Rumah terbuka Aidilfitri medan tautkan persaudaraan
Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lazimnya dihidupkan dengan penganjuran Rumah Terbuka.Sepanjang sebulan di bulan Syawal ini kita dapat melihat saban hari dianjurkan rumah terbuka di sana sini. Dan yang uniknya di Malaysia ,umat Islam tidak segan silu mengajak sahabat mereka yang bukan beragama Islam untuk turut sama-sama menghadiri rumah terbuka mereka.Penganjuran Rumah terbuka ini mampu merealisasikan Syawal sebagai bulan persaudaraan dan bulan tautan ukhuwah . Sebagai agama yang sangat menekankan persoalan persaudaraan sesama manusia ,Islam menggalakkan umatnya untuk saling berkenalanan antara satu sama lain , menjalinkan persahabatan dan merasai kemanisan persaudaraan sesama insan. Kesedihan dan kesengsaraan yang dirasai oleh saudara kita yang lain turut dirasai oleh kita dan kegembiraan dan kebahagian dikongsi dan dijiwai bersama. Permusuhan dan persengketaan dielakkan,dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menjadi orang tengah,pendamai dan agen persahabatan bagi meleraikan segala pertelingkahan mana-mana pihak.Umpama ditengah api yang marak membakar,umat Islam bagaikan air yang memadamkan kebakaran tersebut. Persaudaraan sesama manusia inilah perkara utama yang sangat ditekankan oleh Nabi Muhammad S.A.W di peringkat awal usaha mengembangkan ajaran Islam sebagai contoh peristiwa di rumah Arqam bin Abi Arqam dan penyatuan golongan Ansar dan Muhajirin. Bahkan persaudaraan ini jugalah yang sangat diberi keutamaan oleh para pendakwah terkemudian seperti Imam Hassan Al-Banna yang semenjak usia mudanya lingkungan duapuluhan tahun telah berjaya menggerakkan penubuhan Ikhwan Muslimin di Mesir,gerakan dakwah yang berpengaruh dan terkenal dengan kekuatan persaudaraan ahli-ahlinya. Penganjuran rumah terbuka mampu menjadi platform mengeratkan persaudaraan sesama insan.Pada hari rumah terbuka inilah kita bertanyakan khabar perkembangan saudara kita yang lain,bagaimana kesihatan mereka,apakah mereka menghidap sebarang penyakit,bagaimana pembelajaran anak-anak mereka,apa perancangan mereka seterusnya dan lain-lain persoalan yang mampu mendekatkan hati sesama kita. Rumah terbuka memberi peluang saudara mara, jiran-jiran dan komuniti masyarakat untuk saling menziarahi ,berkenalan lebih mendalam dan mengikat tali persahabatan yang lebih kukuh antara satu sama lain. Kesibukan bekerja kadangkala menyebabkan kita sering lupa kepada saudara kita yang lain dan ini mampu merenggangkan hubungan sesama masyarakat .Apabila hubungan sesama masyarakat rapuh maka tidak peliklah berlaku banyak musibah disekeliling kita memandangkan masing-masing bersifat individualistik dan tidak mempedulikan nasib saudara kita yang lain. Seseorang yang ingin menganjurkan Rumah terbuka ini sewajarnya tidak lupa untuk menjemput warga tua,ibu tunggal,anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik ke majlis rumah terbuka mereka.Janganlah rumah terbuka yang dianjurkan hanya menjadi esklusif untuk kelompok kenamaan dan golongan yang kaya semata-mata.Penganjuran rumah terbuka juga perlulah mengikut kadar kemampuan masing-masing dan tidak berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran .Juadah makanan yang disediakan juga perlulah berkhasiat dan mengambil kira aspek kebersihan dan kesihatan. Semoga penganjuran rumah terbuka ini dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang kuat tautan ukhuwahnya,kukuh persahabatannya,dan erat persaudaraannya serta bukan sekadar rumah terbuka bahkan hati juga terbuka.
No comments:
Post a Comment