Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Wednesday, October 13, 2010

Memperkasa pendidikan tinggi negara:halusi kritikan para ilmuwan

Membaca rencana ‘Universiti kita ketandusan idea’ tulisan Profesor A. Murad Merican ,Profesor Ilmu Kemanusiaan ,Universiti Teknologi Petronas dan rencana ‘Pendidikan: Mencari kebenaran’ tulisan Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ,Naib Canselor Universiti Sains Malaysia membuatkan saya berfikir lebih mendalam tentang masa depan pendidikan tinggi di universiti-universiti tanah air.

Kritikan membina terhadap institusi pendidikan tanah air daripada ilmuwan tanah air perlulah diberi perhatian oleh semua pihak.Tiada tujuan lain mereka melontarkan pandangan mereka melainkan mahu memperkasakan dan mengangkat maruah institusi pendidikan negara .

Sebagai anak muda yang pernah menuntut di institusi pengajian tinggi tanah air,saya dapat merasakan keprihatinan Profesor A. Murad Merican dalam memperkasakan bidang-bidang ilmu yang kelihatan terpinggir seperti ilmu sains sosial,ilmu kemanusiaan termasuklah ilmu yang seringkali dianggap sukar,tidak membumi,terlalu melangit,hanya ilmu teori dan konseptual semata-mata iaitu pengajian falsafah.

Profesor A. Murad Merican dalam rencananya ‘Universiti kita ketandusan idea’ menulis :-

‘’Salah satunya ialah institusi-institusi pengajian tinggi seperti Harvard University, Yale University, University of Oxford, University of Cambridge dan Massachussetts Institute of Technology telah mengekalkan dan memperkasakan kecemerlangan bidang-bidang sains sosial, dan ilmu kemanusiaan, termasuk falsafah. Sedangkan universiti-universiti di Malaysia mengenepikan dan mengabaikan pengajian tersebut.Malah di antara kira-kira 60 buah universiti di Malaysia, kurang dari lima mempunyai Jabatan/Bahagian Sejarah; dan tiada ada Jabatan Falsafah. Jika begitu keadaannya, bagaimana dapat kita mengajar pelajar kita berfikir dan bersoal; bagaimana dapat ahli akademik kita melahirkan keaslian pemikiran dan idea?’’

Mahasiswa,pelajar dan anak muda Malaysia keseluruhannya perlu diajar ilmu-ilmu yang membuatkan mereka mempunyai daya fikir yang kritis,kekuatan berhujah,berdebat berasaskan ilmu,memiliki keberanian untuk bertanya dan mencari jawapan terhadap sebarang persoalan serta mempunyai keupayaan mencetuskan idea dan gagasan besar yang memberi kesan kepada perubahan masyarakat keseluruhannya.

Institusi pengajian tinggi negara jangan sesekali mengabaikan subjek –subjek seperti falsafah,sejarah,sastera,psikologi dan beberapa subjek ilmu kemanusiaan yang lain dan hanya terlampau memberi fokus kepada subjek-subjek yang berkaitan sains dan teknologi.

Anak –anak muda yang dididik dengan ilmu-ilmu kemanusiaan ini mampu dibentuk watak,syaksiah ,akhlak dan peribadinya menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lainnya.

Di tengah-tengah kemelut keruntuhan akhlak yang sering diperkatakan kini wajar sekali anak-anak muda diajar cara berfikir yang benar agar haluan hidup mereka lebih terarah .Hanya anak muda yang memiliki kekuatan berfikir dengan kaedah yang benar mampu memiliki keupayaan untuk mengelak dari terjerumus ke kancah krisis kecelaruan pemikiran yang wujud kini.

Pendidikan yang menyeluruh dengan penekanan kepada proses pembinaan dan pengutuhan insan diharapkan mampu mengembalikan makna dan hakikat pendidikan di institusi pengajian tinggi negara.

Dato Dr Siddiq Fadzil dalam mukadimah penulis buku ‘Pendidikan Al-Hikmah dan misi pencerahan(terbitan bersama Akademi Kajian Ketamadunan dan Kolej Dar Al-Hikmah) telah mengungkapkan hal berikut:-

Krisis yang sedang berlaku dinilai cukup berat kerana telah merebak sampai ke jantung pendidikan itu sendiri sehingga pendidikan telah kehilangan esensinya sebagai proses pembinaan dan pengutuhan insan.

Proses pembinaan dan pengutuhan insan jika diabaikan hanya bakal menyaksikan institusi pengajian tinggi negara sekadar melahirkan graduan yang gah dengan sijil,diploma atau ijazahnya semata-mata tetapi pincang dari aspek akhlak,peribadi dan adabnya.

Maka ketika itu tidak pelik lahir graduan yang cemerlang akademiknya tetapi kemudiaannya pecah amanah,terlibat dalam rasuah,menipu dan sebagainya

Akibat tunduk kepada tekanan pasaran seringkali anak muda di Institusi Pengajian Tinggi negara menjadi mangsa keadaan.Sebilangan Institusi pengajian tinggi terlampau mengikut rentak tarian pasaran sehingga taraf ‘kualiti’,’rangking’,’universiti cemerlang’ pun diukur mengikut kaca mata pasaran semata-mata seolah-olah kita tidak memiliki kekuatan jatidir i untuk mengukur kekuatan dan kelemahan institusi pendidikan kita sendiri.

Benarlah kata Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam tulisannya ‘Pendidikan: Mencari kebenaran’ (Utusan Malaysia, Selasa,12 Oktober 2010) :-

‘’Dengan kata lain, apabila kita heret dunia pendidikan ke dalam kancah 'kualiti' secara melulu, mahu tidak mahu pengaruh ekonomi, pasaran dan kepenggunaan serta petunjuk dan ukurannya terpalit bersama. Secara disedari atau tidak, sifat pendidikan beransur-ansur terpengaruh bagaikan sebuah sistem perkilangan yang menggunakan istilah yang lain tetapi membawa maksud yang sama. Paling jelas adalah 'peperiksaan' yang seerti dengan 'kawalan mutu'; 'pelajar' bagaikan 'bahan mentah' yang perlu ditambah nilai, kemudian digelar 'produk' untuk dipasarkan di dunia pekerjaan. 'Pengajar' bertindak sebagai 'operator' ke atas bahan-bahan mentah (pelajar); yang lebih kanan mungkin bertaraf 'mandur', sedangkan 'bilik-bilik darjah' umpama tempat-tempat nilai tambah dilakukan mengikut giliran!

‘’…..Tetapi pada hakikatnya itulah kesan pendidikan semasa yang menjadikan kita seorang pembeli dan pengguna yang patuh kepada sogokan pasaran apa saja yang dilabelkan berkualiti atas tafsirannya. Kita amat cukup 'terdidik' untuk akur segalanya kerana inilah dunia pendidikan kita. Pendidikan bukannya lagi untuk mencari kebenaran sebagai matlamat terakhir dalam erti kata sebenarnya!’’

Kritikan pedas terhadap institusi pendidikan dan para pentadbirnya boleh dibaca dalam koleksi himpunan pidato kependidikan Dato Dr Siddiq Fadzil dalam buku “ Pendidikan Al-Hikmah dan Misi Pencerahan” dan antara kritikannya seperti berikut:-

-‘Implikasi lain dasar ilmu yang disebut market driven itu ialah beranjaknya fungsi institusi-institusi pendidikan dari membina manusia kepada mengaut keuntungan’

-‘’Justeru,di mana-mana dapat ditemukan pimpinan IPT yang tidak lagi memiliki citra sebagai sarjana tetapi sudah berubah menjadi pencari dana’’

-‘’Warga IPT rata-rata tidak lagi berasa bernaung di bawah naungan teduh seorang sarjana besar,sebaliknya lebih berasa berada di bawah arahan CEO sebuah syarikat’’

(‘’Tragedi Keilmuan:Quo Vadis IPT!’’,teks ucapan Konvokesyen ke 12 Kolej Dar Al-Hikmah)

’ Dalam arus komersialisasi pendidikan yang semakin deras itulah misi dan matlamat pendidikan menjadi semakin kabur.Gejala inilah yang diindikasikan oleh pemakaian istilah ‘’industri pendidikan’ yang pada hakikatnya adalah istilah ekonomi yang merujuk makna pengeluaran barangan secara besar-besaran’’

(‘’Era traumatik-pesimistik pasca 11 September dan Perang Teluk 11:Peranan Pendidikan Islam’’,teks ucapan Konvokesyen ke 13 Kolej Dar Al-Hikmah)

Matlamat pendidikan,tujuan penubuhan institusi pengajian tinggi yang kabur dan tidak jelaslah yang bakal membunuh hasrat kita untuk mengangkat maruah dan martabat institusi pengajian tinggi Malaysia.

Segala teguran dan kritikan membina oleh para cendekiawan dan intelektual tanah air perlu dihadam oleh semua yang komited terhadap perjuangan pendidikan dan sesuatu strategi perlu dilakukan secara sistematik bagi memastikan institusi pengajian tinggi negara tetap berupaya menghadapi cabaran zaman.


No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics