Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Showing posts with label Kampus. Show all posts
Showing posts with label Kampus. Show all posts

Sunday, January 11, 2009

Pilihanraya Kampus Universiti Malaya

Pilihanraya Kampus UM:Pemimpin mahasiswa yang bagaimana kita perlukan?

Pilihanraya kampus Universiti Malaya yang bakal tiba tidak lama lagi perlu dijadikan medan untuk mahasiswa universiti Malaya untuk mengangkat pemimpin mahasiswa yang benar-benar memperjuangkan aspirasi mahasiswa.
Universiti Malaya akan kerugian besar sekiranya pemimpin mahasiswanya diangkat dari golongan mahasiswa yang tidak mempunyai idealisme perjuangan yang jelas.
Pemimpin mahasiswa yang tidak mempunyai idealisme perjuangan yang jelas tidak tahu ke mana arah yang perlu dibawanya dalam memimpin mahasiswa keseluruhannya maka jadilah mereka umpama nakhoda kapal yang gagal mengendalikan kapal dengan sebaik mungkin lantas melanggar tumbu karang atau melanggar ombak besar dan akhirnya kapal yang dikendalikannya karam sehingga menyebabkan anak-anak buahnya tenggelam lemas di lautan.
Kita tidak rela Universiti Malaya ini dipimpin oleh mereka yang menganggap jawatan yang bakal disandang itu ialah tuah mereka semata-mata dan bukannya sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Pemimpin yang amanah akan berusaha memastikan kuasa yang dimilikinya itu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk melakukan perubahan terhadap segala kepincangan yang berlaku.
Kita memerlukan pemimpin mahasiswa yang berani bersuara atas nama mahasiswa menyatakan pandangan,idea,dan pemikiran mahasiswa dan sanggup menanggung sebarang risiko demi menegakkan kebenaran.

Kita mengharapkan pilihanraya kampus ini menjadi medan buat keseluruhan mahasiswa Universiti Malaya untuk mengangkat pemimpin-pemimpin mahasiswa yang komited terhadap usaha penghayatan budaya ilmu dan tradisi keintelektualan mahasiswa.

Pemimpin mahasiswa yang komited terhadap usaha penghayatan budaya ilmu dan tradisi keintelektualan mahasiswa akan sedaya upaya menghidupkan kampus Universiti Malaya ini dengan program-program keilmuan dan keintelektualan yang memaparkan makna sebenar mahasiswa dan berusaha untuk menghapuskan segala bentuk program yang berupaya memperbodoh dan melumpuhkan idealisme perjuangan mahasiswa.

Semoga pilihanraya kampus kali ini diadakan dengan penuh adil dan telus dengan memberi ruang secukupnya buat calon-calon untuk berkempen secara bebas dan yang paling penting mahasiswa Universiti Malaya yang akan mengundi nanti membuat keputusan bijak dengan mengundi calon-calon yang berani membawa suara mahasiswa.Hidup Mahasiswa!!!

Wednesday, January 07, 2009

Manfaatkan kehadiran pelajar antarabangsa di Universiti Malaya

Kehadiran pelajar antarabangsa di Universiti Malaya yang semakin meningkat kebelakangan ini menampakkan kesungguhan pihak pentadbiran Universiti Malaya dalam usaha memperkasakan Universiti Malaya agar mencapai status universiti antarabangsa
.
Pelajar antarabangsa daripada negara-negara asing seperti Yaman,Iran,China ,Indonesia dan lain-lain kini menjadi sebahagaian daripada warga Universiti Malaya bahkan ramai di kalangan mereka yang turut menginap di kolej-kolej kediaman bersama-sama dengan pelajar tempatan.


Di Kolej Kediaman Ungku Aziz(Kolej 11) misalnya menjadi penempatan utama bagi pelajar –pelajar antarabangsa yang menuntut di Universiti Malaya ini.Persoalannya sekarang apakah mahasiswa daripada Malaysia telah memanfaatkan kehadiran mereka ini dengan sebaik mungkin?

Berdasarkan sedikit pengalaman saya ketika menginap di Kolej Kediaman Ungku Aziz,saya mendapati tidak ramai mahasiswa Malaysia yang bergaul dan berkomunikasi dengan pelajar antarabangsa ini.

Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memanfaatkan kehadiran mereka ini misalnya untuk berkomunikasi dengan mereka demi memantapkan penguasaan bahasa asing seperti Bahasa Inggeris,Bahasa Arab,Bahasa Mandarin dan lain-lain bahasa lagi.

Pelajar antarabangsa yang menuntut di Universiti Malaya ini turut dilihat bersungguh-sungguh dan mempunyai keazaman yang tinggi untuk menguasai Bahasa Melayu,bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia.Sewajarnya mahasiswa Malaysia mengambil kesempatan ini untuk mengajar mereka memahami Bahasa Melayu disamping mempelajari bahasa-bahasa asing melalui persahabatan dan jalinan ukhwah dengan pelajar-pelajar antarabangsa ini.

Disamping itu mahasiswa Malaysia juga dapat mempelajari tentang aspek kesenian ,kebudayaan ,adat dan agama pelajar antarabangsa ini.Hasil pergaulan inilah yang dapat mewujudkan mahasiswa yang mengamalkan toleransi ,memahami kebudayaan dan mampu hidup aman dalam suasana perbezaan warnakulit,adat,budaya ,bangsa dan agama .

Semoga kita memanfaatkan dengan sebaik mungkin kehadiran pelajar antarabangsa di Universiti Malaya ini.

Tuesday, December 30, 2008

Gazebo di Kompleks Perdana Siswa UM: Jadikan ia medan terbuka mahasiswa UM berhimpun,bersuara dan berkarya

Kadang-kadang saya terfikir apakah tujuan pihak Universiti Malaya mewujudkan ‘Gazebo’ di Kompleks Perdana Siswa(KPS) .Bukannya murah kos pembinaan gazebo ini dan sebarang pembaziran perlu dielak apatah lagi ia melibatkan penggunaan wang rakyat.

Amat malang sekiranya kewujudan Gazebo di KPS yangtersergam indah ini tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya dalam usaha melahirkan mahasiswa yang benar-benar menjiwai makna mahasiswa seterusnya mampu menyumbang kepada agama,bangsa dan tanah air.

Jika dilihat sebelum ini Gazebo di KPS seringkali meriah sebagai pentas utama penganjuran program-program berbentuk hiburan semata-mata tetapi agak lesu dengan program-program yang dapat memperkasakan budaya ilmu dan tradisi keintelektualan mahasiswa.
Di universiti-universiti ternama dunia seperti di Universiti Oxford,Universiti Harvard,Universiti Cambridge dan sebagainya juga mempunyai kawasan terbuka seperti gazebo ini tetapi apa yang menariknya ia dijadikan pentas utama untuk mahasiswa berhimpun,bersuara dan berkarya atau dengan kata lain ia menjadi milik mahasiswa dan mahasiswa bebas untuk memanfaatkannya dengan sebaik mungkin dalam mengasah bakat, mengilap potensi dan mencabar pemikiran mereka agar menjiwai makna mahasiswa yang hakiki.

Kedudukan gazebo di KPS yang dikira agak strategik bahkan menjadi kawasan lalu lalang mahasiswa Universiti Malaya sewajarnya diambil kesempatan oleh aktivis-aktivis mahasiswa untuk mengadakan program-program terbuka seperti pidato umum,debat,forum ,wacana,bedah buku ,deklamasi puisi dan lain-lain program yang diisi sepenuhnya oleh mahasiswa untuk mahasiswa.

Cuma yang menjadi persoalannya apakah pihak pentadbiran Universiti Malaya bersedia memberi ruang kepada mahasiswa untuk memanfaatkan gazebo di KPS ini sebebas-bebasnya tanpa sebarang gangguan (dengan pemantauan sahaja)?

Kalau benar pihak pentadbiran Universiti Malaya mahu menekankan aspek komunikasi,ketrampilan,pembinaan syahsiah dan lain –lain kepada mahasiswa seperti mana yang sering dilaung-laung dan digembar-gemburkan oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya,maka tiada jawapan lain yang perlu dijawab oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya kepada mahasiswa keseluruhannya melainkan membenarkan mahasiswa menghidupkan dan merancakkan gazebo di KPS ini dengan program-program yang menjunjung tinggi budaya ilmu dan tradisi keintelektualan mahasiswa!!!

Friday, April 11, 2008

Forum Hebat Mahasiswa Menggugat!!!




9 April-Hari ini saya hadir ke Forum:Rasulullah:Tokoh Penyatuan Ummah bertempat di Dewan Angsana Akademi Pengajian Melayu yang menampilkan wakil 2 persatuan mahasiswa yang berpengaruh di UM iaitu Majlis Perwakilan Mahasiswa UM(MPMUM tak ada website ke?) – yang diwakili oleh Afandy Sutrisno Tanjung (YDP MPMUM-tak ada blog ke?) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM-www.pmium.org-ada website tapi tak aktif ?)yang diwakili oleh sahabat sejabatan saya saudara Haafizuddin Abirerah (YDP PMIUM)-blognya(http://mhaafizuddin.blogspot.com/ )

Sebelum forum tersebut saya telah melayari website Berita Harian dan terkejut dengan satu artikel berita mutakhir- ‘Majlis Perwakilan Mahasiswa UM desak YDP letak jawatan ekoran isu perkauman’’

(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20080409162014/Article/index_html)

Ini menarik minat saya untuk hadir ke forum ini kerana menjangkakan ’isu panas’ ini pasti dibincangkan secara meluas pada forum yang dianjurkan oleh MPMUM kali ini(setelah sekian lama akhirnya dianjurkan juga program ilmu sebegini ya…dah lama dah(dengan nada Tun Dr.M) mahasiswa tunggu!!!)

Duduk bersila atas tikar(digunakan untuk solat hajat sempena peperiksaan) dan dengan kehadiran yang tidak memuaskan para pencinta ilmu,pusingan pertama forum bermula dengan masing-masing menyentuh topic berkenaan perjuangan Rasulullah.

Forum saya kira mula hangat sebaik sahaja YDP MPMUM membangkitkan isu artikel yang berbau perkauman yang didakwa ditulis oleh beliau dan juga berkenaan isu desakan untuk beliau meletakkan jawatan yang tersebar dalam laman berita harian online(macam desakan untuk PM letak jawatan pula).

Tanpa diduga ,seorang siswi yang saya kira cukup berani mencelah memujuk beberapa kali agar diberi peluang untuk bertanyakan soalan dan meminta penjelasan berkenaan beberapa isu sekitar kampus UM.Forum selepas itu mula hangat(dan berasap!!)apabila beberapa orang mahasiswa tiba-tiba bangun berdiri mengajukan beberapa soalan bertubi-tubi (umpama peluru),teguran dan kritikan yang lantang sarat emosi dan juga pendapat(penuh fakta dan bernas) tanpa menggunakan mikrofon yang disediakan.

Sepanjang forum ini pelbagai isu dibangkitkan antara nya isu kewajaran demonstrasi (isu Fitna dan lain-lain),pencerobohan dan pengkhianatan terhadap surau kolej 2, PTPTN,AUKU,fungsi , peranan dan keberkesanan MPMUM,pilihanraya kampus dan sebagainya.

Kebanyakan soalan ditujukan kepada YDP MPMUM dan beliau berkali-kali diminta menjelaskan pendirian beliau dan MPMUM terhadap beberapa isu seperti pencerobohan surau kolej 2,caj PTPTN,pindaan AUKU dan sebagainya.Forum malam in yang pada asalnya bertajuk Rasulullah:Tok

oh penyatuan ummat telah bertukar menjadi dialog (dan debat)bersama YDP MPMUM.

Saya pada mulanya rasa kurang senang dengan sikap beberapa orang mahasiswa yang mencelah mengajukan soalan sebelum sesi soal-jawab dibenarkan oleh moderator.(kalau iya pun mau bertanyakan soalan atau kritikan dan sebagainya , tunggulah sehingga sesi soal jawab bukannya mencelah memotong percakapan ahli panel..kan kurang beradab begitu!!!-demikianlah kata hati saya)

Satu lagi yang saya kurang senang ialah celaan terhadap peribadi dan batang tubuh YDP MPMUM yang saya kira cukup memalukan beliau di khalayak ramai(cuba kita berada di tempat beliau,apa perasaan kita agaknya?).

Soal adab (yang banyak ditekankan oleh sarjana dan cendekiawan Islam seperti Syed Mohamad Naquib Al-Attas) inilah jika tidak diambilberat oleh aktivis gerakan mahasiswa Islam hanyalah akan memalukan ,mengaibkan dan akan mencalitkan kotoran najis kepada gerakan mahasiswa Islam.

Namun begitu saya cukup kagum dengan keberanian mahasiswa-mahasiswa yang bangkit mengajukan soalan (soalan yang memaparkan keprihatinan dan kesedaran mahasiswa),memberikan teguran dan kritikan membina (yang perlu diberi perhatian oleh sesiapa yang dikritik) dan ini menjadi bukti masih ada mahasiswa yang tidak rela menjadi pengampu,pembodek,boneka,pak angguk,biduk catur (dan anjing!! serta beruk!!!) dan mahasiswa yang berfikiran kritis (dan kreatif) yang lantang bersuara tanpa gentar dan takut inilah yang sepatutnya diangkat memimpin mahasiswa di kampus.

Mahasiswa memerlukan pimpinan yang berani bersuara dan berbeza pendapat demi memperjuangkan kebajikan mahasiswa keseluruhannya .Pemimpin yang diangkat itu pula perlu sentiasa bersedia mendengar sebarang kritikan,cadangan,dan pandangan dari mahasiswa dengan hati yang terbuka.Pemimpin mahasiswa juga perlu istiqamah dalam memperjuangkan budaya ilmu dan bukannya asyik dengan program berbentuk hiburan ,budaya dan sukan semata-mata.

Semoga forum sebegini menjadi permulaan buat kebangkitan mahasiswa selepas kebangkitan rakyat Malaysia (tsunami politik) dalam pilihanraya umum 2008 baru-baru ini.Saya mengharapkan pihak MPMUM tidak serik untuk menganjurkan program sebegini dan kalau boleh diadakan besar-besaran di DTC sebagai bukti menyokong kebangkitan mahasiswa.(HEP ,sila bagi ‘lampu hijau’!)

Saya percaya kebangkitan mahasiswa hanya akan berlaku sekiranya mahasiswa itu punya kesedaran dan kesedaran itu pasti akan terbit melalui usaha memperkasakan pemikiran ,keintelektualan dan idealisma mahasiswa melalui pengamalan budaya ilmu!!!

650 petang

Kolej Kediaman Ungku Aziz

11 April 2008

Sunday, September 09, 2007

Pilihanraya kampus







Semoga pilihanraya kampus di UM dan di IPT-IPT lain bersih dan ADIL!!!

Semoga pemimpin yang bakal menerajui kampus bukan pemimpin palsu!!!


Semoga mahasiswa memilih pemimpin yang berilmu!!!


Jagalah Hati!!!


Jagalah adab!!!


menang ALHAMDULILLAH kalah BERMARUAH!!!

"Golongan Islam tidak punyai pilihan selain dari meneruskan perjuangan suci ini.Untuk bersikap kelu membisu di tengah-tengah kepincangan bererti mengkhianati perjuangan dan melarikan diri dari tugas!!!"-ANWAR IBRAHIM


Jumlah pengunjung

web statistics