Hub hiburan malam
Semua manusia sukakan hiburan.Kehidupan jika dijalani hanya dengan penuh tekanan dan sengsara pasti merumitkan.Oleh kerana itu manusia perlu dihiburkan hatinya dan pastinya hiburan itu mestilah selaras fitrah penciptaan manusia agar benar-benar manusia itu mendapat kebahagiaan dan ketenangan hidup.
Mendengar berita keinginan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam membuatkan saya tertanya-tanya,apakah rakyat Malaysia masih tidak cukup dengan hiburan yang sedia ada dan bentuk hiburan yang bagaimanakah yang ingin diwujudkan kerajaan untuk rakyat kononnya demi kelangsungan industri pelancongan negara.
Adakah hub hiburan yang ingin diwujudkan nanti mampu bebas dari arak,judi,dadah,pelacuran dan 1001 perkara negatif pencetus bencana akhlaq masyarakat keseluruhannya?
Ketika membahaskan Surah Al-Mu’minun,Buya HAMKA dalam Tafsir Al-Azhar mengatakan:-
‘’Kadang-kadang kehidupan orang seorang dapatlah disimpulkan kepada tiga kalimat saja:Lahir,Menangis dan Mati’’
Begitulah gambaran singkatnya kehidupan dunia ini yang menuntut manusia supaya memanfaatkan setiap detik kehidupannya dengan amal perbuatan yang berfaedah dan bukan sekadar untuk berhibur semata-mata.
Benarlah apa yang diungkapkan oleh syair penyair ‘’SAMADI’’ Almarhum Anwar Rasyid yang turut dipetik oleh HAMKA dalam Tafsir Al-Azhar tersebut:-
‘’Lahir ke dunia disambut ebang,pulang ke kubur diantar shalat,
Antara azan dengan sembahyang,wahai hidup alangkah singkat’’
Hiburan melampau-budaya hedonisme yang diagungkan oleh kelompok yang tidak menemui hakikat kewujudan dan falsafah kehidupannya hanya menjatuhkan martabat seseorang seolah-olah dunia ini dicipta hanya sekadar untuk berhibur siang dan malam semata-mata.Tidak cukup pada waktu siang,waktu malam juga mahu disia-siakan dengan hiburan melampau.
Malaysia yang terkenal dengan hub halalnya pasti terjejas imejnya sekiranya hub hiburan yang bakal diwujudkan nanti tidak menepati ciri halal.Apakah halal pada tanggapan kita sekadar halal pada hal ehwal makanan semata-mata dan hal-hal lain bebas untuk kita harungi tanpa mempedulikan halal haramnya?
Industri pelancongan dan pemerkasaan ekonomi negara dengan perniagaan yang jelas haram pastinya tidak berkat bahkan mampu meruntuhkan kekuatan ekonomi itu sendiri.
Apa jua alasan yang diberikan samada demi kepentingan ekonomi negara sekalipun kita tetap perlu lebih berhati-hati dalam membangunkan masyarakat dan negara dengan mengelakkan sesuatu yang boleh meruntuhkan adab dan akhlak masyarakat.
No comments:
Post a Comment