Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Monday, March 02, 2009

Kenyataan Media Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu(SMSBM)

Kenyataan Media Mahasiswa Universiti Malaya Menyokong Pejuang Bahasa Melayu Membantah Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI)
2 Mac 2009


Menyedari akan kegagalan dasar PPSMI dan insaf akan nasib Bahasa Melayu di Negara tercinta Malaysia ini ,kami mewakili mahasiswa Universiti Malaya yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi dan kelompok menyatakan sokongan secara terbuka kepada pejuang-pejuang Bahasa Melayu dalam membantah dasar PPSMI .


Hasil kajian ilmiah daripada pelbagai cendekiawan dan tokoh-tokoh akademik jelas membuktikan kegagalan dasar PPSMI ini.


Pelbagai resolusi yang membantah dasar PPSMI ini telah dibuat dan memorandum bantahan yang menampilkan bukti-bukti ilmiah kegagalan dasar PPSMI turut telah dihantar kepada pihak berwajib namun kesemuanya itu seolah-olah tidak dihiraukan .


Oleh kerana itu,kami menyeru Kerajaan Malaysia agar mendengar pandangan pejuang-pejuang Bahasa Melayu dan berharap Kerajaan Malaysia tidak membuat keputusan yang merugikan rakyat secara keseluruhannya.


Bantahan terhadap dasar PPSMI ini bukanlah bermakna kami menolak kepentingan Bahasa Inggeris bahkan kami menyokong segala usaha untuk menggalakkan penguasaan bahasa-bahasa dunia.


Namun begitu usaha untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu di Malaysia perlu diperkasakan dan sebarang usaha untuk membunuh masa depan Bahasa Melayu secara halus dan menafikan keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu seperti dasar PPSMI ini perlulah ditentang habis-habisan oleh rakyat Malaysia.


Kami juga mencabar Menteri Pelajaran untuk berdebat bersama mahasiswa di kampus Universiti Malaya berkenaan dasar PPSMI ini.


Kami juga bersedia untuk menggerakkan seramai mungkin mahasiswa untuk turun bersama-sama pejuang-pejuang Bahasa Melayu dalam perhimpunan aman raksasa 7 Mac 2009 sebagai kemuncak bantahan terhadap dasar PPSMI ini.


Usahlah kita berdegil untuk meneruskan dasar yang terbukti gagal dan ingatlah bahawa masih belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan.


Kembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu!!!


Semoga Bahasa Melayu,bahasa perpaduan rakyat Malaysia ini terus diperjuangkan oleh rakyat Malaysia


Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu(SMSBM)

Berjumpa Nurju di Kolej 11

Ketika selesai solat Maghrib di surau Kolej 11(blok pelajar asing) saya berjumpa dan berkenalan dengan Mustafa dari Istanbul,Turki.

Pada mulanya beliau bersama-sama kawannya duduk berbincang sesuatu dan kemudiannya beliau menawarkan saya kuih daripada Turki untuk dimakan bersama.

Tatkala mengetahui saya juga pernah berkunjung ke Turki,beliau terus bersembang panjang dengan saya dan apabila saya bertanyakan beliau tentang Badiuzaman Said Nursi,seorang tokoh ulama dari Turki yang cukup saya kagumi,beliau bertambah teruja bersembang dengan saya.

Rupa-rupanya beliau juga merupakan ‘nurju’ atau golongan yang mengikuti aliran pemikiran Badiuzaman Said Nursi.

Seperti mana ‘nurju’ yang lain,beliau juga telah mewakafkan beberapa buah buku koleksi daripada risalah An Nur karya Badiuzaman Said Nursi.

Satu perkara yang saya cukup kagumi dengan ‘nurju’ ini ialah mereka sentiasa cuba menyebarkan idea dan buah pemikiran tokoh mereka di serata dunia dengan penerbitan buku dan risalah-risalah yang kemudiaanya disebarkan di seluruh dunia terutamanya dengan sistem wakaf buku dan risalah.

Mustafa memberitahu saya beliau dan rakan-rakan akan mengadakan ‘Usrah badiuzaman said nursi’ untuk mengkaji method dakwah,idea dan pemikiran Badiuzaman Said Nursi terutamanya melalui bacaan dan kajian terhadap koleksi risalah An Nur.

Beliau menyarankan saya supaya bukan sekadar membaca biografi Badiuzaman Said Nursi tetapi juga membaca,mentelaah dan menghadam buku dan tulisan Badiuzaman Said Nursi yang kebanyakannya ditulis tatkala berada dalam penjara.

Tak sabar rasanya saya untuk mengikuti usrah Badiuzaman Said Nursi itu nanti.....

Sunday, March 01, 2009

‘Conteng puisi’ atas kertas soalan di dewan peperiksaan....

Saya memang suka menconteng.Saya masih ingat banyak buku-buku(Skim pinjaman buku teks) yang dipinjam sewaktu di sekolah rendah dan juga kitab-kitab di sekolah menengah saya dahulu yang menjadi ‘mangsa’ ‘contengan ‘saya.(ada ke istilah ‘contengan’ ya?)

Bahkan sepanjang saya menduduki peperiksaan di Universiti Malaya ini ,hampir kebanyakan kertas soalan peperiksaan akan saya penuhi dengan ‘contengan’(sekali lagi ada ke istilah ‘contengan’ ini ya?) dan ‘contengan’ itu selalunya bukan setakat isi-isi penting jawapan,lukisan(selalunya lukisan kepala manusia(sebab yang lain tak pandai lukis),tulisan khat(khot ‘robot’ ?) dan juga puisi(kalau ini boleh dikatakan puisi lah)

Di bawah ini saya kongsikan hasil ‘contengan’ puisi saya di dewan peperiksaan.(‘conteng’sewaktu menunggu datangnya idea-ilham jawapan,menanti pengawas peperiksaan mengutip kertas jawapan dan waktu sebelum dibenarkan keluar dewan peperiksaan)


Dari puncak gunung
Ku memerhatikan
Keindahan alam ciptaanMU
Lantas ku akui akan kekerdilan diriku......

(Peperiksaan Kajian Bibliografi Tafsir-Nov 2007)

Usah kau menutup mata
Melihat kemungkaran berleluasa
Menafikan kebenaran
Mendokong kebatilan
Di mana maruah harga dirimu
Tatkala tenggelam dengan keasyikan dunia yang fana
Kau rela bersama dengan tangan-tangan perosak agama
Enggan bersama pejuang-pejuang keadilan
Sedarlah akan kuasa tuhanmu
Yang mengatasi kuasa selainnya
Jangan gentar dengan ancaman manusia keparat
Takutlah balasan tuhan di akhirat
Sematkan keberanian dalam dirimu
Bersedia berkorban demi kebenaran
Ayuh mara ke medan perjuangan
Bersatu hati menentang kezaliman

Peperiksaan Ahadith Al-Muamalat
Aras 1 Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
16112007
1025 pagi

Lautan manusia berkumpul satu semangat demi keadilan
Tiada sesiapapun yang mampu menyekat suara mereka dari berkumandang
Mereka berjalan gagah mara bagai pahlawan ke medan perang
Takut dan gentar mereka sudah hilang
Yang ada hanyalah keberanian
Memegang teguh prinsip pejuang kebenaran
Menentang kemungkaran melawan kebatilan

Peperiksaan Mustalah Al-Hadith
Aras 2 Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
02112007
10.00 pagi

Apa yang terbuku di hatinya
Aku pun tak tahu
Apa yang terbuku di hatiku
Dia pun tak tahu
Dia tahu apa dihatinya
Dan aku tahu apa dihatiku
Aku dan dia tahu
Aku dan dia tak tahu

Peperiksaan Manahij Al-Muhaddithin
Dewan peperiksaan APIUM Kl
23042008
9.00 pagi

Kini aku di medan perang
Berjuang demi memahat kejayaan
Berbekal keazaman yang membara
Onak dan duri kuharungi
Kesukaran bukan penghalang
Ku hanya mengenal kebijaksanaan
Senjata doa menjadi azimat
Tawakal menemani diri
Ke melangkah penuh yakin
Terus mara ke hadapan
Tanpa ragu-ragu
Berjuang di medan perang

Peperiksaan Manahij Al-Muhaddithin
Dewan peperiksaan APIUM Kl
23042008
9.35 pagi

Bukan sekali kurasai
Panahan mata
Menyambar hati
Mematikan khayalan dusta
Menghidupkan rasa cinta
Fitrah manusia sejak azali
Ku terus berdoa
Mendamba kasih Ilahi
Mengharap Sayang insani
Kerana ku mencintai Ilahi
Ku terus mencintai insani

Peperiksaan Madkhal Al-Tafsir
29042008
Dewan Peperiksaan APIUMKL
1240 tengahari

Hentikan sandiwara palsumu
Lakonanmu di pentas dunia
Hanyalah menjadi bahan tertawa penonton.......

Peperiksaan Kajian Bibliografi Hadith
Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
28042008
9.15 pagi


Mereka bergelak ketawa
Menyangka perjuangan mereka sudah berjaya
Tanpa menyedari
Mereka sebenarnya di ambang kekalahan........

Peperiksaan Kajian Bibliografi Hadith
Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
28042008
9.15 pagi


Semarakkan perjuangan cinta ini
Biar cuba dihalang oleh syaitan bertopengkan manusia
Yang Menyebarkan kebencian
Meniup api permusuhan
Menyanjung tinggi persengketaan
Perjuangan kita ini adalah perjuangan cinta
Perjuangan kasih sayang
Perjuangan yang ingin menyelamatkan manusia
Agar kembali ke jalan tuhan
Kerana jalan tuhan itu adalah jalan cinta
perjuangan kita juga perjuangan cinta
Dan melalui jalan cinta itu

Peperiksaan Kajian Bibliografi Hadith
Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
28042008
9.15 pagi

Kematian perwira agama

Mengalir sudah darah sang perwira agama
Tiada erti baginya perjuangan tanpa tauladan
Biar terpaksa berkorban nyawa sekalipun
Tetap yakin jalan yang dilaluinya
Gagah mara ke barisan hadapan
Menentang sang pengganas berjiwa binatang
Sang perwira agama sedar dan insaf
Kematiannya
tidak mampu mematikan perjuangannya
Kematiannya
bakal melahirkan lebih ramai pejuang agama

04012009
APIUM KL
5.10 petang

Dunia hanya pejamkan mata....

Dunia hanya pejamkan mata
Tatkala sang durjana mengganas
Meratah daging-daging manusia mulia
Menghirup darah-darah syuhada’
Sang pengganas diangkat sebagai perwira
Kononnya berjuang demi keamanan dunia
Senyum gembira terpahat di wajah mereka
Lambing kepuasan membunuh insan
Memperkosa kemanusiaan
Menyerlah watak kebinatangan
Menjiwai sifat kebiadaban
Sang pengganas terus bermaharajalela
Kerana mereka sememangnya mengetahui
Dunia hanya mampu pejamkan mata

22022009
4.00 petang
DKU APIUM

Sekitar tazkirah di Balai Islam Kolej 8 UM...

Sabtu 21 Februari 2009

Saya mendapat jemputan daripada Balai Islam Kolej Kediaman Kelapan UM untuk memberi sedikit pengisian selepas maghrib bertajuk Peranan mahasiswa-mahasiswi dalam menepis fahaman sekularisme..(duduk dalam bulatan ala usrah)

Saya mulakan dengan menyentuh sedikit persoalan budaya ilmu yang hidup di kampus suatu ketika dahulu tatkala tahun 70 an era mahasiswa menggugat-tradisi mencabar.

Saya tidaklah mengupas makna sekularisme secara mendalam tetapi saya mengaitkannya dengan serangan pemikiran dengan mengupas pandangan Mohamad Al-Ghazali tentang ‘isti’mar ruhi wa fikri-‘penjajahan jiwa dan pemikiran’ dan istilah ‘colonasibility’ yang digunakan oleh pemikir dari Algeria Malek Ben Nabi dan sempat juga saya memetik kata-kata @puisi keramat Allahyarham Dr.Burhanuddin Helmi -


Di atas runtuhan kota Melaka ,
kita bangunkan jiwa merdeka
bersatu-padulah segenap baka
membela hak keadilan pusaka
(dengan memberi penekanan terhadap kupasan erti jiwa merdeka)

Persoalan tentang jiwa hamba-khalifah yang sering saya dengari dan baca melalui siri ceramah dan buku Prof Dr.Sidek Baba juga sempat saya bicarakan sambil menyeru hadirin yang hadir supaya tidak mentuhankan manusia (sambil membawa contoh rasa takut sesama manusia,AUKU-HEP-KPT dan lain-lain)sebaliknya mentuhankan Allah yang Maha Esa.

Peranan CIA dalam menghidupkan serangan pemikiran secara halus terhadap umat Islam terutamanya selepas tragedi 11 September 2001 turut saya kupas dan juga apa yang dinyatakan oleh Condoliza Rice iaitu ’to win the war on terror we must win a war of ideas’.

Dalam pengisian ini juga saya membicarakan Sekularisme yang cuba memisahkan peranan agama dalam kehidupan dan pemisahan antara hal ehwal dunia dan akhirat dan membawa bentuk-bentuk sekularisme terutamanya dari sudut politik,pendidikan,ekonomi dan sosial
Ketika mengupas tentang sekularisme dalam politik saya membawa contoh negara Turki di zaman pemerintahan Kamal Ataturk dan juga tentang prinsip matlamat menghalalkan cara anjuran Machievali.

Dari aspek pendidikan pula saya tekankan soal dokotomi ilmu yang berlaku dan saranan untuk mengintegrasi kan ilmu.

Aspek ekonomi pula saya menyentuh tentang kegagalan sistem kapitalisme dan sosialisme,tentang riba dan monopoli yang menyebabkan yang kaya terus kaya yang miskin papa kedana(meminjam kata yang sering diungkap oleh DSAI)

Dari aspek sosial masyarakat pula saya menyentuh tentang keruntuhan akhlak serta jenayah yang berleluasa dan juga akibat mengabaikan prinsip amar makruf nahi mungkar.

Peranan media di era globalisasi dalam menyebarkan faham sekularisme ini juga menjadi topik pilihan saya dan saya juga menekankan keperluan memahami faham liberalisme masa kini dengan mengambil contoh bagaimana gerakan Islam era 70 dahulu menangani faham sosialisme dengan memahami persoalan sosialisme dan membawa hujah-hujah Islam yang meyakinkan sekaligus menenggelamkan faham sosialisme.

Sebagai nasihat buat diri saya dan hadirin yang hadir dalam pengisian tersebut saya menyeru semua yang hadir untuk menuntut ilmu yang benar daripada ulama dan ilmuwan yang mempunyai authoriti dalam bidang masing-masing,menekankan soal ketauhidan dan ketuhanan ,mengetahui tentang sejarah tamadun Islam dan tamadun-tamadun lain terutamanya tamadun Barat,memahami bentuk jahiliyah moden dengan segala isme-ideologi ciptaan manusia, dan bersama-sama dengan perjuangan gerakan mahasiswa Islam di kampus untuk menyuburkan budaya ilmu dan tradisi keintelektualan mahasiswa.

Sunday, February 22, 2009

Takut VS Tauhid

Kalau sanubari kita penuh dengan ketakutan ,kita akan hidup dalam ketakutan.Kalau kita nyalakan api perjuangan dalam dada kita,kita akan memiliki kekuatan untuk menegak keadilan,menghapus kezaliman-Anwar Ibrahim

Kadangkala saya terfikir mengapa masih ada mahasiswa yang hidup dalam ketakutan.

Takut kepada AUKU-HEP-KPT.

Takut kepada SB.

Takut kepada CCTV.

Takut untuk bersuara menyatakan kebenaran.

Takut untuk mengedarkankan risalah-risalah dakwah di kolej-kolej kediaman.

Takut untuk mengadakan usrah di khalayak ramai.

Takut untuk melakukan amar makruf nahi mungkar.

TAKUT.TAKUT.TAKUT...........Takut kepada bayang-bayang sendiri.....................

Tatkala mereka yang melakukan kesalahan dan maksiat tidak lagi segan silu dan takut bahkan terus-terang dan berani ,aktivis dakwah terus hidup dalam ketakutan........

Lupakah kita ;Berani kerana benar ,takut kerana salah!

Soalnya sekarang siapakah yang benar dan siapakah yang salah?

Apakah kita tidak yakin kita sedang berada di jalan yang lurus lagi benar?

Agaknya soal ketauhidan kita belum selesai dihayati lagi.

Ungkapan kalimah La ilahaillallah hanya sekadar di bibir mulut tanpa penghayatan terhadap maknanya .

Barangkali gerakan dakwah perlu mengadakan bengkel tauhid yang mampu memusnahkan pemikiran dan faham mentuhankan manusia......


Tokoh Ikhwanul Muslimin,'Hassan Al-Banna ‘ kini di Kolej Ungku Aziz(11) Universiti Malaya

‘Tokoh Ikhwanul Muslimin,Hassan Al-Banna ‘ kini di Kolej Ungku Aziz(11) Universiti Malaya

Saya kini bersahabat dengan’ Hassan Al-Banna’.

Kali pertama saya berjumpa beliau tatkala ‘kembara’ di petang hari di Fakulti Bahasa dan Linguistik UM.

Beliau bukanlah Hassan Al-Banna yang sebenar tetapi raut mukanya ‘sebijik’ macam Hassan Al-Banna dan melihat perwatakannya yang tenang barangkali persis Hassan Al-Banna .

Yusuf namanya dan saya menyimpan no telefonnya dengan membubuh nama Yusuf Al-Banna.

Yusuf daripada Algeria dan kini sedang mengikuti kursus bahasa Inggeris sebelum melanjutkan pelajarannya di UM ini nanti.

Sesiapa yang ingin mengadakan usrah dengan ‘Hassan Al-Banna ‘ ini(nostalgia usrah Ikhwanul Muslimin) bolehlah menghubunginya di Kolej Ungku Aziz(11) UM......

Harvard Business Review on Effective Communication

Ketika pulang ke rumah tempoh hari,saya membelek-belek beberapa buah buku milik ayah saya yang tersusun rapi atas rak buku di rumah.

Sebuah buku menarik perhatian saya iaitu Harvard Business Review on Effective Communication(The Harvard business review paperback series) lantas saya cuba sedaya upaya membacanya sehingga tamat .

Barangkali disebabkan tajuk nya yang menarik apatah lagi ia mempunyai kaitan dengan salah sebuah universiti terkemuka di dunia,Universiti Harvard dan sememangnya saya teringin benar mengetahui apa yang dipelajari,buku apa yang dibaca dan dikaji oleh mahasiswa-mahasiswa di universiti-universiti terkemuka dunia.

Buku ini merupakan kompilasi artikel tulisan beberapa orang pensyarah dan memberi fokus bagaimana untuk membina pasukan pengurusan efektif,merubah sikap pekerja,tip dan panduan untuk ahli perniagaan.

Antara tajuk yang dikupas dalam buku ini ialah seperti berikut:-

-Listening to people
-How to run a meeting
-Creative meetings through power sharing
-Nobody trusts the boss completely-now what?
-Skilled incompetence
-The hidden messages managers send
-Reaching and changing frontline employees
-How management teams can have a good fight

Buku ini sesuai dibaca oleh mereka yang mahu meningkatkan kecekapan mereka dalam hal-hal pengurusan dan pentadbiran serta bagi mereka yang ingin memperkasakan diri mereka dengan pelbagai kemahiran yang jarang-jarang dimiliki oleh orang lain.

Thursday, February 19, 2009

Mencabar pemikiran ,,,,,,,

Kelas Islam dan Agama Semitik di bawah tunjuk ajar Prof Madya Dr Khadijah Khanbali hari ini 'hidup'....

Kami dicabar dengan soalan-soalan yang mampu membuatkan kami berfikir mencari-cari jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut.

Saya amat meminati para pensyarah yang menghidupkan kelas mereka dengan melontarkan soalan-soalan yang mencabar minda dan pemikiran mahasiswa dan bukannya sekadar ‘menyumbat dan ‘menyogok’ fikiran dan membiarkan sahaja mahasiswa menerima begitu sahaja hujah mereka tanpa berfikir secara rasional.

Keselesaan menuntut ilmu tanpa dicabar dengan persoalan-persoalan yang mencetuskan rasa ingin tahu dan mencari jawapan hujah balas terhadap persoalan-persoalan tersebut akhirnya akan membunuh pemikiran dan mematikan daya keintelektualan para penuntut ilmu.

Perdebatan hujah,soal jawab antara pendidik dan anak murid perlu disegarkan dalam kelas-kelas tutorial dan diharapkan kelas tutorial itu tidak menjadi satu pengulangan terhadap siri-siri kuliah.

Para pendidik perlu mencabar pemikiran anak murid mereka dengan menimbulkan persoalan-persoalan yang membuatkan anak murid berfikir dan yang paling penting bagi mahasiswa sendiri mencabar para pendidik dengan persoalan-persoalan demi memantapkan pengetahuan mereka terhadap sesuatu ilmu yang diajar dan pastinya mereka sendiri perlu menyahut segala cabaran daripada pihak pendidik dengan cuba mencari jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh para pendidik dengan terus istiqamah menyelidik dan membuat kajian demi mencari kebenaran.

Wednesday, February 18, 2009

Puisi Salam Benua-Usman Awang

Suatu hari dalam kelas Asas Deklamasi Puisi,saya diminta untuk mendeklamasi puisi.

Yang menariknya dalam subjek ini ialah pembelajarannya lebih praktikal bukan sekadar teori semata-mata.


Sememangnya saya meminati kelas yang ‘hidup ‘ bukannya kelas yang sunyi sepi -mati,anak murid menjadi seumpama mayat yang sedang dimandikan di hadapan guru......



Seorang demi seorang diminta mendeklamasi puisi.



Apabila giliran saya,saya membelek-belek buku puisi mencari puisi pilihan untuk dideklamasi.



Akhirnya saya menjumpai puisi pilihan saya iaitu karya Usman Awang bertajuk Salam Benua.....



Lantas saya mendeklamasi puisi ini(buat pertama kali di hadapan khalayak-dalam kelas) walaupun sekadar mendeklamasi puisi rangkap pertamanya sahaja .



Dibawah ini saya bawakan puisi menarik tersebut untuk dinikmati dan dihayati bersama.




Salam Benua ~ Usman Awang

I
MEREKA memisahkan kita


pasport visa wilayah segala tempoh nama


mereka merompak kita dengan undang-undangnya


peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya


kita dipaksa memilih salah satu


dan kita mesti memilihnya


tiada jalan lain
II
Telah saudara pilih senapang dan peluru


banyak pemimpin memilih dollarnya


untuk ini saudara membasahi baju


rumput-merah sungai-merah


tangis anak-anak


darah rakyat tertindas
III
Saudara memerah kaktus melumat batu


menjadikannya minuman makanan


gadis-gadis bekerja debu pasir dandanannya


anak-anak kecil menyandang senapang


saudara menghitamkan langit menyelubungi


saluran minyaksetengahnya menyanyi di penjara


untuk pembebasan Palestin
IV
Kami bertatih di sawah semakin kering


petani-petani mulai menebang hutan dara


permulaan kecil pada ketenangan segumpul awam


ketenangan yang di belakangnya memangkas kami


yang sedikit ini sedang belajar


dari tiap pengalaman saudara


dan pengalaman sendiri


kami memampatkan gerhana bulan mei


pada tujuan tempat


nusantara ini
V
Salam


tanpa visa


pasport


golf


warna


kemanusiaan rakyat


seluruh benua



Usman Awang


1970

Monday, February 16, 2009

Festival Filem Sweden

Swedish Film Festival 2009-Free admission

Kain rentang itu saya perhatikan beberapa kali setiap kali melintasi Institut Asia Eropah ,UM.

Ini bukan kain rentang yang pertama mengiklankan festival filem yang dianjurkan Institut Asia Eropah dengan kerjasama beberapa buah institusi negara asing.

Hampir setiap bulan pasti ada festival filem yang memaparkan filem-filem daripada negara-negara asing di Institut Asia Eropah,UM ini dan ditayangkan secara percuma serta terbuka untuk semua.

Sebelum ini saya pernah bercadang untuk menonton filem dalam festival filem tersebut namun tidak berkesempatan sehinggalah hari ini(16 Februari 2009) saya mengambil keputusan untuk menghadiri Festival Filem Sweden.

Sambutan agak memberangsangkan dan berdasarkan pemerhatian saya kebanyakannya yang hadir pada malam ini ialah pelajar daripada luar negara terutamanya daripada pelajar Master dan PHD Institut Asia Eropah .Hanya saya dan beberapa orang sahaja rakyat Malaysia.

‘That Special Summer’ .

Demikanlah tajuk filem yang ditayangkan pada malam ini bertempat di Auditorium Institut Asia Eropah yang mengisahkan tentang konfilk seorang remaja perempuan dengan ibunya(seorang ibu tunggal) di mana remaja perempuan ini ingin tinggal di Bandar di Sweden bersama rakan-rakannya sedangkan ibunya mahu berpindah ke kampong di Finland.

Remaja perempuan ini akhirnya dengan berat hati terpaksa mengikuti ibunya tinggal di Finland dan sekaligus terpaksa melupakan hasratnya menjadi ‘deejay’ radio di Sweden.

Namun begitu remaja perempuan ini sempat mendapatkan (mencuri...)peralatan radio dan rakaman dan membawa peralatan itu bersamanya ke Finland dan sepanjang kehidupannya di Finland ,dia tidak lekang dengan rakaman radionya bak seorang deejay dan melontarkan rasa ketidakpuashatiannya terhadap ibunya yang memaksanya pindah ke Finland melalui radio.

Banyak juga adegan pergaduhan-pertengkaran mulut antara remaja perempuan ini dengan ibunya bahkan remaja perempuan ini juga hampir sahaja menyebabkan rumah mereka terbakar dan juga cuba membunuh dirinya akibat kecewa dengan sikap ibunya dengan terjun ke dalam sungai walaupun menyedari dia tidak tahu berenang.

Cubaan membunuh diri itu disedari oleh ibunya dan mujur sahaja ibunya berjaya menyelamatkannya daripada lemas dalam sungai tersebut.

Akhirnya remaja perempuan itu sedar dan insaf akan kesilapannya dan berbaik semula dengan ibunya dan tinggallah mereka berdua bersama saudara mara mereka di Finland dalam keadaan bahagia.

Menonton filem ini bagi saya bukan sekadar hiburan untuk melepaskan tekanan belajar(tak tertekan pun sebenarnya..menonton filem itu juga kan satu proses pembelajaran!!!) bahkan mampu memantapkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris,mengetahui tentang selok belok budaya asing di samping dapat menambah kenalan baru daripada pelbagai negara terutamanya ketika sesi makan-minum sebelum tayangan dan juga selepas tayangan filem.

Bila pula aktivis gerakan dakwah mahu menghasilkan filem-filem hebat ya....?

10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh

Saya baru sahaja selesai membaca buku 10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh-menyingkap sejarah perjuangan dan kegemilangan tokoh abad ke 20 dan 21-(terbitan pertama 2009-) tulisan bekas Timbalan Presiden ABIM,Mohd Rumaizuddin Ghazali.

Ustaz Rumaizuddin Ghazali ini memang dikenali dengan tulisan-tulisannya berkenaan tokoh- ulama.

Dalam buku terbitan PTS Islamika ini dimuatkan artikel tulisan berkenaan 10 orang tokoh iaitu Mustafa Al-Syiba’iy,Dr Yusuf Musa,Mahmud Shaltut,Muhammad ‘Imarah,Muhammad Al-Ghazali,Abu Hassan Ali Al-Nadawi,Syeikh Ismail Sodiq Al-Adawi,Muhammad Al-Mutawalli Al-Sya’rawi,Dr Wahbah Al-Zuhayli dan Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Membaca latar belakang,sejarah perjuangan ,jasa dan sumbangan 10 tokoh di atas pasti membangkitkan semangat pembaca terutamanya generasi muda untuk mencontohi perjalanan hidup mereka dalam memperjuangkan Islam.

Monday, February 09, 2009

Ceramah-bengkel agama bersama Syeikh Fauzi Audeh

Lecture by Syeikh Fauzi Audeh from Riyadh .Sunday 8.2.08 11 am .AlKhaadem Centre .Jemput dtg dan ajak kawan2 ya!

SMS dari seorang sahabat ,Nuruddin saya terima pagi ini.Nuruddin sering kali memaklumkan kepeada saya melalui sms sebarang program dan majlis ilmu yang diadakan sekitar lembah kelang.Bahkan beliau bersama sahabatnya telah menghidupkan blog infomajlisilmu.blogspot.com yang banyak dimanfaatkan oleh para blogger untuk mengetahui senarai dan jadual majlis-majlis ilmu sekitar lembah klang.

Saya menaiki lrt dari stesyen universiti ke taman bahagia kerana nuruddin berjanji akan mengambil saya di situ untuk terus ke Al-Khaadem.Al-Khaadem di bawah pimpinan Ustaz Hussein Yee sering mengadakan program-program kebajikan-kemanusiaan dan pengisian ilmu terutamanya ilmu berkenaan sunnah Nabi Muhammad.

Kali ini Al-Khadeem telah menjemput pula Syeikh Fauzi Audeh kelahiran Palestin yang sudah lama menetap di Amerika Syarikat dan kini bertugas di Arab Saudi.
Ceramah yang disampaikan oleh beliau(dalam Bahasa Inggeris) pagi ini berkisar tentang alam ghaib.Cara penyampaian beliau memang agak berbeza dengan para penceramah –pendakwah Islam yang lain apatah lagi beliau berjaya mengupas tajuk yang ‘berat dan menakutkan ‘ini dengan cukup menarik ditambah pula dengan unsur humor lucu tetapi sarat dengan mesej yang menginsafkan.

Turut hadir dalam ceramah anjuran Al-Khaadem ini ialah beberapa orang bukan Islam dan program Al-Khaadem itu sendiri sebenarnya terbuka untuk orang bukan Islam juga dan sebab itu tidak pelik ramai orang bukan Islam yang memeluk Islam dengan berkat bimbingan Al-Khaadeem di bawah pimpinan Ustaz Hussein Yee yang asalnya juga bukan beragama Islam.

Selepas solat Asar di Al-Khaadem,saya mengikuti jemaah Al-Khaadem untuk ke program Syeikh Fauzi Audeh seterusnya bertempat di rumah Dato Imran Ho(seorang ahli perniagaan) di Tropicana(kediaman mewah-elit di Damansara)
Rumah banglo Dato Imran Ho yang sangat besar dan cantik ini dimanfaatkan beliau untuk menganjurkan aktiviti dakwah seumpama ini dan ini mengingatkan saya kepada kisah sahabat Nabi Abdul Rahman Auf seorang yang kaya raya tetapi memanfaatkan kekayaannya untuk perjuangan dakwah perjuangan Islam.

Kalau pagi tadi program bersama Syeikh Fauzi lebih kepada bentuk ceramah tetapi pada program yang bermula selepas solat Asar sehingga ke solat Maghrib ini pula lebih kepada ‘bengkel’ dan sesi dua hala-soal jawab antara Syeikh Fauzi dan para hadirin berkenaan topik sekitar hal ketuhanan.

Saya sempat bersembang sebentar dengan Syeikh Fauzi dan beliau memaklumkan bahawa kunjungan beliau ke Malaysia kali ini turut disebabkan urusan pengajian PHD beliau di Universiti Malaya berkenaan hadith dibawah seliaan Prof Dr Fauzi Deraman,ustaz yang mengajar saya di Jabatan Al-Quran dan Hadith Universiti Malaya.

Saya pulang ke Universiti Malaya dengan penuh kesyukuran kerana dapat memenuhi hari cuti minggu dengan program ilmu seumpama ini.Semoga ilmu ini dapat diamalkan dan dimanfaatkan seterusnya disebarkan dan disampaikan kepada sahabat-sahabat lain.

Thursday, February 05, 2009

Mohamad Natsir :Berdakwah Di Jalur Politik Berpolitik Di Jalur Dakwah

Mohamad Natsir :Berdakwah Di Jalur Politik Berpolitik Di Jalur Dakwah

Demikian tajuk buku yang saya beli ketika menghadiri Seminar Serantau Memperingati 100 tahun Pahlawan Nasional Bapak Mohamad Natsir pada 10 Januari 2009 anjuran bersama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia(WADAH) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS) bertempat di KUIS,Bangi

Buku ini diterbitkan sempena seminar tersebut dan Dato Seri Anwar Ibrahim yang merupakan anak didik Mohamad Natsir telah menyampaikan ucap tamanya dalam seminar serantau ini sekaligus melancarkan buku terbitan bersama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia(WADAH) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS)- cetakan pertama 2009 ini.

Buku ini memuatkan 3 artikel tulisan Pak Natsir(Jatuh bangunnya umat Islam dalam sejarah untuk renungan para mujahidin,Ketahanan nasional,Dunia islam vis-a-vis dunia umum) dan 11 artikel tulisan tokoh-tokoh seperti Anwar Ibrahim( Natsir,Politikus Intelektual),Siddiq fadzil (Mohammad Natsir:Ahli Politik dan negarawan-Bapak Mohammad Natsir:Catatan Kenang-kenangan),Mohammad Noer (Sumbangan pemikiran dan kepimpinan Mohammad Natsir),Muhammad Uthman El-Muhammady (Pemikiran Mohammad Natsir dalam konteks pemupukan kerjasama serantau),Fadhullah Jamil( Mohammad Natir:Pemikiran dan sumbangannya terhadap bidang pendidikan dan penulisan),Deliar Noer (Kedudukan Natsir masa kini),Abdul Halim Ismail (Bapak Mohammad Natsir:Penuntun umat sepanjang zaman),Sidek Baba (Mengingat Pak Natsir sebagai pendidik umat),Muhammad Rivai Batubara,(Kenangan indah bersama bapak mohammad Natsir),Ahmad Azam Abdul Rahman(Bapak Mohammad Natsir:Apresiasi generasi kedua aktivis Islam Malaysia)

Buku ini wajib dibaca oleh semua aktivis gerakan Islam yang ingin mengenali lebih lanjut tentang Mohammad Natsir

Dibawah ini disertakan sedikit isi penting pembentangan saya (bedah tokoh)dalam usrah rentas jemaah di APIUM tentang Mohammad Natsir.

Mohammad Natsir

◊ Lahir pada 17 Julai 1908
◊Aktif dengan JIB (Jong Islamieten Bond) ketika zaman mudanya
◊Murid kepada intelektual -ulama terkemuka Indonesia A Hassan Bandung ,Haji Agus Salim.,HOS Cokroaminoto
◊Pernah dipenjarakan oleh Sukarno
◊ Perdana Menteri Pertama Indonesia(zaman pimpinan Sukarno 1950-1951)
◊Pernah memimpin parti Islam Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia)
◊Pejuang Isu Palestin
◊membantu dalam pemulihan hubungan diplomatik dengan Malaysia pasca konfrontasi ‘Ganyang Malaysia’
◊Antara karya Mohammad Natsir
-Capita Selecta(2 Jilid tebal)
-Fiqh Al-Dakwah
- Qadhiyatu Falisthin (Masalah Palestin).
-Ikhtaru Ahadas Sabilain (Pilih Salah Satu dari Dua Jalan).
◊Beliau juga banyak menulis artikel di majalah terkemuka, seperti Panji Islam, Al Manar, Pembela Islam dan Pedoman Masyarakat mengkritik pandangan nasionalis-sekular
◊Karya tulisannya berkisar tentang fikh, kebudayaan, politik kebangsaan, ideologi, hubungan antara agama, kebudayaan dan peradaban,
◊menguasai khazanah ilmu-ilmu keislaman dengan amat luas.
◊menguasai, sejarah, filsafat, kebudayaan dan peradaban Barat.
◊menjadi anggota Dewan Pendiri The Oxford Center for Islamic Studies, London. Pada tahun 1987
◊Menubuhkan Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII).
◊wakil presiden Muktamar Alam Al-Islami (World Muslim Congress), anggota Rabithah Alam Islami di Makkah, anggota Dewan Masjid Sedunia,
◊ pernah diusulkan menjadi SU OIC
◊menerima Penghargaan Internasional Malik Faisal (Faisal Award) dari Kerajaan Saudi Arabia pada tahun 1980
◊Meninggal dunia pada 6 Februari 1993

Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden

Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden

Buku ini merupakan tulisan Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad Nor terbitan Jundi Resources-cetakan pertama Januari 2009.

Buku ini memuatkan tulisan berkenaan peribadi,pengalaman,sejarah dan cabaran yang dihadapi oleh 29 tokoh gerakan Islam seperti Abdul Aziz rantisi,Abdul Qader Awdah,Abas Madani ,Abdul Hamid Kisyk,Abdul Majid Az Zandani,Abdullah Azam,Abdullah Nasih Ulwan,Syeikh Ahmad Yassin,Abu Hasan Ali An Nadwi,Badiuzaman Said Nursi,Burhanuddin Al-Helmi,Najmuddin Erbakan,Syeikh Faisal Molawi,Fathi Yakan,Hasan Al Banna,Hasan Al Hudaibi,Hasan At Turabi,Jamaluddin Al Afghani,Abul A’la Al-Maududi,Syeikh Muhammad Abduh,Syeikh Muhammad Al-Ghazali,Mustafa Masyhur,Mustafa Sibaie,Omar Al-Mokhtar,Qazi Hussain,Sayyid Qutb,Said Hawwa,Syeikh Solah Abu Ismail,Zainab Al- Ghazali.

Biografi tokoh gerakan Islam ini mampu mendekatkan hati para pembaca dengan tokoh-tokoh tersebut sekaligus mencontohi dan menjadikan mereka sebagai tauladan dalam menggerakkan perjuangan Islam.

Forum bersama Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud

16 Januari 2009


Hari ini saya hadir ke ceramah Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud,seorang pemikir,tokoh intelektual yang juga merupakan anak murid paling kanan Prof Syed Mohd Naquib Al-Attas.
Ceramah beliau ini yang menarik nya bukan diadakan di dewan-dewan kuliah universiti yang sinonim dengan kapisiti beliau selaku ahli akademik dan pensyarah tetapi diadakan di dewan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq,Bangsar .
Dalam program kerjasama antara pihak Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq,Bangsar dan Muslim Profesionals Forum ini Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, menyampaikan pengisian intelektual beliau bertajuk Fundamental Challenges Facing Contemporary Muslims.

Beberapa perkara disentuh oleh beliau seperti bagaimana peranan ilmuwan Islam seperti Al-Ghazali yang sebenarnya memulakan langkah awal kebangkitan ummat sehingga kemudiannya hasil pengaruh pemikiran beliau berjaya melahirkan tokoh-tokoh seperti Sallehudin Al-Ayubi dan Abdul Qadir Al-Jailani .

Seringkali kita melihat kejayaan perjuangan tokoh seperti Sallehudin Al-Ayubi dan Abdul Qadir Al-Jailani tanpa melihat kepada usaha yang sebenarnya telah dimulakan sejak sekian lama oleh tokoh-tokoh generasi awal sebelum itu lagi.

Selain itu beliau membicarakan persoalan berkenaan Mind-thinking-pemahaman terhadap agama-framework,Isu penggunaan kalimah Allah,isu-arab,isu palestin ,erti mind-qalb-heart,kupasan tentang Qalb-nafs-ruh-aql,soal Authority,Isu murtad,Freedom of religion dan dialog.

Tuesday, February 03, 2009

Politik tanah air ku bergolak lagi....

Politik di Malaysia bergolak lagi.

Dalam keadaan rakyat terhimpit dengan krisis ekonomi dunia,krisis politik tanah air pula terpaksa rakyat hadapi.Sudah jatuh ditimpa tangga.

Pergolakan politik tanah air pastinya merugikan rakyat dan negara.Justeru politik tanah air perlu dipulihkan dan dijernihkan dengan menjadikan kepentingan rakyat maslahah ummat sebagai keutamaan dalam agenda perjuangan.

Politikus berakhlak mulia peribadi tauladan perlu diangkat sebagai pemimpin dan bukannya politikus yang mengabaikan aspek akhlak dan moral sehingga sanggup mengadaikan maruah diri menjadi perkakas nafsu serakah.

Politics without morality tends to corrupt.........

Kebangkitan Generasi Salahuddin dan kembalinya Jerusalem ke Pangkuan Islam???

Kebangkitan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Jerusalem Ke Pangkuan Islam@ Hakadha Zahara Jailu Salahu Al-Din Wa Hakadha ‘Adat Al-Quda

Demikianlah tajuk buku yang menjadi ‘kegilaan’ di kalangan keluarga besar PKPIM-ABIM-WADAH sejak akhir-akhir ini.


Di sana sini ceramah-usrah keluarga besar ini buku ini diperkatakan dan dibincangkan seolah-olah satu kempen besar-besaran untuk membaca buku ini bahkan akan dijadikan bahan bacaan wajib ahli gerakan dakwah ini.

Saya difahamkan ia bermula daripada saranan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud yang mengupas beberapa isi penting buku tulisan Dr.Majid Irsan Kailani (terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Abdullah Abbas- Cetakan pertama 2000-terbitan International Institute of Islamic Thought (IIIT)dan Thinker’s Library Sdn Bhd- 423 mukasurat@433 termasuk nota hujung dan bibliografi)dan seterusnya beliau menggalakkan usaha membaca dan menghadam buku tersebut.

Presiden ABIM dan Presiden PKPIM dalam siri-siri usrah mereka juga sering memetik isi penting kandungan buku ini dan menasihatkan ahli-ahli ABIM-PKPIM untuk mendapatkan dan membaca dengan khatam buku ini.

Di peringkat kampus UM sendiri ‘murabbi’ bagi PKPIM UM,Dr Amran Mohamad(SU ABIM) juga akan menjadikan buku Kebangkitan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Jerusalem Ke Pangkuan Islam ini sebagai bahan bacaan wajib dalam usrah pimpinan PKPIM UM bersamanya bahkan beliau memberi terlebih dahulu buku ini kepada saya dan pimpinan PKPIM UM dan bayarannya pula boleh dibayar secara ansuran(harga RM 35).

Dr Amran sendiri mengatakan kepada kami pimpinan PKPIM UM tentang cita-citanya mewujudkan satu gerakan yang dipanggil Generasi Solahuddin yang pastinya lebih mengkhususkan untuk mengkaji dan menyelidik tentang sejarah perjuangan Salahuddin Al-Ayubi .

Saya baru sahaja membaca kata pengantar buku ini yang ditulis oleh tokoh pemikir,Syeikh Taha Jabir Alwani dan membaca sepintas lalu bahagian-bahagian (bab kecil) yang akan dihuraikan dalam buku ini dan ternyata seolah-olah ada satu ‘tarikan magnet ‘ yang mendesak agar saya menghabiskan ,mengkaji,menghadam dan menekuni bacaan buku ini secepat mungkin.

Dan tiba-tiba saya teringat bahawa buku bertajuk Kebangkitan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Jerusalem Ke Pangkuan Islam ini sebenarnya pernah ‘dibelek’-‘disentuh’oleh saya di perpustakaan sebelum ini!!!

Pengajarannya ....Kita jangan sekadar ‘membelek-menyentuh’ buku-buku di perpustakaan tetapi ‘berkampunglah ‘di perpustakaan untuk ‘sesi hidangan buku’!!!

Sunday, January 18, 2009

Muktamar Majlis Amal Islami Malaysia(MAIM) di PICC,Putrajaya

13 Januari 2009-

Hari ini sebenarnya ada kelas beberapa subjek tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak hadir dengan surat pelepasan demi menghadiri Muktamar Majlis Amal Islami Malaysia(MAIM) di PICC,Putrajaya.

Muktamar MAIM ini saya kira agak menarik apatah lagi ia mengumpulkan keseluruhan Ngo-Ngo Islam yang terdapat di Malaysia.

Saya tidak sempat menghadiri upacara perasmian pada sesi pagi yang dirasmikan sendiri oleh DYM Yang DiPertuan Agung .

Ketika saya tiba majlis sudah pun bermula dengan menyaksikan pembentangan beberapa kertas kerja oleh wakil-wakil Ngo Islam.

Dewan PICC yang boleh menampung jumlah peserta yang agak ramai dipenuhi oleh para peserta yang datang dari seluruh pelusuk tanah air mewakili Ngo-Ngo Islam di Malaysia.

Sesi soal jawab menyaksikan beberapa persoalan dilontarkan oleh peserta-peserta antaranya berkenaan isu umat Melayu-Islam(penguasaan ekonomi,kuasa politik,isu Bahasa Melayu ,hal kepenggunaan Islam dan lain-lain )dan juga bagaimana untuk memperkasakan lagi Ngo-Ngo Islam sebagai mengimbangi kekuatan dan kelemahan parti-parti politik tanah air.

Pada sesi petang pula diadakan pemilihan jawatankuasa tertinggi MAIM yang menyaksikan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah(YADIM),Dato Nakhaie Hj Ahmad(bekas pimpinan PAS dan UMNO) diamanahkan sebagai pengerusi MAIM yang pertama.

Pada pandangan saya Ngo-Ngo Islam mesti kuat dan lantang bersuara mempertahankan hak ummat keseluruhan dan suara Ngo-Ngo Islam ini mesti didengari oleh semua pihak di samping menjadi badan pendesak membawa suara rakyat suara ummat .

Pada hari ini kewujudan Ngo-Ngo Islam yang memberi keutamaan dalam pelbagai bidang dan fokus tertentu masih kecil jumlahnya berbanding dengan jumlah Ngo-Ngo bukan Islam.

Jadi amat wajar umat Islam di Malaysia menambahkan lagi bilangan Ngo-Ngo Islam dengan fokus yang pelbagai di samping memperkasakan yang sedia ada dan kewujudan Majlis Amal Islami Malaysia(MAIM) ini pastinya dapat menyatu padukan dan menyelaraskan gerak kerja keseluruhan Ngo-Ngo Islam seterusnya dapat mewujudkan satu gelombang suara Ngo Islam yang kuat yang dapat memenuhi aspirasi ummat.


(Terima kasih kepada Presiden ABIM,Yusri Mohamad yang sudi menumpangkan saya pulang ke Universiti Malaya daripada Putrajaya .)

Jumlah pengunjung

web statistics