9 April-Hari ini saya hadir ke Forum:Rasulullah:Tokoh Penyatuan Ummah bertempat di Dewan Angsana Akademi Pengajian Melayu yang menampilkan wakil 2 persatuan mahasiswa yang berpengaruh di UM iaitu Majlis Perwakilan Mahasiswa UM(MPMUM tak ada website ke?) – yang diwakili oleh Afandy Sutrisno Tanjung (YDP MPMUM-tak ada blog ke?) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM-www.pmium.org-ada website tapi tak aktif ?)yang diwakili oleh sahabat sejabatan saya saudara Haafizuddin Abirerah (YDP PMIUM)-blognya(http://mhaafizuddin.blogspot.com/ )
Sebelum forum tersebut saya telah melayari website Berita Harian dan terkejut dengan satu artikel berita mutakhir- ‘Majlis Perwakilan Mahasiswa UM desak YDP letak jawatan ekoran isu perkauman’’
Ini menarik minat saya untuk hadir ke forum ini kerana menjangkakan ’isu panas’ ini pasti dibincangkan secara meluas pada forum yang dianjurkan oleh MPMUM kali ini(setelah sekian lama akhirnya dianjurkan juga program ilmu sebegini ya…dah lama dah(dengan nada Tun Dr.M) mahasiswa tunggu!!!)
Duduk bersila atas tikar(digunakan untuk solat hajat sempena peperiksaan) dan dengan kehadiran yang tidak memuaskan para pencinta ilmu,pusingan pertama forum bermula dengan masing-masing menyentuh topic berkenaan perjuangan Rasulullah.
Forum saya kira mula hangat sebaik sahaja YDP MPMUM membangkitkan isu artikel yang berbau perkauman yang didakwa ditulis oleh beliau dan juga berkenaan isu desakan untuk beliau meletakkan jawatan yang tersebar dalam laman berita harian online(macam desakan untuk PM letak jawatan pula).
Tanpa diduga ,seorang siswi yang saya kira cukup berani mencelah memujuk beberapa kali agar diberi peluang untuk bertanyakan soalan dan meminta penjelasan berkenaan beberapa isu sekitar kampus UM.Forum selepas itu mula hangat(dan berasap!!)apabila beberapa orang mahasiswa tiba-tiba bangun berdiri mengajukan beberapa soalan bertubi-tubi (umpama peluru),teguran dan kritikan yang lantang sarat emosi dan juga pendapat(penuh fakta dan bernas) tanpa menggunakan mikrofon yang disediakan.
Sepanjang forum ini pelbagai isu dibangkitkan antara nya isu kewajaran demonstrasi (isu Fitna dan lain-lain),pencerobohan dan pengkhianatan terhadap surau kolej 2, PTPTN,AUKU,fungsi , peranan dan keberkesanan MPMUM,pilihanraya kampus dan sebagainya.
Kebanyakan soalan ditujukan kepada YDP MPMUM dan beliau berkali-kali diminta menjelaskan pendirian beliau dan MPMUM terhadap beberapa isu seperti pencerobohan surau kolej 2,caj PTPTN,pindaan AUKU dan sebagainya.Forum malam in yang pada asalnya bertajuk Rasulullah:Tok
oh penyatuan ummat telah bertukar menjadi dialog (dan debat)bersama YDP MPMUM.
Saya pada mulanya rasa kurang senang dengan sikap beberapa orang mahasiswa yang mencelah mengajukan soalan sebelum sesi soal-jawab dibenarkan oleh moderator.(kalau iya pun mau bertanyakan soalan atau kritikan dan sebagainya , tunggulah sehingga sesi soal jawab bukannya mencelah memotong percakapan ahli panel..kan kurang beradab begitu!!!-demikianlah kata hati saya)
Satu lagi yang saya kurang senang ialah celaan terhadap peribadi dan batang tubuh YDP MPMUM yang saya kira cukup memalukan beliau di khalayak ramai(cuba kita berada di tempat beliau,apa perasaan kita agaknya?).
Soal adab (yang banyak ditekankan oleh sarjana dan cendekiawan Islam seperti Syed Mohamad Naquib Al-Attas) inilah jika tidak diambilberat oleh aktivis gerakan mahasiswa Islam hanyalah akan memalukan ,mengaibkan dan akan mencalitkan kotoran najis kepada gerakan mahasiswa Islam.
Namun begitu saya cukup kagum dengan keberanian mahasiswa-mahasiswa yang bangkit mengajukan soalan (soalan yang memaparkan keprihatinan dan kesedaran mahasiswa),memberikan teguran dan kritikan membina (yang perlu diberi perhatian oleh sesiapa yang dikritik) dan ini menjadi bukti masih ada mahasiswa yang tidak rela menjadi pengampu,pembodek,boneka,pak angguk,biduk catur (dan anjing!! serta beruk!!!) dan mahasiswa yang berfikiran kritis (dan kreatif) yang lantang bersuara tanpa gentar dan takut inilah yang sepatutnya diangkat memimpin mahasiswa di kampus.
Mahasiswa memerlukan pimpinan yang berani bersuara dan berbeza pendapat demi memperjuangkan kebajikan mahasiswa keseluruhannya .Pemimpin yang diangkat itu pula perlu sentiasa bersedia mendengar sebarang kritikan,cadangan,dan pandangan dari mahasiswa dengan hati yang terbuka.Pemimpin mahasiswa juga perlu istiqamah dalam memperjuangkan budaya ilmu dan bukannya asyik dengan program berbentuk hiburan ,budaya dan sukan semata-mata.
Semoga forum sebegini menjadi permulaan buat kebangkitan mahasiswa selepas kebangkitan rakyat Malaysia (tsunami politik) dalam pilihanraya umum 2008 baru-baru ini.Saya mengharapkan pihak MPMUM tidak serik untuk menganjurkan program sebegini dan kalau boleh diadakan besar-besaran di DTC sebagai bukti menyokong kebangkitan mahasiswa.(HEP ,sila bagi ‘lampu hijau’!)
Saya percaya kebangkitan mahasiswa hanya akan berlaku sekiranya mahasiswa itu punya kesedaran dan kesedaran itu pasti akan terbit melalui usaha memperkasakan pemikiran ,keintelektualan dan idealisma mahasiswa melalui pengamalan budaya ilmu!!!
650 petang
Kolej Kediaman Ungku Aziz
11 April 2008