Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Monday, January 21, 2008

Perkasa Budaya Ilmu Mahasiswa

Perkasa Budaya Ilmu Mahasiswa


Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap merasmikan pelancaran program Gegar U! Warna-Warna Malaysiaku - Suatu Lambang Perpaduan 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) anjuran bersama Yayasan Budi Penyayang dan Kementerian Pengajian Tinggi mahu mahasiswa di negara ini berusaha sedaya upaya membentuk diri mereka agar menjadi modal insan yang benar-benar menguasai ilmu pengetahuan dalam setiap bidang.Beliau menyeru mahasiswa agar meningkatkan kualiti serta nilai tambah dalam diri mereka supaya tidak mudah tersingkir daripada arus persaingan semasa.

Pada pandangan saya,seruan Perdana Menteri ini perlu disahut oleh seluruh mahasiswa di Malaysia dengan memperkasakan budaya ilmu dan penghayatan menyeluruh terhadap makna ilmu dan pendidikan.
Kita tidak mahu mahasiswa di kampus-kampus universiti dihanyutkan dengan budaya hedonisme ,menebal sifat individualistik yang akhirnya memandulkan idealisme dan mematikan semangat perjuangan mahasiswa sebagai penuntut ilmu apatah lagi mahasiswa merupakan aset penting dan barisan pelapis kepimpinan negara suatu masa nanti.

Melihat realiti yang berlaku di kampus universiti sekarang,mahasiswa lebih banyak tertumpu kepada program-program berbentuk hiburan,kebudayaan dan sukan semata-mata.Konsert,pesta,festival,karnival dan sebagainya mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa bahkan mendapat sokongan penuh dari pihak kolej kediaman universiti..Malang bagi mahasiswa pencinta ilmu yang tidak dapat merasai sambutan hangat mahasiswa dan pihak atasan universiti dalam program-program berbentuk akademik,intelektual dan pemerkasaan budaya ilmu di kalangan mahasiswa.

Pihak universiti terutamanya melalui kolej-kolej kediaman perlu memikirkan usaha pemupukan budaya ilmu,upaya menyegarkan intelektualisme,spiritualisme,aktivisme dan ,idealisme dikalangan mahasiswa.Kolej-kolej kediaman perlu menyemarakkan program-program ilmiah seperti forum,wacana, debat,diskusi buku dengan penampilan para ilmuwan dan cendekiawan dengan melibatkan penyertaan bersama mahasiswa dan sokongan padu pihak kolej kediaman dan pihak atasan universiti.

Pihak universiti juga perlu memberi lebih ruang kepada pertubuhan-pertubuhan belia tanpa mengira latarbelakang bangsa dan agama terutamanya yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM ),Gerakan Belia 4 B ,Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS) untuk masuk ke universiti seluruh negara dan bekerjasama mengadakan program-program pemerkasaan budaya ilmu di kalangan mahasiswa.Menjadi harapan semua pihak agar universiti –universiti di Malaysia mampu melahirkan modal insan yang menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan .

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics