Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Monday, July 12, 2010

Johan Galtung,keamanan dan ....

Ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya tatkala membaca buku ‘Pertemuan yang indah :kenangan pertemuan dengan tokoh-tokoh dari seluruh dunia yang tidak dapat dilupakan’ (penterjemah Nazel Hashim Mohamad terbitan GAPENA).

Buku ini merupakan himpunan esei tulisan Dr Daisaku Ikeda ,Presiden Soka Gakkai Internasional(SGI) yang berpusat di Tokyo,seorang pejuang kemanusiaan-keamanan-kedamaian dan mengungkapkan pengalaman beliau bertemu dan berdialog dengan beberapa orang tokoh seperti Tun Dr Mahathir Mohamad,Johan Galtung,Zhou Enlai dan ramai lagi.

Saya tertarik dengan perkongsian Dr Daisaku Ikeda tentang pertemuannya dengan Johan Galtung ,Pengasas Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa di Oslo.

Johan Galtung sejak usia yang masih muda iaitu 21 tahun telah pun mengasaskan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa di Oslo,sebuah institut yang banyak membuat kajian tentang pengajian dan penyelidikan keamanan sejagat tatkala ramai yang lebih berminat mengkaji tentang strategi ketenteraan dan pembangunan persenjataan atau kata lain,lebih berminat untuk berperang!

Dalam buku ini juga tercatat bahawa beliau menganggap ‘..definisi keamanan itu tidak lebih sebagai tidak wujudnya perang adalah suatu konsep pasif yang ekstrem’’ .

Saya sangat bersetuju dengan pandangan beliau .Dalam konteks kenegaraan,adakah sesebuah negara yang tidak dalam suasana peperangan tetapi penuh dengan pelbagai masalah seperti berleluasanya rasuah,meningkatnya kadar jenayah,wujud penindasan dan ketidakadilan itu boleh dikatakan sebuah negara yang aman?

Johan Galtung juga lebih menekankan apa yang dipanggil konsep keganasan struktur yang diungkapkan sebagai ‘..keganasan yang disebabkan oleh cara masyarakat itu distrukturkan yang mengizinkan kebangkitan diskriminasi,penindasan,kemiskinan,kebuluran,eksploitasi dan pelanggaran hak asasi manusia’’

Di samping itu juga beliau telah menyenaraikan 2 jenis keganasan struktur yang ketara iaitu eksploitasi di negara-negara kapitalis dan penindasan di negara-negara komunis.

Sesebuah negara pasti akan kucar kacir,tidak wujud keamanan dan ketenteraman serta rakyatnya hidup dalam kegelisahan sekiranya wujud pelbagai kemungkaran seperti pelanggaran terhadap hak asasi manusia,kegagalan pengagihan kekayaan negara secara adil,kepincangan dalam urus tadbir dan sebagainya.

Pejuang keamanan sejagat akan terus berjuang menumbangkan segala bentuk peperangan,penindasan dan akan memastikan kemanusiaan dan keadilan menang.Kedamaian dan kebahagian buat semua manusia tetap menjadi keutamaan !Hidup keamanan!

6 Julai 2010

Kampung Sungai Ramal Dalam

2.00 am

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics