Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Thursday, October 13, 2011

17 Julai 2011

Pagi ini semua peserta IYG 6 dibawa ke pejabat Anatolian Lions Businessman Association(ASKON),sebuah rangkaian jaringan perniagaan dikalangan anak muda Turki.



Di pejabat ASKON ini saya berjumpa kembali Osman,seorang sahabat IYG 5 di Maghribi yang juga merupakan anak saudara kepada Menteri Luar Turki,Ahmet Davudoglu.Sebelum ini kami sering membalas mesej Facebook dan berkongsi banyak perkara berkenaan isu semasa dan politik di Turki.



Selepas pembentangan tentang gerak kerja ASKON oleh Osman,program diteruskan dengan pembentangan wakil negara peserta yang belum berkesempatan membuat pembentangan dalam sesi sebelum ini.Sambil menjamu selera,akhirnya diadakan sesi sidang resolusi-deklarasi IYG 6 yang merumuskan segala perbincangan sepanjang IYG 6 ini dan beberapa saranan untuk manfaat pelbagai pihak khususnya buat peserta-peserta IYG 6.



Tamat sesi sidang resolusi dan deklarasi IYG 6,maka secara rasmi tamatlah program IYG 6 kali ini.Selepas menyertai IYG 3 di Indonesia,IYG 5 di Maghribi dan IYG 6 di Turki ini ,saya berharap masih berpeluang untuk menyertai IYG-IYG seterusnya suatu masa nanti.Menurut wakil UNIW,IYG 7 pada awal tahun 2012 nanti bakal diadakan di Sudan pula.



Semua peserta IYG 6 kemudiannya dibawa ke Fatih Camii dan disini kami telah bersama ratusan rakyat Turki yang lain menunaikan solat jenazah buat seorang pemimpin NGO Turki yang baru meninggal dunia.Presiden Turki ,Abdullah Gul dan beberapa orang pimpinan Turki yang lain turut hadir menunaikan solat jenazah ini dan oleh sebab itulah kawalan keselamatan di Fatih Camii ini cukup ketat pada hari ini dan kami semua turut melalui kawasan pemeriksaan keselamatan sebelum dibenarkan masuk ke Fatih Camii.



Saya dan sahabat-sahabat IYG 6 yang lain menunaikan solat jenazah di luar perkarangan Fatih Camii ini memandangkan kami tiba sedikit lewat dan dalam dewan solat sudah dipenuhi orang ramai apatah lagi kawasan Fatih Camii ini masih dalam proses pembaikian lagi.Sebaik sahaja selesai solat jenazah,saya cuba masuk ke dalam dewan solat Fatih Camii ini dengan melalui pintu masuk yang dipenuhi orang ramai yang ingin keluar dari dewan solat.Dalam kesesakan orang ramai ini saya sempat melihat kelibat Presiden Turki,Abdullah Gul dan Menteri Luar,Ahmed Davudoglu yang sedang berjalan keluar menuju ke satu lagi pintu keluar.



Dalam keadaan terhimpit dengan orang ramai,saya cuba mengejar mereka yang sebenarnya tidak terlalu jauh daripada saya cuma disebabkan orang ramai yang terlalu ramai dan berpusu-pusu keluar menyebabkan saya tidak sempat untuk bersalaman dengan mereka.Saya keluar menuju ke pintu yang sama yang digunakan oleh Presiden Turki ini dan diluar sana didapati orang ramai sudah berhimpun untuk mendengar ucapan ringkas Presiden Turki ini.



Saya dan beberapa orang peserta IYG 6 mara ke hadapan dan berdiri berdekatan laluan khas Presiden Turki dan kabinetnya dan dapat mendengar ucapan Presiden Turki ini walaupun tidak memahaminya.Tamat ucapan ringkas beliau,Presiden Turki dan pimpinan Turki yang lain terus menuju ke satu lagi pintu keluar dengan kawalan keselamatan yang cukup ketat.Walaupun tidak dapat bersalaman dengan Abdullah Gul dan Ahmed Davudoglu,saya rasa sangat bertuah kerana hasil kunjungan saya ke Turki kali ini ,saya dapat bertemu dengan 3 orang pemimpin Turki yang saya cukup kagumi iaitu PM Turki,Recep Tayyip Erdogan,Presiden Turki,Abdullah Gul dan Menteri Luar Turki,Ahmed Davudoglu.



Di Fatih Camii ini jugalah saya berkesempatan menziarahi makam Sultan Muhammad Al-Fatih,seorang lagi tokoh yang saya cukup kagumi sejarah perjuangannya.



Dari Fatih Camii,saya berjalan kaki bersama 2 orang sahabat peserta IYG 6 dari Albania di sekitar kawasan membeli-belah di kawasan Fatih .Kami tidak membeli apa-apa barangan cuma sekadar berjalan melihat barangan yang dijual sambil cuba merasai minuman air buah lemon asli yang dijual di tepi jalan.Di tengah-tengah cuaca yang sangat panas membahang,minum air buah lemon asli yang dijual sekitar 1 lira ini cukup untuk menghilangkan dahaga.Saya sempat bersembang dengan penjual air buah lemon asli ini dan apabila mengetahui kami muslim dari Malaysia,beliau memuji-muji Malaysia dan sempat juga beliau memberitahu saya bahawa beliau merupakan penyokong Allahyarham Necmuttin Erbakan.



Sambil berjalan kaki juga,saya cuba mencari pejabat IIFSO yang juga terletak di kawasan Fatih ini berdasarkan kad nama SU IIFSO yang saya bawa bersama namun tidak saya temuinya.SU IIFSO telah mengajak saya dan rakan-rakan yang lain sebelum ini untuk menziarahi pejabat IIFSO jika ada kesempatan waktu.



Selepas berjalan kaki bersama-sama sahabat dari Albania,kami pulang kembali ke asrama penginapan sebelum beramai-ramai berjalan kaki dari asrama penginapan menziarahi pejabat Istanbul Foundation for Science and Culture yang terletak tidak jauh dari asrama penginapan kami.Disini kami dijamu makanan Turki sebelum menonton tayangan video berkenaan perjuangan Badiuzaman Said Nursi. Istanbul Foundation for Science and Culture ini merupakan satu pusat akademik dan penyelidikan yang banyak mengkaji pemikiran Badiuzaman Said Nursi ,menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa yang dibentangkan oleh pakar-pakar pemikiran Badiuzaman Said Nursi dari seluruh dunia dan menerbitkan pelbagai buku,majalah dan tesis berkenaan Badiuzaman Said Nursi.



Disini juga kami berjumpa dengan 2 orang pensyarah dari Universiti Kaherah ,Mesir yang dalam rangka lawatan ke Turki dan membuat kajian tentang gerakan Badiuzaman Said Nursi.Kami juga dibawa melihat salinan asal tulisan manuskrip yang dikatakan Risalah An Nur karya Badiuzaman Said Nursi ,diberi beberapa majalah terbitan Istanbul Foundation for Science and Culture ini dan juga diperkenalkan dengan beberapa buah buku tentang Badiuzaman Said Nursi terbitan Istanbul Foundation for Science and Culture dan hasil tulisan ahli akademik dari seluruh dunia.



Selepas menziarahi Istanbul Foundation for Science and Culture ini kami bergegas kembali ke asrama penginapan untuk mengemas kesemua barangan dan bilik kami memandangkan kami akan bersegera meninggalkan asrama ini.Majoriti peserta IYG 6 akan menginap pula diHayret Vekfi di Kucukcermece selepas ini sebelum pulang ke destinasi masing-masing.Kami akhirnya meninggalkan asrama penginapan kami sepanjang seminggu menyertai IYG 6 ini.



Bas bertolak membawa kami semua ke pejabat Hayret Vekfi dan disana kami menginap di bilik asrama yang sama diduduki oleh peserta-peserta Devan Educational Forum sebelum ini.Selepas berehat beberapa seketika,semua peserta IYG 6 naik ke tingkat atas di bilik persidangan untuk sesi taaruf ringkas sambil makan ringan agar masing-masing lebih mengenali antara satu sama lain selepas satu minggu menyertai IYG 6.Program santai ini kemudian diteruskan lagi dengan nyanyian santai pelbagai lagu dari negara yang berbeza oleh beberapa orang wakil peserta.



Wakil Hayret Vekfi kemudiannya membentangkan tentang gerak kerja Hayret Vekfi dan menghuraikan tentang ‘Al-Quran Tewafuq’,topik yang sama dibahaskan dalam sesi Devan Educational Forum yang lalu.Sesi soal jawab dan diskusi bertukar-tukar pandangan berlanjutan sehingga ke lewat malam bagi memberi peluang buat peserta IYG 6 mendalami lebih lanjut tentang ‘Al-Quran Tewafuq’ ini.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics