Pagi ini kami tidak sarapan pagi di asrama Universiti Istanbul sebaliknya di bawa menaiki bas ke satu restoran di kawasan atas bukit yang pernah saya kunjungi pada malam hari sewaktu mengikuti rombongan PKPIM-ABIM-WADAH pada tahun 2007 dahulu.Dari atas bukit ini kami dapat melihat pemandangan indah Istanbul.
Sarapan pagi dan makan tengahari kali ini dianjurkan oleh pemuda AKP Istanbul dan kami berpeluang berdialog dengan Erkan Kandebi,Ketua Pemuda AKP Istanbul.Dalam dialog ini beliau menceritakan antara faktor kemenangan AKP dalam pilihanraya Turki dan bagaimana AKP menarik sokongan pengundi dari kalangan anak muda.AKP telah menubuhkan beberapa NGO yang bergerak di lapangan sosial dan membantu semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Pemimpin AKP tidak sibuk menghentam parti lawan sebaliknya mereka fokus kepada tugas masing-masing bagi berkhidmat kepada rakyat.Isu-isu yang diperjuangkan oleh AKP pula ialah isu-isu kemanusiaan yang universal dan disepakati bersama serta melampaui batas perbezaan kaum,agama dan geografi.Memahami masalah rakyat dengan merasai sendiri dan berkongsi perasaan yang sama dengan rakyat menjadi fokus utama pimpinan AKP.
Selepas sarapan pagi,makan tengahari dan dialog bersama ketua pemuda AKP Istanbul,kami kembali ke Istanbul Commerce University untuk meneruskan sesi pembentangan wakil negara peserta IYG 6.Hari ini merupakan hari terakhir sesi forum dan pembentangan wakil-wakil negara peserta.
Selepas tamat sesi program IYG 6 untuk hari ini,para peserta IYG 6 dibawa menziarahi satu kilang milik Deniz Feneri Dernegi,sebuah NGO Turki yang memberi fokus kepada misi kemanusiaan di seluruh dunia.Kilang ini menempatkan stok pelbagai barangan hasil sumbangan infaq-waqaf orang ramai dan dari sini ia akan diagihkan ke tempat-tempat berlakunya bencana.Melihat stor dalam kilang ini yang dipenuhi oleh pelbagai barangan,kami dapat membuat rumusan awal betapa pemurahnya rakyat Turki menerusi ‘kuasa infaq-waqaf’ mereka.
Kami dijamu hidangan makan malam di Deniz Feneri Dernegi ini dan sebelum pulang seperti lawatan ke NGO-NGO Turki yang lain,kami diberikan hadiah setiap seorang.
No comments:
Post a Comment