Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Wednesday, August 20, 2008

6 RESOLUSI PAROI






6 RESOLUSI PAROI Seminar Islam dan Cabaran Semasa bertemakan ''Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa” anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS),bersempena dengan Muktamar Sanawi ABIM Ke-37 yang telah diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan, Seremban pada 16 Ogos 2008 Masihi bersamaan 14 Syaaban 1429 Hijrah.


Menginsafi perkembangan mutakhir yang menyaksikan terdapat kecenderungan pihak-pihak tertentu di negara ini atas nama globalisasi, liberalisasi dan hak-hak asasi terutamanya selepas PRU-12 untuk menafsir dan mengolah asas-asas yang membentuk teras negara-bangsa Malaysia secara melulu demi memenuhi agenda kelompok mereka yang jelas tidak meraikan semangat permuafakatan yang telah terbina sejak lebih 50 tahun Merdeka, maka kami peserta Muktamar dan Seminar dengan ini ingin menyatakan pendirian kami bahawa:

1. Percubaan demi percubaan untuk membentuk persepsi baru mengenai pensejarahan Malaysia dengan sengaja menghilangkan kepentingan peranan faktor-faktor yang melatari sejarah, sosio-budaya, geo-politik tanahair dan yang lebih utama peranan Islam itu sendiri dalam pembentukan negara-bangsa hanya akan mengundang bahaya terhadap kestabilan dan keharmonian masyarakat yang telah terbina selama ini.

2. Angin perubahan atas nama globalisasi, liberalisasi dan hak-hak asasi janganlah dijadikan alasan untuk melunturkan hak-hak istimewa orang Melayu, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-Raja Melayu dan kedudukan khusus Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
3. Menyeru semua rakyat Malaysia yang prihatin dan cintakan keamanan agar mempertahankan kontrak sosial sebagai asas pembinaan negara-bangsa kita dan pembentukan masyarakat majmuk Malaysia serta menolak sebarang usaha untuk mencetuskan ketidakharmonian dalam hubungan kaum di negara ini dengan menggangu-gugat fabrik sosial yang telah terbina kukuh dan terbukti berjaya selama ini.


4. Mendesak pihak kerajaan supaya memperbaharui komitmen terhadap dasar-dasar utama pendidikan, kebudayaan dan bahasa yang jelas jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan menjadi teras utama dalam pembinaan perpaduan nasional. Kita juga berpegang kepada firman Allah bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan berkaum-kaum supaya mereka dapat mengenali antara satu sama lain, bukan untuk dipecah-pecahkan melalui politik perkauman. Ini sekaligus tidaklah menghalang penerimaan secara positif kepelbagaian budaya dan agama kaum-kaum lain di Malaysia dan peranan mereka dalam proses pembinaan perpaduan nasional.

5. Mendesak kerajaan menjunjung tinggi integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran awam, institusi kehakiman, perundingan dan polis. Institusi-institusi ini perlu dikendalikan oleh manusia yang cekap, tegas, telus dan adil serta tidak memilih bulu.


6. Menyeru semua pihak agar usaha-usaha agresif untuk memperkasa institusi-institusi umat Melayu termasuklah institusi Raja-Raja Melayu, Majlis Agama dan Para Ulama, Ilmuan dan Tokoh Masyarakat, Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat, Media-Media Melayu dan Kelompok Usahawan dan Perniagaan Melayu demi melahirkan generasi Melayu Islam yang lebih tersusun dari sudut visi dan misi perjuangan mereka serta lebih terserlah kepimpinan akhlak, keilmuan dan kemasyarakatan mereka dalam menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi dan sekularisasi.

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics