Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Friday, September 12, 2008

Bedah buku GLOBALISASI DAN PERADABAN DI MALAYSIA

GLOBALISASI DAN PERADABAN DI MALAYSIA(Kumpulan Kertas Kerja)Penyelenggara A.Aziz Deraman,Rohani Zainal Abidin-DBP KL-cetakan pertama 2003

Globalisasi dan peradaban oleh Prof.Dr.Osman Bakar


Saya tertarik dengan tulisan Prof.Dr.Osman Bakar dalam kertas kerja ini.
Beliau membawa kenyataan daripada The Washington Post tentang trend di kalangan kaum Hispanik(mazhab Katolik)untuk meninggalkan agama asal mereka dan memeluk Islam.

PBB telah mengistiharkan tahun 2001 sebagai tahun dialog peradaban hasil daripada cadangan OIC atas desakan Iran.

Tentang Islam dan globalisasi pula beliau mengatakan ’Islam mempunyai semangat globalisme dan sangat berminat untuk melihat segala persoalan kemanusiaan dari perspektif global’

Bagi Prof.Dr.Osman Bakar ilmu adalah salah satu penggerak utama peradaban Islam

Kalau dahulu proses penjajahan agak sinonim dengan 3G-(God,Gold,Glory) tetapi sekarang (Gold,Governance,God)

Prof Dr.Osman Bakar juga mengupas bagaimana kuasa besar memanfaatkan globalisasi untuk menyebarkan Kristian,mengaut kekayaan tanah jajahan dan seterusnya membawa pulang ke negara mereka dan memaksa digunapakai sistem pemerintahan mereka.

Dalam kertas kerja ini juga beliau menyentuh soal faith-based development atau konsep pembangunan yang berasaskan keimanan dan kepercayaan agama.

Beliau juga membicarakan antara kesan terburuk globalisasi kepada maklumat dan ilmu iaitu pembanjiran maklumat yang tidak berguna.

Menurut Prof.Dr.Osman Bakar ‘maklumat y ang tidak benar dan yang tidak berguna mungkin sukar untuk dibendung daripada terus mengalir ke dalam masyarakat kita.Kalaupun ini tidak boleh disekat ,seharusnya boleh dijawab dengan maklumat dan ilmu yang benar.Kebenaran perlu disebarkan seluas-luasnya’

Saya juga tertarik dengan kata-kata beliau dalam kertas kerja ini iaitu ‘Untuk berjaya insya allah kita perlu menggunakan segala kekuatan dan kekayaan yang ada pada kita terutamanya kekayaan dalaman(inner riches)yang terdapat dalam agama dan tradisi kita,baik yang berupa kerohanian mahupun yang berupa intelektual atau keilmuan’

Tulisan Prof.Dr.Osman Bakar ini wajar dibaca bagi sesiapa yang ingin mendalami lebih lanjut tentang globalisasi dan peradaban.


Masyarakat madani dalam peradaban Malaysia oleh Dato’ Dr.Siddiq Fadzil

Siddiq Fadzil dalam kertas kerja ini membicarakan persoalan masyarakat madani yang menurut beliau merupakan ‘masyarakat bertamadun yang beriltizam kepada pengangkatan martabat insan dalam aturan sosioekonomi-politik berteraskan prinsip-prinsip agama dan moral,kedaulatan undang-undang(rule of law),keadilan sosial,budaya ilmu,keluhuran budi dan kehalusan seni’

Beliau juga menjelaskan tentang beberapa persoalan tauhid dan saya cukup tertarik dengan kenyataan beliau bahawa ‘Yang ditolak oleh faham tauhid sebenarnya bukan hanya berhala-berhala fizikal tetapi lebih jauh dari itu ialah budaya dan mentaliti mem’berhala’kan seseorang dalam erti memuja dan menerima segala-gala darinya tanpa sikap rasional dan kritis’

Siddiq Fadzil juga menjelaskan pengertian adat yang mana orang Melayu sinonim dengan pepatah ’biar mati anak jangan mati adat’ dimana adat disini bukan sekadar tradisi nenek moyang tetapi merujuk juga kepada ‘adat yang sebenar adat iaitu sunnatullah dan hukum-hukum agama(kitab dan sunnah).

Ketika membicarakan hubungan antara raja dan ulama,beliau memetik catatan amanat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang tercantum dalam Kanun Aceh Darussalam yang mana kandungannya memperingatkan zuriat pewaris takhta dengan nasihat ’raja-raja hendaklah senantiasa memandang sekalian ulama dan bermesyuarat dengan ulama dan mendengar nasihat ulama’

Ulama dalam sejarah dan tamadun Melayu menurut beliau sangat dihormati kerana ilmu dan kewibawaan moral mereka disamping mengakar di tengah umat dimana suara mereka ialah suara rakyat keseluruhannya.Ulama ketika itu juga merupakan pembimbing raja dan pendidik umat.

Menurut beliau,proses pembangunan masyarakat madani sebenarnya amat berkait dengan gerakan pencerdasan bangsa.Terbangunnya tamadun keilmuan di rantau ini disebabkan tingginya nilai ilmu dalam urutan sistem nilai ajaran islam

Turut menarik perhatian saya apabila membaca tulisan beliau ini ialah apabila beliau memetik syair yang dikarang oleh Pendeta Zaaba dibawah:-

‘martabat ilmu amat tingginya
emas dan intan bukan bandingnya
barang siapa mendapat dianya
nikmat sejahtera jua kiranya

berkata ilmu ‘akulah sultan’
kuasa perintahku laut daratan
jahil berseru ‘akulah syaitan’
ikutlah aku merata hutan’

Sikap menjunjung tinggi nilai ilmu itulah yang menjadi motivasi dalaman kepada pembinaan tamadun keilmuan dan apa yang diungkapkan oleh Siddiq Fadzil sebagai
‘revolusi celik huruf dan pemerataan budaya ilmu’.

Beliau juga menegaskan soal pencerdasan masyarakat yang mana dengan pencerdasan masyarakat inilah yang memungkinkan mereka berfikir rasional,objektif dan kritis sehingga tidak dapat diperbodoh oleh sesiapa pun.

Di samping itu beliau juga memperkatakan tentang kehidupan masyarakat Melayu tradisional yang menurut beliau merupakan masyarakat yang beradat dan berkitab serta hidupnya melayu ialah hidup dikandung adat yang bererti kehidupan yang tertib dan beradab.

’adat bapaneh,syarak balindueng
syarak mengato,adat memakai
adat dan syarak sanda manyanda
adat basandi syarak,syarak basandi kitabullah’

Demikianlah syair melayu minangkabau yang dipetik oleh Siddiq Fadzil ketika mengupas tentang gandingan syarak dengan adat yang harmonis dan juga ’syarak nan lazim,adat nan kawi’ yang membawa pengertian bahawa Melayu Minang harus hidup berlandaskan ajaran syarak(agama) yang mesti dihayati disamping adat yang diperkuat dengan muafakat.Orang yang mengetepikan prinsip tersebut dikatakan orang yang ‘berkitabullah di lengan’ membawa maksud orang yang tidak mengikut syarak dan adat.

Tulisan Dato Dr.Siddiq Fadzil ini ternyata mampu menjelaskan persoalan makna masyarakat madani yang sebenar dalam usaha membina peradaban Malaysia.


Islam dan proses politik dalam peradaban Malaysia oleh Prof.Dr.Mohammad Redzuan Othman

Prof.Dr.Mohammad Redzuan Othman dalam kertas kerja ini membincangkan tentang peranan Islam dalam proses politik tanah air.Beliau menghuraikan tentang beberapa faktor kebangkitan Islam di Malaysia antaranya melalui sumbangan institusi pendidikan(sekolah),bahan-bahan penerbitan,usrah,ceramah,forum perdana,kuliah subuh,qiamulail dan juga peranan kerajaan antaranya melalui Bulan Dakwah(tahun 78, zaman pemerintahan Tun Hussein Onn) dan dasar penerapan nilai-nilai Islam(1982,zaman Tun Dr.Mahathir Mohamad).Hasil usaha dakwah inilah terzahirnya kewujudan institusi-institusi Islam seperti bank Islam,Takaful National,UIA,YPEIM dan lain-lain.

Beliau juga membawa pengalaman gerakan Islam di luar negara seperti di Algeria dan Turki. Gerakan Islam di Algeria misalnya ,(FIS-Front Islamique du salut) yang ditubuhkan pada tahun 1989 pernah memenangi 188 daripada 231 kerusi dalam pilihanraya Algeria pada bulan Nov 1992 tetapi malangnya kemenangan mereka telah dinafikan apabila perlembagaan Algeria digantung dan FIS diharamkan serta merta dan pemimpin -ulama parti seperti Abbassi Madani ,Ali Benhij dan 30000 orang penggerak FIS telah dipenjarakan.

Di Turki pula satu demi satu parti yang berteraskan perjuangan Islam diharamkan sepertu NOP(Milli Nizam Partisi)yang diharamkan pada tahun 1971,NSP(Milli Salamah Partisi)pada tahun 1980 dan yang terakhir parti Refah pada tahun 1998.

Pilihanraya Turki 1995 menyaksikan parti Refah pimpinan Necmettin Erbakan telah memperolehi 21.3 % undi atau 158 daripada 550 kerusi dalam pilihanraya tahun tersebut yang melayakkan Erbakan menjadi Perdana Menteri kerajaan campuran Turki .Namun begitu pada tahun 1998 ,Refah telah diharamkan atas tuduhan membahayakan dasar sekular Negara Turki manakala Erbakan turut dipenjara.Datuk Bandar Istanbul,Tayyib Erdogan(kini PM Turki) juga turut dipenjara hanya disebabkan membaca sajak karya Mehmet Akif yang telah dianggap menghina institusi sekular Negara Turki!!

Pemimpin parti Refah ,Sukru Karatepe yang juga merupakan Datuk Bandar Kayseri turut dipenjara-kerana mempersoalkan dasar sekular Negara Turki apabila mengatakan semua ideologi berakhir ;yang tinggal ialah agama!!


Bagi Prof.Dr.Mohammad Redzuan Othman ,’peningkatan pengaruh Islam dalam politik bukanlah satu ancaman kepada kestabilan negara sebaliknya merupakan unsur produktif terhadap perkembangan Negara sebagaimana yang sudah dibuktikan sebelum ini.’

Tulisan beliau ini ternyata mampu dijadikan rujukan buat sesiapa yang ingin mengetahui tentang peranan Islam dan proses politik dalam peradaban Malaysia.


No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics