Sebelum ke Turki....
Segalanya bermula mungkin dengan rasa kecintaan kepada majlis ilmu dan kesedaran tentang kepentingan membina jaringan.Saya dan sebahagian besar sahabat-sahabat yang mengikuti rombongan ke Turki kali ini sebenarnya sering bersama-sama mengikuti majlis-majlis ilmu sekitar Kuala Lumpur. Apa jua program ilmu yang kami ketahui sekitar Kuala Lumpur dan jika mempunyai kelapangan waktu,pasti kami akan bersama-sama mengikutinya.
Amanah sebagai Exco Biro Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM memberi peluang kepada saya untuk mengikuti pelbagai program ilmu sekitar Kuala Lumpur termasuk program yang bersifat antarabangsa secara percuma.Saya sebenarnya sudah pun menolak jawatan Exco Biro Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM bagi tempoh tahun yang kedua memandangkan mahu fokus kepada menyelesaikan tesis Master berkaitan PKPIM di Universiti Malaya.Selepas berfikir panjang dan ‘bersembang hati ke hati’ bersama-sama Presiden dan SU PKPIM ketika itu(Faisal dan Abu Qasim)pada malam sehari sebelum pengumuman di muktamar PKPIM keesokan paginya,saya mengubah fikiran dan menerimanya dengan permintaan akan lebih memfokuskan penulisan artikel dan kehadiran dalam majlis-majlis ilmu dan pendidikan.
Kebanyakan program ilmu saya ketahui melalui laman-laman web,facebook dan mesej setia makluman majlis ilmu terkini daripada sahabat baik yang saya anggap sebagai mentor pembinaan jaringan saya,Nuruddin Abd Manap,bekas pelajar perubatan di Universiti Malaya dan kini diamanahkan sebagai pegawai khas kepada Timbalan Ketua Pengarah International Institute of Advanced Islamic Studies(IAIS), Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar,seorang intelektual dan mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya,dan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM)
Untuk program biro pendidikan dan penyelidkan PKPIM,saya telah merancang mengadakan pertemuan tertutup pimpinan anak muda pelbagai gerakan dengan Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar .Saya meminta bantuan daripada Nuruddin untuk mengatur pertemuan tersebut dan akhirnya ia berjaya diadakan di IAIS sendiri dan dihadiri oleh beberapa orang pimpinan anak muda.Hasil pertemuan dengan Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar inilah yang mengilhamkan saya untuk membina satu kumpulan dalam Facebook yang diberi nama ‘Jaringan Anak Muda’@JAM.
Facebook kumpulan Jaringan Anak Muda ini saya boleh anggap sebagai satu komponen kecil agenda dalam Biro Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM dan boleh dijadikan platform untuk makluman majlis ilmu dan pembinaan jaringan sesama anak muda pelbagai gerakan.Dalam kumpulan JAM inilah saya mengumpulkan facebook majoriti sahabat yang hadir dalam pertemuan tempoh hari,berkongsi catatan isi penting pengisian Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar dan bermulalah siri-siri iklan majlis-majlis ilmu sekitar Kuala Lumpur dan siri catatan perkongsian isi penting majlis-majlis ilmu yang telah dihadiri oleh saya dan sahabat-sahabat.
Melalui makluman di Facebook jaringan anak muda ini jugalah kami merancang seterusnya mengadakan siri pertemuan sesama sendiri,sembang santai sambil makan-makan,berdiskusi-usrah mingguan,dan merancang kembara ke majlis ilmu seterusnya.
Selalunya kami akan konvoi menaiki motor untuk hadir ke pelbagai program ilmu yang sering diiklankan dalam facebook jaringan anak muda tersebut.
Suatu hari saya sengaja mencadangkan dalam facebook jaringan anak muda untuk mengajak geng jaringan anak muda melawat pejabat Malaysian Turkish Dialogue Society(MTDS) berdekatan Istana Budaya di Titiwangsa.MTDS ini merupakan antara proksi geng Fethullah Gulen di Malaysia dan banyak menjalinkan jaringan dengan institusi pendidikan dan ahli-ahli akademik di Malaysia.
Selepas mendapat respon yang baik daripada beberapa orang geng JAM yang berminat mengikuti lawatan tersebut,saya menghubungi Fatih Abi,sahabat di MTDS dari Turki dan memaklumkan jumlah peserta yang berminat untuk hadir ke MTDS.
Akhirnya lawatan yang dirancang melalui Facebook itu berjaya diadakan dan di MTDS inilah Fatih Abi memperkenalkan program-program MTDS kepada sahabat-sahabat Facebook jaringan anak muda.
Saya sebenarnya pernah mengikuti lawatan pendidikan MTDS ke Acheh dan bermula dari lawatan tersebutlah saya semakin berminat untuk mengikuti program-program MTDS.
Dalam sesi pengenalan MTDS dengan sahabat jaringan anak muda ini jugalah Fatih Abi memaklumkan rancangan lawatan MTDS ke Turki sekitar Jun-Julai 2011 walaupun ketika itu baru sahaja sekitar bulan Januari 2011.
Di samping kehadiran dalam majlis-majlis ilmu sekitar Kuala Lumpur,geng jaringan anak muda yang aktif sering berjumpa di pejabat MTDS.Di sini kami banyak didedahkan dengan pemikiran Badiuzaman Said Nursi dan gerakan Hizmet Fethullah Gulen dan MTDS juga sering mengadakan program yang bersifat santai seperti BBQ .
Pada suatu hari program BBQ MTDS,Fatih Abi telah bersembang-sembang dengan kami tentang kembara ke Turki dan memberi sehelai kertas kosong untuk ditulis nama bagi sesiapa yang berminat untuk mengikuti kembara ke Turki.Ketika inilah saya dan sahabat jaringan anak muda yang aktif mendaftar untuk mengikuti kembara ke Turki.Maka bermulalah topik perbincangan dan sembang-sembang kami selalunya berkaitan Turki.
Siri mesyuarat secara serius berkaitan perjalanan ke Turki seperti urusan tempahan tiket kapal terbang,jadual kembara dan yang paling penting,dana kewangan-bajet telah diadakan.Urusan tentang jadual kembara sepanjang berada di Turki semuanya diuruskan oleh Fatih Abi dan pihak MTDS manakala kami mewujudkan organisasi agar kembara lebih terancang dan sistematik dengan pembahagian tugas masing-masing.
Suatu hari dalam satu mesyuarat,Fatih Abi memaklumkan tentang urusan tempahan tiket kapal terbang awal agar mendapat harga tambang yang lebih murah.Dan ribuan ringgit diperlukan untuk menempah tiket tersebut dan Fatih Abi ingin kesemua peserta membeli serentak tiket dan menempah seberapa segera tiket sebelum keesokan harinya,jika tidak pihak agen akan membatalkan tempahan tiket murah tersebut.
Kelam kabut kami dibuatnya dan kami berusaha seberapa segera menyiapkan kertas kerja dasar untuk urusan pencari dana kewangan.Mujur saya ada kkd perancangan kembara saya dan beberapa orang sahabat ke Turki yang dirancang sebelum ini tetapi telah dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.KKD itu telah diubah suai untuk kembara MTDS ini dan di faks kepada beberapa pihak terutamanya pihak yang kami jumpa sepanjang siri majlis-majlis ilmu sekitar Kuala Lumpur yang kami ikuti sebelum ini.
Kami sedar masalah kewangan bakal membantutkan perancangan kembara kami ke Turki.Dalam siri mesyuarat seterusnya,masalah kewangan dan pencarian dana tajaan inilah yang menjadi topik utama.Kami semua berusaha mencari sesiapa jua dan mana-mana pihak yang boleh membantu menaja kembara kami ke Turki.Dengan masa yang semakin suntuk,agar sukar untuk mendapatkan ribuan ringgit untuk tempahan tiket kapal terbang tersebut.Yang sebenarnya kami hanya memerlukan tajaan tambang tiket kapal terbang pergi balik dari Kuala Lumpur ke Istanbul sahaja memandangkan sebaik sahaja kami tiba di Turki,semua perbelanjaan ditanggung percuma kecuali sedikit bayaran untuk pengangkutan dan urusan pembelian peribadi.
Saya sendiri telah mula memikirkan untuk membatalkan rancangan kembara ke Turki ini.Saya telah memaklumkan kepada Fatih Abi dan sahabat-sahabat yang lain bahawa saya tekad membatalkan hasrat kembara ke Turki kali ini dan kini mahu fokus menyiapkan tesis Master.Hari-hari seterusnya saya berulang-alik ke Universiti Malaya untuk urusan menulis tesis manakala sahabat-sahabat yang lain yang tekad meneruskan kembara ke Turki sering mengadakan siri mesyuarat perancangan kembara ke Turki tersebut.Sahabat-sahabat yang akan meneruskan kembara ke Turki,mendapat dana kewangan melalui duit poket sendiri dan meminjam wang saudara mara mereka.Beberapa orang sahabat yang pada mulanya bercadang mengikuti kembara ini telah pun membatalkan hasrat tersebut termasuk saya atas sebab masalah kewangan dan pelbagai masalah lain.
Tiba-tiba pada suatu hari,Ammar telah menelefon saya memaklumkan Fatih Abi tetap memujuk saya untuk bersama mengikuti kembara MTDS ke Turki nanti.Katanya,Fatih Abi sedia membantu menempah tiket kapal terbang ke Turki untuk saya menggunakan wangnya sendiri atau wang MTDS terlebih dahulu dan boleh membayar kemudian bila-bila selepas pulang dari Turki .Fatih Abi tidak sampai hati membiarkan saya tidak dapat mengikuti kembara MTDS ke Turki ini . Alangkah terkejutnya saya mendengar berita baik ini lantas kepala otak saya kini hanya memikirkan satu perkara iaitu misi kembara ke Turki. Yang sebenarnya saya sudah pun menjejakkan kaki ke Turki selama seminggu pada tahun 2007 dahulu sewaktu mengikuti rombongan PKPIM-ABIM-WADAH ke International Conference on Islamphobia anjuran UNIW di Istanbul.Cuma kembara MTDS kali ini agak berbeza dengan majoriti yang mengikutinya merupakan anak muda dan tempoh kembara di Turki kali ini pula jauh lebih lama daripada tahun 2007 dahulu.
Selepas Ammar memaklumkan tentang urusan tambang tiket tersebut,Saiful Ridzuan pula menelefon saya bertanyakan tentang maklumat passport untuk urusan tempahan tiket.Ammar dan Saiful Ridzuan yang banyak membantu saya dalam urusan tempahan tiket ke Turki. Saiful Ridzuan telah bertanya saya tentang tarikh pulang ke Malaysia selepas tamat kembara pendidikan MTDS nanti samada mahu pulang tarikh yang sama dengan sahabat-sahabat lain iaitu pada 4 Julai atau tidak.Saya menyedari tarikh tamat kembara MTDS dengan 2 lagi program yang saya tahu iaitu Devan Educational Forum anjuran Hayret Vekfi dan International Youth Gathering anjuran UNIW sangat dekat dan kebetulan kedua program ini juga bakal diadakan di Istanbul.
Jadi saya memberitahu Saiful Ridzuan saya hanya akan pulang pada 21 Julai selepas menghitung hari tamatnya IYG dan tambahan 3-4 hari lagi di Istanbul.Ini bermakna selepas 2 minggu bersama rombongan MTDS,saya akan meneruskan lagi kembara ilmu dengan mengikuti Devan Educational Forum selama 1 minggu dan IYG juga selama 1 Minggu dan mempunyai baki 3-4 hari untuk program bebas-sendiri di Istanbul nanti.Yang sebenarnya saya belum pun mendaftar untuk mengikuti kedua-dua program ini bahkan tarikh tutup pendaftaran kedua program ini sudah pun tamat tetapi saya merancang untuk memaklumkan terus kepada urusetia tertinggi kedua program tersebut yang saya telah kenali sebelum ini dengan harapan penuh dapat mengikuti kedua-dua program tersebut.
Selepas beberapa seketika,Saiful Ridzuan menelefon saya kembali memaklumkan urusan tempahan tiket sudah selesai dan ini membuatkan saya menjadi lebih yakin bahawa saya memang akan mengikuti kembara ilmu ke Turki ini.Selagi belum selesai urusan pembelian tiket selagi itu saya masih was-was samada saya boleh mengikuti kembara MTDS ke Turki atau tidak.
Selepas urusan tempahan tiket selesai dan saya sudah mendapat kepastian dapat mengikuti kembara ilmu ke Turki,saya kembali bersama sahabat-sahabat yang lain untuk merancang perjalanan dan persiapan ke Turki.Kami kadangkala bermalam di rumah sahabat Turki di Apartment Idaman di Gombak untuk siri mesyuarat di samping siri mesyuarat santai di restoran mamak.
Pihak MTDS juga telah mengadakan satu siri perjumpaan dan perkongsian bersama Prof Bukhari Lubis dan IR Kamaluddin dan program perkongsian ini telah dihadiri oleh semua yang bakal mengikuti lawatan pendidikan MTDS nanti.Perjumpaan ini menjadi perjumpaan terakhir rombongan kembara MTDS sebelum berangkat ke Turki nanti.
Say hanya memaklumkan kepada keluarga saya tentang kembara ke Turki ini selepas kesemua urusan terutamanya urusan tempahan tiket kapal terbang selesai.Ayah saya mencadangkan saya untuk terus ke Kaherah Mesir dari Istanbul selepas tamat 2 minggu kembara pendidikan MTDS untuk melawat saudara mara di sana tetapi pesawat yang kami naiki,Uzbekistan Airways tidak mempunyai perjalanan ke Kaherah ,dan saya memang berhasrat tinggal lebih lama di Turki terutamanya untuk mengikuti program IYG 6 di Istanbul selepas mengikuti IYG 5 di Maghribi dahulu(Februari 2011).
Saya juga memaklumkan kepada sahabat-sahabat PKPIM pada minit-minit akhir walaupun sedar PKPIM sibuk dengan persiapan Ijtima Haraki 2 PKPIM-ABIM-WADAH.Agak serba salah dan dilema juga saya memandangkan saya telah dilantik sebagai salah seorang ajk untuk muktamar PKPIM terakhir bagi saya nanti tetapi memandangkan ini merupakan peluang keemasan saya untuk ke Turki mengikuti 3 program bermakna sekaligus dengan tajaan sepenuhnya sepanjang berada di Turki,saya terpaksa membuat pilihan dan pilihan saya ialah kembara ilmu ke Turki.
Saya juga telah menelefon penyelia master saya sehari sebelum berangkat ke Turki untuk memaklumkan kepada beliau tentang kembara sebulan saya di Turki.Tesis master saya sebenarnya tinggal di peringkat akhir untuk disiapkan sepenuhnya dan saya akan menyiapkan sepenuhnya sebaik sahaja pulang dari Turki nanti.
Dengan baki hari kembara ke Turki semakin hampir,saya ‘beruzlah’ di rumah saya membuat persiapan ke Turki seperti membaca blog-buku-majalah-artikel dalam internet tentang apa jua yang berkaitan Turki dan cuba mempelajari bahasa Turki melalui Youtube.Saya dan sahabat yang lain sempat ke kedutaan Turki di Kuala Lumpur bag mendapatkan maklumat berkenaan Turki dan kami juga sering tidur bermalam di rumah sahabat-sahabat Turki sekitar Gombak dan Bangi.
Saya telah menghubungi kesemua sahabat Turki yang saya kenali sebelum ini melalui email dan paling bermakna melalui Facebook untuk memaklumkan tarikh kehadiran saya ke Turki nanti.Mereka cukup seronok mendengar berita saya mahu ke Turki lantas kami merancang untuk bertemu dimana-mana sekitar Istanbul sebaik sahaja saya tiba di Istanbul nanti.
Dan dengan segala persiapan yang telah dibuat ,saya hanya menanti saatnya saya menjejakkan kaki ke Turki....