Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Wednesday, April 01, 2009

Kembara di Singapura

Tajuk Kertas Projek

Pengajian tafsir di Madrasah al-Juneid al-Islamiah Singapura.

Demikianlah tajuk kertas projek saya yang perlu disiapkan seberapa segera .
Tatkala sahabat-sahabat lain sedang sibuk menyiapkan dan menaip beberapa bab daripada kertas projek mereka,saya masih mencari-cari bahan untuk kertas projek tersebut apatah lagi dengan kelewatan menyiapkan proposal bahkan hanya mendapat kepastian tajuk sebenar setelah beberapa bulan semester ini berjalan.

Tajuk asal kertas projek saya ialah Pengajian Tafsir di Singapura yang kelihatan seperti tajuk peringkat Master dan kemudiaannya setelah berbincang semula dengan penyelia kertas projek akhirnya dikecilkan skop kajian dengan memilih salah sebuah madrasah di Singapura dan saya memilih Madrasah Al-Juneid Al-Islamiah sebagai fokus kajian.

Sebelum ke Singapura

Saya bertekad untuk ke Singapura seorang diri membuat kajian lapangan di Madrasah Al-Juneid setelah gagal menjumpai bahan-bahan penting di sekitar Malaysia memandangkan masa semakin suntuk untuk saya menyiapkan kertas projek .
Tatkala sahabat-sahabat yang lain sudah menyiapkan bab 3 hingga bab 4 ,saya masih belum menyiapkan walaupun Bab 1.

Setelah membuat penyelidikan tentang Madrasah Al-Juneid dan hal ehwal Singapura melalui bacaan di internet(terima kasih Pak Cik Yahoo ,Makcik Google,Ustaz Wikipedia dan sanak saudara mereka...),mengutus email tentang surat makluman kajian dan proposal kertas projek kepada pihak madrasah , serta mengirim SMS kepada seorang sahabat di Singapura ,akhirnya saya bertekad menaiki bas di hentian Bas Pudu untuk ke Singapura seorang diri.

Ketika ingin membuat tinjauan harga tiket ke Singapura,saya ke kaunter tiket bas ke Singapura berdekatan Stesyen Keretapi Kuala Lumpur dan harga tiketnya ialah RM 88 dan kemudiaannya saya terus ke kaunter bas di Pudu dan mendapati tiket bas ke Singapura hanyalah RM 39 sahaja.
Saya menaiki bas Greenland Express daripada Hentian Pudu jam 10 malam dan tiba di Golden Mile Complex di Singapura sekitar jam 3 pagi.

Daripada Masjid Sultan ke Madrasah Al-Juneid

Selepas solat subuh di Masjid Sultan,saya berehat sebentar dan kemudiaannya mandi pagi di sana.
Masjid Sultan bagi saya memang ‘mesra musafir ‘dengan membenarkan para musafir tidur di sekitar kawasan masjid,menyediakan kelengkapan bilik mandi yang bersih dan percuma.

Saya melihat beberapa senarai aktiviti yang dijalankan oleh pihak Masjid Sultan dan seperti yang sedia maklum,masjid-masjid di Singapura cukup aktif dengan pelbagai program yang kreatif serta pengurusannya yang professional.

Sepanjang perjalanan ke Singapura ini saya tidak membawa pun 2 benda penting bagi seorang penggembara iaitu Kamera dan Peta.

Saya juga tidak tahu di mana Victoria Street tempat terletaknya Madrasah Al-Juneid memandangkan saya hanya mengambil alamat madrasah tersebut melalui internet dan hanya melihat sepintas lalu peta Singapura dalam internet.

Jadi saya menggambil keputusan untuk berdikari mencarinya sendiri dengan berjalan kaki sekitar Bandar Singapura dengan hanya berpandukan papan tanda.
Malu bertanya sesat jalan.

Tatkala hampir sampai di Victoria Street,saya melihat sekumpulan pelajar wanita Islam bertudung labuh menuruni bas dan berjalan menuju ke destinasi mereka.Lantas saya bertanya kepada salah seorang daripada mereka apakah mereka itu pelajar madrasah dan kebetulan mereka merupakan pelajar madrasah tertua di Singapura iaitu Madrasah As Saggoff (untuk pelajar perempuan sahaja)yang sempat saya selidiki tentang maklumat madrasah ini hasil pembacaan melalui laman-laman web.

Saya bertanya kepada mereka di mana Madrasah Al-Junied dan mereka memberi panduan jalan ke Madrasah Al-Juneid yang sebenarnya tidak jauh daripada tempat saya bertemu dengan mereka tersebut.

Saya tidak terus ke Madrasah Al-Juneid sebaliknya sengaja mencari Madrasah As Saggof apatah lagi ia merupakan madrasah yang tertua di Singapura yang dibina pada tahun 1912.

Setelah menjumpai Madrasah As Saggof ,saya melintasi pula Malay Heritage Centre atau Istana Kampung Gelam tetapi ketika itu ia masih belum dibuka untuk lawatan.
Lantas saya berjalan kaki terus menuju ke Madrasah Al-Juneid dan sebaik sahaja melihat bangunan Madrasah Al-Juneid,sedikit kelegaan dan gembira hati saya sambil bermonolog seorang diri;’permulaan yang terbaik.’

Urusan di Madrasah Al-Juneid

Tibanya saya di Madrasah al-Juneid terus saya ke kaunter pertanyaan di tingkat bawah madrasah.Sungguh Indah reka bentuk dan lanskap madrasah al junied ini .
Saya memperkenalkan diri kepada kerani yang menjaga kaunter tersebut dan menceritakan serba sedikit tentang kajian yang akan saya lakukan nanti.
Setelah menunggu sebentar,saya di bawa terus ke pejabat naib mudir madrasah dan disana saya menemubual naib mudir madrasah berkenaan latar belakang dan pengajian tafsir di madrasah ini.

Rupa-rupanya beliau sudah dimaklumkan tentang perancangan kajian saya melalui email proposal kajian yang saya hantar ke alamat email madrasah ini.Dan sebenarnya juga saya dimaklumkan oleh seorang ustazah yang turut bersama saya dan naib mudir bahawa beliau sebenarnya ada menghantar email balasan kepada saya meminta maklumat lanjut dan tarikh kehadiran saya di Madrasah Al Juneid ini.
Kesilapan saya apabila tidak membaca email balasan tersebut sebaliknya terus datang mengejut ke madrasah ini.

Banyak maklumat yang saya perlukan saya dapatkan melalui temubual dengan naib mudir madrasah ini dan kemudiaannya pula saya menambahkan maklumat kajian dengan menemubual pula seorang ustaz daripada Indonesia yang mengajar tafsir di madrasah ini yang turut bersama-sama saya di bilik pejabat naib mudir madrasah.
Naib mudir madrasah menghadiahkan saya sebuah buku rujukan tentang Madrasah Al-Juneid manakala ustaz yang mengajar tafsir tadi pula membantu saya photostat muka hadapan beberapa buah buku rujukan berkenaan tafsir yang digunapakai di madrasah ini.
Alhamdulillah urusan saya di Madrasah Al-Juneid ini dipermudahkan Allah.
Saya melangkah keluar daripada pintu masuk madrasah ini dengan penuh harapan dapat kembali lagi ke madrasah ini.

Terserempak Surya di Singapura

Saya mengenali Surya tatkala hadir ke program Bedah Buku Ketika Cinta Bertasbih bersama Habiburahman El-Shirazi (kerjasama PBMUM-PPI-PMIUM-PMAPIUM) di IPS,UM yang lalu.

Selepas solat jumaat di Masjid Sultan tanpa disangka-sangka saya terserempak dengan Surya kembali.Turut bersamanya ialah Hj Sulaiman,ayahnya.
Saya hanya memaklumkan kehadiran ke Singapura melalui SMS kepada Musab kawan baik Surya yang turut hadir dalam bedah buku dahulu namun tidak memaklumkan kepada Surya kerana menyangka beliau menetap di Indonesia.

Sebaik sahaja bertemu,kami makan tengahari bersama di sebuah restoran Indonesia berdekatan Masjid Sultan.(Surya belanja).
Kami bersembang pelbagai topik sambil menjamu makan tengahari.

Di Wardah Book Store

Kedai buku ini terletak berdekatan sahaja dengan Masjid Sultan.Kami singgah di kedai buku ini memandangkan Surya ingin bertemu dengan sahabatnya yang menjaga kedai buku ini .
Agak lama kami singgah di kedai buku yang menjual pelbagai buku-buku menarik terutamanya buku-buku tentang Islam dari United Kingdom dan disini jugalah saya memasang telinga mendengar Surya dan sahabatnya itu berdiskusi dan berdebat pelbagai topik ilmiah.

Saya dan ayah Surya hanya mendengar sahaja diskusi tersebut sambil berehat di sofa kedai buku ini.
Ayah Surya juga sempat mengulas proposal kajian saya dan mengkrittik serta memberikan pelbagai cadangan kepada saya bagi menambahbaik dan memantapkan lagi kajian saya nanti.

Ayah Surya yang juga merupakan seorang Ketua Program Studi Pendidikan di Universiti Muhammadiyah di Sumatera Utara ,Indonesia mengadu kepada saya betapa bimbangnya beliau dengan Surya yang terlampau suka dan kuat membaca,berdiskusi dan berdebat bahkan beliau meminta pandangan saya bagaimana boleh membantu Surya menghentikan minat dan ketagihan membaca terlampau ini!!!

Bapa Surya meminta saya cuba berdiskusi dan berdebat dengan Surya sebentar dan akhirnya Surya berhenti berdiskusi dengan sahabatnya tadi dan kini berdiskusi dengan saya pula atas permintaan ayahnya.

Ayahnya meminta saya berdiskusi dengan beliau agar saya melihat sikap dan perwatakan beliau tatkala berdiskusi dan memastikan adakah Surya ini sukar mendengar pandangan orang lain atau tidak.

Diskusi bersama Surya

Pada mulanya saya tidak tahu hendak berdiskusi tentang topik apa dan kemudiannya mata saya terpandang kepada sebuah buku berkenaan Badiuzaman Said Nursi di atas rak buku Wardah Book Store ini lantas saya meminta pandangan Surya tentang Badiuzaman Said Nursi.

Jawapan dan kupasan Surya cukup menarik dan beliau bukan sahaja memperkatakan tentang Said Nursi semata-mata malah mengaitkan pendekatan Said Nursi dalam politik dan pendidikan@mendidik ummat dengan pendekatan Al-Ghazali ,Syed Mohamad Naquib Al-Attas dan Fethullah Gulen.

Banyak maklumat baru yang saya peroleh daripada diskusi bersama Surya dan Surya yang kuat membaca buku-buku dalam Bahasa Inggeris memberitahu saya beliau dalam perancangan mahu mendalami dan menguasai Bahasa Arab pula.

Hari Pertama di Perpustakaan Nasional Singapura

Surya membawa saya dan ayahnya ke Perpustakaan Nasional Singapura yang terletak agak strategik di tengah kota Singapura.
Di perpustakaan inilah menurut ayah Surya tempat Surya selalu lepak bergelumang dengan buku-buku .
Bagi saya inilah perpustakaan yang terbaik ,tercanggih dan terbesar yang pernah saya jejakkan kaki ke dalamnya.

Sebelum ini perpustakaan terbaik yang masuk dalam senarai pilihan saya antaranya ialah Pusat pembelajaran kejiran@PPK di Presint 8 Putrajaya,Perpustakaan Az Zahra’ di Kubang Kerian ,Kelantan,perpustakaan UM Nilam Puri,Perpustakaan API UMKL,Perpustakaan Utama UMKL,Perpustakaan Pusat Islam,Perpustakaan UIAM ,Perpustakaan Negara dan lain-lain lagi.
Bangunan Perpustakaan Nasional Singapura ini tingginya lebih daripada 11 tingkat(Saya lepak di tingkat 11 manakala Surya di tingkat 7)
Memang mata saya terbeliak melihat pelbagai buku menarik yang saya jumpa di atas rak-rak buku perpustakaan ini.

Kalaulah bukan saya ingin fokus mencari bahan-bahan tentang kajian tafsir di Madrasah Al-Juneid pasti saya akan ‘berkampung’ dan ‘bermalam’ di perpustakaan ini untuk membaca buku-buku pilihan.
Banyak bahan maklumat tentang kajian yang ingin saya lakukan ditemui di perpustakaan ini.

Hari sudah lewat petang menghampiri waktu maghrib.Saya,Surya dan Ayahnya masih di perpustakaan.
Sebenarnya saya bercadang ingin pulang ke Kuala Lumpur malam ini juga tetapi menyedari betapa banyaknya maklumat tentang kajian yang saya perolehi di perpustakaan ini dan masih banyak yang belum diambil catatannya,jadi saya membatalkan hasrat ingin pulang malam ini atau kata lain,tambah satu hari lagi Singapura!!!

Berjumpa Mus’ab di kedai pakaiannya di Temporary Market

Sebaik sahaja keluar daripada perpustakaan,saya dan ayah Surya menaiki bas menuju ke Temporary Market untuk berjumpa dengan sahabat saya,Mus’ab.
Surya tidak mengikuti kami kerana mahu menyelesaikan bacaan dan penyelidikannya di perpustakaan tadi.

Menurut ayah Surya,Surya sanggup tidak makan nasi hanya demi membaca buku!!
Akhirnya,saya berjumpa juga dengan Mus’ab yang sedang berkerja menjaga kedai kainya.Mus’ab membantu keluarganya menjual pakaian-pakaian seperti jubah dan tudung wanita dari negara Arab,kain batik dan lain-lain pakaian lagi.
Setelah menutup kedainya ,kami singgah solat maghrib di surau Darul Arqam Singapura yang pernah saya kunjungi tatkala kali pertama ke Singapura menziarahi sahabat FMSA dan NUSMS bersama-sama rombongan PKPIM dahulu.

Mus’ab mempelawa saya bermalam di rumahnya apabila mengetahui saya menangguhkan hasrat ingin pulang pada malam itu manakala ayah Surya ingin pulang ke rumahnya.
Saya meninggalkan ayah Surya dengan penuh kesedihan memandangkan beliau sudi menemani saya berjalan-jalan sekitar Singapura ini semenjak kami bertemu selepas solat Jumaat sehinggalah hampir maghrib.
Banyak ilmu dan pengalaman hidup yang sempat beliau curahkan pada saya sepanjang pertemuan sebentar kami ini.

Di Rumah Mus’ab di Pasir Ris

Dalam perjalanan ke rumah Mus’ab,Mus’ab berhenti di sebuah kedai di tepi jalan dan membelanja saya makan buah durian beberapa biji.


Kemudiannya kami menaiki MRT dan bas terus ke rumah Mus’ab.
Di rumah Mus’ab saya bersembang panjang dengan ayahnya sebelum tidur tentang beberapa isu dan malam itu saya tidur nyenyak keletihan dalam kembara seharian.
Keesokan paginya,emak Mus’ab menghidangkan sarapan pagi kepada saya dan sarapan pagi tersebut cukup saya gemari iaitu roti dengan telur,mentega dan madu serta air teh arab.

Emak Mus’ab turut memberi saya seutas tasbih yang cantik untuk dihadiahkan kepada emak saya dan katanya sebagai tanda saya selamat sepanjang tinggal semalaman di rumahnya.

Dari rumah Mus’ab,saya dan Mus’ab menaiki bas dan kemudiaanya MRT dan di perhentian MRT kami berpisah dengan Mus’ab turun ke perhentian berdekatan kedai pakaiannya manakala saya meneruskan perjalanan ke perhentian yang paling hampir dengan Perpustakaan Nasional Singapura.

Saya berterima kasih kepada Mus’ab sepanjang bantuannya tatkala saya di Singapura dan kami berjanji akan bertemu lagi suatu masa nanti.
Terasa sedih berpisah dengan sahabat saya ini.

Inilah nilai persahabatan.

Kami hanya baru berkenalan satu hari sahaja tatkala hadir ke program Bedah Buku di UM.

Tatkala Mus’ab di UM,saya membantu beliau beberapa urusan dan tatkala saya di Singapura pula Mus’ab membantu saya pula.
Allah jua yang paling banyak membantu kami.

Hari Kedua di Perpustakaan Nasional Singapura

Perpustakaan Nasional Singapura buka sekitar 10 pagi dan saya tiba di sana sekitar 12 tengahari.
Dari pukul 12 tengahari itulah sehingga hampir masuk solat Maghrib,saya bergelumang dengan buku-buku di perpustakaan ini.

Pada mulanya saya cuba menyiapkan beberapa catatan penting tentang tajuk kajian saya dan kemudiaannya saya memilih dan membaca pula buku-buku pilihan yang saya temui di beberapa tingkat rak buku perpustakaan yang cukup besar dan canggih ini.
Sekali sekala saya keluar berehat berjalan-jalan di luar perpustakaan dan selepas itu menyambung kembali tugasan di dalam perpustakaan.

Saya cukup berpuas hati dengan suasana budaya ilmu di perpustakaan ini dan berjanji akan mewajibkan diri hadir ke perpustakaan ini sekali lagi jika berkunjung ke Singapura pada masa akan datang.

Pulang ke Kuala Lumpur

Dari Singapura ,saya menaiki bas ke Johor Bharu.Pada mulanya saya ingin pulang terus ke Kuala Lumpur dari Singapura tetapi mujur Mus’ab, Surya, dan ayahnya memaklumkan kepada saya bahawa kos tambang lebih jimat jika ke Johor Bharu@Larkin terlebih dahulu memandangkan kita tidak perlu membayar menggunakan wang dollar Singapura.Jika dari Singapura terus ke Kuala Lumpur,harga tiket lebih mahal kerana bayaran menggunakan Dolar Singapura.

Saya tiba di Johor Bharu sekitar pukul 10.30 malam dan terus menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 11 malam dan akhirnya tiba dengan selamat di hentian Pudu pada sekitar pukul 4 pagi.

Kembara 2 hari di Singapura cukup memenatkan tapi penuh nikmat.Semoga ia menambahkan ilmu dan pengalaman hidup buat saya.Jalan-jalan ....Cari Tuhan........

Tuesday, March 31, 2009

Ucapan Dasar sempena Mesyuarat Agung PBMUM

Ucapan Dasar Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya(PBMUM)
Sesi 2008/2009


Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya(PBMUM)


Pendahuluan

Dengan Nama Allah Tuhan yang maha Pengasih lagi maha penyayang

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan yang mengizinkan kita pada pagi ini untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PBMUM.Mewakili barisan kepimpinan PBMUM sesi 2008/2009,saya mengalu-alukan kehadiran hadirin sekalian.Sesungguhnya kehadiran kita semua pada Mesyuarat Agung Tahunan ini menjadi bukti kepekaan kita terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu melalui wadah PBMUM ini.

Mesyuarat Agung Tahunan ini diharapkan menjadi medan kita untuk muhasabah menilai kembali perjalanan PBMUM sepanjang sesi semester yang lepas demi memantapkan lagi perjuangan PBMUM pada masa –masa akan datang.

Memahami Sejarah PBMUM Masa Lalu

Sahabat-sahabat sekalian

Orang yang tidak tahu ataupun yang melupakan sejarah umpama anak pungut yang tidak diketahui akan nasabnya.mereka yang melupakan sejarah pasti akan dihukum dan didera dengan kesilapan sejarah yang lalu.

Maka atas dasar itulah maka ahli PBMUM kini jangan sesekali melupakan sejarah PBMUM semenjak awal penubuhannya dan menjadi kewajipan kepada kita untuk sentiasa mengenang jasa pejuang-pejuang bahasa Melayu yang lahir daripada rahim PBMUM.

Kita akan meneruskan kesinambungan perjuangan mereka bahkan menjadi mata-mata rantai yang akan terus istiqamah dalam perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu di kampus UM,di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Oleh kerana itu kita perlulah memahami asas penubuhan PBMUM ini dengan sebaik mungkin.Ahli-ahli PBMUM perlu memahami sejarah perjuangan PBMUM ini dan ini bukan bermakna kita sekadar bernostalgia sema ta-mata tanpa cuba sedaya upaya untuk mencipta sejarah yang tersendiri.


Realiti PBMUM Masa Kini


Sesi 2008/2009 menyaksikan pimpinan PBMUM cuba sedaya upaya untuk mengatur program yang berasaskan misi dan bukannya berasaskan program semata-mata.

Bermula dengan kelompok kecil pimpinan yang komited terhadap perjuangan BM,PBMUM cuba bangkit mengorak langkah memperkasakan PBMUM mengikut kadar kemampuan.

Beberapa program sempat diatur demi mencapai beberapa sasaran penting seperti menambah kuantiti dan kualiti ahli , membina rangkaian jaringan, penghayatan budaya ilmu dan keintelektualan, dan kepekaan terhadap isu-isu semasa dengan fokus utama isu dan soal Bahasa Melayu.

Menambah kuantiti dan kualiti ahli

Melalui Minggu PROMO,PBMUM telah menambah bilangan ahli –ahli baru daripada pelbagai fakulti namun demikian masih ramai yang hanya sekadar mendaftar sebagai ahli sahaja tetapi tidak memberi komitmen menyeluruh terhadap program persatuan.

Tindakan susulan yang lebih sistematik perlu dimantapkan demi memastikan ahli-ahli PBMUM yang mendaftar terus komited untuk bersama-sama dengan PBMUM di samping meningkatkan lagi kualiti program yang dianjurkan.

Di samping itu juga PBMUM telah berjaya menganjurkan bengkel pidato untuk menambahkan kemahiran dan meningkatkan kualiti ahli PBMUM dan bengkel pidato ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kualiti ahli perlulah dimantapkan lagi dengan mengadakan program-program kemahiran dan menggilap segala potensi yang dimiliki oleh ahli-ahli PBMUM.

Membina rangkaian jaringan


PBMUM juga telah berusaha untuk meluaskan jaringan dan kerjasama dengan persatuan-persatuan lain seperti menganjurkan Bedah Buku bersama Habiburahman El-Shirazy;program kerjasama dengan Persatuan Pelajar Indonesia(PPI),Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM),dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya(PMAPIUM),Bengkel Pidato ;kerjasama dengan Kelab Pengucapan Awam(KESPA) Institut Perguruan Bahasa Melayu(IPBM), dan juga menjadi ahli gabungan Gerakan Mansuhkan PPSMI(GMP).

PBMUM perlulah meluaskan lagi rangkaian jaringan dengan persatuan Bahasa Melayu di universiti-universiti lain,Dewan Bahasa dan Pustaka,agensi-agensi kerajaan ,NGO,kementerian dan lain-lain lagi .

Penghayatan Budaya ilmu dan keintelektualan


PBMUM juga telah menjalankan bedah buku secara mingguan dengan mengupas pelbagai buku meliputi pelbagai cabang ilmu pengetahuan seperti buku berkisar sejarah PBMUM,buku berkenaan isu Bahasa Melayu,novel ,buku agama,dan lain-lain demi memastikan penghayatan budaya ilmu dan keintelektualan di kalangan ahli-ahli PBMUM.

Namun begitu program bedah buku ini perlu diperkasakan lagi dengan menarik lebih ramai mahasiswa terutama ahli-ahli PBMUM untuk menyertainya dengan meluaskan lagi iklan dan publisiti dan memastikan ia terbuka untuk semua mahasiswa yang berminat.

Kepekaan terhadap isu-isu semasa

PBMUM tidak ketinggalan untuk membicarakan isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling kita.

Atas nama persatuan mahasiswa yang bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana parti politik,PBMUM tetap membantah perlaksanaan dasar PPSMI dengan bergabung bersama pejuang-pejuang bahasa Melayu melalui Gerakan Mansuhkan PPSMI dan juga melalui Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu(SMSBM ) di peringkat kampus Universiti Malaya.

Beberapa kenyataan terhadap isu semasa terutamanya isu Bahasa Melayu telah dihantar dan disiarkan di dada akhbar-akhbar perdana.

PBMUM perlu lebih ke hadapan dalam memberikan respon terhadap pelbagai isu dan tidak terhad kepada isu Bahasa Melayu semata-mata .

Wawasan Masa Depan

Perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu masih relevan pada masa kini dan akan terus relevan pada masa akan datang.Perancangan secara sistematik dan tersusun rapi mengikut keutamaan perlu dirangka bagi meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya dan khasnya kepada warga Universiti Malaya terhadap kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu.

Perjuangan mengangkat martabat Bahasa Melayu pada masa akan datang lebih mencabar dan ini menuntut kita agar melipatgandakan usaha secara berterusan dan merancang pelbagai strategi yang lebih berkesan demi menarik lebih ramai mahasiswa Universiti Malaya agar mendokong perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu ini.


Beberapa cadangan dinyatakan di bawah demi memastikan kesinambungan perjuangan Bahasa Melayu dan menambahbaik Persatuan Bahasa Melayu Universti Malaya ini:-

1)Mendapatkan ahli-ahli daripada pelbagai fakulti,pelajar bukan Melayu, dan pelajar-pelajar asing.

2)Mengadakan program-program kemahiran seperti bengkel pidato,bengkel penulisan ,dan pelbagai bengkel kemahiran yang lain.

3) Mengukuhkan jaringan kerjasama dengan pelbagai persatuan.

4)Memperkasakan budaya menulis di kalangan ahli PBMUM

5)Mengaktifkan penerbitan risalah,majalah atau buku

6)Menambah dana kewangan PBMUM

7)Tidak mengabaikan isu-isu rakyat@masyrakat @hal ehwal dalam dan luar negara

Penutup

Sebagai mengakhiri ucapan dasar saya pada hari ini,saya mengajak saudara sekalian agar menanamkan tekad dan iltizam untuk meneruskan perjuangan mengangkat martabat Bahasa Melayu.

Saya yakin dan percaya tatkala kita memahami sejarah masa lalu,realiti masa kini dan memiliki wawasan masa depan,kita mampu mengembalikan kegemilangan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dengan mencipta sejarahnya yang tersendiri.

Ayuh bersama kita mengembeling tenaga bersama-sama menjayakan gerak kerja demi mengangkat martabat Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu bahasa perpaduan rakyat Malaysia.

Bahasa Melayu bahasa kita .

Hidup Bahasa Melayu!

Salam perjuangan mahasiswa.

Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad
Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)

Sesi 2008/2009

Monday, March 23, 2009

Pidato terhebat Bung Tomo


Antara pidato terhebat (di dunia?)yang pernah saya dengar ialah pidato yang disampaikan oleh Bung Tomo daripada Indonesia.

Untuk mengetahui siapa sebenarnya Bung Tomo ini,sila klik :-


http://en.wikipedia.org/wiki/Bung_Tomo



http://id.wikipedia.org/wiki/Sutomo

Untuk mendengar pidato hebat ini pula ,sila klik:-

http://www.youtube.com/watch?v=zm_XZWHhayA



http://www.youtube.com/watch?v=oYrD-svYK9I


Di bawah ini disertakan juga sedutan pidato Bung Tomo:-

''Saudara - saudara… kita pemuda-pemuda…rakyat Indonesia disuruh datang membawa senjata kita kepada Inggris dengan membawa bendera putih, tanda bahwa kita menyerah dan takluk kepada Inggris. Inilah jawaban kita, jawaban pemuda-pemuda…rakyat Indonesia: Hai Inggris, selama banteng-banteng, pemuda-pemuda Indonesia masih mempunyai darah merah yang dapat membuat secarik kain putih menjadi merah dan putih…selama itu kita tidak akan menyerah.



Teman-temanku seperjuangan… terutama pemuda-pemuda Indonesia, kita terus berjuang, kita usir kaum penjajah dari bumi kita Indonesia yang kita cintai ini…Sudah lama kita menderita, diperas, diinjak-injak. Sekarang adalah saatnya kita rebut kemerdekaan kita. Kita bersemboyan: KITA MERDEKA ATAU MATI. ALLAHU AKBAR…ALLAHU AKBAR…ALLAHU AKBAR…MERDEKA! ”


SELAMA BANTENG-BANTENG INDONESIA, MASIH MEMPUNYAI DARAH MERAH YANG DAPAT MEMBUAT SECARIK KAIN PUTIH MENJADI MERAH PUTIH, MAKA SELAMA ITU KITA TIDAK MENYERAH KEPADA SIAPAPUN"


Saudara-saudara rakyat Surabaya.Bersiaplah! Keadaan genting.Tetapi saya peringatkan sekali lagi.Jangan mulai menembak.Baru kalau kita ditembak.Maka kita akan ganti menyerang mereka itu.Kita tunjukkan bahwa kita itu adalah orang yang benar-benar ingin merdeka.Dan untuk kita saudara-saudara.Lebih baik kita hancur lebur daripada tidak merdeka.Semboyan kita tetap.Merdeka atau mati.



Dan kita yakin, Saudara-saudara.pada Akhirnya, pastilah kemenangan akan jatuh ke tangan kita.Sebab Allah selalu berada di pihak yang benar.Percayalah Saudara-saudara!Tuhan akan melindungi kita sekalian.Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!Merdeka!''

Thursday, March 19, 2009

Usrah 'The Guide For The Youth'

Saya menerima SPR(Sistem pesanan ringkas@SMS)daripada Mustafa,sahabat daripada Turki yang menuntut di Universiti Malaya.

Beliau ingin mengadakan usrah bersama saya membincangkan koleksi Risalah An Nur karya Badiuzaman Said Nursi.

Selepas solat Isya,kami bertemu dan mengadakan usrah dan kali ini Mustafa membawa bersamanya seorang kawan yang juga daripada Turki bernama Waqas ,pelajar PHD Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam ,UM.

Turut bersama kami ,Ibrahim pelajar Master di UM kelahiran Arab Saudi yang juga berketurunan Turki.

Mustafa membaca beberapa petikan daripada buku The Guide For The Youth dan kemudiannya menghuraikannya dan turut dijelaskan lagi oleh Waqas.

Saya hanya sekadar mendengar pembentangan tersebut dan sekali sekala bertanyakan soalan dan meminta penjelasan.

Waqas menghuraikan petikan yang dibaca oleh Mustafa dan kemudiannya mengaitkannya dengan beberapa contoh.

Beliau pernah tinggal di Jepun sebelum ini dan tatkala menghuraikan petikan buku The Guide For The Youth ini beliau membawa beberapa kisah pengalamannya tinggal di Jepun.

Beliau menceritakan bagaimana kehidupan kebanyakan orang Jepun yang tidak beragama dan nampak secara zahir bahagia tetapi pada hakikatnya tidak sedemikian .

Beliau pernah menyaksikan di tengah Bandar Tokyo bagaimana seorang rakyat Jepun membunuh 7 orang yang lalu lalng di tengah Bandar Tokyo dan apabila ditanya mengapa dia membunuh mereka maka dijawabnya kerana beliau tidak lagi bahagia hidup di dunia ini.

Begitu juga dengan kisah yangs sering kita dengar bagaimana ada rakyat Jepun yang mebunuh diri dengan terjun di atas landasan keretapi tatkala keretapi melaluinya.

Selain itu Waqas menceritakan bagaimana seorang ibu membuang dan melemparkan anaknya sendiri dari atas bangunan sehingga mati dengan begitu tragis.

Kesemuanya ini menurut Waqas ialah akibat kekecewaan dan ketidak bahagian dalam kehidupan mereka.

Oleh kerana itu kata Waqas, Badiuzaman Said Nursi meminta golongan muda Islam agar memahami erti kehidupan dan makna kebahagian yang hakiki.

Beliau menyarankan saya supaya terus membaca buku The Guide For The Youth ini dan kami insyallah akan meneruskan lagi siri perbincangan -usrah koleksi Risalah An Nur karya Badiuzaman Said Nursi.

Tuesday, March 17, 2009

Lagu Allahyarham Zubir Ali

Dalam kelas Asas Deklamasi Puisi,pensyarah meminta kami membuat persiapan perancangan untuk Hari Pesta Kokurikulum pada 9 April 2009 nanti.

Kami diminta mengadakan persembahan deklamasi puisi secara berkumpulan pada hari tersebut.

Yang mendaftar subjek Asas Deklamasi Puisi ini hanyalah seramai 12 orang sahaja dan hanya saya bersama seorang kawan daripada Akademi Pengajian Islam manakala yang lain kesemuanya daripada Pusat Kebudayaan.

Setelah berbincang panjang akhirnya kami membuat keputusan untuk mengadakan persembahan mengenang Allahyarham Zubir Ali ,komposer dan penyanyi lagu puisi yang telah meninggal dunia baru-baru ini.

Saya meminati lagu Doa nyanyian beliau bersama Harmoni yang mana lirik lagu tersebut diolah daripada puisi karya Chairil Anwar dari Indonesia.

Dibawah ini saya nukilkan puisi Doa tersebut:-


DOA-Chairil Anwar
Tuhanku
dalam termangu
aku masih menyebut namaMu

biar susah sungguh
mengingat Kau penuh seluruh

cayaMu panas suci
tinggal kerdip lilin di kelam sunyi

Tuhanku
aku hilang bentuk
remuk

Tuhanku
aku mengembara di negeri asing

Tuhanku
di pintuMu aku mngetuk
aku tidak bisa berpaling

Untuk mendengar nyanyian Doa oleh Allahyarham Zubir Ali dan Harmoni dalam Youtube klik pada-

http://www.youtube.com/watch?v=9MZkGEWc3eg&feature=related

Di bawah ini juga saya sertakan link 4 lagu nyanyian Allahyarham Zubir Ali yang diambil daripada Youtube:-

Balada Seorang Gadis Kecil-

Siapa Tak Pernah Menangis-

Sunday, March 15, 2009

Usrah bersama 'Nurju'

Hari ini sekali lagi saya berjumpa dengan Mustafa,sahabat yang baru saya kenali daripada Turki di Surau (Blok Pelajar Asing)Kolej 11.

Beliau membawa bersama nya sebuah buku siri tulisan Badiuzaman Said Nursi yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Anwar Fakhri Omar bertajuk Risalah kepada Pesakit.

Buku ini saya sudah selesai membacanya sebelum ini tatkala menjumpainya di surau kolej 12 UM.

Mustafa tidak memahami Bahasa Melayu tetapi beliau menyuruh saya membaca buku tersebut beberapa muka surat sambil beliau tekun mendengarnya dan kemudiannya beliau meminta saya menterjemah dan mengulasnya dalam Bahasa Inggeris!

Terkapai-kapai juga saya mengulas isi penting terhadap apa yang saya baca itu .
Setelah membaca ,menterjemah dan mengulas buku tersebut,Mustafa meminta saya agar terus memahami siri tulisan Badiuzaman Said Nursi ini lantas beliau menghadiahkan sebuah buku kecil Risalah kepada pesakit ini kepada saya.


Beliau berharap saya dapat mengaturkan satu diskusi bersama sahabat-sahabat lain di UM bagi mengulas idea dan pemikiran Badiuzaman Said Nursi.

Saya melihat di rak buku surau dan ternyata ada pertambahan buku tulisan Badiuzaman Said Nursi dalam Bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Ternyata sekali lagi Mustafa mewakafkan buku-buku tersebut demi menyebar luaskan idea dan pemikiran Baiduzaman Said Nursi di Malaysia.

Saturday, March 14, 2009

Budaya Cetak(Print Culture)

Naib Canselor UTM,Prof Dato. Dr.Ir. Zaini Ujang(bekas pimpinan PKPIM) tatkala menyampaikan ucapannya di pelancaran buku terbaru tulisannya,Mengangkasa Pengajian Tinggi di Kementerian Pengajian Tinggi ada menyatakan ;-


‘’Selain itu, penulisan buku ini adalah usaha untuk memanifestasikan tradisi ilmu yang sangat menekankan kepada budaya cetak (print culture). Memang budaya lisan (oral culture) penting khususnya dalam menyampaikan syarahan atau menjelaskan sesuatu konsep ilmu atau isu. Namun, kepentingan budaya cetak lebih mengakar dalam akademia dan dunia keilmuan sejak ribuan tahun lalu.Itulah faktor seseorang tokoh ilmu diasosiasikan dengan hasil penulisannya,khususnya sesuatu magnum opus.’’

Saya tertarik untuk mengulas sedikit berkenaan budaya cetak ini.

Pada pandangan saya,gerakan dakwah di kampus perlu memperkasakan budaya cetak ini dan ini pastinya menuntut keberaniaan untuk melabur wang ringgit untuk memastikan kejayaan budaya cetak tersebut.

Tulisan-tulisan ahli akademik ,pemikir,ulama dan tokoh-tokoh berwibawa perlu dicetak(print-photostat dan lain-lain) dan disebar luas di seluruh kampus.

Saya tidak tekankan disini gerakan dakwah di kampus perlu bergiat aktif untuk mencetak buku ,jurnal atau majalah (melainkan jika berkeupayaan)tetapi yang saya maksudkan ialah mencetak sebanyak mungkin risalah-risalah walaupun sehelai risalah yang mengandungi idea,pemikiran dan gagasan tokoh-tokoh berwibawa.

Risalah-risalah itu kemudiaannya perlu disebar luas misalnya di kelas-kelas tutorial,dewan-dewan kuliah ,surau ataupun bilik-bilik kolej kediaman.

Saya yakin bahawa melalui penerbitan dan penyebaran risalah-risalah yang berkualiti ini mampu membentuk pemikiran,’worldview’,fikrah dan menyuntik faham Islam kepada semua mahasiswa di kampus universiti.


Pemuda 21 tahun calon pilihanraya di Indonesia

Ketika melayari laman web Parti Bulan Bintang (PBB) Indonesia saya terbaca tentang kempen calon termuda mewakili PBB ,Amru Hasim Sayyidu Ismail yang baru sahaja berumur 21 Tahun!!!
Amru yang lahir di Jakarta 7 Julai 1987 adalah lulusan Teknik Perkapalan Universiti Indonesia (UI)

Mesyuarat Agung Tahunan PMIUM kali ke 49

Kesempatan menghadiri Mesyurat Agung Tahunan PMIUM hari ini cukup bermakna buat saya.



2 MAT yang sebelum ini(tahun 1-2) saya tidak dapat hadir memandangkan ada pertembungan program dan hal penting.




Kali ini saya tidak melepaskan peluang untuk menghadiri MAT PMIUM kali ke 49 ini walaupun sebenarnya saya bercadang untuk menghadiri seminar berkenaan PPSMI di KUIS...(..kos lepas....)




Dalam iklan MAT PMIUM ini(saya kurang selesa dengan iklan ‘bahasa rojak’-AGM PMIUM) dinyatakan menampilkan jemputan istimewa DS Anwar Ibrahim tetapi seperti yang sudah saya jangkakan awal-awal lagi ia terpaksa dibatalkan atas kekangan tertentu.

YB termuda di Malaysia(27 tahun),YB Nik Nazmi(PKR-Dun Seri Setia) hadir merasmikan MAT PMIUM ini walaupun kehadirannya dipantau oleh pegawai-pegawai keselamatan-SB(menurut seorang sahabat saya YB Nik Nazmi datang ke UM dengan menaiki motor...)



‘’Sukar dibayangkan UM tanpa PMIUM’’....


Itu yang pernah saya katakan kepada seorang sahabat saya.



Membaca sejarah perjuangan PMIUM memang membuatkan saya terpanggil untuk mendokong perjuangan gerakan mahasiswa Islam di kampus UM ini walaupun sebenarnya saya lebih aktif dalam PBMUM dan juga PKPIM yang suatu ketika dahulu menyaksikan PMIUM bernaung dibawahnya sebagai badan gabungan .



PMIUM-PBMUM-PKPIM...


Ketiga-tiga persatuan ini saya sertai sebagai ahli barangkali didorong oleh bacaan terhadap sejarah dan nostlalgia perjuangan persatuan-persatuan ini tatkala ‘beruzlah ‘bergelumang dengan buku-buku di perpustakaan Akademi Pengajian Islam di Nilam Puri,Kelantan.


Saya juga agak berminat untuk mengkaji pemikiran pengasas PMIUM,Syed Mohamad Naquib Al-Attas.



Saya juga cuba sedaya upaya untuk menghadiri setiap program anjuran PMIUM semenjak menjejakkan kaki ke kampus UM Kuala Lumpur ini seperti siri –siri kuliah ilmu,sambutan sempena peristiwa besar Islam,latihan kepimpinan dan lain-lain lagi.



Pernah juga suatu ketika saya aktif berdiskusi secara maya dalam forum kelolaan laman web PMIUM.



Kegigihan para pimpinan PMIUM dan para pendokongnya yang setia dalam menggerakkan usaha dakwah dan pemerataan faham Islam di kampus UM cukup saya kagumi dan juga terhutang budi atas tarbiyah secara langsung mahupun secara tidak langsung yang saya perolehi sepanjang bersama PMIUM.



Kepada sahabat-sahabat pimpinan PMIUM sesi 2008/2009 yang baru ‘dimantankan’,saya ucapkan terima kasih atas segala amanah dan tanggungjawab yang anda tunaikan.



Semoga redha Allah bersamamu dan teruskan perjuangan-istiqamah dalam pejuangan .



Kepada pimpinan baru PMIUM sesi 2009/2010,anggaplah jawatan yang dikurniakan itu sebagai satu amanah dan bukannya tuah.



Tiada perjuangan tanpa pengorbanan.....



Hidup ISLAM......

Thursday, March 12, 2009

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu-Himpunan 7 Mac membantah PPSMI-Perarakan Maulidur Rasul JAKIM

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu

Saya sempat menghadiri separuh akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu yang diadakan di Auditorium KPS,UM.

Peserta pertandingan ini terdiri daripada pelbagai negara seperti Belanda,Amerika,Poland,Russia,China dan lain-lain lagi.

Kebanyakan mereka fasih bertutur dalam Bahasa Melayu baku.

Saya sempat bersembang dengan beberapa orang peserta dan bertanyakan kepada mereka berapa lama tempoh mereka mempelajari Bahasa Melayu dan kebanyakan mereka menjawab sekitar 1- 2 tahun sahaja.

Pengantarabangsaan Bahasa Melayu mungkin akan berjaya namun bagaimana pula nasib Bahasa Melayu di bumi Malaysia?

Himpunan 7 Mac membantah PPSMI

Dari Kajang saya menaiki bas ke Masjid Jamek dan kemudiaannya berjalan kaki melalui terowong ke Masjid Negara.

Tatkala sampai di sana,kelihatan sudah ramai peserta himpunan membantah PPSMI ini dengan pakaian tema berwarna putih.

Ketika menaiki bas dan melalui Istana Negara sebelum itu,saya melihat sudah ramai polis dan trak-trak FRU yang sudah siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam masjid negara saya berjumpa dengan pelbagai orang seperti ahli politik,pejuang bahasa,ahli akademik dan tidak ketinggalan kelompok mahasiswa yang nampaknya berkobar-kobar semangat mereka untuk menyertai kemuncak bantahan terhadap dasar PPSMI ini.

Sebaik sahaja solat zohor,saya melihat kelibat Presiden PAS yang duduk diam seolah-olah sedang bertafakur mengadap jemaah yang berpusu-pusu bersalam dan mengambil gambar beliau.

Seorang pelancong dari England bertanya saya siapakah gerangan yang menjadi tumpuan orang ramai itu(Presiden PAS) dan juga tentang mengapa orang ramai berkumpul untuk mengadakan demonstrasi hari ini.

Beliau terkejut mengapa rakyat Malaysia membantah penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik dan saya menjelaskan kepada beliau yang dibantah bukannya Bahasa Inggeris itu tetapi kami rakyat Malaysia mahu Sains dan Matematik itu diajar dalam bahasa ibunda kami sendiri.

Kelihatan para pelancong tidak melepaskan peluang mengambil gambar para peserta himpunan yang semakin ramai di Masjid Negara ini.

Laungan takbir bergema dalam dewan utama Masjid Negara dan saya merasakan himpunan membantah dasar PPSMI akan bermula.

Pada hari himpunan ini saya buat pertama kalinya bertindak selaku jurugambar dengan kamera yang berharga lebih RM 2000 sentiasa di sisi.

Kamera ini sebenarnya diberi pinjam oleh pensyarah di bawah subjek pelajaran (Penulisan Dakwah-kewartawanan foto)yang meminta saya dan kawan-kawan mengambil sebarang gambar peristiwa dan saya tentunya gembira kerana berpeluang merakamkan gambar peristiwa yang bersejarah ini.

Saya mengekori Presiden PAS dari belakang yang mana pergerakan beliau dikawal ketat oleh para pegawai apatah lagi beliau lah yang memulakan pergerakan himpunan ini.Sebaik sahaja Presiden Pas ini mula bergerak berjalan menuruni tangga Masjid Negara semua peserta himpunan mula bergerak sama secara berkumpulan seperti dalam himpunan Bersih dahulu.

Kelihatan pegawai polis mengawal pintu pagar Masjid Negara untuk menghalang peserta himpunan keluar berarak di jalan raya menuju ke Istana Negara tetapi ternyata pihak polis tidak mampu menghalang pergerakan ribuan peserta yang tekad untuk berarak menuju ke Istana Negara.

Peserta himpunan yang di barisan hadapan yang dikawal oleh unit Amal PAS berjaya membolosi kawalan pihak polis seterusnya membuka ruang kepada ribuan peserta yang lain untuk sama-sama berarak menuju ke Istana Negara mengulangi peristiwa himpunan Bersih yang lalu.

Di tengah-tengah ribuan orang ramai yang menyertai ‘perarakan haram’ ini saya mengambil kesempatan mengambil gambar sebanyak mungkin sambil menyaksikan dan memerhatikan suasana Bandar Kuala Lumpur yang hidup kembali dengan siri demonstrasi jalanan mengingatkan saya juga kepada peristiwa 1998 tatkala DSAI dipecat.

Saya berada dalam kelompok kedua barangkali di barisan hadapan dan ketika hampir sampai ke Istana Negara saya melihat kelompok pertama di hadapan saya mula berpatah balik.Saya melihat kebanyakan mereka merah mata,menitiskan air mata seolah-olah menangis sambil mencari-cari air untuk membasuh muka.

Saya menyedari pihak FRU telah mula melepaskan asap gas pemedih mata.Orang ramai mula lari lintang pukang seolah-olah dikejar oleh binatang yang buas.

Buat pertama kalinya saya menghidu asap gas pemedih mata sehingga membuatkan air mata saya mengalir(bukannya menangis) , hidung mulai pedih,mata mulai kabur ,sesak nafas dan saya turut bersama-sama yang lain menjauhkan diri dari asap gas pemedih mata.

Saya melihat ramai yang lari lintang pukang tanpa mengetahui ke mana arah ingin dituju demi mengelakkan terhidu asap gas pemedih mata yang dilepaskan di setiap penjuru.

Saya bertekad juga mengambil gambar orang ramai yang lari lintang pukang walaupun terpaksa menahan kesengsaraan menghidu asap gas pemedih mata tersebut .Cukup menyedihkan melihat aksi orang ramai terutamanya orang tua dan wanita yang melarikan diri dari terhidu gas pemedih mata.Seorang demi seorang mula hilang kawalan diri ,rebah dan ada yang pengsan .

Sebuah lori yang menjual makanan dan minuman diserbu oleh orang ramai yang menyertai himpunan ini dan air mineral laris dijual atau barangkali diberi percuma untuk memudahkan mereka yang terhidu asap gas pemedih mata membasuh muka mereka.Kelihatan juga orang ramai menggunakan ubat gigi untuk disapu ke muka mereka demi mengurangkan kepedihan menghidu asap gas pemedih.

Orang ramai mula menyumpah seranah polis FRU dan perkataan Yahudi!! Barua!! dan lain-lain kutukan mula terpacul keluar dari mulut beberapa orang peserta himpunan tanda kemarahan terhadap sikap polis FRU tersebut.


Tanpa disangka-sangka polis FRU menggandakan tembakan asap gas pemedih mata dan kali ini suasana lebih dahsyat lagi ditambah pula dengan semburan air gas dan orang ramai akhirnya berundur jauh dari kawasan Istana negara dan berpatah balik berkumpul di Masjid Negara .

Dalam perjalanan ke Masjid Negara kelihatan trak-trak FRU memenuhi sekeliling kawasan Masjid Negara .

Di perkarangan Masjid Negara pula selepas itu himpunan diteruskan lagi dengan ucapan beberapa orang pemimpin dan kemudiannya program himpunan seolah-olah diambil alih oleh para mahasiswa terutamanya dengan gimik mengusung keranda 152 diketuai oleh PKPIM.

Ternyata kepuasan terbayang di wajah peserta himpunan walaupun gagal berarak menuju ke Istana Negara bahkan di’hidang’kan pula dengan ‘santapan’ asap gas dan semburan air pemedih mata .

Jasad PPSMI yang dbalut dengan kain kafan berwarna putih dalam keranda yang diusung oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu bila-bila masa akan dibawa ke kubur untuk dikebumikan selepas solat jenazah kepada mayat bergelar PPSMI......

Talqin untuk PPSMI.....


Perarakan Maulidurrasul anjuran JAKIM

Buat pertama kalinya saf solat subuh di dewan Masjid Negara dipenuhi oleh para jemaah...

Para peserta perarakan Maulidur Rasul anjuran JAKIM seawal sebelum Subuh sudah mula memenuhi Masjid Negara.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan kali ini disambut besar-besaran seumpama sambutan Hari Kebangsaan dan ia juga diadakan di Dataran Merdeka secara terbuka setelah sekian lama diadakan di stadium @dewan tertutup.

Ketika menyertau perarakan yang bermula sekitar pukul 7 pagi dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka,saya tergelak keseorangan apabila memikirkan baru sahaja saya berarak dari tempat yang sama di Masjid Negara dalam himpunan membantah dasar PPSMI cuma yang berbezanya kali ini akan menuju ke Dataran Merdeka dan bukannya Istana Negara!!!

Usrah@diskusi buku kelompok kecil....

Jika direnung kembali sejarah perjuangan mahasiswa terutamanya tatkala era akhir 60 an dan awal 70 an yang dikatakan era kegemilangan mahasiswa,kita akan mendapati bahawa era tersebut bukan sahaja dipenuhi dengan siri-siri demonstrasi semata-mata bahkan juga dipenuhi dengan siri-siri diskusi intelektual kelompok kecil atau usrah samada antara sesama mahasiswa ataupun antara mahasiswa dan para pensyarah sebagai mentor atau naqib usrah tersebut.

Pelbagai buku daripada pelbagai bidang yang ditulis oleh tokoh-tokoh terkemuka telah dikupas dan diperdebatkan dalam usrah mereka dan hasil usrah tersebutlah yang telah membentuk pemikiran,fikrah,dan pandangan sarwa-alam@worldview mahasiswa ketika itu seterusnya mendorong mereka untuk terus istiqamah berjuang di lapangan umat.

Membaca karya-karya besar pastinya mampu membentuk mahasiswa yang berjiwa besar.Oleh kerana itu,mahasiswa kini perlu menyedari kepentingan membaca buku atau karya besar yang ditulis oleh tokoh-tokoh atau pakar –pakar yang meliputi pelbagai cabang ilmu pengetahuan.

Budaya membaca karya-karya besar itu pula perlu seiring dengan budaya diskusi,berdebat,berbincang ,bertukar-tukar pandangan dan idea dan semua ini mampu dilakukan melalui kelompok kecil atau usrah mahasiswa yang sistematik.
Melalui penjadualan pembentang di kalangan mahasiswa itu sendiri dan juga senarai buku-buku yang akan dikupas sepanjang usrah tersebut akan lebih memantapkan lagi persiapan dan perjalanan usrah itu nanti.

Sebelum berlangsungnya usrah tersebut,seseorang itu perlulah membuat persiapan daripada aspek keintelektualan dengan pembacaan buku-buku dan membuat catatan terlebih dahulu agar pembincangan dalam usrah itu nanti lebih rancak dengan sesi ‘pertarungan’ idea dan pemikiran.

Mahasiswa yang aktif menyertai usrah kelompok kecil ini nanti akhirnya pasti akan lahir dalam diri mereka sifat berani dalam mengemukakan pandangan dan berhujah,membentuk budaya berfikir,pemikiran kritis dan sebati dalam jiwa mereka budaya ilmu dan keintelektualan.

Semoga kampus universiti sentiasa segar dengan mahasiswanya yang menjunjung tinggi budaya ilmu dan keintelektualan.

Monday, March 09, 2009

Bersama Sasterawan Rakyat


1)''Saya sekarang mantan Sasterawan Negara''


2)''Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita.''

3)''SAYA kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya,"

4)''Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan."Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah 'Sasterawan Rakyat' yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu."Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti''
5)''Pemimpin yang bertelinga satu dan berlidah dua''

Monday, March 02, 2009

Kenyataan Media Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu(SMSBM)

Kenyataan Media Mahasiswa Universiti Malaya Menyokong Pejuang Bahasa Melayu Membantah Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI)
2 Mac 2009


Menyedari akan kegagalan dasar PPSMI dan insaf akan nasib Bahasa Melayu di Negara tercinta Malaysia ini ,kami mewakili mahasiswa Universiti Malaya yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi dan kelompok menyatakan sokongan secara terbuka kepada pejuang-pejuang Bahasa Melayu dalam membantah dasar PPSMI .


Hasil kajian ilmiah daripada pelbagai cendekiawan dan tokoh-tokoh akademik jelas membuktikan kegagalan dasar PPSMI ini.


Pelbagai resolusi yang membantah dasar PPSMI ini telah dibuat dan memorandum bantahan yang menampilkan bukti-bukti ilmiah kegagalan dasar PPSMI turut telah dihantar kepada pihak berwajib namun kesemuanya itu seolah-olah tidak dihiraukan .


Oleh kerana itu,kami menyeru Kerajaan Malaysia agar mendengar pandangan pejuang-pejuang Bahasa Melayu dan berharap Kerajaan Malaysia tidak membuat keputusan yang merugikan rakyat secara keseluruhannya.


Bantahan terhadap dasar PPSMI ini bukanlah bermakna kami menolak kepentingan Bahasa Inggeris bahkan kami menyokong segala usaha untuk menggalakkan penguasaan bahasa-bahasa dunia.


Namun begitu usaha untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu di Malaysia perlu diperkasakan dan sebarang usaha untuk membunuh masa depan Bahasa Melayu secara halus dan menafikan keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu seperti dasar PPSMI ini perlulah ditentang habis-habisan oleh rakyat Malaysia.


Kami juga mencabar Menteri Pelajaran untuk berdebat bersama mahasiswa di kampus Universiti Malaya berkenaan dasar PPSMI ini.


Kami juga bersedia untuk menggerakkan seramai mungkin mahasiswa untuk turun bersama-sama pejuang-pejuang Bahasa Melayu dalam perhimpunan aman raksasa 7 Mac 2009 sebagai kemuncak bantahan terhadap dasar PPSMI ini.


Usahlah kita berdegil untuk meneruskan dasar yang terbukti gagal dan ingatlah bahawa masih belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan.


Kembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu!!!


Semoga Bahasa Melayu,bahasa perpaduan rakyat Malaysia ini terus diperjuangkan oleh rakyat Malaysia


Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu(SMSBM)

Berjumpa Nurju di Kolej 11

Ketika selesai solat Maghrib di surau Kolej 11(blok pelajar asing) saya berjumpa dan berkenalan dengan Mustafa dari Istanbul,Turki.

Pada mulanya beliau bersama-sama kawannya duduk berbincang sesuatu dan kemudiannya beliau menawarkan saya kuih daripada Turki untuk dimakan bersama.

Tatkala mengetahui saya juga pernah berkunjung ke Turki,beliau terus bersembang panjang dengan saya dan apabila saya bertanyakan beliau tentang Badiuzaman Said Nursi,seorang tokoh ulama dari Turki yang cukup saya kagumi,beliau bertambah teruja bersembang dengan saya.

Rupa-rupanya beliau juga merupakan ‘nurju’ atau golongan yang mengikuti aliran pemikiran Badiuzaman Said Nursi.

Seperti mana ‘nurju’ yang lain,beliau juga telah mewakafkan beberapa buah buku koleksi daripada risalah An Nur karya Badiuzaman Said Nursi.

Satu perkara yang saya cukup kagumi dengan ‘nurju’ ini ialah mereka sentiasa cuba menyebarkan idea dan buah pemikiran tokoh mereka di serata dunia dengan penerbitan buku dan risalah-risalah yang kemudiaanya disebarkan di seluruh dunia terutamanya dengan sistem wakaf buku dan risalah.

Mustafa memberitahu saya beliau dan rakan-rakan akan mengadakan ‘Usrah badiuzaman said nursi’ untuk mengkaji method dakwah,idea dan pemikiran Badiuzaman Said Nursi terutamanya melalui bacaan dan kajian terhadap koleksi risalah An Nur.

Beliau menyarankan saya supaya bukan sekadar membaca biografi Badiuzaman Said Nursi tetapi juga membaca,mentelaah dan menghadam buku dan tulisan Badiuzaman Said Nursi yang kebanyakannya ditulis tatkala berada dalam penjara.

Tak sabar rasanya saya untuk mengikuti usrah Badiuzaman Said Nursi itu nanti.....

Sunday, March 01, 2009

‘Conteng puisi’ atas kertas soalan di dewan peperiksaan....

Saya memang suka menconteng.Saya masih ingat banyak buku-buku(Skim pinjaman buku teks) yang dipinjam sewaktu di sekolah rendah dan juga kitab-kitab di sekolah menengah saya dahulu yang menjadi ‘mangsa’ ‘contengan ‘saya.(ada ke istilah ‘contengan’ ya?)

Bahkan sepanjang saya menduduki peperiksaan di Universiti Malaya ini ,hampir kebanyakan kertas soalan peperiksaan akan saya penuhi dengan ‘contengan’(sekali lagi ada ke istilah ‘contengan’ ini ya?) dan ‘contengan’ itu selalunya bukan setakat isi-isi penting jawapan,lukisan(selalunya lukisan kepala manusia(sebab yang lain tak pandai lukis),tulisan khat(khot ‘robot’ ?) dan juga puisi(kalau ini boleh dikatakan puisi lah)

Di bawah ini saya kongsikan hasil ‘contengan’ puisi saya di dewan peperiksaan.(‘conteng’sewaktu menunggu datangnya idea-ilham jawapan,menanti pengawas peperiksaan mengutip kertas jawapan dan waktu sebelum dibenarkan keluar dewan peperiksaan)


Dari puncak gunung
Ku memerhatikan
Keindahan alam ciptaanMU
Lantas ku akui akan kekerdilan diriku......

(Peperiksaan Kajian Bibliografi Tafsir-Nov 2007)

Usah kau menutup mata
Melihat kemungkaran berleluasa
Menafikan kebenaran
Mendokong kebatilan
Di mana maruah harga dirimu
Tatkala tenggelam dengan keasyikan dunia yang fana
Kau rela bersama dengan tangan-tangan perosak agama
Enggan bersama pejuang-pejuang keadilan
Sedarlah akan kuasa tuhanmu
Yang mengatasi kuasa selainnya
Jangan gentar dengan ancaman manusia keparat
Takutlah balasan tuhan di akhirat
Sematkan keberanian dalam dirimu
Bersedia berkorban demi kebenaran
Ayuh mara ke medan perjuangan
Bersatu hati menentang kezaliman

Peperiksaan Ahadith Al-Muamalat
Aras 1 Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
16112007
1025 pagi

Lautan manusia berkumpul satu semangat demi keadilan
Tiada sesiapapun yang mampu menyekat suara mereka dari berkumandang
Mereka berjalan gagah mara bagai pahlawan ke medan perang
Takut dan gentar mereka sudah hilang
Yang ada hanyalah keberanian
Memegang teguh prinsip pejuang kebenaran
Menentang kemungkaran melawan kebatilan

Peperiksaan Mustalah Al-Hadith
Aras 2 Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
02112007
10.00 pagi

Apa yang terbuku di hatinya
Aku pun tak tahu
Apa yang terbuku di hatiku
Dia pun tak tahu
Dia tahu apa dihatinya
Dan aku tahu apa dihatiku
Aku dan dia tahu
Aku dan dia tak tahu

Peperiksaan Manahij Al-Muhaddithin
Dewan peperiksaan APIUM Kl
23042008
9.00 pagi

Kini aku di medan perang
Berjuang demi memahat kejayaan
Berbekal keazaman yang membara
Onak dan duri kuharungi
Kesukaran bukan penghalang
Ku hanya mengenal kebijaksanaan
Senjata doa menjadi azimat
Tawakal menemani diri
Ke melangkah penuh yakin
Terus mara ke hadapan
Tanpa ragu-ragu
Berjuang di medan perang

Peperiksaan Manahij Al-Muhaddithin
Dewan peperiksaan APIUM Kl
23042008
9.35 pagi

Bukan sekali kurasai
Panahan mata
Menyambar hati
Mematikan khayalan dusta
Menghidupkan rasa cinta
Fitrah manusia sejak azali
Ku terus berdoa
Mendamba kasih Ilahi
Mengharap Sayang insani
Kerana ku mencintai Ilahi
Ku terus mencintai insani

Peperiksaan Madkhal Al-Tafsir
29042008
Dewan Peperiksaan APIUMKL
1240 tengahari

Hentikan sandiwara palsumu
Lakonanmu di pentas dunia
Hanyalah menjadi bahan tertawa penonton.......

Peperiksaan Kajian Bibliografi Hadith
Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
28042008
9.15 pagi


Mereka bergelak ketawa
Menyangka perjuangan mereka sudah berjaya
Tanpa menyedari
Mereka sebenarnya di ambang kekalahan........

Peperiksaan Kajian Bibliografi Hadith
Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
28042008
9.15 pagi


Semarakkan perjuangan cinta ini
Biar cuba dihalang oleh syaitan bertopengkan manusia
Yang Menyebarkan kebencian
Meniup api permusuhan
Menyanjung tinggi persengketaan
Perjuangan kita ini adalah perjuangan cinta
Perjuangan kasih sayang
Perjuangan yang ingin menyelamatkan manusia
Agar kembali ke jalan tuhan
Kerana jalan tuhan itu adalah jalan cinta
perjuangan kita juga perjuangan cinta
Dan melalui jalan cinta itu

Peperiksaan Kajian Bibliografi Hadith
Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya
28042008
9.15 pagi

Kematian perwira agama

Mengalir sudah darah sang perwira agama
Tiada erti baginya perjuangan tanpa tauladan
Biar terpaksa berkorban nyawa sekalipun
Tetap yakin jalan yang dilaluinya
Gagah mara ke barisan hadapan
Menentang sang pengganas berjiwa binatang
Sang perwira agama sedar dan insaf
Kematiannya
tidak mampu mematikan perjuangannya
Kematiannya
bakal melahirkan lebih ramai pejuang agama

04012009
APIUM KL
5.10 petang

Dunia hanya pejamkan mata....

Dunia hanya pejamkan mata
Tatkala sang durjana mengganas
Meratah daging-daging manusia mulia
Menghirup darah-darah syuhada’
Sang pengganas diangkat sebagai perwira
Kononnya berjuang demi keamanan dunia
Senyum gembira terpahat di wajah mereka
Lambing kepuasan membunuh insan
Memperkosa kemanusiaan
Menyerlah watak kebinatangan
Menjiwai sifat kebiadaban
Sang pengganas terus bermaharajalela
Kerana mereka sememangnya mengetahui
Dunia hanya mampu pejamkan mata

22022009
4.00 petang
DKU APIUM

Sekitar tazkirah di Balai Islam Kolej 8 UM...

Sabtu 21 Februari 2009

Saya mendapat jemputan daripada Balai Islam Kolej Kediaman Kelapan UM untuk memberi sedikit pengisian selepas maghrib bertajuk Peranan mahasiswa-mahasiswi dalam menepis fahaman sekularisme..(duduk dalam bulatan ala usrah)

Saya mulakan dengan menyentuh sedikit persoalan budaya ilmu yang hidup di kampus suatu ketika dahulu tatkala tahun 70 an era mahasiswa menggugat-tradisi mencabar.

Saya tidaklah mengupas makna sekularisme secara mendalam tetapi saya mengaitkannya dengan serangan pemikiran dengan mengupas pandangan Mohamad Al-Ghazali tentang ‘isti’mar ruhi wa fikri-‘penjajahan jiwa dan pemikiran’ dan istilah ‘colonasibility’ yang digunakan oleh pemikir dari Algeria Malek Ben Nabi dan sempat juga saya memetik kata-kata @puisi keramat Allahyarham Dr.Burhanuddin Helmi -


Di atas runtuhan kota Melaka ,
kita bangunkan jiwa merdeka
bersatu-padulah segenap baka
membela hak keadilan pusaka
(dengan memberi penekanan terhadap kupasan erti jiwa merdeka)

Persoalan tentang jiwa hamba-khalifah yang sering saya dengari dan baca melalui siri ceramah dan buku Prof Dr.Sidek Baba juga sempat saya bicarakan sambil menyeru hadirin yang hadir supaya tidak mentuhankan manusia (sambil membawa contoh rasa takut sesama manusia,AUKU-HEP-KPT dan lain-lain)sebaliknya mentuhankan Allah yang Maha Esa.

Peranan CIA dalam menghidupkan serangan pemikiran secara halus terhadap umat Islam terutamanya selepas tragedi 11 September 2001 turut saya kupas dan juga apa yang dinyatakan oleh Condoliza Rice iaitu ’to win the war on terror we must win a war of ideas’.

Dalam pengisian ini juga saya membicarakan Sekularisme yang cuba memisahkan peranan agama dalam kehidupan dan pemisahan antara hal ehwal dunia dan akhirat dan membawa bentuk-bentuk sekularisme terutamanya dari sudut politik,pendidikan,ekonomi dan sosial
Ketika mengupas tentang sekularisme dalam politik saya membawa contoh negara Turki di zaman pemerintahan Kamal Ataturk dan juga tentang prinsip matlamat menghalalkan cara anjuran Machievali.

Dari aspek pendidikan pula saya tekankan soal dokotomi ilmu yang berlaku dan saranan untuk mengintegrasi kan ilmu.

Aspek ekonomi pula saya menyentuh tentang kegagalan sistem kapitalisme dan sosialisme,tentang riba dan monopoli yang menyebabkan yang kaya terus kaya yang miskin papa kedana(meminjam kata yang sering diungkap oleh DSAI)

Dari aspek sosial masyarakat pula saya menyentuh tentang keruntuhan akhlak serta jenayah yang berleluasa dan juga akibat mengabaikan prinsip amar makruf nahi mungkar.

Peranan media di era globalisasi dalam menyebarkan faham sekularisme ini juga menjadi topik pilihan saya dan saya juga menekankan keperluan memahami faham liberalisme masa kini dengan mengambil contoh bagaimana gerakan Islam era 70 dahulu menangani faham sosialisme dengan memahami persoalan sosialisme dan membawa hujah-hujah Islam yang meyakinkan sekaligus menenggelamkan faham sosialisme.

Sebagai nasihat buat diri saya dan hadirin yang hadir dalam pengisian tersebut saya menyeru semua yang hadir untuk menuntut ilmu yang benar daripada ulama dan ilmuwan yang mempunyai authoriti dalam bidang masing-masing,menekankan soal ketauhidan dan ketuhanan ,mengetahui tentang sejarah tamadun Islam dan tamadun-tamadun lain terutamanya tamadun Barat,memahami bentuk jahiliyah moden dengan segala isme-ideologi ciptaan manusia, dan bersama-sama dengan perjuangan gerakan mahasiswa Islam di kampus untuk menyuburkan budaya ilmu dan tradisi keintelektualan mahasiswa.

Sunday, February 22, 2009

Takut VS Tauhid

Kalau sanubari kita penuh dengan ketakutan ,kita akan hidup dalam ketakutan.Kalau kita nyalakan api perjuangan dalam dada kita,kita akan memiliki kekuatan untuk menegak keadilan,menghapus kezaliman-Anwar Ibrahim

Kadangkala saya terfikir mengapa masih ada mahasiswa yang hidup dalam ketakutan.

Takut kepada AUKU-HEP-KPT.

Takut kepada SB.

Takut kepada CCTV.

Takut untuk bersuara menyatakan kebenaran.

Takut untuk mengedarkankan risalah-risalah dakwah di kolej-kolej kediaman.

Takut untuk mengadakan usrah di khalayak ramai.

Takut untuk melakukan amar makruf nahi mungkar.

TAKUT.TAKUT.TAKUT...........Takut kepada bayang-bayang sendiri.....................

Tatkala mereka yang melakukan kesalahan dan maksiat tidak lagi segan silu dan takut bahkan terus-terang dan berani ,aktivis dakwah terus hidup dalam ketakutan........

Lupakah kita ;Berani kerana benar ,takut kerana salah!

Soalnya sekarang siapakah yang benar dan siapakah yang salah?

Apakah kita tidak yakin kita sedang berada di jalan yang lurus lagi benar?

Agaknya soal ketauhidan kita belum selesai dihayati lagi.

Ungkapan kalimah La ilahaillallah hanya sekadar di bibir mulut tanpa penghayatan terhadap maknanya .

Barangkali gerakan dakwah perlu mengadakan bengkel tauhid yang mampu memusnahkan pemikiran dan faham mentuhankan manusia......


Tokoh Ikhwanul Muslimin,'Hassan Al-Banna ‘ kini di Kolej Ungku Aziz(11) Universiti Malaya

‘Tokoh Ikhwanul Muslimin,Hassan Al-Banna ‘ kini di Kolej Ungku Aziz(11) Universiti Malaya

Saya kini bersahabat dengan’ Hassan Al-Banna’.

Kali pertama saya berjumpa beliau tatkala ‘kembara’ di petang hari di Fakulti Bahasa dan Linguistik UM.

Beliau bukanlah Hassan Al-Banna yang sebenar tetapi raut mukanya ‘sebijik’ macam Hassan Al-Banna dan melihat perwatakannya yang tenang barangkali persis Hassan Al-Banna .

Yusuf namanya dan saya menyimpan no telefonnya dengan membubuh nama Yusuf Al-Banna.

Yusuf daripada Algeria dan kini sedang mengikuti kursus bahasa Inggeris sebelum melanjutkan pelajarannya di UM ini nanti.

Sesiapa yang ingin mengadakan usrah dengan ‘Hassan Al-Banna ‘ ini(nostalgia usrah Ikhwanul Muslimin) bolehlah menghubunginya di Kolej Ungku Aziz(11) UM......

Harvard Business Review on Effective Communication

Ketika pulang ke rumah tempoh hari,saya membelek-belek beberapa buah buku milik ayah saya yang tersusun rapi atas rak buku di rumah.

Sebuah buku menarik perhatian saya iaitu Harvard Business Review on Effective Communication(The Harvard business review paperback series) lantas saya cuba sedaya upaya membacanya sehingga tamat .

Barangkali disebabkan tajuk nya yang menarik apatah lagi ia mempunyai kaitan dengan salah sebuah universiti terkemuka di dunia,Universiti Harvard dan sememangnya saya teringin benar mengetahui apa yang dipelajari,buku apa yang dibaca dan dikaji oleh mahasiswa-mahasiswa di universiti-universiti terkemuka dunia.

Buku ini merupakan kompilasi artikel tulisan beberapa orang pensyarah dan memberi fokus bagaimana untuk membina pasukan pengurusan efektif,merubah sikap pekerja,tip dan panduan untuk ahli perniagaan.

Antara tajuk yang dikupas dalam buku ini ialah seperti berikut:-

-Listening to people
-How to run a meeting
-Creative meetings through power sharing
-Nobody trusts the boss completely-now what?
-Skilled incompetence
-The hidden messages managers send
-Reaching and changing frontline employees
-How management teams can have a good fight

Buku ini sesuai dibaca oleh mereka yang mahu meningkatkan kecekapan mereka dalam hal-hal pengurusan dan pentadbiran serta bagi mereka yang ingin memperkasakan diri mereka dengan pelbagai kemahiran yang jarang-jarang dimiliki oleh orang lain.

Thursday, February 19, 2009

Mencabar pemikiran ,,,,,,,

Kelas Islam dan Agama Semitik di bawah tunjuk ajar Prof Madya Dr Khadijah Khanbali hari ini 'hidup'....

Kami dicabar dengan soalan-soalan yang mampu membuatkan kami berfikir mencari-cari jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut.

Saya amat meminati para pensyarah yang menghidupkan kelas mereka dengan melontarkan soalan-soalan yang mencabar minda dan pemikiran mahasiswa dan bukannya sekadar ‘menyumbat dan ‘menyogok’ fikiran dan membiarkan sahaja mahasiswa menerima begitu sahaja hujah mereka tanpa berfikir secara rasional.

Keselesaan menuntut ilmu tanpa dicabar dengan persoalan-persoalan yang mencetuskan rasa ingin tahu dan mencari jawapan hujah balas terhadap persoalan-persoalan tersebut akhirnya akan membunuh pemikiran dan mematikan daya keintelektualan para penuntut ilmu.

Perdebatan hujah,soal jawab antara pendidik dan anak murid perlu disegarkan dalam kelas-kelas tutorial dan diharapkan kelas tutorial itu tidak menjadi satu pengulangan terhadap siri-siri kuliah.

Para pendidik perlu mencabar pemikiran anak murid mereka dengan menimbulkan persoalan-persoalan yang membuatkan anak murid berfikir dan yang paling penting bagi mahasiswa sendiri mencabar para pendidik dengan persoalan-persoalan demi memantapkan pengetahuan mereka terhadap sesuatu ilmu yang diajar dan pastinya mereka sendiri perlu menyahut segala cabaran daripada pihak pendidik dengan cuba mencari jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh para pendidik dengan terus istiqamah menyelidik dan membuat kajian demi mencari kebenaran.

Wednesday, February 18, 2009

Puisi Salam Benua-Usman Awang

Suatu hari dalam kelas Asas Deklamasi Puisi,saya diminta untuk mendeklamasi puisi.

Yang menariknya dalam subjek ini ialah pembelajarannya lebih praktikal bukan sekadar teori semata-mata.


Sememangnya saya meminati kelas yang ‘hidup ‘ bukannya kelas yang sunyi sepi -mati,anak murid menjadi seumpama mayat yang sedang dimandikan di hadapan guru......



Seorang demi seorang diminta mendeklamasi puisi.



Apabila giliran saya,saya membelek-belek buku puisi mencari puisi pilihan untuk dideklamasi.



Akhirnya saya menjumpai puisi pilihan saya iaitu karya Usman Awang bertajuk Salam Benua.....



Lantas saya mendeklamasi puisi ini(buat pertama kali di hadapan khalayak-dalam kelas) walaupun sekadar mendeklamasi puisi rangkap pertamanya sahaja .



Dibawah ini saya bawakan puisi menarik tersebut untuk dinikmati dan dihayati bersama.




Salam Benua ~ Usman Awang

I
MEREKA memisahkan kita


pasport visa wilayah segala tempoh nama


mereka merompak kita dengan undang-undangnya


peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya


kita dipaksa memilih salah satu


dan kita mesti memilihnya


tiada jalan lain
II
Telah saudara pilih senapang dan peluru


banyak pemimpin memilih dollarnya


untuk ini saudara membasahi baju


rumput-merah sungai-merah


tangis anak-anak


darah rakyat tertindas
III
Saudara memerah kaktus melumat batu


menjadikannya minuman makanan


gadis-gadis bekerja debu pasir dandanannya


anak-anak kecil menyandang senapang


saudara menghitamkan langit menyelubungi


saluran minyaksetengahnya menyanyi di penjara


untuk pembebasan Palestin
IV
Kami bertatih di sawah semakin kering


petani-petani mulai menebang hutan dara


permulaan kecil pada ketenangan segumpul awam


ketenangan yang di belakangnya memangkas kami


yang sedikit ini sedang belajar


dari tiap pengalaman saudara


dan pengalaman sendiri


kami memampatkan gerhana bulan mei


pada tujuan tempat


nusantara ini
V
Salam


tanpa visa


pasport


golf


warna


kemanusiaan rakyat


seluruh benua



Usman Awang


1970

Monday, February 16, 2009

Festival Filem Sweden

Swedish Film Festival 2009-Free admission

Kain rentang itu saya perhatikan beberapa kali setiap kali melintasi Institut Asia Eropah ,UM.

Ini bukan kain rentang yang pertama mengiklankan festival filem yang dianjurkan Institut Asia Eropah dengan kerjasama beberapa buah institusi negara asing.

Hampir setiap bulan pasti ada festival filem yang memaparkan filem-filem daripada negara-negara asing di Institut Asia Eropah,UM ini dan ditayangkan secara percuma serta terbuka untuk semua.

Sebelum ini saya pernah bercadang untuk menonton filem dalam festival filem tersebut namun tidak berkesempatan sehinggalah hari ini(16 Februari 2009) saya mengambil keputusan untuk menghadiri Festival Filem Sweden.

Sambutan agak memberangsangkan dan berdasarkan pemerhatian saya kebanyakannya yang hadir pada malam ini ialah pelajar daripada luar negara terutamanya daripada pelajar Master dan PHD Institut Asia Eropah .Hanya saya dan beberapa orang sahaja rakyat Malaysia.

‘That Special Summer’ .

Demikanlah tajuk filem yang ditayangkan pada malam ini bertempat di Auditorium Institut Asia Eropah yang mengisahkan tentang konfilk seorang remaja perempuan dengan ibunya(seorang ibu tunggal) di mana remaja perempuan ini ingin tinggal di Bandar di Sweden bersama rakan-rakannya sedangkan ibunya mahu berpindah ke kampong di Finland.

Remaja perempuan ini akhirnya dengan berat hati terpaksa mengikuti ibunya tinggal di Finland dan sekaligus terpaksa melupakan hasratnya menjadi ‘deejay’ radio di Sweden.

Namun begitu remaja perempuan ini sempat mendapatkan (mencuri...)peralatan radio dan rakaman dan membawa peralatan itu bersamanya ke Finland dan sepanjang kehidupannya di Finland ,dia tidak lekang dengan rakaman radionya bak seorang deejay dan melontarkan rasa ketidakpuashatiannya terhadap ibunya yang memaksanya pindah ke Finland melalui radio.

Banyak juga adegan pergaduhan-pertengkaran mulut antara remaja perempuan ini dengan ibunya bahkan remaja perempuan ini juga hampir sahaja menyebabkan rumah mereka terbakar dan juga cuba membunuh dirinya akibat kecewa dengan sikap ibunya dengan terjun ke dalam sungai walaupun menyedari dia tidak tahu berenang.

Cubaan membunuh diri itu disedari oleh ibunya dan mujur sahaja ibunya berjaya menyelamatkannya daripada lemas dalam sungai tersebut.

Akhirnya remaja perempuan itu sedar dan insaf akan kesilapannya dan berbaik semula dengan ibunya dan tinggallah mereka berdua bersama saudara mara mereka di Finland dalam keadaan bahagia.

Menonton filem ini bagi saya bukan sekadar hiburan untuk melepaskan tekanan belajar(tak tertekan pun sebenarnya..menonton filem itu juga kan satu proses pembelajaran!!!) bahkan mampu memantapkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris,mengetahui tentang selok belok budaya asing di samping dapat menambah kenalan baru daripada pelbagai negara terutamanya ketika sesi makan-minum sebelum tayangan dan juga selepas tayangan filem.

Bila pula aktivis gerakan dakwah mahu menghasilkan filem-filem hebat ya....?

10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh

Saya baru sahaja selesai membaca buku 10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh-menyingkap sejarah perjuangan dan kegemilangan tokoh abad ke 20 dan 21-(terbitan pertama 2009-) tulisan bekas Timbalan Presiden ABIM,Mohd Rumaizuddin Ghazali.

Ustaz Rumaizuddin Ghazali ini memang dikenali dengan tulisan-tulisannya berkenaan tokoh- ulama.

Dalam buku terbitan PTS Islamika ini dimuatkan artikel tulisan berkenaan 10 orang tokoh iaitu Mustafa Al-Syiba’iy,Dr Yusuf Musa,Mahmud Shaltut,Muhammad ‘Imarah,Muhammad Al-Ghazali,Abu Hassan Ali Al-Nadawi,Syeikh Ismail Sodiq Al-Adawi,Muhammad Al-Mutawalli Al-Sya’rawi,Dr Wahbah Al-Zuhayli dan Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Membaca latar belakang,sejarah perjuangan ,jasa dan sumbangan 10 tokoh di atas pasti membangkitkan semangat pembaca terutamanya generasi muda untuk mencontohi perjalanan hidup mereka dalam memperjuangkan Islam.

Monday, February 09, 2009

Ceramah-bengkel agama bersama Syeikh Fauzi Audeh

Lecture by Syeikh Fauzi Audeh from Riyadh .Sunday 8.2.08 11 am .AlKhaadem Centre .Jemput dtg dan ajak kawan2 ya!

SMS dari seorang sahabat ,Nuruddin saya terima pagi ini.Nuruddin sering kali memaklumkan kepeada saya melalui sms sebarang program dan majlis ilmu yang diadakan sekitar lembah kelang.Bahkan beliau bersama sahabatnya telah menghidupkan blog infomajlisilmu.blogspot.com yang banyak dimanfaatkan oleh para blogger untuk mengetahui senarai dan jadual majlis-majlis ilmu sekitar lembah klang.

Saya menaiki lrt dari stesyen universiti ke taman bahagia kerana nuruddin berjanji akan mengambil saya di situ untuk terus ke Al-Khaadem.Al-Khaadem di bawah pimpinan Ustaz Hussein Yee sering mengadakan program-program kebajikan-kemanusiaan dan pengisian ilmu terutamanya ilmu berkenaan sunnah Nabi Muhammad.

Kali ini Al-Khadeem telah menjemput pula Syeikh Fauzi Audeh kelahiran Palestin yang sudah lama menetap di Amerika Syarikat dan kini bertugas di Arab Saudi.
Ceramah yang disampaikan oleh beliau(dalam Bahasa Inggeris) pagi ini berkisar tentang alam ghaib.Cara penyampaian beliau memang agak berbeza dengan para penceramah –pendakwah Islam yang lain apatah lagi beliau berjaya mengupas tajuk yang ‘berat dan menakutkan ‘ini dengan cukup menarik ditambah pula dengan unsur humor lucu tetapi sarat dengan mesej yang menginsafkan.

Turut hadir dalam ceramah anjuran Al-Khaadem ini ialah beberapa orang bukan Islam dan program Al-Khaadem itu sendiri sebenarnya terbuka untuk orang bukan Islam juga dan sebab itu tidak pelik ramai orang bukan Islam yang memeluk Islam dengan berkat bimbingan Al-Khaadeem di bawah pimpinan Ustaz Hussein Yee yang asalnya juga bukan beragama Islam.

Selepas solat Asar di Al-Khaadem,saya mengikuti jemaah Al-Khaadem untuk ke program Syeikh Fauzi Audeh seterusnya bertempat di rumah Dato Imran Ho(seorang ahli perniagaan) di Tropicana(kediaman mewah-elit di Damansara)
Rumah banglo Dato Imran Ho yang sangat besar dan cantik ini dimanfaatkan beliau untuk menganjurkan aktiviti dakwah seumpama ini dan ini mengingatkan saya kepada kisah sahabat Nabi Abdul Rahman Auf seorang yang kaya raya tetapi memanfaatkan kekayaannya untuk perjuangan dakwah perjuangan Islam.

Kalau pagi tadi program bersama Syeikh Fauzi lebih kepada bentuk ceramah tetapi pada program yang bermula selepas solat Asar sehingga ke solat Maghrib ini pula lebih kepada ‘bengkel’ dan sesi dua hala-soal jawab antara Syeikh Fauzi dan para hadirin berkenaan topik sekitar hal ketuhanan.

Saya sempat bersembang sebentar dengan Syeikh Fauzi dan beliau memaklumkan bahawa kunjungan beliau ke Malaysia kali ini turut disebabkan urusan pengajian PHD beliau di Universiti Malaya berkenaan hadith dibawah seliaan Prof Dr Fauzi Deraman,ustaz yang mengajar saya di Jabatan Al-Quran dan Hadith Universiti Malaya.

Saya pulang ke Universiti Malaya dengan penuh kesyukuran kerana dapat memenuhi hari cuti minggu dengan program ilmu seumpama ini.Semoga ilmu ini dapat diamalkan dan dimanfaatkan seterusnya disebarkan dan disampaikan kepada sahabat-sahabat lain.

Thursday, February 05, 2009

Mohamad Natsir :Berdakwah Di Jalur Politik Berpolitik Di Jalur Dakwah

Mohamad Natsir :Berdakwah Di Jalur Politik Berpolitik Di Jalur Dakwah

Demikian tajuk buku yang saya beli ketika menghadiri Seminar Serantau Memperingati 100 tahun Pahlawan Nasional Bapak Mohamad Natsir pada 10 Januari 2009 anjuran bersama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia(WADAH) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS) bertempat di KUIS,Bangi

Buku ini diterbitkan sempena seminar tersebut dan Dato Seri Anwar Ibrahim yang merupakan anak didik Mohamad Natsir telah menyampaikan ucap tamanya dalam seminar serantau ini sekaligus melancarkan buku terbitan bersama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia(WADAH) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS)- cetakan pertama 2009 ini.

Buku ini memuatkan 3 artikel tulisan Pak Natsir(Jatuh bangunnya umat Islam dalam sejarah untuk renungan para mujahidin,Ketahanan nasional,Dunia islam vis-a-vis dunia umum) dan 11 artikel tulisan tokoh-tokoh seperti Anwar Ibrahim( Natsir,Politikus Intelektual),Siddiq fadzil (Mohammad Natsir:Ahli Politik dan negarawan-Bapak Mohammad Natsir:Catatan Kenang-kenangan),Mohammad Noer (Sumbangan pemikiran dan kepimpinan Mohammad Natsir),Muhammad Uthman El-Muhammady (Pemikiran Mohammad Natsir dalam konteks pemupukan kerjasama serantau),Fadhullah Jamil( Mohammad Natir:Pemikiran dan sumbangannya terhadap bidang pendidikan dan penulisan),Deliar Noer (Kedudukan Natsir masa kini),Abdul Halim Ismail (Bapak Mohammad Natsir:Penuntun umat sepanjang zaman),Sidek Baba (Mengingat Pak Natsir sebagai pendidik umat),Muhammad Rivai Batubara,(Kenangan indah bersama bapak mohammad Natsir),Ahmad Azam Abdul Rahman(Bapak Mohammad Natsir:Apresiasi generasi kedua aktivis Islam Malaysia)

Buku ini wajib dibaca oleh semua aktivis gerakan Islam yang ingin mengenali lebih lanjut tentang Mohammad Natsir

Dibawah ini disertakan sedikit isi penting pembentangan saya (bedah tokoh)dalam usrah rentas jemaah di APIUM tentang Mohammad Natsir.

Mohammad Natsir

◊ Lahir pada 17 Julai 1908
◊Aktif dengan JIB (Jong Islamieten Bond) ketika zaman mudanya
◊Murid kepada intelektual -ulama terkemuka Indonesia A Hassan Bandung ,Haji Agus Salim.,HOS Cokroaminoto
◊Pernah dipenjarakan oleh Sukarno
◊ Perdana Menteri Pertama Indonesia(zaman pimpinan Sukarno 1950-1951)
◊Pernah memimpin parti Islam Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia)
◊Pejuang Isu Palestin
◊membantu dalam pemulihan hubungan diplomatik dengan Malaysia pasca konfrontasi ‘Ganyang Malaysia’
◊Antara karya Mohammad Natsir
-Capita Selecta(2 Jilid tebal)
-Fiqh Al-Dakwah
- Qadhiyatu Falisthin (Masalah Palestin).
-Ikhtaru Ahadas Sabilain (Pilih Salah Satu dari Dua Jalan).
◊Beliau juga banyak menulis artikel di majalah terkemuka, seperti Panji Islam, Al Manar, Pembela Islam dan Pedoman Masyarakat mengkritik pandangan nasionalis-sekular
◊Karya tulisannya berkisar tentang fikh, kebudayaan, politik kebangsaan, ideologi, hubungan antara agama, kebudayaan dan peradaban,
◊menguasai khazanah ilmu-ilmu keislaman dengan amat luas.
◊menguasai, sejarah, filsafat, kebudayaan dan peradaban Barat.
◊menjadi anggota Dewan Pendiri The Oxford Center for Islamic Studies, London. Pada tahun 1987
◊Menubuhkan Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII).
◊wakil presiden Muktamar Alam Al-Islami (World Muslim Congress), anggota Rabithah Alam Islami di Makkah, anggota Dewan Masjid Sedunia,
◊ pernah diusulkan menjadi SU OIC
◊menerima Penghargaan Internasional Malik Faisal (Faisal Award) dari Kerajaan Saudi Arabia pada tahun 1980
◊Meninggal dunia pada 6 Februari 1993

Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden

Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden

Buku ini merupakan tulisan Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad Nor terbitan Jundi Resources-cetakan pertama Januari 2009.

Buku ini memuatkan tulisan berkenaan peribadi,pengalaman,sejarah dan cabaran yang dihadapi oleh 29 tokoh gerakan Islam seperti Abdul Aziz rantisi,Abdul Qader Awdah,Abas Madani ,Abdul Hamid Kisyk,Abdul Majid Az Zandani,Abdullah Azam,Abdullah Nasih Ulwan,Syeikh Ahmad Yassin,Abu Hasan Ali An Nadwi,Badiuzaman Said Nursi,Burhanuddin Al-Helmi,Najmuddin Erbakan,Syeikh Faisal Molawi,Fathi Yakan,Hasan Al Banna,Hasan Al Hudaibi,Hasan At Turabi,Jamaluddin Al Afghani,Abul A’la Al-Maududi,Syeikh Muhammad Abduh,Syeikh Muhammad Al-Ghazali,Mustafa Masyhur,Mustafa Sibaie,Omar Al-Mokhtar,Qazi Hussain,Sayyid Qutb,Said Hawwa,Syeikh Solah Abu Ismail,Zainab Al- Ghazali.

Biografi tokoh gerakan Islam ini mampu mendekatkan hati para pembaca dengan tokoh-tokoh tersebut sekaligus mencontohi dan menjadikan mereka sebagai tauladan dalam menggerakkan perjuangan Islam.

Forum bersama Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud

16 Januari 2009


Hari ini saya hadir ke ceramah Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud,seorang pemikir,tokoh intelektual yang juga merupakan anak murid paling kanan Prof Syed Mohd Naquib Al-Attas.
Ceramah beliau ini yang menarik nya bukan diadakan di dewan-dewan kuliah universiti yang sinonim dengan kapisiti beliau selaku ahli akademik dan pensyarah tetapi diadakan di dewan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq,Bangsar .
Dalam program kerjasama antara pihak Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq,Bangsar dan Muslim Profesionals Forum ini Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, menyampaikan pengisian intelektual beliau bertajuk Fundamental Challenges Facing Contemporary Muslims.

Beberapa perkara disentuh oleh beliau seperti bagaimana peranan ilmuwan Islam seperti Al-Ghazali yang sebenarnya memulakan langkah awal kebangkitan ummat sehingga kemudiannya hasil pengaruh pemikiran beliau berjaya melahirkan tokoh-tokoh seperti Sallehudin Al-Ayubi dan Abdul Qadir Al-Jailani .

Seringkali kita melihat kejayaan perjuangan tokoh seperti Sallehudin Al-Ayubi dan Abdul Qadir Al-Jailani tanpa melihat kepada usaha yang sebenarnya telah dimulakan sejak sekian lama oleh tokoh-tokoh generasi awal sebelum itu lagi.

Selain itu beliau membicarakan persoalan berkenaan Mind-thinking-pemahaman terhadap agama-framework,Isu penggunaan kalimah Allah,isu-arab,isu palestin ,erti mind-qalb-heart,kupasan tentang Qalb-nafs-ruh-aql,soal Authority,Isu murtad,Freedom of religion dan dialog.

Tuesday, February 03, 2009

Politik tanah air ku bergolak lagi....

Politik di Malaysia bergolak lagi.

Dalam keadaan rakyat terhimpit dengan krisis ekonomi dunia,krisis politik tanah air pula terpaksa rakyat hadapi.Sudah jatuh ditimpa tangga.

Pergolakan politik tanah air pastinya merugikan rakyat dan negara.Justeru politik tanah air perlu dipulihkan dan dijernihkan dengan menjadikan kepentingan rakyat maslahah ummat sebagai keutamaan dalam agenda perjuangan.

Politikus berakhlak mulia peribadi tauladan perlu diangkat sebagai pemimpin dan bukannya politikus yang mengabaikan aspek akhlak dan moral sehingga sanggup mengadaikan maruah diri menjadi perkakas nafsu serakah.

Politics without morality tends to corrupt.........

Kebangkitan Generasi Salahuddin dan kembalinya Jerusalem ke Pangkuan Islam???

Kebangkitan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Jerusalem Ke Pangkuan Islam@ Hakadha Zahara Jailu Salahu Al-Din Wa Hakadha ‘Adat Al-Quda

Demikianlah tajuk buku yang menjadi ‘kegilaan’ di kalangan keluarga besar PKPIM-ABIM-WADAH sejak akhir-akhir ini.


Di sana sini ceramah-usrah keluarga besar ini buku ini diperkatakan dan dibincangkan seolah-olah satu kempen besar-besaran untuk membaca buku ini bahkan akan dijadikan bahan bacaan wajib ahli gerakan dakwah ini.

Saya difahamkan ia bermula daripada saranan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud yang mengupas beberapa isi penting buku tulisan Dr.Majid Irsan Kailani (terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Abdullah Abbas- Cetakan pertama 2000-terbitan International Institute of Islamic Thought (IIIT)dan Thinker’s Library Sdn Bhd- 423 mukasurat@433 termasuk nota hujung dan bibliografi)dan seterusnya beliau menggalakkan usaha membaca dan menghadam buku tersebut.

Presiden ABIM dan Presiden PKPIM dalam siri-siri usrah mereka juga sering memetik isi penting kandungan buku ini dan menasihatkan ahli-ahli ABIM-PKPIM untuk mendapatkan dan membaca dengan khatam buku ini.

Di peringkat kampus UM sendiri ‘murabbi’ bagi PKPIM UM,Dr Amran Mohamad(SU ABIM) juga akan menjadikan buku Kebangkitan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Jerusalem Ke Pangkuan Islam ini sebagai bahan bacaan wajib dalam usrah pimpinan PKPIM UM bersamanya bahkan beliau memberi terlebih dahulu buku ini kepada saya dan pimpinan PKPIM UM dan bayarannya pula boleh dibayar secara ansuran(harga RM 35).

Dr Amran sendiri mengatakan kepada kami pimpinan PKPIM UM tentang cita-citanya mewujudkan satu gerakan yang dipanggil Generasi Solahuddin yang pastinya lebih mengkhususkan untuk mengkaji dan menyelidik tentang sejarah perjuangan Salahuddin Al-Ayubi .

Saya baru sahaja membaca kata pengantar buku ini yang ditulis oleh tokoh pemikir,Syeikh Taha Jabir Alwani dan membaca sepintas lalu bahagian-bahagian (bab kecil) yang akan dihuraikan dalam buku ini dan ternyata seolah-olah ada satu ‘tarikan magnet ‘ yang mendesak agar saya menghabiskan ,mengkaji,menghadam dan menekuni bacaan buku ini secepat mungkin.

Dan tiba-tiba saya teringat bahawa buku bertajuk Kebangkitan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Jerusalem Ke Pangkuan Islam ini sebenarnya pernah ‘dibelek’-‘disentuh’oleh saya di perpustakaan sebelum ini!!!

Pengajarannya ....Kita jangan sekadar ‘membelek-menyentuh’ buku-buku di perpustakaan tetapi ‘berkampunglah ‘di perpustakaan untuk ‘sesi hidangan buku’!!!

Jumlah pengunjung

web statistics