30 Jun 2011
Hidangan sarapan pagi ini di rumah Mehmet Abi cukup sedap dan membuatkan kami kekenyangan.Roti,buah zaiton hitam dan kuning,buah tembikai dan lain-lain lagi kami makan sepuasnya memandangkan selepas ini kami akan berangkat ke sebuah lagi negeri di sempadan Turki-Bulgaria iaitu Edirne.
Dari rumah Mehmet Abi kami menaiki van menuju ke Edirne yang memakan masa lebih 3 -4 jam .Dalam perjalanan ke Edirne,kami melihat pemandangan hijau sepanjang jalan disamping memasang beberapa buah lagu Turki dan lagu Melayu sebagai halwa telinga sepanjang perjalanan.
Tiba di Edirne,kami dapat merasai beberapa perbezaannya antara Edirne dengan negeri-negeri lain seperti di Istanbul dan Bursa.Kami seakan sudah berada di Bulgaria dengan suasana persekitarannya yang berbeza ditambah pula dengan melihat raut wajah penduduk di sekitar Edirne ini yang sedikit berbeza dengan wajah penduduk Turki di negerinya yang lain.
Berbanding dengan Istanbul yang agak mudah untuk kita menemui masjid dimana-mana,suasana di Edirne ini sedikit berbeza namun begitu senibina masjid di sini sangat unik dan cantik sepertimana masjid-masjid di Istanbul.
Kami menziarahi Selimiye Camii,satu masjid yang sangat besar yang cukup bersejarah di Edirne.Dari Selimiye Camii,kami hanya berjalan kaki berpindah dari melawat satu masjid ke masjid-masjid yang lain seperti Ucserefeli Camii.
Kami sempat singgah makan di sebuah restoran yang tidak jauh dari sempadan Edirne-Bulgaria dan juga melalui satu kawasan yang mana Sultan Muhammad Al-Fatih pernah menuntut ilmu disitu.
Kami juga melawat kompleks Sultan Biyazid 2 yang mana ia merupakan satu kompleks lama yang besar dan disini kami boleh melihat betapa besarnya peranan ‘institusi masjid’ suatu ketika dahulu yang bukan hanya menjadi tempat ibadat ritual semata-mata bahkan bertindak seolah –olah satu gabungan masjid ,hospital ,unıversiti dan sebagainya.Didalam kompleks inilah terletaknya ‘Darussyifa’ yang merupakan tempat rawatan kesihatan,institusi perubatan atau hospital yang menawarkan rawatan kesihatan untuk orang ramai suatu ketika dahulu.
Saya agak tertarik dengan satu daripada rawatan yang ditawarkan disini suatu ketika dahulu iaitu rawatan terapi muzik .Rawatan terapi muzik ini sesuai dengan namanya merawat para pesakit dengan alunan bunyi-bunyian peralatan muzik seperti ney,tambur,dombra,bendir,sapai ,komuz dan sebagainya.Antara tokoh yang mempelopori rawatan terapi muzik ini ialah tokoh seperti Al-Kindi,Al-Farabi dan lain-lain.Suuri Hasan Efendi,pujangga zaman Uthmaniyah dan seorang ahli fizik mengupas tentang rawatan terapi muzik ini dalam karyanya ‘’Relationship between musical model and diseases’’.
Selepas menunaikan solat di masjid dalam Kompleks Sultan Biyazid 2 ini,kami pun bergerak meninggalkan Edirne dengan melintasi jalan tidak jauh daripada kawasan pemeriksaan sempadan Edirne-Bulgaria .Saya turut memasang niat untuk kembara pula di Bulgaria suatu hari nanti.
Dari Edirne kami kembali ke Istanbul dan singgah dahulu di rumah Mehmet Abi yang menjamu kami makanan Turki.Di rumah Mehmet Abi ini kami sempat menonton dalam televisyen siaran langsung pertandingan akhir Olympiad Turki.Olympiad Turki ini merupakan satu pertandingan persembahan kebudayaan Turki antara wakil-wakil negara di seluruh dunia.Recep Tayyip Erdogan,Perdana Menteri Turki dan isterinya turut serta hadir memeriahkan pertandingan akhir Olympiad ini.Sepatutnya mengikut perancangan awal,kami mungkin berkesempatan untuk hadir ke perlawanan akhir Olympiad Turki ini namun disebabkan kesuntukan masa perjalanan dari Edirne,kami tidak berpeluang untuk hadir ke sana.
Dari rumah Mehmet Abi,kami terus pulang ke asrama Hizmet di Sariyer dan berehat selepas keletihan dalam jadual lawatan yang padat di Edirne.
No comments:
Post a Comment