Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Thursday, April 25, 2013

Renungan sebelum PRU 13:Beberapa pandangan Dato Dr Siddiq Fadzil

Menjelang PRU 13 yang bakal tiba nanti ,kita mengharapkan ia menjadi satu Hari Rakyat dimana rakyat Malaysia yang layak mengundi berpeluang memilih calon dan parti terbaik pilihan mereka secara bebas dan adil untuk mentadbir negara Malaysia.Kita mengharapkan suasana kempen pilihanraya yang bersih, aman, dan matang dan bukannya kempen politik kotor,samseng,lucah,penuh dengan dendam kesumat,fitnah dan makihamun.Rakyat Malaysia perlu memberi tekanan kepada semua ahli politik Malaysia agar tiada dikalangan mereka yang memanfaatkan tempoh berkempen hanya untuk menabur fitnah ,tidak menjaga adab,budaya dan tutur kata-bahasa mereka.Rakyat perlu memberi isyarat kepada mereka bahawa sesiapapun yang mahu turut serta dalam kempen politik di negara ini perlu mematuhi undang-undang,tidak melangggar tata susila ,menerapkan nilai murni ,menjaga adab dan berakhlaq mulia .

Kita mengharapkan tempoh berkempen pada pilihanraya kali ini dipenuhi dengan agenda pendidikan demokrasi rakyat dan rakyat Malaysia dapat menilai dengan sebaik mungkin calon dan parti politik yang akan bertanding dalam pilihanraya nanti.Untuk itu kita begitu mengharapkan misalnya diadakan debat manifesto antara pimpinan politik yang bertanding dan juga debat antara calon Perdana Menteri agar rakyat mampu menilai hujah sekaligus mampu membuatkan rakyat berfikir dan memanfaatkan aqal mereka ke arah politik yang lebih matang dan bertamadun.Rekod pentadbiran parti yang bakal bertanding misalnya juga perlu dinilai oleh rakyat dan untuk menilai tersebut pastinya maklumat yang adil dan seimbang perlu didedahkan kepada para pengundi.Kita juga mengharapkan para pengundi sesuatu kawasan DUN atau Parlimen mendapat waktu yang mencukupi untuk mengenali calon-calon yang akan bertanding di kawasan mereka.

Dalam tulisan ini,penulis akan memetik beberapa pandangan Dato Dr Siddiq Fadzil,Presiden Wadah Pencerdasan Umat dalam bukunya ‘’Islam dan Melayu:Martabat Umat dan Daulat Rakyat’’ yang wajar direnung oleh rakyat Malaysia menjelang PRU 13 nanti.



Kualiti kepimpinan

Sesiapapun calon yang menang dalam pilihanraya nanti,kita mengharapkan mereka terdiri daripada calon-calon yang memiliki kualiti kepimpinan yang tinggi.Seandainya calon yang menang itu tidak memiliki kualiti kepimpinan atau menang hanya kerana menumpang kehebatan parti yang diwakilinya walaupun dirinya tidak berkualiti,ia pasti akan membawa kemudaratan kepada rakyat bahkan kepada pembangunan negara.Soal kualiti kepimpinan ini disentuh oleh Dato Dr Siddiq Fadzil dalam tulisannya ‘’Islam dan Kepimpinan Politik Melayu:Dari Tradisi ke Demokrasi-Islami’’ :-

‘’Yang menjadi kendala besar pembangunan bangsa dan negara bukan masalah kewangan,tetapi kualiti kepimpinan.Masalah inilah yang diserlahkan oleh Prof Syed Hussein Al-Atas ketika membicarakan isu kendala-kendala pembangunan(obstacles to development).Menurut Al-Atas,kendala terbesar proses pembangunan adalah ketidakmampuan para penguasa yang disebutnya sebagai undeveloped ruling group.Mereka adalah para penguasa yang tidak memiliki kualiti yang diperlukan untuk membangun,iaitu:kewibawaan etika(ethical integrity),kemampuan berfikir(thinking capacity),dan stamina berfikir dan bekerja untuk pembangunan(stamina for development thinking and development work)


Mengulas masalah kualiti kepimpinan Melayu dan apa yang dipanggil sebagai ‘gejala kepudaran idealisme kepimpinan’ beliau mengungkapkan seperti berikut:-

‘’Ternyata masalah kualiti kepimpinan Melayu masih berterusan dan diperlihatkan dalam gejala kepudaran idealisme kepimpinan.Yang sering terjadi bukan pemilihan pemimpin secara matang,waras dan rasional:tetapi lebih berupa perebutan kuasa dan pertarungan hancur-hancuran dalam aturan main the winner takes all yang membawa kesudahan yang kalah menyimpan dendam,yang menang lupa daratan.Gejala berubahnya pemilihan pemimpin menjadi perebutan kuasa adalah akibat dari kekeliruaan persepsi tentang kepimpinan dan kekuasaan.Dengan ungkapan lain,amanah telah disalah anggap sebagai tuah dan ghanimah.Tidak hairanlah jika yang dirasakan bukan lagi beratnya tanggungjawab kepimpinan,tetapi sedapnya menjadi ‘orang besar’’

Kita mengharapkan parti-parti yang bakal bertanding dalam pilihanraya nanti menampilkan calon-calon yang terbaik dan berkualiti yang mampu menunaikan amanah sebagai pemimpin rakyat dengan sebaik mungkin seandainya mereka memenangi pilihanraya nanti.Hak dan nasib rakyat kita harapkan dapat diperjuangkan oleh pemimpin berkualiti ,pemegang amanah kekuasaan yang diungkapkan oleh Dato Dr Siddiq Fadzil ‘’datang dari rakyat,yang hidup bersama rakyat,yang menghayati denyut nadi dan degup jantung rakyat,yang merasa senasib dan seperuntungan dengan rakyat’.

Iklim kebebasan

Pemimpin yang berkualiti yang kita harapkan tidak turun dari langit atau muncul mendadak dengan gosokan lampu ajaib Aladdin.Menurut Dato Dr Siddiq Fadzil:-

‘’Pemimpin tidak lahir dalam kekosongan.Mereka terbentuk dalam iklim dan persekitaran zaman dan lingkungan.Untuk memunculkan pemimpin yang berkualiti diperlukan persekitaran yang kondusif,terutama kebebasan.

(’Islam dan Kepimpinan Politik Melayu:Dari Tradisi ke Demokrasi-Islami’’)

Kita mengharapkan wujud ruang kebebasan (misalnya kebebasan bersuara,kebebasan media) dan melaluinya rakyat dapat menilai calon-calon pemimpin mereka sekaligus mengangkat calon-calon pemimpin terbaik dikalangan mereka.Sekiranya ruang kebebasan disekat ,ia hanya akan membantutkan pergerakan calon pemimpin yang berkualiti lantas menimbulkan kekeliruan kepada rakyat dan seringkali terjadi rakyat tersilap dalam membuat pilihan calon pemimpin serta mengangkat dan mengagung-agungkan pemimpin palsu yang tidak memiliki kualiti kepimpinan yang diharapkan.


Oleh kerana itu Dato Dr Siddiq Fadzil menegaskan :-

‘’Hanya dalam iklim kebebasan dan kemerdekaan,calon-calon pemimpin mendapat ruang yang seluas-luasnya untuk mengembangkan bakat:membina kemampuan berfikir(thinking capacity) dan memperkasa daya juang(fighting spirit).Persekitaran budaya yang penuh sekatan,belenggu dan kongkongan tidak akan membentuk pemimpin yang kritis,kreatif,cerdas dan berwawasan luas.Yang dapat dilahirkan dari iklim yang tidak mencerdaskan itu hanya budak-budak suruhan yang patuh,pasif dan submisif.Untuk menjayakan misi pemerkasaan bangsa,yang diperlukan bukan cuma ‘’orang besar’’ tetapi pemimpin rakyat,pemimpin yang tumbuh dari bawah,teruji di gelanggang hempas pulas perjuangan di tengah umat,bukan yang ditunjuk dari atas’’

Iklim kebebasan dengan penuh tanggungjawab mampu mengangkat pemimpin terbaik yang mampu memimpin rakyat ke jalan yang benar.Rakyat yang cerdik pastinya mendokong sepenuh hati terhadap pemimpin yang paling berkualiti dan benar-benar berkhidmat demi rakyat dan bukannya pemimpin yang memanfaatkan kedudukan dan jawatan mereka demi kepentingan peribadi dan rakus membolot harta dan kekayaan negara.

Kuasa media

Menjelang pilihanraya juga kita akan menyaksikan media menjadi satu kuasa yang cukup besar dalam usaha mengawal dan mempengaruhi pemikiran rakyat.Oleh kerana itu kita dapat melihat pihak yang mahu mengekalkan kuasa mereka sanggup berbelanja besar untuk menguasai pelbagai media bahkan isi kandungan media tersebut juga sebenarnya banyak ditentukan oleh agen-agen dan pihak mereka sendiri.Disebabkan itu jugalah media tersebut tidak lagi bebas dan jujur dalam menyampaikan kebenaran bahkan sanggup memutarbelit,menyebar berita palsu,fitnah dan propaganda negatif terhadap pelbagai pihak yang dilihat sebagai musuh dan lawan mereka.

Menurut Dato Dr Siddiq Fadzil dalam tulisannya ‘’Islam dan kepimpinan politik Melayu:Dari Tradisi ke demokrasi-islami’’:-

‘’Ketika ini kita tidak hanya menyaksikan kuasa media,tetapi juga penguasaan ke atas media oleh pihak yang berkuasa.Akibatnya media tidak bebas memaparkan fakta seadanya,tetapi melakukan distorsi yang mengeliru dan menyesatkan.Peranan media sebagai image maker dieksploitasi sedemikian rupa sehingga wajah sebenar pemimpin tidak ditampakkan dalam citra hakikinya.Permainan membesar-besarkan orang kecil dan mengecil-ngecilkan orang besar sudah begitu berleluasa,malah untuk itu fitnah,gossip dan pembohongan telah dibudayakan.’’

Kita mengharapkan pihak media bebas dan berani dalam memperjuangkan kebenaran dan tidak bersubahat dengan pihak yang mempunyai agenda peribadi yang sanggup membuat apa sahaja termasuk taktik kotor demi memuaskan kehendak nafsu mereka.Pihak media sepatutnya memainkan peranan yang cukup besar dalam memberi fokus kepada isu-isu yang dekat di hati
rakyat ,mengutarakan masalah yang dihadapi rakyat serta bersifat mendidik ,mencerah,memandai dan memperkasakan pemikiran rakyat bukannya menjadi alat pembodohan rakyat.

Gerakan melawan pembodohan

Dato Dr Siddiq Fadzil dalam tulisannya ‘Pemberdayaan umat:Kembalikan daulat keinsanan rakyat ‘ juga menegur apa yang dipanggilnya ‘unsur-unsur fir’aunisme dalam dasar pembinaan pemikiran rakyat’.Pemikiran rakyat dibelenggu dan dicengkam serta tidak dibenarkan untuk berfikir dengan lebih luas dan terbuka .Apa sahaja pandangan yang dilihat berbeza dengan penguasa akan dilabelkan dengan pelbagai label negatif dan segala perbezaan pandangan tidak diraikan bahkan dikecam hebat serta tidak diberi ruang untuk dibahaskan secara terbuka.Akhirnya ia mampu melahirkan sekelompok manusia yang sangat taksub dengan pandangan mereka ,sukar menerima pandangan orang lain bahkan sanggup melakukan tindakan samseng dan biadab terhadap lawan mereka.

Apa yang digelar sebagai ‘Pembodohan ala Fir’aun’ oleh Dato Dr Siddiq Fadzil ini juga dijelaskan dengan lebih lanjut oleh beliau seperti berikut:-

‘Salah satu bentuk pembodohan ala Fir’aun ialah dengan membelenggu pemikiran rakyat dalam kurungan ideologi penguasa.Rakyat tidak dibenarkan melihat ke luar tembok kekuasaan.Mereka tidak dibenarkan melihat ke mana-mana arah selain arah yang ditetapkan oleh penguasa.Pemikiran yang boleh dimasyarakatkan hanya pemikiran versi pihak berkuasa.Versi-versi lain digelapkan dan diberi label subversif dan meracuni fikiran rakyat



‘Yang mereka lakukan bukan cuma membodohkan,tetapi juga pelbagai strategi lain yang dapat melemahkan rakyat,termasuk menakut-nakutkan.Negara yang rakyatnya lemah,bodoh dan penakut adalah lahan yang subur bagi para penguasa berleluasa merajalela.Dalam konteks seperti itulah perlunya suatu gerakan melawan pembodohan dan sekaligus mengembalikan keberanian rakyat’’

Gerakan melawan pembodohan yang disarankan oleh Dato Dr Siddiq Fadzil ini perlulah diberi perhatian oleh para pejuang kebenaran dan ia perlu digerakkan dengan lebih tersusun agar rakyat tidak terus diperbodohkan dan hilang keberanian untuk melawan ketidakadilan dan kepalsuan.Kita perlu yakin kepada kebijakan dan kecerdikan rakyat dan rakyat tidak akan mudah diperdaya dan diperbodohkan sekiranya gerakan melawan pembodohan secara sistematik digerakkan dari akar umbi oleh pelbagai pihak secara bersama.


Ilmuwan rakyat

Dalam usaha melawan gejala pembodohan rakyat Dato Dr Siddiq Fadzil menekankan kepentingan peranan ‘institusi pendidikan kerakyatan yang komited terhadap aspirasi pembinaan kader ilmuwan rakyat,yang mengakar di tengah umat’.Menurut beliau dalam tulisannya ‘Pemberdayaan umat:Kembalikan daulat keinsanan rakyat’ :-

‘’’Telah sekian lama umat dikecewakan oleh para cendekiawan/ulama yang hanya punya majikan ,tetapi tidak punya umat.Sekarang adalah saatnya kita membina kader-kader public intellectuals,cendekiawan yang memiliki kepedulian yang tinggi terhadap untung nasib rakyat,ilmuwan yang sedar bahawa ilmu mempunyai fungsi sosial-merubah,memperbaiki dan memperkasa manusia.Pemikiran rakyat seharusnya dibentuk oleh para ilmuwan,bukan oleh media propaganda’’


Kita impikan kelahiran para cendekiawan-ilmuwan yang aktif memperjuangkan nasib rakyat bawahan dan bukan sekadar cendekiawan-ilmuwan yang sekadar berbangga dengan status gelaran mereka semata-mata ,tidak peka dengan masalah yang dihadapi rakyat,jauh dari rakyat,suka mengampu –membodek pimpinan politik dan menjadi boneka para penguasa.

Para cendekiawan-ilmuwan tersebut juga perlu memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran rakyat sekaligus menggerakkan perubahan ke arah kebaikan.Mereka mampu menjadi rujukan terpenting buat rakyat dan para pemimpin sekaligus mempengaruhi dalam pembinaan dasar-dasar utama negara.Mereka juga harus berani dan jujur dalam menegur segala kepincangan yang berlaku dan tidak menyembunyikan kebenaran mahupun bersekongkol dengan pihak yang aktif menyebarkan kepalsuan dan dan pembohongan.

Semoga kelahiran ilmuwan rakyat itu nanti mampu menggerakkan usaha pencerahan terhadap pemikiran rakyat serta agenda pemerkasaan dan pemberdayaan rakyat.


Pendidikan demokrasi

Agenda pemberdayaan rakyat ini menurut Dato Dr Siddiq Fadzil perlu merangkumi pendidikan demokrasi.Demokrasi jangan hanya sekadar menjadi mainan di bibir mulut sahaja dan rakyat juga jangan mudah ditipu dengan segelintir pemimpin politik yang atas nama demokrasi versi mereka ,mereka terus melemahkan dan memandulkan pemikiran rakyat.Rakyat perlu dididik tentang pendidikan demokrasi ini dan disedarkan tentang hak-hak mereka yang sering dilupakan oleh segelintir pemimpin politik yang tidak mahu kedudukan mereka tergugat.

Mengulas soal pendidikan demokrasi ini Dato Dr Siddiq Fadzil dalam tulisannya ‘’Pemberdayaan umat:Kembalikan daulat keinsanan rakyat’’ menjelaskan :-

‘’Pakej pemberdayaan rakyat dalam konteks sekarang harus meliputi pendidikan demokrasi,agar dengan begitu rakyat tahu makna sebenar demokrasi dan bagaimana ia semestinya dilaksanakan.Rakyat harus dididik bagaimana menggunakan hak demokratiknya secara bijaksana dan bermaruah.Mereka juga harus disedarkan tentang hak-hak mereka sebagai pemilih,termasuk maklumat yang cukup dan seimbang tentang semua parti dan calon yang bertanding.Apalah erti hak pilih tanpa maklumat yang cukup tentang apa dan siapa yang hendak dipilih’’

Tanpa usaha pendidikan demokrasi ,rakyat selamanya dinafikan hak mereka dan para pemimpin cenderung menipu dan memperbodohkan rakyat.Rakyat akan dikelirukan dengan demokrasi palsu bikinan pemimpin yang memanfaatkan kebodohan rakyat.Demokrasi palsu tersebut dijelaskan oleh Dato Dr Siddiq Fadzil seperti berikut:-

‘’Demokrasi seperti itu adalah ibarat memberikan hak memilih warna terbaik kepada orang yang telah dibutakan;atau memberikan hak memilih suara paling merdu kepada orang yang telah dipekakkan.Demokrasi yang selalu digambarkan sebagai jelmaan daulat rakyat dan peranserta rakyat,pada praktiknya rakyat diperbodoh dan diketepikan dari proses membuat keputusan.Rakyat hanya diusung ke pusat membuang undi,dan selepas itu mereka tidak dipedulikan lagi.Keputusan-keputusan dibuat atas nama rakyat,tetapi seringkali mengenepikan suara dan kepentingan rakyat.Sementara itu,wakil rakyat pula tidak lagi menjadi penyuara aspirasi rakyat ,tetapi sudah menjadi penyambung lidah ketua parti.Demokrasi yang dicanangkan tetapi feudalism baru yang dibudayakan’’

Kuasa dan daulat rakyat tidak mungkin dapat diperjuangkan seandainya kita masih bergantung kepada pengamalan sistem kuno dan mencengkam kebebasan rakyat.Pendidikan demokrasi yang sihat dan matang mampu memenangkan rakyat dan memberi jalan kepada usaha merealisasikan tuntutan-tuntutan dan harapan rakyat keseluruhannya.


Dato Dr Siddiq Fadzil dalam tulisannya ‘Daulat syariat dan daulat rakyat dalam pemikiran politik Islam’ mengupas soal kedaulatan rakyat ini seperti berikut:-


‘’Kedaulatan rakyat hanya mungkin terlaksana menerusi demokrasi yang memberikan hak pilih secara adil dan bebas.Pemilih harus diberi peluang mendapat maklumat yang cukup dan seimbang tentang apa dan siapa yang hendak dipilih.Apalah erti kedaulatan rakyat pemilih di tengah kongkongan media,telinga rakyat hanya disumbat dengan maklumat sepihak,dan disuapi dengan kebohongan-kebohongan.Demokrasi tanpa integriti selalu diwarnai penipuan dan pelbagai bentuk kecurangan lainnya.Demokrasi tanpa integriti adalah sejenis kemunafikan:pura-pura menjunjung kuasa dan daulat rakyat,tetapi berleluasa menipu dan memperbodoh rakyat’

Oleh kerana itulah pendidikan demokrasi perlu disebarluaskan dan diajar kepada rakyat keseluruhannya bukan sahaja melalui sistem pendidikan negara,di sekolah-sekolah,institusi-institusi pendidikan bahkan juga digerakkan sendiri oleh rakyat melalui NGO,gerakan masyarakat madani.

Kekuatan NGO-masyarakat madani

Demi kemajuan sesebuah negara ,rakyat negara tersebut tidak boleh sekadar bergantung kepada usaha parti-parti politik atau pemerintah semata-mata.Rakyat perlu diyakinkan dengan kekuatan NGO-masyarakat madani dalam menggerakkan perubahan ke arah kebaikan dalam sesebuah negara.NGO-masyarakat madani boleh memainkan peranan besar dalam mendidik rakyat tentang pelbagai isu khususnya isu-isu kemasyarakatan-kerakyatan.Kebergantungan melampau terhadap pemerintah hanya akan melemahkan rakyat dan negara ;oleh kerana itulah rakyat harus disedarkan tentang peranan penting yang boleh dimainkan oleh NGO-masyarakat madani dan betapa pentingnya kita memperkasa dan memperkuatkan NGO-masyarakat madani.Dato Dr Siddiq Fadzil dalam tulisannya ‘Pemberdayaan umat:Kembalikan daulat keinsanan rakyat’ mengupas hal ini seperti berikut:-

‘’..pakej pemberdayaan rakyat juga harus meliputi usaha penguatan organisasi-organisasi kerakyatan(NGO) dan penggemblengannya menjadi kekuatan masyarakat madani.Ketidakseimbangan kekuatan:pemerintah terlalu kuat,sedang rakyat terlalu lemah harus dikoreksi dengan memunculkan masyarakat madani sebagai kekuatan tandingan.Pemerintah yang terlalu kuat selalu meremehkan suara rakyat.Mereka tidak takut menghadapi protes rakyat kerana mereka tahu bahawa rakyat tidak tahu dan tidak berani memprotes.Mereka juga tidak mempedulikan public opinion kerana mereka tahu bahawa public sebenarnya tidak punya opinion.Kekuatan masyarakat madani akan mengurangi ketergantungan rakyat kepada pemerintah dan dengan demikian rakyat mendapatkan semula kebebasan,kemerdekaan dan kemandirian mereka’’


NGO-masyarakat madani yang kita harapkan itu pastinya NGO-masyarakat madani yang bebas dan adil,berani menyatakan kebenaran,jujur dalam memperjuangkan hak rakyat-masyarakat keseluruhannya dan mendapat dokongan rakyat.

Kita mengharapkan pilihanraya umum ke 13 kali ini berjalan lancar dengan penuh keadilan dan apa jua keputusannya dan pilihan rakyat nanti dihormati oleh semua pihak.Semoga pasca pilihanraya nanti kita akan menyaksikan yang berada di sidang DUN/Parlimen dan tampuk pentadbiran negara terdiri daripada pemimpin-pemimpin terbaik dan berkualiti serta yang akhirnya menang nanti tidak lain tidak bukan ialah rakyat ! Demi negara Malaysia tercinta ayuh sama-sama kita terlibat mengikut kemampuan kita untuk memenangkan calon-calon yang paling berkualiti dan biarlah pertarungan sengit antara calon-calon dan parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya nanti akhirnya dimenangi oleh rakyat !

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics