Perpustakaan..
''Kalau boleh saya mahu tinggal di perpustakaan dan duduk 24 jam membaca buku''
Demikian lafaz yang pernah keluar daripada mulut saya beberapa tahun dahulu ketika asyik bersembang dengan kawan-kawan.
Ketika itu kami berbincang mengenai masa depan sebaik sahaja selesai peperiksaan SPM dan merancang menyambung pengajian di universiti pilihan masing-masing.
Di sekolah menengah dahulu terutamanya sewaktu musim peperiksaan lebih-lebih lagi peperiksaan SPM,perpustakaan sekolahlah menjadi tempat kami lepak mengulangkaji bersama-sama sambil ditemani radio.Bosan membaca buku teks SPM,kami 'menyambar' buku-buku yang ada di perpustakaan tersebut.Apatah lagi ketika itu saya diberi tanggungjawab sebagai ahli badan perpustakaan dan hampir tiap-tiap hari akan ke perpustakaan sekolah untuk mengemas buku.
Peluang waktu untuk mengemas buku tersebutlah digunakan untuk saya membaca pelbagai buku sehingga susunan buku-buku di atas rak buku perpustakaan sekolah tersebut bukan semakin kemas bahkan semakin berselarak angkara saya dan rakan-rakan.
Perpustakaan tersebut jugalah menjadi saksi kami ponteng kelas dan menjadi 'kubu pertahanan' kami sewaktu melakukan misi 'ponteng kelas'....:)
Di universiti pula,lebih kurang begitu juga kisahnya.Sewaktu di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri,saya digelar oleh rakan-rakan sekelas sebagai 'Sohibul Maktabah'.Entah betul entah salah gelaran tersebut dalam Bahasa Arab saya tidak tahu tetapi rakan-rakan saya itu mahu menggambarkan saya sebagai pemilik perpustakaan di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri itu(Perpustakaan Al-Malik Faisal).Jika rakan-rakan mahu mencari saya,mereka hanya perlu ke perpustakaan tersebut memandangkan saya akan menghabiskan masa setiap waktu jika tiada kelas pengajian untuk membaca buku di perpustakaan ini.Bahkan seringkali juga saya terlupa untuk hadir ke kelas pengajian akibat 'leka' membaca buku-buku di perpustakaan tersebut.
Di perpustakaan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,Kuala Lumpur pula mencatatkan satu kisah sedih dan tragedi bagaimana begitu banyak buku yang musnah dan rosak akibat tanah runtuh dari belakang bangunan perpustakaan berdekatan bukit yang menghentam dan menembus beberapa bahagian rak buku disitu pada awal pagi.Mujur tiada orang ketika kejadian berlaku kalau tidak pasti akan ada mayat yang tertimbus dek tanah runtuh tersebut bersama-sama buku-bukunya sekali.Apatahlagi rak buku yang dihempap tanah runtuh tersebut(yang paling hampir dengan dinding berdekatan bukit),merupakan rak buku yang menempatkan buku-buku jabatan saya,Jabatan Al-Quran dan Hadith dan sekitar rak buku tersebutlah saya dan rakan-rakan sejabatan sering lepak mencari dan membaca buku-buku di situ.
Satu kenangan pengalaman di perpustakaan yang saya tidak dapat lupakan ialah sewaktu sibuk membaca buku di Perpustakaan Utama,Universiti Malaya ketika di tahun pertama pengajian,saya membaca buku dan melayari internet di sini dari awal pagi perpustakaan dibuka sehingga 'terlepas' Solat Jumaat.Saya sebenarnya terlupa hari tersebut ialah hari Jumaat dan sewaktu pelajar lelaki Muslim sibuk ke masjid,saya pula 'rilek' membaca buku dan melayari internet.Patutlah ketika saya berjalan dalam perpustakaan tersebut,banyak mata yang 'memandang semacam'.
Perpustakaan Utama Universiti Malaya ini jugalah yang menjadi saksi 'satu rekod peribadi' yang saya catatkan sewaktu menuntut di Universiti Malaya iaitu hampir sehari suntuk duduk di perpustakaan tersebut tanpa keluar ke mana-mana.
Hari itu entah bagaimana saya terfikir untuk sengaja mencabar diri untuk membuat rekod peribadi tersebut.Sebaik sahaja pintu Perpustakaan Utama dibuka pada awal pagi(sekitat jam 8.30 pagi kalau tak silap),saya masuk ke perpustakaan tersebut dan hanya keluar dari Perpustakaan Utama ini sebaik sahaja diarahkan keluar(oleh pengumuman terakhir pegawai perpustakaan) sekitar jam 10 malam.Sepanjang hari tersebut saya membaca buku,solat,dan makan(bekal 'makanan ringkas' dalam poket) dalam perpustakaan tersebut.Letih membaca buku,saya berjalan-jalan melalui rak-rak buku dan melakukan senaman ringan di sana.Semuanya hanya kerana mahu memenangkan diri sendiri selepas mencabar diri sendiri...
Kini saya menyambung pengajian di peringkat Master disertasi penuh dan bebas menghabiskan banyak waktu di mana-mana perpustakaan .Semoga di perpustakaan saya membaca buku dan bukannya buku yang membaca saya....zzzzz
1 comment:
satu budaya yang bagus..membaca kunci ilmu, tp pada pendapat saya selain banyak membaca kita juga perlu banyak keluar berjalan2 sbb bila keluar banyak benda yang boleh kita perhatikan, dan mungkin juga mengaplikasikan ilmu yg dah kita baca......secara mudahnya buku adalah teori yg kita faham tp interaksi sosial merupakan aplikasinya...dengan itu insyaAllah mudahlah kita memahami hidup ini dan sunnatullah....
Post a Comment