Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Sunday, October 03, 2010

Konvo Oh Konvo....

Minggu ini sekali lagi kita saksikan kemeriahan majlis konvokesyen beberapa buah institusi pengajian tinggi tanah air.Majlis konvokesyen seolah-olah menjadi majlis kemuncak bagi para penuntut ilmu setelah bersusah payah menghadiri kuliah dan tutorial,menyiapkan kerja khusus,menghadapi peperiksaan dan seribu satu macam aktiviti keilmuan di menara gading.

Mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja mahasiswa yang hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata bahkan cemerlang juga dalam hal kepimpinan,kesukarelawanan,dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Pastinya kewujudan institusi pengajian tinggi tanah air bukanlah semata-mata ingin melahirkan generasi yang hanya tahu mengadap buku dua puluh empat jam,sekadar berada di perpustakaan atau hanya sibuk mengejar sijil,ijazah atau mata gred yang tinggi dalam peperiksaaan sahaja.

Pada era yang cukup mencabar ini,kita memerlukan generasi pelapis yang seimbang dari sudut pencapaian akademik dan keintelektualannya,punya idealisme dan wawasan hidup ,sakhsiah peribadi yang mulia atau kualiti spiritualisme yang tinggi dan terjun ke medan masyarakat dengan kekuatan aktivismenya.

Mahasiswa yang cemerlang juga perlu memiliki penghayatan budaya ilmu yang mendalam seperti rasa cinta kepada ilmu dan para ilmuwan,tabiat membaca buku pelbagai bidang ilmu pengetahuan,rajin menulis,berdebat mencari kebenaran,mengkaji ,menyelidik dan sebagainya.

Sebaik sahaja selesai menghadiri majlis konvokesyen yang gah dengan pakaian jubah rasmi dan istiadatnya,menerima ‘scroll’ di pentas sambil disaksikan para ilmuwan,ibubapa dan keluarga maka bermulalah satu tugas dan amanah keilmuan yang berat bagi setiap mahasiswa.

Betapa besarnya harapan ibubapa,para guru dan pensyarah serta harapan bangsa dan negara keseluruhannya kepada generasi pelapis para cendekiawan dan intelektual agar mereka menjadi insane yang bermanfaat kepada insan lain dengan berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat.

Luahan hati Dato Dr Siddiq Fadzil,Presiden Kolej Darul Hikmah merangkap Presiden Wadah Pencerdasan Ummat(WADAH) dalam ucapannya bertajuk ‘Tragedi keilmuan:Quo Vadis IPT!’ di istiadat Konvokesyen ke 12 Kolej Darul Hikmah wajar dijadikan renungan buat semua.

‘’Hari pengijazahan adalah hari bersejarah dalam hayat seorang pemburu ilmu.Ia harus dimaknai secara yang benar sesuai dengan tingginya nilai ilmu dan beratnya amanah keilmuan.Bagi kami para pendidik,istiadat konvokesyen ini tidak hanya bererti kesempatan berkongsi rasa gembira,tetapi ia juga sebenarnya menyiratkan sebuah harapan,mudah-mudahan tertunailah amanah berat membina generasi anak bangsa dengan ilmu yang bermanfaat dan dengan pendidikan yang memanusiakan

Membina manusia dalam realiti hari ini sering kali terasa seperti menongkah arus.Justeru,zaman ini adalah zaman dehumanisasi ,krisis penghakisan nilai-nilai kemanusiaan.Dengan kata lain,sudah banyak sistem pendidikan masa kini yang gagal melaksanakan misi hakiki pendidikan.Benarlah seperti yang disebut oleh pemikir Islam kontemporari,Malik Ben Nabi bahawa sistem pendidikan kita hanya mampu memberikan kemahiran(maharah/skill) tetapi gagal memberikan kesedaran(al-wa’y/awareness)Demikianlah kenyataan yang sedang kita saksikan ketika ini.Generasi muda kita rata-rata memang cukup terampil dalam bidang pekerjaan yang diceburi tetapi sebahagian mereka tidak lagi memiliki kesedaran kemanusiaan ,kesedaran keislaman dan kesedaran kerakyatan.’’

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics