Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Monday, August 08, 2011

24 Jun 2011


Pagi ini kami dikejutkan awal oleh Fatih Abi memandangkan kami akan menunaikan solat subuh di Eyup Camii@Masjid Abu Ayyub Al-Ansari,seorang sahabat nabi.Kami menaiki van milik Hizmet dari Sariyer ke Eyup Camii yang melalui tepi selat Boshporus.Cukup segar udara pagi dan cantik pemandangan Selat Bosphorus di waktu pagi sebelum subuh.Cukup tenang.Dalam perjalanan,saya melihat ada kelompok yang memancing ikan di tepi Selat Boshporus.Memancing ikan di waktu pagi sebelum subuh.Dahsyat! 

Setibanya kami di perkarangan Eyup Camii,azan Subuh sedang berkumandang dan kelihatan orang ramai berpusus-pusu berjalan kaki menuju ke Eyup Camii.Alangkah menariknya melihat jemaah subuh di pagi jumaat di Eyup Camii ini penuh melimpah sehingga ke luar dewan solat bagaikan solat Jumaat di Malaysia.Kami hanya sempat menunaikan solat Subuh di perkarangan luar dewan solat Eyup Camii memandangkan di dalam dewan sudah penuh dengan orang ramai.Bacaan imam pagi ini pula cukup merdu ditambah pula dengan laungan ‘Ameen’ oleh para jemaah yang ‘menggegarkan’ Eyup Camii di pagi Jumaat ini.Doa panjang imam dalam Bahasa Turki disahut oleh orang ramai yang kelihatan khusyuk mengaminkan doa.Kami juga mengaminkan doa dalam Bahasa Turki tersebut walaupun tidak faham.:)



Sebaik sahaja selesai solat Subuh,rombongan kami berkumpul semula dan cuba untuk memasuki ke dewan solat.Ketika itulah saya melihat orang ramai berkerumun dan beratur untuk bersalaman dengan imam solat subuh tadi dan yang paling mengejutkan kami ialah orang bersebelahan imam tersebut iaitu Recep Tayyip Erdogan,Perdana Menteri Turki yang turut solat subuh berjemaah bersama-sama pagi ini.



Fatih Abi meminta rombongan kami bersabar sebentar dan menunggu giliran untuk beratur bersalaman dengan imam dan Recep Tayyip Erdogan.Beliau juga memaklumkan mengambil gambar Erdogan didalam masjid dilarang oleh pihak keselamatan dan meminta kami semua menyimpan kesemua kamera yang dimiliki.

Siapa sangka baru hari kedua kami di Turki,kami sudah dapat bertemu dan bersuamuka dengan PM Turki yang cukup berwibawa dan berkarisma.Sebelum ini saya sering mengikuti berita tentang Turki dan Erdogan ini melalui suratkhabar online milik Hizmet,Todayszaman.Erdogan semakin popular semenjak keberaniaannya menyanggah hujah dan meninggalkan pentas dalam insiden ‘1 minute’ Erdogan vs PM Israel,Shimon Peres sewaktu sidang ekonomi dunia di Davos.Strategi hikmahnya memimpin Turki dan partinya AKP dengan urustadbir yang baik berjaya melonjakkan nama Turki di mata dunia terutamanya dengan kekuatan ekonomi dan hubungan luar antarabangsanya.Gandingan mantap Erdogan dengan Presiden Turki,Abdullah Gul dan menteri-menteri kabinetnya terutamanya Menteri Luar,Ahmet Davudoglu yang pernah mengajar di UIAM suatu ketika dahulu berjaya membawa Turki menjadi sebuah negara contoh dan disegani kawan dan lawan.

Kesemua kami setelah menunggu beberapa seketika untuk mengelakkan kesesakan orang ramai akhirnya beratur untuk menunggu giliran bersalaman dengan PM Turki,Recep Tayyıp Erdogan .Sewaktu giliran saya berada betul-betul berhadapan dan menatap wajah Erdogan,saya menghulurkan tangan bersalaman dengan beliau sambil mengucapkan ‘Memnun Oldem’(gembira berjumpa kamu) kepada Erdogan dan sempat memperkenalkan diri dan PKPIM secara ringkas dan memaklumkan kepada Erdogan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim pernah memimpin PKPIM.Sengaja saya menyebut nama Anwar Ibrahim memandangkan hubungan Erdogan dan Anwar Ibrahim cukup rapat.Erdogan kemudiannya menepuk bahu saya dan kemudiannya berkata sesuatu dalam Bahasa Turki kepada imam yang berdiri bersebelahannya.Apa yang diperkatakan oleh Erdogan kepada imam itu ya?Saya pun tidak tahu.Ia kini masih tinggal misteri...:)

Selepas bersalaman dengan Erdogan,kami keluar menuju ke makam Abu Ayyub Al-Ansari yang terletak di luar dewan solat.Erdogan juga kemudiaannya menuju ke makam Abu Ayyub Al-Ansari dan disini orang ramai berkerumun dan mengambil gambar beliau selepas dilarang mengambil gambar beliau di dalam masjid.Kami juga cuba mengambil gambar beliau walaupun bergambar dari jauh.

Sepanjang jalan dari makam Abu Ayyub Al-Ansari sehingga ke kereta yang dinaiki Erdogan,kelihatan orang ramai berpusu-pusu ,berkerumun dan beratur panjang untuk bersalaman dengan beliau. Pada waktu ini,kami dapat melihat betapa besarnya pengaruh dan karisma Erdogan.Erdogan dengan senyumannya tidak jemu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan orang ramai yang setia menanti kehadiran beliau.Beberapa orang dari rombongan kami sempat mengambil gambar suasana orang ramai berkerumun ke arah Erdogan semenjak beliau keluar dari Eyup Camii sehinggalah menaiki kereta pulang meninggalkan Eyup Camii.

Sempat juga saya bergurau dengan sahabat-sahabat ,kita menanti PM Malaysia pula selepas in untuk solat subuh berjemaah di masjid bersama-sama rakyat Malaysia....

Selepas Erdogan pulang meninggalkan Eyup Camii,kami berhimpun di luar Eyup Camii,bergambar dan kemudiannya sarapan pagi roti dan minum susu beramai-ramai di luar perkarangan Eyup Camii.Beberapa orang peniaga menjual makanan sarapan pagi di sekitar luar perkarangan Eyup Camii.




Dari Eyup Camii,kami pulang ke asrama Hizmet di Sariyer.Selepas berehat seketika,saya bersama sahabat yang lain bermain bola keranjang bersama sahabat-sahabat Turki.

Kami kemudiannya bersiap untuk meneruskan perjalanan ke Topkapi Palace.Topkapi Palace merupakan antara tempat tumpuan pelancong luar negara dan ia merupakan sebuah istana lama yang cukup indah dengan senibinanya yang unik dan pameran barangan mewah lama milik sultan-sultan suatu ketika dahulu.Saya pernah ke sini juga sewaktu ke Turki pada tahun 2007 bersama-sama rombongan PKPIM-ABIM-WADAH.

Selepas mengunjungi Topkapi Palace,kami bergegas menaiki van menuju ke Masjid Biru@ Blue Mosque untuk menunaikan solat Jumaat.Pada kunjungan pertama saya ke Turki dahulu,saya tidak berkesempatan melawat Masjid Biru ini akibat kesuntukan masa walaupun sempat ke Haghia Sophia yang terletak berhampiran Masjid Biru.Akhirnya kali ini saya sempat juga melawatnya bahkan menunaikan solat Jumaat bersama ribuan jemaah yang penuh melimpah di masjid ini.Sukar bagi saya bagaimana mahu menggambarkan kecantikan senibina Masjid Biru ini.Pintu gerbangnya,menaranya,mimbarnya,lampu-lampunya,seni khat yang menghiasi dindingnya semuanya sangat indah dan memukau pandangan mata.Tidak hairanlah kalau Masjid Biru ini menjadi tempat wajib dilawati di Turki oleh para pelancong di seluruh dunia.




Di Masjid Biru ini saya sempat berkenalan dengan seorang pelajar dari Indonesia yang menuntut di sebuah universiti di Istanbul.Beliau boleh berbahasa Arab kerana pernah belajar di satu pesantren di Indonesia dan kini mula boleh berbahasa Turki.Terus terang saya katakana saya sangat cemburu dengan beliau....:)

Selepas solat jumaat di Masjid Biru,Fatih ingin membawa kami semua ke Haghia Sophia yang suatu ketika dahulu pernah menjadi gereja,masjid dan kini sebagai muzium.Di Haghia Sophia ini kita boleh melihat kesan ‘pertemuan’ antara dua agama iaitu Islam dan Kristian.Beberapa orang dari kami tidak ikut serta melawat Haghia Sophia termasuk saya kerana saya sudah pernah ke Haghia Sophia ini sewaktu lawatan pada tahun 2007 dahulu.Jadi saya mengambil keputusan untuk tunggu di perkarangan luar Haghia Sophia dan berjalan-jalan bersama Saiful Ridzuan di tengah-tengah dataran yang memisahkan antara Masjid Biru dan Haghia Sophia.

Kami bergambar di sini memandangkan latar belakang antara kedua-dua tempat bersejarah ini sangat cantik. Sambil memakan jagung panas,kami duduk bersila atas rumput dengan teduhan satu pokok rendang dan sempat berkenalan dengan seorang rakyat Turki yang juga sedang duduk berehat bersama anak kecilnya yang sangat comel.Beliau berbicara sepenuhnya dalam Bahasa Turki manakala saya hanya mengeluarkan beberapa patah Bahasa Turki yang sempat saya hafaz di atas kapal terbang dalam perjalanan ke sini dari Kuala Lumpur sebelum ini.Yang lain bicara saya dalam Bahasa Inggeris walaupun beliau kelihatan tidak berapa memahami Bahasa Inggeris dan kadangkala kami menggunakan bahasa isyarat.:).Seperti biasa,saya meminta beliau menuliskan nama ,email dan Facebooknya dalam buku catatan saya untuk dihubungi suatu masa nanti...


Selepas selesai lawatan sekitar Masjid Biru dan Haghia Sophia,kami beramai-ramai berjalan kaki menuju ke The Basilica Cistern.The Basilica Cistern ini merupakan tempat saluran dan tadahan air di bawah tanah.

Selesai tamat siri lawatan ke pelbagai tempat bersejarah,kami bergerak pula menuju ke rumah Abi Solih Oz,seorang tokoh Hizmet yang merupakan kawan kepada Fethullah Gulen untuk makan malam.

Di rumah beliau,kami didengarkan kisah cabaran perjuangan Hizmet sebelum dan selepas kepimpinan Erdogan,bagaimana Hizmet membuka sekolah-sekolah di seluruh dunia,menawarkan pendidikan yang terbaik dan berkualiti,dan bagaimana gerak kerja gabungan ahli perniagaan yang menjalankan pelbagai perniagaan dan pembukaan sekolah-sekolah.Abi Solih Oz juga menceritakan perjuangan sahabatnya,Fethullah Gulen dalam menggerakkan misi kemanusiaan di seluruh dunia semenjak dahulu bermula dengan secara rahsia sehinggalah ke hari ini yang semakin menampakkan hasil kejayaan.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics