Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Showing posts with label Catatan Majlis Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Catatan Majlis Ilmu. Show all posts

Saturday, May 01, 2010

Pelancaran UM Centre of Democracy and Elections dan Forum Penyuburan Amalan Demokrasi Di Malaysia:Peranan Mahasiswa

Pada 14 April 2010 bertempat di Dewan Kuliah F Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM ,UMCEDEL-UM Centre of Democracy and Elections secara rasminya telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,Dato Saifuddin Abdullah.

UMCEDEL ini merupakan ‘one stop center’ bagi kajian demokrasi dan pilihanraya dan akan memberi fokus kepada beberapa topik kajian seperti sosiologi politik,media dan pilihanraya,politik antarabangsa,politik serantau,geografi pilihanraya,wanita dan pilihanraya dan lain-lain lagi.Maklumat lanjut tentang UMCEDEL ini boleh didapati dalam laman web UMCEDEL(http://umcedel.um.edu.my/)

Sebaik sahaja pelancaran UMCEDEL ini,satu forum bersejarah bertajuk Penyuburan Amalan Demokrasi Di Malaysia:Peranan Mahasiswa telah diadakan dengan 4 orang panel mewakili parti politik yang berlainan iaitu Ahli Parlimen Temerloh(BN-Majlis Tertinggi UMNO) merangkap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,YB Saifuddin Abdullah,Ahli Parlimen Rasah(Ketua Pemuda DAP) YB Anthony Loke Siew Fook,Ahli Parlimen Kubang Kerian(Naib Presiden PAS) YB Solahudin Ayub dan Ahli Parlimen Machang(Setiausaha Agung PKR)YB Saifuddin Nasution.Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM,Prof Dr Redzuan Osman telah bertindak selaku moderator forum.

Dalam ucapan pendahuluannya,Prof Dr Redzuan Osman mengucapkan penghargaan kepada Naib Canselor UM,Dato Dr Gouth Jasmon atas kesudian beliau membenarkan forum bersejarah ini diadakan.Selepas hampir 20 tahun,forum yang menampilkan panelis dari parti-parti politik termasuk parti pembangkang akhirnya diizinkan untuk diadakan di kampus.Mengikut Prof Redzuan Osman,Dewan Kuliah F Fakulti Sastera dan Sains Sosial inilah suatu ketika dahulu menajdi pentas pelbagai aktiviti mahasiswa dan menyaksikan kehadiran tokoh parti pembangkang seperti Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat,Dato Seri Abdul Hadi Awang dan ramai lagi dalam siri diskusi anjuran mahasiswa sendiri suatu ketika dahulu.

Bagi beliau,tujuan diadakan forum ini ialah untuk menghidupkan kembali suasana akademik di kampus dan mendedahkan kepada seluruh mahasiswa tentang ilmu-ilmu politik dan pemahaman demokrasi.Beliau berharap mahasiswa yang ingin menyertai politik suatu masa nanti masuk politik atas dasar faham demokrasi dan bukannya menjadi pengampu semata-mata.Beliau juga menyelar sikap segelintir pensyarah yang masuk tv hanya untuk mengampu.Pada pandangan beliau juga mahasiswa sepatutnya bebas memilih untuk masuk ke mana-mana parti politik dan oleh kerana itu beliau meminta semua pihak agar tidak merendahkan wibawa mahasiswa dan memberi ruang mahasiswa untuk berfikir.

Beliau juga mengulas tentang penganjuran Speaker corner’s sekarang yang mana bagi beliau tidak sepatutnya menetapkan syarat penyediaan teks terlebih dahulu.

YB Dato Saifuddin Abdullah pula meyambut baik kehadiran 3 orang panelis dari parti pembangkang dan menganggap mereka antara ahli parlimen pembangkang yang berbahas dengan baik tatkala sesi persidangan parlimen berlangsung.Dalam ucapan beliau,Dato Saifuddin melahirkan rasa kerisauannya dengan kisah banyaknya kerusi menang tanpa bertanding dalam pilihanraya kampus disamping rendahnya peratus keluar mengundi di kalangan mahasiswa sewaktu pilihanraya kampus.

Bagi beliau ini merupakan satu penyakit politik dan beliau berharap semua pihak berusaha menghakupaya mahasiswa yang mempunyai permintaan tersendiri disamping menyedari bahawa mereka mengharapkan permintaan asas mereka dipenuhi seperti ingin suara mereka didengari,peranan mereka diiktiraf dan menangani isu-isu berorientasi mahasiswa.Mahasiswa menurut beliau lagi bukan sahaja pemimpin masa depan bahkan pemimpin hari ini sebagai contoh memimpin orang yang lebih muda daripada mereka,memimpin mereka yang seangkatan dengan mereka disamping menjadi rakan kepimpinan dalam universiti,negara atau kerajaan.

Beliau juga menggalakkan mahasiswa agar terus menganjurkan pelbagai aktiviti dan program bersifat bakti berpanjangan serta tidak melupakan aspek advokasi atau mempengaruhi keputusan dimana ini merupakan perbezaan utama antara gerakan mahasiswa dengan persatuan-persatuan biasa.

Bagi Dato Saifuddin juga demokrasi bukan sekadar pilihanraya semata-mata dan beliau berharap akan wujudnya ekosistem politik baru yang berasaskan integriti-idealisme,politik ilmu berbanding politik ampu,politik hikmah berbanding politik fitnah dan beliau merasakan rakyat bukanlah memberi keutamaan kepada aspek siapa yang menang dalam pilihanraya tetapi yang lebih penting ialah kewujudan kerajaan yang baik.

Beliau juga mengkritik sikap segelintir ahli parlimen sendiri yang kurang bersopan dan berhikmah sewaktu persidangan Parlimen bahkan ada juga yang suka menjerit-jerit sehingga mengganggu perjalanan sidang Parlimen.Beliau juga mengharapkan kerjasama yang utuh antara pihak kerajaan,kelompok ahli perniagaan dan juga masyrakat sivil di samping menekankan penyertaan anak muda seperti mahasiswa dalam bersama-sama membangun negara.

Dalam sesi soal-jawab pula,beliau mengupas tentang kepentingan memperkasakan institusi parlimen dan juga menyatakan bahawa beliau kurang bersetuju dengan sistem bagaimana ahli parlimen berdebat rancak dalam sesuatu isu tetapi akhirnya terpaksa mengundi mengikut blok parti yang diwakili masing-masing.Beliau mengharapkan ada anjakan dalam membenarkan ahli parlimen untuk mengundi berasaskan kesedaran dan pilihan mereka sendiri.

Menjawab persoalan tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) pula beliau menjelaskan lantikan Naib Canselor,Timbalan Naib Canselor,Dekan dan sebagainya kini bukan lagi atas lantikan menteri bahkan atas lantikan jawatankuasa pemilihan tersendiri. Soal tafsiran tentang AUKU juga dikupas oleh beliau dan beliau sekali lagi menegaskan bahawa yang tidak boleh dalam AUKU sebenarnya tidak banyak iaitu seperti terlibat dalam parti politik ,kesatuan kerja atau pertubuhan haram sahaja.

Beliau juga mencadangkan agar pilihanraya kampus dikendalikan sendiri oleh para mahasiswa memandangkan ia merupakan satu proses pendidikan politik buat mahasiswa.

Dato Saifuddin Abdullah menutup bicara beliau dengan memetik tulisan cendekiawan dan tokoh pemikir,Profesor Syed Mohamad Naquib Al-Attas serta mengajak semua pihak agar membawa kembali roh dalam universiti,penghayatan budaya ilmu,dan makna universiti.

YB Anthony Low pula mengupas tentang peripentingnya kebebasan akademik dan kebebasan berfikir di kampus.Bagi beliau demokrasi merupakan satu proses penglibatan rakyat dalam sistem dan setiap undang-undang atau akta yang ingin ditetapkan perlu mendapat maklum balas masyarakat.

Beliau menekankan persoalan pemikiran kritikal di kalangan mahasiswa dan berharap mahasiswa menyedari bahawa mereka perlu menjadi pemimpin dan bukan sekadar pengikut sahaja.Proses pembinaan minda sepanjang berasa 3-4 tahun di kampus universiti perlu dimanfaatkan dan YB Anthony menganggap budaya mengejar ilmu di kalangan mahasiswa sekarang masih tidak cukup.Pada pendapat beliau,kalau dahulu mereka terlampau terikut dengan 3 M iaitu menulis,membaca,mengira dan kurang satu M lagi iaitu memikir kini mereka terikut pula dengan 3 M yang lain iaitu menyalin nota,menghafaz nota dan kemudiaanya memuntahkannya dalam peperiksaan.Beliau menekankan juga kepentingan perbincangan akademik di kalangan mahasiswa agar mereka dapat berbahas dan berbincang untuk percambahan idea disamping mampu menganalisis dan mengkritik maklumat berasaskan pemikiran kritikal.

Beliau juga mengupas persoalan AUKU dan menekankan kepentingan memansuhkan AUKU yang dilihat mampu melahirkan ketakutan psikologi kepada mahasiswa dan menurut beliau juga AUKU sebagai cubaan mengasingkan mahasiswa dengan politik secara sistematik.Beliau menimbulkan persoalan mengapa politik dilihat bahaya kepada mahasiswa.Beliau juga mengambil contoh bagaimana kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim di kampus sebuah universiti di London sebelum ini yang menyaksikan dewan dipenuhi oleh limpahan pelajar Malaysia dan negara lain yang ingin hadir mengikuti ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim.Bagi YB Anthony,sistem di kampus Malaysia perlu lebih terbuka dan perlu menganggap sebarang kritik mahasiswa sebagai satu harapan mereka yang mahu sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat kepada masyarakat.

Mahasiswa menurut beliau juga merupakan suara pemantau pemerintah dan beliau menyarankan agar lebih banyak seminar,debat antara mahasiswa dan forum-forum dianjurkan sendiri oleh mahasiswa memandangkan ini juga dapat membantu para mahasiswa membina jaringan komunikasi dengan pihak luar.Beliau juga mengharapkan setiap IPT di Malaysia mendapat peluang yang sama seperti penganjuran forum ini.

Dalam sesi soal jawab pula,YB Anthony menegaskan apa yang lebih penting bagi mencipta kampus yang lebih terbuka dan kebebasan akademik bukannya jaminan individu tetapi jaminan undang-undang dan institusi dalam kampus itu sendiri.Kebebasan yang dituntut ini pula bukanlah kebebasan mutlak dan terlampau mengikut modul luar negara tetapi ia tetap mengetahui batasan sempadan kebebasan .Apa yang penting juga ialah memperkasakan institusi demokrasi itu sendiri seperti memperkasakan parlimen dan media.Beliau mengkritik penamatan program Debat Perdana yang pernah disiarkan secara langsung di television pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu dan juga berkenaan penapisan soal jawab dalam persidangan parlimen terhadap ucapan ahli parlimen pembangkang oleh RTM 1

YB Solahudin Ayub pula menekankan kepentingan mempejuangkan hak mahasiswa.Beliau berharap semua pihak tidak melayan pensyarah seperti guru sekolah dan juga tidak melayan mahasiswa seperti budak-budak sekolah.Anak muda pada era digital ini mengikut YB Solahudin perlu juga memiliki pemikiran digital dan mereka perlu menggelakkan diri mereka daripada diperbodoh,diperkecil dan ditakut-takutkan.Mereka perlu berani untuk suarakan kebenaran dan mendirikan integriti dalam setiap jiwa.

YB Solahudin juga menegaskan betapa kampus universiti telah terkebelakang 20 tahun dan mempersoalkan berapa ramai mahasiswa yang sudah menjadi mangsa sehingga hilangnya daya juang.Beliau mengkritik sikap sesetengah pihak yang seakan-akan melihat mahasiswa sebagai musuh negara.Bagi beliau semua pihak perlu menjadikan mahasiswa kelompok terpenting masyarakat dan menghargai setiap langkah dan pandangan mereka.

Beliau juga menceritakan bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat kali ini masuk ke parlimen bukan sekadar membangkang semata-mata tetapi mahu memberikan pandangan,idea dan wawasan yang konstruktif.

Beliau juga mengulas tentang dasar pelajaran negara yang masih bergantung kepada Penyata Rahman Talib dan Penyata Razak yang bagi beliau sudah tidak lagi relevan dan perlu dikaji semula dan beliau menimbulkan persoalan mengapa tidak diwujudkan Penyata Hishamudin atau Penyata Muhyiddin?

YB Solahudin juga membuat perbandingan antara sukatan pelajaran matapelajaran Sejarah di Malaysia dan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat.Di Amerika Syarikat mengikut beliau para pelajar semenjak di bangku sekolah didedahkan dengan isu-isu besar dalam matapelajaran Sejarah seperti isu Watergate,jatuh bangun Wall Street berbanding pelajar SPM di Malaysia yang bagi beliau lebih kepada menghafaz sejarah.Beliau mengharapkan dasar pendidikan yang lebih relevan masa kini diwujudkan segera disamping menegaskan bahawa AUKU mesti dimusnahkan.

Beliau juga mengharapkan padang permainan yang sama rata dalam pertarungan antara Barisan Nasional-UMNO di mana pemimpin BN-Umno dibenarkan masuk ke universiti,oleh kerana itu kerajaan juga perlu memberi pemimpin Pakatan Rakyat peluang untuk masuk ke universiti juga.

Teori ibnu khaldun dalam karyanya Muqaddimah tentang pusingan manusia juga dikupas oleh YB Solahudin dan mengambil contoh bagaimana Obama yang berkulit hitam mampu akhirnya menjadi Presiden Amerika suatu yang tidak pernah dibayangkan oleh rakyat Amerika dahulu.

YB Solahudin juga melahirkan rasa kecewanya dengan satu kajian yang mendapati ramai pelajar tahun akhir di universiti tidak memahamii isu-isu seperti Dasar Ekonomi Baru,liberalisasi ekonomi,IFC dan lain-lain akibat tidak berminat dengan isu-isu politik dan tidak ambil tahu tentang isu-isu semasa.

Beliau juga menceritakan bagaimana persaingan syarikat gergasi Jepun iaitu Honda dan Toyota yang mengeluarkan geran pendidikan-penyelidikan bagi menjual kereta-kereta Jepun bagi menyaingi kereta keluaran Korea seperti Hyundai-KIA dalam pasaran jualan kereta di seluruh dunia.Di samping itu juga beliau mengupas berkenaan kebangkitan gergasi ekonomi ,China dan betapa pentingnya Presiden Obama untuk mengeratkan hubungannya dengan Presiden China Hu Jintou bagi manfaat Amerika dan China berdasarkan ulasan majalah Time edisi terbaru.

Dalam sesi soal jawab pula YB Solahudin Ayub menekankan kepentingan mengangkat martabat,integriti dan wibawa Parlimen dan beliau mengambil contoh bagaimana kerajaan Thailand membayar gaji 2 orang penyelidik bagi setiap ahli parlimen Thailand samada dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

YB Saifuddin Nasution pula memulakan ucapannya dengan menetapkan KPI bagi kejayaan forum ini kepada Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial,Prof Dr Redzuan Osman dan Universiti Malaya keseluruhannya iaitu pada masa akan datang diadakan pula forum yang menampilkan Dato Seri Najib Tun Razak,Dato Seri Anwar Ibrahim,Dato Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

Universiti bagi beliau merupakan satu gedung ilmu dan warga universiti mepunyai daya intelektual yang tinggi.Oleh kerana itu beliau menolak sebarang usaha ugutan,sekatan,tekanan dan penafian hak kepada warga universiti keseluruhannya.Beliau menegaskan pemerintah bukannya lebih tahu segalanya dan rakyat hanya perlu menerima bulat-bulat sahaja dan disebabkan itu sesiapapun tidak boleh menyekat hak –hak rakyat seperti hak berpersatuan,hak berhimpun dan hak untuk berbeza pandangan dengan mana-mana pihak.

Menyentuh tentang demokrasi pula bagi beliau pilihanraya merupakan pesta demokrasi dan oleh kerana itu mahasiswa tidak perlu dihalang untuk terlibat dalam pesta demokrasi ini namun begitu perlulah memakai ‘jersi’ mahasiswa.Beliau menceritakan bagaimana beliau dan rakan-rakannya sewaktu memimpin mahasiswa suatu ketika dahulu yang terlibat dalam pilihanraya dengan mengadakan program pidato Pentas Siswa .

YB Saifuddin juga membuat perbandingan keterlibatan mahasiswa Malaysia dan Indonesia dalam pilihanraya dengan mengambil contoh bagaimana mahasiswa Indonesia yang memonopoli kaca television Indonesia sewaktu kempen Pemilu Indonesia untuk memberi komen dan kritik terhadap dasar kerajaan .Beliau menegaskan ,biar parti berlawan,rakyat dapat manfaat.

Beliau juga mengulas isu-isu semasa di Malaysia selepas kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke Amerika seperti isu hubungan Amerika-Asean,akta perdagangan strategic,Model Ekonomi Baru ,isu bantuan kepada Afghanistan, isu nuklear Iran,dan isu perunding komunikasi APCO.

Beliau berharap para pengundi muda untuk turun ke pilihanraya kecil Hulu Selangor nanti.

Dalam sesi soal jawab pula beliau menegaskan kepentingan peranan kepimpinan universiti yang merupakan faktor kritikal bagi menegakkan tradisi keilmuan di universiti.Beliau mengupas juga tentang sejarah penubuhan universiti , bagaimana kehebatan ilmu dan kepentingan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan ilmu dan universiti serta menekankan betapa pentingnya membudayakan ilmu dalam politik.

Penganjuran forum ini merupakan langkah awal upaya pencerahan kepada warga universiti ,proses keterbukaan dan kebebasan akademik bagi memberi makna kepada kewujudan universiti sebagai satu tempat pertarungan idea dan pemikiran.Semoga pihak universiti lebih terbuka dalam membenarkan penganjuran forum-forum intelek sebegini.

Friday, April 16, 2010

PKPIM bersama Abang Jufitri Joha(Pengerusi GPTD)

Pada 9 April 2010 di UIAM ,PKPIM telah mengadakan satu sesi perkongsian pengalaman bersama Abang Jufitri Joha ,Exco Perhubungan Antarabangsa ABIM merangkap Pengerusi Grup Penjejak Tamadun Dunia(GPTD)yang kini sedang melanjutkan pelajarannya di United Kingdom dalam bidang pekerja belia(Youth Work- http://en.wikipedia.org/wiki/Youth_work).
Bidang pekerja belia ini masih asing di negara kita namun di UK sudah mula berkembang pesat.

Antara perkara yang sempat abang Jufitri kongsi bersama pimpinan PKPIM ialah tentang kegilaan dan kefanatikan rakyat UK terhadap bola sepak. ‘Bola jadi tuhan’.Demikian kata abang Jufitri.Beliau juga menceritakan bagaimana rakyat Malaysia yang kadangkala agak ghairah memakai jersi kelab Liga Inggeris yang mereka sokong dinasihatkan supaya tidak memakai jersi kelab pasukan bola sebarangan.Ini bagi mengelakkan ‘bahaya’ yang tidak diingini berlaku angkara peminat fanatik bola sepak pasukan lawan.

Abang Jufitri juga menceritakan pengalaman beliau mengikuti pengajian pekerja belia ,Ilmu tentang belia/komuniti dan pengalaman beliau mengadakan program bersama pihak aliran Sosialisme yang agak aktif dalam bidang pekerja belia di UK ini.Apa yang menarik ialah bidang pengajian pekerja belia ini lebih banyak praktikal seperti program bersama masyarakat dan langsung tiada peperiksaan.Cuma agak sedikit mencabar kata abang Jufitri memandangkan beliau terpaksa bergaul dengan pemuda Inggeris yang agak kasar.

Di dalam kuliah pengajian pekerja belia yang beliau ikuti ini hanyalah disertai oleh 10 orang sahaja pelajar dan abang Jufitri merupakan satu-satunya pelajar dari benua Asia dan mereka semua dibimbing oleh para pensyarah yang kesemuanya merupakan nama-nama besar dan pakar rujuk dalam pengajian pekerja belia.

Abang Jufitri juga menceritakan bagaimana beliau memanfaatkan tulisan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam karyanya Asian Renaisance terutamanya berkenaan human dignity-karomah insaniyah sewaktu mengikuti pengajian pekerja belia ini dan beliau menyarankan kepada pimpinan PKPIM supaya mengkaji idea dan teori tokoh-tokoh seperti Malek Ben Nabi,Mahatma Ghandhi,Ravindra Tagore dan ramai lagi disamping menyegarkan aktivisme.

Turut diajar dalam pengajian pekerja belia ini ialah subjek youth and faith dimana para pelajar perlu melawat tempat-tempat ibadah para penganut agama di UK.Abang Jufitri juga berpeluang melawat tempat ibadah penganut Yahudi di UK.Beliau bersama rakan-rakan sekelasnya juga dalam proses mengasaskan ‘International Federation of Youth Worker ‘ bagi menyelaraskan pekerja belia di seluruh dunia.

Takrif belia di UK jauh berbeza berbanding di Malaysia iaitu 18-24 tahun sedangkan di Malaysia 18-40 tahun dan di UK ini juga terdapat Parlimen Belia.

Abang Jufitri juga mengulas perkembangan Islam yang semakin pesat berkembang di negara Barat terutamanya di Perancis,Jerman dan UK.Tentang isu pengharaman Burqa,beliau mengatakan para pimpinan Islam di negara Barat tidak melayan isu tersebut memandangkan ia dilihat satu cubaan untuk mengalihkan isu daripada isu-isu yang lebih besar .Dalam konteks di Malaysia pula,beliau menasihatkan para aktivis Islam agar lebih berhati-hati dalam menangani isu kalimah ALLAH.

Beliau menceritakan bagaimana usaha Prof Tariq Ramadhan(cucu pengasas Ikhwan Muslimin,Hassan Al-Banna) yang mengasaskan European Muslim Network(EMN- http://www.euro-muslims.eu/) bagi memperjuangkan secara lebih terbuka hak orang Islam di Eropah bahkan agama Islam telah menjadi sebahagian daripada agama utama Kesatuan Eropah.
Sewaktu berada di UK juga abang Jufitri sempat menziarahi negara Kosovo dalam rangka program The Union of Non Govermental Organizations of Islamic World (UNIW- http://www.theunity.org/en/) di sana dan beliau agak kagum dengan pimpinan muda Kosovo yang fasih dalam Bahasa Arab .Mungkin selepas ini beliau akan menziarahi negara seperti Albania,Macedonia,Bosnia pula.

Antara perkara yang ditekankan oleh abang Jufitri ialah berkenaan ‘engagement’ bersama dunia luar.Bukan sekadar ‘engagement’ sesama bangsa dan agama sahaja,beliau juga menasihatkan para aktivis supaya turut sama mengadakan ‘engagement’ dengan pelbagai kelompok seperti kelompok Sosialis,Yahudi bahkan beliau selepas ini akan cuba mengadakan ‘engagement ‘ bersama kelompok LGBT (Lesbian, gay, bisexual, transgender- http://en.wikipedia.org/wiki/LGBT. Kelompok ini turut wujud di kampus universiti dan aktif menyebarkan kondom secara percuma.

Yahudi di UK menurut abang Jufitri agak bersifat eksklusif dan kurang bergaul dengan masyarakat mungkin kesan rasa rendah diri selepas tragedi perang di Gaza dan abang Jufitri juga mengulas tentang Nature calta,satu kelompok Yahudi yang anti Zionis di UK.Ramai pelajar Malaysia di sana lebih suka duduk bersama kelompok sendiri dan tidak melakukan ‘engagement’ dengan dunia luar dan kini tidak ramai yang mengikuti Federation of Student Islamic Societies@FOSIS- http://fosis.org.uk/ yang satu ketika dahulu ramai pelajar Malaysia yang aktif dalam FOSIS ini.

Abang Jufitri juga mengupas tentang peranan yang dimainkan oleh pelajar Malaysia suatu ketika dahulu dalam menyebarkan Islam di UK termasuk peranan Presiden ABIM yang pertama,Dr Razali Nawawi dan rakan-rakannya yang menuntut di UK dahulu.

Di samping itu juga abang Jufitri menceritakan bagaimana di perpustakaan SOAS-University of London- http://www.soas.ac.uk/yang turut menyimpan khazanah kitab nusantara termasuk kitab ulasan Ustaz Wan Syaghir dan juga bagaimana Laporan EU yang antara lain menyebutkan tentang kepentingan negara Eropah mengadakan hubungan dengan PAS dan ABIM di Malaysia.

Beliau juga mengupas sedikit tentang Post modernisme,consurisme-hedonisme, dengan target utamanya orang muda,Civil society vs hedonism, masalah sosial di UK seperti mengandung luar nikah,kempen seks selamat dan juga peranan tokoh dan pertubuhan Islam pelbagai aliran pemikiran di UK seperti Ziaudin Sardar,Khurshid Ahmad,Jamaet Islami,Syeikh Yusuf Al-Qardhawi,IIIT-Ismail Faruqi dan lain-lain.

Perkongsian pengalaman ini sangat bermanfaat kepada semua dan mungkin selepas ini bidang pengajian pekerja belia perlu dikembangkan secara meluas di Malaysia demi pembangunan belia Malaysia.

Bengkel Latihan CRC anjuran SUHAKAM

Saya telah hadir ke Bengkel Latihan CRC anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 2 hingga 4 April 2010 di Hotel Quality,Shah Alam,Selangor Darul Ehsan.


Bengkel ini disertai oleh lebih 25 orang anak muda sekitar umur 16 hingga 25 tahun dan ini merupakan satu usaha pendidikan SUHAKAM untuk melahirkan kader baru-jurulatih muda bagi hak kanak-kanak.


Dalam bengkel ini para peserta didedahkan dengan apa itu hak asasi manusia,sejarah hak asasi manusia,sejarah CRC(Convention On The Rights Of The Child-UN-1989-Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak),kehendak dan keperluan asasi kanak-kanak dan 4 hak utama kanak-kanak iaitu:-


- hak kehidupan (Survival rights)
- hak perlindungan (Protection rights)
- hak perkembangan (Development rights)
- hak penyertaan (Participation rights)


Sebelum ini saya hanya fokus untuk mengetahui hak mahasiswa di kampus semata-mata sehingga kadangkala terlupa bahawa kanak-kanak tanpa mengira latar belakang bangsa,gender,keturunan,dan agama juga punyai hak masing-masing.


Dalam bengkel yang dikendalikan oleh beberapa orang fasilitator yang berpengalaman luas dalam bidang hak asasi manusia(khususnya hak kanak-kanak),para peserta turut didedahkan dengan isu-isu seperti diskriminasi , eksploitasi seks-dadah,perdagangan dan penderaan terhadap kanak-kanak samada kanak-kanak pelarian,kanak-kanak minoriti@penduduk asli,kanak-kanak kurang upaya dan hak –hak yang sepatutnya diperolehi oleh kanak-kanak seperti hak kesihatan,keselamatan,pendidikan,dan pelbagai hak lain yang termaktub di dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention On The Rights Of The Child(CRC-UN-1989) dan beberapa deklarasi antarabangsa seperti The Universal Declaration Of Human Rights (UDHR-UN-1948) dan The Cairo Declaration Of Human Rights In Islam (CDHRI-OIC-1990).


Bengkel ini memanfaatkan modul-modul yang menarik dan bersifat santai dan ini memudahkan para peserta untuk mengikuti setiap aktiviti yang ditetapkan dalam bengkel ini.


Para peserta misalnya dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang berbeza dalam slot sesi yang berbeza. Di samping itu juga,setiap kumpulan diminta membuat satu lakonan-drama ringkas berdasarkan hak kanak-kanak .Pada akhir slot,setiap kumpulan diminta untuk merangka perancangan dan pelan bertindak tentang aktiviti hak asasi kanak-kanak yang bakal dilaksanakan kelak seterusnya membentangkannya secara berkumpulan.
Usaha SUHAKAM untuk memberi pendedahan awal tentang hak asasi manusia khususnya hak kanak-kanak kepada generasi muda ini sewajarnya disokong oleh semua rakyat Malaysia.Apabila rakyat mempunyai kesedaran terhadap hak asasi manusia,mereka akan lebih bersemangat untuk memperjuangkan hak-hak mereka dengan penuh tanggungjawab.

Dialog Dakwah Global-Islam di Turki:Peranan Said Nursi -Erbakan-Erdogan

Saya telah menjemput dua orang sahabat saya ,Faez (belajar di Turki-aktivis PKPIM-GPTD) dan Sadiq Ozata(Hayret Vekfi (Ngo Islam Turki)-pelajar Master Jabatan Dakwah dan Kepimpinan UKM )untuk memberi pengisian dalam Dialog Dakwah Globalpada 24 Mac 2010 yang berlangsung di surau APIUM.Selain dihadiri oleh mahasiswa UM,diskusi ini turut dihadiri oleh mahasiswa UIA PJ(rombongan ‘jemaah haji’ yang sanggup berjalan kaki dari UIA PJ ke Surau APIUM)

Dalam dialog dakwah global ini saya meminta Faez dan Sadiq untuk membincangkan beberapa persoalan berkenaan perkembangan semasa Islam di Turki,serta peranan tokoh-tokoh seperti Badiuzaman Said Nursi,Necmuddin Erbakan dan Recep Tayyip Erdogan.

Faez menceritakan pengalaman beliau hampir 2 tahun menuntut ilmu di Turki.Menurut Faiz tidak ramai rakyat Malaysia yang belajar di Turki.

Sebelum berangkat ke Turki dahulu,beliau telah tinggal bersama rakyat Turki di Malaysia selama 6 bulan . Pada mulanya beliau menganggapukhwah islamiyah bangsa Arab yang terbaik.Tetapi setelah tinggal serumah bersama rakyat Turki, beliau dapat merasakan keramahan –ukhwah rakyat Turkilah yang paling terbaik.Baru jumpa 2 hari tetapi terasa seakan-akan ukhwah 20 tahun.Demikianlah pandangan beliau tentang keramahan rakyat Turki yang beliau kenali.

Faez mendapat tawaran kerja dan projek ribuan ringgit di Libya tetapi beliau menolak kerana hati beliau lebih terbuka untuk negara Turki.

Faez juga membicarakanperbezaan sistem pendidikan Turki berbanding USA dan UK.Tak semahal UK,tak semurah Malaysia.Itulah gambaran Faez tentang kos biaya pengajian di Turki.

Beliau juga menceritakan bagaimana sikap kediktatoran pihak tentera Turki (dikuasai kelompok sekularisme totok)yang mengawalketat sekolah-universiti di Turki dimana mereka mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan silibus pembelajaran di sana sehingga Recep Tayyip Erdogan sendiri langsung tidak boleh menyentuh atau mengkritiksistem pendidikan tersebut.Faez juga menceritakan pengalaman beliau sendiri di kampus dimana sistem sekularisme yang sangat mengcengkam di kampus universiti dan beliau membawa contoh etika pakaian mahasiswa di universiti yang terlampau bebas.

Faez juga menyorot secara ringkas sejarah Uthmaniyah.Beliau menasihatkan para audien supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan istilah seperti ‘Ottoman Empire’ bagi merujuk kepada Dinasti Uthmaniyah yang bagi beliau penggunaan istilah ‘Ottoman Empire’ ini lebih bermaksud suatu bentuk imprealisme-jajahan berbanding penggunanan O’ttoman Dynasty’.

Selain itu juga beliau membicarakan peranan gerakan Nursi satu gerakan dakwah yang terbesar di Turki yang banyak menjalankan projek Islamisasi di Turki. Faez menceritakan beberapa kelebihan Badiuzaman Said Nursi dan kehebatan karya –karyanya seperti ‘The Words,The Letters’ dan banyak lagi karya beliau yang menekankan persoalan iman hakiki. Di samping itu juga Faez mengupas peranan ‘madrasah’ Nurcu(pengikut gerakan Badiuzaman Said Nursi) yang menjalankan dakwah bermula dari rumah ke rumah.

Faez juga membawa kisah menarik di Turki antaranya bagaimana solat subuh di Masjid Abu Ayyub Al-Ansari dan masjid di Bayazid yang dipenuhi oleh lebih 13000 orang jemaah solat subuh.Begitu juga sewaktu menunaikan solat Jumaat dimana bagi mereka yang tiba lewat 5 minit sebelum azan zohor sudah tidak boleh masuk ke dewan masjid memandangkan masjid telah dipenuhi oleh ribuan jemaah.

Faez juga menceritakan pengalaman menyambut bulan Ramadhan di Turki dan kisah bagaimana lebih 100 ribu orang hadir berbuka puasa di Masjid Biru,Istanbul.

NGO dakwah di Turki sangat aktif dan memainkan peranan dakwah yang cukup penting di Turki sehingga mampu melakukan perubahan secara beransur-ansur dari cengkaman arus Sekularisme kepada arus gelombang kebangkitan umat Islam yang komited terhadap ajarannya.

Faez yang pernah menghadiri majlis makan malam bersama Recep Tayyip Erdogan turut mengupas tentang kewibawaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan dan Abdullah Gul.Erdogan mempunyai strategi tersendiri dalam memimpin kerajaan Turki berasaskan ajaran Islam yang menekankan persoalan hikmah,kebajikan dan keadilan. Dalam setiap perhimpunan agung AKP Party pimpinan mereka misalnya pasti akan ada gambar Ataturk namun pendekatan corak kepimpinan mereka dengan Attaturk agak jauh berbeza.

Gandingan bersama Erdogan-Gul sedaya upaya cuba untuk mengatasi masalah ‘blackout’ yang sering melanda ibukota Istanbul dan memperkasakan kembali sistem elektrik dan sistem pengangkutan di seluruh Turki.Beberapa projek terowong dasar laut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menghubungkan antara benua Asia dan Eropah bakal dibina nanti.

Beberapa perbezaan pendekatan antara pimpinan Erdogan-Gul dengan mentor mereka Necmudin Erbakan turut dikupas secara ringkas oleh Faez.Erbakan kini agak lantang mengkritik pendekatan Erdogan-Gul dalam memimpin Turki sekarang.

Faez juga mengupas sikit peranan Fethullah Gulen dan gerakannya yang agak kaya dan kukuh kewangannya dan menguasai media massa dengan pelbagai penerbitannya disamping memiliki pelbagai sekolah-universiti di seluruh dunia.

Sadiq Ozata pula membicarakan sejarah Turki pasca pimpinan Ataturk .Bagi beliau satu perjuangan rakyat Turki yang komited dengan ajaran agamanya untuk menjaga huruf Islam yang telah dimansuhkan sewaktu pimpinan Ataturk(Beliau tidak menyebut nama Ataturk tetapi memilih untuk merujuk Ataturk sebagai ‘orang itu’ atau ‘pakcik itu’)

Menurut Sadiq ramai ulama dibunuh sewaktu pimpinan Ataturk dan ada yang meninggal dunia mengejut akibat terlampau bersedih dengan segala tindakan Ataturk seperti memaksa mengubah azan dalam bahasa Turki,mengharamkan pemakaian tudung dan lain-lain lagi.

Selain itu,Sadiq menceritakan perjalanan sekolah agama di Turki seperti sekolah Imam Hatip dan bagaimana para pelajarnya yang cemerlang dalam keputusan akademik telah dinafikan hak untuk menyambung pelajaran di universiti milik kerajaan Turki.Namun dibawah pimpinan Erdogan ,mereka semakin mendapat hak mereka untuk menyambung pelajaran di universiti. Sadiq jugamenjawap soalan audien tentang perbezaan kaedah hafalan Al-Quran teknik Turki.

Sadiq juga mengupas peranan Said Nursi dan karyanya Risael An Nur yang bagi beliau merupakan satu bentuk tafsir Al-Quran yang banyak melawan hujah sekularisme -naturalis-matearilsme.

Di samping itu juga beliau menekankan kepentingan membina masyarakat yangkukuh imannya dan menimbulkan persoalan masyarakat antara penyakit kelemahan iman dan tiada iman.

Risael An Nur sehingga kini telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia termasuk di Malaysia.

Sadiq juga membicarakan perkembangan semasa politik di Turki.Setelah beberapakali kudeta tentera berlaku di Turki termasuk di zaman Erbakan,sehingga kini setelah kemenangan AKP Party pimpinan Erdogan –Gul belum ada lagi sebarang kudeta tentera walaupun wujud konspirasi untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Erdogan-Gul.

Bagi Sadiq,pihak musuh menganggap negera Islam seperti ular dan Turki umpama kepala ular maka oleh sebab itu mereka perlu ketuk kepala ular tersebut.Persoalan kemasukan Turki ke dalam EU dan hubungan antara Turki-Iran-Syria yang semakin baik dan turut disentuh oleh Sadiq.

Di samping itu juga Sadiq membentangkan secara ringkas peranan Union of NGO’s of The Islamic World (UNIW) dalam menggembeling tenaga dan menyatupadukan NGO-NGO Islam di seluruh dunia.

Dialog dakwah global ini telah mampu membuka mata para audien yang hadir agar lebih celik isu semasa-isu antarabangsa,mengetahui pemikiran tokoh-tokoh disamping mendalami pendekatan hikmah dan strategik dalam berdakwah .

Wednesday, March 17, 2010

Laporan Forum Mahasiswa Menggugat:Antara Realiti dan Fantasi di Universiti Malaya

Pada 11 Mac 2010(Khamis) bertempat di Dewan Kuliah F Fakulti Sastera Sains Sosial ,Universiti Malaya ,PKPIM telah menganjurkan Forum Mahasiswa Menggugat:Antara Realiti dan Fantasi .

Forum ini menampilkan 3 orang ahli panel yang berwibawa iaitu Dato Saifuddin Abdullah,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ,Prof Dr Redzuan Osman,Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya , dan Profesor Dato Paduka Mohamad Abu Bakar,penulis buku Mahasiswa Menggugat yang juga merupakan mantan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya .

Abu Qasim Azmi,Naib Presiden Antarabangsa PKPIM telah menjadi moderator bagi forum yang dihadiri lebih 120 orang.Turut hadir ialah Presiden ABIM(Mohamad Razak Idris) dan juga Prof Madya Shaharudin Badarudin,mantan Timbalan Presiden ABIM.

Program forum ini dimulai dengan tayangan video sajak mahasiswa oleh Allahyarhan WS Rendra(Penyair terkenal Indonesia),Slide pengenalan PKPIM,sejarah PKPIM dan program –program anjuran PKPIM.

Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden PKPIM,Mohamad Faisal Abdul Aziz mengatakan siri forum Mahasiswa Menggugat ini diadakan demi memberi nafas baru perjuangan mahasiswa .Beliau juga mengajak para mahasiswa supaya menyeimbangkan idealisma mahasiswa antara bersifat idealis dan realis dan juga menekankan kepentingan konsisten dalam perjuangan, dan bercita-cita besar .

Di samping itu juga,mahasiswa perlu ada praktikal idealisme disamping intelektualisme dengan perlu memperbanyakkan forum dan wacana,serta menjadi intelektual massa dengan kemampuan menggerakkan massa dan bukan sekadar menjadi pemikir konseptual semata-mata .

Mahasiswa menurut beliau, perlu merakyatkan idea-idea besar dari tokoh-tokoh besar dan gelanggang perjuangan mahasiswa bukan sahaja di dalam kampus bahkan juga di luar kampus.Mahasiswa juga perlu menjadi suara hati dan ,mata-telinga buat masyarakat dan Presiden PKPIM juga mengingatkan para hadirin dalam forum ini tentang gerakan mahasiswa sebagai gerakan pembela,’third force’ selepas parti pemerintah dan parti pembangkang .

Prof Mohamad Abu Bakar pula menceritakan sejarah penulisan buku Mahasiswa Menggugat yang masih menjadi buku utama rujukan tentang gerakan mahasiswa.

Menurut Prof Mohamad Abu Bakar ,beliau menulis buku Mahasiswa Menggugat sewaktu menjadi tutor di Universiti Malaya dan ketika itu pihak syarikat penerbitan agak takut risiko untuk menerbitkan bukunya ini sehinggalah Pustaka Antara yang sewaktu itu editornya,seorang pejuang, Ahmad Boestaman berani menerbitkannya.

Prof Mohamad Abu Bakar mendapat dorongan Ahmad Boestaman dengan kerjasama Allahyarham Sasterawan Negara Arenawati yang bertugas di Pustaka Antara.Dalam forum ini,beliau menyorot sejarah Universiti Malaya dimana Universiti Malaya merupakan satu-satunya kampus universiti di tanah air dahulu dan bagaimana mahasiswa Universiti Malaya mudah mendapat liputan media berkenaan isu demonstrasi kampus misalnya dan diluar kampus.Apa sahaja yang mereka lakukan mendapat sorotan media, secara meluas.

Bagi Prof Mohamad Abu Bakar ,mahasiswa sekarang memerlukan pergerakan jauh berlipat ganda dari mahasiswa 70 an terutamanya dari aspek asahan minda dengan pengisian program –program intelektual dan bagi beliau juga tidak semestinya mahasiswa sekadar berdemonstrasi untuk menyerlah.Beliau juga mengambil contoh bagaimana mahasiswa di Universiti Oxford dan Cambridge yang agak popular dengan aktiviti debat,berkayak dan lain-lain lagi.

Prof Mohamad Abu Bakar juga menekankan keperluan menggalakan pembacaan dan diskusi di kalangan mahasiswa dan bagi beliau ‘gugatan intelektual ‘semakin hilang di pentas kampus sekarang dengan pembacaan buku-akhbar dikalangan mahasiswa sekarang yang semakin merosot .Beliau juga membawa kisah bagaimana suatu masa dahulu, Universiti Malaya pernah menjemput orang politik(pemerintah dan juga pembangkang seperti Ghazali Shafie, Mahathir Mohamad,Nik Abdul Aziz) dalam siri-siri diskusi di Universiti Malaya.

Prof Redzuan Osman pula turut menyorot kisah tahun 70 an dimana tokoh politik pembangkang seperti Abdul Hadi Awang dibenarkan masuk kampus untuk hadir berhadapan dengan para mahasiswa.Bagi Prof Redzuan Osman ,tidak ramai menteri atau timbalan menteri sekarang yang berani berhadapan dengan mahasiswa dan beliau memuji Dato Saifuddin Abdullah,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang agak terbuka dan banyak membuat perubahan serta berani berhadapan dengan para mahasiswa.

Prof Redzuan Osman mengupas tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) yang selepas digubalkan sangat mengganas dan mengekang pergerakan mahasiswa.Bagaimanapun beliau menyeru para mahasiswa agar tidak takut AUKU seperti takut hantu dan mengatakan AUKU hanyalah akta buatan manusia.Beliau juga membawa kisah benar bagaimana wujud pelajar cemerlang yang mempunyai pointer 3.7 ke atas tetapi pada pandangan beliau sama sekali tidak layak untuk menjadi pensyarah kerana gagal berkomunikasi dengan pelajar.

Prof Redzuan Osman menasihatkan para mahasiswa supaya turut cemerlang dalam akademik dan dalam kepimpinan, Prof Redzuan Osman melahirkan rasa kecewa dengan sikap mahasiswa sekarang yang menurut beliau ramai yang tidak bercakap atau bertanya waktu tutorial dan kuliah serta hadir ke kuliah atau tutorial untuk sekadar mendengar,serta tidak bersedia untuk berhujah.Bagi beliau juga para mahasiswa perlu memanfaatkan segala ruang yang disediakan dalam keadaan kampus universiti yang semakin terbuka .

Dato Saifudin Abdullah pula menimbulkan persoalan bagaimana mengembalikan ruh gerakan mahasiswa dan ruh universiti.Beliau juga menyatakan kita kekurangan rujukan buku yang baik tentang gerakan mahasiswa. Menurut pandangan Dato Saifuddin Abdullah ,mahasiswa tidak boleh menggugat kalau bukan melalui satu gerakan dan 3 rukun gerakan mahasiswa yang sangat ditekankan beliau ialah persoalan idealisme,intelektualisme,dan aktivisme .

Beliau menggesa para mahasiswa agar cinta pada ilmu dan membawa persoalan apakah maksud budaya ilmu dan intelektual.Beliau juga mengupas tentang peranan Aktivisme dalam merealisasasikan idealisme menjadi konkrit .Tatkala bicara tentang mahasiswa menggugat,beliau sekali lagi membawa persoalan tentang mahasiswa menggugat itu ingin menggugat apa.orang?menteri,?organisasi?HEP?KPT?,ataupun menggugat amalan buruk,rasuah,kebejatan,kebobrokan?

Di samping itu juga ,Dato Saifuddin Abdullah membicarakan tentang sudut pidato dimana beliau menekankan peranan HEP agar mempunyai halatuju yang betul serta memahami matlamat kewujudan sudut pidato.Bagi beliau tidak perlu banyak undang-undang atau arahan dalam melaksanakan sudut pidato dan mahasiswa perlu dibiarkan bebas mengendalikan sudut pidato ini,berfikir sendiri dan menentukan halatuju kampus sendiri.Beliau turut menyokong autonami university dan menghuraikan antara kuasa sebenar yang menghalang autonami university ini ialahn Lembaga Pengarah Universiti .

Dato Saifuddin Abdullah juga menjelaskan bahawa mahasiswa boleh dan bebas mengkritik kerajaan, dan menegaskan juga bahawa tidak perlu kita melabel para pengkritik kerajaan tersebut sebagai pembangkang.Beliau menyeru para mahasiswa agar memperbetulkan apa yang dirasakan tidak betul dan mengatakankan untuk tujuan tersebut memerlukan keberanian,dan bertindak secara berjemaah .

Penganjuran forum Mahasiswa Menggugat ini telah membuka mata,menyuntik motivasi dan membangkitkan semangat juang para mahasiswa yang hadir dan kita mengharapkan mahasiswa seluruh kampus universiti di Malaysia agar terus menggugat!

Sunday, January 18, 2009

Muktamar Majlis Amal Islami Malaysia(MAIM) di PICC,Putrajaya

13 Januari 2009-

Hari ini sebenarnya ada kelas beberapa subjek tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak hadir dengan surat pelepasan demi menghadiri Muktamar Majlis Amal Islami Malaysia(MAIM) di PICC,Putrajaya.

Muktamar MAIM ini saya kira agak menarik apatah lagi ia mengumpulkan keseluruhan Ngo-Ngo Islam yang terdapat di Malaysia.

Saya tidak sempat menghadiri upacara perasmian pada sesi pagi yang dirasmikan sendiri oleh DYM Yang DiPertuan Agung .

Ketika saya tiba majlis sudah pun bermula dengan menyaksikan pembentangan beberapa kertas kerja oleh wakil-wakil Ngo Islam.

Dewan PICC yang boleh menampung jumlah peserta yang agak ramai dipenuhi oleh para peserta yang datang dari seluruh pelusuk tanah air mewakili Ngo-Ngo Islam di Malaysia.

Sesi soal jawab menyaksikan beberapa persoalan dilontarkan oleh peserta-peserta antaranya berkenaan isu umat Melayu-Islam(penguasaan ekonomi,kuasa politik,isu Bahasa Melayu ,hal kepenggunaan Islam dan lain-lain )dan juga bagaimana untuk memperkasakan lagi Ngo-Ngo Islam sebagai mengimbangi kekuatan dan kelemahan parti-parti politik tanah air.

Pada sesi petang pula diadakan pemilihan jawatankuasa tertinggi MAIM yang menyaksikan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah(YADIM),Dato Nakhaie Hj Ahmad(bekas pimpinan PAS dan UMNO) diamanahkan sebagai pengerusi MAIM yang pertama.

Pada pandangan saya Ngo-Ngo Islam mesti kuat dan lantang bersuara mempertahankan hak ummat keseluruhan dan suara Ngo-Ngo Islam ini mesti didengari oleh semua pihak di samping menjadi badan pendesak membawa suara rakyat suara ummat .

Pada hari ini kewujudan Ngo-Ngo Islam yang memberi keutamaan dalam pelbagai bidang dan fokus tertentu masih kecil jumlahnya berbanding dengan jumlah Ngo-Ngo bukan Islam.

Jadi amat wajar umat Islam di Malaysia menambahkan lagi bilangan Ngo-Ngo Islam dengan fokus yang pelbagai di samping memperkasakan yang sedia ada dan kewujudan Majlis Amal Islami Malaysia(MAIM) ini pastinya dapat menyatu padukan dan menyelaraskan gerak kerja keseluruhan Ngo-Ngo Islam seterusnya dapat mewujudkan satu gelombang suara Ngo Islam yang kuat yang dapat memenuhi aspirasi ummat.


(Terima kasih kepada Presiden ABIM,Yusri Mohamad yang sudi menumpangkan saya pulang ke Universiti Malaya daripada Putrajaya .)

Tuesday, January 13, 2009

Usrah Qiyadah PKPIM bersama Dato Dr.Siddiq Fadzil

3 Januari 2009-Hari ini hampir sehari suntuk saya berada di Kolej Dar Hikmah,Kajang(berdekatan sahaja dengan rumah saya).

Selepas mesyuarat selari PKPIM pada sesi petang,kami berusrah pula pada sesi malam dan kali ini bersama seorang tokoh dakwah dan pemikir,Dato Dr.Siddiq Fadzil yang terkenal dengan gaya bahasa pidato dan penulisannya yang penuh sastera,sarat teguran sinis kepada penguasa,dan menyentuh isu rakyat isu ummat.

Dalam usrah yang dihadiri oleh pimpinan PKPIM ini beliau membentangkan tajuk Misi mencetak kader-kader dakwah.

Generasi pelanjut perjuangan.

Inilah istilah yang beliau gambarkan kepada aktivis muda dakwah yang akan meneruskan perjuangan dakwah generasi terdahulu.

Beliau menyentuh tentang impian dan pengalaman antara orang tua dan orang mua.
Menurut beliau ,tidak ada orang tua yang tidak ada pengalaman dan orang tua tidaklah ada impian.Kalau nak minta daripada orang tua minta pengalamannya manakala daripada orang muda minta@tanya impian nya memandangkan orang muda kurang pengalaman.

Beliau juga mengimbas kembali perjuangan dakwah beliau semenjak muda sehingga kini antaranya bermula dari jemaah PMIUM,PKPIM,ABIM dan kini WADAH.Beliau tidak terfikir ada lagi jemaah yang akan beliau sertai lagi selepas WADAH ini.

Khodimul Ummah-Khadam kepada ummah

Istilah ini beliau gunakan menggambarkan peribadi seorang kader dakwah yang kita dambakan.

Beliau juga mengupas tentang pandangan Bapak Mohammad Natsir(mentor beliau dan juga DSAI) ketika ditanya siapa penganti beliau.bagi Pak Natsir beliau tidak siapkan sesiapa sebagai pengganti sebab bagi beliau yang dinamakan pemimpin itu akan muncul di kalangan seangkatan muncul dari tengah gelanggang dan bukannya daripada dewan kuliah atau bilik seminar Pak Natsir juga pernah mengungkap kisah Nabi Zakaria yang sudah berusia lanjut tetapi belum ada calon pengganti..

Beliau juga menceritakan bagaimana Nurcholis Majid(Cak Nur-yang menimbulkan kontroversi di Indonesia) yang pernah digelar Natsir Muda suatu ketika walaupun kemudiaanya mereka berdua banyak berbeza pandangan dan pemikiran tentang Islam.

Menurut Dato Dr Siddiq Fadzil beliau siap sedia menghadapi kemungkinan yang dicetak tidak menjadi tetapi mudah-mudahan jadi.

Kader dakwah menurut beliau ialah kader yang mampu menangani realiti dakwah di zamannya dan mengenal zamannya bahkan istiqamah dan konsisten.Mengenal zamannya bagi beliau meupakan syarat asasi yang tidak boleh dikompromikan oleh kader dakwah.

Kata beliau’anda dicetak untuk zaman anda, bukan untuk zaman lalu’.
Tahun 2000 an bukan tahun 70 an yang mana realiti-waqi’ telah pun berubah.
‘Manusia ideal sesuatu zaman tidak ideal lagi dalam zaman yang sudah berubah’.Inilah kata –kata yang dipetik oleh beliau tatkala menghuraikan tentang mengenal zaman.

Beliau turut mengimbas kembali bagaimana sukarnya kader dakwah era 70 an dahulu yang terpaksa menaip dengan mesin taip lama sambil menggelek dakwatnya .Bagi beliau’tidak ada maaf bagi kader sekarang tidak tahu kuasai teknologi maklumat’.

Beliau juga menyeru pimpinan PKPIM yang hadir dalam usrah ini agar tidak mengabaikan sejarah masa silam dengan meremehkannya tetapi sejarah perlu dikaji,direnung, dan dipelajari.’Mereka yang tidak pelajari dan tidak tahu sejarah akan mengulangi kesalahan sejarah ‘kata beliau.

Seorang mukmin tidak boleh naïf dan dipatuk 2 kali dalam lubang yang sama,jelas beliau.

Pengalaman yang paling tidak boleh beliau lupakan ialah krisis tahun1982 dimana Presiden ABIM ketika itu,Dato Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan masuk UMNO dan dato Dr Siddiq Fadzil kemudiaanya memangku jawatan Presiden ABIM.
Krisis,perkelahian sangat pahit oleh itu hal-hal sebegini perlu dihindarkan,nasihat beliau lagi.

Yang kita ingin cetak bukan kader-kader individu tetapi kader gerakan dakwah,jemaah dakwah. Orientasi jamaie harus cukup kuat dan kader dakwah itu perlu berperanan dalam konteks jemaah bukannya secara individu.

Sehebat mana pun individu kalau tidak mampu berperanan secara berjemaah tidak mampu menyumbang kepada ummat.

Demikian lah kata-kata yang diluahkan beliau dalam mengupas tentang peranan kader dakwah untuk berperanan secara berjemaah.

Beliau juga sempat memberi contoh bagaimana Indonesia yang gah dengan kehebatan dalam sukan badminton (individu)tetapi sering tewas dalam sukan bolasepak (pasukan)yang mana bagi beliau Indonesia gagal membina pasukan atau pemainnya tidak pandai main secara berpasukan.

Beliau meluahkan betapa susahnya membina kader-kader dakwah-aktivis yang pandai berperanan dalam jemaah dan sebab itu subjek ‘amal jamaie’ yang diperkenalkan dalam usrah ABIM misalnya dengan mengambil bahan-bahan dari Ikhwanul Muslimin (Mesir) cukup penting bagi beliau.

Beliau juga membicarakan perihal ‘budaya ABIM’ yang hanya ada pada ahli gerakan ABIM yang mampu menyatukan dan menyeragamkan warganya seperti cara bertegur sapa,cara berpakaian dan penampilan .

Imej ahli ABIM suatu ketika dahulu terkenal dengan janggut yang sedikit-sejemput,berbaju melayu dengan seluar biasa,ketayap(bagi sesetengah ahli) dan juga ucapan dasar yang panjang dan ilmiah!!!

Beliau juga pernah bergurau dengan Dato Seri Anwar Ibrahim berkenaan perbezaan ucapan dasar DSAI yang agak panjang ketika memimpin ABIM dan ucapan dasar beliau yang pendek ketika memimpin pemuda UMNO.

Satu lagi budaya ABIM yang beliau tekankan ialah amalan menghormati syura.
Antara fungsi pemimpin bagi beliau ialah ‘culture builder’-pembangun dan pembina budaya.

Dato Dr.Siddiq Fadzil menghurai bagaimana dalam ilmu pengurusan(management),individu ibarat anak panah yang tidak tahu dimana akan dilepaskan sasarannya.Yang menyatukannya ialah budaya iaitu apabila dilepaskan secara terarah ,ke mana arahnya.

Beliau menegaskan pentingnya kita mengetahui dan menghormati budaya.
Beliau turut mengambil contoh bagaimana budaya dalam UMNO dan PAS yang berbeza.Kata beliau budaya dalam PAS,penyokong yang keluar duit manakala budaya dalam UMNO penyokong yang minta duit!!!

Dato Dr.Siddiq Fadzil menghuraikan juga kepentingan melaksanakan amal secara jamaie.Amar makruf nahi mungkar menurut beliau merupakan tanggungjawab kolektif –bersama.Beliau memetik ayat Al-Quran (wal takumminkum ummah.....)perkataaan ummah yang bermaksud jemaah-jamaie.Begitu juga ayat Al-Quran(Kuntum khoiro ummah...)yang mana bagi beliau jemaah dakwah seharusnya jadi sebaik-baik ummat(khoiro ummah) yang mana kegiatannya ialah amar makruf nahi mungkar)

Beliau menimbulkan persoalan dalam ayat (Kuntum Khoiro ummah ...)yang mana Allah mengatakan mereka menyeru kea rah kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah,kenapa tidak beriman dahulu baru amar makruf nahi mungkar?Apa guna amar makruf nahi mungkar tanpa iman?

Persoalan itu dijawab beliau dengan mengatakan untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar jangan hanya tunggu sampai iman sudah kuat.Iman akan kuat berkat amar makruf nahi mungkar yang membawa kesan kepada peningkatan iman.
Beliau juga membicarakan tentang penyakit-penyakit yang merosakkan dan melonggar jemaah anataranya apabila earganya mengutamakan dan mendahulukan kepentingan peribadi daripada kepentingan orang ramai.Beliau menyeru agar diamalkan orientasi yang mengutamakan kepentingan ramai,ummah dan jemaah sehingga sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk kepentingan jemaah.

Jemaah selalu jadi pecah apabila tumbuh penyakit ‘Hubbu Ri’asah’ dimana semua nak jadi pemimpin.Yang jadi ketua tidak mahu turun,yang dibawah nak jadi ketua.
Beliau juga memeprkatakan soal orientasi tahu diri-sedar diri , tahu menempatkan diri atau dimana nak posisikan diri.

Beliau membawa kisah bagaimana selepas Prof.Dr Razali Nawawi selaku Presiden ABIM yang pertama melepaskan jawatannya timbul persoalan siapa pengganti beliau .2 nama menjadi calon pilihan untuk menjawat jawatan Presiden ABIM iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim dan Almarhum Dato Fadzil Nor.Dato Seri Anwar Ibrahim menghitung bahawa Almarhum Dato Fadzil Nor yang paling layak memandangakn ‘keustazan’ dan usianya yang lebih tua lantas ‘mempromosi ‘Almarhum Fadzil Nor untuk jawatan Presiden ABIM.

Namun demikian,Almarhum Fadzil Nor merasakan Dato Seri Anwar Ibrahim ‘the best person’ untuk jawatan tersebut memandangkan orang ramai lebih nak dengar pandangan Dato Seri Anwar Ibrahim dan akhirnya Dato Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Presiden ABIM dan Almarhum Fadzil Nor sebagai timbalannya.

Dato Dr.Siddiq Fadzil juga mengupas ayat Quran dan mengaitkannya dengan gejala perebutan kuasa akibat inginkan habuan ukhrawi.

Beliau juga memetik kisah berkenaan keinginan seseorang dan impian beliau juga untuk mati dalam keadaan senyum.Ketika kita lahir,kita menangis sedangkan orang di sekeliling kita senyum ketawa riang.Kita sepatutnya punya keinginan untuk mati dalam keadaan sebaliknya iaitu mati dalam keadaan senyum sedangkan orang lain menangisi kematian kita.Demikianlah hal manusia yang ketawa apabila menerima kelahiran seseorang dan menangis apabila kehilangan seseorang.

Beliau juga membawa kisah Khalifah Umar Abdul Aziz saat menghadapi maut bagaimana beliau melaung suara sekuat-kuatnya mengakhiri hayatnya dengan sepotong ayat AL-Quran berkenaan seseorang yang hanya mencari ketinggian dunia.
Di samping itu Dato Dr Siddiq Fadzil juga mengupas satu lagi penyakit yang dapat menghancurkan sesebuah jemaah Islam iaitu apabila dinginya komunikasi –jarak antara pemimpin dan pengikut.Beliau memetik pepatah Melayu bagi mengambarkan hubungan antara pemimpin dan pengikut iaitu ‘yang didulukan selangkah,yang ditinggikan seranting,yang dilebihkan serambut’

Beliau mengambil contoh kedudukan imam dalam solat dimana imam bukanlah ditengah-tengah atau di belakang dan tidak boleh terlalu jauh dari makmum dibimbangi imam tidak tahu dan tidak dengar mereka yang berada di saf belakang.Kalau pemimpin terlalu jauh daripada pengikut,pemimpin tersebut tidak dapat merasai apa yang dirasai oleh pengikut.

Beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin yang mempunyai gaya kepimpinan yang tidak meraikan pendapat dan pemikiran para warga@rakyat dan suka memaksakan atau istilah yang beliau gunakan sebagai penindasan pemikiran yang mana seseorang itu memaksakan pemikirannya kepada orang lain.Beliau membawa kisah Firaun dalam Al-Quran yang selalu melakukan penindasan pemikiran dan hanya versinya sahaja boleh dirakyatkan dimasyarakatkan.

Beliau juga mengimbas kembali peristiwa 8 Mac 2008(Pilihanraya Malaysia) dimana menurut beliau terlalu banyak propaganda yang memperbodohkan rakyat.Beliau berpandangan harus ada keterbukaan dan mengelak daripada mengagumi pendapat sendiri lantas meremehkan pendapat orang lain yang bagi beliau merupakan satu penyakit rohani yang paling parah.

Ketika sesi soal jawab para pimpinan PKPIM tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan-soalan kepada beliau.Tatakala menjawab isu perpecahan umat Islam beliau berbangga kerana masih ada generasi muda yang peka terhadap isu perpecahan umat Islam dan mempunyai keinginan untuk menyatu!bersatu-padu.
Antara punca utama perpecahan umat menurut beliau ialah hilangnya sikap saling mempercayai dan berkenaan soal hati manusia.Fikiran boleh diyakinkan tetapi soal hati begitu rumit untuk dijawab.Pendekatan Islam menurut beliau ialah pendekatan hati jadi kita diminta untuk berbicara dari hati ke hati.Beliau juga sempat bergurau berkenaan hati perut yang mana hati manusia kadangkala sudah mati yang tinggal hanyalah ...perut!!!

Beliau juga ditanya berkenaan pendekatan dakwah sejauh manakah sudah berubah anatara era 70 an dan era kini.Bagi Dato Dr.Siddiq Fadzil pendekatan dakwah yang perlu diamalkan oleh kader dakwah kini ialah pendekatan realistik .Pendekatan dakwah ada yang berubah dan ada yang tidak berubah kalu mahu dibandingkan antara era 70 an dan era kini.

Yang tidak berubah bagi beliau ialah ‘nature’ orang muda@tabii kemudaan yang mana orang muda ini bila-bila kaya dengan idealistik atau pendekatan yang membawa suatu yang ideal.Era 70 an dahulu kata beliau terkenal dengan Marxisme dan pemuda sosialis serta orang muda yang tergila- gilakan sosialis.Jadi strategi yang digunakan oleh golongan Islamis ketika itu antaranya mempopularkan istilah Sosialisme Islam yang pernah digunakan antaranya oleh Cokroaminoto dan Mustafa Sibaie walaupun orang kemudiaannya ‘membelasah’ pemikiran ini.

Namun begitu Syeikh Yusuf Qardhawi sendiri walaupun tidaklah mempopularkan istilah Sosialisme Islam ini tetap mengerti kenapa orang terdahulu mengunapakai istilah kontroversi ini.Dalam Islam ada unsur sosialisme@Islamic Sosialisme tetapi bukannya Marxisme.Sosialisme Islam bolehlah disamakan dengan keadilan sosial dalam Islam.

Dato Dr Siddiq Fadzil turut mengingatkan kader dakwah supaya lebih kreatif dalam mempersembahkan Islam dalam rupanya yang menarik tetapi tanpa merubah esensi dakwah dan risalah Islamiyah.

Yang berubah berbanding era 70 an dan kini pula ialah bagaimana kehidupan mahasiswa dahulu yang tidak membebankan sebagai contoh peperiksaan hanyalah setahun sekali dan ketika itu menggunakan sistem penggal dan bukannya semester serta cutinya agak lama dalam 3 bulan.

Beliau juga menegaskan bahawa Islam itu sesuatu yang menyenangkan bukan menyusahkan jadi dakwah juga perlu dipakejkan sesuai dengan realiti.
Soalan berkenaan sistem syura juga ditanya kepada beliau dan beliau menjawab dengan mengatakan bahawa syura bukan sahaja dengan fikiran tetapi juga dengan iman.Yang dicari ialah pilihan yang paling baik.Dalam syura bukan sahaja menekankan kepintaran berhujah semata-mata tetapi juga kesediaan untuk mendengar.

Dalam syura kita tidak boleh sama sekali menyembunyikan mana-mana aspek dan dimensi-dimensi tertentu dan perlulah membentangkan seluruh aspek isu yang diperdebatkan.

Syura ingin mencari yang terbaik dan bukannya memenangkan kelompok-kelompok tertentu dan ia mestilah bermula dengan sangkaan baik(Husnu Dzan).

Syura bukan sahaja berkaitan aspek keintelektualan semata-mata tetapi turut melibatkan aspek spiritualisme dan oleh kerana itu juga Dato Dr.Siddiq Fadzil menyarankan agar ada satu slot dalam tamrin berkenaan sistem syura memandangkan ia merupakan subjek yang perlu dipelajari oleh kader-kader dakwah.

Demikianlah catatan saya tatkala mendengar pengisian minda-pemikiran yang terkandung dalamnya aspek keintelektualan juga spiritualisme daripada insan pemikir dan tokoh gerakan dakwah Malaysia,Dato Dr Siddiq Fadzil.

Semoga Allah memberkati ilmu yang disampaikan dan ilmu yang diterima.

Monday, January 12, 2009

Seminar Serantau Memperingati 100 Tahun Pahlawan Nasional Mohammad Natsir

Saya hadir ke Seminar Serantau Memperingati 100 tahun Pahlwan Nasional Bapak Mohammad Natsir anjuran bersama Wadah Pencerdasan Umat(WADAH) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS )yang diadakan di Kolej Universiti Islam Selangor(KUIS),Bangi baru-baru ini.


Beberapa hari sebelum seminar ini berlangsung saya bersama-sama beberapa orang sahabat telah mengadakan satu diskusi tajuk yang sama dengan tema seminar serantau ini iaitu Bapak Mohamad Natsir:Berdakwah di jalur politik ,Berpolitik di jalur dakwah.

Saya tidak sempat mendengar ucapan wakil keluarga Pak Natsir dan juga ucapan alu-aluan Presiden WADAH yang cukup saya kagumi,Dato Dr.Siddiq Fadzil(bekas pimpinan PMIUM dan Presdien ABIM) memandangkan kelewatan tiba setelah menaiki komuter dari Kl Sentral ke Bangi bersama beberapa orang rakan.(Dari Stesyen Komuter Bangi,kami menaiki van prebet sapu terus ke KUIS)


Setibanya di sana Menteri Besar Selangor sedang berucap merasmikan program ini.Dewan seminar ini agak penuh dengan para peserta yang jumlahnya diluar jangkaan pihak urusetia program.

Kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim (menurut beliau ,kali pertama semenjak 11 tahun yang lalu-tahun beliau dipecat –beliau dibenarkan masuk ke universiti) mungkin menjadi faktor utama kehadiran ramai peserta yang ingin mendengar ucaptama daripada beliau.

Beliau agak rapat dengan Almarhum Pak Natsir bahkan menerima didikan secara tidak langsung dari tokoh pendakwah ,negarawan –pahlwan nasional ini.

Saya sendiri mula mengenali nama Pak Natsir tatkala membaca tulisan dan pidato Dato Seri Anwar Ibrahim.

Dato Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptamanya ini mengupas tentang Pemikiran Pak Natsir:Islam dan kenegaraan.Beliau menyarankan agar digerakkan usaha menerbitkan semula karya-karya pak Natsir dan juga menyeru mahasiswa khasnya untuk mentelaah karya-karya Pak Natsir antaranya seperti Fiqhud Dakwah,Capita Selecta dan lain-lain.

Dato Seri Anwar Ibrahim turut melancarkan buku terbitan bersama WADAH dan KUIS bertajuk Mohammad Natsir:Berdakwah di jalur politik,Berpolitik di jalur dakwah.

Beberapa orang tokoh juga turut membentangkan kertas kerja mereka seperti Bapak Syuhada(Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia-yang diasaskan Pak Natsir),Prof Dr.Kamal Hasan,Prof Madya Dr Mohd Nur Manuty dan lain-lain.

Ketokohan Pak Natsir sebagai pendakwah,ahli politik,pemikir dan lain-lain sukar ditandingi dan memang layak beliau diangkat sebagai pahlawan nasional.

Semoga kehadiran saya dalam seminar memperingati tokoh besar ini membangkitkan semangat menyuntik motivasi buat saya mencontohi keperibadian beliau dan seterusnya menjadi lebih baik daripada beliau.

Saturday, November 15, 2008

Bedah buku Ketika Cinta Bertasbih bersama Habiburrahman El-Shirazy(4)

Bersama Mus’ab dari Singapura -Surya dari Indonesia-Produksi Filem Islam

Kedua-duanya datang jauh dari Singapura semata-mata untuk menemui Habiburahman.


Mus’ab yang berjubah dan berambut panjang sehingga ke paras bahu(gayanya seorang sufi-keturunan Arab Yaman-sempat singgah di bilik saya di Kolej 12 untuk mengecas bateri telefonnya-lama juga kami bersembang) dan Surya(bersama ‘laptop poket’ nya -ketika sesi soal jawab mengemukakan soalan yang menarik apakah kemungkinan Angelina Jolie akan masuk Islam?) -;ini dalam usaha untuk membawa filem Ayat-Ayat Cinta ke pasaran Hollywood(Penterjemahan ke dalam bahasa Inggeris )


Kedua anak muda ini kini bergiat aktif dalam seni produksi filem dan berusaha keras menerbitkan filem-filem yang berunsur islamik yang menelan belanja yang agak besar dan cuba memasarkannya ke seluruh dunia.

Usaha dakwah ini amat jarang dilakukan oleh para aktivis dakwah yang kadangkala terlupa bahawa kita wajib melakukan proses ‘islamisasi’ dalam industri filem ini dan wajib menerajuinya agar tidak terlepas ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab apatah lagi filem mempunyai kuasa luar biasa untuk mempengaruhi pemikiran khalayak ramai.

Bedah buku Ketika Cinta Bertasbih bersama Habiburrahman El-Shirazy(3)

Bertemu Ghozali sahabat Temu Pemuda Serantau

Tanpa disangka-sangka program bedah buku ini menemukan saya dengan seorang sahabat yang pernah bersama-sama dalam program Temu Pemuda Serantau di Kaliurang,Yogyakarta.Ghozali.

Beliau menyertai program temu Pemuda Serantau mewakili GPII@Gerakan Pemuda Islam Indonesia dan kini menuntut di Universiti Petronas.

Menemui beliau mengingatkan saya kembali kepada kenangan program temu Pemuda Serantau yang pastinya tidak akan dilupakanterutamanya kenangan bersama sahabat-sahabat HMI,GPII,PII,YPU dan PKPIM di atas puncak Gunung Merapi,menaiki tangga-tangga Candi Borobudur,membeli-belah di Malioboro,memijak bara api,menjadi orang buta selama 1 jam dalam siri LDK,persembahan budaya ,senaman pagi sambil menyanyi dan mengelingi Kaliurang yang cukup nyawan udaranya dan nyanyian lagu Lil Ilir serta pastinya kenangan bersama sifu En.Anuar Tahir,Dr Mohd Manuty,EnWan Kharizal Wan Hazim dan abang-abang GPII.

Rujuk(http://ilmuwan-w.blogspot.com/search/label/Kembara%20di%20Indonesia)

Bedah buku Ketika Cinta Bertasbih bersama Habiburrahman El-Shirazy(2)

Ulasan pembentangan Habiburahman El-Shirazi

Saya agak tertarik dengan beberapa hal yang dibicarakan oleh Habiburahman pada program ini antaranya ialah:-

Masalah pemuda Malaysia-Indonesia masalah yang sama

Beliau memulakan bicaranya dengan menyentuh masalah yang dihadapi oleh pemuda samada dari Malaysia mahupun Indonesia yang bagi beliau mempunyai masalah yang sama sahaja terutamanya berkenaan dengan masalah pencintaan pemuda.

Antara faktor utama beliau menulis novel ialah untuk menyampaikan dakwah kepada pemuda melalui pendekatan yang diminati dan dekat dengan jiwa pemuda seperti melalui novel dan bukannya sekadar melalui ceramah-ceramah.

Kebangkitan melalui penerbitan

Beliau menjelaskan tentang bagaimana proses kebangkitan yang boleh berlaku melalui penerbitan dan bahan –bahan bacaan yang mampu mengubah sebagaimana Al-Quran yang bagi beliau sarat dengan cerita-cerita luar biasa yang dapat membentuk generasi yang luar biasa.

Kuasa penerbitan dalam mempengaruhi minda dan membentuk fikrah perlu dimanfaat kan sebaik mungkin oleh para aktivis dakwah yang ingin melakukan perubahan ke arah kebaikan

Ulama sebagai Sasterawan

Beliau juga membawa kisah bagaimana ulama-ulama terdahulu yang sebenarnya terkenal sebagai sasterawan terlebih dahulu sebelum menjadi ulama.
Hal ini perlu diambil perhatian oleh golongan yang berpendidikan agama agar terjun ke bidang penulisan dan kesusasteraan sebagai satu jihad melalui mata pena

Surah panjang=Novel-Surah Pendek=Cerpen

Beliau juga memperkatakan tentang surah-surah panjang dalam al-quran seperti Surah Yusuf yangbagi beliau boleh diibaratkan seumpama novel dan juga surah-surah pendek dalam Al-quran seperti surah yang menceritakan tentang habil dan qabil yang boleh diibaratkan seumpama cerpen.

Konsep yang terkandung dalam Al-quran sesungguhnya mampu dijadikan rujukan dalam bidang penulisan dan perlu dikaji lebih mendalam oleh para penulis yang ingin memantapkan penulisan mereka mengikut acuan Al-Quran

Berani Hidup vs Berani Mati

Beliau membangkitkan soal berani hidup yang sering dilupakan berbanding soal berani mati.Anak-anak muda sekarang menurut Habiburahman lebih ramai yang berani mati daripada yang berani hidup.

Sepatutnya kita juga harus berani hidup di samping berani mati apatalah lagi kita ini menjalani kehidupan dahulu sebelum menempuh alam kematian.

Gabungan pengalaman dan imaginasi dalam menulis

Habiburahman mengakui penulisan novelnya banyak berdasarkan pengalaman yang dialami beliau sendiri di samping imaginasinya sendiri dalam memperindahkan lagi tulisan-tulisan beliau.

Bagi beliau juga,,seseorang penulis perlu menulis apa yang dia tahu dan dia rasai dan beliau menjelaskan bahawa inspirasi dalam penulisan yang paling hebat itu ialah berdasarkan pengalaman.

Perbeza an antara novel dan filem ayat-ayat cinta:Dakwah memerlukan masa-beransur-ansur-proses

Dalam sesi soal jawab beliau ditanya tentang beberapa perbezaan yang terdapat dalam novel ayat-ayat cinta tulisan beliau dan filem ayat-ayat cinta yang digubah skripnya berdasarkan novel tersebut.Beberapa babak dalam filem tersebut dilihat bertentangan dengan syariat dan berbeza sedikit dengan apa yang ditulis oleh beliau dalam novel ayat-ayat cinta.Ini dilihat mencampuradukkan antara unsur dakwah dan maksiat menurut penanya soalan ersebut.

Beliau tidak menafikan wujudnya babak-babak yang dilihat bertentangan dengan syariat dan beliau sendiri telah memprotes kewujudan babak-babak tersebut.Proses mewujudkan filem yang betul-betul Islamik dan memenuhi syariat sememangnya agak sukar dilakukan dan pastinya usaha dakwah ini melalui proses-proses tertentu yang mengambil masa dan bukannya bersifat ‘kun fayakun’.


Gerakan dakwah perlu lahirkan bintang filem

Beliau juga menyarankan agar mereka yang terlibat dalam bidang dakwah menyiapkan calon-calon bintang filem dari kalangan aktivis dakwah.Beliau menceritakan bagaimana pemilihan yang dibuat dalam mencari artis yang berlakon dalam filem Ketika Cinta Berasbih yang masih dalam penggambaran filemnya menguji bacaaan AL-Quran mereka yang menyertai pemilihan tersebut dan juga filem ini bakal menampilkan seorang artis baru yang juga seorang aktivis dakwah.

Beliau berharap bermula dari aktor-artisnya,sutradara-pengarah filemnya,pengeluar filem kesemuanya melambangkan imej Islam yang sebenarnya bukannya seperti sesetengah artis yang memegang watak yang baik tetapi mengamalkan watak yang buruk yang berbeza sekali dengan watak yang dilakonkannya.

Filem Islam sebaikmana pun bagi beliau tidak akan dapat ditayangkan di pawagam sekiranya wujud apa yang beliau istilahkan sebagai ‘mafia-mafia’ filem.

Ulasan ringkas pembentangan Kak Ummu Hani

Ummu hani mem’bedah’ buku karya Habiburrahman yang bertajuk ‘Ketika Cinta Bertasbih’ .Beliau menanyakan berapa ramaikah di kalangan peserta yang hadir yang telah membaca habis buku novel ini dan apakah ia dipinjam ataupun dibeli sendiri.Beliau menyarankan para peserta supaya membaca sehingga tamat novel menarik ini.

Beliau membincangkan juga tentang isi-isi penting terutamanya berkenaaan watak-watak yang terdapat dalam novel ini dan menceritakan beberapa aspek positif dan nilai-nilai murni yang diterapkan oleh Habiburahman dalam novel ini.

Beliau juga agak lantang mengkritik penyudah@penutup novel Ketika Cina Bertasbih ini di samping mendedahkan beberapa kelemahan yang terdapat dalam novel ini.

Ulasan novel Ketika Cinta Bertasbih oleh Ummu Hani ini mampu menyuntik semangat dan menimbulkan rasa ingin mengetahui isi dan membaca novel ini sampai habis buat mereka yang belum selesai membacanya lagi.

Bedah buku Ketika Cinta Bertasbih bersama Habiburrahman El-Shirazy(1)

Sebaik sahaja selesai peperiksaan Dirasat Asanid pada 1.30 petang , saya bergegas ke Auditorium Institut Pengajian Siswazah untuk menghadiri program Bedah Buku Ketika Cinta Bertasbih bersama Habiburahman El-Syirazi anjuran bersama Persatuan Pelajar Indonesia(PPI)-PMIUM-PBMUM-PMAPIUM.

Sampai sahaja saya di sana tayangan filem Ayat-ayat cinta sudahpun bermula sebagai pengisian sementara menanti kehadiran peserta .Bukan sahaja peserta dari Universiti Malaya(Malaysia-Indonesia) bahkan ada peserta yang hadir dari beberapa buah IPTA-IPTS seperti Universiti Islam Antarabangsa,Institut Help,Universiti Petronas,dan lain-lain lagi.

Ummu Hani,Novelis Malaysia turut sama diundang bersama penampilan istimewa Habiburahman El-Shirazi,penulis novel Ayat-Ayat Cinta.

Ketika peserta-peserta sibuk menonton filem Ayat-Ayat Cinta dan menanti kehadiran Habiburahman El-Shirazi, barisan penggerak –penganjur program sibuk berbincang perkara penting di luar auditorium untuk menyelesaikan beberapa masalah luar jangkaan yang dihadapi oleh pihak penganjur.

Kami mendapat makluman bahawa penerbangan Habiburahman dari Kaherah ke Kuala Lumpur menghadapi kelewatan @tergendala dan mungkin akan sampai ke Kuala Lumpur hanya pada pukul 8.oo malam!!!(Sepatutnya program Bedah Buku bermula pada pukul 3-5 petang).

Mujur dengan bantuan Surya(dari Indonesia-ahli perniagaan yang berusaha untuk membawa filem Ayat-Ayat Cinta ke pasaran Hollywood-hadir bersama Mus’ab dari Singapura) yang berjaya menghubungi adik kepada Habiburahman di Mesir dan akhirnya dapat menghubungi dan mendapat persetujuan Habiburahman untuk meneruskan program apabila dia tiba di Kuala Lumpur pada malam hari.

Penganjur terpaksa memikirkan tempat program untuk sesi malam memandangkan auditorium IPS hanya disewa sampai pukul 5 petang sahaja dan akhirnya kami mendapat izin untuk menyewanya sehingga malam hari selepas berunding dengan pihak IPS.(Terima kasih kepada pihak IPS-Program ini sebenarnya tidak mendapat kelulusan HEP UM atas alasan minggu peperiksaan namun IPS tetap memberi kebenaran mengadakan program.)

Keputusan menangguhkan program Bedah Buku ini ke malam hari pastinya mengecewakan para peserta yang hadir namun pihak penganjur tetap bertungkus lumus untuk menjayakannya juga walaupun pada malam hari .(Tangguh lebih baik daripada membatalkannya terus,bukan?)

Dalam ‘mesyuarat tergempar’antara ahlijawatankuasa program@panitia kemudiaanya kami menyusun kembali strategi dan perancangan untuk memastikan kejayaan program terutamanya dari aspek kehadiran para peserta memandangkan kami tidak mahu kesanggupan Habiburahman yang bersusah payah hadir ke program ini walaupun menempuhi perjalanan penerbangan berjam-jam lamanya dari Kaherah,Mesir dibalas dengan kehadiran yang tidak memuaskan di kalangan peserta.

Tepat pukul 8 malam panitia program tiba di Auditorium IPS untuk persiapan terakhir program.Sekali lagi filem Ayat-Ayat Cinta ditayangkan sementara menanti kehadiran para peserta dan para tetamu jemputan.Program bermula dengan ucapan wakil mahasiswa Malaysia (Presiden PMIUM)dan Indonesia(Presiden dan wakil PPI)

Sedikit kerungsingan bermain di fikiran para panitia program memandangkan Habiburahman masih belum tiba walaupun sudah mencecah pukul 10 malam dan akhirnya Habiburahman pun tiba dengan tampak jelas di wajahnya yang keletihan .(Bayangkan perjalanan jauh penerbangan dari Kaherah ke Kuala Lumpur dan apabila sampai ke Kuala Lumpur terus sahaja ke Universiti Malaya untuk memenuhi undangan program bedah buku ini)

Tahniah kepada semua peserta yang setia dan sabar menunggu dan tidak berganjak dari auditorium IPS demi menanti kehadiran penulis yang mereka sanjungi, Habiburahman El-Shirazi(bukan senang nak sertai program bersama penulis novel ‘bestseller secara percuma ini apatah lagi beliau datang dari jauh tanpa mempunyai waktu istirehat secukupnya)

Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung khas kepada AJK-AJK program (gabungan dua negara serumpun Malaysia-Indonesia terutamanya Syamsuri,Nik Abdur Razak,Yasin),pengacara majlis(Dekka-Indonesia),moderator (Hussein)Indonesia dan(Nurasyikin ) Malaysia ,Bapak Syakirin (Pembaca doa)Kak Ummu Hani dan istimewa buat Habiburahman El-Shirazi

Semoga Allah membalas keikhlasan hati kalian untuk berjuang demi ISLAM.

Monday, September 15, 2008

Iftar Jamaiyy keluarga besar PKPIM-ABIM-WADAH

13 September 2008

Hari ini saya hadir ke majlis Iftar Jamaiyy keluarga besar gerakan PKPIM(anak muda)-ABIM(belia)-WADAH (veteran)dan agensi-agensi seperti Koperasi Belia Islam Berhad,Yayasan Takmir Pendidikan,Islamic Outreach ABIM(IOA),Global Peace Mission(GPM) dan lain-lain yang agensi yang mempunyai kaitan dengan keluarga besar gerakan ini.

Majlis ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran ramai ahli-ahli gerakan dan keluarga .Kehadiran ramai tokoh-tokoh gerakan yang berpengalaman seperti mantan-mantan Presiden ABIM; Dato Dr.Siddiq Fadzil(kini Presiden WADAH),Dr.Mohamad Nor Manuty dan ramai lagi memeriahkan lagi suasana ’hari keluarga’ ini.

Sebaik sahaja selesai solat maghrib dan sementara menanti solat Isya dan terawih,Dato Dr.Siddiq Fadzil (Presiden WADAH) menyampaikan tazkirah ringkas sebagai ganti kuliyah tafsir maudui(tafsir tematik-mengikut tema) yang sering beliau sampaikan sebagai pengisian buat ahli-ahli gerakan.

Beliau memulakan tazkirah tersebut dengan menimbulkan persoalan seandainya cucu beliau bertanyakan kepada beliau kenapa datuk berpuasa?maka akan dijawab beliau kerana ingin menemui tuhan.Beliau mengupas hadith yang menerangkan 2 saat kenikmatan bagi orang yang berpuasa iaitu tatkala berbuka puasa dan saat menemui tuhan dan juga tafsir surah Al-Qalam.

Beliau berharap kehadiran bulan ramadhan ini akan memeperkasakan lagi dimensi haraki(gerakan) dan dimensi tarbawi(pendidikan) bagi setiap ahli gerakan.

Beliau menekankan juga tentang proses transformatif dan reform man(manusia yang reform) sebagai matlamat sebaik sahaja selesai berpuasa di bulan ramadhan selain aspek integriti moral.

Dalam tazkirah ini juga beliau menyelar sikap sesetengah pihak yang suka bersumpah atau mempermainkan sumpah dan kesal dengan keadaan masyarakat sekarang yang menurut beliau seakan-akan menjadi masyarakat yang berbudaya sumpah dan mendustakan kebenaran.

Tazkirah ringkas beliau dengan pengisian tafsir tematik ayat-ayat Al-Quran dengan mengaitkannya dengan isu-isu masyarakat dan realiti semasa ternyata cukup meninggalkan kesan kepada jemaah yang hadir.Walaupun tazkirah yang disampaikan beliau agak ringkas memandangkan menghormati waktu solat Isya dan terawih tetapi ia cukup padat dan tepat serta mampu dijadikan bekalan buat ahli-ahli gerakan untuk terus berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan serta menyanggah kebatilan.

Kehadiran ke majlis ilmu ini juga dimanfaatkan saya untuk membeli 2 buah buku baru dan 1 majalah terbitan ABIM(1 set =RM 30 ) iaitu Siri Penerbitan Ta’dib Islami ;Isu-isu dalam pemikiran Islam tulisan Dr Mohd Farid Mohd Shahran(Timbalan Presiden ABIM) dan Himpunan Makalah Seminar Ta’dib Islami dan lain-lain esei serta Risalah(majalah keluaran ABIM) dan juga mendapatkan buletin percuma ,Madaniyat keluaran Kolej Dar Al-Hikmah - Akademi Kajian Ketamadunan.

3.05 am
15092008
Kolej Kediaman 12

Jumlah pengunjung

web statistics