Grup Penjejak Tamadun Dunia

PERJUANGAN CINTA MAHASISWA...... CINTA TUHAN - CINTA MANUSIA -CINTA ILMU-CINTA HIKMAH- CINTA keBENARan - CINTA keADILan - CINTA perUBAHan - CINTA penCERAHan

Tuesday, March 08, 2011

Catatan Islam-Jepun,Prof Kosughi Yasushi + sarapan pagi antara kaum,restoran arab + di rumah Prof Emeritus Dr Osman Bakar

Sahabat saya,Nuruddin yang baru dilantik sebagai pegawai khas kepada Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar(Timbalan Pengarah Institute of Advance Islamic Studies) telah menelefon saya mengajak saya dan seorang lagi kawan,Kharizul mengikutinya ke Hotel Nikko (berdekatan Ampang Park).Beliau ditugaskan untuk mengambil Profesor Kosugi Yasushi dari Jepun yang akan menyampaikan syarahan beliau di IAIS selepas solat jumaat.

Dari stesyen lrt Universiti,kami menaiki lrt ke KLCC dan singgah solat Jumaat di Masjid AsSyakirin KLCC.Selepas selesai solat Jumaat ,kami berjalan kaki menuju ke Hotel Nikko ,tempat Prof Kosugi menginap.Dari stesyen lrt Ampang Park yang berdekatan dengan Hotel Nikko,kami membawa Prof Kosugi menaiki lrt menuju ke stesyen universiti.

Kami mengambil keputusan untuk mengambil Prof Kosugi dengan menaiki lrt bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kuala lumpur dan memandangkan syarahan Prof Kosugi di IAIS akan bermula sekitar jam 3 petang.Di luar stesyen lrt Universiti,pemandu kereta dari IAIS telah menunggu kami dan terus membawa kami semua ke IAIS.

Di IAIS,Profesor Kosugi Yasushi(Director Global Area Studies-Graduate School of Asian and African Area Studies,Kyoto University,Jepun) telah menyampaikan syarahan beliau bertajuk '' Japanese Global Perspective on the study of Islam:An Alternative to Western Perspective''Beliau merupakan tokoh pemikir Islam di Jepun,menjadi penasihat kepada Maharaja Jepun dalam hal ehwal Islam di Jepun,ahli majlis ' Science Council of Japan',belajar Bahasa Arab di Universiti Tokyo(Foreign Studies) dan merupakan graduan Universiti Al-Azhar,Mesir.Beliau juga pernah menjadi pensyarah pelawat di Centre for Middle East Studies ,Cambridge University.

Dalam syarahan beliau,Prof Kosugi membicarakan beberapa perkara berkaitan Islam yang sering dikaitkan dengan Timur Tengah,perihal tulisan jawi,bahasa arab dan perbezaannya dengan bahasa-bahasa seperti bahasa korea,bahasa China dan Bahasa Jepun,serta hubungan agama dan politik.

Beliau juga mengupas tentang pengajian Islam di Jepun dimana wujud Islamic Area Studies di universiti di Jepun,sejarah kemasukan Islam di Jepun,ketamadunan manusia,perihal Islam ,demokrasi , kebebasann dan persamaan dimana beliau mengupas perbezaan antara 'liberty' ,'equal' dan juga 'liberal democracy'

Disamping itu juga beliau menceritakan perkembangan Islam di Jepun terutamanya pasca 11 September 2001 seperti penambahan bilangan masjid di Jepun dan peningkatan keinginan rakyat Jepun untuk mengetahui tentang isi kandungan Al-quran,zakat dan kewangan Islam.

Pasca 11 September 2001 juga menyaksikan semakin meningkatnya keinginan masyarakat dalam perihal dialog antara agama dan peradaban.Prof Kosugi menceritakan bagaimana wujudnya dialog antara ajaran utama di Jepun iaitu Shinto dengan Islam yang sebelum ini tidak mendapat tempat di Jepun.

Beberapa hal pengurusan Jepun antara kepentingan komuniti dan individu,budaya Jepun seperti kebersihan,sopan dan menghormati orang,ketepatan masa dan nilai kekeluargaan juga disentuh oleh Prof Kosugi.Bagaimanapun menurut beliau nilai kekeluargaan di Jepun mula terhakis sejak kebelakangan ini.

Prof Kosugi juga menekankan kepentingan mewujudkan masyarakat berasaskan ilmu dan mengharapkan lebih ramai pelajar Malaysia dihantar untuk mempelajari Islam di Jepun.

Selepas tamat sesi syarahan Prof Kosugi di IAIS,saya,Nuruddin,Kharizul dan Annas Syafiq telah menaiki van IAIS bersama-sama Prof Kosugi untuk menghantar beliau kembali ke Hotel Nikko.Sepanjang perjalanan ke Hotel Nikko,kami telah mendapat beberapa nasihat daripada Prof Kosugi berkenaan pendidikan dan persiapan ilmu untuk masa hadapan.Nuruddin pula mencadangkan kepada Prof Kosugi agar diadakan kursus atau kem untuk anak muda Malaysia di Jepun dibawah seliaan Prof Kosugi dan dimulai dengan kami 4 orang.Prof Kosugi kemudiannya mengambil email kami 4 orang dan akan menghubungi kami suatu masa nanti.

Selepas bergambar beramai-ramai di Hotel Nikko bersama Prof Kosugi,kami bergerak menaiki van IAIS untuk pulang dan dalam perjalanan pulang,kami singgah solat maghrib di surau Restoran Wadi Hadramaut,sebuah restoran arab terkenal dekat Jalan Ampang.Di sana kami menemui seorang pensyarah Arab Jordan yang mengajar di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.Beliau menjemput kami semua makan malam bersama-sama beliau dan rakan-rakannya di restoran arab ini.Tanpa disangka-sangka,beliau membelanja kami makan malam nasi arab lauk kambing setiap seorang.Kami tidur nyenyak malam itu kekenyangan 'makanan' Jepun dan makanan Arab.....

Saya tidur di rumah Nurudin di Kelana Jaya malam itu memandangkan keesokan paginya Nuruddin dan saya akan bersama-sama menghadiri Majlis Sarapan Antara Kaum di Surau Al Syakirin,Bandar Utama,Damansara.

Pagi itu selepas solat subuh saya bersarapan pagi bersama ayah Nuruddin di warung berdekatan rumahnya.Nuruddin tidak turut serta kerana menghantar ibunya ke sekolah.

Sepanjang sarapan pagi nasi lemak dan tee tarik bersama ayah Nuruddin,kami bersembang beberapa perkara terutamanya berkaitan beberapa peristiwa yang berlaku sekitar tahun 70-80 an.Ayah Nuruddin yang sudah pencen menghabiskan waktunya di rumah dengan membaca sebanyak mungkin buku.Banyak maklumat baru terutamanya berkenaan sejarah peristiwa 70-80 an yang saya baru ketahui hasil sembang-sembang dengan ayah Nuruddin pagi tersebut.

Selepas sarapan pagi dengan ayah Nuruddin,kami bersiap sedia dan kemudiannya menaiki kereta yang dipandu Nuruddin ke Surau Al Syakirin Bandar Utama,Damansara untuk Majlis Sarapan antara Kaum.

Majlis ini diadakan bersempena dengan World Interfaith Harmony Week yang disambut pada minggu pertama bulan Februari setiap tahun oleh United Nation(UN).

Majlis sarapan pagi ini diadakan diperkarangan surau dan telah dihadiri oleh rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama termasuk wakil persatuan -persatuan agama dan rumah ibadat,persatuan komuniti masyarakat ,wakil PIBG-Polis- dan masyarakat tempatan

Majlis diadakan dalam suasana muhibah dengan para hadirin saling berkenalan antara satu sama lain sambil menjamu hidangan sarapan pagi seperti nasi lemak,mee goreng,kuih-muih dan teh tarik.

Selepas majlis sarapan pagi ini,saya bercadang mahu pulang ke rumah di Bangi tetapi Nuruddin yang mendapat panggilan telefon dari Prof Emeritus Dr Osman Bakar mengajak saya menemaninya ke rumah Prof Emeritus Dr Osman Bakar di Cyberjaya untuk makan tengahari di sana sempena menyambut kehadiran Prof Kosugi ke Malaysia.

Di rumah Prof Emeritus Dr Osman Bakar,yang hadir untuk makan tengahari ialah Prof Kosugi dan isterinya,Prof Madya Dr Nasrudin Md Akhir ( Institut Asia Eropah Universiti Malaya-fasih berbahasa Jepun),Nuruddin dan saya.Isteri Prof Emeritus Dr Osman Bakar turut makan bersama-sama kami manakala yang memasak makanan tengahari tersebut ialah dua orang anak lelaki Prof Emeritus Dr Osman Bakar.

Prof Emeritus Dr Osman Bakar dan Prof Kosugi rancak berbincang beberapa perancangan akademik dan program kerjasama Jepun dan Malaysia.Prof Madya Dr Nasrudin pula berkongsi pengalamannya menuntut ilmu di Jepun .

Banyak hal berkaitan Jepun yang saya dan Nuruddin pelajari hasil pertemuan di rumah Prof Emeritus Dr Osman Bakar ini.Dan ini meningkatkan semangat dan motivasi kepada kami untuk merancang kembara ilmu di Jepun suatu masa nanti...........

No comments:

Jumlah pengunjung

web statistics