Mahasiswa ,budaya ilmu dan perjuangan pendidikan
(Dibentangkan pada Konvensyen Transformasi Malaysia 13 September 2009
anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia(PKPIM-GAMIS-KARISMA-DEMA-KAMI)
Mahasiswa ,budaya ilmu dan perjuangan pendidikan
Pendahuluan
Isu-isu pendidikan merupakan sebahagian daripada perjuangan kelompok anak muda terutamanya mahasiswa.Ia tidak sewajarnya diserahkan semata-mata kepada penggubal dasar pendidikan semata-mata tanpa mendengar suara dan memahami aspirasi anak muda dalam perjuangan pendidikan ini.Dasar pendidikan yang digubal tanpa mengambil kira pandangan anak muda pasti pincang dan akan gagal direalisasikan walau secantik dan sehebat mana dasar pendidikan tersebut.
Membangun sambil meroboh?
Generasi muda yang kuat ialah generasi muda yang sebati dalam jiwa mereka budaya ilmu.Dengan budaya ilmu inilah mereka mampu menjadi pencetus sesuatu gagasan, seterusnya memimpin dan menangani perubahan .Sesuatu tamadun itu tidak mampu tertegak tanpa kekuatan budaya ilmu dan pastinya yang dituntut dan menjadi tonggak utama sesuatu tamadun itu ialah kekuatan budaya ilmu di kalangan generasi mudanya.
Dalam keghairahan kita menyambut ulang tahun ke 52 kemerdekaan negara Malaysia,jangan sampai kita mengabaikan aspek pembudayaan ilmu di kalangan generasi muda Malaysia.Amat malang bagi masa depan negara tercinta,Malaysia seandainya kita hanya sibuk membangunkan aspek fizikal dan material semata-mata bahkan berbangga-bangga dengan segala pencapaian lalu dan pada masa yang sama lupa untuk membangunkan generasi muda kini.
Allahyarham Mohamad Natsir (Tokoh negarawan,pemikir,pendakwah dari Indonesia) seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan.
Persoalannya,apakah kita sudah membangunkan generasi muda Malaysia dengan kekuatan budaya ilmu ataupun turut sama menyumbang kepada usaha merobohkan generasi muda Malaysia?
Sistem pendidikan negara kita telah dikritik oleh beberapa tokoh akademik dan pakar pendidikan dan pastinya kritikan tersebut merupakan hasil renungan,kajian dan penyelidikan mereka dan ia merupakan kritikan membina demi memperkasakan lagi sistem pendidikan negara kita.
Prof Wan Mohd Nor Wan Daud misalnya dalam bukunya bertajuk Penjelasan Budaya Ilmu telah mengupas bagaimana budaya peperiksaan telah menggantikan budaya ilmu dalam sistem pendidikan negara masa kini.
Menurut beliau,
’’ Budaya peperiksaan dalam sistem pendidikan negara telah menggantikan budaya ilmu.Para pelajar memang giat belajar tetapi kebanyakannya bukan untuk memahami dan mencungkil makna daripada apa yang dipelajari tetapi untuk menghafalnya cukup untuk masa dua tiga minggu tempoh peperiksaan .Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan terbesar murid-murid tidak ingat lagi perkara-perkara yang gigih dipelajarinya sebaik sahaja peperiksaan tamat.Para guru pula memang giat mengajar tetapi penumpuannya lebih kepada untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan mencapai kecemerlangan peperiksaan.
Prof Wan Mohd Nor Wan Daud juga mengupas tentang kritikan yang pernah dibuat oleh Professor Diraja Ungku Aziz terhadap sistem pendidikan kita yang pada pandangan beliau hanya menggalakkan penghafalan dan bukannya pemikiran dan akhirnya menyebabkan para murid lebih cenderung untuk bergantung kepada jawapan contoh,hafalan dan soalan ramalan(spotted questions) daripada memahami konsep dan teori yang berkenaan.
Apa yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh akademik perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya generasi muda. Budaya ilmu perlu diterapkan dan niat yang tulus ikhlas menuntut ilmu perlu diperbaharui agar generasi muda tidak belajar atau menuntut ilmu sekadar untuk lulus peperiksaan,mengejar sijil,diploma atau ijazah, atau memperoleh gred,markah, ‘pointer’-‘CGPA’yang tinggi semata-mata.
Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata (exam oriented) juga tidak lagi relevan dan penekanan kepada aspek pemikiran atau budaya berfikir secara rasional perlu digalakkan.
Para pelajar juga perlu lebih berdikari,berani berfikir dan menyuarakan pandangan peribadi disamping memiliki kriteria budaya ilmu seperti cinta ilmu dan ilmuwan,memiliki tabiat membaca,menulis,berdiskusi,menyelidik dan sebagainya.
Kita pastinya tidak mahu mahasiswa di kampus-kampus universiti dihanyutkan dengan budaya hedonisme ,menebal sifat individualistik yang akhirnya memandulkan idealisme dan mematikan semangat perjuangan mahasiswa sebagai penuntut ilmu apatah lagi mahasiswa merupakan aset penting dan barisan pelapis kepimpinan negara suatu masa nanti.
Melihat realiti yang berlaku di kampus universiti sekarang,mahasiswa lebih banyak tertumpu kepada program-program berbentuk hiburan,kebudayaan dan sukan semata-mata.Konsert,pesta,festival,karnival dan sebagainya mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa bahkan mendapat sokongan penuh dari pihak kolej kediaman universiti..Malang bagi mahasiswa pencinta ilmu yang tidak dapat merasai sambutan hangat mahasiswa dan pihak atasan universiti dalam program-program berbentuk akademik,intelektual dan pemerkasaan budaya ilmu di kalangan mahasiswa.
Benar seperti yang pernah diperkatakan oleh
Profesor Dato Ir Dr.Zaini Ujang(Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia) dalam siri syarahan perdana Naib Canselor,Universiti-Kreativiti-Inovasi,’’
Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana,diskusi,’kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting .Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa –
Pihak universiti terutamanya melalui kolej-kolej kediaman perlu memikirkan usaha pemupukan budaya ilmu,upaya menyegarkan intelektualisme,spiritualisme,aktivisme dan ,idealisme dikalangan mahasiswa.Kolej-kolej kediaman perlu menyemarakkan program-program ilmiah seperti forum,wacana, debat,diskusi buku dengan penampilan para ilmuwan dan cendekiawan dengan melibatkan penyertaan bersama mahasiswa dan sokongan padu pihak kolej kediaman dan pihak atasan universiti.
Memperkasa tradisi intelektual anak muda
Jika direnung kembali sejarah perjuangan mahasiswa terutamanya tatkala era akhir 60 an dan awal 70 an yang dikatakan era kegemilangan mahasiswa,kita akan mendapati bahawa era tersebut bukan sahaja dipenuhi dengan siri-siri demonstrasi semata-mata bahkan juga dipenuhi dengan siri-siri diskusi intelektual kelompok kecil atau usrah samada antara sesama mahasiswa ataupun antara mahasiswa dan para pensyarah sebagai mentor atau naqib usrah tersebut.
Pelbagai buku daripada pelbagai bidang yang ditulis oleh tokoh-tokoh terkemuka telah dikupas dan diperdebatkan dalam usrah mereka dan hasil usrah tersebutlah yang telah membentuk pemikiran,fikrah,dan pandangan sarwa-alam@worldview mahasiswa ketika itu seterusnya mendorong mereka untuk terus istiqamah berjuang di lapangan umat.
Membaca karya-karya besar pastinya mampu membentuk mahasiswa yang berjiwa besar.Oleh kerana itu,mahasiswa kini perlu menyedari kepentingan membaca buku atau karya besar yang ditulis oleh tokoh-tokoh atau pakar –pakar yang meliputi pelbagai cabang ilmu pengetahuan.
Budaya membaca karya-karya besar itu pula perlu seiring dengan budaya diskusi,berdebat,berbincang ,bertukar-tukar pandangan dan idea dan semua ini mampu dilakukan melalui kelompok kecil atau usrah mahasiswa yang sistematik.
Melalui penjadualan pembentang di kalangan mahasiswa itu sendiri dan juga senarai buku-buku yang akan dikupas sepanjang usrah tersebut akan lebih memantapkan lagi persiapan dan perjalanan usrah itu nanti.
Sebelum berlangsungnya usrah tersebut,seseorang itu perlulah membuat persiapan daripada aspek keintelektualan dengan pembacaan buku-buku dan membuat catatan terlebih dahulu agar pembincangan dalam usrah itu nanti lebih rancak dengan sesi ‘pertarungan’ idea dan pemikiran.
Mahasiswa yang aktif menyertai usrah kelompok kecil ini nanti akhirnya pasti akan lahir dalam diri mereka sifat berani dalam mengemukakan pandangan dan berhujah,membentuk budaya berfikir,pemikiran kritis dan sebati dalam jiwa mereka budaya ilmu dan keintelektualan.
Semoga kampus universiti sentiasa segar dengan mahasiswanya yang mengjunjung tinggi budaya ilmu dan keintelektualan.
Melawan krisis keyakinan terhadap Bahasa Melayu
Usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa penghantar ilmu dan pendidikan di peringkat tinggi bagi semua bidang ,bahasa sains dan teknologi , bahasa pemikiran serta bahasa tamadun sudah lama diperjuangkan oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu.
Perjuangan mereka seringkali dipandang sinis oleh golongan yang mengalami krisis keyakinan terhadap Bahasa Melayu,yang dijajah pemikiran mereka oleh ‘penjajahan bahasa’ akibat terpukau dengan kaca yang disangka emas belian lantas bersikap seperti kacang melupakan kulit dengan terlalu memuja dan mendewa-dewakan bahasa asing sehingga sanggup memperlekeh dan menghina bahasa ibunda sendiri.
Padahal pejuang-pejuang Bahasa Melayu yang lantang bersuara mempertahankan bahasa melayu itu sama sekali tidak pernah menafikan kepentingan menguasai bahasa asing bahkan menyeru semua pihak menguasai sebaik mungkin bahasa-bahasa dunia.
Cuma yang menjadi harapan para pejuang Bahasa Melayu ialah dalam keghairahan kita menguasai bahasa asing dan atas alasan pembangunan,kemajuan dan era globalisasi, jangan sesekali kita mengabaikan dan menyingkirkan bahasa melayu.
Tidak ada bangsa yang besar di dunia yang maju dengan menyingkirkan bahasanya sendiri!!!
Inilah antara prinsip yang selamanya akan dipegang oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu.
Tatkala wujud golongan yang meragui dan cuba memandang rendah keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu , wujud juga rakyat Negara asing daripada beberapa buah Negara seperti Rusia,China,Yaman,Uzbekistan dan Iran yang berusaha keras mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu bahkan mampu bertutur dengan fasih dalam Bahasa Melayu lebih baik daripada rakyat Malaysia sendiri walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi Negara Malaysia!!!
Ini merupakan tamparan hebat kepada mereka yang mengaku dan mendakwa sebagai rakyat Malaysia tetapi pada masa yang sama tidak berusaha untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu bahkan yang lebih menyedihkan lagi mereka sendiri memperlekeh segala usaha yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu.
Kepada rakyat Malaysia yang mengalami krisis keyakinan terhadap Bahasa Melayu ini kita nasihatkan supaya menyelami keindahan sastera dan kesenian Bahasa Melayu terutamanya melalui kajian terhadap puisi,sajak,peribahasa,gurindam,pantun dan lain-lain lagi dan cuba bertutur dalam Bahasa Melayu baku bukannya bahasa rojak yang mencemarkan keindahan bahasa melayu dan boleh juga mempelajari Bahasa Melayu yang betul daripada rakyat asing yang mempelajari Bahasa Melayu!!!
Semoga rakyat Malaysia terus yakin dengan perjuangan mengangkat martabat Bahasa Melayu,bahasa rasmi ,bahasa kebangsaan,dan bahasa perpaduan rakyat Malaysia!!!
Penutup
Generasi muda perlu terus memperkasakan dan memberi penekanan kepada perjuangan pendidikan.Hanya dengan pendidikan ,perubahan yang diimpikan itu mampu direalisasikan.Tradisi ilmu dan keintelektualan perlu terus diperjuangkan dan segala usaha anti ilmu dan proses pembodohan perlu ditentang dan dilawan.Biar kelihatan lambat dan memakan masa yang panjang namun perjuangan pendidikan pasti akan melahirkan perubahan kelak.