Secebis kisah pengalamanku di Mesir
Akhir tahun 2005 hingga awal tahun 2006(selama 3 bulan di musim sejuk) saya berada di Mesir untuk menziarahi nenek dan keluarga-saudara mara di sana.Rumah nenek saya di Imbabah,Giza dan setiap kali saya ingin keluar ke kota Kaherah dari Imbabah,saya perlu menaiki teksi-van di Dataran Tahrir-Tahrir Square-dataran bersejarah yang menjadi saksi kejatuhan regim diktator Husni Mubarak.
Sepanjang saya berada di Mesir,selain sering menziarahi rumah saudara-mara sekitar Kaherah,melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah termasuk Piramid di Giza,Masjid dan Universiti Al-Azhar,Menara Kaherah,menonton perlawanan bola sepak di Stadium Kaherah antara 2 kelab terkemuka di Mesir,Nadi Ahli vs Zamalik(kalau di Malaysia kadangkala keluarga berpecah kerana politik UMNO-PAS-PKR dll,di Mesir mungkin keluarga boleh berpecah kerana berbeza kelab pasukan bolasepak J ),saya banyak habiskan masa di rumah bersama nenek dan pakcik saya menonton tv dan bersembang tentang politik di Mesir apatah lagi di rumah nenek saya terdapat siaran khas berita yang hanya memaparkan rancangan berita semata-mata.Walaupun sudah tua lingkungan 70 an,nenek saya tetap mempunyai kesedaran politik yang luar biasa.
Siaran TV di Mesir yang saya tonton bersama nenek dan pakcik saya ketika itu sering kali menayangkan rancangan kempen Mesir untuk melobi menjadi tuan rumah Piala Dunia 2010 seakan-akan Mesir sudah pun berjaya menjadi tuan rumah Piala Dunia 2010.Bahkan iklan-iklan keropok-biskut pun dilakonkan oleh para pemain bola sepak Mesir.Antara nama yang menjadi sebutan peminat fanatik bola sepak Mesir ketika itu ialah Medo.Di tingkat bawah rumah flet nenek saya juga telah diconteng ‘I love Medo’.Ketika itu juga saya sempat menonton hampir kesemua perlawanan bola sepak Piala Afrika 2006 bersama pakcik saya yang turun meniru aksi penyokong bola sepak di stadium walaupun hanya menonton dari kaca televesisyen.Melompat-lompat.Menyanyi-nyanyi.Lagak peminat fanatik bola sepak.Dan di sana jugalah saya menyaksikan sendiri sepupu-sepupu saya menangis teresak-esak apabila Mesir kalah kepada Algeria dalam separuh akhir Piala Afrika 2006 tersebut.Habis cerita bola sepak.Titik.
Di Mesir jugalah saya mula terdedah dengan lagu-lagu nyanyian penyanyi terkenal dunia arab klasik dan kontemporari seperti Ummi Kalthum,Abdul Halim Hafez,Amru Diab,Khazim El Saher,Ihab Tawfiq dan ramai lagi.Apa tidaknya hampir setiap jam di kaca tv pasti akan disiarkan video klip lagu-lagu Arab.
Dan berita-rancangan yang paling banyak disiarkan pastinya berkenaan Husni Mubarak.Setiap acara yang diikuti oleh Husni Mubarak pasti akan disiarkan langsung atau tidak langsung serta digambarkan rakyat berduyun-duyun menanti ketibaan beliau serta berebut-rebut mahu bersalam dengan beliau.Di Mesir,dari pejabat kerajaan hingga poster-poster iklan di jalanan pasti akan kelihatan gambar Husni Mubarak samada gambar beliau tatkala masih muda sehinggalah pada usia terkini.
Sekitar Kaherah sahaja saya melihat begitu banyak pos-pos kawalan polis-tentera di setiap penjuru dan itu tidak perlu dihairankan memandangkan belanjawan Mesir lebih banyak dihabiskan kepada pertahanan-ketenteraan berbanding pendidikan.Barangkali itu menyebabkan kadar buta huruf di Mesir sangat tinggi.Barangkali itu juga yang menyebabkan sistem jalan raya sekitar Kaherah misalnya sangat dahsyat,berisiko ,mencabar dan mereka yang baru pertama kali menaiki teksi yang dipandu di Kaherah wajib mengucap kalimah syahadat terlebih dahulu.Hanya mereka yang biasa dengan pengangkutan awam di Mesir sahaja lebih mengetahui.:)
Ketika tercetusnya ‘revolusi’ terbaru rakyat Mesir sehingga menumbangkan regim Husni Mubarak,saya dan 10 orang sahabat yang lain masih berada di Maghribi mengikuti satu program belia di sana.Kami hanya mengikuti perkembangan apa yang berlaku di Mesir menerusi kaca tv di warung jalanan sambil menghirup kopi susu Maghribi,tv di hotel dan tempat penginapan peserta dan tv di lapangan terbang Doha,Qatar sepanjang transit hampir 15 jam di sana.Orang ramai duduk memenuhi ;mengadap kaca tv mengikuti siaran berita utama Al-Jazeera versi Bahasa Arab seperti menonton perlawanan akhir Piala Dunia.
Sebaik tibanya saya di tanah air,dari pagi hingga ke malam hari saya mengadap TV siaran Al-Jazeera versi Bahasa Inggeris di rumah berjam-jam lamanya ;seronok mengikuti perkembangan terkini di Mesir.Kadangkala saya berubah siaran ke CNN dan BBC tetapi AL-Jazeera tetap pilihan utama saya.Terima kasih Al-Jazeera.’’Jasad di Malaysia,ruh di Dataran-Medan Tahrir,Kaherah’’.Demikianlah status Facebook saya.
Memang ‘ruh’ saya sudah bersama-sama jutaan rakyat Mesir khususnya di Dataran-Medan Tahrir,Kaherah.Saya memejam mata membayangkan diri saya bersama-sama jutaan rakyat Mesir berarak dan berhimpun di Dataran-Medan Tahrir Kaherah.Jika saya pelajar Malaysia ;belajar di Mesir yang diarahkan pulang oleh kerajaan Malaysia ;walaupun dengan tiket penerbangan pulang percuma,saya pasti tidak akan pulang ke tanah air bahkan akan cuba menyelinap masuk ke Dataran Tahrir untuk menyambut dan menjadi saksi ‘revolusi’ rakyat menumbangkan diktator pewaris perjuangan firaun.
Kini Husni Mubarak sudah tumbang.Tumbukan KO rakyat Mesir tepat mengenai muka Husni Mubarak sehingga beliau rebah tidak mampu bangkit lagi.Yang akan bangkit ialah rakyat Mesir.Dan yang perlu bangkit ialah warga dunia.Warga dunia perlu bangkit melawan kezaliman menghancurkan penindasan...
No comments:
Post a Comment