Catatan IYG 5 Maghribi + transit di Doha,Qatar
PROGRAM:The 5 th International Youth Gathering
PENGANJUR:The Union of NGOs in the Islamic World(UNIW) dan Mehdi Ben Aboud Foundation
TARIKH:23-30 Januari 2011
TEMPAT:Casablanca-Rabat-Marrakech,Maghribi
JUMLAH PESERTA:Hampir 100 orang dari 14 buah negara
Hari Sabtu 22/01/2011
Peserta IYG 5 dari Malaysia berkumpul di KLIA dan menaiki penerbangan Qatar Airways dari KLIA ke Doha,Qatar jam 10.10 pagi dan tiba di Doha jam 12.22 waktu Doha.Kami transit di Doha selama 12 jam dan mengambil keputusan hanya duduk di lapangan terbang sementara menunggu penerbangan seterusnya.Di sini,kami mengadakan aktiviti bebas dan santai sambil merancang beberapa perkara sebagai persiapan program di Maghribi.Qatar Airways menyediakan kupon makanan untuk setiap orang dan kami juga mendapat kemudahan internet percuma di lapangan terbang Doha ini.
Jam 01.05 waktu Doha,kami menaiki penerbangan ke Casablanca dengan transit sebentar 1 jam di Tripoli,Libya.
Hari Pertama Ahad 23/01/2011
Tepat jam 0830 waktu Casablanca,kami tiba di Lapangan terbang Mohammed V Casablanca dan kami telah disambut oleh beberapa orang pelajar Malaysia di Maghribi dan ahli jawatankuasa program IYG 5 Maghribi dari Mehdi Aboud Foundation.Turut bersama kami ketika itu ialah peserta IYG 5 dari Bahrain dan USA yang juga baru tiba.Semua peserta IYG 5 dibawa menaiki bas yang disedikan pihak penganjur menuju ke Hotel Ajiad,Casablanca,tempat penginapan peserta.Di hotel ini setiap peserta berkongsi 1 bilik 2 orang.
Selepas berehat beberapa seketika,para peserta dibawa menaiki bas menziarahi pejabat Mehdi Aboud Foundation dan disini kami berjjumpa dengan Pengerusi Mehdi Aboud Foundation, Dr Abdul Fettah Fehdi ,makan tengahari dan sesi taaruf dan taklimat ringkas berkenaan Maghribi
Kami kemudiannya ke Lapangan Terbang Mohammed V menaiki bas beramai-ramai untuk menanti dan mengambil peserta IYG dari Turki yang baru tiba.
Dari lapangan terbang ,para peserta IYG menaiki bas menuju ke kediaman penasihat Raja Maghribi,Dr Abbas Al Jarari di Rabat.Di kediaman beliau,Dr Abbas Al-Jarari memberi pengisian berkenaan anak muda dan masa depan Islam,kepentingan budaya ,dan perihal sejarah Maghribi,Andalus,Eropah.Para peserta IYG turut berpeluang berdialog dengan beliau dalam sesi soal jawab selepas itu.Dr Abbas Al Jarari turut menghadiahkan para peserta IYG 5 buku-buku tulisan beliau berkaitan sastera Arab,sejarah dan budaya.
Hari Kedua Isnin 24/01/2011
Selepas sarapan pagi,hari kedua IYG 5 bermula dengan sesi taaruf semua peserta yang diadakan di dewan Hotel Ajiad,Casablanca.Antara peserta yang menyertai IYG 5 ini ialah wakil-wakil NGO anak muda dari negara Maghribi,Turki,Malaysia,Russia,Bahrain,Iraq,England,Usa,Indonesia,Comoros,Yaman,Benin,Gambia dan Niger.
Wakil UNIW dari Turki,Cihangir Sibilir kemudiaannya memberi pengisian berkenaan tujuan diadakan IYG ini dan sejarah UNIW.Antara perkara yang dinyatakan oleh Cihangir Sibilir ialah tujuan diadakan IYG untuk saling berkenalan antara satu sama lain,bertukar -tukar pendapat dan pengalaman serta mengenali negara Maghribi.Menurut beliau masyarakat madani memerlukan pemimpin yang hebat dan kuat ,mempunyai perancangan masa depan ,misi dan strategi dalam membina tamadun Islam dan IYG ini bukannya projek hari ini semata-mata bahkan merupakan projek untuk masa depan.
Para peserta kemudiaanya dibawa ke kota lama Rabat yang terdapat kubu tinggi bersejarah dan menziarahi Centre AlWifaq ,sebuah NGO yang memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dan hak wanita.Centre AlWifaq turut mengadakan sesi taklimat berkenaan program-program berkaitan pembangunan keluarga bahagia yang dilakukan oleh NGO ini.Di sini juga kami dijamu dengan makanan Maghrbi,nasi kus kus dan pelbagai makanan Maghribi yang lain.
Dari Centre AlWifaq,kami dibawa melawat ke Kementerian Luar Maghribi dan diberi taklimat tentang negara Maghribi khususnya dasar luar dan pembangunan ekonomi terkini Maghribi.Sesi soal jawab juga dibuka dan para peserta IYG diberi kebebasan untuk bertanyakan soalan berkenaan negara Maghribi.
Hari Ketiga Selasa 25/01/2011
Pada hari Ketiga IYG 5,para peserta dibawa melawat ke Universiti Hasan Thani di Casablanca dan diberi taklimat tentang universiti ini.Dari Universiti Hasan Thani,kami kembali ke pejabat Mehdi Aboud Foundation untuk makan tengahari di sini.Makan tengahari kali ini agak istimewa dengan hidangan ikan besar seberat 13 kilogram dan juga pengisian oleh seorang tokoh pendakwah terkenal Maghribi, Dr Izzudin Tawfiq dari Harakat Tauhid wa Islah,sebuah gerakan Islam terbesar di Maghribi dan juga Dr Ashraf Uz Zaman Khan dari North American Imams Federation(NAIF)-USA.Dr Izzudin Tawfiq menyentuh berkenaan perpaduan ummat,rukun kesatuan umat Islam dan kepentingan menolak perpecahan sesama sendiri manakala DR Ashraf Uz Zaman menimbulkan persoalan apa yang telah kita lakukan terhadap umat Islam khususnya di negara seperti Palestin,Iraq,dan Afghanistan .
Program IYG 5 diteruskan lagi dewan Hotel Ajiad,Casablanca dengan persembahan budaya dari pelbagai negara peserta.Peserta-peserta dari Malaysia turut menyampaikan pesembahan lagu dalam acara budaya ini.Peserta dari Iraq pula menyampaikan sajak bersemangat berkenaan perjuangan perang di Iraq.Peserta dari Maghribi dan Turki pula masing-masing menyampaikan lagu perjuangan dalam bahasa negara masing-masing.
Sesi seterusnya ialah bengkel pembentangan berkenaan anak muda dan masyarakat madani. Dr Abdul Fettah Fehdi dalam pembentangannya menjelaskan tentang usia muda yang menurut beliau bukan sekadar peringkat umur semata-mata tetapi berkaitan ruh dan semangat anak muda.Beliau juga mengatakan masyrakat madani bukan gerakan kepartian-kelompok tertentu sahaja dan bukan gerakan rasmi semata-mata.Beliau juga mengambil contoh gerakan Badiuzaman Said Nursi dan pengalaman masyarakat madani di Turki yang melawan fahaman sekularisme di sana serta memberi penekanan kepada iman,mengembangkan kebebasan sejati dalam masyarakat,pemikiran berlandaskan kesatuan ummat,pembinaan kepimpinan masyarakat madani,kekuatan dalam gerak kerja di lapangan serta khidmat masyrakat.
Dr Ashraf Uz Zaman Khan pula membawa contoh anak muda seperti Saidina Ali bin Abi Talib yang berjuang sejak usia muda dalam menegakkan keamanan dan keadilan dan memberi penekanan kepada mencontohi Nabi Muhammad dalam gerak kerja disamping menekankan aspek kefahaman menyeluruh terhadap Islam sebagai cara hidup dan bukan agama ritual semata-mata.Dr Ashraf juga menyatakan kepentingan anak muda dilengkapi dengan ilmu-ilmu berkenaan gerakan Islam,sejarah,budaya,Al-Quran dan Hadith serta ilmu-ilmu kepimpinan.
Umar Abdullah,peserta dari Iraq pula membentangkan situasi sebenar yang berlaku di Iraq pasca perang seperti bahaya penyalahgunaan dadah , masalah pendidikan,krisis ekonomi,kesihatan,pengangkutan ,peyiksaan dan penindasan terhadap hak asasi manusia di Iraq.Beliau menyarankan pertukaran pengalaman dan kepakaran antara negara masing-masing bai menyelesaikan masalah-masalah tersebut.
Hari Keempat Rabu 26/01/2011
Para peserta IYG 'check out' meninggalkan Hotel Ajiad Casablanca pagi ini dan dibawa melawat ke tepi pantai ,Tahiti Beach dan singgah solat di Masjid Hasan Thani 2,masjid yang dikatakan masjid terbesar di benua Afrika.Kami kemudiannya singgah di hotel ….........untuk makan tengahari dan kemudiaannya bertolak ke Marakesh.Perjalanan jauh dari Casablanca ke Marakesh menaiki bas diisi dengan beberapa aktiviti di dalam bas seperti taaruf,menyanyi,kuiz,belajar pelbagai bahasa dan sebagainya.
Di Marakesh,semua peserta IYG 5 menginap di Hotel Rgad Magador Marrakesh dengan 1 bilik antara 4-5 orang dengan campuran pelbagai negara peserta.
Peserta IYG dari Malaysia juga berpeluang mengadakan pertemuan dengan Umar Abdullah ,peserta dari Iraq untuk sesi perkongsian terhadap apa yang sedang berlaku di Iraq pasca perang.Beliau menceritakan peranan Amerika dalam mengaut sumber alam dan kekayaan ekonomi di Iraq,membunuh pemikir,ulama, dan cendekiawan,memusnahkan institusi pendidikan dan khazanah intelektualnya,penyebaran dadah,pemerdagangan manusia serta krisis Sunni-Syiah di Iraq.
Hari Kelima Khamis 27/01/2011
Sesi bengkel pembentangan diteruskan lagi di dewan Hotel Rgoud Magador Marakesh dengan pembentangan dari wakil negara Turki,Malaysia,Indonesia,Maghribi,Iraq,Russia,Bahrain,Comoros Island dan Benin.Secara umumnya setiap wakil NGO negara masing-masing memperkenalkan bentuk aktiviti program yang telah mereka lakukan di negara masing-masing dan beberapa masalah yang dihadapi untuk perkongsian pengalaman dengan peserta-peserta dari megara-negara lain.
Selepas selesai pembentangan wakil negara-negara,sesi perbincangan dibuka dan para peserta berpeluang mengemukakan idea,pandangan dan cadangan untuk memantapkan lagi perjalanan gerakan anak muda masing-masing.
Setelah tamat sesi perbincangan , Dr Abdul Fettah Fehdi mebuat ulasan terhadap segala pembentangan dan perbincangan dan beliau menghuraikan 13 agenda utama yang perlu diberi keutamaan oleh gerakan masyarakat madani.Dr Abdul Fettah Fehdi kemudiannya membahagikan 13 agenda utama tersebut kepada setiap kumpulan untuk sesi diskusi berkumpulan selama 2 jam.Setiap kumpulan terdiri daripada peserta dari negara yang berbeza dan diminta duduk berbincang 2-3 perkara daripada 13 agenda utama tersebut dan kemudiaannya akan membentangkan hasil dapatan perbincangan kumpulan tersebut kepada semua peserta IYG.
Dalam diskusi berkumpulan tersebut,para peserta aktif mengemukakan pandangan walaupun ia memerlukan terjemahan beberapa bahasa seperti Bahasa Arab,Bahasa Inggeris,Bahasa Perancis dan Bahasa Turki memandangkan kepelbagaian negara peserta dalam setiap kumpulan.
Pada malam hari pula,peserta IYG Malaysia telah mengadakan sesi perkongsian bersama seorang peserta IYG dari Turki,Somad yang juga merupakan seorang wartawan yang turut serta dalam misi kapal Mavi Marmara ke Gaza.Somad menceritakan detik-detik cemas beliau dan rakan-rakan yang diserang oleh tentera Zionis di atas kapal Mavi Marmara dan bagaimana beliau melihat sendiri beberapa orang rakan seperjuangannya yang dibunuh oleh tentera Zionis di atas kapal tersebut.Beliau turut terkena serpihan tembakan didadanya dan dipenjara di Israel sebelum dibebaskan dan tetap mempunyai keberanian untuk kembali ke Gaza.
Hari Keenam Jumaat 28/01/2011
Di Marrakesh,para peserta di bawa melawat ke makam sultan ….....,sultan sewaktu zaman kegemilangan Maghribi lama dan juga istana lama Qasru Baahiyah@El-Bahiya Palace.Para peserta juga sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Kutubiah,masjid bersejarah di bandar Marrakesh yang dikatakan dibina oleh Sultan Abel Moumen dengan senibina Andalus.
Perjalanan diteruskan lagi dengan menaiki bas ke Eurika,sebuah kawasan tanah tinggi yang dikelilingi gunung dan bukit bukau dengan pemandangan hijau yang indah.Di puncak kawasan ini sering diliputi salji tatkala musim sejuk melanda Maghribi.Di sini kami singgah untuk makan tengahari di sebuah rumah atas bukit tinggi dan kami dijamu sekali lagi dengan masakan enak Maghribi seperti nasi kus-kus dengan daging dan sebagainya.Peserta IYG juga tidak melepaskan peluang untuk mengadakan persembahan nyanyian sebaik sahaja selesai makan tengahari.
Dari Eurika,para peserta dibawa ke Djamial Fana,sebuah dataran luas tempat tumpuan utama pelancong asing.Di dataran ini,para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dilantik seorang ketua agar tidak berpecah memandangkan jumlah pengunjung yang begitu ramai dan disini para peserta berpeluang menikmati hiburan budaya Maghribi dan juga membeli belah di souq.
Pada malam hari pula ,Dr Abdul Fettah Fehdi sekali lagi memberi pengisian berkenaan isu sempadan Sahara Maghribi-Algeria dan selepas itu pula peserta IYG Malaysia telah mengadakan pertemuan bersama wakil UNIW dari Turki,Cihangir Isbilir dan Mohamad Fatih Oner untuk sesi perkongsian dan cadangan penambahbaikan IYG pada masa akan datang.
Hari Ketujuh Sabtu 29/01/2011
Para peserta IYG diberi masa lebih lama pagi ini di Djamial Fana untuk membeli belah.Dan selepas membeli belah,semua peserta kembali ke hotel penginapan.Peserta IYG Malaysia sempat mengadakan pertemuan dengan wakil KAMMI dari Indonesia untuk sesi perkongsian pengalaman dan perancangan kerjasama pada masa akan datang.
Program IYG kemudiaannya diteruskan lagi dengan persembahan budaya dengan seorang peserta perempuan dari Maghribi menampilkan keupayaannya berlakon teater berkisar tentang perempuan Islam dan Islamphobia,persembahan sajak wakil Iraq dan nyanyian lagu wakil Turki dan Maghribi.
Acara seterusnya ialah kuiz berkumpulan dengan setiap kumpulan diajukan beberapa soalan berkenaan sejarah Islam,Sains,Pengetahuan Am dan lain-lain soalan berkenaan Al-Quran.
Selepas makan malam di sebuah restoran ,acara majlis penutup IYG 5 Maghribi diadakan di dewan hotel Rgod Magador Marrakesh.Pengerusi Mehdi Aboud Foundation,Dr Abdul Fattah Fehdi telah membacakan resolusi IYG 5 Maghribi manakala Cihangir Isbilir,wakil UNIW dari Turki dan Dr Ashraf Uz Zaman dari USA telah menyampaikan ucapan penutup dan seterusnya para peserta IYG menerima hadiah dan sijil masing-masing.Majlis penutup IYG 5 Maghribi tamat dengan sesi bergambar beramai-ramai.
Hari Kelapan Ahad 30/01/2011
Para peserta IYG 5 Maghribi 'check out' meninggalkan Hotel Rgoud Magador Marakesh pagi ini dan selepas salam perpisahan, sebahagian peserta pulang ke tempat masing-masing.Peserta dari Malaysia menaiki bas pihak penganjur menuju ke Rabat untuk menginap di rumah pelajar Malaysia di Rabat.Peserta lelaki menginap di rumah pelajar lelaki manakala peserta perempuan menginap di rumah pelajar perempuan.
Hari Kesembilan Isnin 31/01/2011
Peserta IYG Malaysia mengadakan lawatan ke Hasan,makam diraja,Souq Madinah Qadimah Rabat,dataran Rabat,dibantu pelajar Malaysia di Rabat dan peserta IYG dari Maghribi yang turut bersama.
Sewaktu singgah solat di Masjid Sunnah,Rabat,peserta Malaysia mengadakan mesyuarat perancangan jadual perjalanan pasca IYG dan kemudiannya peserta perempuan IYG Malaysia hadir ke jemputan parti sahabat IYG dari Maghribi,anak seorang ahli parlimen Maghribi manakala peserta lelaki pulang ke rumah pelajar Malaysia di Rabat.
Hari Kesepuluh Selasa 01/02/2011
Peserta IYG dari Malaysia bersama 3 orang pelajar Malaysia di Maghribi menaiki van yang disewa khas untuk perjalanan seterusnya menemui wakil duta di kedutaan Malaysia di Rabat.Wakil duta memberikan taklimat berkenaan hubungan Malaysia dan Maghribi khususnya dalam bidang pendidikan.Dari kedutaan Malaysia di Rabat,van yang disewa bertolak menuju ke Tonjah dan singgah solat dan makan bersama beberapa orang peserta IYG dari Maghribi dan Turki yang kebetulan terserempak di Asiah.Dari Asiah,kami terus menuju ke Tonjah,pejabat sebuah NGO peserta IYG dari Maghribi, Association Aide and Secours@Jam’iah Al-‘Aun wal ighasah.Peserta perempuan menginap di rumah pimpinan NGO tersebut manakala peserta lelaki menginap di sebuah apartmen yang disewa oleh NGO tersebut.
Hari Kesebelas Rabu 02/02/2011
Peserta IYG Malaysia dibawa melawat atas bukit sempadan pelabuhan Tonjah-Sepanyol, Makam Ibnu Battuta dan lawatan ke pejabat NGO ,Association Aide and Secours-Jam’iah Al-‘Aun wal ighasah dan turut diadakan ialah sesi taklimat tentang aktiviti NGO tersebut dan perjumpaan peserta Malaysia bersama Pengarah Association Aide and Secours-Jam’iah Al-‘Aun wal ighasah.
Dari Tonjah,peserta IYG Malaysia menziarahi Cap Spartel,tempat pertemuan laut Mediterranian dan Atlantik, Gua Hercules@Maarah Herkal dan kemudiaannya meneruskan perjalanan menuju ke bandar Fez.Di Fez,wakil penganjur IYG Maghribi,Mohamad Altoranbati yang tinggal di Fez menyambut kami dan membawa kami ke rumahnya.Selepas makan malam di rumah Mohamad Altoranbati,peserta lelaki Malaysia ke pejabat pejabat Harakah Tauhid wa Islah,Fez untuk menginap di sana manakala peserta perempuanmenginap di rumah Mohamad Altoranbati bersama-sama keluarganya.
Hari Kedua belas Khamis 03/02/2011
Di Fez,kami meneruskan perjalanan melawat atas atas bukit Madinah Qadimah Fez .Di sana kami mampu melihat pemandangan kota lama Fez dari atas bukit.Kemudiannya kami ke Souq Madinah Qadimah untuk membeli belah dan sempat singgah di Masjid Qarawiyyin,masjid dan universiti tertua di dunia.
Dari Fez,kami bertolak ke Rabat dengan singgah terlebih dahulu di Meknez untuk membeli belah.Malam ini kami menginap sekali lagi di rumah pelajar Malaysia di Rabat.
Hari Ketiga belas Jumaat 04/02/2011
Dari rumah pelajar Malaysia di Rabat,kami menaiki teksi ke stesyen keretapi Rabat untuk menaiki tren terus ke Lapangan Terbang Casablanca.Di sini,kami sempat berjumpa bekas duta Malaysia ke Maghribi yang turut menaiki penerbangan yang sama pulang ke Kuala Lumpur.
Tepat jam 05.05 petang waktu Casablanca,kami menaiki pesawat Qatar Airways ke Doha dengan transit 1 jam di Tripoli,Libya dan tiba di lapangan terbang Doha dalam jam 5 pagi.Di lapangan terbang Doha,kami transit selama 15 jam dan hanya akan menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur jam 08.15 malam nanti.
7 orang dari kami kesemuanya(11 orang) mengambil keputusan keluar ke bandar Doha dengan menbayar sedikit wang untuk visa keluar ke Doha dari lapangan terbang Doha.Kami hanya berjalan kaki sekitar pantai Cornice,singgah melihat pameran percuma di Muzium Seni Islam Doha dan sewaktu ingin berjalan kaki ke Souq Waqif,kami berjumpa dengan 2 orang rakyat Malaysia di Doha.Mereka menumpangkan kami menaiki kereta mereka dan membawa kami jalan-jalan sekitar bandar Doha dan sempat membawa kami melawat pantai Cornice,The Pearl,membelanja kami makan nasi kambing di restoran arab,ziarah Pusat Kebudayaan Islam dan membeli belah di Souq Waqif.
Tepat jam 8.15 malam,kami kesemunya menaiki pesawat Qatar Airways pulang ke Kuala Lumpur dari Doha dan selamat tiba di KLIA sekitar jam 8.30 pagi keesokan harinya(Sabtu 05/02/2011)
No comments:
Post a Comment