Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Monday, October 15, 2012

Kembara di Bali (2)

Khamis 4 Oktober 2012 Urusan tempahan tiket diserahkan kepada Saiful Ridzuan manakala saya fokus menghubungi pihak penganjur dan rakan-rakan di Global Peace Festival di Malaysia dan Indonesia.Selepas membuat tinjauan harga tiket Air Asia yang paling murah dan hari yang bersesuaian untuk berangkat ke Bali,Saiful Ridzuan memaklumkan kepada saya tentang selesainya urusan tempahan tiket dan yang paling mengejutkan saya ialah kami perlu berangkat ke Bali pada jam 8.20 malam 4 Oktober dari LCCT.Acara ‘Interfaith Summit 2012’’ itu sebenarnya bermula perasmiannya pada 4 Oktober pagi dan ini bermakna kami akan terlepas acara perasmian dan beberapa slot untuk hari pertama program.Kelam kabut saya membuat persiapan dan mengemas barang dan hanya memaklumkan perancangan pemergian saya ke Bali kepada mak dan ayah saya tatkala kami makan tengahari bersama .Terkejut mak ayah saya kerana saya perlu berangkat ke LCCT petang ini juga dan menaiki kapal terbang pada malam harinya.

Zahid Mastal(sahabat ‘Jaringan Anak Muda’ sekembara di Turki ) datang ke rumah saya petang itu dan kami bersembang sebentar sebelum saya naik ke bilik mengemas barang dan membuat persiapan lainnya dan Zahid juga mahu turut serta bersama Ammar,adik saya untukmenghantar saya dan Saiful Ridzuan ke LCCT.Saiful Ridzuan yang rumahnya di Puchong akan ke rumah saya di Kampung Sungai Ramal Dalam terlebih dahulu sebelum kami bergerak ke LCCT bersama-sama. Jam sudah menunjukkan jam 5.30 petang dan Saiful Ridzuan masih belum tiba di rumah saya.Saya menelefon beliau beberapa kali(lebih 10 kali) dan beliau tidak sempat menjawap panggilan saya kerana sedang menunggang motornya dari Puchong ke Kajang.Saya memberitahu Zahid dan Ammar kami akan terus ke LCCT jika Saiful Ridzuan tidak tiba juga segera dan saya cuba menelefon beliau buat kali terakhir tapi masih tidak terjawab panggilan dan ketika saya meluru ke kereta untuk bergerak ke LCCT,akhirnya Saiful Ridzuan tiba di rumah saya.Kami terus bergerak ke LCCT segera memandangkan tidak mahu terlepas kapal terbang ke Bali.Saya teringat ketika mengikuti rombongan Malaysian Turkish Dialogue Society (MTDS)ke Acheh ,ada seorang sahabat dan adiknya(sepatutnya serombongan kami) yang lewat tiba di LCCT dan terlepas kapal terbang ke Acheh. Di LCCT kami sempat terserempak dengan seorang penulis,Zamri Mohamad dan rakannya dan juga bertemu dengan Ust Zakwan Sawai dari JAKIM yang sempat menceritakan pengalamannya di Bali dan menasihati kami berhati-hati khususnya bab makanan dan jangan sampai termakan babi dan anjing panggang di sana.Saya teringat kisah seorang kawan saya yang menceritakan pengalamannya yang tersilap memakan daging babi ketika menjamu selera di sebuah hotel di sebuah negara.Beliau hanya mengetahui apa yang dimakannya itu ialah daging babi selepas selesai menjamu selera di hotel tersebut.Daging babi itu diletakkan sebaris dengan daging-daging lain dan beliau langsung tidak dapat membezakan yang mana satu daging babi.Entah sudah berapa ekor babi di dalam perutmu ? 
Dari LCCT kami mengambil penerbangan ke Den Pasar.Saya duduk bersebelahan dengan Saiful Ridzuan dan seorang lelaki Russia.Beliau dari Moscow dan merancang untuk tinggal selama 2 bulan di Bali untuk bercuti.Sepanjang penerbangan beliau asyik membaca buku dalam Bahasa Russia dan sekali sekala kami berborak-borak santai. Penerbangan dari LCCT ke Den Pasar mengambil masa dalam 3 jam. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai ,Bali yang bangunannya menampakkan ciri-ciri kehinduan ketika hari sudah lewat malam(sekitar jam 12 malam)dan sementara beratur panjang di imigresen,kami sempat bersembang dengan rakyat Malaysia dari Pulau Pinang yang berada dihadapan kami yang bercuti sekeluarga di Bali.Mereka sempat berkongsi pengalaman menarik mereka kembara di Indonesia.Ketika sedang beratur panjang di imigresen,saya dapat melihat ramai pelancong khusus dari Eropah yang tidak beratur panjang bersama kami sebaliknya mereka mengikut seseorang melalui satu lorong laluan khas. Rupa-rupanya bagi pelancong yang mahu mempercepatkan urusan imigresen mereka tanpa beratur panjang,mereka boleh membayar ‘upah’ (rasuah? )kepada pegawai –seseorang yang menunggu (sekitar 20 dolar) dan urusan mereka akan berjalan lancar segera tanpa perlu beratur panjang.Saya dan Saiful Ridzaun turut ditanya oleh seorang pegawai jika berminat nak percepatkan urusan tetapi dengan bayaran tapi saya dan Saiful Ridzuan menolaknya.Sementara beratur panjang,saya sempat menghantar mesej kepada AJK program(sepertimana yang dimaklumkan dalam surat penerimaan sebagai peserta) untuk bertanya mereka samada ada AJK yang akan menjemput kami di lapangan terbang atau tidak memandangkan kami tiba agak lewat malam.Mesej saya dibalas segera dan seorang AJK program memaklumkan kepada saya akan ada AJK yang menunggu kami diluar tempat ketibaan sambil memegang kertas tertera ‘’Interfaith Summit 2012’’.
Selepas melepasi imigresen,kami meluru keluar sambil mata mencari kertas tertera ‘’Interfaith Summit 2012’’ dan akhirnya kami bertemu dengan kertas tersebut dan berjumpa dengan AJK-AJK program yang sedang menunggu kami.Turut serta berserta mereka ialah beberapa orang peserta dari Bandung dan Jakarta yang juga baru tiba di Bali.Kami berehat sebentar ,bersalaman,berkenalan dan bersembang santai sebelum menaiki van Avanza menuju ke asrama penginapan peserta.Malam yang gelap hampir jam 1230 malam dan tidak banyak yang boleh saya lihat Bali pada lewat malam ini .Hanya sepanjang perjalanan kami dimaklumkan oleh pemandu van yang membawa kami tentang insiden bom di Bali beberapa tahun yang lalu dan hanya beberapa hari lagi ulangtahun insiden bom bali tersebut dan akan ramai sanak saudara mangsa yang terbunuh dalam insiden bom Bali tersebut yang akan hadir ke tugu peringatan mangsa bom Bali beberapa hari lagi.
Selepas beberapa minit,kami tiba di asrama Universitas Hindu Indonesia.Di sini saya berjumpa Firmanshah junior di UM dari Indonesia yang turut terpilih sebagai peserta acara ini.Halim Miftahul Khairi,sahabat saya dari Indonesia yang mula dikenali melalui Facebook dan sama-sama menyertai acara International Youth Exchange(IYE) di UPSI turut menyertai acara ini. Kami menyimpan beg,daftar nama peserta sebelum berehat santai dan bersembang-sembang dengan ajk program dan peserta program yang baru dikenali.Sebelum tidur saya dan Saiful Ridzuan sempat makan makam bersama-sama dengan sahabat peserta dari Bandung yang berkongsi makanan yang mereka bawa dari Bandung.2 orang peserta dari Vietnam baru tiba di asrama penginapan peserta dengan menaiki teksi dari lapangan terbang .Rupa-rupanya mereka tidak dapat berhubung dan berjumpa dengan ajk program yang menunggu mereka di lapangan terbang.
Di asrama penginapan peserta,para peserta ditempatkan di 4 buah bilik besar(1 bilik lebih 10 orang) dan sebahagian peserta turut ditempatkan di Wisma Agong Soka yang terletak di luar Universitas Hindu Indonesia,tempat saya menginap sepanjang program ini.Ketika kami tiba di bilik penginapan,semua peserta sudah tidur nyenyak.Katil saya bersebelahan dengan peserta dari Dagestan-Russia.Dalam bilik yang saya menginap ini terdapat peserta dari pelbagai negara seperti Indonesia,Malaysia,Russia,Vietnam,Timor Leste,Philipine dan lain-lain dan yang menariknya mereka dari latar belakang agama yang berbeza. Tak sabar rasanya kami mahu berjumpa dengan sahabat-sahabat baru esok hari…zzzzzzz

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics