru Kedah Darul Aman


Baru 3@4 bulan yang lalu saya terserempak dengan beliau di sebuah restoran mamak berdekatan Hospital Tawakkal di Kuala Lumpur.Memakai jubah putih ,duduk bersama sahabat-sahabatnya bersembang sambil mengenakan teh tarik di restoran mamak.Kini beliau telah diamanahkan sebagai Menteri Besar Kedah Darul Aman.Selamat menunaikan amanah Ustaz Azizan Abdur Razak!!!

klik disini untuk biodata ringkas beliau:-

http://ms.wikipedia.org/wiki/Azizan_Abdul_Razak

Saturday, March 15, 2008

Hari mengundi PRU 12

Bangun awal nampaknya saya hari ini.Maklumlah bersemangat untuk mengundi kali pertama.Satu undi saya diperlukan oleh kedua-dua calon BN(Tengku Adnan Mansur-bukan nama sebenar) dan PAS(Mohd Nor Mohd) untuk memenangi kerusi Parlimen Putrajaya.

5 undi dari keluarga saya kali ini.Baba dan mama bila ditanya mengundi siapa ?Jawab mereka 'Undi adalah rahsia).Kak Aziziyah dan Zafirah tanpa rasa ragu-ragu lagi menjawab penuh yakin 'mestilah undi ......(tuuuuut...terpaksa ditapis) takkanlah nak undi ..........(tuuuuut...juga ditapis)yang ada saham judi tu.(takkan tak tau lagi,kan)Yang terlibat dengan video VK Lingam tu la....Yang mengaku projek sekolah agama milik JAKIM itu sebagai projek hasil usaha gigih beliau(memang dasar penipu,kan)Yang posternya menghiasi Putrajaya dengan kata-kata keramat (ciplak sebenarnya) dari rakyat kepada rakyat untuk rakyat...('ambil wang dari (hasil usaha)rakyat ,kepada rakyat yang seorang(yakni beliau) untuk (perut) rakyat yang seorang itu'-tafsiran baru)

Sampai sahaja di pusat mengundi,perayu undi BN(dengan muka kesian) menyambut kedatangan kami berlima.'Undi BN ya' kata mereka.Saya hanya tersenyum(penuh makna).Kamera ada ditangan.Saya pun mengambil gambar kenang-kenangan berlatarbelakangkan bendera BN dan PAS .Bergambar sebelum melangkah masuk untuk mengundi.Kelihatan di hujung kawasan yang dibenarkan merayu undi berdekatan pintu masuk pusat mengundi,calon PAS.Tiada kelihatan di situ calon BN.Kami bersalaman.'Undi PAS ya' kata perayu undi(dengan muka lagi kesian).Saya hanya menjawab insyaallah(dalam hati saya menjawab 'memang pun nak undi calon ......(tuuuuut... terpaksa ditapis)

Apapun undi saya yang pertama ini ialah undi untuk perubahan.Bukan undi rosak.Bukan juga undi untuk orang yang rosak akhlak.Bukan juga untuk yang berkiblatkan kepada parti semata-mata tanpa melihat kepada calonnya.

Beruk dan monyet(dan sahabat-sahabat mereka) juga boleh menang jika dicalonkan oleh sesebuah parti seandainya rakyat hanya mengundi hanya berdasarkan ketaksuban kepada sesebuah parti.Betul tak?Cuba bayangkan ya Ahli Parlimen Putrajaya=Seekor beruk (mewakili parti yang lebih beruk daripada beruk kerana membiarkan parti menjadi beruk dengan meletakkan calonnya seekor beruk).....

Hari Penamaan Calon PRU 12

Saya memilih lokasi yang paling dekat dengan UM iaitu Parlimen Lembah Pantai untuk menyaksikan dengan mata kepala sendiri hari penamaan calon PRU 12.Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai hak mengundi(kali pertama) ,saya bersama-sama beberapa orang sahabat yang lain dengan tanpa gusar dan takut dengan 'ugutan mainan' pekeliling universiti (AUKU?)turun menyaksikan 'hari raya pilihanraya di jalan raya' penamaan calon yang menyaksikan anak muda 'puteri reformasi'(Nurul Izzah Anwar-Parti keadilan Rakyat) menentang 'ibu ' nya 'menteri segala wanita'(Shahrizat Jalil-Barisan Nasional).Calon bebas turut bertanding (mungkin untuk memeriahkan suasana pilihanraya-walaupun kehadirannya tidak dirasai....)



Memandangkan lawannya nanti ialah anak muda,nampaknya poster -poster calon BN yang 'tua ' (perasan muda?) itu turut 'dimudakan'.Kelihatan seolah-olah anak muda akan menentang anak muda (yang tua sebenarnya).Ada gambarnya bersama bayi kecil(lambang pengasih ?) ada juga gambarnya bersama warga tua(lambang penyayang?).Berapa banyak agaknya wang (wang rakyat pastinya)dihabiskan semata-mata untuk berkempen sepanjang tempoh berkempen yang singkat itu?Dan jelas sebaik sahaja selesai pilihanraya nanti segala poster-poster ,bendera-bendera yang tidak terkira banyaknya itu hanya akan 'dibakulsampahkan'!!!Membazirkan...(kata rakyat)Apa kata Shahrizat?.....Kitar semula???

Sebelum ke pusat penamaan calon kami melalui kawasan berkumpulnya pendokong Barisan Nasional.Kelihatan di sana lori yang mengagih-agihkan t-shirt percuma!T-shirt tebal ,ada wajah 'Syahrizat dengan dacing-dacingnya'.'Ambil sahaja,orang bagi 'free' kita ambil' kata seorang sahabat saya....'buat baju tidur'!.Betul juga ya!

Kemudiannya kami beralih pula kepada kawasan berkumpulnya 'parti pembangkang' Parti Keadilan Rakyat.Tiada pengagihan t-shirt percuma.Yang ada hanyalah bihun dan air mineral percuma!(Di khemah Barisan Nasional-nasi ayam!).Kelihatan di sana seorang pengetua kolej kediaman UM 'berkeliaran dengan kameranya'.Terlibat juga kamu dalam politik ya....atau hanya sekadar mengambil gambar kenang-kenangan!( seperti kami?)

Wednesday, March 05, 2008

LAFAZ NIAT MENGUNDI?


'' shj aku kluar barisan ikut roket menuju Bulan kerana Keadilan. ''-(dipetik daripada shoutbox di saifulislam.com)

Jumlah pengunjung

web statistics