16 Julai 2011
Hari ini semua peserta IYG 6 dibawa untuk mengikuti ‘Bosphorus Tour’ dengan menaiki kapal beramai-ramai mengelilingi Selat Bosphorus hampir 2 jam perjalanannya.Ini merupakan ‘Bosphorus Tour’ yang kedua bagi saya selepas mengikutinya bersama rombongan MTDS sebelum ini.Cuma kali ini sedikit berbeza dengan jumlah peserta yang lebih ramai dan juga kapal yang lebih besar bahkan ditempah khas hanya untuk peserta IYG 6.
Turut menyertai kami atas kapal ini ialah Prof Dr Mohamad A. Siddiqi ,seorang profesor di
Western Illinois University dan aktif dengan International Association of Media and Communication Research (IAMCR), Council for a Parliament of World Religions (CPWR) dan World Council of Muslims for Interfaith Relations (WCMIR).
Saya bersembang-sembang dengan beliau dan beliau memberitahu saya yang beliau pernah aktif bersama IIFSO pada tahun 70 an dahulu dan merupakan sahabat baik kepada Anwar Ibrahim,Kamarudin Mohd Nor dan aktivis ABIM era 70 an yang lain.Beliau banyak menulis buku berkenaan media dan komunikasi.
Aktiviti kami di atas kapal ini sangat bebas dan santai.Kami dijamu dengan makanan dan minuman , bersembang-sembang dan bergambar di atas kapal dengan pemandangan Selat Bosphorus dan kawasan sekelilingnya yang sangat indah.Program santai ini berjaya mengeratkan lagi persaudaraan antara peserta-peserta IYG 6.
Selepas selesai ‘Bosphorus Tour’ kami dibawa ke sebuah restoran mewah di atas bukit di Camlica,kawasan atas bukit yang pernah saya kunjungi bersama rombongan MTDS dan juga bersama peserta-peserta Devan Educational Forum sebelum ini.Di dalam restoran ini diadakan satu majlis santai penyerahan sijil penyertaan IYG 6 kepada semua peserta IYG 6.Majlis ini turut dihadiri oleh wakil gabenor Camlica , SU UNIW,Necmi Sadiqoglu dan wakil koordinatorUNIW,Cihangir Isbilir.
Majlis ini dimulakan dengan pengisian oleh Prof Dr Mohamad A. Siddiqi yang mengimbau kenangan beliau sewaktu mengikuti himpunan pemimpin pemuda antarabangsa beberapa puluh tahun yang lalu dimana mereka juga berhimpun ditempat yang sama kami berhimpun pada hari ini.Himpunan pemimpin pemuda antarabangsa tersebut akhirnya berjaya melahirkan para pemimpin di seluruh dunia dan oleh kerana itu beliau dalam ucapannya optimis dan menaruh keyakinan yang tinggi bahawa akan ada dikalangan peserta IYG 6 ini yang bakal menjadi pemimpin berpengaruh suatu masa nanti.Beliau menekankan kepentingan rasa persaudaraan sesama manusia dan berharap para peserta IYG 6 ini membuat persiapan yang sewajarnya sebelum memimpin dunia suatu masa nanti.
Wakil gabenor Camlica pula memberikan satu pidato yang cukup bersemangat dalam Bahasa Turki dan kemudiannya diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris.Beliau membawa isu sosial yang melanda ummat di seluruh dunia seperti kebuluran,kemiskinan,penindasan dan sebagainya serta menasihatkan peserta IYG 6 untuk membina segala kekuatan seperti kekuatan politik dan kekuatan ekonomi agar dapat membantu kelompok yang sedang mengalami kesusahan dan penderitaaan di seluruh dunia.
SU UNIW dan wakil kordinator UNIW pula merumuskan tujuan diadakan program IYG ini antaranya untuk membina satu jaringan persaudaraan anak muda Islam dan mengulangi harapan yang diulang-ulang sewaktu IYG 3 di Indonesia dan IYG 5 di Maghribi iaitu agar suatu hari nanti IYG dapat diadakan pula di Baghdad atau di Afghanistan atau di Masjidil Aqsa.
Selepas tamat majlis penyerahan sijil penyertaan IYG 6 ini,kami pun pulang ke asrama penginapan.Selepas berehat beberapa seketika,saya bersama sahabat-sahabat Malaysia yang lain mengikuti beberapa orang sahabat Turki untuk menghantar sahabat dari Iraq yang akan pulang ke negaranya pada malam ini juga.Van yang membawa kami berhenti berdekatan stesyen tren keretapi sebelum kami menaiki keretapi beramai-ramai sehingga tiba di stesyen keretapi lapangan terbang.
Selepas salam perpisahan dengan sahabat dari Iraq tersebut,kami menaiki keretapi kembali untuk pulang ke asrama penginapan.Dalam perjalanan sewaktu tiba di stesyen keretapi yang sedikit jauh dari asrama penginapan,kami bertemu dengan 2 orang pelancong dari Belanda yang sedang mencari jalan untuk pulang ke hotel penginapan mereka.Mereka berdua masih menuntut di sebuah universiti di Belanda dan datang ke Istanbul untuk bercuti.Kedua orang tersebut mengalami kesukaran komunikasi memandangkan mereka tidak boleh berbahasa Turki jadi mereka meminta tolong sahabat dari Turki untuk membantu mereka.Sahabat dari Turki terus membantu mereka sebelum kami sama-sama pulang berjalan kaki beberapa minit menuju ke asrama penginapan.
Esok merupakan hari terakhir IYG 6 dan saya dapat rasakan masa berlalu dengan cukup pantas.Rasa sayu mula terasa sewaktu menghantar sahabat yang akan pulang ke destinasi masing-masing.Ini mengingatkan saya sewaktu salam perpisahan dengan sahabat-sahabat IYG 3 di Jakarta dan IYG 5 di Maghribi yang menyaksikan ramai peserta yang menangis mengalirkan air mata sewaktu ingin berpisah dengan sahabat-sahabat yang lain.
Ternyata penangan persaudaraan dalam program singkat selama satu minggu ini cukup meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam hati setiap peserta IYG...
No comments:
Post a Comment