Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Thursday, October 13, 2011

21 Julai 2011

Hari ini merupakan hari terakhir saya di Turki dan tengahari nanti saya akan menaiki pesawat pulang ke Malaysia dengan transit terlebih dahulu di Tashkent,Uzbekistan.Sejak awal pagi selepas Subuh saya seperti biasa beriadah berjalan kaki buat kali terakhir di taman tasik Kucukcermece sebelum bersarapan pagi dan bersiap sedia meninggalkan pejabat Hayret Vekfi.Selepas salam perpisahan dengan sahabat Hayret Vekfi,saya menaiki kereta ditemani 2 orang sahabat Hayret Vekfi menuju ke lapangan terbang Ataturk.



Sewaktu beratur untuk ‘check in’,saya bertemu dengan rombongan dari Malaysia yang turut menaiki pesawat yang sama dengan saya.Saya bersembang-sembang dengan beberapa orang rombongan tersebut dan kemudiaannya saya perasan kelibat Murat ,pemandu pelancong yang membawa saya dan rombongan PKPIM-ABIM-WADAH sepanjang berada di Istanbul pada tahun 2007 dahulu.Rupa-rupanya,Murat juga yang membawa rombongan dari Malaysia yang saya temui di sini.



Dahulu Murat tidak berjambang nipis tetapi sekarang beliau sudah berjambang dan sebab itulah saya hampir-hampir tidak cambeliau sehinggalah beliau berbicara dalam bahasa Melayu dengan rombongan dari Malaysia tadi.Murat menguasai pelbagai bahasa seperti Bahasa Turki,Bahasa Melayu,Bahasa Indonesia,Bahasa Arab ,Bahasa Urdu dan sebagainya.Beliau pernah menuntut di ‘UIA’ di Islamabad ,Pakistan dan sempat aktif dengan pelbagai misi kemanusiaan di serata dunia walaupun berkerja sebagai pemandu pelancong.



Pada mulanya saya beratur panjang bersama pengunjung-pengunjung yang lain dan kemudiaannya saya mengikuti rombongan Malaysia dibawah kendalian Murat ini untuk sama-sama ‘check in’ sebagai satu rombongan.



Sahabat saya yang menuntut di Turki,Irfan Abad turut hadir di lapangan terbang ini sewaktu saya sedang beratur menunggu giliran untuk ‘check in’.Kami kadangkala saling menghubungi melalui Facebook dan beliau pada mulanya ingin mengirim beberapa bukunya kepada saya untuk dibawa pulang ke Malaysia.



Rombongan Malaysia yang saya jumpa di lapangan terbang ini terdiri daripada beberapa orang kebanyakannya ‘geng pencen’.Ada dikalangan mereka yang membuka syarikat pelancongan dan agen umrah-haji.Ada juga seorang pensyarah UITM dan ibunya yang sudah tua tetapi kelihatan masih sihat.Saya bertanya kepada nenek ini berapa banyak negara yang beliau sudah lawati dan ternyata nenek ini telah melawat lebih banyak negara di seluruh dunia daripada saya.Lantas saya merasa tercabar....



Ada seorang yang pernah aktif bersama KPIP (badan gabungan PKPIM di Perak)dan ABIM suatu ketika dahulu dan ada juga yang pernah satu sekolah bersama-sama Dato Dr Siddiq Fadzil,Presiden Wadah dan mantan Presiden ABIM.



Atas kapal terbang dari Istanbul ke Tashken yang bergerak 1 jam lewat dari jadual asalnya ini,pada mulanya saya duduk bersebelahan seorang dari Uzbekistan dan kemudiannya saya bertukar kerusi dengan seorang dari Jepun dan duduk bersebelahan dengan dua orang pakcik dari Malaysia yang pernah aktif bersama KPIP dan ABIM dan satu sekolah bersama-sama Dato Dr Siddiq Fadzil itu.Sepanjang perjalanan pakcik itu banyak bersembang tentang pengalamannya bersama ABIM dan kisah-kisah perjuangan Allahyarham Fadzil Nor dan kisah Anwar Ibrahim menyertai UMNO dahulu.Saya juga sempat meneruskan bacaan buku berkenaan Fethullah Gulen yang saya dapat percuma tempoh hari.



Transit di Tashkent kali ini lebih sekejap daripada transit disini sewaktu dalam perjalanan ke Istanbul dari Kuala Lumpur dahulu.Di lapangan terbang Tashkent ini saya sempat berkenalan dengan seorang pelancong dari Russia yang juga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk bercuti.Di sini juga saya bertemu kembali dengan seorang rakyat Uzbekistan yang belajar di Malaysia yang saya sudah temui sewaktu transit di sini dalam perjalanan ke Istanbul dahulu.



Atas kapal terbang dari Tashkent ke Kuala Lumpur,sayaduduk bersebelahan dengan dua orang rakyat Uzbekistan yang bakal melanjutkan pelajaran di Malaysia.Saya sempat belajar cara sebutan asas Bahasa Uzbekistan yang pernah saya catat dalam nota saya berpandukan majalah Uzbekistan Airways sebelum ini.



Akhirnya,saya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur setelah satu bulan kembara menyertai 3 program di Turki.Menyertai rombongan lawatan bersama MTDS melihat gerak kerja geng Hizmet Gulen selama 2 minggu,menyertai Devan Educational Forum anjuran Hayret Vekfi selama seminggu dan menyertai International Youth Gathering anjuran UNIW selama seminggu dan beberapa hari program kembara sendiri di Turki pastinya merupakan satu kenangan terindah yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.



Mungkin tidak semua pengalaman sebulan berada di Turki ini dapat dinukilkan dalam catatan kembara ini.Ada juga yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.Namun begitu,semoga catatan ini mampu mengingatkan diri penulis dan para pembaca sekalian akan hakikat kehidupan kita selaku pengembara yang singgah sebentar di dunia yang sementara ini.Sampai waktunya nanti,kita semua akan kembali semula ke destinasi abadi kita.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics