Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Wednesday, December 31, 2008

Teater anti ISA 'Bilik Kecil'

21 Disember 2008-Malam ini saya berkesempatan menonton Teater anti ISA 'bilik kecil' -Teater bukan teater’ anjuran Majlis Peguam dan Gerakan Mansuhkan ISA bertempat di Majlis Peguam@Bar Council berdekatan dengan Pasar Seni@Central Market.

Sambutan daripada penonton amat memberangsangkan barangkali disebabkan teater ini hanya mengenakan bayaran sebanyak RM 10(untuk tabung mangsa ISA) dan juga disebabkan penonton yang hadir pada malam ini ingin mengetahui tentang situasi sebenar yang dialami oleh tahanan ISA di Kamunting.

Teater bilik kecil ini menampilkan hanya seramai 6 orang pelakon tetapi mampu menggambarkan secara kasar beberapa peringkat dan proses yang akan dihadapi oleh seseorang tahanan ISA.

Dalam teater yang diarahkan oleh bekas tahanan ISA,Hishamudin Rais ini ,digambarkan suasana sesi soal siasat antara polis cawangan khas(SB) dengan aktivis reformasi .

Soal siasat oleh SB terhadap aktivis reformasi ini dipenuhi dengan carut-marut ,tengking,belasah,pukul,tampar,terajang dan 1001 cara yang digunakan oleh SB untuk mendapatkan maklumat dan mengorek rahsia pergerakan reformasi.
Turut digambarkan dalam teater ini ialah kisah penderitaan yang dialami oleh para isteri tahanan ISA tatkala suami mereka ditahan di bawah ISA.

Teater ini agak santai dan dipenuhi dengan unsur komedi lucu namun cukup untuk memberi kesan kepada penonton untuk lebih memahami tentang nasib seseorang yang ditahan di bawah ISA.

Tuesday, December 30, 2008

Gazebo di Kompleks Perdana Siswa UM: Jadikan ia medan terbuka mahasiswa UM berhimpun,bersuara dan berkarya

Kadang-kadang saya terfikir apakah tujuan pihak Universiti Malaya mewujudkan ‘Gazebo’ di Kompleks Perdana Siswa(KPS) .Bukannya murah kos pembinaan gazebo ini dan sebarang pembaziran perlu dielak apatah lagi ia melibatkan penggunaan wang rakyat.

Amat malang sekiranya kewujudan Gazebo di KPS yangtersergam indah ini tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya dalam usaha melahirkan mahasiswa yang benar-benar menjiwai makna mahasiswa seterusnya mampu menyumbang kepada agama,bangsa dan tanah air.

Jika dilihat sebelum ini Gazebo di KPS seringkali meriah sebagai pentas utama penganjuran program-program berbentuk hiburan semata-mata tetapi agak lesu dengan program-program yang dapat memperkasakan budaya ilmu dan tradisi keintelektualan mahasiswa.
Di universiti-universiti ternama dunia seperti di Universiti Oxford,Universiti Harvard,Universiti Cambridge dan sebagainya juga mempunyai kawasan terbuka seperti gazebo ini tetapi apa yang menariknya ia dijadikan pentas utama untuk mahasiswa berhimpun,bersuara dan berkarya atau dengan kata lain ia menjadi milik mahasiswa dan mahasiswa bebas untuk memanfaatkannya dengan sebaik mungkin dalam mengasah bakat, mengilap potensi dan mencabar pemikiran mereka agar menjiwai makna mahasiswa yang hakiki.

Kedudukan gazebo di KPS yang dikira agak strategik bahkan menjadi kawasan lalu lalang mahasiswa Universiti Malaya sewajarnya diambil kesempatan oleh aktivis-aktivis mahasiswa untuk mengadakan program-program terbuka seperti pidato umum,debat,forum ,wacana,bedah buku ,deklamasi puisi dan lain-lain program yang diisi sepenuhnya oleh mahasiswa untuk mahasiswa.

Cuma yang menjadi persoalannya apakah pihak pentadbiran Universiti Malaya bersedia memberi ruang kepada mahasiswa untuk memanfaatkan gazebo di KPS ini sebebas-bebasnya tanpa sebarang gangguan (dengan pemantauan sahaja)?

Kalau benar pihak pentadbiran Universiti Malaya mahu menekankan aspek komunikasi,ketrampilan,pembinaan syahsiah dan lain –lain kepada mahasiswa seperti mana yang sering dilaung-laung dan digembar-gemburkan oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya,maka tiada jawapan lain yang perlu dijawab oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya kepada mahasiswa keseluruhannya melainkan membenarkan mahasiswa menghidupkan dan merancakkan gazebo di KPS ini dengan program-program yang menjunjung tinggi budaya ilmu dan tradisi keintelektualan mahasiswa!!!

Monday, December 01, 2008

IAS-AEI International Conference New Horizons in Islamic Area Studies:Islamic Scholarship Across Cultures and Continents(3)

Dalam program IAS-AEI International Conference New Horizons in Islamic Area Studies:Islamic Scholarship across cultures and continents ini terdapat slot pembentangan poster di mana setiap pembentang akan membentangkan hasil kajian mereka dan para peserta boleh bersoal-jawab dengan mereka secara bersemuka.

Saya sempat melihat ‘pameran’ poster-poster para pembentang dan beberapa poster hasil kajian orang Jepun ini benar-benar menarik perhatian saya.

Akiko Komura

Wanita ini mengkaji tentang sejarah perkembangan Islam di Jepun .Penuntut PHD dari Sophia University ini memberikan kad namanya kepada saya dan saya melihat emailnya dan mendapati beliau menggunakanan nama emailnya dengan Saladin lantas saya bertanya beliau apakah dia mengkaji tentang Salahuddin Al-Ayubi dan dia memberitahu saya dia meminati ketokohan Salahuddin Al-Ayubi setelah membuat beberapa kajian tentangnya.

Sachiko Hosoya-

Penuntut PHD dari School of nursing,College of Medicine,Toho University ini mengkaji tentang peranan ngo perubatan Syiah di Iran.Dan dia memaklumkan kepada saya beliau telah beberapa kali pergi ke Iran dan melihat usaha ngo-ngo perubatan di sana yang dipimpin oleh golongan wanita dalam memberi khidmat kepada masyarakat terutamanya golongan tua di Iran.

Tobina Hiromi-

Penuntut PHD dari Kyoto University ini mengkaji tentang kehidupan rakyat Palestin di Jerusalem di bawah jajahan rejim Israel.Beliau telah beberapa kali menjejakkan kaki ke Palestin dan membuat penyelidikan juga tentang tembok pemisah yang dibuat oleh rejim Israel untuk menghalang kebangkitan rakyat Palestin.

Akiko Horiba

Penyelidik dari Institut Titian Perdamaian,Indonesia ini mengkaji tentang konflik antara umat Islam dan Kristian di Ambon dan Maluku di Indonesia.Beliau boleh bertutur dalam bahasa Indonesia dengan fasih .Apabila saya bertanya tentang agama anutannya beliau menjawab beliau tidak menganut mana-mana agama tetapi tetap percaya kepada tuhan.

Hiroki wakamatsu

Penuntut PHD dari Sophia University ini telah memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang wanita Turki.Beliau mengkaji tentang Gerakan Cemaat dan Alevi di Turki dan juga tentang pertentangan antara puak sekular dan Islam di Turki.

Sai Yukari-

Penuntut PHD dari Waseda University ini membuat kajian tentang perkongsian makanan antara penduduk Islam dan bukan Islam di masjid –masjid dalam kawasan majoriti bukan Islam di Negara China.Pihak masjid akan menyediakan juadah makanan di masjid dan penduduk Islam dan bukan Islam di sana boleh berkongsi juadah tersebut bersama.

Takayuki Yokota-

Fellow penyelidik dari The Japan Institute of International Affairs(JIIA) membuat kajian tentang pengajian timur tengah dengan fokus kajiannya di Mesir.Beliau turut mengkaji tentang gerakan Ikhwanul Muslimin dan Hassan Al-Banna dan bahkan sempat menemubual Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin sekarang.

Hirano Junichi

Penuntut PHD dari Kyoto University ini mengkaji tentang dokotomi antara Syiah dan Sunni dan juga tentang Jamaluddin Al-Afghani dan Pan Islamisme.
Beliau bertanya kepada saya tentang ISTAC dan mengetahui juga tentang Syed Mohamad Naquib Al-Attas dan beliau bercadang ingin melawat perpustakaan ISTAC yang terkenal dengan manuskrip,buku-buku,dan bahan rujukan yang bernilai yang terdapat di sana.

Fujii Chiaki-

Penuntut PHD dari Kyoto University ini membuat penyelidikan tentang konsep perubatan nabi di Afrika.Beliau juga membuat perbandingan antara konsep perubatan nabi dan perubatan Barat dan mendedahkan beberapa kelemahan konsep perubatan Barat terutamanya kegagalan mengubati aspek spiritual manusia berbanding dengan konsep perubatan nabi.

Antara tajuk kajian orang Jepun

Shi’a Islam and the activities of nursing care NGO’s in Iran:The example of Kahrizak Charity Foundation

Diversification of madrasa education in rural Bangladesh-comparative study of four villages

Alevi and Cemaat Movements in Contemporary Turkey:The current state of Islam

Palestinian lives in east Jerusalem under Israeli Occupation:Case studies of the residency right and housing problem

Beyond the sunni-shiite dichotomy:Rethinking Al-Afghani and his Pan-Islamism

Prophet medicine today:case studies in east Africa

Jawi and ideas of community:dynamics among muslim networks and nation-states in 20th century southeast asia

Transformations of Japanese muslims:A history of Islam in Japan

The tide of Islam or a means to independence?-The Young Men’s Muslim Association in the mandatory Palestine

Kebanyakan calon-calon PHD yang membentangkan poster mereka ini rata-ratanya masih muda lingkungan umur 25-30 tahun dari beberapa buah universiti di Jepun seperti Sophia University,Waseda University,Toho university,Kyoto University dan lain-lain lagi.

Mereka cukup berani membentangkan hasil kajian mereka walaupun tidak semua yang fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Dan hasil kajian mereka yang kebanyakannya bukan beragama Islam ini tentunya sangat bermanfaat kepada umat Islam dan kita dapat melihat bagaimana universiti-universiti di Jepun dan kerajaan Jepun sendiri yang berani melabur dalam bidang pendidikan dengan tumpuan penuh kepada aspek penyelidikan dan kajian.

Maka tidak peliklah kita melihat Jepun berjaya melahirkan cendekiawan dalam bidang pengajian Islam ,cendekiawan Islam merentasi budaya dan benua.Islam untuk semua!!!

IAS-AEI International Conference New Horizons in Islamic Area Studies:Islamic Scholarship Across Cultures and Continents(2)

Jepun lahirkan cendekiawan Islam

Penubuhan pusat penyelidikan di beberapa buah universiti-kolej di Jepun telah berjaya melahirkan ramai cendekiawan Jepun dalam bidang pengajian Islam dan telah meningkatkan penerbitan ilmiah berkenaan Islam yang kadangkala tidak diketahui oleh umat Islam sendiri.

Selepas peristiwa 11 September 2001,perkembangan Islam di Jepun sangat memberangsangkan dan timbul keinginan di kalangan rakyat Jepun untuk mengetahui dan mendalami ajaran agama Islam bahkan terjemahan al-quran dalam bahasa Jepun mendapat permintaan yang cukup tinggi.

Malulah dengan orang Jepun!

Sempat seorang pensyarah dari Fakulti Sastera Sains Sosial UM yang duduk bersebelahan saya membisikkan ke telinga saya kita patut rasa malu dengan usaha orang -negara Jepun yang bersungguh-sungguh menaja program antarabangsa tentang pengajian Islam ini berbanding dengan orang-negara Islam sendiri!

Duta Jepun cakap Bahasa Melayu

Saya tertarik dengan ucapan Duta Jepun di Malaysia yang memulakan ucapan beliau dengan bahasa ibunda beliau,bahasa Jepun(rasa macam kat Negara Jepun pula ketika itu-sedangkan ketika itu saya di Hotel Nikko Kuala Lumpur bukan di Hotel Nikko,Tokyo!)dan kemudiaanya berusaha bercakap dalam Bahasa Melayu yang saya kira lebih baik (baku) daripada rakyat Malaysia sendiri!

Ketepatan masa peserta Jepun

Sepanjang program ini saya memerhatikan bagaimana budaya menepati masa di amalkan oleh peserta- peserta dari Negara Jepun.

Pihak penganjur terpaksa menunggu lama untuk memastikan kehadiran para peserta sebelum meneruskan program selanjutnya selepas sesi rehat dan saya perhatikan peserta dari Negara jepun inilah yang paling awal masuk ke dalam dewan untuk mengikuti program seterusnya.

Pembentangan kertas-kertas kerja

Pembentangan kertas kerja dibahagikan kepada beberapa sidang dalam satu masa dan para peserta boleh memilih sidang mana yang ingin diikuti mengikut topik-tajuk pilihan yang telah ditetapkan.

Antara yang menjadi moderator dan pembentang kertas kerja dari kalangan tokoh tempatan ialah Dr.Usman El-Muhammady,Prof Mohamad Abu Bakar,Prof Dr.Redzuan Osman dan lain-lain.

Saya sempat mengikuti beberapa sidang yang membentangkan topik berkenaan Islam dan kesenian dan Islam ,keamanan dan keselamatan.

Dalam sidang Islam dan kesenian,Pengerusi Yayasan Restu,Dato abdul Latif Mirasa membentangkan tentang usaha Yayasan restu memperkembangkan kesenian Islam di Malaysia.

Saya cukup tertarik dengan pembentangan daripada Dr.Annabel Teh Gallop dari British Library,United Kingdom(bukan Islam) yang membentangkan tentang aspek kesenian dalam Al-Quran yang merangkumi manuscript,tulisan khat,kalighrafi,hiasan ,warna dan motif dalam Al-Quran yang seringkali dilupakan oleh umat Islam sendiri

Fuad Kouichi Honda,pakar kalighrafi-khat dari Jepun(Islam) pula membentangkan tentang kalighrafi dan tulisan khat yang cukup menarik seperti diwani,ruq’a,thulth,naskh,kufi dan lain-lain.Beliau menunjukkan bagaimana melalui kalighrafi dan khat kita dapat melukis lukisan haiwan dengan penuh unsur kesenian.

Saya sempat menyalin kata-kata Bablo Piccaso yang dibawa dalam pembentangan beliau iaitu :-

‘When wanting to reach a final end in drawing ,I realized that the art of Islamic calligraphy had started it before’

Bersama pengerusi Yayasan Restu,Dato Abdul Latiff Mirasa

Ketika waktu rehat program,saya sempat berjumpa dengan Dato Abdul Latiff Mirasa.Saya memberitahu beliau tentang usaha PBMUM untuk mengadakan program yang boleh mengangkat martabat Bahasa Melayu termasuk juga tulisan jawi dan khat.

Beliau mencadangkan kepada saya supaya diadakan program berkenaan cop mohor dan ini sekaligus dapat menyemarakkan perjuangan tulisan jawi dan khat.PBMUM akan berkerjasama dengan Yayasan Restu selepas ini untuk mengadakan sebarang program yang berkaitan nanti Insya Allah.

Bersama Eksekutif kanan kaligrafi Yayasan Restu

Saya juga sempat berbual dengan En.Abdul Baki Abu Bakar yang berkerja sebagai Eksekutif kanan kaligrafi di Yayasan Restu.Beliaulah yang melukis kalighrafi dank hat ketika pameran Yayasan Restu sepanjang program antarabangsa ini yang mana mendapat perhatian daripada para peserta luar Negara.Saya bertanya kepada beliau dari mana beliau belajar kaligrafi dan khat dan beliau mengatakan beliau belajar dengan pakar khat terkemuka Malaysia,Ustaz Yusuf Abu Bakar(tulisan tangan khat beliau terdapat di beberapa dinding masjid di Malaysia seperti di Masjid Putrajaya dan Masjid Negara)

IAS-AEI International Conference New Horizons in Islamic Area Studies:Islamic Scholarship Across Cultures and Continents(1)

Sekali lagi bertuah.....

Cuti semester pada kali ini menyaksikan saya sekali lagi tergolong dalam kalangan mahasiswa sang penuntut ilmu yang bertuah(amanah yang disangka tuah?Bak kata Dato Dr.Siddiq Fadzil)
Alhamdulillah Syukur pada Allah.
Cuti semester tahun lalu dengan izin Allah jua saya dapat menghadiri program International Conference on Islamophobia di Istanbul,Turki mewakili delegasi PKPIM.

Dan cuti semester kali ini pula saya mendapat rezeki menghadiri program IAS-AEI International Conference New Horizons in Islamic Area Studies:Islamic Scholarship Across Cultures and Continents atau Ruang linkup baru untuk pengajian islam:cendekiawan islam merentasi budaya dan benua anjuran Institut Asia Eropah(AEI),Universiti M alaya dengan kerjasama NIHu Program Islamic Area Studies(Jepun).Program ini juga mendapat tajaan daripada Yayasan Restu ,kedutaan Malaysia di Jepun dan kedutaan jepun di Malaysia.

Program antarabangsa ini dihadiri oleh peserta dari beberapa buah Negara seperti Malaysia,Jepun,Indonesia,Amerika,Filipina,Thailand,Belanda,Nigeria,England dan lain-lain manakala tempatnya diadakan di Hotel Nikko(milik Jepun di Kuala Lumpur!) selama 3 hari berturut-turut(22-24 November 2008)

Sertai program antarabangsa secara percuma!

Saya mendapat maklumat tentang program ini daripada seorang sahabat yang sering mengikuti seminar-seminar bersama, Isa Tan dan kemudiannya saya mendaftar nama di Institut Asia Eropah UM.

Pihak penganjur mengambil nama saya sebagai peserta dan berjanji akan menghubungi saya jika masih terdapat kekosongan untuk program antarabangsa ini.
Sehingga sehari sebelum program berlangsung,pihak penganjur masih belum menghubungi saya dan barangkali saya fikir tiada kekosongan untuk mneyertai program ini walaupun saya betul-betul sangat berharap dapat menyertainya.

Isa Tan mengalami nasib yang sama dengan saya namun begitu beliau mencadangkan agar kami pergi sahaja mendaftar pada pagi hari pendaftaran program tersebut.

Bersama –sama dengan 2 orang sahabat dari Indonesia(pelajar PHD Ekonomi) dan seorang pelajar dari Turki-Iraq,Saya,Isa dan juga hafizol menaiki teksi menuju ke Hotel Nikko berdekatan sahaja dengan stesyen LRT Ampang Park(kami sebenarnya tidak mengetahui pun lokasi Hotel Nikko-sepatutnya boleh menaiki lrt dari stesyen universiti terus ke stesyen Ampang Park(tambang rm 2.10 berbanding teksi rm 12.50!-pengajaran-pastikan lokasi program dahulu ya!)

Sampai sahaja kami disana kami terus ke kaunter pendaftaran dan pihak penganjur meminta kami menunggu sebentar dan kemudiannya memanggil kami dengan khabar gembira;kami boleh menyertai program antarabangsa ini secara percuma!
Selepas mendaftar sebagai peserta kami diberi beg yang dipenuhi dengan fail kertas kerja,buku nota,pen dan sebagainya.

Raja Muda perak,Dr Raja Nazrin Shah merangkap Pro Canselor UM merasmikan program ini yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UM,Duta Jepun di Malaysia,Pengarah Institut Asia Eropah(AEI),Universiti M alaya dan pengarah NIHu Program Islamic Area Studies(Jepun).


Ceramah Yusuf Estes di DKU Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Ceramah Yusuf Estes di DKU Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya


Ketika dalam perjalanan pulang ke UM selepas solat jumaat di Putrajaya ,saya mendapat panggilan daripada Nuruddin(wakil Yayasan Al-Khadeem yang menuntut di UM).
Beliau meminta bantuan saya untuk menyelesaikan masalah besar yang dihadapi oleh Yayasan Al-Khadeem apabila usaha untuk membawa Yusuf Estes yang dijadualkan malam ini di UM cuba digagalkan oleh sesetengah pihak .

Menurut beliau pihak HEP UM tidak memberi kelulusan dan keizinan untuk mengadakan program malam ini atas alasan Yusuf Estes tiada dalam senarai penceramah luar yang dibenarkan JAKIM.

Rungsing juga saya memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut.Sebelum ini Nuruddin pernah meminta saya mencadangkan tempat untuk program besar ini dan saya mencadangkan DKU APIUM atau KPS.Tidak banyak yang saya sempat tolong memandangkan masih dalam minngu peperiksaan dan mujur Yayasan Al-Khadeem berkerjasama dengan PMAPIUM untuk memudahkan lagi perjalanan program ini.

Ketika saya baru selesai menghadiri program LAKIUM pula saya mendapat sms dari Nuruddin juga yang meminta saya menjadi pengerusi majlis program Yusuf Estes ini tetapi saya menolak atas beberapa alas an.

Belum pun sempat saya menghubungi pihak JAKIM,saya menerima SMS dari Nuruddin yang mnegatakan program malam ini telah pun diluluskan oleh HEP UM.Alhamdulillah!!!

Saya tak tanya pula secara lanjut lanjut kepada beliau bagaimana semudah itu dapat kelulusan setelah beberapa masalah yang dihadapi sebelum ini.Yang penting program Yusuf Estes ini dapat berjalan lancer tanpa sebarang gangguan.

Bayangkan kalau program ini dibatalkan minit-minit akhir pastinya akan mengecewakan pihak penganjur dan juga para hadirin yang hadir semata-mata ingin mendengar ceramah bekas paderi yang popular di youtube ini.

Ternyata program malam itu mendapat sambutan hangat dari para hadirin yang datang dari seluruh pelusuk tanah air.Dewan Kuliah Utama APIUM sekali lagi dipenuhi orang ramai yang hadir sehingga kerusi-kerusi tidak mencukupi untuk menampung jumlah hadirin dan mereka terpaksa duduk di tangga-tangga DKU ini.(Program Syeikh Mohd Siyam ,Imam Masjidil Aqsa dahulu juga dihadiri orang ramai sehingga memenuhi DKU APIUM ini)

Ceramah yang disampaikan oleh Yusuf Estes ini berkisar tentang ketuhanan dan berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang bekas paderi Kristian dan ceramah ini diselangi dengan unsur-unsur humor yang membuatkan para hadirin tidak berhenti ketawa sambil menghayati isi-isi ceramah beliau.

Sebelum ini saya hanya mendengar nama beliau dalam internet melalui laman web berkenaan beliau dan saya juga pernah mendengar ceramah beliau melalui Youtube.
Bersempena dengan program ceramah Yusuf Estes ini juga turut diadakan penjualan buku-buku di luar DKU APIUM.Saya sempat membeli 2 buah buku terbitan IPSI-Islamic Propagation Society International bertajuk Keajaiban Al-Quran oleh Dr.Gary Miller dan Kisah-kisah paderi memeluk Islam.

Semoga kehadiran Yusuf Estes di Malaysia ini dapat membangkitkan semangat umat Islam di Malaysia untuk terus mendalami Islam , dan menyerlah kan keindahan Islam itu sendiri.

Terserempak dengan Syeikh Wahbah Zuhayli di Masjid Putrajaya

Terserempak dengan Syeikh Wahbah Zuhayli di Masjid Putrajaya

Sebaik sahaja selesai urusan penyerahan memorendom,saya terus ke Masjid Putrajaya untuk solat jumaat .


Ketika khatib sedang membaca khutbah ,mata saya terpaku kepada sosok tubuh seorang tua yang memakai jubah jauh di hadapan saya berjalan menuju ke saf paling hadapan .Dari belakang saya memerhatikan beliau dari jauh walaupun tidak nampak jelas raut wajahnya dan saya yakin beliau ialah Syeikh Wahbah Zuhayli yang pernah saya jumpa dan makan semeja bersama ketika Multaqa Alumni Al-Azhar di KLCC dahulu. (rujuk -
http://ilmuwan-w.blogspot.com/2008/02/kenangan-bersama-syeikh-wahbah-zuhayli.html)

Lantas saya memaklumkan melalui SMS kepada Syahir dan Hafez Sabri yang turut sama dalam sesi penyerahan memorendom dan solat jumaat bersama tentang kehadiran Syeokh Wahbah Zuhayli dan meminta mereka berdua agar tunggu selepas solat jumaat untuk berjumpa Syeikh Wahbah Zuhayli.

Selesai sahaja solat jumaat kami berkumpul semula dan kali ini turut disertai oleh Umar Bagharib dan beberapa orang bekas pelajar APIUM yang kini berkerja di Putrajaya dan kami sama-sama berjumpa dan bersalam dengan Syeikh Wahbah Zuhayli.

Orang ramai yang mengenali Syeikh Wahbah Zuhayli yang diiringi oleh pegawai-pegawai kanan JAKIM dan Masjid Putrajaya berebut untuk bersalam dengan beliau dan mujur pihak kerajaan menyediakan payung khas untuk Syeikh Wahbah Zuhayli yang melambangkan beliau merupakan tetamu kenamaan kerajaan buat orang ramai yang tidak mengenali beliau.

Semoga kembara ulama besar ini yang sering bertandang ke Malaysia untuk menyebarkan ilmu dan risalah dakwah ini diredhai oleh Allah dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya mendapat manfaat.

Penyerahan memorendom penempatan semula pelarian Palestin yang berada di sempadan Syria-Iraq di Malaysia

21 November-

Penyerahan memorendom penempatan semula pelarian Palestin yang berada di sempadan Syria-Iraq di Malaysia

Hari ini saya menaiki ERL di KL Sentral untuk ke Putrajaya(sudah lama tak naik ERL..) untuk menghadiri satu sesi penyerahan memorendom kepada Perdana Menteri(mewakili PBMUM)-‘Memorendom penempatan semula pelarian Palestin yang berada di sempadan Syria-Iraq di Malaysia ‘yang dipimpin oleh Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid(TERAS)

Memorendom yang disokong hampir 20 NGO dan persatuan (termasuk Citizen International- TERAS-PKPIM-PBMUM-Bersatu Perak-ADR Students’ Society) ini dipanjangkan kepada YAB Perdana Menteri dan Menteri Luar oleh delegasi NGO Malaysia yang mengikuti misi lawatan ke tiga buah kem pelarian Palestin di sempada Syria-Iraq pada 9-13 November 2008 yang lalu.

Memorendom ini menggesa kerajaan Malaysia agar membantu pelarian warga Palestin di sempadan Syria-Iraq ini dan menyeru kerajaan Malaysia untuk segera mengambil tindakan dengan menjadi Negara penerima kepada program penempatan semula pelarian Palestin ini.

Beberapa orang wartawan dari NSTP dan NTV 7 sempat menemubual saya untuk mendapatkan beberapa maklumat tentang memorandum ini dan mujur bahan-bahan berkaitan ada dalam laptop yang saya bawa bersama.

Cikgu Azmi yang mengetuai delegasi penyerahan memorendom ini seperti biasa tampil dengan kain pelikatnya.Sempat kami ber ‘usrah’ bersama di bawah pokoh berhadapan Jabatan Perdana Menteri yang mana beliau begitu semangat membangkitkan rasa peduli anak muda terhadap nasib umat Islam yang ditindas di Negara-negara lain.

Beliau juga menasihatkan agar mahasiswa lebih ke hadapan dalam memperjuangkan isu-isu seperti isu Palestin,isu bahasa Melayu dan lain-lain lagi.

LAKIUM 3

LAKIUM 3

Yusri Hafiz,Syeikh Omar Baraghib,Ustaz Muhsin,Ustaz Hasrizal Jamil@Saiful Islam,Ustaz Anwar Ridhwan,Ustaz Hisommudin Bakar,Amin Idris antara mereka yang memberi pengisian dalam LAKIUM ini selain program-program seperti Team building,Jungle Trecking,senamrobik,Flying Fox dan lain-lain lagi yang bagi saya merangkumi aspek pengisian spiritual@rohani, emosi-motivasi ,mental, dan fizikal.

Secara umumnya hasil perbincangan saya sebagai fasilitator dengan ahli-ahli kumpulan untuk mendapat maklum balas tentang program LAKIUM ini saya mendapati mereka berpuas hati dengan pengisian sepanjang LAKIUM ini.

Cuma bagi saya program LAKIUM ini perlu diperkasakan lagi dengan pengisian –pengisian yang mencabar pemikiran terutamanya aspek pembinaan idealisma dan tradisi keintelektualan mahasiswa.

Sebagai cadangannya peserta LAKIUM diminta mengupas beberapa buah buku tulisan tokoh@pemimpin dan mereka diminta berpidato dan berdebat tentang idea pemikiran mereka.

Ini dapat melatih keupayaan mereka menguasai kemahiran seperti pidato atau debat , berfikiran kreatif dan kritis,berani berhadapan dengan orang ramai,lantang bersuara mengatakan kebenaran dan lain-lain yang diperlukan oleh seorang pemimpin.

Dalam LAKIUM ini ada slot dimana peserta diminta mengkaji tentang gaya kepimpinan 4 orang khalifah
(Abu Bakr,Umar,Usman,Ali),Sukarno,Ahmadinejad,Barack Obama,Umar Abdul Aziz,dan lain-lain lagi.

Slot ini cukup menarik tetapi bagi saya peserta LAKIUM perlu juga didedahkan atau mengkaji gaya kepimpinan tokoh-tokoh tempatan seperti Dato Seri Anwar Ibrahim,Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,Tun Dr.Mahathir Mohamad,Allahyarham Ustaz Fadzil Nor dan lain-lain.

Semoga ‘graduan’ hasil ‘universiti’ LAKIUM ini mampu memimpin dan menggerakkan perubahan di kampus Universiti Malaya .


Anak muda berjiwa besar
Takkan gentar segala ugutan
Biar ditohmah kata-kata nista
Tetap berani meneruskan perjuangan
Bersatu hati melawan kemungkaran
gagah mara memimpin perubahan

LAKIUM 2

LAKIUM 2

Sebaik sahaja selesai peperiksaan kertas terakhir,saya pergi ke Bank Islam untuk menyelesaikan urusan pembukaan akaun bersama untuk PBMUM.


Saya bertolak ke Bukit Lagong menaiki motor bersama-sama Hafizol dan disertai oleh Maizatul .Kami tidak berapa pasti perjalanan untuk ke sana tetapi saya menyakinkan mereka berdua tentang perjalanan ke sana memandangkan saya pernah ke sana hampir 15 tahun yang lepas!

Ketika itu BAHEIS(kini JAKIM) mengadakan program Hari Keluarga bersama-sama dengan orang asli di Bukit Lagong.

Jalan ke sana memang banyak yang sudah berubah dan saya begitu teruja apabila motor yang kami lalui melintasi jalan-jalan yang saya pernah lalui suatu ketika dahulu dan yang lebih membuatkan saya teruja apabila melalui Sekolah Kebangsaan Selayang Utama ,sekolah rendah saya dahulu dan juga Taman Bidara , kawasan rumah lama saya dan tempat saya membesar (tadika,tempat permainan dengan kawan-kawan-main ‘polis and thief’,’baling selipar’,sorok-sorok,besbol@roundest,lumba basikal,congkak,bolasepak,badminton dan lain-lain) .

Ketika kami sampai ke Pusat Belia Bukit lagong,program sudah pun bermula dan para peserta sedang beratur mendengar taklimat.
Dari atas motor kami melihat ‘gerombolan manusia’ peserta LAKIUM dengan didominasi oleh peserta wanita yang begitu ramai berbanding peserta lelaki.

Ketika mencari tempat ‘parking’ motor,hampir sahaja berlaku insiden pertama LAKIUM apabila motor yang saya naiki bersama-sama Hafizol hampir terlibat dalam tragedi kemalangan bukan dengan kereta@bas@lori dan lain-lain tetapi dengan motor yang dibawa oleh Maizatul yang ‘konvoi’ bersama-sama.

Nasib baik saya yang duduk di belakang Hafizol sempat melompat dari atas motor dan mujur juga Hafizol dan Maizatul dapat mengawal keseimbangan motor dari berlanggar sesama sendiri.

LAKIUM 1

18-20 November -

LAKIUM 1

Apabila mendapat tahu PMIUM akan mengadakan Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya@LAKIUM pada 18-20 November 2008,saya segera membelek buku perancangan@planner dan mencatatkan pada ruangan tarikh 18-20 November,LAKIUM PMIUM .

Sudah lama saya ingin mengikuti siri-siri latihan anjuran PMIUM memandangkan kali terakhir program latihan yang saya ikuti ialah program ‘JUNTAR’di masjid UIA PJ pada semester satu dahulu.

Saya sering tidak melepaskan peluang mengikuti setiap program anjuran PMIUM seperti kuliah ilmu,ceramah,forum,sambutan sempena bulan-bulan Islam dan lain-lain walaupun tidak pernah mengikuti program tarbiyah PMIUM secara khusus seperti usrah dan tamrin(Kalau dijemput-diajak-dipelawa-pasti saya akan ikut!)
Pada mulanya saya ingin mendaftar sebagai peserta LAKIUM tetapi kemudiannya saya diajak oleh 2 orang penggerak utama LAKIUM(Shafie dan Hadi) untuk menjadi fasilitator dan saya menerimanya memandangkan saya juga sebenarnya berminat menjadi fasilitator@naqib dan sebagainya.

Tarikh 19-21 November sebenarnya dijadualkan program Tamrin Jundi PKPIM UM di Bukit Lagong tetapi memandangkan ada beberapa masalah sedikit program tersebut terpaksa ditangguhkan.

Namun begitu dengan izin Allah jua saya bertandang juga ke Bukit Lagong bukan untuk program PKPIM UM tetapi untuk mengikuti program LAKIUM anjuran PMIUM ini.(KARISMA kampus UITM juga mengadakan program latihan di kawasan yang sama dengan LAKIUM PMIUM ini bahkan lagu tema program PMIUM dan Karisma(nyanyian Alarm Me)turut sama dan modul juga hampir-hampir sama sahaja.

Bayangkan jika PKPIM UM tidak menangguhkan program di sini pasti kita akan menyaksikan siri latihan dakwah bersama PMIUM- KARISMA PKPIM-!!!

Jumlah pengunjung

web statistics