Misi pendidikan PKPIM-Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS) di Aceh(5)
Hari terakhir (Ahad)-19 Disember 2010
Hari ini hari terakhir kami di Banda Aceh.Selepas selesai solat subuh kami meninggalkan rumah –madrasah Turki yang menjadi tempat penginapan kami sepanjang berada di sini.
Kami meneruskan perjalanan dengan menziarahi sebuah lagi sekolah Turki( perempuan), SD Teuku Nyak Arif Fatih Billingual School. Nama sekolah ini diambil sempenan nama Pahlawan Nasional Teuku Nyak Arief(1899-1946) dan tanah kompleks sekolah ini telah diwaqafkan untuk membina sekolah.Kompleks sekolah ini juga sangat besar seperti sekolah lelaki yang kami ziarah sebelum ini bahkan memiliki rumah asrama pelajar sekali,lengkap dengan perpustakaan termasuk buku- buku Turki,makmal sains, makmal muzik yang lengkap dengan peralatan muzik seperti gitar,drum,biola,keyboard dan makmal bahasa.
Apa yang menarik di sekolah ini antaranya ialah satu kelas disediakan untuk setiap satu subjek .Pencapaian pelajar di sekolah ini juga antara yang terbaik di Banda Aceh bahkan beberapa orang pelajarnya telah memenangi medal emas-perak –gangsa bagi projek antarabangsa Olympiad .
Selepas menziarahi SD Teuku Nyak Arif Fatih Billingual School,kami singgah di rumah seorang lagi teman dari Turki, Hasan untuk sarapan pagi ala Turki dengan roti,telur,ubi kentang dan lain-lain makanan.
Sambil sarapan pagi ,sahabat dari Turki menceritakan kisah pengalaman guru turki sewaktu mula tiba Indonesia sekitar tahun 1993.Mereka datang ke Indonesia untuk belajar di Banda Aceh dalam keadaan tidak menguasai dan mengetahui bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris dan kebanyakan mereka ketika itu baru berusia sekitar lapan belas hingga dua puluh tahun.
Mereka sangat menekankan persoalan ukhuwah,keikhlasan ,dan keberkatan tuhan dan disebabkan itulah mereka berjaya membangunkan beberapa buah sekolah Turki di seluruh Indonesia.
Selepas sarapan pagi ,kami singgah di Pasar Aceh untuk membeli -belah.Di kalangan kami ada yang membeli makanan,pakaian,kraftangan,cd muzik dan lain-lain lagi.Secara umumnya harga barangan di Banda Aceh tidak jauh berbeza dengan harga di kota Jakarta .
Dalam keadaan hujan yang turun agak lebat,kami berhenti solat di masjid bersejarah yang menjadi tempat utama berkumpulnya mangsa-mangsa Tsunami yang terselamat,Masjid Baiturrahman.Masjid Baiturahman ini sangat indah dengan warna putih hitamnya dan senibinanya sangat unik dan kukuh dan barangkali kerana kekuatan dan kekukuhan senibinanya inilah yang menyebabkan Masjid Baiturrahman ini kekal berdiri kukuh tatkala kawasan persekitarannya hancur musnah tatkala tragedi Tsunami dahulu.
Sahabat dari Turki kemudiannya membawa kami makan tengahari di sebuah restoran Nasi Padang berdekatan ,merasai ‘pancake durian’ dan sempat singgah minum kopi Aceh sebelum ke lapangan terbang Sultan Iskandar Muda.
Selepas salam perpisahan dengan sahabat-sahabat dari Turki,kami menyelesaikan urusan ‘check in’ kapal terbang walaupun seorang sahabat kami mengalami sedikit masalah berkaitan tarikh penerbangan dan terpaksa membeli tiket baru disamping kami perlu membayar cukai 100000 rupiah setiap seorang.
Kami tiba di LCCT dengan selamatnya dan pastinya meninggalkan kenangan bermakna misi kembara pendidikan di Banda Aceh dengan keramahan sahabat-sahabat Turki,Turkmenistan,Indonesia dan lain-lain negara walaupun hanya sebentar sahaja di Banda Aceh.
Banda Aceh,kami akan kembali lagi....
Beberapa ayat yang tercoret di kain rentang sekitar Banda Aceh:-
‘’Sebaik-baik perjuangan ,perjuangan untuk perdamaian’’
‘’Lelaki dan perempuan memang berbeda tapi bukan untuk dibeda-bedakan’’
‘’Merusak lingkungan hidup sama seperti merusak masa depan anak cucu kita’’
‘’Mereka yang anti kemajuan ilmu pengetahuan sama halnya berkhianat kepada bangsa dan tanah air’’
1 comment:
Subhanallah! Bagusnya...
Tertarik juga dgn buku Hamzah Fansuri dan Teuku Daud Beureueh...
-aMMru-
Post a Comment