11 Julai 2011
Pagi ini saya akan mula menyertai program International Youth Gathering 6 anjuran UNIW.IYG ini merupakan IYG yang ketiga bagi saya setelah menyertai IYG 3 di Indonesia dan IYG 5 di Maghribi.Program ini mengumpulkan anak muda mewakili NGO-NGO dari seluruh dunia dan diadakan sebanyak 2 kali setiap tahun bergilir-gilir antara negara Turki dan negara-negara lain.
Dari pejabat Hayret Vekfi kami menaiki van milik Hayret Vekfi menuju ke pejabat IHH,satu NGO Turki yang terkenal di seluruh dunia dengan misi kemanusiaannya termasuk dalam misi Mavi Marmara ke Gaza.Kami hanya singgah sebentar disini untuk menghantar seorang peserta Devan dari Pakistan .Kemudiannya kami terus ke asrama lelaki Universiti Istanbul untuk menyimpan barang dan urusan penempatan bilik peserta-peserta IYG 6.Sepanjang IYG 6 ini kami akan menginap di asrama lelaki Universiti Istanbul ini yang terletak tidak begitu jauh daripada Sulaymaniye Camii.
Saya dan peserta dari Malaysia yang lain ditempatkan di satu bilik bersama-sama seorang peserta dari Maghribi yang juga sahabat saya yang sama-sama mengikuti program Devan dan IYG 5 di Maghribi dahulu.
Selepas selesai urusan penempatan bilik asrama,kami menaiki van meneruskan perjalanan ke Masjid Biru dan sementara menunggu peserta-peserta IYG 6 yang lain yang akan mengunjungi ke masjid ini,kami berjalan kaki ke satu tamanyang didalamnya terdapat sebuah muzium Islam.Di sini kelihatan ramai pengunjung bersiar-siar dan berkelah bersama keluarga sambil menjamu selera.Kami sempat berbaring atas rumput di taman ini,berkelah sambil makan kebab disini.
Dari jauh kedengaran azan Solat Zohor dari Masjid Biru lantas kami bergegas kembali ke Masjid Biru dan menunaikan solat Zohor bersama-sama pengunjung yang lain.
Sebaik sahaja selesai solat di Masjid Biru,kami berhimpun di pintu gerbang masjid ini dan disinilah kami mula bertemu dengan rombongan peserta IYG 6 yang lain.Dari Masjid Biru kami berjalan kaki beramai-ramai dan menaiki bas yang disediakan khas untuk peserta IYG 6 menuju ke tempat perasmian IYG 6.
Setibanya kami di tempat perasmian IYG 6,kami disambut dengan diberi bunga ros merah setiap seorang dan kemudiaannya memberikan passport di kaunter untuk mengambil alat penterjemahan bahasa.Dewan dipenuhi dengan orang ramai sewaktu perasmian IYG 6 ini dan mendapat liputan meluas dari pihak media.Disinilah saya bertemu kembali dengan sahabat-sahabat dari Turki yang pernah menyertai IYG 3 di Jakarta dan IYG 6 di Maghribi dahulu.Saya cukup bergembira bertemu kembali dengan mereka selepas sering berhubung melalui email dan Facebook sebelum ini.Ternyata jaringan yang dibina hasil program IYG ini mula menampakkan hasilnya.
Majlis perasmian IYG 6 ini bermula dengan sesi tayangan video pengenalan kepada UNIW dan program IYG disusuli ucapan wakil peserta dari setiap negara sebelum ucapan perasmian oleh Setiausaha Agung UNIW,Necmi Sodiquglu.Hadirin turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan budaya dan lagu-lagu Turki .Ketika asyik menonton persembahan budaya Turki ini,seorang sahabat Turki memanggil saya keluar ke dewan dan rupa-rupanya secara spontan saya diminta untuk ditemubual oleh wartawan akhbar Star dan Zaman serta sebuah stesyen tv berbahasa Arab dari Turki.Saya diminta untuk memberi pandangan tentang program IYG ini serta diajukan soalan berkenaan hubungan Malaysia dan Turki.Terasa seperti Menteri Luar Malaysia pula saya ketika itu.
Selepas tamat majlis perasmian IYG 6 ini,kami dijamu hidangan makan malam makanan Turki sebelum bergerak menaiki bas untuk kembali ke asrama lelaki Universiti Istanbul.Malam harinya peserta Malaysia membuat sedikit persiapan untuk program IYG 6 seterusnya esok pagi.
No comments:
Post a Comment