Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Wednesday, October 27, 2010

Hub hiburan malam

Semua manusia sukakan hiburan.Kehidupan jika dijalani hanya dengan penuh tekanan dan sengsara pasti merumitkan.Oleh kerana itu manusia perlu dihiburkan hatinya dan pastinya hiburan itu mestilah selaras fitrah penciptaan manusia agar benar-benar manusia itu mendapat kebahagiaan dan ketenangan hidup.

Mendengar berita keinginan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam membuatkan saya tertanya-tanya,apakah rakyat Malaysia masih tidak cukup dengan hiburan yang sedia ada dan bentuk hiburan yang bagaimanakah yang ingin diwujudkan kerajaan untuk rakyat kononnya demi kelangsungan industri pelancongan negara.

Adakah hub hiburan yang ingin diwujudkan nanti mampu bebas dari arak,judi,dadah,pelacuran dan 1001 perkara negatif pencetus bencana akhlaq masyarakat keseluruhannya?


Ketika membahaskan Surah Al-Mu’minun,Buya HAMKA dalam Tafsir Al-Azhar mengatakan:-

‘’Kadang-kadang kehidupan orang seorang dapatlah disimpulkan kepada tiga kalimat saja:Lahir,Menangis dan Mati’’

Begitulah gambaran singkatnya kehidupan dunia ini yang menuntut manusia supaya memanfaatkan setiap detik kehidupannya dengan amal perbuatan yang berfaedah dan bukan sekadar untuk berhibur semata-mata.

Benarlah apa yang diungkapkan oleh syair penyair ‘’SAMADI’’ Almarhum Anwar Rasyid yang turut dipetik oleh HAMKA dalam Tafsir Al-Azhar tersebut:-

‘’Lahir ke dunia disambut ebang,pulang ke kubur diantar shalat,

Antara azan dengan sembahyang,wahai hidup alangkah singkat’’

Hiburan melampau-budaya hedonisme yang diagungkan oleh kelompok yang tidak menemui hakikat kewujudan dan falsafah kehidupannya hanya menjatuhkan martabat seseorang seolah-olah dunia ini dicipta hanya sekadar untuk berhibur siang dan malam semata-mata.Tidak cukup pada waktu siang,waktu malam juga mahu disia-siakan dengan hiburan melampau.

Malaysia yang terkenal dengan hub halalnya pasti terjejas imejnya sekiranya hub hiburan yang bakal diwujudkan nanti tidak menepati ciri halal.Apakah halal pada tanggapan kita sekadar halal pada hal ehwal makanan semata-mata dan hal-hal lain bebas untuk kita harungi tanpa mempedulikan halal haramnya?

Industri pelancongan dan pemerkasaan ekonomi negara dengan perniagaan yang jelas haram pastinya tidak berkat bahkan mampu meruntuhkan kekuatan ekonomi itu sendiri.

Apa jua alasan yang diberikan samada demi kepentingan ekonomi negara sekalipun kita tetap perlu lebih berhati-hati dalam membangunkan masyarakat dan negara dengan mengelakkan sesuatu yang boleh meruntuhkan adab dan akhlak masyarakat.



Tuesday, October 26, 2010

Filem sampah....

Kadang-kadang saya pelik filem –filem sampah terus memenangi anugerah –anugerah filem terbaik.Apakah bodoh benar para juri hakim yang memilih sesuatu filem sampah tersebut sebagai filem terbaik ataupun hanya saya yang bodoh tidak tahu menilai yang mana satu filem terbaik dan yang mana satu filem sampah.


Entahlah.Mungkin saya bodoh sebab tidak menganggap filem sampah itu filem terbaik atau mungkin juga filem sampah itu ada nilai estetika tersendiri bagi orang yang bodoh.Opps!

Saya percaya,proses pembodohan itu boleh dilakukan menerusi filem.Ya,filem.Ramai yang suka menonton filem.Oleh kerana itu filem mampu menjadi senjata ampuh untuk menjayakan agenda pembodohan.

Ramai yang kurang menyedari mereka sebenarnya sedang diperbodohkan tatkala menonton filem.Dan filem yang saya maksudkan itu pastinya ialah filem-filem sampah yang mudah didapati di pasaran sekarang.

Maklumlah,sampah..Orang sering membuang sampah merata-rata dan bukannya membuang sampah ke dalam tong sampah.Kalau sampah sewajarnya dibuang ke dalam tong sampah,maka bagaimana pula dengan filem-filem sampah ya?......Kitar semula?...

‘Fifth Islamic Conference of Ministers of Higher Education and Scientific Research

Saya berpeluang menjadi pemerhati dalam program ‘Fifth Islamic Conference of Ministers of Higher Education and Scientific Research pada 19-21 Oktober 2010 bertempat di Pusat Konvonsyen Kuala Lumpur.

Persidangan yang dihadiri oleh menteri- menteri pendidikan di negara OIC ini dianjur bersama oleh OIC dibawah institusi gabungannya Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO) ,Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi Malaysia dan dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin,Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Antara program yang diadakan pada persidangan ini ialah penganugerahan ‘ISESCO 2010 Science Prizes’ kepada para saintis di dunia Islam,diskusi berkenaan kepentingan mewujudkan jaringan saintis wanita,membangunkan nanotechnology,memperkasakan penyelidikan sains ,teknologi dan inovasi serta meningkatkan kualiti universiti di dunia Islam.

Setiap wakil negara OIC telah membentangkan perkembangan hal ehwal pendidikan di negara masing-masing dan mencadangkan beberapa perkara bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan di dunia Islam.

Isu kekejaman Israel dan penindasan terhadap pelajar,guru dan penyelidik di institusi pendidikan-universiti di Palestin turut dibincangkan dalam persidangan ini.

Maklumat lanjut berkenaan persidangan ini boleh dilayari di laman web http://www.icmhesr5.my/upload/Newsletter/Vol3.issue1.pdf

Monday, October 25, 2010

Penyelewengan wang amanah pelajar miskin-RMT

PKPIM memandang serius pendedahan laporan ketua audit negara 2009 tentang penyelewengan pengagihan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin(KWAPM) dan beberapa kelemahan yang dikesan dalam Rancangan Makanan Tambahan(RMT).

Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pihak yang pecah amanah dan menyeleweng kuasa merujuk kepada lapan kes kehilangan dan penyelewengan berjumlah RM 196550 yang dilaporkan dari tahun 2004 hingga 2008.

Hak pelajar miskin perlulah diperjuangkan oleh semua pihak dan sebarang pengkhianatan terhadap amanah wang yang sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu golongan miskin merupakan satu dosa .

Pengkhianatan ini boleh menyebabkan jurang antara pelajar kaya dan pelajar miskin semakin besar dan ini mampu membantutkan usaha kerajaan untuk memperkasa pendidikan anak muda Malaysia.

Rancangan Makanan Tambahan(RMT) ,satu projek yang niatnya ikhlas untuk membantu golongan miskin juga perlu dipantau semula perlaksanaanya agar tujuan sebenar RMT ini tidak tersasar .

Kualiti makanan yang disediakan menerusi RMT ini perlulah yang terbaik dan berkhasiat demi kesihatan pelajar kita.

Suatu yang dikesalkan juga jika benar wujud dakwaan anak orang kaya mendapat bantuan yang sepatutnya khas buat anak orang miskin dan ini merupakan satu rampasan terhadap hak kelompok miskin.

Segala penyelewengan yang berlaku ini perlulah disiasat dengan serius dan hasilnya didedahkan kepada orang ramai dan kita mengharapkan segala perancangan untuk membantu pelajar miskin dapat dilaksanakan dengan telus,penuh integriti dan tanggungjawab.



Wednesday, October 13, 2010

Adam Lambert,Maher Zain.....

Adam Lambert mungkin terfikir mengapa ada segelintir pihak di Malaysia membantah penganjuran konsertnya.’’Muzik ialah Muzik.Saya sukakan muzik.Saya hanya ingin menggembirakan peminat muzik saya di Malaysia sahaja’’.Barangkali itu yang akan dikatakan Adam Lambert.’’Apa salahnya konsert Adam Lambert?Dia bukannya nak ajak penontonnya ramai-ramai jadi gay.Orang nak dengar muzik pun salah ke?’’ Mungkin itu pula yang dikatakan oleh peminat Adam Lambert di Malaysia.

Saya yakin Pemuda PAS,GAMIS, PPIM,PKPIM dan pihak-pihak lain yang membantah penganjuran konsert Adam Lambert ini bukan kerana membantah 100 peratus hiburan dan muzik.Di kalangan ahli Pemuda PAS,GAMIS,PKPIM,PPIM sendiri ramai yang meminati muzik.Barangkali suara mereka juga jauh lebih sedap dari suara Adam Lambert.

Kalau Adam Lambert tidak berbangga dengan gaynya,tidak beraksi lucah di pentas atau dalam videoklip lagunya,menyampaikan lagu dengan mesej yang baik khususnya buat anak muda,saya pasti Sekreteriat Ulama Muda UMNO pun bersedia mengundang Adam Lambert untuk mengadakan konsertnya di Malaysia.

Entah mengapa penganjur memilih Adam Lambert untuk mengadakan konsert di Malaysia saya pun tidak tahu.Mungkin untuk menyampaikan mesej 1 Malaysia 1 Dunia.Atau mungkin dengan menjemput Adam Lambert,pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih pesat.Pelaburan asing bakal meningkat.Mungkin juga sempena pembentangan belanjawan 2011 oleh Perdana Menteri nanti.Entahlah.

Budaya songsang para artis hatta di Hollywood sekalipun banyak dikecam oleh peminat-peminat muzik di seluruh dunia yang yakin dengan muzik sebagai platform menyampaikan mesej kemanusiaan,keamanan,cinta dan kasih sayang dan bukannya muzik sebagai platform menggembangkan budaya liar,lucah dan 1001 hal negatif yang lain.

Adam Lambert juga pasti ‘terkejut beruk’ konsertnya di Malaysia diluluskan pihak berwajib.Agar sukar baginya meninggalkan aksi-aksi yang biasa dilakukannya dalam siri konsertnya di seluruh dunia.Mungkinkah ada kejutan daripada Adam Lambert kepada peminat-peminatnya di Malaysia?

Yang pastinya Adam Lambert tidak akan menyanyikan lagu-lagu Maher Zain berjudul ‘’Open Your Eyes’,’Insya Allah’ , ‘ Barakallah’....



Memperkasa pendidikan tinggi negara:halusi kritikan para ilmuwan

Membaca rencana ‘Universiti kita ketandusan idea’ tulisan Profesor A. Murad Merican ,Profesor Ilmu Kemanusiaan ,Universiti Teknologi Petronas dan rencana ‘Pendidikan: Mencari kebenaran’ tulisan Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ,Naib Canselor Universiti Sains Malaysia membuatkan saya berfikir lebih mendalam tentang masa depan pendidikan tinggi di universiti-universiti tanah air.

Kritikan membina terhadap institusi pendidikan tanah air daripada ilmuwan tanah air perlulah diberi perhatian oleh semua pihak.Tiada tujuan lain mereka melontarkan pandangan mereka melainkan mahu memperkasakan dan mengangkat maruah institusi pendidikan negara .

Sebagai anak muda yang pernah menuntut di institusi pengajian tinggi tanah air,saya dapat merasakan keprihatinan Profesor A. Murad Merican dalam memperkasakan bidang-bidang ilmu yang kelihatan terpinggir seperti ilmu sains sosial,ilmu kemanusiaan termasuklah ilmu yang seringkali dianggap sukar,tidak membumi,terlalu melangit,hanya ilmu teori dan konseptual semata-mata iaitu pengajian falsafah.

Profesor A. Murad Merican dalam rencananya ‘Universiti kita ketandusan idea’ menulis :-

‘’Salah satunya ialah institusi-institusi pengajian tinggi seperti Harvard University, Yale University, University of Oxford, University of Cambridge dan Massachussetts Institute of Technology telah mengekalkan dan memperkasakan kecemerlangan bidang-bidang sains sosial, dan ilmu kemanusiaan, termasuk falsafah. Sedangkan universiti-universiti di Malaysia mengenepikan dan mengabaikan pengajian tersebut.Malah di antara kira-kira 60 buah universiti di Malaysia, kurang dari lima mempunyai Jabatan/Bahagian Sejarah; dan tiada ada Jabatan Falsafah. Jika begitu keadaannya, bagaimana dapat kita mengajar pelajar kita berfikir dan bersoal; bagaimana dapat ahli akademik kita melahirkan keaslian pemikiran dan idea?’’

Mahasiswa,pelajar dan anak muda Malaysia keseluruhannya perlu diajar ilmu-ilmu yang membuatkan mereka mempunyai daya fikir yang kritis,kekuatan berhujah,berdebat berasaskan ilmu,memiliki keberanian untuk bertanya dan mencari jawapan terhadap sebarang persoalan serta mempunyai keupayaan mencetuskan idea dan gagasan besar yang memberi kesan kepada perubahan masyarakat keseluruhannya.

Institusi pengajian tinggi negara jangan sesekali mengabaikan subjek –subjek seperti falsafah,sejarah,sastera,psikologi dan beberapa subjek ilmu kemanusiaan yang lain dan hanya terlampau memberi fokus kepada subjek-subjek yang berkaitan sains dan teknologi.

Anak –anak muda yang dididik dengan ilmu-ilmu kemanusiaan ini mampu dibentuk watak,syaksiah ,akhlak dan peribadinya menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lainnya.

Di tengah-tengah kemelut keruntuhan akhlak yang sering diperkatakan kini wajar sekali anak-anak muda diajar cara berfikir yang benar agar haluan hidup mereka lebih terarah .Hanya anak muda yang memiliki kekuatan berfikir dengan kaedah yang benar mampu memiliki keupayaan untuk mengelak dari terjerumus ke kancah krisis kecelaruan pemikiran yang wujud kini.

Pendidikan yang menyeluruh dengan penekanan kepada proses pembinaan dan pengutuhan insan diharapkan mampu mengembalikan makna dan hakikat pendidikan di institusi pengajian tinggi negara.

Dato Dr Siddiq Fadzil dalam mukadimah penulis buku ‘Pendidikan Al-Hikmah dan misi pencerahan(terbitan bersama Akademi Kajian Ketamadunan dan Kolej Dar Al-Hikmah) telah mengungkapkan hal berikut:-

Krisis yang sedang berlaku dinilai cukup berat kerana telah merebak sampai ke jantung pendidikan itu sendiri sehingga pendidikan telah kehilangan esensinya sebagai proses pembinaan dan pengutuhan insan.

Proses pembinaan dan pengutuhan insan jika diabaikan hanya bakal menyaksikan institusi pengajian tinggi negara sekadar melahirkan graduan yang gah dengan sijil,diploma atau ijazahnya semata-mata tetapi pincang dari aspek akhlak,peribadi dan adabnya.

Maka ketika itu tidak pelik lahir graduan yang cemerlang akademiknya tetapi kemudiaannya pecah amanah,terlibat dalam rasuah,menipu dan sebagainya

Akibat tunduk kepada tekanan pasaran seringkali anak muda di Institusi Pengajian Tinggi negara menjadi mangsa keadaan.Sebilangan Institusi pengajian tinggi terlampau mengikut rentak tarian pasaran sehingga taraf ‘kualiti’,’rangking’,’universiti cemerlang’ pun diukur mengikut kaca mata pasaran semata-mata seolah-olah kita tidak memiliki kekuatan jatidir i untuk mengukur kekuatan dan kelemahan institusi pendidikan kita sendiri.

Benarlah kata Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam tulisannya ‘Pendidikan: Mencari kebenaran’ (Utusan Malaysia, Selasa,12 Oktober 2010) :-

‘’Dengan kata lain, apabila kita heret dunia pendidikan ke dalam kancah 'kualiti' secara melulu, mahu tidak mahu pengaruh ekonomi, pasaran dan kepenggunaan serta petunjuk dan ukurannya terpalit bersama. Secara disedari atau tidak, sifat pendidikan beransur-ansur terpengaruh bagaikan sebuah sistem perkilangan yang menggunakan istilah yang lain tetapi membawa maksud yang sama. Paling jelas adalah 'peperiksaan' yang seerti dengan 'kawalan mutu'; 'pelajar' bagaikan 'bahan mentah' yang perlu ditambah nilai, kemudian digelar 'produk' untuk dipasarkan di dunia pekerjaan. 'Pengajar' bertindak sebagai 'operator' ke atas bahan-bahan mentah (pelajar); yang lebih kanan mungkin bertaraf 'mandur', sedangkan 'bilik-bilik darjah' umpama tempat-tempat nilai tambah dilakukan mengikut giliran!

‘’…..Tetapi pada hakikatnya itulah kesan pendidikan semasa yang menjadikan kita seorang pembeli dan pengguna yang patuh kepada sogokan pasaran apa saja yang dilabelkan berkualiti atas tafsirannya. Kita amat cukup 'terdidik' untuk akur segalanya kerana inilah dunia pendidikan kita. Pendidikan bukannya lagi untuk mencari kebenaran sebagai matlamat terakhir dalam erti kata sebenarnya!’’

Kritikan pedas terhadap institusi pendidikan dan para pentadbirnya boleh dibaca dalam koleksi himpunan pidato kependidikan Dato Dr Siddiq Fadzil dalam buku “ Pendidikan Al-Hikmah dan Misi Pencerahan” dan antara kritikannya seperti berikut:-

-‘Implikasi lain dasar ilmu yang disebut market driven itu ialah beranjaknya fungsi institusi-institusi pendidikan dari membina manusia kepada mengaut keuntungan’

-‘’Justeru,di mana-mana dapat ditemukan pimpinan IPT yang tidak lagi memiliki citra sebagai sarjana tetapi sudah berubah menjadi pencari dana’’

-‘’Warga IPT rata-rata tidak lagi berasa bernaung di bawah naungan teduh seorang sarjana besar,sebaliknya lebih berasa berada di bawah arahan CEO sebuah syarikat’’

(‘’Tragedi Keilmuan:Quo Vadis IPT!’’,teks ucapan Konvokesyen ke 12 Kolej Dar Al-Hikmah)

’ Dalam arus komersialisasi pendidikan yang semakin deras itulah misi dan matlamat pendidikan menjadi semakin kabur.Gejala inilah yang diindikasikan oleh pemakaian istilah ‘’industri pendidikan’ yang pada hakikatnya adalah istilah ekonomi yang merujuk makna pengeluaran barangan secara besar-besaran’’

(‘’Era traumatik-pesimistik pasca 11 September dan Perang Teluk 11:Peranan Pendidikan Islam’’,teks ucapan Konvokesyen ke 13 Kolej Dar Al-Hikmah)

Matlamat pendidikan,tujuan penubuhan institusi pengajian tinggi yang kabur dan tidak jelaslah yang bakal membunuh hasrat kita untuk mengangkat maruah dan martabat institusi pengajian tinggi Malaysia.

Segala teguran dan kritikan membina oleh para cendekiawan dan intelektual tanah air perlu dihadam oleh semua yang komited terhadap perjuangan pendidikan dan sesuatu strategi perlu dilakukan secara sistematik bagi memastikan institusi pengajian tinggi negara tetap berupaya menghadapi cabaran zaman.


Saturday, October 09, 2010

Bunuh diri:Carilah Ketenangan ...

Membaca statistik kes bunuh diri di Malaysia yang semakin hari semakin meningkat menggusarkan kita.Apakah punca yang menyebabkan ramai manusia hilang keyakinan diri untuk meneruskan hidup mereka sehingga sanggup mengambil tindakan drastik menamatkan kehidupan mereka sendiri dengan membunuh diri melalui pelbagai cara yang mengerikan.

Akibat kegagalan menangani tekanan hidup mental dan fizikal ,ramai yang mengambil jalan mudah dengan membunuh diri seolah-olah dengan membunuh diri mampu menyelesaikan pelbagai masalah mereka.

Mereka yang membunuh diri gagal mencari ketenangan,kebahagiaan dan makna hidup yang hakiki.Tanpa pedoman Ilahi dan ajaran agama,hidup mereka terumbang-ambing lantas mudah termakan pujukan syaitan yang senantiasa ingin mengelincirkan manusia dari jalanNya.

Kekuatan hati,spiritual,rohani dan pelbagai aspek dalaman manusia perlu dikukuhkan lebih-lebih lagi dalam menjalani kehidupan yang semakin mencabar ini.

Setiap manusia perlu mengelak dari terperangkap dalam hidup yang tanpa arah tujuan, terlampau asyik dengan kehidupan hedonisme atau hiburan melampau , terlalu mengejar aspek kebendaan atau materialisme,hanyut dengan kemewahan dunia sehingga terlupa persoalan akhirat,dan lupa diri serta lupa tuhan.

Sebagai manusia yang punya tuhan,kita jangan hidup dengan penuh kesedihan semata-mata bahkan perlu sentiasa membahagiakan diri kita dengan cuba meraih cinta tuhan.Hanya dengan mencintai tuhan kita dapat memiliki kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Jangan hidup keseorangan dan sentiasa kesepian kerana kita memiliki tuhan yang sentiasa mencintai hamba-hambaNya yang sentiasa mencintaiNya.

Hidup perlu diteruskan walau sebesarmana masalah yang menimpa kita.Apa jua yang berlaku kepada diri kita pasti ada hikmah tersirat yang kita tidak ketahuinya.Tabahkanlah hati dan bina kekuatan diri kita dengan sentiasa bersyukur kepada tuhan atas segala kurniaanNya.

Jalanilah kehidupan dengan tenang dan sentiasalah bersama-sama dengan mereka yang mampu memberikan ketenangan hidup kepada kita.

Semoga tuhan memberikan kekuatan kepada kita untuk terus menjalani kehidupan dengan ketenangan abadi.



Wednesday, October 06, 2010

Bulan Bahasa Kebangsaan 2010

Bulan Bahasa Kebangsaan tiba lagi dan pastinya seperti tahun sebelumnya mereka yang komited terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu,Bahasa Kebangsaan akan terus melaung-laungkan seruan agar semua pihak khususnya pemimpin politik benar-benar serius untuk mendaulatkan Bahasa Melayu.

Rakyat Malaysia yang serius untuk mewujudkan perpaduan antara rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama akan tetap berusaha sedaya upaya untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia menguasai Bahasa Melayu dengan sebaik mungkin.

Pada era dunia globalisasi yang semakin terbuka ini pastinya kita tidak berfikiran sempit untuk mengabaikan penguasaan bahasa-bahasa utama dunia bahkan penguasaan mana-mana bahasa sekalipun perlulah digalakkan khususnya buat generasi muda.

Namun begitu,kita pastinya tidak mahu mengabaikan Bahasa Melayu yang mempunyai seni keindahan gaya bahasanya yang sendiri terutamanya apabila kita mendalami keunikan makna tersirat disebalik puisi,pantun,syair,gurindam,sajak,seloka dan sebagainya.

Agak memalukan kita rakyat Malaysia tatkala sebilangan rakyat negara asing seperti Rusia,China,Jepun dan sebagainya yang mampu menguasai Bahasa Melayu dengan tepat manakala masih ramai rakyat Malaysia yang gagal dan tidak berusaha untuk menguasai Bahasa Melayu dengan tepat bahkan lebih gemar mencemarkan keindahan Bahasa Melayu dengan bahasa rojak yang celaru.

Pencemaran Bahasa Melayu yang berleluasa seperti di papan iklan,dialog filem,dan juga dalam perbualan seharian perlulah diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan ia juga mencerminkan kecelaruan dalam pemikiran.

Pemimpin utama negara perlu berani dan tidak malu untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam siri ucapan mereka serta jangan ada krisis keyakinan terhadap Bahasa Melayu dalam diri mereka supaya ia dapat dijadikan contoh tauladan yang baik kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

Dalam keghairahan mahu dilihat bersifat antarabangsa juga pihak pentadbiran awam,swasta,universiti dan sebagainya tidak perlu mengabaikan Bahasa Melayu dalam program-program anjuran mereka.

Kuasailah bahasa-bahasa asing sebanyak mungkin ,ungkapkan bahasa-bahasa tersebut dengan betul dan pastikan bahasa ibunda tetap diperjuangkan.

Semoga Bulan Bahasa Kebangsaan yang sedang berlangsung ini mampu meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan,Bahasa Melayu demi negara Malaysia yang tercinta.



Sunday, October 03, 2010

Konvo Oh Konvo....

Minggu ini sekali lagi kita saksikan kemeriahan majlis konvokesyen beberapa buah institusi pengajian tinggi tanah air.Majlis konvokesyen seolah-olah menjadi majlis kemuncak bagi para penuntut ilmu setelah bersusah payah menghadiri kuliah dan tutorial,menyiapkan kerja khusus,menghadapi peperiksaan dan seribu satu macam aktiviti keilmuan di menara gading.

Mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja mahasiswa yang hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata bahkan cemerlang juga dalam hal kepimpinan,kesukarelawanan,dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Pastinya kewujudan institusi pengajian tinggi tanah air bukanlah semata-mata ingin melahirkan generasi yang hanya tahu mengadap buku dua puluh empat jam,sekadar berada di perpustakaan atau hanya sibuk mengejar sijil,ijazah atau mata gred yang tinggi dalam peperiksaaan sahaja.

Pada era yang cukup mencabar ini,kita memerlukan generasi pelapis yang seimbang dari sudut pencapaian akademik dan keintelektualannya,punya idealisme dan wawasan hidup ,sakhsiah peribadi yang mulia atau kualiti spiritualisme yang tinggi dan terjun ke medan masyarakat dengan kekuatan aktivismenya.

Mahasiswa yang cemerlang juga perlu memiliki penghayatan budaya ilmu yang mendalam seperti rasa cinta kepada ilmu dan para ilmuwan,tabiat membaca buku pelbagai bidang ilmu pengetahuan,rajin menulis,berdebat mencari kebenaran,mengkaji ,menyelidik dan sebagainya.

Sebaik sahaja selesai menghadiri majlis konvokesyen yang gah dengan pakaian jubah rasmi dan istiadatnya,menerima ‘scroll’ di pentas sambil disaksikan para ilmuwan,ibubapa dan keluarga maka bermulalah satu tugas dan amanah keilmuan yang berat bagi setiap mahasiswa.

Betapa besarnya harapan ibubapa,para guru dan pensyarah serta harapan bangsa dan negara keseluruhannya kepada generasi pelapis para cendekiawan dan intelektual agar mereka menjadi insane yang bermanfaat kepada insan lain dengan berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat.

Luahan hati Dato Dr Siddiq Fadzil,Presiden Kolej Darul Hikmah merangkap Presiden Wadah Pencerdasan Ummat(WADAH) dalam ucapannya bertajuk ‘Tragedi keilmuan:Quo Vadis IPT!’ di istiadat Konvokesyen ke 12 Kolej Darul Hikmah wajar dijadikan renungan buat semua.

‘’Hari pengijazahan adalah hari bersejarah dalam hayat seorang pemburu ilmu.Ia harus dimaknai secara yang benar sesuai dengan tingginya nilai ilmu dan beratnya amanah keilmuan.Bagi kami para pendidik,istiadat konvokesyen ini tidak hanya bererti kesempatan berkongsi rasa gembira,tetapi ia juga sebenarnya menyiratkan sebuah harapan,mudah-mudahan tertunailah amanah berat membina generasi anak bangsa dengan ilmu yang bermanfaat dan dengan pendidikan yang memanusiakan

Membina manusia dalam realiti hari ini sering kali terasa seperti menongkah arus.Justeru,zaman ini adalah zaman dehumanisasi ,krisis penghakisan nilai-nilai kemanusiaan.Dengan kata lain,sudah banyak sistem pendidikan masa kini yang gagal melaksanakan misi hakiki pendidikan.Benarlah seperti yang disebut oleh pemikir Islam kontemporari,Malik Ben Nabi bahawa sistem pendidikan kita hanya mampu memberikan kemahiran(maharah/skill) tetapi gagal memberikan kesedaran(al-wa’y/awareness)Demikianlah kenyataan yang sedang kita saksikan ketika ini.Generasi muda kita rata-rata memang cukup terampil dalam bidang pekerjaan yang diceburi tetapi sebahagian mereka tidak lagi memiliki kesedaran kemanusiaan ,kesedaran keislaman dan kesedaran kerakyatan.’’

Jumlah pengunjung

web statistics