Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Thursday, December 23, 2010

Misi pendidikan PKPIM-Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS) di Aceh(5)

Hari terakhir (Ahad)-19 Disember 2010

Hari ini hari terakhir kami di Banda Aceh.Selepas selesai solat subuh kami meninggalkan rumah –madrasah Turki yang menjadi tempat penginapan kami sepanjang berada di sini.

Kami meneruskan perjalanan dengan menziarahi sebuah lagi sekolah Turki( perempuan), SD Teuku Nyak Arif Fatih Billingual School. Nama sekolah ini diambil sempenan nama Pahlawan Nasional Teuku Nyak Arief(1899-1946) dan tanah kompleks sekolah ini telah diwaqafkan untuk membina sekolah.Kompleks sekolah ini juga sangat besar seperti sekolah lelaki yang kami ziarah sebelum ini bahkan memiliki rumah asrama pelajar sekali,lengkap dengan perpustakaan termasuk buku- buku Turki,makmal sains, makmal muzik yang lengkap dengan peralatan muzik seperti gitar,drum,biola,keyboard dan makmal bahasa.

Apa yang menarik di sekolah ini antaranya ialah satu kelas disediakan untuk setiap satu subjek .Pencapaian pelajar di sekolah ini juga antara yang terbaik di Banda Aceh bahkan beberapa orang pelajarnya telah memenangi medal emas-perak –gangsa bagi projek antarabangsa Olympiad .

Selepas menziarahi SD Teuku Nyak Arif Fatih Billingual School,kami singgah di rumah seorang lagi teman dari Turki, Hasan untuk sarapan pagi ala Turki dengan roti,telur,ubi kentang dan lain-lain makanan.

Sambil sarapan pagi ,sahabat dari Turki menceritakan kisah pengalaman guru turki sewaktu mula tiba Indonesia sekitar tahun 1993.Mereka datang ke Indonesia untuk belajar di Banda Aceh dalam keadaan tidak menguasai dan mengetahui bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris dan kebanyakan mereka ketika itu baru berusia sekitar lapan belas hingga dua puluh tahun.

Mereka sangat menekankan persoalan ukhuwah,keikhlasan ,dan keberkatan tuhan dan disebabkan itulah mereka berjaya membangunkan beberapa buah sekolah Turki di seluruh Indonesia.

Selepas sarapan pagi ,kami singgah di Pasar Aceh untuk membeli -belah.Di kalangan kami ada yang membeli makanan,pakaian,kraftangan,cd muzik dan lain-lain lagi.Secara umumnya harga barangan di Banda Aceh tidak jauh berbeza dengan harga di kota Jakarta .

Dalam keadaan hujan yang turun agak lebat,kami berhenti solat di masjid bersejarah yang menjadi tempat utama berkumpulnya mangsa-mangsa Tsunami yang terselamat,Masjid Baiturrahman.Masjid Baiturahman ini sangat indah dengan warna putih hitamnya dan senibinanya sangat unik dan kukuh dan barangkali kerana kekuatan dan kekukuhan senibinanya inilah yang menyebabkan Masjid Baiturrahman ini kekal berdiri kukuh tatkala kawasan persekitarannya hancur musnah tatkala tragedi Tsunami dahulu.

Sahabat dari Turki kemudiannya membawa kami makan tengahari di sebuah restoran Nasi Padang berdekatan ,merasai ‘pancake durian’ dan sempat singgah minum kopi Aceh sebelum ke lapangan terbang Sultan Iskandar Muda.

Selepas salam perpisahan dengan sahabat-sahabat dari Turki,kami menyelesaikan urusan ‘check in’ kapal terbang walaupun seorang sahabat kami mengalami sedikit masalah berkaitan tarikh penerbangan dan terpaksa membeli tiket baru disamping kami perlu membayar cukai 100000 rupiah setiap seorang.

Kami tiba di LCCT dengan selamatnya dan pastinya meninggalkan kenangan bermakna misi kembara pendidikan di Banda Aceh dengan keramahan sahabat-sahabat Turki,Turkmenistan,Indonesia dan lain-lain negara walaupun hanya sebentar sahaja di Banda Aceh.

Banda Aceh,kami akan kembali lagi....

Beberapa ayat yang tercoret di kain rentang sekitar Banda Aceh:-

‘’Sebaik-baik perjuangan ,perjuangan untuk perdamaian’’

‘’Lelaki dan perempuan memang berbeda tapi bukan untuk dibeda-bedakan’’

‘’Merusak lingkungan hidup sama seperti merusak masa depan anak cucu kita’’

‘’Mereka yang anti kemajuan ilmu pengetahuan sama halnya berkhianat kepada bangsa dan tanah air’’

Misi pendidikan PKPIM-Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS) di Aceh(4)

Hari Kedua (Sabtu) -18 Disember 2010

Hari kedua di Banda Aceh kami mulakan dengan solat subuh berjemaah dan juga zikir berlagu Asmaul Husna versi Turki yang sedikit berbeza rentak lagunya dengan Asmaul Husna versi Malaysia.

Kemudiannya sementara menunggu sarapan pagi,Fatih menayangkan video berkenaan tsunami di Aceh dan juga video berkenaan sekolah-sekolah Turki milik NGO Turki di serata dunia.

Pagi ini kami sarapan pagi dengan sarapan ala Turki di rumah Hasan dari Turki manakala isterinya dari China.Roti bakar,telur,ubi,kentang ,daging cincang dan lain-lain menjadi santapan kami pagi itu.

Selepas sarapan pagi di rumah Hasan,sahabat dari Turki membawa kami singgah sebentar di sebuah kompleks membeli belah untuk membeli seluar mandi .Mereka mahu membawa kami semua untuk mandi sungai nanti.Ketika ingin singgah di kompleks beli belah inilah kami melalui hadapan Masjid Baiturrahman,masjid yang menjadi tempat berkumpul utama mangsa Tsunami yang terselamat dahulu.

Kami menziarahi sebuah sekolah Turki,Fatih Billingual School yang cukup besar dan cantik.Masuk sahaja di pintu pagarnya kami terus ternampak dataran,gelanggang bola keranjang,kolam ikan dan lain-lain.Sekolah ini merupakan sekolah antarabangsa untuk pelajar Aceh dan majoriti pelajarnya ialah anak –anak yatim mangsa tsunami dan orang miskin.Biasiswa yuran percuma disediakan untuk pelajarnya yang terpilih memasuki sekolah ini termasuk dengan kelengkapan asramanya.

Selepas menziarahi sekolah Turki,kami bergerak menuju ke Taman Peringatan Tsunami.Di sinilah terletaknya kapal 2,600 ton yang terdampar sejauh lima kilometer dari pantai Ulee Lheue akibat Tsunami .Kami sempat menaiki atas kapal tersebut dan dari atas kapal tersebutlah kami dapat melihat pemandangan sekitar Banda Aceh yang pernah ditimpa tsunami.Kelihatan kesan rumah-rumah baru dibina selepas enam tahun tragedi Tsunami.Menurut seorang penduduk yang bertindak selaku pemandu pelancong di atas kapal tersebut,beliau menyaksiakan sendiri gelombang besar tsunami meranapkan kesemua rumah di kawasan tersebut dan menceritakan detik-detik cemas sewaktu melarikan diri dari arus besar gelombang tsunami.Beliau juga mengungkapkan ada hikmahnya kejadian tsunami iaitu Aceh semakin aman dan tenang dan tiada lagi peperangan seperti sebelum ini.

Di Taman Peringatan Tsunami ini juga dibina kawasan pameran gambar-gambar mayat mangsa Tsunami dan kemusnahan rumah dan persekitaran akibat Tsunami dan maklumat lanjut tentang kejadian Tsunami.

Saya sempat mencatatkan beberapa perkara penting yang terpapar di pameran gambar dan maklumat tersebut antaranya ialah maksud Tsunami dalam Bahasa Jepun:Tsu-Pelabuhan Nami-Gelombang laut,tarikah kejadian Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 akibat gempa berukuran 9.3 skala Ritcher,gelombang besar +-20 meter,berkelajuan 300 kilometer perjam dan sebanyak 126000 nyawa telah terkorban.

Dari Taman Peringatan Tsunami kami bergerak menuju ke sebuah perkampungan Turki.Dari dalam van,saya terlihat adanya lambang bendera Turki di rumah-rumah banglo yang dibina sekitar perkampungan Turki ini.Menurut sahabat dari Turki,perkampungan Turki ini dibina hasil derma masyarakat Turki kepada masyarakat Aceh.Dan ini juga merupakan lambang persahabatan dan persaudaraan antara masyarakat Turki dan Aceh yang sebenarnya memiliki sejarah hubungan dua hala semenjak kekuasaan Empayar Uthmaniyah di Turki.Mengikut sejarahnya,pemimpin Empayar Uthmaniah telah mengutus utusannya ke Aceh bahkan telah menghantar bantuan tentera Empayar Uthmaniah ke Aceh bagi membantu membebaskan Aceh dari cengkaman penjajah ketika itu.Oleh kerana itulah di perkampungan Turki ini juga terdapat makam pahlawan tentera –tentera Turki Empayar Uthmaniah yang pernah berjuang mendapatkan pembebasan Aceh suatu ketika dahulu.Jalan masuk ke perkampungan Turki ini cukup indah dengan dikelilingi sawah bendang dan ‘dikepung’ oleh bukit –bukau dan kehijauan yang indah.

Kami seterusnya menziarahi sebuah lagi perkampungan Turki di Lampuuk.Perkampungan ini dipanggil Perkampungan Bulan Sabit Merah Turki dan disini terletaknya Masjid Rahmatullah,sebuah masjid putih yang cantik seperti Masjid Baiturahman yang turut menjadi tempat berkumpul mangsa tsunami yang terselamat dalam tragedi tsunami dahulu.Masjid-masjid ini hanya mengalami sedikit sahaja kerosakan berbanding dengan rumah dan kawasan peresekitaran yang hancur dan musnah sama sekali.Bulan Sabit Merah Turki telah membantu sepenuhnya bagi membaiki Masjid Rahmatullah ini.Di bahagian saf belakang sekali ,terdapat pameran dan kesan-kesan tsunami dengan tertera di situ perkataan ‘Jangan lupakan Tsunami’ dan juga terdapat contoh tiang masjid yang rosak sebagai bukti dan kesan Tsunami.

Selepas solat di Masjid Rahmatullah kami singgah ke kedai pakaian dan cenderamata di hadapan masjid tersebut untuk membeli belah.Seorang makcik yang menjual kain pakaian dan cenderamata tersebut berasal dari Aceh dan berkulitputih dan ketika kami bertanya perihal dirinya rupa-rupanya datuknya juga berasal dari Turki.Bahkan jalan berdekatan Masjid Rahmatullah ini juga telah dipanggil Jalan Recep Tayyip Erdogan.

Kami meneruskan perjalanan dengan memasuki satu kawasan dalam jalan kampung berlopak-lopak dan didalam kampung tersebut terdapat satu kawasan mandi-manda seperti gabungan tasik dan sungai yang sangat cantik.Kawasan ini dikelilingi bukit bakau dan kehijauan alam yang indah serta air sungai sejuk yang sangat jernih.Misi mandi sungai beramai-ramai pun bermula dan sahabat dari Turki juga telah menyewa satu bot kecil dan kami berpeluang mengelilingi sungai yang dikelilingi bukit ini.

Selepas puas bermandi-manda,kami singgah di sebuah restoran di tepi laut untuk makan tengahari.Menu makan tengahari kami kali ini pula ialah nasi berlaukkan ikan bakar besar setiap orang dan air kelapa.Pada mulanya kami menyangka ikan bakar besar itu akan dikongsi tiga hingga empat orang rupa-rupanya sahabat dari Turki telah menempah ikan bakar besar untuk setiap orang.

Sesudah kekenyangan makan tengahari,kami pulang kembali ke rumah penginapan untuk berehat.

Pada malam hari pula kami bergerak kembali ke sekolah Turki,Fatih Billingual School yang pernah kami singgah sebelum ini.Pihak Fatih Billingual Schol telah menjamu kami makan malam dengan kebab dan nasi masakan Turki .Makan malam kali ini agak meriah dengan kehadiran anak-anak muda lingkungan umur bawah 30 tahun dari pelbagai negara seperti Indonesia,Turki,Turkmenistan,Tajikistan,Azerbaijan dan lain-lain negara lagi yang kebanyakan mereka merupakan guru-guru di Fatih Billingual School dan mahasiswa dari universiti sekitar Banda Aceh.

Selepas selesai makan malam ,pihak Fatih Billingual School menjemput kami untuk melawat ke kelas-kelas,asrama,makmal komputer dan kawasan sekitar sekolah Fatih Billingual School.Sekolah ini juga lengkap dengan gelanggang futsal,gelanggang badminton,surau dan bilik khas ala panggung wayang yang digunakan untuk menonton filem atau siri rancangan tv.

Fatih Billingual School yang lengkap kompleksnya ala kolej universiti ini mempunyai hanya seramai 270 orang pelajar sahaja dari sekitar Banda Aceh terutamanya anak yatim dan mereka diwajibkan belajar bahasa Turki.

Ketika taklimat diberikan oleh penyelia sekolah dari Turki,saya tertarik dengan satu kata-katanya iaitu ‘’untuk sukses hanya ada satu kunci iaitu persaudaraan’’.Memang sahabat-sahabat dari Turki dan negara sekitarnya amat menekankan persaudaraan dan oleh kerana itulah mereka sanggup datang dari jauh semata-mata ingin mendidik dan berkhidmat kepada saudara-saudara mereka di serata dunia.

Sesudah sesi taklimat berkenaan sekolah Fatih Billingual School,rombongan Malaysia dijamu sekali lag dengan minum malam ringan dengan air teh panas dan biskut sambil diadakan sesi memperkenalkan diri antara satu sama lain.Boleh dikatakan kesemua anak muda guru-guru dan mahasiswa dari Turki,Turkmenistan,Tajikistan,Azerbaijan dan lain-lain yang hadir pada makan malam ini fasih berbahasa Indonesia dan dikalangan mereka yang menuntut di universiti sekitar Banda Aceh mengambil jurusan pelbagai bidang.Kami sempat bergambar beramai-ramai dan bertukar-tukar hadiah dan cenderamata.Rombongan Malaysia setiap seorang telah dihadiahkan buku-buku karya Badiuzaman Said Nursi.

Acara seterusnya ialah futsal persahabatan anak muda.Rombongan Malaysia telah diberi pinjam sepasang kasut setiap seorang untuk bermain futsal di gelanggang futsal sekolah .Hampir dua jam pasukan Malaysia bertarung bermain futsal melawan pasukan gabungan Indonesia,Turki,Turkmenistan dan beberapa negara yang lain.Malam itu kami tidur dalam keletihan:letih makan,letih berjalan,letih mandi sungai,dan letih bermain futsal...

Misi pendidikan PKPIM-Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS) di Aceh(3)

Hari Pertama(Jumaat)- 17 Disember 2010

Kami bertolak menaiki pesawat AirAsia jam 5.15 petang dari LCCT dan tiba di Bandara Sultan Iskandar Muda sekitar jam 6.30 petang .Setibanya di kawasan imigresen,saya ditahan sebentar memandangkan beg yang saya bawa mengandungi barang-barang makanan Iran-Turki-Arab milik Fatih.

”Halal tidak?’’,tanya pegawai imigresen kepada saya melihat kepada bungkusan makanan Iran-Turki-Arab yang saya bawa.Kelihatan mereka agak tegas tentang halal-haram barangan yang dibawa oleh para pelancong di Aceh.Setelah melalui proses pemeriksaan dan memberitahu status halal makanan-makanan tersebut barulah saya dilepaskan dan kami telah disambut oleh Hasan dari Turki dan teman-temannya dari Indonesia.Hasan agak fasih berbahasa Indonesia dan cukup murah dengan senyuman dan ramah melayani kami seolah-olah kami sudah lama berkenalan dengan beliau.

Dari Bandara Sultan Iskandar Muda ,kami menaiki bas milik sekolah Turki yang dihadiahkan oleh Arab Saudi menuju ke rumah penginapan sahabat –sahabat Turki.Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke rumah penginapan tersebut kami melalui jalan-jalan kampung yang sekitarnya rumah atap zink atau rumah luar bandar dan berbeza sekali dengan keadaan di Malaysia dimana lapangan terbang selalunya di kawasan bandar.

Bagi saya Banda Aceh sangat bersih kawasannya dan tenang .Sahabat dari Turki memberitahu kami bahawa Banda Aceh pasca Tsunami diiktiraf oleh kerajaan Indonesia antara kawasan yang paling bersih di Indonesia.Sepanjang perjalanan saya tertanya-tanya dimana kawasan tempat berlakunya tsunami dan mahu melihat kesannya.Saya berbisik kepada beberapa orang sahabat yang turut serta dalam rombongan,pejamkan mata dan cuba bayangkan tsunami berlaku lagi apatah lagi ziarah kami ke Aceh kali ini hanya selang beberapa hari ulangtahun keenam kejadian tsunami tahun 2004.

Barangkali tempat yang saya dan rombongan lalui sepanjang perjalanan di Banda Aceh inilah tempat mangsa-mangsa Tsunami melarikan diri dari gelombang ombak dahsyat Tsunami sepertimana yang sering saya tonton dalam video dan tv.

Kami menginap di rumah banglo yang diduduki bersama oleh sahabat-sahabat dari Turi,Indonesia,Turkmenistan,Tajikisan,Azerbaijan dan lain-lain lagi.Kompleks rumah banglo yang mempunyai landskap yang sangat cantik,bersih dan lengkap dengan fasilitinya ini baru siap diduduki selama 4 bulan dan dijadikan pusat pendidikan oleh anak-anak muda disini untuk belajar Bahasa Turki,Bahasa Inggeris dan kelas-kelas percuma untuk pelajar sekolah.Apa yang menarik ialah mereka yang menggerakkan pusat pendidikan ini kesemuanya ialah anak muda lingkungan umur bawah 30 tahun dan semua ini merupakan sebahagian aktiviti sukarela anak-anak muda tersebut.Asrama untuk pelajar juga disediakan berdekatan banglo ini.

Sepanjang berada di rumah ini,kami solat berjemaah dan diikuti oleh zikir berlagu doa Jawshan al Kabir yang disusun oleh tokoh pendakwah-pemikir,Badiuzaman Said Nursi dan kemudiannya diulas makna zikir tersebut oleh sahabat dari Turki.Ada beberapa perbezaan sebenarnya antara zikir selepas solat ala Malaysia dan ala Turki.Dan saya agak tertarik dengan zikir ala Turki yang dibawa oleh sahabat dari Turki dengan gaya lagunya yang merdu dan mempunyai ‘muzik’ tersendiri.Mungkin ini juga sebahagian kesan ajaran sufi-tariqat yang tersebar luas di Turki.

Sahabat Turki-Turkmenistan-Indonesia yang tinggal di rumah banglo ini telah memasak makanan malam khas untuk tetamu seperti kami dan malam pertama kami di Banda Aceh kami dihidangkan dengan makanan ala Turki yang sungguh sedap.Sesi taaruf memperkenalkan diri masing-masing pula berlangsung selepas makan malam sambil menghirup teh panas dan biskut.

Sambil menikmati makanan,kami bersembang bertukar-tukar pandangan tentang beberapa isu khususnya isu pendidikan dan pembangunan sekolah-sekolah di seluruh dunia.Sahabat-sahabat dari Turki berkongsi pengalaman mereka bagaimana mereka dan sahabat-sahabat yang lain berusaha membuka sekolah-rumah-madrasah di seluruh dunia.Pengikut aliran pemikiran tokoh pemikir dari Turki,Badiuzaman Said Nursi terkenal dengan usaha mereka membuka samada sekolah-rumah-madrasah di serata dunia demi menyebarkan dakwah dan misi pendidikan.

Pasca kejadian Tsunami,NGO dari Turki antara yang paling aktif membantu masyarakat Aceh dengan membina ‘sekolah darurat’,sekolah sementara buat mangsa Tsunami mendapatkan pendidikan.

Sahabat dari Turki menceritakan hanya beberapa hari selepas kejadian Tsunami,beberapa orang sukarelawan guru dari Turki tiba di Aceh untuk berkhidmat di sini sehingga ke hari ini.Kehadiran mereka lebih memfokuskan kepada pembangunan pendidikan anak-anak yatim dan orang miskin.

Eksport guru Turki ke Aceh.Itulah yang digambarkan oleh sahabat saya tersebut.Bagi mereka inilah khidmat dan apa jua negara tidak penting dan yang penting ialah hati nurani,fikiran yang sama dan tidak jauh dari khidmat.Dalam perkongsian pengalaman ini mereka menceritakan bagaimana sekolah-sekolah mereka hidup di luar negara dan bagi sukarelawan guru-guru dari Turki yang bernaung dibawah NGO mereka,mereka bersedia berkhidmat dimana-mana dan sanggup berpindah antara negara ke negara lain demi khidmat pendidikan.

Merdan, sahabat saya dari Turmenistan dan pernah menuntut di Universiti Teknologi Petronas misalnya pernah ditugaskan untuk khidmat di Filipina namun setelah mendapat arahan tugas dari pihak NGO yang berpusat di Turki untuk ke Aceh,dia serta merta berkhidmat di Aceh dan begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain dimana rata-rata mereka pernah berkhidmat di beberapa tempat di luar negara dan di sekitar Indonesia sebelum ditugaskan berkhidmat di Aceh.Majoriti mereka masih muda dan belum berkahwin namun sanggup berjuang membangunkan pendidikan anak muda di seluruh dunia .

Seorang lagi sahabat dari Turki menceritakan pengalaman beliau ditugaskan untuk misi pendidikan di Afghanistan pada masa perang.Pihak tentera Amerika telah menjadikan sekolah-sekolah di Afghanistan sebagai kubu tentera sehingga membantutkan proses pendidikan anak-anak Afghanistan.Sekolah-sekolah tersebut akhirnya kembali berfungsi sebagai sekolah dan ketika itulah guru-guru dari Turki ditugaskan untuk berkhidmat di sana.

Dan sekolah-sekolah Turki milik rangkaian jaringan tokoh kemanusiaan dari Turki,Fethullah Gulen ini berkembang luas di serata dunia terutamanya di Amerika Syarikat sendiri dimana lebih tiga ratus buah sekolah Turki telah dibuka di sana.

Sahabat-sahabat dari Turki-Turkmenistan dan lain-lain yang berkongsi pengalaman mereka dalam misi pendidikan sangat menekankan aspek kesukarelawanan,keikhlasan,ridha Ilahi,kesabaran dan kualiti guru dengan memberi contoh akhlak dan bukan sekadar lisan.

Sambil berkongsi pengalaman tentang misi pendidikan di seluruh dunia,kami juga dihiburkan dengan telatah Merdan yang suka bercerita ,membawa kisah-kisah lucu dan juga sering menyanyikan lagu-lagu Rhoma Irama .

Selepas selesai sesi perkongsian pengalaman,sahabat-sahabat dari Turki-Turkmensitan dan lain-lain bertanyakan kepada kami samada kami suka makan durian atau tidak lalu kami menjawab suka.Dan tanpa disangka-sangka mereka kemudiannya meminta kami bersiap sedia untuk keluar makan durian di luar sekitar Banda Aceh.

Menaiki van milik sekolah Turki beramai-ramai ,kami singgah di sebuah gerai di tepi jalan yang menjual durian dalam keadaan hujan yang turun agak lebat.Hujan lebat sedikit pun tidak menghalang kami untuk ‘kenduri durian’ malam itu.Peniaga durian di gerai tersebut tidak henti-henti menghantar durian-durian baru ke atas meja kami dan rupa-rupanya sahabat-sahabat dari Turki-Turkmenistan dan lain-lain telah menempah sebanyak mungkin durian untuk kami makan malam itu.’Makan durian sampai kenyang’,kata mereka .

Malam itu kami tidur dalam kekenyangan durian....

Misi pendidikan PKPIM-Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS) di Aceh(2)

Ada beberapa hal yang menyuntik semangat saya untuk mengikuti kembara ilmu ke Aceh ini.Yang sebenarnya memang saya seorang yang suka kembara,berjalan-jalan,melancong, dan sebagainya.Semakin banyak berjalan kan semakin luas pandangan.Kembara itu pastinya kembara ilmu-menuntut ilmu(rehlah ilmi),jalan-jalan itu bukan jalan-jalan cari makan tetapi jalan-jalan cari tuhan!.Melancong itu bukan untuk melencong tetapi untuk melihat keindahan ciptaan tuhan.

Saya juga mahu mengukuhkan jaringan persahabatan dengan sahabat-sahabat Turki misalnya dari Malaysian Turksih Dialogue Society seperti Fatih yang begitu bersemangat mengajak saya mengikuti rombongan ini sehingga sanggup mendahulukan wangnya sendiri untuk membeli tiket kapal terbang ke Aceh untuk saya.Sebelum ini saya agak rapat dengan sahabat-sahabat Turki dari NGO Hayret Vekfi yang dianggap NGO adik beradik dengan PKPIM-ABIM-WADAH dan sering mengunjungi rumah mereka ,usrah dan berdiskusi tentang karya tokoh pendakwah,pemikir,Badiuzaman Said Nursi dan juga sahabat-sahabat Turki yang menuntut di UIAM yang menetap di sekitar Gombak.

Saya juga pastinya ingin melihat dan menyaksikan sendiri Aceh pasca Tsunami dan membina jaringan persaudaraan dengan sahabat-sahabat di Aceh.Antara hal yang terlintas di kepala saya bila menyebut Aceh ialah keinginan untuk menziarahi Masjid Baiturrahman di Banda Aceh yang menjadi saksi musibah Tsunami yang menimpa masyarakat Aceh.

Sebelum ini juga saya pernah membaca beberapa hal sejarah berkaitan Aceh misalnya berkenaan Gerakan Aceh Merdeka,dan sejarah serta perjuangan nama-nama tokoh seperti Teungku Chik Di Tiro ,Hasan Di Tiro,Teuku Daud Beureueh ,Nuruddin ArRaniry,Hamzah Fansuri dan ramai lagi.Buku terakhir yang saya baca tentang Aceh ialah sebuah buku tentang perjuangan Teuku Daud Beureueh yang saya temui di surau kolej penginapan Universiti Sains Malaysia(USM)Pulau Pinang tatkala menginap di sana untuk acara Sukan Majlis Belia Malaysia(MBM) baru-baru ini.

Di dalam kesibukan dan keletihan mengikuti acara sukan tersebut di pagi sehingga petang hari,entah bagaimana saya tertarik untuk menyelesaikan bacaan buku perjuangan Teuku Daud Beureueh tersebut setiap malam sepanjang menginap di sana.

Beberapa tahun dahulu selepas selesai sahaja Sijil Menengah Ugama(SMU) di sekolah menengah,saya sebenarnya turut mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di IAIN ARRaniry di Banda Aceh tetapi ketika itu saya langsung tidak berminat dan tidak bercita-cita untuk menjejakkan kaki ke bumi Aceh.

Negara Indonesia yang unik telah saya kunjungi beberapa tempatnya seperti di Jakarta,Jogjakarta,Bogor,Bandung,Depok dan kini saya berpeluang menjejakkan kaki ke Aceh yang sangat unik juga.Mungkin kerana mahu terus mempelajari budaya masyarakat yang unik dan tertarik dengan pelbagai perbezaan yang wujud menyebabkan saya bersemangat untuk mengikuti kembara di Aceh ini.

Dan pastinya kembara ilmu ke Aceh menziarahi sekolah Turki di Aceh ini selaras dengan amanah gerakan pendidikan PKPIM-ABIM-WADAH dan saya akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang perjuangan pendidikan NGO Turki di Aceh ini.

Saya mahu melihat sendiri gerak kerja sahabat-sahabat Turki yang terkenal dengan khidmatnya dalam misi pendidikan di seluruh dunia,mempelajari sistem dan modul pendidikan mereka,mengetahui bagaimana mereka menggerakkan sekolah-sekolah milik mereka di Aceh dan apa yang boleh dipelajari daripada gerakan NGO Turki di Aceh oleh gerakan PKPIM-ABIM-WADAH di Malaysia.

Misi pendidikan PKPIM-Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS) di Aceh(1)

‘’Kamu mahu ikut kami ke Aceh?’’

Demikian tanya Fatih dari Turki tatkala kami bertemu ketika program International Conference on The Family Institution in the 21st Century di IAIS.Fatih boleh berbahasa Melayu dan sudah menetap di Malaysia beberapa tahun dan aktif dengan sebuah gerakan NGO Turki,Malaysian Turkish Dialogue Society.Kali pertama saya bertemunya kalau tidaksilap saya di Turkish Culture Centre dan di hadapan kedutaan Turki tatkala saya dan beberapa rakan berkunjung ke sana.

Pada mulanya saya menyangka Fatih ‘ajak-ajak ayam’ sahaja tetapi rupa-rupanya beliau serius mengajak saya mengikuti rombongan ke Aceh untuk melawat sekolah Turki di sana.Beliau meminta saya segera membeli tiket pada hari yang ditetapkan agar kami dapat bergerak ke Aceh bersama-sama dan memaklumkan kepada saya semua kos penginapan,makan-minum sepanjang di Aceh ditanggung sepenuhnya oleh pihak mereka di sana.

Setelah beberapa hari pertemuan kami di IAIS tersebut,Fatih menelefon saya beberapa kali bertanyakan apakah saya sudah membeli tiket ke Aceh atau belum membelinya lagi.Fatih kemudiannya juga memberi saya no telefon bimbit Ammar dan meminta saya menghubungi Ammar untuk tempahan tiket ke Aceh.

Ketika itu saya masih teragak-agak untuk membeli tiket memikirkan ‘kantong’ yang kosong lalu saya mengambil keputusan berhutang dahulu wang tiketnya dengan adik saya,Hanan dan akan membayar kemudian(entah bila,saya pun tak tahuJ).

Saya cuba meminta bantuan beberapa orang rakan untuk menempah tiket Air Asia menggunakan no kad kredit dan wang mereka terlebih dahulu namun mereka juga mempunyai beberapa masalah teknikal tatkala cuba menempah tiket Air Asia.

Pagi itu Ammar telefon saya memaklumkan katanya ‘berita buruk’ memandangkan masih belum dapat menempah tiket ke Aceh untuk saya atas beberapa masalah.Sedang saya sedang sibuk membuat urusan sendiri setelah menganggap tiada harapan untuk ke Aceh kali ini, tanpa disangka-sangka Fatih menelefon saya memaklumkan beliau meminta Ammar mendapatkan juga tiket ke Aceh di KL Sentral.Dan beberapa minit kemudiaannya ,Ammar menelefon mengatakan beliau sekarang di KL Sentral sedang membeli tiket untuk saya dan dia ke Aceh.Ammar membeli tiket saya ke Aceh menggunakan wangnya dan Fatih dahulu dan saya bersyukur kerana ada mereka yang begitu bersemangat untuk memastikan saya turut serta dalam rombongan mereka ke Aceh .

Setelah mendapat tahu dari Ammar tentang berjayanya urusan mendapatkan tiket ke Aceh ,saya dengan begitu pantasnya dan sedikit kelam-kabutnya bersiap sedia beg pakaian,passport ,memaklumkan kepada ibubapa yang sedang berada di Mesir menerusi mesej SMS dan kepada adik-adik saya menerusi mesej Facebook(secara mengejut) dan kepada kakak dan adik saya di rumah yang saya jadi ke Aceh selama 3 hari dan lain-lain urusan memandangkan masa semakin suntuk untuk saya ke LCCT sedangkan kapal terbang yang saya akan naiki bersama-sama rombongan ke Aceh bertolak beberapa jam lagi sedangkan saya masih di rumah di Kampung Sungai Ramal Dalam,Kajang.

Dari Kampung Sungai Ramal Dalam saya menaiki bas ke Pasar Seni,menaiki LRT ke KL Sentral dan dari KL Sentral saya menaiki bas terus ke LCCT.Selang beberapa minit setelah tiba di LCCT,saya bertemu dengan Fatih,Ammar dan kesemua 9 orang yang akan mengikuti rombongan Malaysian Turkish Dialogue Society ke Aceh.Setelah minum sebentar dan makan bubur asyura ala Turki yang dibawa oleh Fatih,kami menuju ke tempat berlepas antarabangsa seterusnya menaiki penerbangan Air Asia ke Aceh walaupun sebenarnya sedikit terlewat tiba di tempat menunggu yang sudah ditutup.Mujur pegawai Air Asia tersebut membuka kembali pintu di tempat menunggu dan membenarkan kami masuk ke kapal terbang.Malangnya 2 orang ,sahabat baik saya,Nuruddin serta adiknya tiba lewat di LCCT dan tidak dibenarkan menaiki kapal terbang bersama-sama kami ke Aceh.

Di dalam kapal terbang,saya dan Ammar duduk di dua tempat duduk yang paling belakang sekali dan kami berasa bersyukur kerana masih berjaya mendapatkan tiket walaupun dua tiket yang terakhir untuk mengikuti kembara ilmu di Aceh Darussalam ini.

Wednesday, December 15, 2010

Tahun baru:Ruh perjuangan baru...

Melangkah masuk tahun baru 1 Muharram 1432 dan 1 Januari 2011,sewajarnya memberi nafas baru dan menyuntik ruh semangat perjuangan yang baru kepada kader-kader PKPIM.Tahun baru ini kita wajar sedayaupaya memastikan setiap detik, setiap saat umur muda kita diisi sebaik mungkin dengan tetap istiqamah berjuang menegakkan kebenaran.

Hidup biar berjasa,motto kita;akan ‘dibumikan’ dengan terus berjasa kepada masyarakat keseluruhannya.

Kita perlu tetap memberi fokus kepada upaya memperkasakan anak muda di bawah 25 tahun dan perlu memberi penekanan lebih kepada program pencerahan di kampus universiti,kolej,institut perguruan ,sekolah-sekolah samada sekolah rendah-sekolah menengah di bandar dan di luar bandar serta tidak dilupakan ,pusat pendidikan awal kanak-kanak.

Di sanalah aset utama kita dan di sana jugalah kita akan bertungkus-lumus melahirkan kader pelapis sebanyak mungkin dengan kekuatan kualiti tarbiyah.

Berbekalkan kekuatan keikhlasan ahli dalam perjuangan,perancangan gerak kerja secara sistematik,bergerak sebagai satu pasukan,sistem tarbiyah dan ukhuwah persaudaraan yang mantap dikalangan ahli serta semangat juang keberanian anak muda,kita akan melangkah ke tahun baru dengan lebih yakin untuk mencetuskan perubahan ke arah kebaikan.

Segala potensi kekuatan yang wujud dalam diri masing-masing perlu digilap dan satu kewajipan kepada kita untuk memanfaatkan segala kekuatan yang kita miliki demi agenda perubahan yang diimpikan bersama.

Semoga kehadiran tahun baru menjadi momentum kepada kita untuk berhijrah ...

Kisah taubat Gito Rollies


‘’Cinta yang tulus di dalam hatiku
telah bersemi karenaMu
hati yang suram kini tiada lagi
telah bersinar karenaMu

ooo...ooo...ooo

Biarkan hujan membasahi bumi
atau bulan yang tiada berseri
namun jangan kau biarkan cintaku
yang tulus suci hanya padaMu

Semua yang ada padaMu ooo
membuat diriku tiada berdaya
hanyalah bagiMu
untukMu tuhanku
seluruh hidup dan cintaku’’

gito rollis.jpg


Lirik lagu di atas ialah sedutan lirik lagu
Cinta Yang Tulus nyanyian Gito Rolies,bekas vokalis muzik Rock dari Indonesia. Bangun Sugito @ Gito Rollies, merupakan penyanyi band The Rollies yang pernah terkenal pada dekad 1960-an hingga 1980-an di Indonesia.

Beliau juga pernah menghasilkan album solo seperti Tuan Musik (1986), Permata

Hitam/Sesuap Nasi (1987), Aku tetap Aku (1987), Air Api (1987) dan Tragedi Buah Apel (1987) dan Goyah (1987) disamping pernah berlakon dalam filem Buah Bibir (1973) , Perempuan Tanpa Dosa (1978), Di Ujung Malam (1979) dan Sepasang Merpati (1979), dan Permainan Bulan Desember (1980), dan Kereta Api Terakhir dan pernah meraih anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik pada Festival Film Indonesia tahun 2005 melalui lakonannya dalam filem Janji Joni.

Zaman kegemilangan Gito Rollies sebagai selebriti terkenal penuh dengan pelbagai kontroversi.Beliau dikatakan pernah bersama rakannya menaiki motor sambil telanjang bulat mengelilingi kota Bandung dan dalam satu konsert muzik rock di Malang pada tahun 1983,beliau pernah melakukan aksi memakan arnab hidup-hidup dan meminum darahnya di atas pentas konsert sehingga ramai peminatnya menjerit terpekik-pekik histeria.

Gito Rollies juga hidup penuh kemewahan dan akhirnya terjerumus ke kancah najis dadah,minum arak dan pelbagai kemungkaran yang lain.

Sehinggalah tercetus perasaan mahu berubah pada diri Gito Rollies tatkala mahu merayakan ulangtahunnya yang ke-50 pada 1997. Pada hari tersebut, Gito telah menjemput

seluruh rakan karibnya untuk berpesta alkohol dan tatkala masih memegang botol arak dan duduk di tempat yang tinggi sambil memandang ke arah bawah,pandangannya tertumpu kepada beberapa orang penduduk kampung yang sedang menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan tiba-tiba hatinya rasa bergetar dan timbul perasaan risau dan tidak tenang pada hatinya.

Gito terfikir apakah penduduk kampung tersebut menemukan ketenangan dan kebahagian di Masjid.Timbul dihatinya untuk cuba mendekati Masjid tersebut dan ketika itu beliau merasakan seolah-olah seperti ada magnet yang menariknya dan mempercepatkan langkahnya menuju ke masjid tersebut.

Setibanya di masjid beliau merasa penuh kagum dan seperti mendapatkan ketenangan melihat orang-orang kampung yang sedang rukuk dan sujud penuh khusyuk.

Beliau terfikir bukankah selama ini beliau melakukan sesuatu untuk mendapatkan ketenangan, tetapi kenapa masih tidak mampu meraih ketenangan tersebut.Beliau mula rasa bersalah terhadap segala kesalahan dan dosa- dosa yang pernah beliau lakukan selama ini dan tidak mahu terus hidup dengan rasa ketidakbahagiaan dan tidak mendapatkan ketenangan hidup.

Malam hari tersebut,beliau tidak dapat memejamkan mata dan mengalami kegelisahan berhari-hari.Sehinggalah suatu malam selepas mengalami kegelisahan yang luar biasa,beliau memutuskan untuk memulakan hidup baru. Beliau mula segera berwudhu’ dan melakukan solat.

Sebaik sahaja melakukan solat tersebut,beliau untuk pertama kalinya merasakan kebahagiaan dan kedamaian. Dan semenjak hari itulah Gito Rollies mula mendalami ilmu agama sekalipun masih banyak menerima tawaran-tawaran yang menggiurkan dan pelbagai ejekan sinis dari sebilangan orang.

Beliau juga telah menunakan ibadah haji dan sempat berdiri dan menangis di hadapan ka’bah memohon kepada Allah agar diampuni segala dosa-dosanya sebelum ini.

Beliau juga telah menziarahi ibunya di Bandung dan mengutarakan niatnya untuk bertaubat yang disambut oleh tangisan ibunya. Semenjak hari itulah , Gito secara rasmi meninggalkan dunia hitamnya dan berubah sikapnya ke arah kebaikan.

Hidupnya telah berubah 180 derajat dan dia telah cuba mendekatkan diri kepada Tuhan serta mengajak semua orang untuk meninggalkan kehidupan hitam yang pernah dilaluinya seperti bergelumang dengan najis dadah,minum arak,berfoya-foya dengan perempuan dan sebagainya.

Sejak tahun 2005 ,Gito mula dilihat terbaring lemah dan disahkan mengidap penyakit kanser.Penderitaannya melawan penyakit kanser yang dihadapinya tidak menghalang beliau untuk terus aktif bergiat dengan kegiatan dakwah dan sering diundang untuk menyampaikan ceramah agama.

Akhirnya setelah menderita penyakit kanser ,Gito Rollies kembali ke rahmatullah meninggal dunia dalam usia 61 tahun.Sebelum meninggal dunia, Gito Rollies masih sempat berdakwah di sekitar Padang, Sumatera Barat selama beberapa hari.

Demikianlah kisah seorang yang pernah bergelumang dengan kehidupan yang jauh tersasar dari hakikat hidup sebenar sebagai manusia dan akhirnya sempat kembali ke pangkal jalan meraih cintaNya sebelum kembali menemuiNya.

Jumlah pengunjung

web statistics