Piala Dunia 2010,Syeikh Yusuf Makassar dan tahanan Robben Island
Kuasa Bola Sepak.Inilah kuasa yang kita saksikan sepanjang perlawanan Piala Dunia 2010 .Tiada topik utama lain yang dibicarakan orang melainkan bola.Main bola.Minum Bola.Makan bola.Tidur bola.Judi bola!
Saya tidaklah begitu kuat stamina untuk bangun qiamulail menonton perlawanan bola di awal pagi buta(ada pagi celik?).Dan telinga saya pula bukannya meminati bunyi (merdu?) vevuzela yang mampu memekakkan telinga.
Selain jaringan cantik oleh para pemain handalan negara masing-masing,saya suka menonton gelagat para penonton bolasepak yang secara tiba-tiba menjadi jurulatih bolasepak(tak ada tauliah-watikah?)di hadapan skrin besar restoran-restoran mamak.GOL!!!Itulah laungan ‘takbir’ para ‘penagih’ bolasepak.
Sempena Piala Dunia 2010 yang tengah hangat berlangsung di Afrika Selatan ini,ada beberapa kisah yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca.Ia bukanlah kisah tentang bola sepak.Bola itu bulat,Noktah.Gol!
Pada 20-21 Februari 2010 yang lalu,saya berpeluang menghadiri program International Conference On Universal Justice Network yang berlangsung di Wisma Makara,Universitas Indonesia di Depok,Indonesia.
Program ini merupakan anjuran bersama Islamic Human Right Commission(IHRC) yang berpusat di London, Citizens International yang berpusat di Pulau Pinang dan Pusat Advokasi Hokum dan Hak Asasi Manusia(PAHAM),Indonesia.
Dalam program ini,saya bertemu dengan seorang tokoh Islam pejuang hak asasi manusia-pejuang kemanusiaan dari Cape Town,Afrika Selatan iaitu Imam Achmad Cassim.
Beliau pernah dipenjara selama 7 tahun di penjara Robben Island bersama Nelson Mandela sewaktu umur 17 tahun kerana melawan dasar apartheid.
Sewaktu kami bersama-sama menaiki van yang disediakan pihak penganjur,beliau bertanya kepada saya apakah Makassar itu jauh dari Jakarta.Imam Achmad Cassim memberitahu saya beliau mahu menziarahi makam Syeikh Yusuf Makassar,seorang tokoh ulama dari bumi Indonesia yang bertanggungjawab menyebarkan dakwah Islam di bumi Afrika Selatan.
Sepanjang perjalanan tersebut,beliau asyik memuji Syeikh Yusuf Makassar dan menceritakan sejarah perjuangan beliau kepada saya dan rakan-rakan yang lain.
Syeikh Yusuf Makassar ( 3 Julai 1626-23 Mei 1699)merupakan tokoh ulama sufi yang berpengaruh dalam perkembangan tasawuf di Nusantara dan Sirru al Asrar (Rahsia segala Rahsia) merupakan salah satu karya terpenting beliau.Beliau juga dikatakan pernah berguru dengan Syeikh Nuruddin Ar Raniri.
Beliau juga merupakan seorang pejuang anti penjajahan dan memimpin perjuangan melawan Belanda sehingga dipenjara dan akhirnya di buang ke Ceylon .Di Ceylon beliau tetap dengan perjuangan beliau berdakwah penuh hikmah di Ceylon sehingga mempunyai pengaruh yang besar dan pengikut yang ramai di sana.
Penghijrahan beliau ke Afrika Selatan menyaksikan beliau berjaya memimpin dan mewujudkan kesatuan dan perpaduan rakyat bagi menentang segala penindasan ,anti perkauman dan melawan segala bentuk penjajahan.
Pejuang anti apartheid ,Nelson Mandela, bekas Presiden Afrika Selatan,juga cukup mengkagumi dan mengiktiraf perjuangan Syeikh Yusuf Makassar di Afrika Selatan .