Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Friday, April 16, 2010

Sidang Meja Bulat:Isu Pembuangan Bayi...

Isu pembuangan bayi yang dilaporkan secara meluas oleh media massa khususnya surat khabar arus perdana baru-baru ini menimbulkan beberapa persoalan.Apakah gejala sosial yang melanda rakyat Malaysia khususnya generasi muda semakin parah?Adakah rakyat Malaysia semakin sedar tentang isu pembuangan bayi ini ataupun hanya kesedaran bermusim semata-mata?Apakah selepas tiada laporan secara meluas tentang isu pembuangan bayi dan gejala sosial yang lain akan membuatkan masyarakat Malaysia terus melupakan isu masalah gejala sosial ini?

Media memainkan peranan yang cukup besar dan berpengaruh dalam menyedarkan masyarakat tentang pelbagai masalah moral dan akhlak yang melanda rakyat Malaysia.Gejala sosial seperti pembuangan bayi ini pula bukanlah isu baru bahkan ia merupakan isu lama yang telah dilupakan masyarakat dan media massa bertindak bijak dengan memainkan peranan memberi peringatan buat masyarakat agar tidak melupakan isu-isu sebegini akibat terlampau menyibukkan diri dengan pelbagai isu remeh temeh yang lain.

Gejala sosial yang melanda masyrakat ini pastinya mampu merencatkan usaha perancangan kerajaan untuk memajukan negara.Apakah kita mahu membangunkan negara dan pada masa yang sama mahu membiarkan akhlak rakyat keseluruhannya runtuh?Pembangunan infrastruktur dan aspek fizikal yang lain yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan modal insan,pembangunan spiritual,akhlak,dan adab rakyat tentunya mampu merosakkan dan membinasakan pembangunan sesebuah negara.

Kurangnya penghayatan terhadap ajaran agama,akhlak dan moral,pemujaan hedonisme-hiburan melampau,hanyut dengan nafsu matearialistik dan sifat individualistik yang menebal di kalangan masyarakat sehingga tidak mempedulikan apa yang berlaku sekitar mereka menambahkan lagi parah kepada permasalahan gejala sosial di negara kita.

Tanpa menuding jari kepada sesiapapun memandangkan hal demikian langsung tidak pernah menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) mengajak semua pihak khususnya agensi kerajaan,parti politik,NGO,institusi agama,media massa,dan para ibu bapa supaya bersama-sama memikirkan langkah strategik dan sistematik dalam mengatasi pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat masa kini.

Sidang Meja Bulat Gejala Sosial anjuran Hal Ehwal Wanita PKPIM yang bakal diadakan pada hari Sabtu 17 April 2010 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Gombak diharapkan mampu merangka gerak kerja dan pelan bertindak bersama bagi merawat pelbagai penyakit sosial masyarakat.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics