Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Thursday, January 28, 2010

The 3 Rd International Youth Gathering,Jakarta-Bandung,Indonesia(1)

Saya berkesempatan mewakili PKPIM (menggantikan seorang sahabat yang tidak dapat hadir minit-minit akhir)ke program ‘The 3 rd International Youth Gathering ‘yang berlangsung di Jakarta dan Bandung mulai 17 hingga 24 Januari 2010.

Perhimpunan ini dianjurkan oleh The Union of Non Govermental Organizations of Islamic World(UNIW-www.theunity.org) dengan kerjasama Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia(KAMMI),Nuansa Islam Universitas Indonesia(SALAM UI),Komuniti Kemanusian Indonesia(KKI ),dan Rumah Zakat Indonesia(RZ1) dan ia merupakan kali pertama dianjurkan di Indonesia setelah perhimpunan 1 dan 2 yang telah diadakan di Turki.

UNIW merupakan kesatuan NGO-NGO Islam sedunia yang ditubuhkan pada 2005 berpusat di Istanbul,Turki.Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM),Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM),Wadah Pencerdasan Ummat(WADAH),Future Global Network (FGN),Yayasan Takmir Pendidikan(YTP),Global Peace Mission(GPM) merupakan NGO Malaysia yang berdaftar dibawah gabungan UNIW ini.Untuk program ‘The 3 rd International Youth Gathering’ ini ,Malaysia menghantar sebanyak 14 orang wakil iaitu 2 wakil PKPIM,2 wakil Abim,2 Wakil WADAH,2 wakil FGN,2 wakil YTP,2 wakil GPM dan 2 wakil Haluan Siswa.

Sebanyak 155 peserta lelaki dan perempuan dari 22 buah negara seperti Turki,Indonesia,Malaysia,Albania,Macedonia,Burkina Faso,Maghribi,Sudan dan lain-lain menyertai perhimpunan pemuda antarabangsa ini.Turki menghantar penyertaan peserta paling ramai diikuti tuan rumah,Indonesia.

Ahad Hari Pertama 17 Januari 2010

Kami bertolak dari LCCT menaiki pesawat Air Asia sekitar pukul 2 petang dan tiba di Lapangan terbang Soekarno-Hatta,Jakarta sekitar pukul 4 petang.Di sana kami disambut oleh urusetia penganjur yang menunggu ketibaan para peserta luar negara.Selepas solat ,kami menaiki bas yang disediakan pihak penganjur menuju ke Depok.

Tepat pukul 7.15 malam kami tiba di kediaman Gabenor Depok dan di sana kami bertemu para peserta yang lain.Setelah selesai solat berjemaah,para peserta bergerak ke dewan program untuk majlis perasmian dan makan malam.Para peserta dibenarkan terlebih dahulu untuk menjamah sedikit makanan-minuman yang disediakan sambil berkenalan antara satu sama lain.

Sekitar pukul 9 malam,majlis perasmian dimulakan dengan persembahan nasyid dari kumpulan Izzatul Islam yang popular di Indonesia dengan lagu-lagu perjuangannya.Beberapa lagu seperti lagu berkenaan Gaza,lagu Acheh dan lain-lain disampaikan dengan penuh semangat oleh Izzatul Islam sambil para peserta bertepuk tangan mengikut rentak lagu.

Ali Kurt,Timbalan Setiausaha Agung UNIW dari Turki menyampaikan ucapannya berkisar soal perpaduan ummah@1 ummah dan menyentuh akibat perpecahan negara Islam pada masa kini sehingga berlakunya pergolakan dan kesengsaraan umat Islam di Darfur,Iraq,Afghanistan,Palestin dan lain-lain.Beliau juga mengupas tentang usaha mengembalikan tamadun Islam dan peranan NGO Islam dalam merealisasikannya.Beliau juga menekankan peranan pemuda Islam dan berharap lebih banyak program –program budaya diadakan seperti program ‘International Youth Gathering’ ini.

Dr Ir Nur Mahmudi Ismail,Gabenor Depok yang juga aktivis Parti Keadilan Sejahtera(PKS) menyampaikan ucapan perasmiannya dan beliau menekankan soal pendidikan politik dan membuat perbandingan pencapaian umat Islam dengan yang lain yang bagi beliau begitu jauh ketinggalan.Beliau berharap para pemuda Islam mampu mengubah situasi ini suatu masa nanti.

Selepas penyampaian hadiah kepada Gabenor Depok,Izzatul Islam sekali lagi menyampaikan lagu –lagu nasyid ,1 lagu berbahasa arab dan juga lagu yang popular,Rabithah.

Program seterusnya ialah makan malam dengan pelbagai hidangan menarik makanan Indonesia dan juga makanan Arab.Selepas selesai makan malam,para peserta bergambar kenangan di luar dewan beramai-ramai.

Sekitar pukul 11 malam ,para peserta menaiki bas menuju ke tempat penginapan di Wisma Makara dalam kampus Universitas Indonesia.Wisma Makara ini lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti kolam renang,internet,surau ,Kafeteria dan lain-lain.

Saya ditempatkan sebilik dengan peserta dari Sudan,Muhammad Syafiq (berbahasa Inggeris-Arab-Perancis) dan peserta dari Turki,Muhammad Huseiyn(berbahasa Inggeris,Turki dan Arab).Kami tidur lewat malam itu kerana bersembang tentang situasi terkini negara masing-masing.

zzzzzz

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics