Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Saturday, May 01, 2010

Pelancaran UM Centre of Democracy and Elections dan Forum Penyuburan Amalan Demokrasi Di Malaysia:Peranan Mahasiswa

Pada 14 April 2010 bertempat di Dewan Kuliah F Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM ,UMCEDEL-UM Centre of Democracy and Elections secara rasminya telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,Dato Saifuddin Abdullah.

UMCEDEL ini merupakan ‘one stop center’ bagi kajian demokrasi dan pilihanraya dan akan memberi fokus kepada beberapa topik kajian seperti sosiologi politik,media dan pilihanraya,politik antarabangsa,politik serantau,geografi pilihanraya,wanita dan pilihanraya dan lain-lain lagi.Maklumat lanjut tentang UMCEDEL ini boleh didapati dalam laman web UMCEDEL(http://umcedel.um.edu.my/)

Sebaik sahaja pelancaran UMCEDEL ini,satu forum bersejarah bertajuk Penyuburan Amalan Demokrasi Di Malaysia:Peranan Mahasiswa telah diadakan dengan 4 orang panel mewakili parti politik yang berlainan iaitu Ahli Parlimen Temerloh(BN-Majlis Tertinggi UMNO) merangkap Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,YB Saifuddin Abdullah,Ahli Parlimen Rasah(Ketua Pemuda DAP) YB Anthony Loke Siew Fook,Ahli Parlimen Kubang Kerian(Naib Presiden PAS) YB Solahudin Ayub dan Ahli Parlimen Machang(Setiausaha Agung PKR)YB Saifuddin Nasution.Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM,Prof Dr Redzuan Osman telah bertindak selaku moderator forum.

Dalam ucapan pendahuluannya,Prof Dr Redzuan Osman mengucapkan penghargaan kepada Naib Canselor UM,Dato Dr Gouth Jasmon atas kesudian beliau membenarkan forum bersejarah ini diadakan.Selepas hampir 20 tahun,forum yang menampilkan panelis dari parti-parti politik termasuk parti pembangkang akhirnya diizinkan untuk diadakan di kampus.Mengikut Prof Redzuan Osman,Dewan Kuliah F Fakulti Sastera dan Sains Sosial inilah suatu ketika dahulu menajdi pentas pelbagai aktiviti mahasiswa dan menyaksikan kehadiran tokoh parti pembangkang seperti Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat,Dato Seri Abdul Hadi Awang dan ramai lagi dalam siri diskusi anjuran mahasiswa sendiri suatu ketika dahulu.

Bagi beliau,tujuan diadakan forum ini ialah untuk menghidupkan kembali suasana akademik di kampus dan mendedahkan kepada seluruh mahasiswa tentang ilmu-ilmu politik dan pemahaman demokrasi.Beliau berharap mahasiswa yang ingin menyertai politik suatu masa nanti masuk politik atas dasar faham demokrasi dan bukannya menjadi pengampu semata-mata.Beliau juga menyelar sikap segelintir pensyarah yang masuk tv hanya untuk mengampu.Pada pandangan beliau juga mahasiswa sepatutnya bebas memilih untuk masuk ke mana-mana parti politik dan oleh kerana itu beliau meminta semua pihak agar tidak merendahkan wibawa mahasiswa dan memberi ruang mahasiswa untuk berfikir.

Beliau juga mengulas tentang penganjuran Speaker corner’s sekarang yang mana bagi beliau tidak sepatutnya menetapkan syarat penyediaan teks terlebih dahulu.

YB Dato Saifuddin Abdullah pula meyambut baik kehadiran 3 orang panelis dari parti pembangkang dan menganggap mereka antara ahli parlimen pembangkang yang berbahas dengan baik tatkala sesi persidangan parlimen berlangsung.Dalam ucapan beliau,Dato Saifuddin melahirkan rasa kerisauannya dengan kisah banyaknya kerusi menang tanpa bertanding dalam pilihanraya kampus disamping rendahnya peratus keluar mengundi di kalangan mahasiswa sewaktu pilihanraya kampus.

Bagi beliau ini merupakan satu penyakit politik dan beliau berharap semua pihak berusaha menghakupaya mahasiswa yang mempunyai permintaan tersendiri disamping menyedari bahawa mereka mengharapkan permintaan asas mereka dipenuhi seperti ingin suara mereka didengari,peranan mereka diiktiraf dan menangani isu-isu berorientasi mahasiswa.Mahasiswa menurut beliau lagi bukan sahaja pemimpin masa depan bahkan pemimpin hari ini sebagai contoh memimpin orang yang lebih muda daripada mereka,memimpin mereka yang seangkatan dengan mereka disamping menjadi rakan kepimpinan dalam universiti,negara atau kerajaan.

Beliau juga menggalakkan mahasiswa agar terus menganjurkan pelbagai aktiviti dan program bersifat bakti berpanjangan serta tidak melupakan aspek advokasi atau mempengaruhi keputusan dimana ini merupakan perbezaan utama antara gerakan mahasiswa dengan persatuan-persatuan biasa.

Bagi Dato Saifuddin juga demokrasi bukan sekadar pilihanraya semata-mata dan beliau berharap akan wujudnya ekosistem politik baru yang berasaskan integriti-idealisme,politik ilmu berbanding politik ampu,politik hikmah berbanding politik fitnah dan beliau merasakan rakyat bukanlah memberi keutamaan kepada aspek siapa yang menang dalam pilihanraya tetapi yang lebih penting ialah kewujudan kerajaan yang baik.

Beliau juga mengkritik sikap segelintir ahli parlimen sendiri yang kurang bersopan dan berhikmah sewaktu persidangan Parlimen bahkan ada juga yang suka menjerit-jerit sehingga mengganggu perjalanan sidang Parlimen.Beliau juga mengharapkan kerjasama yang utuh antara pihak kerajaan,kelompok ahli perniagaan dan juga masyrakat sivil di samping menekankan penyertaan anak muda seperti mahasiswa dalam bersama-sama membangun negara.

Dalam sesi soal-jawab pula,beliau mengupas tentang kepentingan memperkasakan institusi parlimen dan juga menyatakan bahawa beliau kurang bersetuju dengan sistem bagaimana ahli parlimen berdebat rancak dalam sesuatu isu tetapi akhirnya terpaksa mengundi mengikut blok parti yang diwakili masing-masing.Beliau mengharapkan ada anjakan dalam membenarkan ahli parlimen untuk mengundi berasaskan kesedaran dan pilihan mereka sendiri.

Menjawab persoalan tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) pula beliau menjelaskan lantikan Naib Canselor,Timbalan Naib Canselor,Dekan dan sebagainya kini bukan lagi atas lantikan menteri bahkan atas lantikan jawatankuasa pemilihan tersendiri. Soal tafsiran tentang AUKU juga dikupas oleh beliau dan beliau sekali lagi menegaskan bahawa yang tidak boleh dalam AUKU sebenarnya tidak banyak iaitu seperti terlibat dalam parti politik ,kesatuan kerja atau pertubuhan haram sahaja.

Beliau juga mencadangkan agar pilihanraya kampus dikendalikan sendiri oleh para mahasiswa memandangkan ia merupakan satu proses pendidikan politik buat mahasiswa.

Dato Saifuddin Abdullah menutup bicara beliau dengan memetik tulisan cendekiawan dan tokoh pemikir,Profesor Syed Mohamad Naquib Al-Attas serta mengajak semua pihak agar membawa kembali roh dalam universiti,penghayatan budaya ilmu,dan makna universiti.

YB Anthony Low pula mengupas tentang peripentingnya kebebasan akademik dan kebebasan berfikir di kampus.Bagi beliau demokrasi merupakan satu proses penglibatan rakyat dalam sistem dan setiap undang-undang atau akta yang ingin ditetapkan perlu mendapat maklum balas masyarakat.

Beliau menekankan persoalan pemikiran kritikal di kalangan mahasiswa dan berharap mahasiswa menyedari bahawa mereka perlu menjadi pemimpin dan bukan sekadar pengikut sahaja.Proses pembinaan minda sepanjang berasa 3-4 tahun di kampus universiti perlu dimanfaatkan dan YB Anthony menganggap budaya mengejar ilmu di kalangan mahasiswa sekarang masih tidak cukup.Pada pendapat beliau,kalau dahulu mereka terlampau terikut dengan 3 M iaitu menulis,membaca,mengira dan kurang satu M lagi iaitu memikir kini mereka terikut pula dengan 3 M yang lain iaitu menyalin nota,menghafaz nota dan kemudiaanya memuntahkannya dalam peperiksaan.Beliau menekankan juga kepentingan perbincangan akademik di kalangan mahasiswa agar mereka dapat berbahas dan berbincang untuk percambahan idea disamping mampu menganalisis dan mengkritik maklumat berasaskan pemikiran kritikal.

Beliau juga mengupas persoalan AUKU dan menekankan kepentingan memansuhkan AUKU yang dilihat mampu melahirkan ketakutan psikologi kepada mahasiswa dan menurut beliau juga AUKU sebagai cubaan mengasingkan mahasiswa dengan politik secara sistematik.Beliau menimbulkan persoalan mengapa politik dilihat bahaya kepada mahasiswa.Beliau juga mengambil contoh bagaimana kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim di kampus sebuah universiti di London sebelum ini yang menyaksikan dewan dipenuhi oleh limpahan pelajar Malaysia dan negara lain yang ingin hadir mengikuti ucapan Dato Seri Anwar Ibrahim.Bagi YB Anthony,sistem di kampus Malaysia perlu lebih terbuka dan perlu menganggap sebarang kritik mahasiswa sebagai satu harapan mereka yang mahu sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat kepada masyarakat.

Mahasiswa menurut beliau juga merupakan suara pemantau pemerintah dan beliau menyarankan agar lebih banyak seminar,debat antara mahasiswa dan forum-forum dianjurkan sendiri oleh mahasiswa memandangkan ini juga dapat membantu para mahasiswa membina jaringan komunikasi dengan pihak luar.Beliau juga mengharapkan setiap IPT di Malaysia mendapat peluang yang sama seperti penganjuran forum ini.

Dalam sesi soal jawab pula,YB Anthony menegaskan apa yang lebih penting bagi mencipta kampus yang lebih terbuka dan kebebasan akademik bukannya jaminan individu tetapi jaminan undang-undang dan institusi dalam kampus itu sendiri.Kebebasan yang dituntut ini pula bukanlah kebebasan mutlak dan terlampau mengikut modul luar negara tetapi ia tetap mengetahui batasan sempadan kebebasan .Apa yang penting juga ialah memperkasakan institusi demokrasi itu sendiri seperti memperkasakan parlimen dan media.Beliau mengkritik penamatan program Debat Perdana yang pernah disiarkan secara langsung di television pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu dan juga berkenaan penapisan soal jawab dalam persidangan parlimen terhadap ucapan ahli parlimen pembangkang oleh RTM 1

YB Solahudin Ayub pula menekankan kepentingan mempejuangkan hak mahasiswa.Beliau berharap semua pihak tidak melayan pensyarah seperti guru sekolah dan juga tidak melayan mahasiswa seperti budak-budak sekolah.Anak muda pada era digital ini mengikut YB Solahudin perlu juga memiliki pemikiran digital dan mereka perlu menggelakkan diri mereka daripada diperbodoh,diperkecil dan ditakut-takutkan.Mereka perlu berani untuk suarakan kebenaran dan mendirikan integriti dalam setiap jiwa.

YB Solahudin juga menegaskan betapa kampus universiti telah terkebelakang 20 tahun dan mempersoalkan berapa ramai mahasiswa yang sudah menjadi mangsa sehingga hilangnya daya juang.Beliau mengkritik sikap sesetengah pihak yang seakan-akan melihat mahasiswa sebagai musuh negara.Bagi beliau semua pihak perlu menjadikan mahasiswa kelompok terpenting masyarakat dan menghargai setiap langkah dan pandangan mereka.

Beliau juga menceritakan bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat kali ini masuk ke parlimen bukan sekadar membangkang semata-mata tetapi mahu memberikan pandangan,idea dan wawasan yang konstruktif.

Beliau juga mengulas tentang dasar pelajaran negara yang masih bergantung kepada Penyata Rahman Talib dan Penyata Razak yang bagi beliau sudah tidak lagi relevan dan perlu dikaji semula dan beliau menimbulkan persoalan mengapa tidak diwujudkan Penyata Hishamudin atau Penyata Muhyiddin?

YB Solahudin juga membuat perbandingan antara sukatan pelajaran matapelajaran Sejarah di Malaysia dan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat.Di Amerika Syarikat mengikut beliau para pelajar semenjak di bangku sekolah didedahkan dengan isu-isu besar dalam matapelajaran Sejarah seperti isu Watergate,jatuh bangun Wall Street berbanding pelajar SPM di Malaysia yang bagi beliau lebih kepada menghafaz sejarah.Beliau mengharapkan dasar pendidikan yang lebih relevan masa kini diwujudkan segera disamping menegaskan bahawa AUKU mesti dimusnahkan.

Beliau juga mengharapkan padang permainan yang sama rata dalam pertarungan antara Barisan Nasional-UMNO di mana pemimpin BN-Umno dibenarkan masuk ke universiti,oleh kerana itu kerajaan juga perlu memberi pemimpin Pakatan Rakyat peluang untuk masuk ke universiti juga.

Teori ibnu khaldun dalam karyanya Muqaddimah tentang pusingan manusia juga dikupas oleh YB Solahudin dan mengambil contoh bagaimana Obama yang berkulit hitam mampu akhirnya menjadi Presiden Amerika suatu yang tidak pernah dibayangkan oleh rakyat Amerika dahulu.

YB Solahudin juga melahirkan rasa kecewanya dengan satu kajian yang mendapati ramai pelajar tahun akhir di universiti tidak memahamii isu-isu seperti Dasar Ekonomi Baru,liberalisasi ekonomi,IFC dan lain-lain akibat tidak berminat dengan isu-isu politik dan tidak ambil tahu tentang isu-isu semasa.

Beliau juga menceritakan bagaimana persaingan syarikat gergasi Jepun iaitu Honda dan Toyota yang mengeluarkan geran pendidikan-penyelidikan bagi menjual kereta-kereta Jepun bagi menyaingi kereta keluaran Korea seperti Hyundai-KIA dalam pasaran jualan kereta di seluruh dunia.Di samping itu juga beliau mengupas berkenaan kebangkitan gergasi ekonomi ,China dan betapa pentingnya Presiden Obama untuk mengeratkan hubungannya dengan Presiden China Hu Jintou bagi manfaat Amerika dan China berdasarkan ulasan majalah Time edisi terbaru.

Dalam sesi soal jawab pula YB Solahudin Ayub menekankan kepentingan mengangkat martabat,integriti dan wibawa Parlimen dan beliau mengambil contoh bagaimana kerajaan Thailand membayar gaji 2 orang penyelidik bagi setiap ahli parlimen Thailand samada dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

YB Saifuddin Nasution pula memulakan ucapannya dengan menetapkan KPI bagi kejayaan forum ini kepada Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial,Prof Dr Redzuan Osman dan Universiti Malaya keseluruhannya iaitu pada masa akan datang diadakan pula forum yang menampilkan Dato Seri Najib Tun Razak,Dato Seri Anwar Ibrahim,Dato Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

Universiti bagi beliau merupakan satu gedung ilmu dan warga universiti mepunyai daya intelektual yang tinggi.Oleh kerana itu beliau menolak sebarang usaha ugutan,sekatan,tekanan dan penafian hak kepada warga universiti keseluruhannya.Beliau menegaskan pemerintah bukannya lebih tahu segalanya dan rakyat hanya perlu menerima bulat-bulat sahaja dan disebabkan itu sesiapapun tidak boleh menyekat hak –hak rakyat seperti hak berpersatuan,hak berhimpun dan hak untuk berbeza pandangan dengan mana-mana pihak.

Menyentuh tentang demokrasi pula bagi beliau pilihanraya merupakan pesta demokrasi dan oleh kerana itu mahasiswa tidak perlu dihalang untuk terlibat dalam pesta demokrasi ini namun begitu perlulah memakai ‘jersi’ mahasiswa.Beliau menceritakan bagaimana beliau dan rakan-rakannya sewaktu memimpin mahasiswa suatu ketika dahulu yang terlibat dalam pilihanraya dengan mengadakan program pidato Pentas Siswa .

YB Saifuddin juga membuat perbandingan keterlibatan mahasiswa Malaysia dan Indonesia dalam pilihanraya dengan mengambil contoh bagaimana mahasiswa Indonesia yang memonopoli kaca television Indonesia sewaktu kempen Pemilu Indonesia untuk memberi komen dan kritik terhadap dasar kerajaan .Beliau menegaskan ,biar parti berlawan,rakyat dapat manfaat.

Beliau juga mengulas isu-isu semasa di Malaysia selepas kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke Amerika seperti isu hubungan Amerika-Asean,akta perdagangan strategic,Model Ekonomi Baru ,isu bantuan kepada Afghanistan, isu nuklear Iran,dan isu perunding komunikasi APCO.

Beliau berharap para pengundi muda untuk turun ke pilihanraya kecil Hulu Selangor nanti.

Dalam sesi soal jawab pula beliau menegaskan kepentingan peranan kepimpinan universiti yang merupakan faktor kritikal bagi menegakkan tradisi keilmuan di universiti.Beliau mengupas juga tentang sejarah penubuhan universiti , bagaimana kehebatan ilmu dan kepentingan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan ilmu dan universiti serta menekankan betapa pentingnya membudayakan ilmu dalam politik.

Penganjuran forum ini merupakan langkah awal upaya pencerahan kepada warga universiti ,proses keterbukaan dan kebebasan akademik bagi memberi makna kepada kewujudan universiti sebagai satu tempat pertarungan idea dan pemikiran.Semoga pihak universiti lebih terbuka dalam membenarkan penganjuran forum-forum intelek sebegini.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics