Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Monday, October 10, 2011

9 Julai 2011

Awal pagi ini selepas solat Subuh,kami menaiki bas beramai-ramai bertolak menuju ke Isparta.Pada mulanya saya dan sahabat-sahabat yang lain terkejut juga bila diberitahu perjalanan dari Istanbul ke Isparta memakan masa hampir 10 jam.10 jam duduk dalam bas sahaja pasti memenatkan .Mujur perjalanan sepanjang 10 jam dengan berhenti rehat dua kali di hentian rehat ini diisi oleh pelbagai program santai seperti nyanyian lagu pelbagai negara,dan kisah-kisah lucu.Sedar tak sedar akhirnya kami sudah pun tiba di kawasan berdekatan Isparta.Kami berhenti untuk makan tengahari di sebuah restoran milik geng Hayret Vekfi disini.



Selepas selesai makan tengahari dan solat jama’,bas yang membawa kami meneruskan perjalanan ke satu kawasan puncak bukit tinggi yang terdapat kediaman Badiuzaman Said Nursi dan juga asrama Hayret Vekfi disini.Menuju ke kawasan puncak bukit tinggi ini,kami melalui satu pemandangan hijau yang cukup indah dengan dikelilingi bukit bukau dan juga laut biru.



Kami dibawa masuk ke kediaman Badiuzaman Said Nursi yang merupakan sebuah rumah diatas pokok dan disini dikatakan telah dijadikan tempat uzlah Badiuzaman Said Nursi sekitar tahun1927 hingga ke tahun 1934.Disini jugalah dikatakan Badiuzaman Said Nursi mula mengarang karyanya,Risalah An Nur.



Dari kediaman Badiuzaman Said Nursi ,kami bergerak berjalan kaki beramai-ramai ke sebuah lagi asrama Hayret Vekfi yang terletak tidak jauh dari kediaman Badiuzaman Said Nursi.Asrama baru ini cukup besar dengan lebih 5 tingkat dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti asrama penginapan siap dengan katil 2 tingkat,dewan syarahan,bilik air dan lain-lain.Dari tingkat atas asrama di puncak bukit ini kami dapat melihat pemandangan indah Isparta.Cukup mengagumkan.Saya terfikir patutlah Badiuzaman Said Nursi banyak menyentuh persoalan alam sekitar dalam karyanya.Bagi mereka yang ingin mengunjungi ke Turki saya sarankan supaya mengunjungi Isparta dan melawat sendiri kawasan kediaman Badiuzaman Said Nursi dan asrama Hayret Vekfi ini.



Ketika tiba di asrama Hayret Vekfi ini,saya menggunakan Samsung Galaxy untuk mengambil pelbagai gambar yang cukup cantik di Isparta ini dan saya sengaja cuba menggunakan internet dan terkejut saya apabila memang terdapat kemudahan wifi di atas puncak bukit ini.



Pada petang harinya semua peserta Devan Educational Forum dibawa bersiar-siar sekitar kawasan asrama Hayret Vekfi ini.Kami berjalan-jalan di ‘Taman Syurga’,satu taman berdekatan asrama ini dan menuruni sahaja tangga menuju ke taman ini kita dapat melihat satu pemandagan taman yang sangat cantik dan turut dihiasi oleh pokok buah ceri.Dalam taman ini turut didirikan pondok tempat yang boleh digunakan untuk membaca buku dan pondok ini sebenarnya memang digunakan oleh geng Badiuzaman Said Nursi untuk membaca buku khususnya Risalah An Nur sehingga kini.



Pada malam harinya telah diadakan satu sesi khas pembentangan berkenaan gerakan ‘Nurcu’ yang mengikuti aliran pemikiran Badiuzaman Said Nursi termasuk sistem pendidikan,sejarah Risalah An Nur dan pergerakan yayasan waqaf seperti Hayret Vekfi ini.Mereka yang mengikuti pemikiran Badiuzaman Said Nursi di seluruh dunia khususnya di Turki ini mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri bagi membentuk kualiti ahli dalam gerakan mereka.Selalunya mereka akan mengadakan program mereka di ‘madrasa’(samada di sebuah rumah,rumah flat,apartment besar,asrama dan sebagainya).



Hayret Vekfi misalnya akan mengumpulkan anak-anak muda khususnya pelajar sekolah menengah dan universiti) di asrama mereka dan disini anak-anak muda ini akan menginap dan mengikuti pelbagai program yang disusun oleh Hayret Vekfi.Mereka akan didedahkan dengan persekitaran ilmu khususnya berkenaan ilmu agama-spiritual,persekitaran kekeluargaan dan persaudaraan.Mereka akan diajar bagaimana mahu membaca dan menghafaz Al-Quran,membaca terjemahan Al-Quran,membaca-menulis dan menyalin semula Risalah An Nur dan sebagainya.



Selepas selesai pembentangan tersebut,saya sempat melayari internet dan mengikuti berita perkembangan semasa di Malaysia.Kebetulan hari ini merupakan hari diadakan perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur dan saya bersama-sama sahabat peserta Devan Educational Forum yang lain duduk menonton rakaman video perhimpunan Bersih 2.0 menerusi Samsung Galaxy .Bertubi-tubi soalan ditanya kepada saya oleh sahabat-sahabat peserta Devan dari luar negara tentang apa yang telah terjadi di Malaysia sekarang ini.Mereka ternyata sangat mengambil berat tentang apa jua perkembangan semasa di Malaysia .



Selepas melayari internet pula saya bersembang-sembang pula dengan seorang sahabat Hayret Vekfi yang baru dikenali di Isparta ini.Beliau bertutur dalam Bahasa Turki sepenuhnya dan saya terpaksa membalasnya dengan beberapa patah Bahasa Turki yang saya tahu sambil merujuk kepada nota kamus Bahasa Turki yang saya bawa bersama.Sedar tak sedar lebih setengah jam juga beliau bersembang dengan saya sepenuhnya dalam Bahasa Turki...

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics