5 Julai 2011
Pagi ini saya bangun dari tidur dan terlupa yang kini saya sudah di Hayret Vekfi.Tanpa disangka-sangka,Samsung Galaxy milik ayah saya yang saya bawa bersama khususnya untuk melayari internet terjatuh dari tingkat atas katil tidur di asrama yang saya tumpang menginap.Rasanya bukan salah saya memilih tidur di katil tingkat atas tetapi salah tidak menyimpan Samsung Galaxy ditempatnya sebelum tidur.Akibatnya ia terjatuh-terhempas dari atas katil ke bawah lantai mungkin disebabkan tangan saya yang tertolaknya sewaktu tidur.
Pucat saya seketika dan tidak berani mengangkat semula Samsung Galaxy itu memandangkan saya fikir pasti skrinnya sudah pun pecah akibat terhempas ke lantai.Selepas beberapa seketika,saya turun dari tingkat atas katil dan mengambil kembali ‘aset penting’ saya itu dan Alhamdulillah tiada apa-apa kerosakan,pecah dan sebagainya.Mujur kualiti terbaik ...
Solat subuh bermula sekitar 4-5 pagi manakala program Devan hanya akan bermula jam 9 pagi.Selepas solat subuh majoriti sahabat-sahabat saya tidur lena kembali manakala saya mengambil keputusan untuk ber’joghing’ di luar pejabat Hayret Vekfi.Dalam perjalanan ke sini semalam saya perasan terdapat satu taman rekreasi di Kucukcermece ini dan saya berjalan kaki seorang diri dari Hayret Vekfi mencari taman rekreasi ini.
Di taman rekreasi Kucukcermece,beberapa orang penduduk Kucukcermece kelihatan ber’joghing’,berjalan kaki,dan bermain beberapa alat permainan sukan yang disediakan di sini.Taman rekreasi ini cukup selesa untuk bersukan dengan pelbagai kemudahan sukan yang disediakan dan kawasan persekitarannya yang indah dikelilingi tasik.
Saya turut serta bersama-sama mereka yang lain bersukan santai sekadar mengeluarkan peluh,membetulkan urat dan berjalan-jalan sekitar kawasan tepi tasik Kucukcermece.Kadang-kadang saya terasa seperti makhluq asing pula bila dipandang semacam oleh penduduk-penduduk Kucukcermece yang bersukan di taman rekreasi ini.Barangkali sangat jarang orang luar negara yang bersukan di taman rekreasi ini dan memang ketika itu hanya saya seorang sahaja yang bukan rakyat Turki bersukan di taman rekreasi ini.
Sambil berjalan-jalan di taman tasik ini,saya juga sempat mencari kawan-kawan baru dengan menegur mereka yang lalu lalang disini .Kelihatan lebih ramai orang tua yang bersukan pada waktu pagi ini berbanding dengan orang muda.
Saya menegur mereka menggunakan 2-3 kerat perkataan Bahasa Turki yang saya ketahui manakala mereka seperti biasa ‘mengarang esei’ berbicara Bahasa Turki seolah-olah saya memahaminya seratus peratus.Memang ada yang sombong langsung tidak melayan teguran tetapi yang melayan pula begitu ramah sehingga berbicara lama dalam Bahasa Turki dengan saya sambil saya senyum mengangguk ‘buat-buat faham’.Saya fikir bagus juga sebenarnya mereka berbicara dalam Bahasa Turki sebab ia membantu saya mendapatkan perkataan-perkataan baru dalam Bahasa Turki.Dengar dan dapatkan dulu perkataan-perkataan baru dan balik nanti ,’Google Translate’ sahaja...Mungkin itu formula mudah saya mempelajari Bahasa Turki sementara berkunjung ke Turki ini.:)
Selepas hampir 2 jam sesi riadhah ,saya kembali ke pejabat Hayret Vekfi dan bersarapan pagi bersama-sama sahabat yang lain.Hidangan sarapan pagi disini cukup saya gemari dengan roti ,jem strawberi,keju,telur,timun,tomato,buah zaitun dan minuman wajib,’cay’.
Dalam jam 9 pagi di dewan mesyuarat di tingkat paling atas pejabat Hayret Vekfi,program bermula dan para peserta duduk mengikut negara masing-masing siap dengan nama pesertanya sekali.
Slot 1 pada pagi ini ialah pembentangan daripada wakil Hayret Vekfi,Ibrahim yang mengupas tentang persoalan masalah anak muda sekarang dan cara mengatasi masalah-masalah tersebut.Turut dikupas Ibrahim ialah soal keperluan fizikal dan spiritual anak muda,kisah perjuangan Nabi Ibrahim vs berhala,kisah Nabi Yusuf dan ‘Zulaikha’,kelemahan sistem pendidikan sekular khususnya sains sekular,kelemahan hujah teori evolusi dan kelompok yang ‘beragama’ dengan sains .Beliau menekankan soal kepentingan menuntut ilmu,beramal dan ikhlas dalam apa jua tindakan.
Dalam sesi diskusi berkumpulan pula,para peserta diminta memikirkan gerak kerja dan cara mengatasi masalah-masalah anak muda dan tidak fokus kepada pembentangan masalah-masalah semata-mata.Memang kebanyakan perbincangan tentang anak muda yang saya sertai sebelum ini terlalu banyak membentangkan masalah-masalah semata-mata sehingga melupakan perbincangan gerak kerja yang boleh dilakukan oleh setiap individu bagi mengatasi masalah-masalah tersebut secara bersama.
Dalam slot 2 pula wakil Hayret Vekfi,Salahuddin membentangkan kupasan 6 perkara penting yang pernah dinyatakan oleh Badiuzaman Said Nursi dalam karyanya.Turut dikupas Salahuddin ialah soal keyakinan diri ,kelemahan spiritual individu,rasa cinta kepada orang lain,mencintai keamanan dan tidak berpecah belah sesama sendiri serta kekuatan persaudaraan.
Disamping itu juga dikupas tentang keadilan sosial antara yang miskin dan yang kaya -pembahagian kekayaaan secara adildan kepentingan berkerja bersungguh-sungguh dan menjadi kaya tanpa melupakan perkongsian kekayaan kepada orang lain,mengikis sikap ego dan individualistik,berfikiran ‘ummatic’ dan pendekatan 1ummah.:)
Salahuddin juga membicarakan tentang prinsip kepimpinan seorang Muslim antaranya ialah adl(justice),qist(equity-fairness),meezan(balance),human dignity, dan shura(consultation).Kisah keadilan kepimpinan Umar Abd Aziz dan Salahuddin Al-Ayubi dijadikan rujukan utama dalam perbincangan ini.
Dalam sesi pembentangan berkumpulan pula,setiap kumpulan diberi 1 perkara daripada 6 perkara penting Badiuzaman Said Nursi itu dan mengupas dengan lebih lanjut dengan mengaitkannya dengan realiti semasa.
Program diteruskan lagi dengan sesi video conference-skype bersama Dr Ashrafuzaman yang berada di Amerika Syarikat.Saya pernah menginap satu bilik dengan beliau sewaktu program IYG 5 di Maghribi dahulu dan beliau dipanggil oleh delegasi Malaysia dalam IYG 5 itu dengan gelaran ‘abi’ terutamanya kerana sifat kebapaannya sewaktu melayan kami sepanjang IYG 5.
Dr Ashrafuzaman mengupas tentang pendekatan terbaik dalam melakukan perubahan dengan mengambil contoh pendekatan yang digunapakai oleh Nabi Muhammad .Pendekatan dakwah dengan penuh hikmah,fleksibel,berdasarkan contoh amal perbuatan dan akhlaq mulia inilah yang mampu menggerakkan perubahan dalam masyarakat.
Dr Ashrafuzaman menceritakan pengalaman beliau di Amerika Syarikat pasca serangan 11 September dan meletusnya ‘Islamphobia’ dan bagaimana begitu ramai rakyat Amerika Syarikat yang memeluk Islam ditangannya secara sukarela dan tanpa paksaan bahkan hanya berdasarkan hujah intelek dan rational dan yang paling penting melalui contoh akhlaq yang mulia sewaktu bergaul dengan pelbagai pihak.
Selepas tamat sesi program hari ini ,pada malam harinya semua peserta Devan Educational Forum dibawa menaiki bas dan kemudiannya berjalan kaki beramai-ramai di tepi Selat Marmara yang cukup indah pada malam harinya.Kelihatan begitu ramai pengunjung yang berkelah di bawah pokok bersama-sama keluarga mereka sambil menjamu selera.Walaupun keesokan paginya ialah hari bekerja,itu tidak menghalang pengunjung berkelah bersama-sama keluarga mereka di tepi laut ini.
Sambil menghayati pemandangan Selat Marmara di malam hari,kami makan kacang dan minum jus oren bersembang-sembang mengambil peluang untuk berkenalan lebih rapat sesama peserta.Bagi saya ini merupakan satu bentuk pendekatan santai yang amat baik bagi membina jaringan antara anak muda seluruh dunia.Tiada hotel berhawa dingin ,tiada makanan-minuman yang terlampau mewah membazir,tiada pakaian rasmi wajib dipakai namun kami tetap mampu berkenalan membina jaringan antara satu sama lain di malam hari tepi Selat Marmara,sambil memakan kacang meminum jus oren dan bebas berpakaian apa sahaja.Cukup santai...
Sepanjang jalan di tepi Selat Marmara ini,terdapat beberapa permainan dengan sedikit bayaran disediakan seperti menembak belon dan botol yang diletakkan di tepi laut dengan menggunakanpistol-senapang yang berpeluru.Beberapa orang peserta Devan turut mencuba permainan menembak belon dan botol ini.
Selepas tamat sesi membina jaringan secara santai,kami pulang semula ke asrama Hayret Vekfi.Sebahagian daripada kami tidur lewat kerana melayari internet di bilik atas asrama manakala yang lain tidur awal memandangkan sebenarnya kami hanya memiliki baki beberapa jam sebelum perlu bangkit menunaikan solat subuh.Waktu tidur dimalam hari kelihatan singkat namun menjadi budaya di Turki ini untuk kembali tidur selepas solat Subuh.
No comments:
Post a Comment