Sekitar tazkirah di Balai Islam Kolej 8 UM...
Sabtu 21 Februari 2009
Saya mendapat jemputan daripada Balai Islam Kolej Kediaman Kelapan UM untuk memberi sedikit pengisian selepas maghrib bertajuk Peranan mahasiswa-mahasiswi dalam menepis fahaman sekularisme..(duduk dalam bulatan ala usrah)
Saya mulakan dengan menyentuh sedikit persoalan budaya ilmu yang hidup di kampus suatu ketika dahulu tatkala tahun 70 an era mahasiswa menggugat-tradisi mencabar.
Saya tidaklah mengupas makna sekularisme secara mendalam tetapi saya mengaitkannya dengan serangan pemikiran dengan mengupas pandangan Mohamad Al-Ghazali tentang ‘isti’mar ruhi wa fikri-‘penjajahan jiwa dan pemikiran’ dan istilah ‘colonasibility’ yang digunakan oleh pemikir dari Algeria Malek Ben Nabi dan sempat juga saya memetik kata-kata @puisi keramat Allahyarham Dr.Burhanuddin Helmi -
Di atas runtuhan kota Melaka ,
kita bangunkan jiwa merdeka
bersatu-padulah segenap baka
membela hak keadilan pusaka
(dengan memberi penekanan terhadap kupasan erti jiwa merdeka)
Persoalan tentang jiwa hamba-khalifah yang sering saya dengari dan baca melalui siri ceramah dan buku Prof Dr.Sidek Baba juga sempat saya bicarakan sambil menyeru hadirin yang hadir supaya tidak mentuhankan manusia (sambil membawa contoh rasa takut sesama manusia,AUKU-HEP-KPT dan lain-lain)sebaliknya mentuhankan Allah yang Maha Esa.
Peranan CIA dalam menghidupkan serangan pemikiran secara halus terhadap umat Islam terutamanya selepas tragedi 11 September 2001 turut saya kupas dan juga apa yang dinyatakan oleh Condoliza Rice iaitu ’to win the war on terror we must win a war of ideas’.
Dalam pengisian ini juga saya membicarakan Sekularisme yang cuba memisahkan peranan agama dalam kehidupan dan pemisahan antara hal ehwal dunia dan akhirat dan membawa bentuk-bentuk sekularisme terutamanya dari sudut politik,pendidikan,ekonomi dan sosial
Dari aspek pendidikan pula saya tekankan soal dokotomi ilmu yang berlaku dan saranan untuk mengintegrasi kan ilmu.
Aspek ekonomi pula saya menyentuh tentang kegagalan sistem kapitalisme dan sosialisme,tentang riba dan monopoli yang menyebabkan yang kaya terus kaya yang miskin papa kedana(meminjam kata yang sering diungkap oleh DSAI)
Dari aspek sosial masyarakat pula saya menyentuh tentang keruntuhan akhlak serta jenayah yang berleluasa dan juga akibat mengabaikan prinsip amar makruf nahi mungkar.
Peranan media di era globalisasi dalam menyebarkan faham sekularisme ini juga menjadi topik pilihan saya dan saya juga menekankan keperluan memahami faham liberalisme masa kini dengan mengambil contoh bagaimana gerakan Islam era 70 dahulu menangani faham sosialisme dengan memahami persoalan sosialisme dan membawa hujah-hujah Islam yang meyakinkan sekaligus menenggelamkan faham sosialisme.
Sebagai nasihat buat diri saya dan hadirin yang hadir dalam pengisian tersebut saya menyeru semua yang hadir untuk menuntut ilmu yang benar daripada ulama dan ilmuwan yang mempunyai authoriti dalam bidang masing-masing,menekankan soal ketauhidan dan ketuhanan ,mengetahui tentang sejarah tamadun Islam dan tamadun-tamadun lain terutamanya tamadun Barat,memahami bentuk jahiliyah moden dengan segala isme-ideologi ciptaan manusia, dan bersama-sama dengan perjuangan gerakan mahasiswa Islam di kampus untuk menyuburkan budaya ilmu dan tradisi keintelektualan mahasiswa.
No comments:
Post a Comment