Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Friday, September 24, 2010

Meeting on the persecution of Islamic Political Parties/Activists and Marginalisation of Islam in Bangladesh

Tarikh:21 September 2010

Tempat:Dewan Syarahan Masjid Negeri Pulau Pinang

Anjuran :Citizens International

Pengisian program


-Ucapan SM Mohamed Idris dan Moderator oleh Mohideen Abdul Kader


-Pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Persecution of the Leaders and Activists of Islamic Movement and Marginalisation of Islam in Bangladesh’ oleh Abdul Razzaq(Penolong Setiausaha Agung Jamaat el Islami Bangladesh)


-Diskusi kumpulan


(1)Discussion on the strategy to respond to the War Crimes charges against Jamaat leaders


(2)Discussion on the strategy to counter the attemps by Awami League and secular groups to marginalise Islam


(3)Discussion on the general human rights situation in Bangladesh and how to deal with the violations).


Moderator oleh Cikgu Azmi Abdul Hamid (TERAS)dan Abdul Razzaq(Penolong Setiausaha Agung Jamaat el Islami Bangladesh)


-Perkongsian ringkas pengalaman perubahan di Turki oleh wakil Mazlumder Turki,Ahmad Faruq


-Pelan Tindakan

Ulasan pengisian -SM Mohamed Idris


SM Mohamed Idris mengupas tentang proses Deislamisasi yang sedang berlaku di Bangladeh disamping penindasan berterusan terhadap umat Islam di seluruh dunia seperti di Mindanou,Selatan Thailand ,Xinjiang China,Gaza,Lubnan Kashmir,Afghanistan dan lain-lain.Beliau menyelar cubaan pemerintah Bangladesh sekarang yang membuang dan menghapuskan buku tulisan Abu A’la Al-Maududi dari perpustakaan universiti di Bangladesh dan tindakan Perdana Menteri Bangladesh,Sheikh Hasina yang mahu meneruskan legasi sekular bapanya suatu ketika dahulu.

Beliau yakin ada tangan tersembunyi yang merancang proses deislamisasi di seluruh dunia termasuk di Bangladesh.

SM Mohamed Idris menyeru kepada usaha kesedaran ummah dan menterjemah idea-idea kepada aksi tindakan dan bukan sekadar terpaku kepada penganjuran siri seminar kelompok elit semata-mata bahkan mendapatkan sokongan massa dengan menggerakkan usaha mobilasi massa dan turun kepada masyarakat.


Beliau juga menyeru semua pihak mengemukakan bantahan terhadap penindasan yang berlaku di Bangladesh dengan menulis surat kepada hakim-hakim,pihak mahkamah antarabangsa dunia ,bank dunia,kerajaan Amerika,Eropah dan sebagainya. SM Mohamed Idris menekankan aspek kemahiran untuk dikuasai oleh NGO-NGO dalam proses melawan mustakbirin dan keberanian mengemukakan idea disamping melatih masyarakat untuk terus berjuang melawan segala bentuk kezaliman dan penindasan.

Ulasan pengisian- Abdul Razzak


Abdul Razzak yang merupakan Penolong Setiausaha Agung Jamaat el Islami Bangladesh membentang kertas kerja bertajuk ‘Persecution of the Leaders and Activists of Islamic Movement and Marginalisation of Islam in Bangladesh’.Dalam kertas kerja beliau menceritakan sejarah kewujudan Bangladesh,penindasan terhadap aktivis Jamaat El-Islami Bangladesh yang dilakukan oleh parti kerajaan Bangladesh ,Awami League dibawah pimpinan Sheikh Hasina dan usaha penyisihan Islam di Bangladesh.

Jumlah penduduk di Bangladesh lebih 155 juta rakyat dengan 90% Muslim dan hampir 1/10 populasi muslim seluruh dunia tinggal di Bangladesh,sebuah negara miskin akibat penyelewengan kuasa dan rasuah pemimpinnya tetapi tetap kaya dengan sumber asli-mineral.


Berdasarkan kepada fakta sejarah,pada bulan Ogos 1947 selepas penjajahan British wujud dua negara bebas iaitu Pakistan dan India.Pakisan ketika it terbahagi kepada dua iaitu Pakistan Timur dan Pakistan Barat.Pada bulan Disember 1971,Pakistan Timur mengistihar bebas sebagai sebuah negara menjadi Bangladesh selepas peristiwa 13 hari perang dimana Pakistan Timur kemudiaannya Bangladesh bekerjasama dengan India melawan Pakistan.Hanya pada bulan Februari 1974 akhirnya Pakistan mengiktiraf kewujudan Bangladesh.


Perlembagaan asal Bangladesh bersifat sekular yang dirangka pada bulan November 1972 telah menghalang kewujudan parti politik berasaskan agama termasuk Islam.

Hanya setelah perubahan kerajaan dan pengistiharan deklarasi Martial Law 1975,perlembagaan Bangladesh telah dipinda dan dimasukkan perkataan Bismillahir Rahmanir Rahim,sekular diganti kepada ‘absolute trust and faith in Almighty Allah’ dan socialism diberi erti ‘meaning economic and social justice ‘ serta dibenarkan mewujudkan parti berasaskan agama.Pada tahun 1988 akhirnya Islam telah diistihar sebagai agama negara di Bangladesh.

Kini wujud kerjasama antara parti pemerintah di Bangladesh, Awami League yang menguasai majority ¾ Parlimen Bangladesh,parti sekular dan agensi luar untuk menyisihkan Islam dan gerakan Islam di Bangladesh. Awami league mahu menjadikan Bangladesh sebuah negara sekular dengan kembali kepada perlembagaan 1972 yang menyekat fungsi parti politik berasaskan agama.

Lebih 3550 pimpinan dan aktivis Jamaat el Islami Bangladesh telah ditangkap dan didakwa atas pelbagai pertuduhan palsu seperti mengancam keselamatan negara dan terlibat dalam aktiviti keganasan dan mereka tidak dibenarkan untuk membuat rayuan kehakiman bahkan keputusan hakim-hakim hanya sekadar mengikut kerajaan. Tekanan psikologi turut dikenakan dengan tindakan menghalang Jamaat El Islami Bangladesh untuk mengadakan himpunan aman dan setiap mesyuarat yang ingin diadakan perlu meminta izin kerajaan sambil diawasi oleh cawangan khas polis dan tentera.

Pada 26 Jun 2010,Tribunal jenayah perang telah mendakwa pimpinan Jamaat el Islami Bangladesh atas tuduhan jenayah perang yang dikatakan berlaku pada tahun 1971 tatkala mereka masih muda dan bergelar pelajar.Pada awal kemerdekaan Bangladesh dahulu,tiada pendakwaan terhadap mereka namun selepas hampir 40 tahun mereka baru dituduh dan didakwa melakukan jenayah perang hanya untuk menghalang dan menyekat pembabitan mereka dalam politik Bangladesh.

Amir Jamaat el Islami Bangladesh telah ditahan oleh pihak polis selama 19 hari,timbalan amir 28 hari,setiausaha agung 22 hari,2 pembantu setiausaha agung 5 hari dan mereka telah mengalami penderaan fizikal dan disiksa mental sepanjang tempoh tahanan mereka tersebut.


5 orang pimpinan tertinggi Jamaat el Islami Bangladesh ini jika didapati bersalah bakal dikenakan hukuman maksima gantung sampai mati.


Ternyata parti pemerintah Bangladesh cuba sedaya upaya untuk menghalang pengaruh Jamaat el Islami Bangladesh yang pernah membentuk pakatan kerajaan pada tahun 2001 bersama Bangladesh Nationalist Party(BNP) dimana Amir dan Timbalan Amir Jamaat el Islami Bangladesh telah menjadi menteri kabinet dalam kerajaan pemerintah ketika itu.

Ulasan pengisian -Ahmad Faruq

Ahmad Faruq mewakili Mazlumder,sebuah NGO hak asasi manusia yang berpengaruh di Turki berkongsi pengalaman Turki membina kekuatan dan memimpin kebangkitan selepas kejatuhan Empayar Uthmaniah.Beliau menekankan persoalan persiapan diri individu untuk agenda program perubahan dan proses menyediakan masyarakat awam untuk memimpin perubahan.


Beliau juga mengupas kepentingan penguasaan media secara sistematik,tahu tabiat-akar perjuangan dan permasalahannya serta menggunakan hujah atau tema yang tepat dalam membawa agenda perubahan.

Ulasan diskusi


Pelbagai cadangan dilontarkan oleh para peserta dalam siri diskusi yang diadakan antaranya ialah:-


-mewujudkan program yang seimbang untuk cita-cita Islam


-membina modul pendidikan Islam yang sesuai dengan zaman sekarang


-meredakan konflik-konflik yang tidak perlu dalam masyarakat


-menggunakan pendekatan universal seperti hak asasi manusia-demokrasi-keadilan berdasarkan ajaran Islam


-menyediakan pembentangan kaedah penyelesaian Islam yang konkrit terhadap sebarang permasalahan masyarakat


-menerapkan agenda Islam kaffah-Islam Syumul dalam masyarakat


-menggerakkan usaha transformasi sosial


-menggunakan modul koperasi-ekonomi kerakyatan(modul ‘tangan di atas’)


-mengambil berat permasalahan umat di negara sekitar Sri Lanka-India-Bangladesh-Pakistan


-mengemukakan bantahan di kedutaaan Bangladesh seluruh negara


-mewujudkan tekanan antarabangsa kepada pemerintah Bangladesh


-memanfaatkan media-web tv- tulisan- dalam membentuk pemikiran masyarakat


-meluaskan pendedahan terhadap isu sebenar kepada masyarakat


-meminta tokoh besar-berpengaruh menyuarakan isu penindasan terhadap Jamaat El Islami Bangladesh


-mengeluarkan kenyataan bersama pemimpin besar disokong NGO-dokongan masyarakat


-menekankan program gerakan sosial-tarbiyah dari akar umbi ummat


-menonjolkan pemimpin setempat atau tokoh yang diyakini rakyat


-menguatkan institusi ulama yang tidak naïf dalam memahami politik dan tidak anti politik


-menguatkan institusi keluarga atau pertahanan keluarga dengan kemahiran ibu bapa dan pelbagai kemahiran kekeluargaan lainnya


-menonjolkan tokoh-tokoh perempuan-wanita yang lantang bersuara


-menggerakkan NGO yang membawa isu alam sekitar-kesihatan-hak asasi manusia-pendidikan kepenggunaan dan sebagainya


-membangunkan sekolah untuk anak orang miskin dan kelompok tertindas


-menguatkan program, tarbiyah seperti Usrah dan Mukhayyam dalam masyarakat di semua peringkat


-mewujudkan keseimbangan antara pendekatan sosial kemasyarakatan dan pendekatan politik kekuasaan


-mewujudkan keseimbangan antara gerakan massa dan program latihan kepakaran individu


-membawa pendekatan kebajikan –kemanusiaan kepada masyarakat keseluruhannya

Nasib Pelarian Rohingya..

Nasib pelarian Rohingya Myanmar kurang diberi perhatian oleh kebanyakan pihak.Media juga kurang memberi liputan terhadap penindasan dan penganiayaan yang dilakukan oleh rejim junta tentera Myanmar terhadap pelarian Rohingya ini.

Populasi Muslim terbesar di Myanmar ini tinggal di Rakhine( dulu Arakan) yang berkongsi sempadan dengan Bangladesh dan kekejaman rejim tentera Myanmar memaksa mereka lari ke beberapa buah negara seperti Bangladesh,Pakistan,Arab Saudi,UAE,Thailand dan ke negara kita,Malaysia untuk berlindung walaupun dengan status pelarian.Keengganan negara luar untuk menerima mereka memaksa kebanyakan mereka kembali ke Myanmar dan apa yang menyedihkan ialah ramai di kalangan mereka yang mati ditembak oleh rejim tentera Myanmar tatkala cuba kembali ke Myanmar.

Pada tahun 1982,junta Myanmar telah meluluskan undang-undang Burma Citizenship Law of 1982 yang sangat bersifat perkauman dan diskriminasi agama dimana Muslim Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara bahkan diistihar ‘pendatang’ di tanah air mereka sendiri serta hidup dalam buangan dan ketakutan.

Hak asasi mereka sebagai manusia telah dinafikan,ramai di kalangan mereka ditangkap dan disiksa serta dijadikan buruh paksa.Dan yang paling malang sekali ialah ramai wanita –anak gadis mereka telah dirogol sewenang-wenangnya oleh rejim tentera Myanmar dan konco-konconya.

Regim junta tentera Myanmar juga telah menafikan sejarah,bahasa,adat dan budaya Muslim Rohingnya disamping mereka langsung tidak dibenar terlibat dalam perniagaan dan dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan perubatan dan pelajaran.Ramai dikalangan anak muda pelarian Rohingya ini yang tidak berpeluang untuk belajar akibat tekanan ekonomi dan penindasan lainnya sehingga menyebabkan mereka menjadi buta huruf sehingga dewasa.

Kekejaman regim junta Myanmar juga berterusan dengan perbuatan fitnah mereka yang melaga-lagakan antara penganut agama Buddha dan penganut Islam di Myanmar.Mereka cuba mewujudkan situasi tidak tenteram antara penganut agama Buddha dan Islam sehingga timbul syak wasangka dan permusuhan sesama penganut agama.

Krisis terbaru yang berlaku menyaksikan hampir 70000 pelarian Rohingya ( tidak berdaftar dengan UN/UNHCR) di luar kem pelarian Bangladesh hidup dalam sengsara tanpa bantuan makanan harian,pakaian,perubatan bahkan tinggal sementara di dalam khemah pelarian , rumah tanpa bumbung dan pondok plastik-daun pokok rekaan sendiri yang dibina sementara di bawah pokok sebagai tempat perlindungan sementara .Cuaca musim sejuk,taufan yang melanda dan hujan lebat bila-bila masa mengancam keselamatan dan nyawa mereka tanpa ada mana-mana pihak yang serius terhadap nasib kelompok tertindas ini.

Semoga mereka yang mengaku manusia terus peka terhadap isu kemanusiaan ini ......

Bagi mereka yang berminat untuk membantu pelarian Rohingya,sila hubungi NGO-NGO Islam seperti TERAS Pengupayaan Melayu,Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia(SHURA) ,Rohingya Society in Malaysia dan lain-lain NGO yang dipercayai aktif membantu pelarian Rohingya.

Isu pembakaran Al-Quran dan pendekatan hikmah menanganinya

Respon segelintir umat Islam yang terlampau mengikut emosi dalam menangani isu pembakaran Al-Quran baru-baru ini sedikit mengecewakan umat Islam yang cintakan keamanan.Tindakan membakar bendera Amerika misalnya hanya bakal menyusahkan umat Islam di Amerika sahaja.


Tindakan agresif berlandaskan kemarahan sekadar mengikut emosi semata-mata lainnya seperti bertempur dengan pihak keselamatan sehingga menyebabkan kematian,cubaan membakar rumah ibadat lain dan sebagainya langsung tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

Sebarang usaha provokatif terhadap ajaran Islam tidak perlu dibalas dengan aksi melampau dan dilihat membawa kepada keganasan bahkan perlu ditangani dengan penuh bijaksana dan hikmah.

Dalam menangani isu pembakaran Al-Quran ini,umat Islam sewajarnya mengambil kesempatan untuk :-

-membuat liputan media secara meluas tentang mesej sebenar Al-Quran


-memberi Al-Quran dan menyebarluaskannya untuk bacaan kelompok yang prejudis terhadap Al-Quran


-menggerakkan usaha wakaf tafsir-terjemahan Al-quran dalam pelbagai bahasa ke serata dunia


-menjelaskan kesamaran dan keraguan terhadap ayat-ayat Al-quran


-mengadakan seminar terbuka untuk mendedahkan kajian penyelidikan berkenaan Al-Quran


-mengumpulkan koleksi pilihan ayat-ayat al-quran yang membawa mesej kesejahteraan dan keamanan serta ayat-ayat yang berkaitan isu kontemporari


-bersifat kreatif dalam menyebarkan mesej Al-Quran dengan memanfaatkan teknologi terkini


Dan yang paling penting bagi umat Islam di seluruh dunia pastinya ialah dengan cuba sedaya upaya untuk beramal dengan akhlak Al-Quran.


Perutusan Hari Al-Quds Sedunia


Hari ini sekali lagi kita menyambut Hari Al-Quds Sedunia dengan penuh pengharapan terhadap pembebasan bumi Al-Quds.Hari Al-Quds Sedunia ini disambut serentak di seluruh dunia pada hari Jumaat minggu terakhir bulan Ramadhan dan menjadi lambang perpaduan umat menentang negara haram Israel dan kezaliman Zionis.Masjidil Aqsa masih dijajah, rakyat Palestin terus ditindas,orang tua,wanita dan kanak-kanak terus dibunuh setiap hari dan dunia seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa bagi menghentikan kezaliman Zionis dan konco-konconya.

Sejarah telah menjadi saksi bumi Al-Quds tatkala dibawah pentadbiran Islam,para penganut agama Islam,Kristian dan Yahudi hidup dalam keadaan aman damai sedangkan hari ini dibawah rejim Zionis yang sangat kejam,tiada lagi istilah aman damai dan yang ada hanyalah kesengsaraan,kezaliman ,penderitaan,penindasan,dan pembunuhan.

Mengambil pengajaran apa yang telah berlaku di bumi Al-Quds,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam(PKPIM) ingin menyeru kepada umat Islam supaya:-

1)memberi fokus kepada isu-isu besar mengikut keutamaan seperti isu-isu kemanusiaan dan mengurangkan polemik isu –isu remeh yang membawa kepada perselisihan antara umat keseluruhannya


2)mengurangkan politik melampau yang merugikan umat


3)menggabung diri dengan gerakan Islam dan bertindak secara berjemaah dalam apa jua gerak kerja


4)menekankan pembangunan pendidikan umat khususnya generasi muda dengan melancarkan jihad ilmu bagi membasmi pembodohan


5)memberi tumpuan kepada pembangunan anak muda ,menghapuskan hedonisme dan apa jua yang boleh menjerumuskan anak muda kepada kesesatan


6)menunjukkan contoh yang terbaik kepada masyarakat bukan Islam dan menolak sikap perkauman sempit


7)memikirkan nasib umat secara global dan tidak terbatas kepada sempadan geografi semata-mata


8)membangun ekonomi umat dan mewujudkan jaringan kewangan yang kukuh dikalangan umat


9)menguasai media massa secara menyeluruh bagi menyebarkan maklumat yang benar dan bertanggungjawab


10)mengambil pendekatan cinta ,penuh hikmah serta menolak segala pendekatan keganasan bagi menangani isu umat


Semoga kita ikhlas bagi memperkasakan umat dan tetap istiqamah memperjuangkan kebenaran.

Rumah terbuka Aidilfitri medan tautkan persaudaraan

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lazimnya dihidupkan dengan penganjuran Rumah Terbuka.Sepanjang sebulan di bulan Syawal ini kita dapat melihat saban hari dianjurkan rumah terbuka di sana sini. Dan yang uniknya di Malaysia ,umat Islam tidak segan silu mengajak sahabat mereka yang bukan beragama Islam untuk turut sama-sama menghadiri rumah terbuka mereka.Penganjuran Rumah terbuka ini mampu merealisasikan Syawal sebagai bulan persaudaraan dan bulan tautan ukhuwah .

Sebagai agama yang sangat menekankan persoalan persaudaraan sesama manusia ,Islam menggalakkan umatnya untuk saling berkenalanan antara satu sama lain , menjalinkan persahabatan dan merasai kemanisan persaudaraan sesama insan.

Kesedihan dan kesengsaraan yang dirasai oleh saudara kita yang lain turut dirasai oleh kita dan kegembiraan dan kebahagian dikongsi dan dijiwai bersama.

Permusuhan dan persengketaan dielakkan,dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menjadi orang tengah,pendamai dan agen persahabatan bagi meleraikan segala pertelingkahan mana-mana pihak.Umpama ditengah api yang marak membakar,umat Islam bagaikan air yang memadamkan kebakaran tersebut.

Persaudaraan sesama manusia inilah perkara utama yang sangat ditekankan oleh Nabi Muhammad S.A.W di peringkat awal usaha mengembangkan ajaran Islam sebagai contoh peristiwa di rumah Arqam bin Abi Arqam dan penyatuan golongan Ansar dan Muhajirin.

Bahkan persaudaraan ini jugalah yang sangat diberi keutamaan oleh para pendakwah terkemudian seperti Imam Hassan Al-Banna yang semenjak usia mudanya lingkungan duapuluhan tahun telah berjaya menggerakkan penubuhan Ikhwan Muslimin di Mesir,gerakan dakwah yang berpengaruh dan terkenal dengan kekuatan persaudaraan ahli-ahlinya.

Penganjuran rumah terbuka mampu menjadi platform mengeratkan persaudaraan sesama insan.Pada hari rumah terbuka inilah kita bertanyakan khabar perkembangan saudara kita yang lain,bagaimana kesihatan mereka,apakah mereka menghidap sebarang penyakit,bagaimana pembelajaran anak-anak mereka,apa perancangan mereka seterusnya dan lain-lain persoalan yang mampu mendekatkan hati sesama kita.

Rumah terbuka memberi peluang saudara mara, jiran-jiran dan komuniti masyarakat untuk saling menziarahi ,berkenalan lebih mendalam dan mengikat tali persahabatan yang lebih kukuh antara satu sama lain.

Kesibukan bekerja kadangkala menyebabkan kita sering lupa kepada saudara kita yang lain dan ini mampu merenggangkan hubungan sesama masyarakat .Apabila hubungan sesama masyarakat rapuh maka tidak peliklah berlaku banyak musibah disekeliling kita memandangkan masing-masing bersifat individualistik dan tidak mempedulikan nasib saudara kita yang lain.

Seseorang yang ingin menganjurkan Rumah terbuka ini sewajarnya tidak lupa untuk menjemput warga tua,ibu tunggal,anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik ke majlis rumah terbuka mereka.Janganlah rumah terbuka yang dianjurkan hanya menjadi esklusif untuk kelompok kenamaan dan golongan yang kaya semata-mata.Penganjuran rumah terbuka juga perlulah mengikut kadar kemampuan masing-masing dan tidak berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran .Juadah makanan yang disediakan juga perlulah berkhasiat dan mengambil kira aspek kebersihan dan kesihatan.

Semoga penganjuran rumah terbuka ini dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang kuat tautan ukhuwahnya,kukuh persahabatannya,dan erat persaudaraannya serta bukan sekadar rumah terbuka bahkan hati juga terbuka.

Hari Raya Aidilfitri:Hari Kemaafan Hari Persaudaraan

Ibu kota kini mula lengang.Majoriti rakyat Malaysia yang mencari nafkah di bandar-bandar besar mula pulang kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Fenomena ‘balik kampong ‘ ini sedikit sebanyak menjadi bukti masih ramai insan yang tidak lupa daratan dan masih sedar akan kepentingan memantapkan hubungan sesama ahli keluarga dan masyarakat.

Sistem sosial yang rapuh mampu membinasakan sesebuah negara.Kelahiran masyarakat yang hanya bersifat individualistik,ego dan tidak bertanggungjawab pasti menggagalkan hasrat kita bersama untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang harmoni,saling bekerjasama,toleransi dan saling menyayangi antara satu sama lain.

Kes-kes penceraian dan keluarga yang porak peranda,masalah jenayah,keruntuhan akhlak dan pelbagai masalah sosial yang berlaku hari ini mampu dikurangkan dengan memantapkan institusi keluarga dan kemasyarakatan.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri mampu menjadi wadah terbaik untuk memantapkan institusi keluarga dan kemasyarakatan ini.


Berhimpun bersama ahli keluarga, saling bertanya khabar dengan menziarahi rumah saudara mara dan jiran tetangga,memenuhi masjid beribadat secara berjemaah,menderma dan pelbagai aktiviti kebajikan yang dilakukan sepanjang Aidilfitri ini mampu mempererat hubungan sesama ahli keluarga dan masyarakat.Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan Aidilfitri ini dengan menganjurkan hari keluarga sendiri lengkap dengan senarai ahli keluarga,blog bahkan mewujudkan persatuan atau organisasi keluarga .

Diharapkan umat Islam mampu menjadi contoh kepada penganut agama-agama lain dengan sentiasa menjaga persahabatan dan mengukuhkan persaudaraan sesama Islam disamping persaudaraan kemanusiaan dengan rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita dan di dunia keseluruhannya.

Bagaimana bukan Islam mahu mencontohi dan mewujudkan persaudaraan kemanusiaan dengan kita umat Islam jika sesama Islam sendiri saling berpecah-belah dan tidak menjaga silaturahim persaudaraan sesama Islam?

Perpecahan ketara disebabkan perbezaan aliran politik,aliran pemikiran mazhab dan lainnya jangan sampai memutuskan hubungan persaudaraan sesama Islam dan sikap saling memaafkan dan saling menyayangi antara satu sama lain inilah ‘fitrah’ yang dituntut dalam menyambut hari kemenangan,Hari Raya Aidilfitri selepas menjalani tarbiah sebulan di bulan Ramadhan.

Semoga ungkapan popular pada hari raya “Maaf Zahir Batin’’ berterusan pada hari-hari seterusnya dan bukan sekadar kemaafan di bibir mulut semata-mata bahkan kemaafan dari lubuk hati yang paling mendalam.

Wednesday, September 01, 2010

2 nd Global Media United Nation(GMUN) Conference

PKPIM telah menghantar 4 orang peserta dan seorang pemerhati mewakili negara Malaysia ke 2 nd Global Media United Nation(GMUN) Conference pada 14-18 Ogos 2010 yang berlangsung di PWTC,Kuala Lumpur.GMUN pertama kali diadakan di Geneva Switzerland pada bulan Ogos 2009 dan pada kali ini Kuala Lumpur diberi penghormatan menjadi tuan rumah.

Program bertemakan ‘Towards an Alliance of Civilizations:Bridging Cultures To Achieve Peace and Development’ ini merupakan anjuran bersama Alliance of Civilizations,Sekreteriat Komanwel,Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan UNDPI dan dihadiri oleh lebih 400 orang anak muda berusia 18-24 tahun dari pelbagai negara.

4 orang peserta dari PKPIM ini telah melepasi tapisan pemilihan yang ketat yang telah diadakan sebelum program berlangsung.Para peserta program ini telah bertindak sebagai duta muda dan diberi peneranan sebagai pegawai diplomat dan diminta untuk membuat kajian penyelidikan tentang sesebuah negara yang ditetapkan,pendedahan terhadap isu antarabangsa,berdebat,memberi usul dan resolusi bagi menyelesaikan masalah dunia .

Ini semua menuntut para peserta melakukan pembacaan yang luas meliputi pelbagai topik,menganalisis polisi hubungan luar,mendengar secara aktif,menulis dan mengambil catatan,memperkasakan pengucapan awam dan komunikasi ,memantapkan bahasa Inggeris,mempelajari teknik menyelesaikan masalah dan membuat keputusan kolektif bagi menyelesaikan konflik serta bekerjasama dengan peserta dari negara-negara lain.

Antara aktiviti yang diadakan dalam program ini ialah bengkel latihan untuk peserta yang pertama kali menyertai program PBB,Alliance of Civilizations Think Thanks Sessions, Majlis berbuka puasa,Global Village-persembahan budaya,tayangan filem dan diskusi selari yang membahaskan topik-topik berikut:-

1)Education and Civic Engagement-

2)The Global Information Society:Removing Barriers and Strengthening Cultural Dialogue

3)Cultural Challenges to Global Human Security

4)Forging Alliances Towards Peace and Security

Para peserta juga diberi pendedahan dalam persoalan dialog antara agama dan jaringan budaya,globalisasi,pengurusan konflik, keamanan global dan pelbagai topik berkaitan hubungan antarabangsa

Turut hadir dalam program ini ialah Mr Kiyo Akasaka,Secretary General for Communications and Public Information,United Nations

Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan perubahan diri ,bulan perubahan sosial,bulan perjuangan dan bulan perpaduan umat Islam.Pada bulan Ramadhan inilah setiap individu muslim diminta untuk meningkatkan kualiti ketaqwaan dan ketauhidan mereka kepada Allah.Kualiti individu yang dilatih dalam madrasah Ramadhan inilah yang diharapkan dapat melakukan perubahan kepada masyrakat sekeliling dan perubahan kepada dunia keseluruhannya.Ternyata bulan Ramadhan ini bukanlah bulan ibadat ritual individu dan bersifat keakhiratan semata-mata bahkan ia mengandungi pesan perubahan sosial kemasyarakatan dan bersifat keduniaan juga.

Sahur

Bangun sahur sangat digalakkan sebagai persediaan awal kekuatan untuk menjalani ibadat puasa seharian.Seawal pagi sebelum solat Subuh,seseorang yang berpuasa bangkit dari tidurnya dan menjamah sedikit makanan-minuman sebagai bekalan mengumpul tenaga membina stamina bagi menjalani kehidupan sehariannya.Sahur ini jugalah merupakan galakan kepada umat Islam membina kekuatan fizikal,mental dan kepentingan menjaga kesihatan diri di samping juga mengandungi pesan tersirat agar setiap individu muslim komited untuk memulakan tugas sehariannya seawal pagi yang mungkin .Ia juga mengajar kita agar lebih cekap dalam menguruskan waktu dan kehidupan.

Berpuasa

Berpuasa mampu mendidik individu untuk sentiasa bersyukur dan merasai sendiri penderitaan orang miskin dan golongan tertindas.Sewajarnya mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan ini lebih bersemangat dan aktif untuk melakukan kerja-kerja sosial,misi kemanusiaan dan kesukarelawanan serta berani melawan segala bentuk kemungkaran-kemaksiatan seperti kemiskinan,kebuluran rasuah,penyelewengan kuasa dan sebagainya.Sasaran akhir berpuasa iaitu peningkatan tahap ketauhidan-ketaqwaan secara menyeluruh kepada Allah inilah yang perlu diterjemahkan setiap individu ke dalam kehidupan seharian.

Berbuka puasa

Berbuka puasa menjadi lambang perpaduan umat Islam di mana semua individu yang berpuasa tanpa mengira dimana mereka berada akan berbuka puasa serentak mengikut waktu yang ditetapkan.Ketepatan waktu dan disiplin pengurusan masa inilah yang diharapkan dapat dikekalkan oleh setiap individu dalam bulan-bulan seterusnya.Penjagaan kesihatan juga sangat ditekankan sewaktu berbuka puasa dimana individu yang berpuasa disarankan mengambil makanan-minuman yang berkhasiat dan tidak melampaui batas yang ditetapkan.Di samping itu juga,mereka yang berpuasa perlu memiliki sifat tolong menolong dengan membantu orang miskin dan mereka yang memerlukan.

Al-Quran

Pada bulan Ramadhan inilah Al-Quran diturunkan sebagai kitab petunjuk kepada manusia.Sebahagian besar mereka yang menjalani ibadat puasa menjadikan membaca Al-Quran sebagai kegiatan harian mereka sepanjang bulan ini.Persoalan memahami makna Al-Quran melalui bacaan terjemahan dan tafsir Al-Quran juga perlu dititikberatkan di samping bukan sahaja memahami teks bahkan konteks penurunan ayat-ayat Al-Quran dan juga kaitannya dengan kehidupan seharian.Al-Quran sebagai kitab petunjuk perlu sentiasa hidup di hati individu muslim dan kehidupan seharian perlulah dijalani berdasarkan pedoman dan intipati Al-Quran.

Solat sunat Terawih

Solat sunat terawih sangat digalakkan ditunaikan secara berjemaah sepanjang bulan Ramadhan.Ia perlu ditunaikan dengan hati yang tenang dan tidak tergopoh-gapah dan menjadi medan kerehatan setelah berpuasa sehari suntuk.Ia juga mengandungi pesan agar umat Islam sentiasa mengimarahkan masjid atau surau,memupuk kasih sayang sesama insan dan mampu menyatupadukan umat Islam tidak kira dimana sahaja mereka berada.Individu yang berpuasa diharapkan sentiasa melakukan amalan-amalan sunat tanpa mengabaikan amalan-amalan fardhu –wajib lainnya.

Semoga bulan Ramadhan kali ini lebih baik daripada bulan Ramadhan yang sebelumnya.Tiada jaminan kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan akan datang.Hanya dengan keikhlasan hati dan kesucian jiwa dalam menjalani ibadat di bulan Ramadhan ini mampu meningkatkan kualiti ketaqwaan-ketauhidan kita kepada Allah.Semoga Allah meredhai segala amalan kita bersama.Amiin.


Tazkirah Ramadhan 1431 Dato Dr Siddiq Fadzil

(Tazkirah Ramadhan Dato Dr Siddiq Fadzil-Iftor Jamaie PKPIM-ABIM-WADAH-21 Ogos 2010-Kolej Dar Hikmah)

Dato Dr Siddiq Fadzil dalam tazkirahnya menekankan persoalan mujahadah dan mengupas perbezaannya dengan kalimah Jihad.

Aktivis gerakan dakwah yang berpuasa di Bulan Ramadhan menurut Dato Dr Siddiq Fadzil perlu mempunyai daya juang dan semangat melawan (fighting spirit) hawa nafsu dan kebiasaan sehingga menjadi mukmin yang kuat dan bukannya seorang mukmin yang lemah.

Beliau turut mengambil contoh keberanian Saidina Ali yang menggantikan tempat Nabi Muhammad di kamarnya dalam peristiwa hijrah dan juga kegigihan Aisyah yang turut serta membantu Nabi Muhammad yang mana keberanian ini terlahir hasil didikan mujahadah.

Kelahiran ‘Tough generation’ hasil proses latihan mujahadah inilah yang didambakan hasil ‘sekolah’ dibulan Ramadhan yang juga dianggap beliau sebagai bulan intensif mujahadah.

Mengekalkan ‘suhu sejuk’ politik di Bulan Ramadhan

Pada bulan Ramadhan ini kelihatan parti-parti politik sibuk memberi fokus kepada program kerohanian,kebajikan dan kesukarelawanan masing-masing.Berbanding bulan-bulan yang lain,kita perhatikan parti-parti politik kurang menyerang pihak lawan secara agresif dan ini mungkin barangkali disebabkan faktor berpuasa dan ahli politik lebih berhati-hati menjaga mulut bimbang kurang pahala puasa.

Bulan Ramadhan yang mulia ini sewajarnya dijadikan bulan muhasabah dalaman bagi semua aktivis politik dengan menguatkan kekuatan dalaman mereka .Daripada terlampau asyik mencari kesalahan pihak lawan maka lebih baik mereka menilai kesalahan dan kelemahan sendiri.Barangkali ketika kita asyik fokus mencari kesalahan pihak lawan tersebut,pihak lawan rupa-rupanya sedang memperbaiki diri,memperbetulkan kesilapan,menguatkan jentera,dan mengumpul kekuatan kembali.

Kita percaya rakyat Malaysia mendambakan pemimpin yang kuat berkerja serta mengotakan segala janjinya dan bukan sekadar petah berpidato retorik,menabur janji ketika kempen pilihanraya semata-mata dan hanya turun padang mengikut musim sahaja.

Rakyat Malaysia inginkan kebajikan mereka dijaga,keselamatan terjamin,tiada rasuah dan penyelewengan dan mengharapkan pemimpin politik bersifat adil kepada semua bukan kepada kelompok kaum tertentu atau sekadar menjadi jaguh kaum tertentu sahaja.

Rakyat tidak suka pemimpin politik yang saling bercakaran , lebih suka membangkitkan isu- isu kontroversi ,hal –hal remeh dan bersifat provokasi, menghasut rakyat agar saling membenci,membangkitkan isu perkauman sempit dan memperalat agama demi meraih undi semata-mata.

Rakyat juga sudah jemu dengan segelintir media yang hanya tahu mengambil kesempatan menyemarakkan persengketaan dengan saling memburukkan dan mengaibkan pihak lawan.

Kita pastinya tidak ingin ketinggalan berbanding negara-negara jiran dan tidak mahu segala tugas membangun tanah air terbengkalai akibat masa yang banyak dihabiskan untuk menyelesaikan kemelut politik sehingga mengabaikan permasalahan sosial dan ekonomi negara .

Sewajarnya semua pihak berganding bahu bersama-sama menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku dan memberi tumpuan pula kepada pembangunan anak muda,dan keseimbangan pembangunan fizikal-material,rohani-spiritual.

Rakyat Malaysia hanya mengharapkan semua parti politik tanah air saling berlumba membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya dan biarlah pertarungan sengit antara parti-parti politik akhirnya menghasilkan pemenangnya iaitu rakyat!


Tingkatkan penghayatan kemerdekaan anak muda Malaysia

Malaysia bakal menyambut ulang tahun kelima puluh tiga kemerdekaan negara tanggal 31 Ogos 2010 ini.Pastinya antara persoalan yang banyak diperkatakan orang ialah setakat mana penghayatan anak muda Malaysia terhadap persoalan kemerdekaan dan kedaulatan negara?Apakah anak muda Malaysia masih mempunyai semangat patriorik ,rasa cinta kepada negara,dan keinginan mahu menyumbang sesuatu kepada pembangunan negara Malaysia?

Bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali kelima puluh tiga,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam(PKPIM) ingin menegaskan beberapa perkara yang diharapkan dapat membantu mempertingkatkan kesedaran penghayatan kemerdekaan kepada anak muda Malaysia .

Dalam sistem pendidikan negara antara subjek yang diharapkan dapat membantu para pelajar mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap perjuangan mempertahankan kemerdekaan negara ialah subjek Sejarah dan Pendidikan Kenegaraan.Subjek Sejarah dan Pendidikan Kenegaraan ini janganlah diabaikan akibat memberi tumpuan lebih kepada subjek sains dan teknologi dan hanya dianggap subjek sampingan semata-mata.Ia perlulah diperkasakan lagi dengan teknik penyampaian yang lebih kreatif dan menarik khususnya melalui peralatan teknologi seperti video,tayangan filem-filem perjuangan –patriotik dan lain-lain.

Para pelajar juga perlu lebih didedahkan dengan jasa dan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan negara dan segala pemikiran tokoh-tokoh yang banyak berjasa kepada negara perlu diajar kepada semua pelajar dengan sukatan pelajaran yang khusus tentang idea dan pemikiran para tokoh tersebut.Ini dapat memastikan legasi pemikiran cerdik pandai negara dapat diteruskan oleh generasi akan datang.

Di samping itu juga anak muda Malaysia perlu diberi pendedahan tentang perbandingan antara Malaysia dengan negara-negara lain dari aspek keamanan negara, kestabilan politik dan ekonomi ,persoalan kemiskinan,dan musibah bencana yang menimpa sesebuah negara .Mengetahui perbandingan antara apa yang berlaku di Malaysia dan apa yang berlaku di luar negara diharapkan dapat menyuntik rasa syukur menjadi rakyat Malaysia dikalangan generasi muda.

Statistik angka dan kajian penyelidikan tentang permasalahan gejala sosial dan keruntuhan akhlak anak muda Malaysia juga perlu didedahkan kepada anak muda dan kesannya pada masa depan negara perlu dihuraikan dengan lebih mendalam.Kurangnya pengetahuan anak muda tentang permasalahan yang berlaku disekeliling dan ancamannya terhadap negara menyebabkan anak muda lupa dan leka dan tidak tergerak untuk membuat sesuatu yang dapat merubah dan memperbaiki keadaan sekeliling.

Selain itu juga kepentingan perpaduan antara kaum-kaum di Malaysia dan menolak segala bentuk perjuangan perkauman sempit perlu diberi penekanan dalam sistem pendidikan negara disamping memupuk sikap toleransi ,saling menghormati segala adat,budaya dan agama di kalangan generasi muda.Walaupun Malaysia sudah lama mencapai kemerdekaan,masih ada jurang antara kaum dan agama di Malaysia bahkan masih ada pihak yang mahu memperjuangkan agenda perkauman sempit mereka.

Bagi menghayati kemerdekaan juga anak muda Malaysia perlu didedahkan dengan pengajian keamanan dan melawan sebarang bentuk peperangan.Anak muda perlu diberi kesedaran untuk mewujudkan dunia yang lebih baik ,aman damai serta mengetahui betapa bahayanya segala bentuk peperangan di dunia ini.

Segala dasar-dasar negara yang telah disepakati terutamanya berkaitan isu bahasa,budaya dan sosial perlu dipertahankan dan segala penambahbaikan perlu dirujuk kepada pakar-pakar dalam bidang masing-masing.Dasar-dasar negara tersebut juga perlu dihadam oleh generasi muda dan pihak media perlulah memainkan peranan yang lebih luas bagi menanam kefahaman terhadap dasar-dasar tersebut khusus buat generasi muda.

Bersyukur dengan kemerdekaan negara Malaysia bukanlah hanya sekadar mengibar bendera Jalur Gemilang ,mengadakan konsert-konsert kemerdekaan ,menghitung detik jam 12 malam dan percikan bunga api serta melaung-laungkan slogan merdeka semata-mata.

Apa yang lebih penting ialah rakyat Malaysia mempertahankan dan mengisi kemerdekaan dengan semangat dan ruh individu yang merdeka jiwa dan pemikirannya .Semoga kita tidak dijajah secara halus.Merdeka!


Jumlah pengunjung

web statistics