Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Tuesday, January 13, 2009

Usrah Qiyadah PKPIM bersama Dato Dr.Siddiq Fadzil

3 Januari 2009-Hari ini hampir sehari suntuk saya berada di Kolej Dar Hikmah,Kajang(berdekatan sahaja dengan rumah saya).

Selepas mesyuarat selari PKPIM pada sesi petang,kami berusrah pula pada sesi malam dan kali ini bersama seorang tokoh dakwah dan pemikir,Dato Dr.Siddiq Fadzil yang terkenal dengan gaya bahasa pidato dan penulisannya yang penuh sastera,sarat teguran sinis kepada penguasa,dan menyentuh isu rakyat isu ummat.

Dalam usrah yang dihadiri oleh pimpinan PKPIM ini beliau membentangkan tajuk Misi mencetak kader-kader dakwah.

Generasi pelanjut perjuangan.

Inilah istilah yang beliau gambarkan kepada aktivis muda dakwah yang akan meneruskan perjuangan dakwah generasi terdahulu.

Beliau menyentuh tentang impian dan pengalaman antara orang tua dan orang mua.
Menurut beliau ,tidak ada orang tua yang tidak ada pengalaman dan orang tua tidaklah ada impian.Kalau nak minta daripada orang tua minta pengalamannya manakala daripada orang muda minta@tanya impian nya memandangkan orang muda kurang pengalaman.

Beliau juga mengimbas kembali perjuangan dakwah beliau semenjak muda sehingga kini antaranya bermula dari jemaah PMIUM,PKPIM,ABIM dan kini WADAH.Beliau tidak terfikir ada lagi jemaah yang akan beliau sertai lagi selepas WADAH ini.

Khodimul Ummah-Khadam kepada ummah

Istilah ini beliau gunakan menggambarkan peribadi seorang kader dakwah yang kita dambakan.

Beliau juga mengupas tentang pandangan Bapak Mohammad Natsir(mentor beliau dan juga DSAI) ketika ditanya siapa penganti beliau.bagi Pak Natsir beliau tidak siapkan sesiapa sebagai pengganti sebab bagi beliau yang dinamakan pemimpin itu akan muncul di kalangan seangkatan muncul dari tengah gelanggang dan bukannya daripada dewan kuliah atau bilik seminar Pak Natsir juga pernah mengungkap kisah Nabi Zakaria yang sudah berusia lanjut tetapi belum ada calon pengganti..

Beliau juga menceritakan bagaimana Nurcholis Majid(Cak Nur-yang menimbulkan kontroversi di Indonesia) yang pernah digelar Natsir Muda suatu ketika walaupun kemudiaanya mereka berdua banyak berbeza pandangan dan pemikiran tentang Islam.

Menurut Dato Dr Siddiq Fadzil beliau siap sedia menghadapi kemungkinan yang dicetak tidak menjadi tetapi mudah-mudahan jadi.

Kader dakwah menurut beliau ialah kader yang mampu menangani realiti dakwah di zamannya dan mengenal zamannya bahkan istiqamah dan konsisten.Mengenal zamannya bagi beliau meupakan syarat asasi yang tidak boleh dikompromikan oleh kader dakwah.

Kata beliau’anda dicetak untuk zaman anda, bukan untuk zaman lalu’.
Tahun 2000 an bukan tahun 70 an yang mana realiti-waqi’ telah pun berubah.
‘Manusia ideal sesuatu zaman tidak ideal lagi dalam zaman yang sudah berubah’.Inilah kata –kata yang dipetik oleh beliau tatkala menghuraikan tentang mengenal zaman.

Beliau turut mengimbas kembali bagaimana sukarnya kader dakwah era 70 an dahulu yang terpaksa menaip dengan mesin taip lama sambil menggelek dakwatnya .Bagi beliau’tidak ada maaf bagi kader sekarang tidak tahu kuasai teknologi maklumat’.

Beliau juga menyeru pimpinan PKPIM yang hadir dalam usrah ini agar tidak mengabaikan sejarah masa silam dengan meremehkannya tetapi sejarah perlu dikaji,direnung, dan dipelajari.’Mereka yang tidak pelajari dan tidak tahu sejarah akan mengulangi kesalahan sejarah ‘kata beliau.

Seorang mukmin tidak boleh naïf dan dipatuk 2 kali dalam lubang yang sama,jelas beliau.

Pengalaman yang paling tidak boleh beliau lupakan ialah krisis tahun1982 dimana Presiden ABIM ketika itu,Dato Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan masuk UMNO dan dato Dr Siddiq Fadzil kemudiaanya memangku jawatan Presiden ABIM.
Krisis,perkelahian sangat pahit oleh itu hal-hal sebegini perlu dihindarkan,nasihat beliau lagi.

Yang kita ingin cetak bukan kader-kader individu tetapi kader gerakan dakwah,jemaah dakwah. Orientasi jamaie harus cukup kuat dan kader dakwah itu perlu berperanan dalam konteks jemaah bukannya secara individu.

Sehebat mana pun individu kalau tidak mampu berperanan secara berjemaah tidak mampu menyumbang kepada ummat.

Demikian lah kata-kata yang diluahkan beliau dalam mengupas tentang peranan kader dakwah untuk berperanan secara berjemaah.

Beliau juga sempat memberi contoh bagaimana Indonesia yang gah dengan kehebatan dalam sukan badminton (individu)tetapi sering tewas dalam sukan bolasepak (pasukan)yang mana bagi beliau Indonesia gagal membina pasukan atau pemainnya tidak pandai main secara berpasukan.

Beliau meluahkan betapa susahnya membina kader-kader dakwah-aktivis yang pandai berperanan dalam jemaah dan sebab itu subjek ‘amal jamaie’ yang diperkenalkan dalam usrah ABIM misalnya dengan mengambil bahan-bahan dari Ikhwanul Muslimin (Mesir) cukup penting bagi beliau.

Beliau juga membicarakan perihal ‘budaya ABIM’ yang hanya ada pada ahli gerakan ABIM yang mampu menyatukan dan menyeragamkan warganya seperti cara bertegur sapa,cara berpakaian dan penampilan .

Imej ahli ABIM suatu ketika dahulu terkenal dengan janggut yang sedikit-sejemput,berbaju melayu dengan seluar biasa,ketayap(bagi sesetengah ahli) dan juga ucapan dasar yang panjang dan ilmiah!!!

Beliau juga pernah bergurau dengan Dato Seri Anwar Ibrahim berkenaan perbezaan ucapan dasar DSAI yang agak panjang ketika memimpin ABIM dan ucapan dasar beliau yang pendek ketika memimpin pemuda UMNO.

Satu lagi budaya ABIM yang beliau tekankan ialah amalan menghormati syura.
Antara fungsi pemimpin bagi beliau ialah ‘culture builder’-pembangun dan pembina budaya.

Dato Dr.Siddiq Fadzil menghurai bagaimana dalam ilmu pengurusan(management),individu ibarat anak panah yang tidak tahu dimana akan dilepaskan sasarannya.Yang menyatukannya ialah budaya iaitu apabila dilepaskan secara terarah ,ke mana arahnya.

Beliau menegaskan pentingnya kita mengetahui dan menghormati budaya.
Beliau turut mengambil contoh bagaimana budaya dalam UMNO dan PAS yang berbeza.Kata beliau budaya dalam PAS,penyokong yang keluar duit manakala budaya dalam UMNO penyokong yang minta duit!!!

Dato Dr.Siddiq Fadzil menghuraikan juga kepentingan melaksanakan amal secara jamaie.Amar makruf nahi mungkar menurut beliau merupakan tanggungjawab kolektif –bersama.Beliau memetik ayat Al-Quran (wal takumminkum ummah.....)perkataaan ummah yang bermaksud jemaah-jamaie.Begitu juga ayat Al-Quran(Kuntum khoiro ummah...)yang mana bagi beliau jemaah dakwah seharusnya jadi sebaik-baik ummat(khoiro ummah) yang mana kegiatannya ialah amar makruf nahi mungkar)

Beliau menimbulkan persoalan dalam ayat (Kuntum Khoiro ummah ...)yang mana Allah mengatakan mereka menyeru kea rah kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah,kenapa tidak beriman dahulu baru amar makruf nahi mungkar?Apa guna amar makruf nahi mungkar tanpa iman?

Persoalan itu dijawab beliau dengan mengatakan untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar jangan hanya tunggu sampai iman sudah kuat.Iman akan kuat berkat amar makruf nahi mungkar yang membawa kesan kepada peningkatan iman.
Beliau juga membicarakan tentang penyakit-penyakit yang merosakkan dan melonggar jemaah anataranya apabila earganya mengutamakan dan mendahulukan kepentingan peribadi daripada kepentingan orang ramai.Beliau menyeru agar diamalkan orientasi yang mengutamakan kepentingan ramai,ummah dan jemaah sehingga sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk kepentingan jemaah.

Jemaah selalu jadi pecah apabila tumbuh penyakit ‘Hubbu Ri’asah’ dimana semua nak jadi pemimpin.Yang jadi ketua tidak mahu turun,yang dibawah nak jadi ketua.
Beliau juga memeprkatakan soal orientasi tahu diri-sedar diri , tahu menempatkan diri atau dimana nak posisikan diri.

Beliau membawa kisah bagaimana selepas Prof.Dr Razali Nawawi selaku Presiden ABIM yang pertama melepaskan jawatannya timbul persoalan siapa pengganti beliau .2 nama menjadi calon pilihan untuk menjawat jawatan Presiden ABIM iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim dan Almarhum Dato Fadzil Nor.Dato Seri Anwar Ibrahim menghitung bahawa Almarhum Dato Fadzil Nor yang paling layak memandangakn ‘keustazan’ dan usianya yang lebih tua lantas ‘mempromosi ‘Almarhum Fadzil Nor untuk jawatan Presiden ABIM.

Namun demikian,Almarhum Fadzil Nor merasakan Dato Seri Anwar Ibrahim ‘the best person’ untuk jawatan tersebut memandangkan orang ramai lebih nak dengar pandangan Dato Seri Anwar Ibrahim dan akhirnya Dato Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Presiden ABIM dan Almarhum Fadzil Nor sebagai timbalannya.

Dato Dr.Siddiq Fadzil juga mengupas ayat Quran dan mengaitkannya dengan gejala perebutan kuasa akibat inginkan habuan ukhrawi.

Beliau juga memetik kisah berkenaan keinginan seseorang dan impian beliau juga untuk mati dalam keadaan senyum.Ketika kita lahir,kita menangis sedangkan orang di sekeliling kita senyum ketawa riang.Kita sepatutnya punya keinginan untuk mati dalam keadaan sebaliknya iaitu mati dalam keadaan senyum sedangkan orang lain menangisi kematian kita.Demikianlah hal manusia yang ketawa apabila menerima kelahiran seseorang dan menangis apabila kehilangan seseorang.

Beliau juga membawa kisah Khalifah Umar Abdul Aziz saat menghadapi maut bagaimana beliau melaung suara sekuat-kuatnya mengakhiri hayatnya dengan sepotong ayat AL-Quran berkenaan seseorang yang hanya mencari ketinggian dunia.
Di samping itu Dato Dr Siddiq Fadzil juga mengupas satu lagi penyakit yang dapat menghancurkan sesebuah jemaah Islam iaitu apabila dinginya komunikasi –jarak antara pemimpin dan pengikut.Beliau memetik pepatah Melayu bagi mengambarkan hubungan antara pemimpin dan pengikut iaitu ‘yang didulukan selangkah,yang ditinggikan seranting,yang dilebihkan serambut’

Beliau mengambil contoh kedudukan imam dalam solat dimana imam bukanlah ditengah-tengah atau di belakang dan tidak boleh terlalu jauh dari makmum dibimbangi imam tidak tahu dan tidak dengar mereka yang berada di saf belakang.Kalau pemimpin terlalu jauh daripada pengikut,pemimpin tersebut tidak dapat merasai apa yang dirasai oleh pengikut.

Beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin yang mempunyai gaya kepimpinan yang tidak meraikan pendapat dan pemikiran para warga@rakyat dan suka memaksakan atau istilah yang beliau gunakan sebagai penindasan pemikiran yang mana seseorang itu memaksakan pemikirannya kepada orang lain.Beliau membawa kisah Firaun dalam Al-Quran yang selalu melakukan penindasan pemikiran dan hanya versinya sahaja boleh dirakyatkan dimasyarakatkan.

Beliau juga mengimbas kembali peristiwa 8 Mac 2008(Pilihanraya Malaysia) dimana menurut beliau terlalu banyak propaganda yang memperbodohkan rakyat.Beliau berpandangan harus ada keterbukaan dan mengelak daripada mengagumi pendapat sendiri lantas meremehkan pendapat orang lain yang bagi beliau merupakan satu penyakit rohani yang paling parah.

Ketika sesi soal jawab para pimpinan PKPIM tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan-soalan kepada beliau.Tatakala menjawab isu perpecahan umat Islam beliau berbangga kerana masih ada generasi muda yang peka terhadap isu perpecahan umat Islam dan mempunyai keinginan untuk menyatu!bersatu-padu.
Antara punca utama perpecahan umat menurut beliau ialah hilangnya sikap saling mempercayai dan berkenaan soal hati manusia.Fikiran boleh diyakinkan tetapi soal hati begitu rumit untuk dijawab.Pendekatan Islam menurut beliau ialah pendekatan hati jadi kita diminta untuk berbicara dari hati ke hati.Beliau juga sempat bergurau berkenaan hati perut yang mana hati manusia kadangkala sudah mati yang tinggal hanyalah ...perut!!!

Beliau juga ditanya berkenaan pendekatan dakwah sejauh manakah sudah berubah anatara era 70 an dan era kini.Bagi Dato Dr.Siddiq Fadzil pendekatan dakwah yang perlu diamalkan oleh kader dakwah kini ialah pendekatan realistik .Pendekatan dakwah ada yang berubah dan ada yang tidak berubah kalu mahu dibandingkan antara era 70 an dan era kini.

Yang tidak berubah bagi beliau ialah ‘nature’ orang muda@tabii kemudaan yang mana orang muda ini bila-bila kaya dengan idealistik atau pendekatan yang membawa suatu yang ideal.Era 70 an dahulu kata beliau terkenal dengan Marxisme dan pemuda sosialis serta orang muda yang tergila- gilakan sosialis.Jadi strategi yang digunakan oleh golongan Islamis ketika itu antaranya mempopularkan istilah Sosialisme Islam yang pernah digunakan antaranya oleh Cokroaminoto dan Mustafa Sibaie walaupun orang kemudiaannya ‘membelasah’ pemikiran ini.

Namun begitu Syeikh Yusuf Qardhawi sendiri walaupun tidaklah mempopularkan istilah Sosialisme Islam ini tetap mengerti kenapa orang terdahulu mengunapakai istilah kontroversi ini.Dalam Islam ada unsur sosialisme@Islamic Sosialisme tetapi bukannya Marxisme.Sosialisme Islam bolehlah disamakan dengan keadilan sosial dalam Islam.

Dato Dr Siddiq Fadzil turut mengingatkan kader dakwah supaya lebih kreatif dalam mempersembahkan Islam dalam rupanya yang menarik tetapi tanpa merubah esensi dakwah dan risalah Islamiyah.

Yang berubah berbanding era 70 an dan kini pula ialah bagaimana kehidupan mahasiswa dahulu yang tidak membebankan sebagai contoh peperiksaan hanyalah setahun sekali dan ketika itu menggunakan sistem penggal dan bukannya semester serta cutinya agak lama dalam 3 bulan.

Beliau juga menegaskan bahawa Islam itu sesuatu yang menyenangkan bukan menyusahkan jadi dakwah juga perlu dipakejkan sesuai dengan realiti.
Soalan berkenaan sistem syura juga ditanya kepada beliau dan beliau menjawab dengan mengatakan bahawa syura bukan sahaja dengan fikiran tetapi juga dengan iman.Yang dicari ialah pilihan yang paling baik.Dalam syura bukan sahaja menekankan kepintaran berhujah semata-mata tetapi juga kesediaan untuk mendengar.

Dalam syura kita tidak boleh sama sekali menyembunyikan mana-mana aspek dan dimensi-dimensi tertentu dan perlulah membentangkan seluruh aspek isu yang diperdebatkan.

Syura ingin mencari yang terbaik dan bukannya memenangkan kelompok-kelompok tertentu dan ia mestilah bermula dengan sangkaan baik(Husnu Dzan).

Syura bukan sahaja berkaitan aspek keintelektualan semata-mata tetapi turut melibatkan aspek spiritualisme dan oleh kerana itu juga Dato Dr.Siddiq Fadzil menyarankan agar ada satu slot dalam tamrin berkenaan sistem syura memandangkan ia merupakan subjek yang perlu dipelajari oleh kader-kader dakwah.

Demikianlah catatan saya tatkala mendengar pengisian minda-pemikiran yang terkandung dalamnya aspek keintelektualan juga spiritualisme daripada insan pemikir dan tokoh gerakan dakwah Malaysia,Dato Dr Siddiq Fadzil.

Semoga Allah memberkati ilmu yang disampaikan dan ilmu yang diterima.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics