Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Wednesday, April 01, 2009

Kembara di Singapura

Tajuk Kertas Projek

Pengajian tafsir di Madrasah al-Juneid al-Islamiah Singapura.

Demikianlah tajuk kertas projek saya yang perlu disiapkan seberapa segera .
Tatkala sahabat-sahabat lain sedang sibuk menyiapkan dan menaip beberapa bab daripada kertas projek mereka,saya masih mencari-cari bahan untuk kertas projek tersebut apatah lagi dengan kelewatan menyiapkan proposal bahkan hanya mendapat kepastian tajuk sebenar setelah beberapa bulan semester ini berjalan.

Tajuk asal kertas projek saya ialah Pengajian Tafsir di Singapura yang kelihatan seperti tajuk peringkat Master dan kemudiaannya setelah berbincang semula dengan penyelia kertas projek akhirnya dikecilkan skop kajian dengan memilih salah sebuah madrasah di Singapura dan saya memilih Madrasah Al-Juneid Al-Islamiah sebagai fokus kajian.

Sebelum ke Singapura

Saya bertekad untuk ke Singapura seorang diri membuat kajian lapangan di Madrasah Al-Juneid setelah gagal menjumpai bahan-bahan penting di sekitar Malaysia memandangkan masa semakin suntuk untuk saya menyiapkan kertas projek .
Tatkala sahabat-sahabat yang lain sudah menyiapkan bab 3 hingga bab 4 ,saya masih belum menyiapkan walaupun Bab 1.

Setelah membuat penyelidikan tentang Madrasah Al-Juneid dan hal ehwal Singapura melalui bacaan di internet(terima kasih Pak Cik Yahoo ,Makcik Google,Ustaz Wikipedia dan sanak saudara mereka...),mengutus email tentang surat makluman kajian dan proposal kertas projek kepada pihak madrasah , serta mengirim SMS kepada seorang sahabat di Singapura ,akhirnya saya bertekad menaiki bas di hentian Bas Pudu untuk ke Singapura seorang diri.

Ketika ingin membuat tinjauan harga tiket ke Singapura,saya ke kaunter tiket bas ke Singapura berdekatan Stesyen Keretapi Kuala Lumpur dan harga tiketnya ialah RM 88 dan kemudiaannya saya terus ke kaunter bas di Pudu dan mendapati tiket bas ke Singapura hanyalah RM 39 sahaja.
Saya menaiki bas Greenland Express daripada Hentian Pudu jam 10 malam dan tiba di Golden Mile Complex di Singapura sekitar jam 3 pagi.

Daripada Masjid Sultan ke Madrasah Al-Juneid

Selepas solat subuh di Masjid Sultan,saya berehat sebentar dan kemudiaannya mandi pagi di sana.
Masjid Sultan bagi saya memang ‘mesra musafir ‘dengan membenarkan para musafir tidur di sekitar kawasan masjid,menyediakan kelengkapan bilik mandi yang bersih dan percuma.

Saya melihat beberapa senarai aktiviti yang dijalankan oleh pihak Masjid Sultan dan seperti yang sedia maklum,masjid-masjid di Singapura cukup aktif dengan pelbagai program yang kreatif serta pengurusannya yang professional.

Sepanjang perjalanan ke Singapura ini saya tidak membawa pun 2 benda penting bagi seorang penggembara iaitu Kamera dan Peta.

Saya juga tidak tahu di mana Victoria Street tempat terletaknya Madrasah Al-Juneid memandangkan saya hanya mengambil alamat madrasah tersebut melalui internet dan hanya melihat sepintas lalu peta Singapura dalam internet.

Jadi saya menggambil keputusan untuk berdikari mencarinya sendiri dengan berjalan kaki sekitar Bandar Singapura dengan hanya berpandukan papan tanda.
Malu bertanya sesat jalan.

Tatkala hampir sampai di Victoria Street,saya melihat sekumpulan pelajar wanita Islam bertudung labuh menuruni bas dan berjalan menuju ke destinasi mereka.Lantas saya bertanya kepada salah seorang daripada mereka apakah mereka itu pelajar madrasah dan kebetulan mereka merupakan pelajar madrasah tertua di Singapura iaitu Madrasah As Saggoff (untuk pelajar perempuan sahaja)yang sempat saya selidiki tentang maklumat madrasah ini hasil pembacaan melalui laman-laman web.

Saya bertanya kepada mereka di mana Madrasah Al-Junied dan mereka memberi panduan jalan ke Madrasah Al-Juneid yang sebenarnya tidak jauh daripada tempat saya bertemu dengan mereka tersebut.

Saya tidak terus ke Madrasah Al-Juneid sebaliknya sengaja mencari Madrasah As Saggof apatah lagi ia merupakan madrasah yang tertua di Singapura yang dibina pada tahun 1912.

Setelah menjumpai Madrasah As Saggof ,saya melintasi pula Malay Heritage Centre atau Istana Kampung Gelam tetapi ketika itu ia masih belum dibuka untuk lawatan.
Lantas saya berjalan kaki terus menuju ke Madrasah Al-Juneid dan sebaik sahaja melihat bangunan Madrasah Al-Juneid,sedikit kelegaan dan gembira hati saya sambil bermonolog seorang diri;’permulaan yang terbaik.’

Urusan di Madrasah Al-Juneid

Tibanya saya di Madrasah al-Juneid terus saya ke kaunter pertanyaan di tingkat bawah madrasah.Sungguh Indah reka bentuk dan lanskap madrasah al junied ini .
Saya memperkenalkan diri kepada kerani yang menjaga kaunter tersebut dan menceritakan serba sedikit tentang kajian yang akan saya lakukan nanti.
Setelah menunggu sebentar,saya di bawa terus ke pejabat naib mudir madrasah dan disana saya menemubual naib mudir madrasah berkenaan latar belakang dan pengajian tafsir di madrasah ini.

Rupa-rupanya beliau sudah dimaklumkan tentang perancangan kajian saya melalui email proposal kajian yang saya hantar ke alamat email madrasah ini.Dan sebenarnya juga saya dimaklumkan oleh seorang ustazah yang turut bersama saya dan naib mudir bahawa beliau sebenarnya ada menghantar email balasan kepada saya meminta maklumat lanjut dan tarikh kehadiran saya di Madrasah Al Juneid ini.
Kesilapan saya apabila tidak membaca email balasan tersebut sebaliknya terus datang mengejut ke madrasah ini.

Banyak maklumat yang saya perlukan saya dapatkan melalui temubual dengan naib mudir madrasah ini dan kemudiaannya pula saya menambahkan maklumat kajian dengan menemubual pula seorang ustaz daripada Indonesia yang mengajar tafsir di madrasah ini yang turut bersama-sama saya di bilik pejabat naib mudir madrasah.
Naib mudir madrasah menghadiahkan saya sebuah buku rujukan tentang Madrasah Al-Juneid manakala ustaz yang mengajar tafsir tadi pula membantu saya photostat muka hadapan beberapa buah buku rujukan berkenaan tafsir yang digunapakai di madrasah ini.
Alhamdulillah urusan saya di Madrasah Al-Juneid ini dipermudahkan Allah.
Saya melangkah keluar daripada pintu masuk madrasah ini dengan penuh harapan dapat kembali lagi ke madrasah ini.

Terserempak Surya di Singapura

Saya mengenali Surya tatkala hadir ke program Bedah Buku Ketika Cinta Bertasbih bersama Habiburahman El-Shirazi (kerjasama PBMUM-PPI-PMIUM-PMAPIUM) di IPS,UM yang lalu.

Selepas solat jumaat di Masjid Sultan tanpa disangka-sangka saya terserempak dengan Surya kembali.Turut bersamanya ialah Hj Sulaiman,ayahnya.
Saya hanya memaklumkan kehadiran ke Singapura melalui SMS kepada Musab kawan baik Surya yang turut hadir dalam bedah buku dahulu namun tidak memaklumkan kepada Surya kerana menyangka beliau menetap di Indonesia.

Sebaik sahaja bertemu,kami makan tengahari bersama di sebuah restoran Indonesia berdekatan Masjid Sultan.(Surya belanja).
Kami bersembang pelbagai topik sambil menjamu makan tengahari.

Di Wardah Book Store

Kedai buku ini terletak berdekatan sahaja dengan Masjid Sultan.Kami singgah di kedai buku ini memandangkan Surya ingin bertemu dengan sahabatnya yang menjaga kedai buku ini .
Agak lama kami singgah di kedai buku yang menjual pelbagai buku-buku menarik terutamanya buku-buku tentang Islam dari United Kingdom dan disini jugalah saya memasang telinga mendengar Surya dan sahabatnya itu berdiskusi dan berdebat pelbagai topik ilmiah.

Saya dan ayah Surya hanya mendengar sahaja diskusi tersebut sambil berehat di sofa kedai buku ini.
Ayah Surya juga sempat mengulas proposal kajian saya dan mengkrittik serta memberikan pelbagai cadangan kepada saya bagi menambahbaik dan memantapkan lagi kajian saya nanti.

Ayah Surya yang juga merupakan seorang Ketua Program Studi Pendidikan di Universiti Muhammadiyah di Sumatera Utara ,Indonesia mengadu kepada saya betapa bimbangnya beliau dengan Surya yang terlampau suka dan kuat membaca,berdiskusi dan berdebat bahkan beliau meminta pandangan saya bagaimana boleh membantu Surya menghentikan minat dan ketagihan membaca terlampau ini!!!

Bapa Surya meminta saya cuba berdiskusi dan berdebat dengan Surya sebentar dan akhirnya Surya berhenti berdiskusi dengan sahabatnya tadi dan kini berdiskusi dengan saya pula atas permintaan ayahnya.

Ayahnya meminta saya berdiskusi dengan beliau agar saya melihat sikap dan perwatakan beliau tatkala berdiskusi dan memastikan adakah Surya ini sukar mendengar pandangan orang lain atau tidak.

Diskusi bersama Surya

Pada mulanya saya tidak tahu hendak berdiskusi tentang topik apa dan kemudiannya mata saya terpandang kepada sebuah buku berkenaan Badiuzaman Said Nursi di atas rak buku Wardah Book Store ini lantas saya meminta pandangan Surya tentang Badiuzaman Said Nursi.

Jawapan dan kupasan Surya cukup menarik dan beliau bukan sahaja memperkatakan tentang Said Nursi semata-mata malah mengaitkan pendekatan Said Nursi dalam politik dan pendidikan@mendidik ummat dengan pendekatan Al-Ghazali ,Syed Mohamad Naquib Al-Attas dan Fethullah Gulen.

Banyak maklumat baru yang saya peroleh daripada diskusi bersama Surya dan Surya yang kuat membaca buku-buku dalam Bahasa Inggeris memberitahu saya beliau dalam perancangan mahu mendalami dan menguasai Bahasa Arab pula.

Hari Pertama di Perpustakaan Nasional Singapura

Surya membawa saya dan ayahnya ke Perpustakaan Nasional Singapura yang terletak agak strategik di tengah kota Singapura.
Di perpustakaan inilah menurut ayah Surya tempat Surya selalu lepak bergelumang dengan buku-buku .
Bagi saya inilah perpustakaan yang terbaik ,tercanggih dan terbesar yang pernah saya jejakkan kaki ke dalamnya.

Sebelum ini perpustakaan terbaik yang masuk dalam senarai pilihan saya antaranya ialah Pusat pembelajaran kejiran@PPK di Presint 8 Putrajaya,Perpustakaan Az Zahra’ di Kubang Kerian ,Kelantan,perpustakaan UM Nilam Puri,Perpustakaan API UMKL,Perpustakaan Utama UMKL,Perpustakaan Pusat Islam,Perpustakaan UIAM ,Perpustakaan Negara dan lain-lain lagi.
Bangunan Perpustakaan Nasional Singapura ini tingginya lebih daripada 11 tingkat(Saya lepak di tingkat 11 manakala Surya di tingkat 7)
Memang mata saya terbeliak melihat pelbagai buku menarik yang saya jumpa di atas rak-rak buku perpustakaan ini.

Kalaulah bukan saya ingin fokus mencari bahan-bahan tentang kajian tafsir di Madrasah Al-Juneid pasti saya akan ‘berkampung’ dan ‘bermalam’ di perpustakaan ini untuk membaca buku-buku pilihan.
Banyak bahan maklumat tentang kajian yang ingin saya lakukan ditemui di perpustakaan ini.

Hari sudah lewat petang menghampiri waktu maghrib.Saya,Surya dan Ayahnya masih di perpustakaan.
Sebenarnya saya bercadang ingin pulang ke Kuala Lumpur malam ini juga tetapi menyedari betapa banyaknya maklumat tentang kajian yang saya perolehi di perpustakaan ini dan masih banyak yang belum diambil catatannya,jadi saya membatalkan hasrat ingin pulang malam ini atau kata lain,tambah satu hari lagi Singapura!!!

Berjumpa Mus’ab di kedai pakaiannya di Temporary Market

Sebaik sahaja keluar daripada perpustakaan,saya dan ayah Surya menaiki bas menuju ke Temporary Market untuk berjumpa dengan sahabat saya,Mus’ab.
Surya tidak mengikuti kami kerana mahu menyelesaikan bacaan dan penyelidikannya di perpustakaan tadi.

Menurut ayah Surya,Surya sanggup tidak makan nasi hanya demi membaca buku!!
Akhirnya,saya berjumpa juga dengan Mus’ab yang sedang berkerja menjaga kedai kainya.Mus’ab membantu keluarganya menjual pakaian-pakaian seperti jubah dan tudung wanita dari negara Arab,kain batik dan lain-lain pakaian lagi.
Setelah menutup kedainya ,kami singgah solat maghrib di surau Darul Arqam Singapura yang pernah saya kunjungi tatkala kali pertama ke Singapura menziarahi sahabat FMSA dan NUSMS bersama-sama rombongan PKPIM dahulu.

Mus’ab mempelawa saya bermalam di rumahnya apabila mengetahui saya menangguhkan hasrat ingin pulang pada malam itu manakala ayah Surya ingin pulang ke rumahnya.
Saya meninggalkan ayah Surya dengan penuh kesedihan memandangkan beliau sudi menemani saya berjalan-jalan sekitar Singapura ini semenjak kami bertemu selepas solat Jumaat sehinggalah hampir maghrib.
Banyak ilmu dan pengalaman hidup yang sempat beliau curahkan pada saya sepanjang pertemuan sebentar kami ini.

Di Rumah Mus’ab di Pasir Ris

Dalam perjalanan ke rumah Mus’ab,Mus’ab berhenti di sebuah kedai di tepi jalan dan membelanja saya makan buah durian beberapa biji.


Kemudiannya kami menaiki MRT dan bas terus ke rumah Mus’ab.
Di rumah Mus’ab saya bersembang panjang dengan ayahnya sebelum tidur tentang beberapa isu dan malam itu saya tidur nyenyak keletihan dalam kembara seharian.
Keesokan paginya,emak Mus’ab menghidangkan sarapan pagi kepada saya dan sarapan pagi tersebut cukup saya gemari iaitu roti dengan telur,mentega dan madu serta air teh arab.

Emak Mus’ab turut memberi saya seutas tasbih yang cantik untuk dihadiahkan kepada emak saya dan katanya sebagai tanda saya selamat sepanjang tinggal semalaman di rumahnya.

Dari rumah Mus’ab,saya dan Mus’ab menaiki bas dan kemudiaanya MRT dan di perhentian MRT kami berpisah dengan Mus’ab turun ke perhentian berdekatan kedai pakaiannya manakala saya meneruskan perjalanan ke perhentian yang paling hampir dengan Perpustakaan Nasional Singapura.

Saya berterima kasih kepada Mus’ab sepanjang bantuannya tatkala saya di Singapura dan kami berjanji akan bertemu lagi suatu masa nanti.
Terasa sedih berpisah dengan sahabat saya ini.

Inilah nilai persahabatan.

Kami hanya baru berkenalan satu hari sahaja tatkala hadir ke program Bedah Buku di UM.

Tatkala Mus’ab di UM,saya membantu beliau beberapa urusan dan tatkala saya di Singapura pula Mus’ab membantu saya pula.
Allah jua yang paling banyak membantu kami.

Hari Kedua di Perpustakaan Nasional Singapura

Perpustakaan Nasional Singapura buka sekitar 10 pagi dan saya tiba di sana sekitar 12 tengahari.
Dari pukul 12 tengahari itulah sehingga hampir masuk solat Maghrib,saya bergelumang dengan buku-buku di perpustakaan ini.

Pada mulanya saya cuba menyiapkan beberapa catatan penting tentang tajuk kajian saya dan kemudiaannya saya memilih dan membaca pula buku-buku pilihan yang saya temui di beberapa tingkat rak buku perpustakaan yang cukup besar dan canggih ini.
Sekali sekala saya keluar berehat berjalan-jalan di luar perpustakaan dan selepas itu menyambung kembali tugasan di dalam perpustakaan.

Saya cukup berpuas hati dengan suasana budaya ilmu di perpustakaan ini dan berjanji akan mewajibkan diri hadir ke perpustakaan ini sekali lagi jika berkunjung ke Singapura pada masa akan datang.

Pulang ke Kuala Lumpur

Dari Singapura ,saya menaiki bas ke Johor Bharu.Pada mulanya saya ingin pulang terus ke Kuala Lumpur dari Singapura tetapi mujur Mus’ab, Surya, dan ayahnya memaklumkan kepada saya bahawa kos tambang lebih jimat jika ke Johor Bharu@Larkin terlebih dahulu memandangkan kita tidak perlu membayar menggunakan wang dollar Singapura.Jika dari Singapura terus ke Kuala Lumpur,harga tiket lebih mahal kerana bayaran menggunakan Dolar Singapura.

Saya tiba di Johor Bharu sekitar pukul 10.30 malam dan terus menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 11 malam dan akhirnya tiba dengan selamat di hentian Pudu pada sekitar pukul 4 pagi.

Kembara 2 hari di Singapura cukup memenatkan tapi penuh nikmat.Semoga ia menambahkan ilmu dan pengalaman hidup buat saya.Jalan-jalan ....Cari Tuhan........

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics