Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Friday, September 24, 2010

Hari Raya Aidilfitri:Hari Kemaafan Hari Persaudaraan

Ibu kota kini mula lengang.Majoriti rakyat Malaysia yang mencari nafkah di bandar-bandar besar mula pulang kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Fenomena ‘balik kampong ‘ ini sedikit sebanyak menjadi bukti masih ramai insan yang tidak lupa daratan dan masih sedar akan kepentingan memantapkan hubungan sesama ahli keluarga dan masyarakat.

Sistem sosial yang rapuh mampu membinasakan sesebuah negara.Kelahiran masyarakat yang hanya bersifat individualistik,ego dan tidak bertanggungjawab pasti menggagalkan hasrat kita bersama untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang harmoni,saling bekerjasama,toleransi dan saling menyayangi antara satu sama lain.

Kes-kes penceraian dan keluarga yang porak peranda,masalah jenayah,keruntuhan akhlak dan pelbagai masalah sosial yang berlaku hari ini mampu dikurangkan dengan memantapkan institusi keluarga dan kemasyarakatan.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri mampu menjadi wadah terbaik untuk memantapkan institusi keluarga dan kemasyarakatan ini.


Berhimpun bersama ahli keluarga, saling bertanya khabar dengan menziarahi rumah saudara mara dan jiran tetangga,memenuhi masjid beribadat secara berjemaah,menderma dan pelbagai aktiviti kebajikan yang dilakukan sepanjang Aidilfitri ini mampu mempererat hubungan sesama ahli keluarga dan masyarakat.Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan Aidilfitri ini dengan menganjurkan hari keluarga sendiri lengkap dengan senarai ahli keluarga,blog bahkan mewujudkan persatuan atau organisasi keluarga .

Diharapkan umat Islam mampu menjadi contoh kepada penganut agama-agama lain dengan sentiasa menjaga persahabatan dan mengukuhkan persaudaraan sesama Islam disamping persaudaraan kemanusiaan dengan rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita dan di dunia keseluruhannya.

Bagaimana bukan Islam mahu mencontohi dan mewujudkan persaudaraan kemanusiaan dengan kita umat Islam jika sesama Islam sendiri saling berpecah-belah dan tidak menjaga silaturahim persaudaraan sesama Islam?

Perpecahan ketara disebabkan perbezaan aliran politik,aliran pemikiran mazhab dan lainnya jangan sampai memutuskan hubungan persaudaraan sesama Islam dan sikap saling memaafkan dan saling menyayangi antara satu sama lain inilah ‘fitrah’ yang dituntut dalam menyambut hari kemenangan,Hari Raya Aidilfitri selepas menjalani tarbiah sebulan di bulan Ramadhan.

Semoga ungkapan popular pada hari raya “Maaf Zahir Batin’’ berterusan pada hari-hari seterusnya dan bukan sekadar kemaafan di bibir mulut semata-mata bahkan kemaafan dari lubuk hati yang paling mendalam.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics