Dari Kuala Lumpur ke Depok,Dari Depok ke Jakarta,Dari Jakarta ke Kuala Lumpur.....
Saya berkesempatan mewakili PKPIM(menggantikan pimpinan yang tidak dapat hadir)untuk hadir ke International Conference On Universal Justice Network yang berlangsung di Wisma Makara,Universitas Indonesia di Depok.
Program 2 hari (20-21 Februari 2010) ini merupakan anjuran bersama Islamic Human Right Commission(IHRC) yang berpusat di London, Citizens International yang berpusat di Pulau Pinang dan Pusat Advokasi Hokum dan Hak Asasi Manusia(PAHAM),Indonesia.
Bertemakan End The Injustice,Promote Peace And Justice For A Better World,program ini membincangkan beberapa isu hak asasi manusia seluruh dunia khususnya hak asasi manusia di negara umat Islam.
Jumaat 19 Februari 2010
Saya bermalam di pejabat PKPIM di Gombak untuk memudahkan urusan penerbangan ke Jakarta keesokan harinya.Dalam pukul 3.30 pagi,SU PKPIM,Khairul Anuar Musa menghantar saya ke KL Sentral untuk menaiki bas ke LCCT.
Jam 7.10 pagi,penerbangan Air Asia yang saya naiki bertolak ke Jakarta dan tiba di Lapangan terbang Sukarno-Hatta sekitar pukul 9.10 pagi.Saya difahamkan bahawa pihak penganjur akan menunggu di balai ketibaan untuk mengambil saya ke tempat penginapan.Sambil keluar menuju ke balai ketibaan ,saya memerhatikan papan tanda nama yang dipegang oleh beberapa orang penyambut tetamu untuk melihat samada nama saya turut ada .Saya gagal menjumpai pihak penganjur jadi saya mengambil keputusan untuk menghantar mesej sms pihak penganjur untuk menanyakan samada ada urusetia yang akan mengambil saya di lapangan terbang atau tidak.Jika tidak,saya tidak bermasalah untuk menaiki bas atau teksi ke tempat penginapan di Wisma Makara kerana sebulan yang lalu juga saya menginap di Wisma Makara itu dalam program The 3 rd International Youth Gathering.
Sementara menanti jawapan sms pihak penganjur,saya berjalan seketika sekitar lapangan terbang dan kemudiannya saya ternampak papan tanda ‘Universal Justice Network’ yang dipegang oleh seseorang.Mereka itu rupanya urusetia program yang akan mengambil saya dari lapangan terbang ke Wisma Makara.
Urusetia yang mengambil saya masih muda sebaya dengan saya dan dalam perjalanan ke Wisma Makara yang mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah itu kami berbual pelbagai isu sekitar hal ehwal Malaysia dan Indonesia.
Jam 11.30 pagi,saya tiba di Wisma Makara,sekaligus mengembalikan nostalgia program IYG sebulan yang lalu.Kini saya kembali ke Wisma Makara dan menginap tidak jauh dari bilik menginap saya dalam program sebelum ini.
Setelah berehat beberapa seketika,saya bersama pihak penganjur menaiki van yang disediakan menuju ke Masjid Universitas Depok untuk menunaikan solat jumaat .Di sana,saya mencari-cari teman-teman saya yang belajar di Universitas Indonesia ini tetapi gagal menjumpai mereka.Di sini saya berjumpa dengan Cikgu Azmi,dari Teras Pengupayaan Melayu(TERAS) dan rombongan peserta dari negara-negara lain.
Saya juga sempat berjumpa dan bersembang dengan beberapa orang Turki dari kelompok Fethullah Gulen,tokoh berpengaruh dari Turki yang membuka beberapa buah sekolah di Indonesia.
Selepas solat jumaat,saya berehat di bilik dan menonton tv.Ada beberapa rancangan yang menarik perhatian saya seperti satu rancangan yang memaparkan satu adat ritual jawa dalam membuang sial sempena maulidur rasul.Mereka samada lelaki dan perempuan akan berpakaian mandi dan menyelam di dalam sungai beramai-ramai dan kemudiaanya berdoa disitu.Pelik dan ajaib ‘sambutan maulidur rasul’ itu ya?
Petang ini program belum bermula lagi jadi saya mengambil kesempatan ini untuk berehat dan membaca sedikit artikel tentang hak asasi manusia sebagai persiapan program nanti.Setelah penat membaca,saya turun ke kolam renang di Wisma Makara ini untuk aktiviti berenang(atau buat-buat pandai berenang..?)
Para peserta semakin ramai tiba sebelum makan malam dan sambil makan malam saya berkenal-kenalan dengan para peserta dari pelbagai negara ini. Program ini dihadiri lebih kurang 60 peserta wakil 14 negara seperti dari negara Turki,Sri Lanka,USA,Afrika,Iran,UK,Thailand,Malaysia dan tuan rumah Indonesia.
Antara beberapa orang tokoh yang turut hadir dalam program ini ialah:-
-Imam Achmad Cassim-tokoh Islam dari Cape Town,Afrika Selatan-(dipenjara 7 tahun di penjara Robbon Island bersama Nelson Mandela sewaktu umur 17 tahun kerana melawan dasar apartheid)
-Massoud Shadjareh-Pengarah Islamic Human Right Commission(IHRC),London,UK
-Yasser Hammoud,wakil Hizbullah,Lubnan
-Dr Said Reza Ameli-Timbalan Canselor Universiti Tehran
-Imam Asi-Imam Islamic Center Washington DC,USA
-Imam Yaqub Zakzaky-pemimpin gerakan Islam di Nigeria
-S.M.Mohd Idris- Citizens International-CAP
-Mohideen Abdul Qadir-Presiden Citizens International
-Mohd Azmi Abdul Hamid-Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu(TERAS)
Sesi pertama program bermula dengan pengisian dari 2 orang pakar iaitu Imam Achmad Cassim dari Afrika Selatan dan Dr Said Reza Ameli dari Iran.
Selepas selesai pengisian tersebut ,saya dan beberapa orang peserta yang lain bersama urusetia keluar ke Bandar Depok untuk makan malam.Kami dibawa makan malam di sebuah restoran yang mennghidangkan ikan kew bakar yang sangat sedap.
Selepas makan malam,kami pulang ke Wisma Makara kembali.
Memandangkan saya sudah cukup berehat,saya mengambil keputusan untuk ke cyber cafe untuk melayari internet sehingga awal pagi.Saya tidur sebentar sebelum bangkit awal pagi keesokan harinya.
Sabtu 20 Februari 2010
Selepas solat subuh,saya terus ‘terjun’ ke kolam renang untuk mandi pagi.Program hari ini hanya akan mula pukul 9 pagi .Selepas menonton berita pagi ,saya dan para peserta yang lain bersiap dan turun ke Kafeteria untuk sarapan pagi.
Program bermula sekitar 9 pagi dengan ucapan pendahuluan oleh wakil Pusat Advokasi Hukum dan Hak Asasi Manusia(PAHAM) selaku tuan rumah dan kemudiannya program dirasmikan oleh Al-Muzzamil yusuf,Ahli Parlimen mewakili Parti Keadilan Sejahtera(PKS).
Sebelum bermulanya majlis tersebut ,saya duduk bersebelahan dan bersembang dengan beliau.Saya menyangka beliau juga salah seorang peserta program rupa-rupanya beliau sebagai perasmi program dan juga ahli parlimen Indonesia.
Program diteruskan dengan ucapan wakil Citizen International,En.Mohideen Abdul Qadir dari Malaysia dan kemudiaanya semua peserta diminta ‘taaruf’ memperkenalkan diri.
Wakil dari Malaysia selain PKPIM ialah ABIM,Citizen International dan SHURA.
Kebanyakan peserta ialah ‘orang tua’ dan hanya saya dan beberapa orang sahabat dari KAMMI,SALAM UI dan PII yang ‘muda’.
Saya bertemu kembali dengan beberapa orang sahabat peserta program IYG yang lalu yang turut hadir ke program ini.Salah seorangnya ialah Faris dari KAMMI yang juga merupakan anak kepada salah seorang mantan pimpinan PKS yang turut hadir dan duduk bersebelahan saya dalam program ini.Keluarga mereka dikenali sebagai keluarga hafiz al-quran memandangkan hampir semua ahli keluarga mereka menghafal Al-Quran.
Beberapa orang dari SALAM UI ,penganjur bersama program IYG yang lalu turut saya temui.
Saya juga bertemu dengan Fareed dan Ali Rasyid ,sahabat dari Pelajar Islam Indonesia(PII).Selepas selesai program ini sebenarnya saya merancang untuk ke pejabat PII untuk kunjungan silaturahim.PKPIM dan PII sudah lama mempunyai jaringan yang kuat dan sering mengadakan program bersama sebelum ini.
Para peserta dibawa makan tengahari di kediaman Gabenor Depok dan ini merupakan kali kedua saya ke kediaman Gabenor Depok selepas berkunjung ke sini juga dalam program IYG yang lalu.
Selepas makan tengahari,semua peserta kembali ke tempat program di Wisma Makara dan program diteruskan dengan pembentangan laporan negara-negara peserta.
Pada sebelah malamnya pula para peserta dibawa makan malam di kediaman banglo besar seorang jutawan-ahli perniagaan yang kini mewakili Parti Keadilan Sejahtera, Kemal Stamboel(Ketua Komisi 1 DPR).Disini kami disajikan hidangan makanan traditional Indonesia.
Saya pulang ke bilik penginapan dengan kekenyangan yang amat sangat akibat ‘penangan’ makanan traditional Indonesia yang sangat enak.
Memandangkan agak sukar tidur dalam kekenyangan,saya sekali lagi ke cyber cafe untuk melayari internet sehingga awal pagi dan malam itu saya tidur nyenyak kekenyangan...zzzz
Ahad 21 Februari 2010
Program hari ini bermula dengan diskusi tentang laporan hak asasi manusia di negara-negara peserta.Pada tengahari pula diadakan sidang media bagi menjelaskan kepada para wartawan dan pemberita tentang agenda mesyuarat Universal Justice Network ini.
Saya sempat bertemu dengan seorang peserta dan bersembang dengan beliau dan selepas lama bersembang dengan beliau baru saya tahu beliau merupakan aktivis PKS dan juga merupakan penasihat khas Menteri Sosial Indonesia.
Program mesyuarat ini juga diteruskan dengan perbincangan isu hak asasi manusia di –negara –negara Eropah,UK,USA,Afrika,Lubnan,Sri Lanka,Turki,Nigeria dan lain-lain negara peserta.
Laporan lengkap bagi setiap negara turut diedarkan kepada semua peserta.
Selepas merangka beberapa agenda gerak kerja susulan program ini,program tamat dan ditutup dengan bacaan doa.
Para peserta kemudiannya bergambar kenang-kenangan dan bersalaman antara satu sama lain.
Selepas makan malam,aktiviti bebas buat para peserta.’Check out’ dari Wisma Makara dibenarkan mulai esok tengahari .Esok ,akan ada peserta yang mengikuti lawatan ke Bandung dan ada juga yang akan pulang ke negara masing-masing.
Saya mengambil keputusan untuk tidak ke Bandung memandangkan ingin menziarahi kawan-kawan dan berjalan-jalan sekitar Jakarta lagipun dalam program IYG yang lalu saya sudah menziarahi bandung tetapi belum berkesempatan berjalan-jalan sekitar kota Jakarta.
Sebelum tidur ,saya sekali lagi ke cyber cafe untuk mendapatkan maklumat sekitar kota Jakarta dan juga menghubungi teman-teman Pelajar Islam Indonesia yang akan saya kunjungi pejabat mereka esok hari.
Isnin 22 Februari 2010
Saya bersarapan pagi hari ini dengan sebilangan besar peserta Universal Justice Network yang masih belum pulang ke negara masing-masing.Kebanyakan peserta akan menziarahi Bandung pagi ini jadi saya bersalam-salaman dengan mereka dan juga dengan para urusetia yang banyak membantu sepanjang program ini.
Saya membeli simcard Indonesia untuk memudahkan urusan perhubungan saya dengan teman-teman di Indonesia ini.
Pagi ini,seorang teman saya dari SALAM UI akan menemani saya ke Masjid UI untuk sesi pertemuan dengan pimpinan SALAM UI yang baru.Saya mengenali sebilangan pimpinan lama SALAM UI sewaktu mereke menjadi penganjur bersama program IYG yang lalu.
Di Perpustakaan Masjid UI,saya bertemu Ketua SALAM UI yang baru,Agung dan mendengar beberapa taklimat perancangan program SALAM UI sambil bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain.
Selepas pertemuan bersama pimpinan SALAM UI,saya menaiki bas yang disediakan untuk mahasiswa UI untuk kembali ke Wisma Makara.
Pihak penganjur menyediakan makan tengahari buat saya dan selepas makan tengahari,mandi dan mengemas barang,saya pun ‘check out’ dari Wisma Makara dan menaiki bas menuju ke stesyen keretapi dekat UI.
Saya sengaja berdikari lagak penggembara menuju ke kota Jakarta. Kota Jakarta agak luas dengan kawasannya yang berbeza seperti Jakarta Selatan,Jakarta Timur,Jakarta Barat dan Jakarta Pusat.Oleh kerana Jakarta Selatan yang paling hampir dengan UI Depok,jadi saya memilih untuk kembara ke Pasar Minggu di Jakarta Selatan.Agak sukar menaiki keretapi ekonomi di sini memandangkan tiada makluman tentang apa stesyen seterusnya selepas ini.Jadi saya mengharapkan bantuan orang ramai yang turut menaiki keretapi ini.Sambil mengunggu keretapi saya sempat berkenalan dengan seorang pemuda dan sempat juga mencatat ‘facebook’ nya untuk komunikasi suatu masa nanti.Mujur ada insan baik yang membantu memberikan maklumat kepada saya .Malu bertanya kawan sesat cari jalan pulang.
Saya hanya sebentar sahaja di Pasar Minggu dan kemudiannya saya meneruskan perjalanan menaiki keretapi menuju ke Jakarta Pusat.Pada mulanya saya ingin berkunjung ke Jakarta Timur(Jaringan Islam Liberal..),tetapi saya dimaklumkan oleh kerani di kaunter keretapi,Jakarta Timur jauh sedikit dan tiada tren ke sana.
Saya turun di stesyen Chikini dan singgah di cyber cafe sebelum berjalan kaki menuju ke Freedom Institute.Saya mengetahui tentang Freedom Institute melalui laman webnya dan juga mempunyai teman fb yang bekerja di sana.Setibanya saya di sana,saya dimaklumkan bahawa teman fb saya itu sudah pulang ke rumah jadi saya hanya sempat mengambil profil Freedom Institute ini dan singgah sebentar membaca buku di perpustakaannya.
Di perpustakaan ini ,banyak terdapat buku-buku tentang falsafah barat,idea-idea kebebasan dan buku aliran pemikiran yang pelbagai.
Dari Freedom Institute saya berjalan kaki kembali ke stesyen Chikini untuk menaiki tren ke Dondang Dia.Sahabat saya dari PII memberitahu saya stesyen PII yang paling dekat dengan pejabat PII.Saya mencari sendiri pejabat PII dari stesyen Dondang Dia walaupun sahabat saya telah menghantar sms kepada saya memberitahu dia akan mengambil saya di stesyen Dondang Dia.Saya membalas mesejnya dengan mengatakan saya sudah sampai pun di pejabat PII.
Pejabat PII ini seakan kompleks yang lengkap dengan asrama,masjid,tadika,gerai makanan dan juga dikongsi bersama persatuan-persatuan Islam yang lain.
Setibanya di pejabat PII,Presiden PII,Nasrullah dan pimpinan PII yang lain menyambut saya seakan-akan saya tetamu terhormat.Di pejabat PII ini juga saya bertemu dengan sahabat-sahabat yang sudah lama saya tidak berjumpa ,sahabat yang sama-sama program dalam Temu Pemuda Serantau di Kaliurang,Yogyakarta tahun 2007 yang lalu.
Kami bersembang sambil makan makanan rasmi Sunda yang cukup sedap.Saya sudah kenyang dengan makanan Sunda itu tetapi selepas itu Nasrullah,Fareed dan Ali Rasyid membawa saya makan malam di sebuah restoran dekat Taman Ismail Marzuki,yang cukup terkenal dengan tempat keseniannya di Indonesia.
Saya hanya menjamah makanan ringan seperti ubi kentang dan minum jus buah .
Selepas makan di Taman Ismail Marzuki,sahabat PII membawa saya pula ke dataran di Kota Tua.Di sini kami duduk melepak.bersembang-sembang sambil minum kopi panas dan makan kacang.
Dataran ini menjadi tempat anak muda melepak di malam hari,menghisap rokok dan menyanyi beramai-ramai berkumpulan
Saya tidur di asrama PII malam ini dengan cukup nyenyak keletihan berjalan dan kekenyangan makanan-minuman.
Selasa 23 Februari 2010
Saya solat subuh berjemaah di masjid dalam kompleks PII selepas dikejutkan dari tidur yang nyenyak oleh pegawai di kompleks PII ini.Menjadi budaya di sini untuk mengejutkan dari bilik ke bilik bagi mengajak orang solat subuh berjemaah.
Selepas menonton berita pagi,Fareed membawa saya berjalan-jalan sekitar dataran Monas dan sarapan pagi di sana.Di dataran Monas ini ramai yang bersenam pagi dan joghing dan juga menjadi tempat latihan para tentera.
Di dataran Monas ini kemudiannya Ali Rasyid turut bersama saya dan Fareed dan kami kemudiaanya berjalan kaki dari Monas menuju ke Masjid Istiqlal,salah satu masjid yang terbesar di Asia .
Sudah lama saya mendengar cerita tentang aktifnya masjid ini disamping besar keluasannya dan juga senibinanya yang cantik.Masjid ini sungguh meriah terutamanya pada bulan Ramadhan dan Syawal.
Berdekatan dengan pintu masuk Masjid Istiqlal ini juga terdiri satu gereja besar betul-betul mengadap pintu masuk Masjid Istiqlal ini.
Dari Masjid Istiqlal kami kembali ke pejabat PII menaiki ‘bajau’,teksi unik di Jakarta ini.
Saya bertemu dengan teman-teman lama seperti Zaid Makarma(mantan Ketua Umum PII) dan Ihsan yang pernah berkunjung ke Malaysia, dan juga sahabat Temu Pemuda Serantau,Salman Al-Farisi .
Selepas berehat beberapa seketika,Fareed dan Ali Rasyid membawa saya ke universiti tempat pengajian mereka,Universitas Paramadina,salah satu tinggalan gagasan Allahyarham Nurcolish Madjid@Cak Nur,tokoh pemikir Indonesia.
Saya dibawa bertemu dengan Fuad,seorang staf di Universitas Paramadina ini yang juga pernah belajar di ISTAC,IIUM.Banyak perkongsian pengalaman hidup yang dikongsikan Fuad kepada saya,Fareed dan Ali Rasyid.
Fareed juga telah mengatur secara mengejut pertemuan saya dengan mahasiswa Universitas Paramadina dari Dewan Keluarga Masjid.
Pada mulanya saya menyangka hanya akan bertemu dengan seorang dua sahaja rupa-rupanya saya perlu bertemu dan berdialog dengan lebih kurang 15-20 mahasiswa Universitas Paramadina ini.
Banyak persoalan ‘panas’yang mereka tanyakan kepada saya seperti adakah orang Malaysia tak suka Indonesia?,isu manohara,isu pembantu rumah,pembelajaran di universiti Malaysia,etnik di Malaysia,bagaimana mahasiswa Malaysia respon isu kemanusiaan,kekerasan terhadap tenaga kerja Indonesia, masalah kebudayaan,pengakuan hak milik tarian pandet,lagu rasa sayang,biasiswa Petronas, dan pertanyaaan sekitar hubungan Malaysia dan Indonesia.
Dari Universitas Paramadina,saya bersama-sama Fuad,Fareed dan Ali Rasyid menaiki kereta Fuad menuju ke Blok M.Saya mendapat tahu tentang Blok M ini daripada teman FB saya yang mengatakan di Blok M ini saya boleh membeli lukisan-lukisan menarik.
Fareed telah menghadiahkan saya beberapa buah buku ‘nakal’ pemikiran Islam terbitan PARAMADINA sebelum kami berpisah.
Dari Universitas Paramadina,saya dan Ali Rasyid menaiki teksi untuk kembali ke pejabat PII.Saya berkemas barang seberapa segera memandangkan tidak mempunyai masa lagi untuk mengejar bas ke lapangan terbang.Penerbangan saya pada pukul 7 malam tetapi perlu berada awal di lapangan terbang memandangkan jalan raya sekitar Jakarta ini sering kali ‘macet’ teruk.
Selepas bersalam-salaman dengan sahabat PII,saya dan Ali Rasyid menaiki ‘bajau’ dan kemudiannya bas terus ke lapangan terbang Sukarno-Hatta.
Di sini juga saya bertemu kembali dengan seorang sahabat dari Hizbullah,Lubnan(peserta Universal Justice Network) yang akan menaiki penerbangan pulang ke Lubnan.
Saya sempat membeli beberapa makanan di lapangan terbang sebagai buah tangan.Tepat pukul 7 malam,kapal terbang Air Asia yang saya naiki bertolak meninggalkan Indonesia dan tiba di LCCT sekitar jam 9 malam.
Perjalanan ke Depok dan Jakarta ini walaupun sebentar cukup meninggalkan kenangan yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.Saya berharap dapat kembali ke sini lagi sekali lagi untuk memperkasakan jaringan ukhwah persahabatan negara serumpun.
1 comment:
Wasyif, luar biasa. Ceritanya sempurna..!!! Aku baru baca, ternyata kamu kayak Sho Hok Gie jg ya he..5* Mohon doanya Farid sakit cukup parah dah satu bulan lebih...
Post a Comment